Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, May 23, 2008

Makanan Bukan Sekadar Nilai Pemakanan



BIJIRIN, buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi banyak nutrien penting untuk kesihatan badan.











Sekiranya waktu celik anda terlalu padat dengan komitmen kerja ataupun tanggungjawab peribadi, besar kemungkinan anda termasuk dalam golongan rakyat Malaysia yang sentiasa sibuk sehingga mengabaikan waktu makan.

Dengan ini, anda mungkin lebih cenderung untuk mengambil makanan tambahan (suplemen) atau vitamin untuk meningkatkan prestasi anda.

Berhenti dan fikir semula! Pil vitamin dan mineral serta makanan tambahan tidak boleh dijadikan sebagai pengganti makanan.

Jika anda mengamalkan tabiat makan yang sihat, iaitu dengan mengambil pelbagai jenis makanan, menggunakan garam dan gula secara berhemat dan selalu bersenam. Anda sebenarnya tidak memerlukan makanan tambahan tersebut.

Untuk mendapatkan vitamin, mineral, nutrien dan serat diet yang penting, anda boleh mengamalkan satu lagi tabiat makan yang sihat iaitu dengan mengambil lebih banyak bah-buahan, sayuran, nasi, bijirin dan kekacang.

Itulah sebabnya pakar pemakanan sentiasa menggalakkan anda mengambil lebih banyak makanan jenis ini.

Tetapi adakah anda mengambilnya semata-mata kerana kandungan nutrien dan seratnya? Kandungan nutriennya memang penting, tetapi terdapat sebab-sebab lain yang mungkin memeranjatkan anda.

Kebaikan Lain Untuk Dipertimbangkan

Seperti kebanyakan makanan lain, oren, kubis dan oat membekalkan pelbagai nutrien dan vitamin. Tetapi makanan yang kita makan setiap hari ini memberikan lebih daripada itu.

Ia juga mengandungi banyak komponen semula jadi yang dipercayai memberi lebih manfaat fisiologi dan kesihatan selain nutrien asas seperti karbohidrat, protein dan lemak.

Komponen ini dikenali sebagai komponen berfungsi, dan makanan yang mengandunginya dipanggil makanan berfungsi.

Kebelakangan ini, lebih tumpuan ditujukan kepada peranan komponen ini dalam aspek penjagaan kesihatan dan bagaimana ia boleh membantu mengurangkan risiko penyakit-

penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung koronari.

Anda mengambil makanan berfungsi, seperti buah-buahan, sayuran dan kekacang setiap hari tanpa mengetahui manfaat yang diberikan oleh komponen berfungsi ini (selain daripada kandungan serat dan nutrien).

Fakta berikut dapat menambah pengetahuan anda tentang makanan berfungsi dan bagaimana ia dapat memanfaatkan kesihatan anda.

Buah-Buahan & Sayuran

Buah-buahan dan sayuran mengandungi banyak komponen bioaktif yang dinamakan fitokimia, iaitu sebatian yang terdapat dalam tumbuhan.

Contoh fitokimia yang baik ialah karotenoid, yang terdapat di dalam pigmen oren-

merah buah-buahan dan sayur-sayuran.

Contoh karotenoid termasuk:

>> Likopena – Betik dan tomato kaya dengan likopena, yang dikaitkan dengan pengurangan risiko kanser.

>> Lutein – Sayuran berdaun hijau (pigmen oren-merahnya dilindungi oleh klorofil) seperti cekor manis, bayam dan kau-kei-choy yang membantu menjaga kesihatan mata anda.

>> Beta-karotena – Sayuran berdaun hijau juga mengandungi beta-karotena, sejenis karotenoid yang biasa didapati. Tubuh anda berupaya menukarkan beta-karotena kepada vitamin A yang penting untuk penglihatan, pertumbuhan dan fungsi imuniti badan. Beta-karotena juga mungkin mempunyai ciri-ciri antioksidan yang berpotensi untuk mengurangkan risiko kanser.

Fitokimia-fitokimia yang lain untuk kesihatan juga boleh didapati dalam buah-buahan dan sayur-sayuran seperti:

>> Glukosinolat – Sayuran daripada kumpulan Brassica, termasuk kubis, kubis bunga, kailan, kubis Cina, sawi putih dan kubis Brussels yang sedang dikaji keupayaannya mengurangkan risiko kanser-kanser tertentu.

>> Flavon – Terdapat dalam saderi, lada benggala dan daun salad. Penyelidikan haiwan menunjukkan bahawa flavon mempunyai ciri-ciri antikanser dan antiradang.

Kekacang, Legum Dan Kacang Soya

Anda selama ini mungkin mengambil kacang soya dalam bentuk minuman kacang soya atau makanan seperti tauhu, tempe, taufufah dan fu-chok.

Kekacang lain adalah seperti kacang merah dan kacang hijau dalam bubur. Tetapi tahukah anda bahawa kekacang dan legum bukan sahaja sumber protein dan serat, tetapi juga kaya dengan fitokimia?

Komponen bioaktif yang dikenalpasti dalam kacang soya, dan manfaat kesihatan yang terkandung dalamnya adalah:

>> Isoflavon – Hasil penyelidikan mendapati isoflavon mempunyai ciri-ciri sama seperti hormon estrogen dan dikaitkan dengan keupayaan untuk menurunkan kolesterol darah.

>> Fitosterol – Kajian manusia menunjukkan bahawa fitokimia ini berupaya menurunkan tahap kolesterol.

>> Saponin – Terdapat dalam kebanyakan tumbuhan. Kajian menunjukkan saponin berupaya menurunkan kolesterol darah dan menghalang pertumbuhan sel kanser.

Teh

Secawan teh hijau atau teh hitam yang anda minum setiap hari memberikan lebih uumph daripada yang anda ingini.

Teh mengandungi komponen bioaktif yang penting termasuklah:

>> Flavonoid - Kumpulan sebatian polifenol yang mengandungi flavon, isoflavon, flavonol dan flavanol. Dua polifenol penting dalam teh ialah flavanol (seperti catechin) dan flavonol (seperti quercetin), yang telah dikaji secara mendalam kerana ciri-ciri antioksidannya. Sebatian teh dikaitkan dengan keupayaan untuk mengurangkan risiko penyakit jantung koronari (dengan menurunkan tahap kolesterol dan tekanan darah) dan juga memberi perlindungan daripada pengoksidaan LDL (kolesterol jahat). Pakar-pakar penyelidikan juga bergiat mengkaji potensi catechin dalam mengurangkan risiko kanser.

Yogurt & Susu Kultur

Yogurt, minuman yogurt dan susu kultur disifatkan sebagai minuman yang “sihat”. Produk ini memang baik untuk kesihatan kerana mengandungi probiotik (ditambah oleh pengilang) iaitu bakteria hidup yang baik untuk mengekalkan keseimbangan flora dalam di dalam usus dan memudahkan sistem penghadaman.

Probiotik juga berupaya meningkatkan rintangan usus dalam mencegah ‘penguasaan perumah’ oleh bakteria yang berbahaya. Dua probiotik paling baik adalah laktobasili dan bifidobakteria.

Selepas mengetahui tentang fakta-fakta di atas, anda seharusnya faham mengapa pakar pemakanan sentiasa menggalakkan anda mendapatkan nutrien daripada makanan.

Ini kerana sesetengah jenis makanan memainkan peranan yang lebih daripada anda jangkakan. Oleh demikian, sentiasalah ingat bahawa makanan berfungsi adalah seperti makanan yang lain, yakni perlu dimakan dalam kuantiti yang bersesuaian.

Anda juga perlu ingat bahawa anda tidak boleh mengambil mana-mana satu jenis makanan dengan lebih banyak daripada makanan yang lain semata-mata untuk menjaga kesihatan atau mencegah penyakit.

Di samping itu, jangan lupa bahawa satu daripada prinsip tabiat makan yang sihat ialah makan pelbagai jenis makanan untuk mendapatkan nutrien yang berlainan, komponen berfungsi dan tenaga yang diperlukan oleh badan anda, agar anda kekal cergas setiap hari.

Hentikan pengambilan makanan tambahan, sekiranya anda mengamalkan diet yang seimbang, dengan memilih pelbagai jenis makanan untuk memenuhi keperluan pemakanan anda.

Perlukan Lebih Banyak Fitokimia?

Fitokimia seperti karotenoid, fitosterol dan flavanoid hanya sebahagian kecil daripada komponen bioaktif yang terdapat dalam buah-buahan, sayuran, kacang soya dan teh.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment