Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, May 23, 2008

Bermula Dengan Gigi Pertama

Hebat! Giginya yang pertama. Sebaik saja gigi yang pertama tumbuh, tiba masanya untuk menjaganya setiap hari bagi mengelakkan kaviti. Membersihkan gigi bayi anda setiap kali selepas makan akan menerapkan tabiat yang baik pada permulaan hayatnya.

Bilakan Gigi Pertama Bayi Saya Akan Tumbuh?

Gigi bayi mula terbentuk sejak sebelum lahir lagi. Kesemua 20 batang gigi utama, yang juga dipanggil gigi susu, wujud pada rahang bayi ketika lahir.

Dua gigi depan di bahagian bawah selalunya menjadi yang pertama tumbuh, sekitar enam bulan selepas lahir.

Jangan bimbang sekiranya pertumbuhan gigi bayi anda lambat. Menjelang usia tiga tahun, kesemua 20 gigi utama patut sudah tumbuh.

Apakah 'Pereputan Botol Susu'?

Anda boleh menghalang pereputan ini. Satu cara lazim yang menyebabkan bayi mendapat kaviti ialah menerusi 'pereputan botol susu'.

Ia berlaku apabila gigi bayi sering terdedah kepada cecair bergula untuk tempoh berpanjangan. Antaranya ialah susu (termasuk susu ibu) susu tepung, jus buah-buahan, dan lain-lain.

Jangan gunakan botol susu bagi menggantikan puting. Sekiranya anda perlu memberi sebotol minuman kepada bayi sebelum tidur, pastikan ia hanya mengandungi air kosong. Juga, jangan berikan puting yang dicelup dengan madu atau gula.

Bilakah Pemberusan Gigi Perlu Dimulakan?

Bila untuk mula memberus. Anda perlu mula membersihkan gigi bayi anda sebaik ia tumbuh. Ubat gigi sebanyak satu tompok sebesar kacang pis boleh digunakan agar anak anda tidak menelannya.

Berus dengan perlahan-lahan. Satu cara terbaik untuk menggalakkan pemberusan ialah menjadi contoh yang baik kepada anak. Ramai ibu bapa memberus gigi mereka bersama-sama anak, menjadikan waktu memberus gigi satu waktu yang menggembirakan.

Bagaimana Dengan Pemilihan Berus Gigi Yang Sesuai?

Terdapat banyak pilihan yang ada! Kanak-kanak memerlukan berus gigi yang sesuai. Ia direka khusus untuk saiz dan bentuk mulut serta tangan mereka. Sebagai contoh, pemegang yang besar boleh membantu kanak-kanak mengawal berus mereka. Berus yang lembut serta hujung yang bulat mampu membersih dengan baik gigi dan tisu gusi yang lembut.

Warna yang terang atau corak yang menarik juga boleh membantu menggalakkan pemberusan gigi dan menjadikannya aktiviti menyeronokkan.

Ubat Gigi Jenis Apakah Yang Perlu Digunakan?

Kanak-kanak menggunakan apa yang mereka suka. Cara terbaik untuk menggalakkan anak anda memberus gigi ialah dengan menggunakan ubat gigi yang mempunyai rasa yang menarik dan mudah digunakan.

Perasa ubat gigi tersebut mampu menjadikan pengalaman memberus sesuatu yang menyeronokkan, seterusnya menggalakkan pemberusan sempurna.

Memberus dua kali sehari akan menambah penggunaan fluorida yang akan membantu menguatkan enamel dan menanggalkan plak.

Apakah Cara Terbaik Untuk Memberus?

Teknik adalah segalanya! Untuk bayi, pakar pergigian mencadangkan ibu bapa menggunakan pergerakan memberus ke depan dan belakang yang ringkas, pendek dan lembut untuk menanggalkan plak.

Kaedah berikut disarankan apabila bayi lebih dewasa:

>> Di bahagian permukaan luar dan dalam: Letakkan berus pada sudut 45 darjah, mulakan pada garisan gusi dengan pergerakan memberus yang lembut dan ringkas seluas permukaan gigi.

>> Pada permukaan yang digunakan untuk mengunyah: Letakkan berus mendatar dan berus ke depan dan belakang.

>> Pada permukaan dalam, bahagian depan gigi: Tegakkan berus, gunakan pergerakan lembut ke atas dan bawah menggunakan hujung berus.

Berus gigi untuk tempoh yang cukup lama bagi membersihkan semua permukaan gigi. Pergerakan memberus itu dengan sendirinya membantu menanggalkan kotoran, jadi jangan ambil mudah perkara tersebut.

Jangan lupa untuk memberus lidah. Gunakan pergerakan seperti menyapu pada permukaan lidah dari depan ke belakang untuk menanggalkan sisa makanan dan menyegarkan mulut anak anda. Juga, pastikan tidak lupa untuk memberus lelangit.

Perlukah Kanak-Kanak Memflos?

Satu keperluan untuk kesihatan gigi sempurna. Memflos setiap hari membantu menanggalkan plak dan sisa makanan di celah gigi dan gusi.

Mengajar anak anda untuk memflos adalah penting untuk kesihatan gigi. Anda perlu membantu anak-anak kecil anda memflos.

Mulakan memflos gigi anak anda walaupun hanya terdapat gigi susu. Untuk memflos dengan betul, lilit benang flos di keliling jari tengah anda dan pegang sebanyak satu inci tali flos itu dengan erat, kemudia;

1. Masukkan tali flos ke celah gigi. Dengan lembut, gerakkan ia ke atas dan bawah beberapa kali sambil melengkungi gigi pada garisan gusi.

2. Sentiasa memflos dibelakang gigi terakhir. Tarik flos bersih yang dililit pada jari apabila bergerak ke gigi seterusnya.

3. Berhati-hati untuk tidak menekan benang flos ke dalam gusi.

Apakah peranan nutrisi dalam perkembangan gigi yang sihat?

Diet yang sihat membawa kepada gigi yang sihat. Amalan pemakanan yang sihat membawa kepada gigi yang sihat.

Kebanyakan snek yang dimakan kanak-kanak boleh membentuk kaviti. Pilih snek yang berkhasiat untuk anak anda seperti sayur-sayuran, yogurt rendah lemak, buah-buahan dan keju rendah lemak yang lebih baik dan menyihatkan gigi.

Mengapakah Enamel Dan Fluorida Penting?

Struktur asas gigi yang sihat. Enamel merupakan bahan paling keras dalam tubuh manusia dan juga lapisan paling luar gigi yang melindunginya daripada mereput.

Fluorida, bahan yang terdapat semulajadi pula menguatkan enamel gigi dan menjadikannya tahan terhadap pereputan.

Antara sumber fluorida ialah air minuman yang berfluorida, ubat gigi berfluorida dan ubat kumur berfluorida.

Doktor gigi anda juga mungkin akan mencadangkan atau memberi rawatan fluorida. Pastikan anda mengikuti arahannya dengan teliti kerana terlalu banyak florida boleh mengubah penampilan gigi anak.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment