Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, June 23, 2008

Penyakit Sawan Semasa Mengandung

Kebanyakan ibu-ibu yang mempunyai penyakit sawan, juga dikenali sebagai epilepsi, boleh mengandung normal dan seterusnya melahirkan zuriat yang sihat. Namun begitu, penyakit sawan ini mempunyai risiko semasa mengandung, lazimnya puan sudah pun tahu yang puan menghidapi penyakit sawan dan dengan utuh dalam perhatian pakar perubatan dalaman/pakar neurologi. Doktor-doktor ini akan menasihati puan sebelum, semasa dan juga selepas bersalin.

Di hospital peringkat termaju seperti Hospital USM, puan akan menjalani pemeriksaan mengandung di klinik antenatal berkongsi dengan doktor pakar perubatan. Mereka memberikan penjagaan perubatan serta obstetrik yang optimum supaya kesejahteraan puan serta janin selamat serta tidak berkomplikasi.

Artikel ini akan membimbing puan ke arah:

1. Penjagaan sebelum mengandung.

2. Risiko yang mungkin pada puan serta janin.

3. Perawatan semasa mengandung.

Penyakit Sawan Dan Wanita

Sel saraf di otak menjanakan isyarat berelektrik dalam penghantaran maklumat ke seluruh anggota badan. Maklumat ini bertanggungjawab dalam pengendalian fungsi serta pergerakan badan. Mereka yang mempunyai penyakit sawan, pengendalian serta pengawasan fungsi ini terganggu, langsung memberikan manifestasi dari segi kelakuan, kekejangan otot-otot dan juga sawan.

Hormon wanita iaitu estrogen dan juga progesteron boleh memberikan kesan pada keabnormalan sawan. Sebarang perubahan di antara hormon-hormon tersebut memungkinkan peningkatan ataupun penurunan frekuensi serangan sawan. Mungkin juga pola serangan sawan berubah semasa mengandung dan juga seawal selepas bersalin.

Ubat antisawan/antiepilepsi dapat mengawal serangan sawan, doktor mungkin terpaksa preskripsi beberapa kategori antisawan sebelum ubat yang paling sesuai untuk puan ditetapkan.

Persedian Untuk Mengandung

Kadangkala ubat antisawan dikurangkan secara perlahan-lahan sekiranya sejarah kesihatan puan tidak ada kehadiran serangan sawan untuk 2 tahun atau lebih. Mungkin juga doktor tidak mengesyorkan penurunan dos antisawan, mungkin ubat puan akan ditukar pada ubat antisawan jenis lain. Walaubagaimanapun, puan dinasihatkan supaya memberitahu doktor akan niat untuk mengandung seawal mungkin. Sesetngah ubat membahayakan janin, walaubagaimanapun, serangan sawan lebih merbahaya pada puan serta janin. Pakar perbidanan dan juga pakar perubatan dalaman /neurologi akan berusaha menyelesaikan mencari dos optimum yang bersesuaian, jenis ubat yang selamat dan menghindarkan serangan sawan semasa mengandung.

Ubat antisawan ini memberikan kesan pada penggunaan asid folik oleh badan. Ketidakcukupan asid folik boleh mencacatkan janin. Oleh itu dinasihatkan walaupun tidak berniat untuk mengandung, pengambilan asid folik perlu dilakukan setiap hari.

Sebanyak 0.4 mg asid folik perlu diambil setiap hari sebelum mengandung dan juga semasa tiga bulan mengandung untuk mengurangkan insiden kecacatan janin. Pakar pemakanan di hospital, jika di HUSM, mereka ditempatkan di klinik dietitik, boleh membantu puan dalam pengambilan makanan tempatan yang kaya dengan asid folik.

Risiko Pada Wanita

Kekerapan serangan berubah semasa mengandung, ada yang menjadi lebih kerap, ada juga yang seperti sebelumnya dan ramai pula yang menjadi lebih selesa. Paras ubat antisawan dalam darah puan perlu diamati sekiranya serangan semakin kerap. Disebabkan perubahan ketara fisiologi badan semasa mengandung, perubahan hormon dan juga perubahan terhadap metabolisma badan terhadap ubat, ujian darah diperlukan untuk menentukan keberkesanan dos ubat antisawan yang diberikan.

Risiko Pada Bayi

Secara keseluruhan, risiko untuk mendapat bayi yang cacat dalam populasi adalah sekitar 2-3%, tetapi dengan penyakit sawan, nilai ini bertambah menjadi sekitar 6-8%. Risiko ini juga berkait dengan jenis ubat antisawan yang digunakan. Di antara jenis-jenis lazim kecacatan bayi adalah seperti:

1. Sumbing bibir serta lelangit pada mulut.

2. Keabnormalan tiub neural, contohnya spina bifida.

3. Bayi yang rendah berat kelahirannya

4. Kepala kecil

5. Ketandusan dari segi tumbesaran serta perkembangan.

6. Terencat mental

7. Masalah pembekuan darah

8. Masalah sawan pada masa hadapan.

Kelahiran

Kelahiran secara normal dibolehkan, kelahiran secara pembedahan hanya apabila pemasalahan obstetrik timbul.

Jagaan Selepas Bersalin

Perubahan fisiologi badan puan selepas bersalin ke arah sebelum mengandung mengharuskan pertukaran dos dan jenis ubat antisawan yang digunakan. Ubat antisawan ini juga boleh menganggu paras hormon di badan puan. Ini memberikan kesan keberkesanan pada kaedah perancangan keluarga. Mungkin kaedah berlandaskan hormon menjadi kurang berkesan dan perlu diiringi dengan penggunaan metoda lain seperti kondom, ubat pembunuh sperma dan sebagainya.

Sejurus kelahiran, bayi akan disuntik dengan vitamin K, ini adalah kerana paras vitamin K yang kurang dengan penggunaan ubat antisawan. Vitamin K membantu dalam sistem pembekuan darah.

Penyusuan badan dibenarkan, hanya sedikit sahaja paras ubat antisawan terdapat dalam susu badan, walau bagaimanapun, ketetapan ini akan ditentukan oleh doktor yang merawat puan.


Ditulis oleh:
Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Probiotik Masalah Wanita

SOALAN:
"Saya seorang wanita yang kerap mengalami masalah kewanitaan seperti jangkitan yang menyebabkan saya mengalami masalah keputihan. Masalah ini tentunya tidak menyenangkan kerana ia menimbulkan rasa gatal, mengeluarkan bau dan turut menjejaskan hubungan intim dengan suami. Selepas pengambilan antibiotik keadaan akan pulih, namun ia kerap berulang kembali. Adakah masalah ini boleh dibantu dengan pemakanan tambahan?,".


JAWAPAN:

Pengeluaran cecair keputihan yang luar biasa yang disertai oleh bau lazimnya menjadi indikasi kepada jangkitan, sama ada jangkitan bakteria atau kulat/yis. Ada juga di kalangan wanita yang mengalami kegatalan yang serius, bengkak dan kemerahan yang menjejaskan aktiviti-aktiviti harian.

Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan menghidap diabetes merupakan antara golongan yang lebih mudah mendapat jangkitan. Antara penyebab lazim termasuklah ketidakseimbangan flora vagina dan pertumbuhan bakteria berbahaya yang berlebihan, perubahan hormon, gangguan pH vagina, faktor kebersihan dan sebagainya.

Berbeza dengan pengambilan antibiotik yang mengganggu keseimbangan flora vagina, strain probiotik ini mengembali dan mengekalkan flora vagina serta membantu menangani masalah urogenital dengan lebih berkesan. Probiotik dari strain Lactobacillus GR-1™ dan Lactobacillus RC-14® diperakui dapat mengelak dan merawat jangkitan bakteria (Bacteria Vaginosis) dan vaginitis yis. Strain probiotik ini juga membantu merencat dan mengawal patogen vagina dengan mengeluarkan protein anti jangkitan dan mencegah pelekatan organisma berbahaya pada sel epitelium serta mencegah pertumbuhan bakteria dan yis.

Amalan-amalan berikut mungkin membantu mengekalkan kesihatan vagina wanita:

>> Sentiasa menjaga kebersihan, termasuk juga pasangan anda.

>> Memakai pakaian dalam daripada kapas dan elakkan memakai seluar yang ketat.

>> Membersihkan bahagian genital dari depan ke belakang setiap kali selepas membuang air.

>> Diet yang seimbang merupakan kunci untuk melawan jangkitan urogenital. Kurangkan makanan manis dan karbohidrat ringkas, terutamanya semakin jangkitan.

>> Minum lapan hingga sepuluh gelas air setiap hari untuk menyingkirkan bakteria.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Asid Lemak Perlu Merangsang Minda

SOALAN:
"Saya mempunyai seorang anak lelaki yang sedang belajar dalam tahun dua. Saya dapati prestasi pelajarannya tidak memberangsangkan. Dia agak perlahan dalam memahami apa yang diajar dan sukar memberi tumpuan. Selain daripada galakkan dan sokongan emosi, adakah khasiat pemakanan boleh membantu?,".


JAWAPAN:
Pemakanan yang baik bukan sahaja penting untuk kesihatan dan tumbesaran secara fizikal, tetapi juga sangat penting untuk perkembangan otak seseorang. Perkembangan otak yang optima yang bermula di peringkat kehamilan boleh dirangsang dengan pemakanan seperti asid lemak perlu. Asid lemak ini tidak boleh dihasilkan oleh tubuh manusia dan dengan itu ia perlu diambil daripada makanan. Pengambilan asid lemak ini penting kerana otak manusia itu sendiri terdiri daripada 60 peratus lemak dan dengan itu adalah penting untuk memilih lemak yang betul untuk menyokong perkembangan dan fungsinya yang normal.

Kekurangan asid lemak dikaitkan dengan masalah tingkahlaku dan pembelajaran kanak-kanak, seperti ADHD (masalah kurang tumpuan dan hiperaktiviti), disleksia (disfingsi yang melibatkan bahasa seperti membaca dan pembelajaran bahasa) dan autisme serta mengganggu sistem penglihatan.

Asid lemak omega-3 dan 6 meningkatkan fleksibiliti dan kebendaliran membran (terutama dalam otak) yang penting untuk pengisyaratan sel yang optima. Penglihatan dan perkembangan kognitif kanak-kanak boleh dipertingkatkan dengan memberi makanan yang mengandungi asid lemak perlu, manakala pengambilan ikan semasa hamil boleh membantu kesihatan otak dan penglihatan bayi.

Bagi kanak-kanak formulasi gabungan yang seimbang dengan Asid Dokosaheksanoik (DHA), Asid Gama Linolenik dan Asid Arakidonik (AA) adalah penting dalam pembentukan dan perkembangan sel saraf otak dan mata. Asid-asid lemak perlu ini penting dalam merangsang kecerdasan minda, memandangkan ia memainkan peranan penting dalam transmisi isyarat antara saraf.

Selain itu, bagi ibu-ibu hamil, pengambilan asid-asid lemak perlu bukan sahaja untuk perkembangan janin yang normal tetapi juga untuk ibu itu sendiri. Ini berdasarkan kajian yang menunjukkan bahawa asid lemak omega-3 ini juga bermanfaat dalam membantu masalah kemurungan selepas bersalin.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Friday, June 20, 2008

Kesihatan Mata Selepas Umur 50 Tahun

Dekad kelima kehidupan dan masa-masa seterusnya sering membawa perubahan besar dalam hidup seperti persaraan, menopaus dan juga potongan harga untuk sistem pengangkutan awam.

Mata juga akan mengalami perubahan akibat peningkatan usia. Sesetengah perubahan ini adalah normal dan berkait rapat dengan usia tetapi ada juga yang berpunca daripada datangnya penyakit.

Presbyopia (Rabun Dekat)

Penyakit ini adalah perubahan yang paling biasa berlaku di mana seseorang yang meningkat usianya kehilangan keupayaan untuk melihat dari jarak dekat.

Mekanisme memfokus mata pesakit sebegini telah menjadi semakin lemah sementara jalan penyelesaian paling mudah untuk masalah ini adalah dengan penggunaan ‘cermin mata membaca’ dari pakar mata.

Dalam keadaan ini, senaman mata atau memperbanyakkan melihat suasana hijau tidak akan membawa faedah lagi.

Cermin mata dengan lubang-lubang kecil juga tidak dapat membetulkan masalah penglihatan ini.

Selain itu, pesakit juga perlu berhati-hati dengan pembedahan kornea menggunakan laser kerana berkemungkinan banyak masalah boleh berlaku selepas beberapa ketika.

Katarak

Kira-kira 50 peratus daripada mereka yang mencecah usia 70 tahun akan mendapat katarak.

Katarak adalah pembentukan kekeruhan pada kanta asal mata pesakit yang berlaku secara berperingkat dan semakin teruk.

Kanta mata pada asalnya jernih seperti kanta pada cermin mata. Lama kelamaan, kanta ini akan menjadi keruh seperti cermin yang berwap.

Kebanyakan katarak tidak perlu dibuang selagi ia tidak mengganggu penglihatan pesakit. Menukar cermin mata juga hanya membazirkan wang kerana tidak dapat memulihkan masalah ini.

Dalam mendapatkan rawatan untuk katarak pula, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan kaedah terbaik menangani katarak daripada beberapa pakar memandangkan kepakaran teknikal dan kos rawatan amat berbeza di antara pakar-pakar mata terbaik.

Diabetes

Tiada siapa dapat memastikan jumlah sebenar pesakit yang menderita akibat diabetes. Namun dianggarkan lima peratus daripada golongan melebihi usia 50 tahun telah dikenalpasti menghidap diabetes sementara lima hingga 10 peratus lagi masih belum dikesan.

Penyakit ini menyerang dengan senyap dan merupakan ‘pembunuh’ berbahaya kerana pesakit mungkin hanya menunjukkan sedikit simptom sehinggalah kebanyakan daripada organ dan tisu badan telah rosak teruk.

Pengurusan penyakit ini secara klinikal juga tidak berkesan dan amatlah diharapkan semua pihak dapat menumpukan lebih banyak sumber dalam menguruskan ‘bom masa’ ini.

Pengurusan secara berkesan penyakit ini dari peringkat awal selalunya dapat memberi manfaat besar kepada kualiti hidup pesakit kelak.

Jika anda merupakan pesakit diabetes, adalah amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan mata selepas didiagnosis menghidap diabetes dan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun selepas itu, atau lebih kerap bergantung kepada tahap kesihatan mata.

Rawatan sebelum berlakunya kerosakan pada penglihatan selalunya tidak menyakitkan, lebih berjaya dan lebih murah.

Bagaimanapun, jika rawatan hanya diterima selepas penglihatan terjejas, ia selalunya rumit, mahal dan paling penting, mungkin tidak dapat meningkatkan kembali tahap penglihatan pesakit.

Kemerosotan Makular Berkaitan Dengan Usia (ARMD)

Masalah ini merupakan satu-satunya punca utama individu di dunia Barat menghadapi gangguan penglihatan yang serius.

Walaupun terdapat kaitan genetik yang memainkan peranan dalam pembentukan ARMD, amalan pemakanan juga memainkan peranan yang besar.

Memandangkan diet harian di negara ini semakin mengikut gaya pemakanan Barat, bilangan pesakit ARMD di Malaysia juga dilihat semakin meningkat.

Masalah ini menyebabkan kawasan pusat retina yang sensitif menjadi kecut dan kadangkala ia berlaku dengan pantas dan amat membimbangkan.

Retina merupakan bahagian mata yang membentuk imej yang dilihat dan akibat ARMD, imej pertengahan yang tajam menjadi semakin kabur serta tidak jelas, dan akhirnya menjadi kabur sepenuhnya.

Penglihatan periferal (sisi) bagaimanapun tidak terjejas akibat masalah ini. Tabiat merokok juga merupakan satu faktor risiko utama untuk penyakit ini.

Pengambilan suplemen makanan yang kaya dengan vitamin A, C, E, zink, selenium dan lutein mungkin dapat mengurangkan perkembangan ARMD sehingga 25 peratus.

Glaukoma

Masalah yang seringkali terlebih diagnosis tetapi kurang difahami ini (walaupun di kalangan pakar mata), menyebabkan kematian pramatang saraf optik yang menghubungkan mata ke otak.

Keadaan ini selalunya berlaku secara berperingkat tetapi pesakit mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah kerosakan pada saraf tersebut tidak dapat diperbaiki lagi.

Namun, bagi kebanyakan pesakit, keadaan ini sering disalah diagnosis dan tidak diuruskan dengan betul.

Ini kerana terdapat banyak perubahan normal pada mata yang menyerupai glaukoma tetapi tidak memerlukan rawatan dan hanya perlu diperhatikan perkembangannya.

Walaupun jika pesakit disahkan menghidap glaukoma, rawatan yang berjaya dapat diperolehi dengan hanya menggunakan ubat titisan mata sementara pembedahan jarang sekali perlu dilakukan ke atas pesakit.

Glaukoma mempunyai komponen kaitan genetik yang besar, maka adik-beradik kepada pesakit yang disahkan menghidap glaukoma perlu dibuat pemantauan untuk perkembangan masalah ini, seumur hidup mereka.

Kadangkala, keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan yang teruk jika pesakit turut mengalami katarak yang semakin melarat.

Pembedahan membuang katarak selalunya menyelesaikan masalah sebegini tanpa memerlukan pembedahan khusus untuk glaukoma.

Bagaimanapun, pesakit yang berasa sangsi dinasihat untuk mendapatkan pandangan dari beberapa pakar lain sebelum bersetuju menjalani sesuatu bentuk rawatan.

Kebanyakan masalah mata hanya muncul dengan usia yang semakin meningkat.

Kebanyakan daripada masalah ini juga kini boleh dirawat di Malaysia dan tidak memerlukan rawatan di luar negara.

Namun, penjagaan kesihatan mata di negara ini masih kurang konsisten dari segi kualiti tinggi rawatan seperti yang diharapkan dan ini belum lagi ditambah dengan masalah perbezaan kos yang ketara walaupun untuk rawatan yang serupa.

Pesakit dinasihatkan untuk bijak memilih dan mendapatkan pandangan dari beberapa pakar mata terlebih dahulu.

Pesakit juga perlu memahami masalah mata yang dihidapi mereka dengan mendapatkan pelbagai maklumat percuma dari internet atau berjumpa pakar perubatan.


Ditulis oleh:
Dr Fatima Najla KM Muhd Jaafar
Pakar Runding Pembedahan Mata,
Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) Midvalley, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Cedera Ketika Bermain Ragbi

SOALAN:
Doktor, saya berumur awal 20-an. Saya gemar bersukan dan melibatkan diri dalam sukan ragbi. Sebulan yang lalu, saya mengalami kecederaan semasa dalam permainan.

Kecederaan tersebut menyebabkan tulang bahu (klavikel) kiri saya patah. Alhamdulillah, selepas sebulan, bahu saya semakin pulih tetapi keadaan bahu saya kelihatan menjadi pendek sebelah.

Adakah keadaan seperti ini akan kekal sampai bila-bila? Berapa lamakah saya perlu berehat sebelum kembali aktif bersukan?

Untuk pengetahuan doktor, saya sekarang sudah mula berjoging dan tidak merasakan sebarang ketidakselesaan pada bahagian bahu yang patah. Sekian terima kasih.

Hamba Allah


JAWAPAN:
Kecederaan atau kepatahan tulang klavikel adalah satu perkara yang lazim dalam permainan ragbi kerana impak yang kuat dan terus ke atas tulang tersebut sewaktu permainan.

Kepatahan lazimnya berlaku di kawasan pertengahan tulang klavikel.

Terdapat banyak otot yang terikat terus kepada tulang klavikel ini dan dalam keadaan patah, bahagian tulang yang patah akan ditarik dalam arah berlawanan oleh otot-otot yang terikat padanya, menyebabkan kepatahan itu berselisih atau terjungkit dan sebagainya.

Tulang klavikel yang bercantum dalam kedudukan tersebut akan ‘dirasakan’ seperti pendek, tetapi sebenarnya keadaan ini dinamakan ‘mal-union’ atau tempoh penyembuhan ketika tulang dalam keadaan bengkok.

Keadaan ‘mal-union’ ini akan kekal dan anda akan lama-kelamaan menyesuaikan diri dengan keadaan berkenaan dan merasai seolah-olah tiada apa yang berlaku pada tulang klavikel.

Sekiranya pemeriksaan susulan sinar-X dijalankan menunjukkan tulang telah bercantum sepenuhnya, bolehlah bermain semula seperti sediakala. Ini selalunya memakan masa antara tiga hingga empat bulan.

Dalam keadaan ‘mal-union’, tulang klavikel yang berbentuk tulang meruncing atau terasa tajam dan mungkin boleh menembusi kulit.

Pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan untuk mengelakkan risiko kulit terkoyak oleh tulang klavikel meruncing itu.

Ini berlaku kerana tulang klavikel adalah tulang ‘subcutaneous’ atau di bawah kulit seperti mana tulang ‘kering’ atau shin bone (tibia).

Pembedahan untuk membetulkan keadaan itu adalah pembedahan menipiskan atau menumpulkan tulang ‘mal-union’ tanpa mengganggu kekuatan tulang tersebut.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Klavikel Patah Akibat Kemalangan

SOALAN:
Doktor, saya ingin meminta pendapat doktor. Baru-baru ini saya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Doktor yang merawat mengesahkan saya telah patah tulang iaitu structure clarical.

Adakah potensi tulang tersebut boleh bercantum atau pun tidak? Kini saya hanya mengamalkan minum susu dan makan buah limau untuk proses pencantuman tulang saya itu.

Sakura


JAWAPAN:
Tulang klavikel berpotensi untuk bercantum semula secara semulajadi dan selalunya memakan masa antara empat hingga enam minggu untuk pulih.

Ini berlaku dengan lebih pantas lagi bagi kanak-kanak dan bayi yang mengambil masa antara dua hingga tiga minggu sahaja.

Akan tetapi, satu kajian yang dijalankan mendapati bahawa terdapat sehingga 30 peratus kepatahan tulang klavikel di tahap pertengahan tulang tersebut atau ‘midshaft’ tidak dapat bersambung semula dan memerlukan rawatan lanjut, termasuk pembedahan.

Dalam soal pemakanan, untuk penyembuhan tulang, adalah penting pemakanan dijaga kerana ianya sedikit sebanyak mempengaruhi kadar penyembuhan tulang untuk bercantum semula.

Bagaimanapun, sekiranya tulang klavikel tidak bersambung semula atau keadaan yang dinamakan ‘non-union’ berlaku, ianya juga bukan berlaku akibat pemakanan sepenuhnya.

Non-union atau ketidaksambungan tulang yang patah mungkin juga berlaku akibat faktor-faktor tertentu seperti ciri kepatahan (tulang berselisih jauh), bekalan salur darah kepada tulang yang patah terganggu, atau terdapat jangkitan kuman kepada tulang tersebut.

Amalan pemakanan sihat seperti susu dan vitamin C dalam oren secara keseluruhannya merupakan satu amalan yang baik dan perlu diteruskan walaupun tiada mengalami kepatahan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Tulang Klavikel Patah Lazim Berlaku

Tulang klavikel adalah satu- satunya tulang yang mencantumkan tangan (upper limb) kepada badan (trunk) seseorang.

Oleh itu ia merupakan struktur yang sangat penting bagi memastikan pergerakan tangan dan bahu adalah normal.

Tulang klavikel berartikulat kepada tulang belikat di bahagian bahu dan pada tulang sternum di bahagian dada.

Kepatahan kepada tulang ini adalah sangat lazim berlaku jika terdapat kecederaan langsung kepada tulang klavikel.

Kepatahan boleh berlaku di semua peringkat umur termasuklah kepada bayi yang baru lahir kerana saiz bayi yang terlalu besar boleh tersangkut sewaktu kelahiran.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Masalah Gula Darah

Sebelum, ini kita berbincang mengenai Disglisemia sebagai salah satu penyebab penyakit kencing manis jenis II. Hari ini kita akan membincangkan satu lagi teori menarik dan terbukti, dirujuk sebagai “hiperasiditi” (asid berlebihan) badan.

Penyakit Degeneratif (Penuaan) Dan Hubungkait Dengan Hiperasiditi

Kebanyakan penyakit degeneratif adalah akibat sisa buangan asid yang menimbun dalam badan. Ketika dilahirkan, badan kita bebas daripada deposit sisa buangan asid. Kita mempunyai konsentrasi mineral alkali dan pH badan yang tertinggi. Apabila semakin tua, proses hidup yang biasa ialah kita beransur-ansur menjadi lebih berasid. Itulah sebabnya mengapa degeneratif tidak berlaku semasa muda. Ia lazimnya berlaku selepas umur 40 tahun. Perbezaan antara ketika berusia 20 tahun dan 40 tahun ialah anda telah mengumpul lebih banyak sisa berasid pada usia 40 berbanding 20 tahun.

Untuk mempertahankan kehidupan, badan mestilah mengekalkan suhu badan yang mantap dan nilai pH cecair badan yang malar dengan pH yang sedikit menjurus kepada alkali pada julat yang ketat iaitu 7.3 hingga 7.45. Jika miring walau sedikitpun kepada pH darah yang berasid, ia akan membawa maut, satu keadaan yang badan kita tidak akan membiarkannya berlaku. Untuk mencegah keadaan ini, badan dengan cepatnya akan menyelaraskan pH darah kembali semula ke pH yang beralkali melalui pelbagai mekanisme, seperti menggunakan mineral alkali dalam badan untuk meneutralisasikannya. Apabila mekanisme ini tidak dapat menangani permintaan, maka mekanisme lain akan memainkan peranan. Salah satu daripadanya ialah pemejalan kimia berasid, kemudian mendepositkan dalam tisu dan organ badan. Kolesterol dan asid urik yang terhablur adalah contoh asid yang memejal.

Faktor Ketidakseimbangan Asid Badan

Gaya hidup dan tabiat makan yang tidak baik, pengambilan sayuran dan buah-buahan yang tidak mencukupi, mewujudkan ketidakseimbangan asid dan menyebabkan badan beransur-ansur menjadi berasid. Kita sentiasa sibuk dan sering mendesak badan habis-habisan untuk melakukan sesuatu. Kita berjaga sehingga larut malam dan esok pagi bangun awal untuk menunaikan tanggungjawab. Tekanan fizikal atau mental akan menjana lebih banyak sisa buangan berasid dalam badan. Pencemaran alam sekitar juga satu sebab pengasidan badan. Jika ini berterusan, ia akan membawa padah kepada kesihatan seperti arthritis, tekanan darah tinggi, kanser dan kencing manis (diabetes).

Dalam kes kencing manis, adalah dipercayai bahawa pankreas mengeluarkan salah satu cecair badan pH yang tertinggi dengan nilai pHnya 8.8. Kekurangan ion kalsium merencat pengeluaran dan pelepasan hormon insulin. Saluran darah yang tersumbat disebabkan oleh penimbunan asid juga melemahkan fungsi pankreas. Apabila semakin berumur, kita mengumpul produk sisa berasid, maka kecekapan pankreas juga berkurangan. Rupa-rupanya kita mengumpul sisa berasid di sekeliling pankreas, lebih-lebih lagi lelaki . Orang lelaki, mulanya akan mengumpul asid lemak di sekeliling pinggang .

Penjenisan Metabolik – Makanan Yang Baik Untuk Seseorang Mungkin Menjadi Racun Kepada Orang Lain.

Satu lagi teori yang terbukti tentang sebab-sebab keasidan darah dikenali dengan “teori penjenisan metabolik.” Berpengalaman sebagai pengamal semulajadi, saya dapati bahawa orang yang berlainan mempunyai jenis metabolik berbeza yang menentukan jenis diet manakah yang sesuai: sama ada jenis Karbo ataupun Protein. Keasidan atau kealkalian badan akan ditentukan oleh jenis makanan yang dimakan. Jika anda tidak memakan makanan mengikut jenis dominan anda, ini menyebabkan keasidan dan kealkalian darah yang akan membawa akibat buruk. Pada umumnya kita terbahagi kepada dua jenis metabolik yang nyata, iaitu Jenis Pengoksidaan dan Autonomik. Pengoksidaan pula terbahagi kepada Pengoksidaan Cepat dan Perlahan manakala Jenis Autonomik disubkumpulankan kepada jenis-jenis simpati dan parasimpati. Kira-kira 70% daripada kes kencing manis yang saya uruskan termasuk dalam kategori Pengoksidaan Cepat atau Jenis Protein. Bagi yang mempunyai Pengoksidaan Cepat, memakan makanan yang tinggi karbohidrat akan menyebabkan darah berasid. Diet yang mengandungi protein yang tinggi dan lemak yang baik mutunya merupakan penyelesaian yang unggul bagi masalah mereka. Untuk menentukan jenis metabolik, anda perlu menjalani ujian selama dua jam termasuk ujian air kencing, air liur, darah, serta ujian profil tanda-tanda penting. Sebaik sahaja jenis dipastikan, anda akan dinasihatkan tentang diet yang sesuai.

Penyelesaian Terhadap Keadaan Ini:

Kurangkan pengasidan dalam sistem dan alkalikan darah. Ini penting selain melakukan perubahan kepada gaya hidup, diet dan memakan suplemen untuk membantu mengawal paras gula darah. Bagi meningkatkan kealkalian dalam badan dan memastikan gula darah sentiasa dalam kawalan:

1. Kurangkan tekanan fizikal dan mental – pelajari bagaimana untuk bertenang

2. Tidur awal – penyelidik mendapati mereka yang tidur lima jam atau kurang adalah 34% lebih berkemungkinan menghidapi kencing manis berbanding yang tidur selama tujuh hingga lapan jam setiap malam.

3. Senaman boleh memejalkan otot dan membakar kalori, menaikkan suhu dalaman badan dan mengembangkan saluran kapilari yang tersumbat agar dapat menyedut sisa buangan yang terpendam dalam sistem.

4. Makan mengikut jenis metabolik anda. Jalani ujian untuk menentukan jenis metabolik dan sebaik sahaja mengetahuinya, makan mengikutnya bagi memastikan pH badan dikekalkan pada tahap optimum.

5. Jauhi minuman ringan, berkarbonat khususnya jenis kola. Selain kandungan gula yang tinggi, ia juga amat berasid.

6. Makan makanan yang pHnya banyak beralkali, dilihat sebagai dapat memulihkan semula kesihatan pankreas:

>> Jika mampu, belilah alat pemproses air alkali. Air beralkali kaya dengan ion mineral beralkali seperti ion kalsium, kalium dan magnesium. Dengan minum sekurang-kurangnya lima gelas air alkali setiap hari akan beransur-ansur menurunkan keasidan badan dan membolehkan badan membuang semua sisa buangan yang dikeluarkan.

>> Makan makanan yang membentuk alkali seperti (mengikut urutan kealkaliannya): halia, kacang ginjal, bayam, kacang soya, pisang, buah berangan, karot, kulat, strawberi, ubi kentang, lobak, lobak putih, labu besar, keledek, turnip, jus oren, buah epal, putih telur, buah pir, jus anggur, timun, tembikai, terung, kopi, bawang, teh, kacang panjang, susu manusia, susu lembu dan tofu.

7. Herba, suplemen nutrien dan mineral yang menyumbangkan kepada kealkalian.

>> Makanan super seperti klorella, spirulina, aphanizomenon flos-aquae, rumput gandum dan rumput barli menambahkan alkali kepada darah. Salah satu formula seperti itu yang saya syorkan kepada pesakit saya ialah “Greens Total” yang diperkuatkan dengan 76 jenis makanan super, herba dan fitonutrien yang membersihkan serta merancakkan sistem badan. Ia juga kuat mengalkalikan.

>> Suplemen kalsium yang baik.

8. Lain-lain suplemen penting untuk pesakit kencing manis

>> Dalam semua keadaan gula darah tinggi, adalah penting untuk memastikan pesakit mengambil diet yang sesuai, iaitu yang rendah gula dan kanji serta mengambil suplemen formula multivitamin khas untuk pesakit kencing manis yang mengandungi nutrien penting seperti Asid Alfa Lipoik, Kromium, Biotin dan Vanadium untuk membantu menguruskan paras gula darah. Ini merupakan 4 nutrien penting untuk pesakit kencing manis kerana ia membantu meningkatkan sensitiviti insulin, menstabilkan paras gula darah dan mencegah perkembangan komplikasi kencing manis.

>> Herba seperti pati kayu manis dengan Banaba juga penting kerana mempunyai ciri-ciri yang boleh menurunkan paras gula darah. Pilihlah pati kayu manis larut air yang dipiawaiankan kerana ia mengandungi Polifinol jenis A Polimer yang dapat meningkatkan aktiviti insulin sebanyak 20 kali, oleh itu ia membuatkan paras gula darah dalam kawalan. Banaba mengandungi asid korosolik yang selamat dan berkesan untuk menurunkan paras gula darah. Bila digabungkan, kedua herba ini berfungsi secara bersinergi dan mengawal paras gula darah.

9. Terapi Bowen: Salah satu teknik yang diamalkan di klinik saya ialah satu bentuk kerja unik dilakukan ke atas badan dan ini mengawal sistem badan serta menyahtoksikkan badan daripada sisa buangan berasid.

10. Gelombang “Far Infrared” - gelombang terapi ini menusuk sedalam kira-kira 2 hingga 3 inci ke dalam kulit dan menaikkan suhu badan untuk mengeluarkan sisa buangan berasid daripada sistem. Salah satu alat seperti itu ialah “FIR Hothouse Dome” yang saya syorkan kepada para pesakit saya.

Ini merupakan beberapa cara dan kaedah yang lazimnya saya masukkan sebagai sebahagian daripada modul rawatan untuk mereka yang menghadapi masalah gula darah. Saya harap rencana ini memberi pendekatan baru yang agak berbeza mengenai kesihatan anda agar ia boleh memberi panduan dalam mencari penyelesaian terhadap masalah penyakit kencing manis anda.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Siri I : Kenali Buah Pinggang Anda

Pengesanan awal penyakit buah pinggang amat penting untuk melambatkan penularan penyakit ini dan mencegah penyakit kardiovaskular yang berkaitan.

Buah pinggang adalah organ yang penting dalam badan. Meskipun saiznya kecil, hanya lebih kurang dua penumbuk tangan, buah pinggang kita mempunyai keupayaan untuk menapis bahan buangan daripada darah dan membantu membuang bendalir berlebihan.

Setiap hari, kira-kira 200 liter darah ditapis atau ‘dibersihkan’ oleh buah pinggang. Di samping itu, buah pinggang juga terlibat dalam penghasilan sel-sel darah merah, kawalan tekanan darah, kawalan keseimbangan asid-bes (alkali) dan penjagaan kesihatan tulang.

Jika terdapat keadaan tidak normal dalam buah pinggang, contohnya tahap protein melebihi paras normal atau terdapat kesan darah dalam air kencing atau jika fungsi buah pinggang merosot, besar kemungkinan kita menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Pada peringkat awal, penyakit buah pinggang tidak ketara kerana pesakit masih berasa sihat. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan jika ramai orang tidak sedar mereka mengalami masalah buah pinggang dan lama-kelamaan penyakit ini lebih teruk.

Hakikatnya, penularan penyakit buah pinggang kronik adalah lebih serius daripada yang kita sangkakan.

Kajian terhadap pelbagai bangsa di seluruh dunia menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada setiap 10 orang dewasa menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Di samping itu, penyakit buah pinggang kronik adalah ‘penyakit berganda’ kerana ia dikaitkan dengan peningkatan sekurang-kurangnya 10 kali ganda risiko kematian awal akibat penyakit jantung, strok dan penyakit vaskular periferal.

Fungsi renal atau ginjal adalah pada tahap optimum dengan dua buah pinggang yang sihat. Sedikit kemerosotan dalam kadar fungsi biasanya tidak memudaratkan.

Normal

Seseorang masih dapat menjalani hidup normal dengan hanya satu buah pinggang, yang memberikan 50 peratus fungsi renal.

Masalah kesihatan yang serius biasanya mula timbul apabila fungsi renal seseorang merosot hingga di bawah paras 30 peratus.

Apabila fungsi renal kurang daripada paras 10 hingga 15 peratus, peluang untuk hidup adalah tipis jika pesakit tidak menjalani rawatan penggantian fungsi ginjal seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Oleh kerana gejala yang ketara, penyakit buah pinggang hanya dapat dikesan pada peringkat lanjut, adalah penting untuk mengesan penyakit ini pada peringkat awal. Ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan kesihatan yang mudah dan berkala, khususnya ujian air kencing, darah dan tekanan darah.

Jika dikesan awal, penularan penyakit buah pinggang boleh dilambatkan dengan rawatan dan strategi pengurusan kesihatan yang betul. Pesakit diabetes, mereka yang mengalami tekanan darah tinggi, warga tua dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang hendaklah menjalani pemeriksaan secara tetap bagi mengesan penyakit buah pinggang kronik kerana mereka menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk diserang penyakit ini.

Mereka yang menghidap penyakit autoimun seperti lupus eritematosus sistemik (SLE), mempunyai berat badan berlebihan atau merokok, serta mereka yang mengambil ubat pelega kesakitan, seperti ubat anti-radang yang bukan steroid (NSAIDS) untuk jangka masa panjang, juga berdepan dengan risiko yang lebih tinggi untuk penyakit buah pinggang kronik.

Berikutan keputusan ujian darah dan air kencing, imbasan buah pinggang dan pemeriksaan lain mungkin dinasihatkan untuk menentukan punca kemerosotan fungsi buah pinggang.

Ini penting agar rawatan yang sebaik mungkin dapat diberikan kepada pesakit untuk mengekalkan fungsi buah pinggang dan secara tidak langsung, mencegah komplikasi kardiovaskular yang berkaitan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Monday, June 16, 2008

Hospital Kerajaan Di Negeri Sembilan

1) Negeri Sembilan Hospital Jelebu
71600 Kuala Kelawang


No. Telefon : 06-6136355
No. Fax : 06-6137531
Website : http://hjelebu.moh.gov.my


2) Hospital Jempol
Bandar Sri Jempol,
72120 Jempol

No. Telefon : 06-4592000
No. Fax : 06-4581086

3) Hospital Port Dickson
Km 11, Jalan Pantai
71050 SiRusa

No. Telefon : 06-6626333
No. Fax : 06-6625003

4) Hospital Tampin
Jalan Haji Ahmad Zainuddin
73009 Tampin

No. Telefon : 06-4411511
No. Fax : 06-4419610/4432827

5) Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah
72000 Kuala Pilah

No. Telefon : 06-4818002
No. Fax : 06-4818010


6) Hospital Tuanku Jaafar
Jalan Rasah
70300 Seremban

No. Telefon : 06-7623333/7684000
No. Fax : 03-7625771
Website :
http://www.htjs.gov.my

Bila Fenomena Makan Bola, Tidur Bola, Mandi Bola Melanda


Alat untuk memperbaiki kecederaan lutut.



















Bukan bertujuan menakut-nakutkan, artikel ini hanya sekadar ingin memberi maklumat mengenai perkara yang berkaitan dengan sukan nombor satu dunia, bola sepak. Kebetulan dalam keadaan demam bola sepak melanda seluruh dunia sejak Euro 2008 berlangsung minggu lalu.

Pastinya ramai peminat bola sepak tidak mahu ketinggalan menyaksikan perlawanan-perlawanan menarik dan ingin mengetahui siapa yang layak bergelar juara kali ini selepas Greek berjaya merangkulnya empat tahun lalu.

Menyimpang dari bercerita tentang perkembangan temasya berprestij itu, Kesihatan kali ini mengungkap dua perkara yang kadangkala berlaku di kalangan pemain bola sepak di tengah padang iaitu kecederaan dan juga kematian mengejut.

Kecederaan ketika bermain bola sepak adalah perkara biasa bagi pemain bola sepak profesional mahu pun amatur. Namun risikonya lebih tinggi terhadap mereka yang agak jarang atau hanya sesekali bermain bola sepak.

Kematian mengejut di padang pula merupakan keadaan yang jarang berlaku namun telah mencatatkan beberapa kes termasuk antara yang terbaru, pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, yang meninggal dunia secara mengejut ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe tahun lalu. Tentulah memeranjatkan apabila seorang atlet profesional yang masih muda dan tidak mempunyai sejarah berpenyakit menghembuskan nafas hanya kerana bersukan.

Bukan hanya menyerang pemain yang sedang beraksi di padang, serangan jantung mengejut juga boleh menyerang penonton bola sepak sama ada di kaca televisyen mahu pun di stadium.

Tentu kita masih ingat peristiwa seorang pemuda berusia dalam lingkungan 20-an yang jatuh rebah selepas menyaksikan satu perlawanan bola sepak ketika musim demam Piala Dunia tidak sampai dua tahun lalu.

Untuk mengupas isu minggu ini Kesihatan mendapatkan pandangan daripada dua doktor pakar dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Cedera Di Padang Bola

Pakar Ortopedik, Bedah Arthroskopi dan Cedera Sukan, Kol (B) Dr. Azmi Abd. Latif berkata, kecederaan ketika perlawanan bola sepak biasanya melibatkan bahagian buku lali, lutut, bahu dan tulang belakang.

“Ia bergantung kepada berapa agresif seseorang itu bermain, jika ia terlalu memaksa terutama ketika keletihan boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.

Namun katanya, kecederaan seperti ini sebenarnya boleh dielakkan dengan mengambil beberapa langkah. Antaranya, memastikan tahap kesihatan tubuh sebelum turun ke padang dan mengambil langkah perlindungan yang sewajarnya. Misalnya dengan memakai guard. “Sebelum bermain, lakukan juga pemanasan badan dan regangan. Pastikan diri kita tidak mengalami sebarang kecederaan atau penyakit serius. Akhir sekali, bermainlah mengikut kemampuan dan stamina sendiri serta jangan terlalu memaksa,” kata beliau.

i) Cedera bahagian buku lali

Menurut Dr. Azmi, kecederaan buku lali (footballer ankle) merupakan kecederaan paling kerap berlaku kepada pemain ketika di padang.

Jelasnya, ia berlaku bila wujud satu bahagian tajam (kapsul) di sudut tertentu apabila tekanan diberikan kepada tulang tersebut. Seterusnya menyebabkan tisu menjadi bengkak dan sakit, lalu pesakit mudah terpelecok ketika berjalan atau berlari.

Selain itu, boleh juga berlaku di mana ligamen antara buku lali terkoyak atau terkepit di bahagian depan. Ini menyukarkan pesakit untuk berlari.

“Ia biasanya disebabkan tekanan pada sendi terutama ketika menggelecek dan ini selalu berlaku kepada pemain tengah,” jelasnya.

Satu lagi keadaan yang menyebabkan kecederaan di bahagian buku lali berlaku di mana serpihan ligamen terkoyak atau tersepit di celah sendi.

Bila ini terjadi kata Dr. Azmi, rawatan yang dilakukan adalah dengan membersihkan bahagian yang berkenaan dan diperkemas melalui pembedahan arthroskopi sendi.

Katanya lagi, kecederaan pada bahagian ini mudah dirawat, di mana proses penyembuhan mengambil masa lebih kurang dua minggu. Selepas itu bekas pesakit tadi boleh bermain seperti biasa.

Menjawab pertanyaan sama ada kecederaan jenis ini akan berulang, katanya, amat tipis melainkan berlaku ligamen terkoyak dan longgar menyebabkan ia perlu diperbaiki (reconstruct).

Bekas pesakit katanya, boleh kembali bersukan seperti biasa, namun memerlukan sokongan atau pun perlindungan dengan memakai guard.

ii) Cedera bahagian lutut

Dr. Azmi berkata, yang paling biasanya berlaku adalah koyak ligamen cruciate. Ia boleh berlaku apabila pemain jatuh dengan kaki terlipat.

“Biasanya ia bukan disebabkan perlanggaran tetapi pemain terjatuh sendiri seperti terpelecok,” kata Dr. Azmi.

Jelas beliau lagi bunyi seperti ‘prak’ boleh didengari dengan jelas daripada pemain yang mengalami keadaan ini. Kesan daripada itu, menyebabkan lutut pemain membengkak serta merta dan dia tidak boleh meneruskan perlawanan.

Katanya, pesakit juga mengalami masalah menuruni anak tangga atau bukit dan tidak boleh jalan laju kerana rasa seperti lutut ‘tertinggal.’

“Keadaan ini berlaku kerana satu kaki yang mengalami kecederaan tidak berkuasa menongkat atau menampung badan. Namun, ia tetap boleh digerakkan dan melakukan gerakan lain seperti menendang.

Menurut beliau, kecederaan lutut perlu menjalani rawatan mekanikal yang memerlukan pembedahan arthroskopi ligamen reconstruction bagi menggantikan urat untuk menstabilkannya.

Urat daripada bahagian lutut pesakit yang masih baik digunakan atau pun menggunakan urat daripada perkhidmatan derma organ.

“Pesakit mengambil masa selama enam hingga 12 bulan untuk sembuh. Selepas sembuh, mereka mungkin mengalami masalah sampingan seperti tidak berani melompat, atau melangkah longkang yang agak besar secara automatik,” jelasnya.

Selain itu kata Dr. Azmi, kecederaan lain di bahagian lutut adalah maniskus di mana ia berlaku antara dua tulang.

“Bila ligamen terkoyak, ia menyebabkan lutut melekat dan tidak boleh digerakkan serta berasa sakit,” katanya.

Kecederaan jenis ini memerlukan pemeriksaan klinikal dan pengimejan resonan magnetik (MRI). Ia boleh dirawat juga dengan kaedah perbaiki dan perkemas bahagian yang berkenaan.

iii) Cedera bahagian bahu

“Biasanya ia berlaku kepada penjaga gol terutama ketika menangkap bola,” kata Dr. Azmi.

Ia juga boleh terjadi kepada pemain yang berlanggar sesama sendiri lalu jatuh bertongkatkan tangan.

Keadaan ini jelas beliau berlaku apabila urat di bahu terkoyak atau terkepit. Biasanya pemain tidak berasa sakit ketika kejadian namun ia perlahan-lahan terasa selepas dua atau tiga hari.

Apabila urat di bahagian ini terkoyak, pesakit tidak boleh mengangkat atau menongkat tangan. Jika tersepit pula, mereka tidak akan merasa sakit ketika bermain namun merasainya ketika berehat.

“Pesakit akan merasa lenguh bahu, kebas tangan dan kadang-kadang rasa sakit dari bahagian siku hingga pergelangan tangan, dada, tulang belikat dan tulang belakang.

“Sebenarnya apabila urat terkepit di bahu, otot akan menjadi lemah manakala kedudukan bahu akan jatuh ke bawah dan ke depan sedikit,” jelasnya.

iv) Cedera bahagian tulang belakang

Kecederaan bahagian ini berlaku apabila pemain jatuh terduduk menyebabkan hentakan kuat (hyperflexion).

“Ini menyebabkan disk pecah lalu menekan tulang menjadikan salah satu daripadanya patah. Bila ia menekan saraf, keadaan slip disk akan berlaku,” katanya.

Disebabkan saraf yang terdapat di bahagian tulang belakang ialah saraf ke bahagian kaki, pesakit akan berasa lenguh dan sakit di bahagian salah satu kaki.

Seandainya pecahan yang terjadi agak besar, lama-kelamaan ia menyebabkan simptom spinal stenosis.

“Ia menyebabkan tisu di bahagian tulang belakang menebal dan menekan saraf. Apabila ini berlaku, pesakit akan merasa sakit setiap kali berada dalam satu posisi untuk tempoh yang lama.

“Bila dia mengubah posisi baru akan berasa lega,” jelasnya. Pesakit yang mengalami masalah ini perlu menjalani pembedahan untuk memastikan saraf tidak terhimpit.

Sekiranya pecahan disk terlalu kecil, pesakit hanya perlu mengambil ubat tahan sakit dan menjalani rawatan fisioterapi.

Mati Mengejut Di Padang

Pakar Kardiologi, Dr. Azar Azman Abu Bakar berkata, serangan jantung mengejut boleh berlaku kepada bukan sahaja pemain bola sepak malah sukan yang melibatkan impak tinggi seperti ragbi, badminton dan tenis.

“Biasanya ia berlaku kepada aktiviti yang memerlukan pecutan kemudian berhenti secara mengejut,” katanya.

Kata beliau lagi, statistik menunjukkan serangan jantung kerap berlaku kepada pemain terutama ketika musim perlawanan.

Punca-Puncanya:

1) Hipertropik Kardiomiopati – Penebalan otot jantung disebabkan oleh kegiatan sukan yang berterusan dan / atau masalah kelainan genetik; risiko masalah rentak jantung ventrikular. Kata Dr. Azar, ia berlaku apabila seseorang itu melakukan sesuatu kegiatan lebih daripada biasa seperti tenaga yang dikerah ketika perlawanan. Masalah ini juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik daripada kecil. Menurut beliau, 26 peratus daripada kematian mengejut berpunca daripada masalah ini berlaku kepada ahli sukan.

2) Komotio Kordis – Berlaku ketika perlanggaran terutama di bahagian dada. Jika dilihat, pemain tidak mengalami kecederaan namun jantungnya telah bergegar. Peratus survival hanya 15 peratus.

3) Ketidaknormalan arteri koronari – Kelainan perjalanan pembuluh darah jantung sejak lahir; risiko mendapat iskemia dan aritmia. Keadaan ini menyebabkan darah tidak cukup lalu pemain boleh rebah.

4) Miokarditis – Radangan otot jantung contohnya disebabkan oleh jangkitan virus; risiko mendapat kegagalan jantung dan aritmia

5) Sindrom Marfan – kelainan genetik di mana terdapat kelemahan pada dinding pembuluh darah aorta dan risiko pecahan dinding tersebut. Biasanya berlaku kepada mereka yang bersusuk tubuh tinggi seperti pemain bola keranjang. Terdapat kes di mana pemain mati mengejut di padang.

6) Kardiomiopati ventrikal kanan arrithmogenik – Kelainan genetik melibatkan masalah rentak jantung ventrikular

7) Arteri koronari rentang – Kelainan otot jantung menyebabkan pembuluh darah koronari terhimpit semasa degupan jantung

8) Stinosis injap aortik – Penyempitan injap jantung aortik disebabkan masalah kongenital (injap bikuspid) atau komplikasi jangkitan rheumatik

9) Penyakit arteri koronari artherosklerotik – Pembunuh perubatan nombor satu di mana terdapat penyempitan / sumbatan pembuluh darah koronari. Kejadian serangan jantung atau rentak jantung (ventrikular artmia) boleh berlaku spontan terutama dalam keadaan stres fizikal atau emosi.

Lazimnya terjadi pada seseorang yang mempunyai risiko seperti sejarah keluarga, merokok dan sebagainya. Kebelakangan ini semakin ramai pesakit yang usia muda (lelaki dan perempuan) mengalami masalah ini disebabkan gaya hidup yang tidak sihat.

10) sindromLong QT – Masalah genetik menyebabkan masalah rentak ventrikular yang tidak normal

11) Arteri serebral pecah – Masalah aneurysm pembuluh darah otak yang tidak diketahui ada yang pecah semasa dalam keadaan stres.

Menurut Dr. Azar, ahli sukan berusia 35 tahun ke atas terdedah kepada risiko serangan jantung lebih tinggi. Namun ia juga bergantung kepada tahap kesihatan seseorang seperti paras kolestrol atau menghidap penyakit jantung koronari.

Kata beliau, bagi negara Itali dan Amerika Syarikat, mereka mempunyai ujian penyaringan persediaan untuk atlet sebelum terlibat dengan sesuatu perlawanan. Biasanya ia memerlukan ujian ElektroKardioGram (ECG).

“Setelah dipastikan kesihatan berada di tahap sepatutnya, barulah pemain tersebut dibenarkan bermain,” katanya.

Seandainya pemain itu bermasalah di peringkat ujian ECG, mereka perlu pula menjalani ujian selanjutnya iaitu ujian stres.

Selain persediaan pemain, Dr. Azar juga menggalakkan semua orang terutamanya mereka yang berada di padang supaya tahu melakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR).

Katanya, di Malaysia kesedaran tentang pentingnya CPR amat rendah.

“Sebenarnya bantuan CPR boleh meningkat peratus survival mangsa hingga 43 peratus berbanding 22 peratus dengan hanya menunggu mangsa dibawa ke hospital,” ujarnya.

Sebagai tambahan, alat Automated External Defibrillatoraed (AEB) patut dimiliki oleh semua stadium bagi memberi bantuan kecemasan kepada mangsa yang rebah akibat serangan jantung.

“Alat ini mudah dibawa dan digunakan. Sesiapa saja boleh melakukannya. Saya amat berharap agar semua stadium, tempat kunjungan ramai seperti lapangan terbang, kompleks membeli belah dan pejabat korporat di negara ini memiliki AED sebagai kemudahan tambahan,” katanya.

Menurut beliau peratus survival bagi penggunaan AED adalah kurang 25 peratus dalam masa empat hingga lima minit selepas serangan manakala kurang 10 peratus dalam masa lebih 10 minit.

Kesimpulannya kata Dr. Azar, kajian yang dilakukan American Health Association (AHA) menunjukkan ahli sukan mempunyai 2.5 kali ganda risiko serangan sakit jantung berbanding mereka yang tidak bersukan.

“Dua kes dilaporkan berlaku daripada setiap 100,000 pemain,” katanya.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Sunday, June 15, 2008

Perut Buncit Berisiko Mati Awal?


PERUT buncit antara masalah yang kerap dihadapi lelaki mahupun wanita. -











Kegemukan merupakan antara masalah lazim yang dialami oleh ramai wanita di negara ini dan di seluruh dunia.
Masalah tersebut bukan saja menggambarkan amalan pemakanan seseorang yang tidak betul, bahkan lebih buruk ia kerap diiringi dengan pelbagai penyakit termasuk jantung dan darah tinggi.

Dalam pada itu, kajian terbaru mendapati bahawa wanita mempunyai ukur lilit pinggang yang besar mempunyai risiko meninggal dunia lebih awal berbanding dengan mereka yang mempunyai ukur lilit pinggang yang lebih kecil.

Kajian yang dibuat oleh Universiti Harvard dan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat, menunjukkan wanita yang berpinggang besar lebih cenderung untuk menghidap penyakit yang berkaitan jantung ataupun kanser, walaupun hakikatnya mereka mempunyai berat badan yang ideal dengan ketinggian mereka.

Terdapat kajian sebelum ini yang menunjukkan pengumpulan lemak di bahagian pinggang sebenarnya meningkatkan risiko penyakit.

Untuk menjalankan kajian ini, para penyelidik telah membuat analisis data daripada lebih 44,000 orang wanita diikuti dengan sejarah kesihatan lebih 1,000 jururawat berdaftar di 11 negeri.

"Seperti apa yang dapat diperoleh daripada kajian NIH Obesity Research Task Force, kesan cabaran akibat obesiti, penemuan terbaru menunjukkan bahawa penyelidikan dapat memainkan peranan dalam pemahaman tentang risiko obesiti," jelas Pengarah NIH, Elias A. Zerhouni.

Kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian tersebut diketuai oleh Cuilin Zhang dari NIH, Eunice Kennedy Shriver dari Institut Kesihatan Kebangsaan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia (NICHD).

Dana untuk menjalankan kajian ini pula diperoleh daripada NIH, Institut Kanser Kebangsaan dan Institut Diabetis, Pencernaan dan Buah Pinggang Kebangsaan. Kajian ini disokong oleh Institut Darah, Paru-paru dan Jantung Kebangsaan. Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam Internet menerusi laman web Circulation.

Semakin hari semakin banyak bukti yang mengaitkan lemak berlebihan di abdomen dengan risiko penyakit diabetes dan jantung. Bagaimanapun perkaitan antara obesiti di bahagian abdomen dengan risiko kematian masih belum dikaji secara meluas.

Kajian terkini menunjukkan bahawa kegemukan di abdomen ada kaitan dengan kematian awal.

Para penyelidik yang menjalankan kajian terhadap 44,000 wanita telah mengikuti rekod sejarah kesihatan dan gaya hidup mereka.

Disebabkan majoriti daripada wanita yang mengambil bahagian dalam kajian itu ialah wanita kulit putih, para penyelidik tidak begitu pasti sama ada hasil kajian mereka boleh digunapakai untuk wanita mahupun lelaki daripada bangsa lain.

Semua wanita yang terlibat dalam kajian pula terdiri daripada jururawat berdaftar. Pada awal kajian dibuat, mereka diminta untuk mengukur ukur lilit pinggang dan paha mereka.

Setiap dua tahun, kumpulan wanita ini diminta untuk mengisi borang kaji selidik tentang kesihatan mereka, memberikan maklumat tentang umur, tahap aktiviti luar, status merokok, diet, tekanan darah dan paras kolesterol.

Para penyelidik ini turut mengkaji punca kematian bagi wanita yang didapati meninggal dunia ketika tempoh kajian ini berlangsung iaitu sebanyak 3,507 kematian dan daripada jumlah itu 1,748 diakibatkan oleh kanser, manakala 751 kerana penyakit berkaitan jantung.

Para penyelidik turut mendapati bahawa wanita yang mempunyai lemak berlebihan di pinggang lebih berisiko untuk mati lebih awal kerana komplikasi jantung berbanding dengan mereka yang berpinggang kecil.

Sebagai contoh, wanita yang bersaiz pinggang sama atau lebih daripada 35 inci dianggarkan untuk meninggal lebih dua kali lebih awal kerana penyakit jantung berbanding dengan wanita yang bersaiz pinggang 28 inci sahaja (mengenepikan indeks berat badan). Sama juga risiko bagi mereka ini untuk meninggal akibat kanser.

Pada masa yang sama, wanita yang mengalami obesiti turut berisiko untuk berhadapan maut lebih awal daripada usia yang sepatutnya.

Menurut para penyelidik, obesiti ditentukan menerusi indeks berat badan (BMI) yang mengukur kesesuaian antara ketinggian seseorang dengan berat badan mereka.

BMI antara 18.5 dikategorikan berat badan yang ideal dan sihat, manakala BMI 30 hingga 39.9 adalah obes.

Saiz ukur lilit pinggang wanita yang lebar adalah tanda pengumpulan lemak berlebihan pada bahagian depan perut, istilah ini dipanggil abdominal obesity.

Menurut kajian Panduan Klinikal Untuk Mengenalpasti, Memerhati dan Rawatan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Kalangan Orang Dewasa, saiz had pinggang yang sihat ialah 35 inci bagi wanita dan lelaki 40 inci. Saiz ukur lilit pinggang ini boleh diukur keliling pinggang dari paras pusat.

Menurut Dr. Zhang, dalam tahun 2004 lebih daripada satu setengah orang dewasa Amerika mengalami abdominal obesity.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Artikel dari laman web www.nih.gov

Kanser Payudara Pembunuh Utama

Putrajaya 9 Jun - Sebanyak 31 peratus pesakit kanser wanita di negara ini terdiri daripada pesakit kanser payu dara yang menjadikan kanser itu kekal sebagai pembunuh utama wanita.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, peningkatan kanser tersebut bukan sahaja dikesan di negara ini tetapi berlaku di seluruh dunia.

''Berdasarkan statistik pada 2003, sebanyak 3,738 kes baru untuk kanser payu dara telah dilaporkan di negara ini.

''Di peringkat dunia pula, 1.05 juta wanita menghidap kanser payu dara setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kemas Kini Patologi Payu Dara di Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, hanya 20 peratus pesakit kanser payu dara menerima rawatan awal sekali gus menyebabkan ramai pesakit gagal disembuhkan.

''Jika pesakit menerima rawatan pada peringkat awal maka peluang sembuh adalah mendekati 100 peratus.

''Jika pesakit menerima rawatan selepas kanser merebak ke bahagian badan lain, peluang sembuh adalah kurang daripada 50 peratus," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan wanita yang berumur 20 tahun ke atas menjalankan ujian sendiri dari semasa ke semasa.

''Wanita berumur 30 tahun ke atas juga dinasihatkan supaya menjalankan ujian di pusat perubatan setiap tahun,'' katanya.

Kata beliau, rawatan untuk pesakit payu dara boleh diperolehi di 55 hospital kerajaan manakala empat hospital iaitu di Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Bahru menyediakan pembedahan 'endocrine' untuk pesakit.

''Buat masa ini, kita mempunyai enam pakar untuk pembedahan ini manakala enam lagi sedang menjalankan latihan," katanya.

Tambahnya, hospital kerajaan mempunyai 60 ahli patologi anatomical dan seorang daripadanya merupakan pakar dalam patologi payu dara.

''Pakar patologi payu dara ini ditempatkan di Hospital Putrajaya," katanya.

Wanita Dan Penyakit Tiroid

Tiroid adalah satu kelenjar yang terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan. Penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian-bahagian badan dan juga merbahaya untuk kesihatan.

Penyakit tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah.

Kelenjar Tiroid

Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3).

Hormon-hormon ini mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi-fungsi badan yang dipanggil metabolisma.

Meningkatnya hormon-hormon ini bermakna metabolisma badan meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan.

Dengan metabolisma yang tinggi, anda mungkin berasa panas dan begitulah sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan anda berjalan pada kadar yang selamat dan berkesan.

Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid.

Apabila hormon tiroid banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, penyakit hipotiroidisma pula berlaku.

Penyakit kencing manis juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid.




Diagnosis Penyakit Tiroid

Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga rungutan tertentu yang boleh digunakan untuk diagnosis penyakit tiroid.

Anda juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan.

Kulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.

Penyakit Hipotiroidisma

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid anda tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya.

Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.

Lazimnya, penyakit hipotiroidisma ini disebabkan oleh keradangan pada kelenjar tersebut, dipanggil tiroiditis.

Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto. Penyakit autoimun ini merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.

Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja dengan lebih kuat.

Akibatnya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil sebagai goiter. Lama kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

Cara pemakanan yang tidak betul juga boleh menyebabkan hipotiroidisma (rujuk pada intisari makanan yang mempunyai kandungan iodin).

Simptom hipotiroid dengan perlahan-lahan akan dirungutkan dan sebab itu juga anda mungkin tidak mempunyai rungutan berbulan-bulan dan juga mungkin bertahun-tahun lamanya walaupun menghidap penyakit hipotiroidisma.

Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma. Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin anda mempunyai penyakit-penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan.

Hormon tiroid akan diberikan kepada anda supaya paras hormon tiroid badan kembali normal dan terdapat kemungkinan anda terpaksa mengambil hormon ini selama-lamanya.

Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala dan ujian darah mungkin dilakukan.

Hipertiroidisma

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid anda mengeluarkan hormon secara berlebihan. Ini menyebabkan metabolisma badan meningkat. Penyakit ini lazimnya berlaku pada wanita sekitar umur 20 hingga 40 tahun.

Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar ini. Biasanya mata mereka yang menghidapi penyakit ini akan kelihatan seperti mata ikan emas!

Selain itu, ubat yang diambil untuk penyakit hipotiroid juga mungkin menyebabkan hipertiroid, jadi pengawasan doktor amatlah penting.

Penyakit hipertiroid ini boleh juga menyebabkan ‘ribut tiroid’ terutamanya apabila anda mengalami masalah kesihatan lain yang akut. Ribut tiroid ini menyebabkan anda mendapat demam, peningkatan degupan jantung, dan juga perubahan fungsi otak seperti kekusutan pemikiran, sawan, cemas keterlaluan dan mungkin juga menyebabkan koma.

Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat untuk mengurangkan degupan jantung juga mungkin perlu diberikan.

Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan dengan niat untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid anda. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan yang boleh membantu.

Sekiranya anda mendapati adanya bengkak kecil iaitu nodular pada kelenjar tiroid, pemeriksaan perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada ianya kanser ataupun masalah nodular biasa.

Pemeriksaan ultrasound dan juga biopsi ataupun aspirasi menggunakan jarum perlu dilakukan. Rawatan lanjut akan dibincangkan doktor dengan anda semasa lawatan kesihatan susulan.

Penyakit Tiroid Semasa Mengandung

Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.

Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubatnya secara berkala di samping ujian darah dan juga ujian-ujian lain yang difikirkan perlu.

Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit-pesakit semasa mengandung. Ada juga sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin.

Ini dipanggil sebagai postpartum tiroiditis. Lazimnya paras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke paras normal dengan pantas. Namun, ada segelintir daripada ibu terbabit yang mungkin akan mengalami hipotiroidisma pada masa hadapan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa ujian pengesanan ataupun ujian darah hormon-hormon tiroid bukan merupakan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.


Ditulis oleh:
Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, June 13, 2008

Salah Faham "Demam Pematah Tulang"


TELUR, jentik-jentik dan nyamuk dewasa Aedes boleh menyebabkan merebaknya jangkitan virus denggi dan meningkatnya kes demam denggi.


















Dikenali sebagai demam 'pematah tulang' atau 'pematah tulang belakang', demam denggi pernah dianggap penyakit akibat ilmu hitam akibat satu simptomnya menyebabkan sakit di dalam tulang, seperti akan meletup.

Namun, tahukah anda terdapat empat peringkat demam denggi; cirit-birit merupakan antara simptom demam denggi dan bukan semua pesakit denggi perlu dimasukkan ke wad?

Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Kol (B) Dr. Abdul Rahman Mohd Ali menjelaskan, virus punca demam denggi dan denggi berdarah tergolong dalam kumpulan Arbovirus dan terdiri daripada empat jenis (serotype).

"Empat jenis virus denggi ini dikelaskan sebagai DEN 1, 2, 3 dan 4 yang kesemuanya boleh menyebabkan jangkitan yang tenat dan berpotensi membawa maut.

"Kesemua empat jenis virus denggi ini juga boleh menyebabkan demam denggi berdarah tetapi lebih kerap dengan jenis DEN 2, diikuti jenis 4, 3 dan 1," katanya.

Menurut beliau, jangkitan salah satu serotype virus denggi akan memberikan pesakit perlindungan imuniti seumur hidup terhadap jenis virus tersebut dan juga imuniti jangka pendek (dua hingga empat bulan) terhadap serotype lain.

Dr. Abdul Rahman turut mendedahkan kesemua virus denggi turut mengalami mutasi genetik yang menghasilkan variasi dalam jenis virus yang sama.

"Mutasi yang berlaku sekali setiap tiga atau empat tahun membolehkan virus tersebut 'menukar baju' dan menyebabkan badan pesakit tidak dapat mengenalinya walaupun pernah dijangkiti jenis virus sama sebelum ini.

"Segelintir variasi virus tersebut lebih ganas dan berpotensi menyebabkan berlakunya wabak besar denggi dari semasa ke semasa," jelasnya.

Kata beliau, manusia adalah perumah semulajadi virus denggi dengan tempoh eraman antara tiga hingga 14 hari selepas digigit nyamuk, di mana virus membiak dalam hati dan nodus limfa pesakit.

Tambahnya, fasa demam akan bermula selepas tempoh eraman berakhir, apabila virus memasuki darah dan menyerang sel darah putih (WBC) dan platlet. Demam biasanya berlaku antara empat ke enam hari selepas digigit nyamuk tetapi pesakit biasanya kembali pulih antara tujuh ke 10 hari kemudian. Simptom denggi bagaimanapun boleh berpanjangan sehingga sebulan walaupun sudah tidak demam.

Pemeriksaan Dan Rawatan

Semua pengidap demam denggi boleh mengalami peringkat denggi dengan demam biasa yang melarat kepada DDB atau DSS, mengikut ketahanan badan, bentuk jangkitan dan jenis virus. Selain itu, diagnosis denggi juga perlu membezakannya dengan simptom hampir serupa penyakit lain seperti selesema, campak, malaria, demam kepialu dan demam berdarah virus.

Pemeriksaan klinikal denggi melibatkan ujian tekanan darah, bukti pendarahan pada kulit atau bahagian badan lain, kandungan air di dalam badan yang cukup, dan bukti kebocoran atau pendarahan dalaman. Ujian dijalankan termasuk:

l Ujian Tourniquet - menggunakan alat menguji tekanan darah dan stetoskop; lebih 20 bintik merah atau hitam timbul.

l Ujian makmal - seperti kiraan sel darah dan platelet, kepekatan darah, albumin, ujian fungsi hati dan ujian kehadiran darah dalam air kencing.

l Ujian khusus denggi - ujian mengenalpasti virus atau ujian serologi. Ujian khusus dapat menentukan bentuk jangkitan virus denggi dengan mengesan antibodi IgG dan IgM. IgM dihasilkan jika jangkitan baru berlaku, di bawah dua minggu. Selepas dua minggu pulih, pesakit akan membentuk antibodi memori (IgG) pula untuk menentang jenis virus yang sama kelak (perlindungan kekal).

Menurut Dr. Abdul Rahman, tiada rawatan khusus untuk jangkitan denggi dan selalunya doktor hanya dapat memantau perkembangan pesakit dan merawat simptom atau komplikasi yang timbul.

"Untuk demam denggi biasa, pesakit hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tidak perlu dimasukkan ke wad.

"Pesakit demam denggi klasik pula akan diperiksa tahap kepekatan darah (hematokrit) dan platletnya sebelum ditentukan perlu masuk wad atau tidak," ujar beliau.

Menurutnya lagi, peningkatan hematokrit, dehidrasi (badan kurang air) dan tahap platlet rendah (di bawah 100,000 sel/milimeter padu) akan memerlukan pesakit dimasukkan ke wad untuk pemantauan.

Tambah beliau, kemasukan wad juga bergantung kepada kekosongan katil di hospital memandangkan pesakit denggi berdarah dan DSS lebih memerlukan pemantauan dan rawatan rapi.

Mengikut pengalaman beliau, Dr. Abdul Rahman menjelaskan secara purata empat atau lima pesakit denggi dimasukkan ke wad DEMC setiap hari.

"Pesakit dimasukkan ke wad selama tiga hingga empat hari untuk pemantauan sahaja melalui ujian darah setiap hari dan juga dimasukkan air jika badan pesakit kurang air.

"Kebiasaannya, ujian darah pada hari ketiga pesakit demam akan menunjukkan jika mula menjurus kepada denggi berdarah dan perlu dimasukkan wad," katanya.

Beliau menjelaskan transfusi platlet perlu diberikan jika bacaan platlet pesakit di bawah 20,000 sel/milimeter padu dan terdapat tanda-tanda pendarahan.

Tambahnya, bila pesakit mencapai tahap renjatan (DSS), pemindahan darah dan komponen darah lain perlu dilakukan mengikut keadaan pesakit.

Menurut Dr. Abdul Rahman, pesakit denggi tidak akan menghadapi kesan jangka panjang kecuali jika terdapat komplikasi pada otak atau jantung. Pesakit juga hanya perlu diasingkan mengunakan kelambu sehingga pulih dari demam bagi mengelakkan virus disebar nyamuk.

Pencegahan

Buat masa ini, tiada lagi vaksin yang berkesan memberi perlindungan terhadap keempat-empat jenis virus denggi, ditambah pula masalah mutasi berterusan virus berkenaan menyebabkan vaksin sukar dihasilkan.

Dr. Abdul Rahman menjelaskan, kawalan terhadap vektor pembawa virus denggi merupakan pilihan terbaik untuk mengawal penularan virus denggi.

"Orang ramai perlu mengambil langkah proaktif menghapuskan jentik-jentik dan nyamuk dewasa bagi mengawal penularan wabak denggi.

"Selain menghapuskan tempat pembiakan, tabiat diri juga perlu diubah. Kurangkan berada di luar pada waktu nyamuk aktif, terutamanya dengan pakaian yang tidak melitupi tangan dan kaki, serta hapuskan habitat pembiakan nyamuk Aedes," tegas beliau.

Antara situasi membimbangkan yang diketengahkan Dr. Abdul Rahman adalah amalan kanak-kanak menunggu bas pada waktu nyamuk paling aktif (awal pagi) dengan pakaian seragam berlengan pendek atau seluar pendek.

Beliau menegaskan amalan sebegini meningkatkan risiko jangkitan denggi dan mungkin tiba masanya sedikit penyesuaian dibuat untuk mengelakkan anak-anak menjadi mangsa denggi.

Bagi Dr. Abdul Rahman, masalah denggi pada asasnya merupakan satu masalah persekitaran dan 'rawatan' pada persekitaran lebih berkesan dalam mengawalnya.

"Nyamuk Aedes hanya hidup antara 15 hingga 65 hari sahaja dan cuma dapat terbang sekitar 200 meter dari habitatnya. Jadi, tempat bertelurnya tentu berhampiran. Telurnya pula akan menetas menjadi jentik-jentik dalam tujuh ke 10 hari.

"Apa yang membimbangkan, telur nyamuk boleh bertahan sehingga 100 hari jika takungan air mengering di bawah cuaca panas terik. Telur ini hanya akan mati jika berada dalam suhu bawah 10°C," jelasnya.

Ditambah pula dengan hujan tidak menentu dan berpanjangan akibat pemanasan global, beliau tidak menolak kemungkinan denggi tidak lagi mengikut musim dan lebih kerap berlaku.

Walaupun demam denggi berdarah jarang berlaku, Dr. Abdul Rahman mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah perkara tersebut memandangkan kebanyakan pesakit denggi berdarah adalah kanak-kanak dan golongan muda.

Pemanasan global juga telah membolehkan denggi terus merebak ke hemisfera utara bumi melalui kawasan pembiakan nyamuk yang semakin luas, sehingga ke negara-negara beriklim sejuk di Eropah. Nyamuk dewasa juga semakin 'pandai' menumpang sistem pengangkutan manusia untuk berpindah ke kawasan baru, termasuk menaiki lif untuk mencari mangsa yang tinggal di tingkat atas bangunan tinggi.

Denggi boleh membunuh! Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memerangi denggi. Kembalikan amalan kerjasama bergotong-royong menjaga kawasan perumahan bagi mengelakkan nyamuk membiak dan menyebarkan virus denggi.

Kita tidak sepatutnya mementingkan diri dan melihat hanya pada statistik dan kos. Ingatlah penambahan satu angka kematian itu sudah terlalu tinggi untuk ditanggung jika keluarga atau diri anda sendiri menjadi mangsa denggi seterusnya.


Ditulis oleh:
Kol (B) Dr Abdul Rahman Mohd Ali
Pakar Perubatan Am dan Kardiologi,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Minyak Ikan Untuk Kesihatan Jantung

SOALAN:
Saya menghidap tekanan darah tinggi sejak beberapa tahun, tetapi baru-baru ini saya juga disahkan mengalami artritis reumatoid. Ahli farmasi menyarankan saya mengambil minyak ikan sebagai makanan tambahan setiap hari. Apakah kepentingan minyak ikan untuk masalah kesihatan saya dan adakah tip lain yang boleh diamalkan?

JAWAPAN:
Minyak ikan yang diekstrak daripada daging ikan marin mengandungi asid lemak omega-3 yang terdiri daripada Asid eikosapentanoik (EPA) dan Asid dokosaheksanoik (DHA) yang berperanan penting dalam mencegah penyakit jantung, kesihatan penglihatan, otak serta fungsi saraf.

Bagi mereka yang mengalami masalah berkaitan keradangan, pengambilan asid lemak omega-3 membantu kerana ia mempunyai aktiviti antiradang seperti yang banyak dialami oleh penghidap artritis.

Artritis reumatoid boleh diburukkan dengan alahan dan sensitif terhadap makanan. Ramai di kalangan penghidap artritis reumatoid akan menjadi lebih teruk apabila mereka makan makanan yang mendatangkan alahan.

Oleh yang demikian, mengelak daripada mengambil makanan tersebut adalah langkah terbaik.

Walaupun pada permulaannya senaman mungkin boleh menyakitkan, namun senaman ringan seperti berenang, berjalan atau aktiviti regangan juga boleh membantu.

Selain itu, jauhi merokok kerana ia boleh menyebabkan penghasilan radikal bebas yang merosakkan. Pengurangan berat badan pula akan meringankan tekanan ke atas sendi yang menampung berat badan.

Kepentingan minyak ikan kepada masalah tekanan darah adalah disebabkan oleh kesan pencairan darah yang membantu merendahkan tekanan darah.

Dengan pengambilan omega-3, ia boleh membantu merendahkan kedua-dua tekanan sistolik (darah dipam daripada jantung ke sel) dan tekanan diastolik (darah dipam daripada sel-sel ke jantung).

Dengan itu, ia mengelakkan pembekuan darah yang boleh menyumbatkan saluran darah serta mengurangkan tekanan darah tinggi.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Thursday, June 12, 2008

Hospital Kerajaan di Melaka

1) Melaka Hospital Alor Gajah
78000 Alor Gajah

No. Telefon : 06-5562333/5561400
No. Fax : 06-5567392

2) Hospital Jasin
77000 Jasin

No. Telefon : 06-5294262
No. Fax : 06-5295262
Website : http://hjasin.moh.gov.my

3) Hospital Melaka
Jalan Mufti Haji Khalil
75400 Melaka

No. Telefon : 06-2822344
No. Fax : 06-2841590

Tuesday, June 10, 2008

Milk Thistle Dan Dandelion Untuk Masalah Kolesterol

SOALAN:
Saya kini berusia 40 tahun dan mempunyai masalah berat badan berlebihan dan kolesterol tinggi. Doktor menasihati saya agar mengurangkan berat badan dan mengubah diet dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, seperti lebih aktif secara fizikal kerana saya juga berisiko untuk mengalami masalah kesihatan lain. Apakah yang boleh dicadangkan untuk diambil untuk membantu masalah saya ini?


JAWAPAN:
Untuk mengurangkan berat badan, salah satu aspek penting adalah dengan meningkatkan aktiviti fizikal iaitu senaman. Jadikan senaman sebagai rutin harian atau setidak- tidaknya tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 45 minit setiap sesi.

Sebenarnya senaman bukan sahaja akan membakar 100 lebih kalori untuk setiap batu kita berjalan, tetapi juga meningkatkan kadar metabolik dan dengan itu tubuh akan membakar kalori dengan lebih cepat.

Kajian juga menunjukkan ia masih mampu membantu membakar lemak dengan kadar yang lebih cepat selepas beberapa jam bersenam.

Senaman aerobik pula bermanfaat dalam meningkatkan kadar pernafasan dan membuka saluran darah, manakala gabungan dengan amalan diet yang sihat tentunya memberi kesan yang lebih baik dalam mengimbangkan kolesterol HDL (kolesterol bermanfaat) dan LDL (kolesterol berbahaya).

Pengumpulan toksin dalam badan juga memberi sumbangan kepada kesukaran menurunkan berat badan. Ini diburukkan dengan masalah pembuangan air besar yang tidak lancar.

Dalam masalah ini, kesihatan hati juga memainkan peranan besar. Kemerosotan fungsi hati akan menjejaskan keupayaan hati menyingkirkan toksin dan juga mengganggu metabolisme kolesterol.

Secara tradisional, Milk Thistle digunakan untuk membantu merangsang kesihatan hati. Manakala herba Dandelion membantu penghadaman dengan merangsang penghasilan hempedu oleh hati.

Kombinasi Milk thistle dan Dandelion bermanfaat untuk merangsang detoksifikasi, iaitu penyingkiran toksin daripada badan dan juga merangsang sistem penghadaman yang lebih baik. Melalui detoksifikasi ini ia memberi manfaat kepada masalah kelesuan, sembelit dan juga kesihatan kulit.

Pengambilan suplemen lain seperti lesitin yang kaya dengan fosfatidil kolina juga memberi manfaat. Ini kerana lesitin juga berkeupayaan untuk meningkatkan kelarutan kolesterol dan pemecahan lemak yang terkumpul dalam saluran darah.


Dipetik dari:

http://www.utusan.com.my

Suplemen Untuk Diabetes

SOALAN:
Ibu saya telah menghidap diabetes lebih daripada 10 tahun dan mengambil ubat- ubatan seperti yang disarankan doktor. Namun agak sukar baginya untuk mengekalkan paras gula, yang mungkin juga berpunca daripada pemakanan yang tidak begitu terkawal.

Kini, ibu kerap mengadu yang beliau kerap merasa kebas dan rasa seakan mencucuk-cucuk di bahagian kaki. Ibu juga sering kelesuan dan tidak bermaya. Apakah pemakanan tambahan yang boleh membantunya?


JAWAPAN:
Bagi penghidap diabetes, penjagaan makanan adalah merupakan rawatan paling asas dalam menangani diabetes. Oleh itu patuhilah panduan yang disarankan doktor. Bijirin penuh, sayur-sayuran juga membantu dalam pengawalan gula darah.

Antara herba yang sesuai untuk diamalkan oleh penghidap diabetes adalah Fenugreek (Halba), Biter melon atau peria, gymnema dan juga holy basil.

Gabungan herba-herba ini didapati membantu dengan mengurangkan penyerapan glukosa dalam usus, menahan rasa manis daripada makanan serta merangsang penghasilan insulin.

Rasa kebas dan mencucuk-cucuk pada bahagian kaki juga menjadi simptom kepada kerosakan saraf atau diabetik neuropati.

Peningkatan paras gula yang tidak terkawal dalam tempoh yang lama juga meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi lain seperti penglihatan yang semakin kabur, kerosakan buah pinggang, luka yang sukar sembuh yang menjurus kepada jangkitan dan pemotongan anggota badan, serangan jantung dan juga strok.

Asid alfa lipoik boleh ditambah sebagai suplemen harian kerana ia juga meningkatkan fungsi insulin serta mengurangkan kerintangan insulin dalam usaha mengawal glukosa darah dan mengurangkan kerosakan saraf akibat diabetes.

Ia juga melindungi sel hati daripada kerosakan radikal bebas dan membantu vitamin B dalam penghasilan tenaga daripada metabolisme karbohidrat, protein dan lemak.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Jenis Demam Denggi

Terdapat empat bentuk demam denggi dan bukan semuanya membahayakan dan akan membunuh.

(1) Denggi Dengan Demam Biasa

Demam denggi jenis ini merupakan yang paling kerap berlaku dengan simptom demam seakan-akan selesema dan bertahan selama satu hingga dua hari sahaja. Pesakit juga tidak mengalami tanda-tanda lain demam denggi klasik dan kebiasaannya pesakit sendiri tidak mengetahui dirinya dijangkiti virus denggi.

(2) Demam Denggi Klasik

Pesakit yang menghidap bentuk demam denggi ini akan mengalami demam yang tinggi secara tiba-tiba, dengan suhu badan boleh mencecah 40°C. Pesakit juga akan berasa sakit serta sengal pada sendi di seluruh badan di samping sakit kepala dan sakit di dalam bebola mata. Rasa mual, muntah- muntah, pedih ulu hati dan senak perut, hilang selera makan dan cirit birit pula adalah antara simptom denggi yang sering diabaikan pesakit dan dianggap sebagai masalah kesihatan biasa. Pesakit juga akan mengalami ruam kemerahan dan gatal-gatal yang mula timbul pada hari ketiga atau keempat selepas mula demam.

(3) Demam Denggi Berdarah (DDB)

Demam denggi jenis ini menjadi antara penyakit paling digeruni tetapi ia sebenarnya jarang berlaku dan hanya lima peratus daripada pesakit DDB yang meninggal dunia. Malangnya, ia juga lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak dan golongan muda akibat jangkitan berulang virus denggi dari jenis yang berbeza. Pesakit biasa mendapat DDB antara hari ketiga hingga ketujuh demam, bermula dengan tanda pendarahan pada gusi, hidung, mata, kencing berdarah, najis berdarah (hitam seperti tar jalan), muntah atau batuk berdarah dan pendarahan pada kulit (bintik hitam atau lebam).

Pesakit juga mungkin mengalami pendarahan dalaman dengan tanda takungan darah dalam abdomen atau lapisan pleura paru-paru. Ini berlaku akibat saluran darah yang lusuh (darah keluar ke tisu, pleura dan abdomen), menyebabkan kepekatan darah meningkat. Selain itu, saluran darah kecil yang pecah dan kandungan platelet menurun juga boleh menyebabkan perdarahan, sama ada yang ringan atau berat.

DDB bukan sahaja boleh menyebabkan maut akibat pendarahan luaran malahan boleh membunuh akibat renjatan hasil pendarahan dalaman yang sukar dikesan. Semua pesakit denggi berpotensi membentuk DDB walaupun jika dijaga dengan rapi berikutan tindakbalas antibodi badan. DDB juga boleh dipecahkan lagi kepada empat gred mengikut simptom jangkitan seperti:

* Gred 1: Demam dan simptom lain yang tidak khusus dan ujian tourniquet yang positif (menunjukkan pendarahan berlaku)

* Gred 2: Tanda-tanda Gred 1 bersama pendarahan secara rawak (tiba-tiba)

* Gred 3: Tanda kegagalan aliran darah (denyutan nadi laju/lemah, tekanan darah rendah, kulit lembap/sejuk)

* Gred 4: Kesan renjatan yang jelas sehinggakan nadi dan tekanan darah tidak dapat dibaca.

(4) Sindrom Kerenjatan Denggi (DSS)

DSS juga sama dengan gred 4 DDB. Bentuk demam denggi ini sebenarnya yang paling bahaya dengan kadar kematian yang amat tinggi akibat renjatan (shock) hasil kehilangan cecair darah (pendarahan) ke dalam organ seperti paru-paru, perut dan kulit. Badan pesakit dengan DSS biasanya kelihatan seperti mengembang, dengan tanda-tanda DDB yang disertai tekanan darah yang jatuh mendadak.

Semua simptom DSS boleh muncul selepas tiga hingga enam hari demam bermula. Suhu badan pesakit akan berubah dengan tiba-tiba, dari amat panas kepada suhu bawah normal, bacaan platelet jatuh mendadak dan paling penting, tekanan darah amat rendah sehinggakan gagal mendapatkan bacaan. Sakit tulang atau tulang belakang yang dirasakan seperti hendak meletup juga merupakan simptom biasa bagi semua peringkat demam denggi kecuali denggi dengan demam biasa. Antara petanda awal DDB mungkin berkembang kepada DSS adalah:

* Sakit perut (abdomen) yang teramat sangat dan berpanjangan, muntah berterusan.

* Perubahan suhu badan secara tiba-tiba dari demam kepada hipotermia, disertai peluh dan kelesuan, rasa gelisah dan cemas.

* Jangkitan pada otak dan saraf pula boleh menyebabkan gangguan tahap kesedaran, sawan, lumpuh dan kekejangan leher.

* Jangkitan hati pula akan menyebabkan rasa sakit pada bahagian kanan perut (bengkak hati) dan mata kuning. Jantung dan paru-paru juga boleh dijangkiti.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Sunday, June 08, 2008

Memahami Penyakit Epilepsi

"Epilepsi adalah panggilan nama bagi muntahan berwarna kelabu yang berlaku sekali sekala, secara tiba-tiba, cepat dan keluar dengan banyak," demikian menurut John Hughlings Jackson, seorang doktor bangsa Inggeris yang dianggap sebagai bapa kepada konsep moden sawan.

Penjelasan dan konsep yang diperkenalkan oleh Jackson itu masih kekal relevan walaupun selepas 150 tahun berlalu. Secara mudahnya, epilepsi adalah satu gangguan di mana aliran isyarat elektrik di dalam otak menjadi celaru.

Ia kadangkalanya diumpamakan seperti berlaku ribut elektrik di dalam otak. Pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan, pada zahirnya, adalah serangan sawan.

Ia dapat dilihat dalam bentuk sentakan (jerky), menggigil dan terkejang-kejang, bunyi kuat seperti berdengkur atau rebah ke tanah, atau gabungan ketiga-tiganya.

Dalam realitinya, serangan sawan boleh terjadi dalam sebarang bentuk perlakuan atau pergerakan yang tidak disedari atau tidak normal. Terdapat bermacam jenis epilepsi atau sawan, dan diklasifikasikan sebagai sawan keseluruhan (generalised) dan sawan separa (partial).

Perbezaannya bergantung kepada bahagian mana serangan sawan itu bermula dan setakat mana ia menjejaskan otak.

Dalam serangan sawan am, aktiviti aliran elektrik yang tidak normal berlaku pada pada kedua-dua hemisfera otak.

Pengidapnya akan tidak sedarkan diri. Serangan separa (partial) pula menjejaskan satu bahagian otak sahaja.

Serangan separa sawan (partial) terbahagi kepada serangan ringkas dan serangan kompleks. Sewaktu berlakunya serangan separa-sawan, seseorang itu tidak pengsan.

Dia mungkin mengalami sensasi atau emosi yang ganjil, misalnya secara tiba-tiba dilanda perasaan suka atau marah, atau berlaku perubahan pada bau, rasa, bunyi atau bentuk sesuatu benda itu.

Sewaktu berlakunya serangan sawan separa kompleks, seseorang itu mungkin tidak mengecam keadaan persekitarannya, mungkin kelihatan seperti bingung atau seperti berada dalam mimpi.

Tanda-tanda serangan ialah perbuatan mengunyah, bingung, menarik-narik pakaian dan berjalan berpusing-pusing dalam satu bulatan.

Kadang-kadang pengidapnya menyedari 'amaran' tersebut dan tahu yang dia akan diserang sawan. Amaran ini juga dipanggil aura.

>> Sawan menyeluruh

Serangan sawan menyeluruh pula dibahagikan kepada empat jenis: absens, myoklonik, atonik, and tonik-clonik.

>> Serangan sawan absens kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak pada usia persekolahan dan biasanya berlaku sekejap sahaja (dalam beberapa saat).

Tanda-tanda biasanya ialah kelihatan bingung, pergerakan yang tidak ketara seperti mata terkelip-kelip. Mungkin tiada yang perasan ia sedang berlaku, malahan kadang-kala pengidap sendiri pun tidak perasaan ia berlaku.

>> Serangan sawan Myoklonik menyebabkan berlaku sentakan ringkas pada bahagian tangan, kaki atau bahagian atas badan. Ia sama seperti terjahan atau sentakan secara tiba-tiba pada kaki, yang dialami kebanyakan orang ketika hampir terlelap tidur.

>> Serangan sawan Atonik menyebabkan otot tiba-tiba menjadi lemah, mengakibatkan seseorang itu tiba-tiba rebah atau terjatuh.

>> Tonik-clonik adalah merupakan serangan sawan yang paling teruk dan jenis inilah yang akan terlintas di fikiran orang ramai apabila memikirkan tentang sawan. Tanda- tandanya adalah seperti tidak sedarkan diri, seluruh badan badan menjadi kejang, disusuli dengan sentakan pada tangan dan kaki. Mungkin juga berlaku hilang kawalan pada pundi kencing.

Jika tidak dirawat, serangan epilepsi ini boleh menjejaskan aktiviti harian seperti memandu atau ketika mandi atau berenang. Terjatuh ketika diserang sawan pula boleh mengakibatkan kecederaan pada kepala.

>> Epilepsi biasa berlaku

Ia dialami oleh kira-kira 0.8 peratus kanak-kanak dan 0.4 peratus orang dewasa. Ia mudah berlaku terutamanya pada kanak-kanak dalam lingkungan usia satu tahun dan mereka yang berusia melebihi 65 tahun.

Epilepsi juga boleh menyerang tanpa mengira umur, jantina, bangsa atau status sosial. Separuh daripada kes-kesnya, tidak diketahui puncanya.

Bagaimanapun, beberapa punca utama epilepsi adalah jangkitan pada otak (encephalitis, meningitis dan sebagainya), keadaan seperti serangan angin ahmar, ketumbuhan otak, trauma kelahiran, kecederaan teruk pada kepala, terdedah pada bahan toksik atau penyalahgunaan dadah dan faktor genetik (keturunan).

Walaupun terdapat kemajuan dalam bidang rawatan epilepsi, tidak banyak yang difahami mengenai keadaannya serta mitos menyelubungi penyakit ini.

Kerana kurang kefahaman dan kesedaran, maka pengidap epilepsi masih dilayan dengan rasa takut dan syak wasangka, dan kadang kala dilayan sebagai seorang orang buangan.

Mengidap epilepsi tidak bermakna seseorang itu 'gila' atau terencat akal, ataupun ia akan mengakibatkan masalah mental.

Penyakit ini tidak berjangkit. Sebahagian besar salah faham dalam masyarakat kita ialah epilepsi berpunca daripada gangguan kuasa ghaib.

Sesetengah anggota masyarakat masih mempercayai bahawa badan seseorang yang mengidap epilepsi telah 'dikuasai atau dirasuk oleh makhluk halus'.

Satu cara yang paling mudah untuk menangani kekeliruan tersebut dan mengikis sikap negatif terhadap penghidap sawan ialah dengan membandingkannya dengan penyakit lelah, mengalami debaran hati atau penyakit cirit birit.

Ketidakseimbangan atau gangguan yang sama berlaku pada jantung atau usus mengakibatkan debaran hati atau gangguan perut, boleh menyebabkan berlaku serangan sawan jika ia berlaku dalam otak.

Oleh itu, ia harus diuar-uarkan bahawa aliran elektrik tidak normal yang mengakibatkan berlakunya sawan, memang boleh dirawat!

Tambahan lagi, rawatan perubatan untuk epilepsi mudah diperoleh di semua klinik dan hospital kerajaan.

Ini bermakna orang ramai yang mengidap epilepsi tidak perlu menyisihkan diri atau merasa malu dengan keadaan mereka. Anggota keluarga dan penjaga mereka harus disedarkan bahawa pengidap epilepsi juga boleh menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai epilepsi, sila layari laman web www.epilepsy.org.my atau www.livebeyondepilepsy.com

Tajuk berikutnya dalam siri tiga artikel mengenai epilepsi ini akan menumpukan kepada diagnosis dan pelbagai pilihan rawatan yang disediakan sempena Hari Epilepsi Antarabangsa 2008 pada 28 Jun ini (Sabtu).


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Gastrik Tidak Halang Mengandung

SOALAN:
Doktor, jika seseorang itu mengalami gastrik yang kronik, apakah kesan buruk yang dialaminya? Jika yang mengalami penyakit ini adalah seorang wanita, adakah dia tidak boleh mengandung? Apakah rawatan yang paling sesuai untuk penyakit gastrik dan apakah risikonya jika melakukan pembedahan?

Zarry


JAWAPAN:
Gastrik yang kronik tidak akan memberi kesan kepada peluang untuk seorang wanita mengandung. Kaedah terbaik untuk merawat gastrik kronik adalah dengan menjalankan ujian endoskopi dan diikuti dengan mengambil ubat secara oral (makan).

Pembedahan pula bukanlah antara pilihan rawatan biasa untuk penyakit ini kecuali jika penyakit gastrik itu telah membawa kepada pembentukan ulser atau lubang pada dinding perut.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

MasalahGastrik, GERD atau Jantung?

SOALAN:
Doktor,Saya telah membaca ruangan kesihatan di utusan malaysia pada 18 Februari 2008 mengenai penyakit GERD. Saya ada soalan tentang masalah ini.

Suami saya telah dimasukkan ke dalam wad selama tiga hari pada bulan Januari (11 hingga 13 Januari 2008). Doktor mengatakan dia kena gastrik. Masalahnya dia selalu keluar angin dari badan, sendawa kuat, sakit dada dan panas dalam badan, kulit kering dan tidak berpeluh.

Bermacam-macam ubat telah dicuba selain ubat hospital tapi tiada kesan. Badannya lemah dan tiada semangat seperti sebelum ini kerana suami saya aktif, kuat berkebun sehingga basah bajunya dengan peluh.

Bila malam, suami juga tidak boleh tidur kerana dadanya sakit sehinggakan dia risau kerana takut sakit jantung pula. Kami telah pergi ke unit endoskopi pada 4 Februari 2008 tetapi keputusannya biasa sahaja. Bolehkah doktor beritahu apa lagi tindakan yang harus saya ambil untuk membantu suami? Terima kasih.

Norsiha


JAWAPAN:
Pertama sekali, suami puan perlu berjumpa doktor untuk memastikan penyakit berkenaan tidak berkaitan dengan sebarang masalah pada jantung. Jika sudah disahkan bukan berpunca dari jantung, ujian endoskopi mungkin perlu dijalankan untuk memastikan sebarang kaitan dengan salur penghadaman.

Ujian endoskopi yang tidak menunjukkan sebarang masalah membolehkan doktor menolak kemungkinan kaitan GERD dengan masalah suami puan. Namun, ini juga menunjukkan suami puan perlu menjalani ujian lanjutan yang lebih khusus sebelum simptom yang dihadapinya dapat dikaitkan dengan masalah fungsi badan atau psikologi.

Ujian lanjutan hanya perlu dijalankan jika semua ujian yang biasa dijalankan menunjukkan keputusan negatif (tiada masalah).


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my