Semua insan bersetuju yang penyusuan susu badan pada bayi adalah makanan permulaan terbaik dan juga merupakan detik-
detik intim di antara ibu dan anak. Selain daripada jalinan perhubungan, susu badan juga mempunyai zat-zat pemakanan mencukupi serta sesuai untuk bayi. Susu badan juga dapat melindungi anak daripada penyakit-penyakit tertentu. Penyusuan badan bayi adalah satu anugerah terbaik yang mengeratkan lagi kasih sayang dan juga menjana kesihatan yang baik untuk bayi dan juga ibu. Penyusuan ini adalah sifat semulajadi, kemahiran meningkat dengan amalan praktis berterusan.
Kebaikan Susu Ibu
Tidak perlu dinafikan yang susu badan adalah yang terbaik untuk bayi. Ianya mengandungi nutrisi yang optimum untuk tumbesaran bayi, dari segi perkembangan minda dan juga fizikal badan. Ia juga mengandungi zat-zat pertahanan badan bagi melindungi kelemahan pertahanan badan untuk peringkat awal kehidupan.
Kebaikan Susu Badan Pada Ibu
Penyusuan juga memanfaatkan ibu yang menyusu. Di antara faedah yang diterima adalah seperti:
1. Kesesuaian, susu telah sedia ada, tanpa dibeli, tanpa penyediaan dan sudah pun berada pada suhu yang sesuai untuk bayi.
2. Apabila bayi menyusu, rembesan hormon oksitosin dikeluarkan, menyebabkan berlakunya kontraksi seperti mana dialami selepas sahaja bersalin (rengat), ini mencepatkan lagi pengembalian rahim ke saiz dan bentuk asal sebelum mengandung. Pendarahan juga menjadi sedikit dan pendek tempohnya.
3. Penyusuan turut mengurangkan risiko kerapuhan tulang dan juga sesetengah kanser.
4. Perlu diingatkan yang berat badan ibu akan bertambah dibandingkan dengan sebelum bersalin. Jadi aktiviti penyusuan dapat membantu mengurangkan berat badan dengan membakar lebih kalori.
5. Tidak perlu berbelanja lebih dengan membeli susu formula.
6. Menjalinkan hubungan yang istimewa di antara ibu dan bayi.
Semasa mengandung, mungkin sedikit kolustrum akan dikeluarkan dari puting payudara ibu. Sebaik sahaja kelahiran, badan memberikan isyarat supaya payudara membina dan membuat susu, kemudiannya susu ini akan menggantikan kolustrum. Amat penting supaya anak menghisap puting payudara kerana ini akan mengisyaratkan pada otak ibu supaya mengeluarkan hormon-hormon tertentu untuk susu dikeluarkan dan seterusnya pengeluaran susu dari puting.
Payudara ibu akan membengkak, rasa berat dan sensitif pada sentuhan, mungkin juga sakit sehinggalah susu dihisap oleh bayi. Susu bukan lagi kolustrum, yang keluar pada mula-mulanya mengandungi lebih air dan manis rasanya, ini memberikan kepuasan dari kehausan dan juga tenaga dari gula, protein serta mineral. Kemudiannya susu menjadi lebih berkrim dan pekat. Semua ini sesuai untuk tumbesaran bayi.
Permulaan Penyusuan Badan
Mungkin anda beranggapan yang penyusuan badan akan datang secara semulajadi, tanpa memerlukan tunjuk ajar dan sokongan. Sebenarnya tidaklah sebegitu, sebab itulah ramai ibu yang mengabaikan penyusuan badan atas pelbagai sebab yang boleh menjejaskan kesihatan bayi yang sensitif. Sebenarnya amalan penyusuan ini mengajar kesabaran, pada ibu dan juga pada bayi yang mungkin pada awalnya menunjukkan kegelojohan.
Sebaiknya semasa lawatan antenatal, maklumkan kepada doktor yang anda ingin mengamalkan penyusuan badan sepenuhnya. Doktor akan memeriksa payudara dan juga puting supaya tidak ada keabnormalan. Doktor juga akan menjawab segala kemusykilan anda.
Semasa proses bersalin di bilik bersalin, sebagai contohnya di Hospital USM, jururawat-jururawat akan meletakkan bayi bersama ibu di bahagian dada untuk penyusuan badan kerana pada peringkat ini bayi telah pun bersedia untuk menghisap susu dan juga ianya masih segar dan tegar. Sekiranya tidak dilakukan sedemikian, bayi anda mungkin akan tidur.
Pemakanan Harian Ibu Menyusu
Secara fisiologi, semasa mengandung badan ibu akan menyimpan zat-zat dan lemak tambahan, sebagai persediaan untuk aktiviti penyusuan badan. Selepas kelahiran, badan ibu memerlukan lebih air, tenaga serat zat untuk penyediaan serta pengeluaran susu.
Semasa penyusuan:
* Pemakanan ibu perlulah seimbang. Tambahan 500 kalori sehari diperlukan, maknanya kalori keperluan sehari sekarang menjadi 2,500 kalori berbanding 2,000 kalori pada kebiasaannya.
* Vitamin tambahan juga diperlukan, pastikan zat kalsium sebanyak satu gram diambil setiap hari.
* Perhatikan bayi anda dari segi kesedaran dan juga najisnya, sekiranya bayi tiba-tiba menjadi tidak selesa dan juga kelainan pada najis, mungkin minuman ataupun makanan yang anda ambil menyebabkan alahan pada bayi.
>> Banyakkan meminum air, sekurang-kurangnya lapan gelas setiap hari.
* Memastikan bayi mendapat susu yang mencukupi
* Berat badan bayi bertambah, selepas minggu pertama, berat akan mula meningkat.
* Pertukaran lampin pakai buang sekurang-kurangnya enam kali sehari, air kencing jernih. Pada bulan pertama kehidupan, pembuangan air besar sekurang-kurangnya tiga kali setiap hari. Najis sepatutnya lembut dan kekuningan.
* Payudara ibu sebelum penyusuan bengkak dan tidak selesa.
* Bayi menjadi lebih senyap dan mengantuk selepas penyusuan.
* Kekerapan penyusuan antara lapan hingga 12 kali setiap hari, iaitu setiap dua jam, selama 10 hingga 15 minit pada setiap payudara.
Kembali Bekerja
Kalau boleh, pastikan bayi anda mendapat penyusuan dada sepanjang enam bulan per tama tanpa gangguan. Penyusuan tidak semestinya melalui hubungan fizikal payudara dan bayi, anda juga boleh mengamalkan perahan susu, sama ada dengan menggunakan tangan dan juga pam. Susu ini disimpan, kemudian dihangatkan untuk penggunaan selanjutnya. Mungkin di tempat kerja anda, ada bilik untuk perahan susu dilakukan.
Penyimpanan susu
>> Di dalam peti sejuk, gunakan susu yang disimpan dalam masa dua hari.
>> Sekiranya dibekukan, gunakan susu tersebut dalam masa tiga bulan.
>> Sekiranya susu tersebut telah dihangatkan dan disimpan kembali ke dalam peti sejuk, gunakan dalam masa 24 jam.
Untuk menghangatkan susu perahan, rendamkan botol tersebut di dalam air panas, jangan gunakan kaedah ‘microwave’ dan juga ‘merebus’ kerana ini akan menghancurkan zat-zat pertahanan dan imuniti yang diperlukan bayi. Awas juga suhu panas boleh mencederakan bayi.
* Kesihatan payudara ibu menyusu
Anda mungkin akan mengalami permasalahan pada payudara, seperti:
Pembengkakan
* Kesakitan pada puting kerana cengkaman mulut bayi pada puting yang mungkin menyebabkan berlakunya luka.
* Puting tersumbat, jadi pengaliran susu terbantut.
* Keradangan payudara akibat daripada jangkitan bakteria pada kelenjar susu.
Segeralah berjumpa dengan doktor sekiranya anda mengalami petanda-petanda berikut:
* Demam
* Kemerahan pada payudara
* Pembengkakan setempat dan bukannya menyeluruh pada payudara.
* Kelainan pada kulit
* Pendarahan
* Kesakitan
Penjagaan kesihatan payudara boleh mengekalkan amalan penyusuan badan. Di antara tip-tip yang dinasihatkan:
* Gunakan teknik penyusuan yang betul.
* Gunakan jari untuk memberhentikan cengkaman vakum hisapan sebelum mengalihkan ke payudara bersebelahan.
* Cuci payudara selepas penyusuan, pastikan ianya kering dan bersih.
* Gunakan coli yang boleh menyokong saiz payudara yang menjadi lebih besar, gunakan coli yang berlapikkan kapas, tukar dengan segera sekiranya pelapik menjadi basah.
* Lembutkan puting payudara dengan krim pelembut seperti cocoabutter, lanolin, olive oil dan sebagainya.
* Jangan gunakan sabun ataupun krim pewangi untuk membasuh puting.
* Gunakan payudara yang satu lagi sekiranya payudara menjadi tidak selesa dan sakit.
* Perancangan keluarga (kontraseptif)
Anda juga harus memikirkan kaedah perancangan keluarga sebelum berfikir untuk melakukan hubungan kelamin. Penyusuan badan dapat mengurangkan kebarangkalian mengandung tetapi bukannya 100 peratus, ada yang tidak datang haid semasa penyusuan tiba-tiba didapati mengandung.
Sebagai panduan, sekiranya mengamalkan penyusuan badan sepenuhnya (termasuklah penggunaan botol melalui perahan susu badan), tanpa menggunakan punca susu luar, perlindungan secara pasti selama tiga bulan sahaja selepas kelahiran. Tetapi, sekiranya penyusuan badan ditambah dengan susu punca luar, perlindungan hanya pasti untuk pada tempoh tiga minggu sahaja.
Kaedah kontraseptif yang tidak menggunakan hormon adalah yang terbaik kerana tidak mengganggu penghasilan susu badan. Sebagai contoh, kondom dan juga alat dalam rahim (IUCD). Sekiranya kaedah hormon yang digunakan, pada bulan-bulan awalnya, hanya hormon progesteron sahaja yang digunakan sebab ianya tidak mengganggu pengeluaran susu.
Pil perancang yang mengandungi estrogen tidak digalakkan sebab estrogen membantutkan pengeluaran susu. Ianya boleh digunakan sekiranya jumlah dan pengaliran susu menjadi stabil dan berlebihan.
Ditulis oleh:
Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/