Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, March 29, 2009

Menarik Minat Si Manja Kepada Pemakanan Sihat

Sepanjang tahun awal tumbesarannya, si manja anda baru mula mengenali dan menikmati makanan. Perut dan seleranya kecil, tetapi apabila keperluan nutriennya bertambah, pengambilan makanannya juga akan bertambah. Inilah masanya untuk anda memastikan tumbesaran fizikalnya dengan memberikan makanan yang sesuai dan memupuk tabiat makan yang sihat.

Sentiasa Fikiran 3K!

Oleh sebab perut dan seleranya kecil, sentiasa pastikan kepelbagaian, keseimbangan dan kesederhanaan dalam pemakanan si manja setiap hari.

Kepelbagaian - beri makanan yang berlainan daripada lima kumpulan makanan supaya si manja mendapat segala nutrien yang diperlukan seperti karbohidrat, protein, vitamin dan zat galian serta lemak untuk memastikan anak anda sentiasa cergas dan bertenaga.

Keseimbangan - berikan campuran makanan seimbang yang mengandungi nasi, bijirin atau mi; buah-buahan dan sayur-sayuran; daging, ikan, ayam dan telur; dan susu serta produk tenusu. Sentiasa kurangkan garam, lemak dan gula.

Kesederhanaan - didik si manja makan secara sederhana sejak dari kecil lagi. Adalah penting untuk menyemaikan tabiat makan yang sihat seperti makan pada waktu yang tetap, tidak melangkau waktu makan dan tidak makan secara berlebihan. Oleh sebab sarapan adalah makanan pertama yang membekalkan tenaga, pastikan si manja mengambil sarapannya setiap pagi. Kanak-kanak yang mengambil sarapan setiap pagi adalah lebih cerdas dan cergas, dapat memberikan lebih tumpuan, dan mempunyai daya ingatan yang lebih baik. Antara sarapan yang anda boleh berikan termasuk bijirin dengan susu, telur masak hancur dengan roti bakar atau apam kukus.

>> Waktu makan bersama keluarga paling menyeronokkan

Satu daripada cara paling baik untuk menggalakkan si manja makan dan menyemaikan tabiat makan yang sihat ialah dengan makan bersama ahli keluarga. Dengan demikian, waktu makan bukan sahaja masa untuk makan semata-mata, malahan dapat merapatkan hubungan keluarga dan memberi anda peluang untuk memberi tumpuan kepada anak-anak, bertanyakan perjalanan harinya dan juga mendidik mereka tentang khasiat makanan!

>> Jadi sajian lebih menarik

Terdapat banyak cara anda boleh menggalakkan si manja makan, tetapi jangan sesekali dipaksa, marah atau gertak anak anda supaya makan. Dan jangan 'rasuah' si manja dengan mainan atau gula-gula! Untuk menggalakkan si manja gemar makan, anda perlu menjadikan sajian makanan lebih menarik dan masa makan lebih menyeronokkan! Cuba cara berikut:

1) Perkenalkan makanan baru

Beri si manja makanan baru atau berlainan setiap kali waktu makan supaya dia belajar menghargai semua jenis makanan. Jika si manja anda keberatan untuk mencuba makanan baru, perkenalkan makanan baru ini dengan makanan biasa yang digemarinya. Satu lagi cara ialah menawarkan makanan baru apabila si manja lapar. Untuk mengelakkan rasa jelak atau jemu, sediakan hidangan berlainan pada setiap hari biasa. Pada hujung minggu, beri si manja peluang untuk memilih sajian untuk makan malam keluarga.

2) Jadikan makanan menarik dan membuka selera

Inilah masa untuk mencuba daya kreatif anda! Cuba cara masakan yang berlainan setiap hari. Dan bila anda menyediakan sajian, cuba potong roti atau sayu-sayuran dengan pelbagai bentuk yang menarik, menghias semangkuk mi dengan cebisan sayuran dan daging, atau melukis senyuman dengan kari di atas nasi!

3) Beri si manja peluang untuk membantu anda

Anak anda lebih berminat untuk makan jika dia diberi peluang untuk membantu di dapur. Berikan tugas yang selamat dan mudah dilakukan dengan tangannya yang kecil, mengacau ramuan, mengaturkan pinggan di meja makan atau membawa pinggan kotor untuk dibasuh.

4) Bawa si manja membeli-belah barangan keperluan dapur

Bawa si manja bersama bila anda pergi membeli-belah barangan keperluan dapur. Tunjukkan jenis makanan yang berlainan, dan didik mereka tentang kesihatan. Anda juga boleh menggalakkan si manja memilih sajian utama dengan memberikan tiga pilihan dan memintanya memilih satu (jika dia tidak suka mana-mana satu daripadanya, anda pilih sendiri dan terangkan sebabnya). Kanak-kanak yang memilih makanan sendiri, lebih berminat untuk makan.

Petua dan pendekatan di atas sedikit sebanyak dapat membantu anda menanam tabiat makan yang sihat dalam diri si manja, dan seterusnya menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan hidupnya sekarang dan pada masa hadapan. Selain itu, jika anda sentiasa mengutamakan kepelbagaian, keseimbangan dan kesederhanaan, tiada sebab anda tidak dapat menyediakan sajian yang menyelerakan dan sihat untuk perut kecil si manja!

Dalam rencana akhir siri ini, kami akan membincangkan sejauh mana kesedaran kanak-kanak Malaysia terhadap kesihatan dan pemakanan, dan bagaimana tabiat makan yang sihat dapat membina asas yang kukuh untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan sepanjang hayat.

Untuk mendapatkan bahan pendidikan tentang panduan pemakanan kanak-kanak dan mengetahui aktiviti lain yang dianjurkan oleh program Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2009, layarilah laman web www.nutriweb.org.my atau datang beramai-ramai ke karnival kami di Mid Valley Exhibition Centre pada 4 & 5 April 2009 untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan untuk seisi keluarga, mulai jam 10 pagi!


Ditulis oleh:
Profesor Madya Dr. Norimah A. Karim & Lee Ching Li
Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment