Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, March 29, 2009

Pemakanan Untuk Si Manja

Badan anak anda memerlukan pelbagai nutrien. Kebanyakan nutrien ini iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral, diperolehi daripada makanan yang berlainan. Itulah sebabnya anda perlu memastikan diet si manja mengandungi pelbagai jenis makanan.

Anak anda juga memerlukan nutrien berkenaan dalam jumlah yang betul untuk membolehkan mereka membesar dengan sihat dan sempurna. Pengambilan terlalu banyak atau terlalu sedikit nutrien tertentu boleh membawa kepada masalah kurang berat badan, anemia atau obesiti.

Piramid Kumpulan Makanan untuk Kanak-Kanak

Bukan susah untuk memastikan si manja mendapat pelbagai nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang betul. Anda boleh merujuk kepada Piramid Panduan Makanan untuk Kanak-Kanak sebagai panduan terbaik memastikan anak anda mendapat khasiat pemakanan secukupnya.

Piramid Panduan Makanan menunjukkan dengan jelas jenis dan jumlah makanan yang perlu diambil setiap hari. Sebagaimana yang dilihat daripada bentuknya, makanan di bahagian bawah sekali atau tahap 1 adalah yang ‘perlu diambil paling banyak’. Pengambilan makanan di bahagian atas piramid pula hendaklah semakin dikurangkan sementara pengambilan makanan di puncak Piramid adalah yang ‘paling sedikit’. Piramid ini juga memaparkan jumlah makanan yang berlainan dalam setiap kumpulan makanan. Jadi, anda boleh memilih dan pelbagaikan rasa, tekstur dan bentuknya dalam setiap sajian!

Panduan Piramid

Marilah kita tumpukan perhatian kepada Piramid dan lihat apa yang boleh anda berikan kepada si manja.

Tahap 1 - Makan Paling Banyak

Makanan dengan karbohidrat kompleks yang disenaraikan di bahagian bawah sekali adalah sumber tenaga yang diperlukan badan si manja. Karbohidrat kompleks dipecahkan menjadi glukosa, untuk menggerakkan fungsi badan dan memberi si manja tenaga yang diperlukan. Makanan ini juga mengandungi serat, iaitu karbohidrat tidak hadam yang membolehkan sistem penghadaman berfungsi dengan sihat.

Tahap 2 - Makan Lebih

Buah-buahan dan sayuran membekalkan vitamin (seperti vitamin A, E, C dan B), mineral (seperti zat besi, kalsium, zink) dan serat. Buah-buahan dan sayur-sayuran juga mengandungi bahan yang sihat dinamakan fitokimia. Kebanyakan fitokimia adalah antioksidan yang dipercayai dapat membantu menentang penyakit. Walaupun diletakkan di tahap yang sama dalam Piramid, anda tidak boleh memberi si manja buah-buahan atau sayur-sayuran semata-mata. Si manja memerlukan kedua-duanya!

Tahap 3 - Makan Secara Sederhana

Makanan dalam tahap ini termasuk ikan, ayam, daging, telur, pelbagai produk kekacang dan juga susu serta produk tenusu. Makanan ini kaya dengan protein, yang merupakan blok binaan asas untuk tisu badan. Ia perlu untuk membaiki, mengganti dan membuat tisu, serta memastikan pertumbuhan optimum. Protein diperbuat daripada asid amino. Badan memerlukan 22 asid amino, dengan 8 daripadanya mesti dibekalkan oleh makanan harian (asid amino perlu). Susu dan produk tenusu juga bukan sahaja kaya dengan kalsium, tetapi juga pelbagai vitamin dan mineral.

Tahap 4 - Makan Paling Sedikit

Makanan di hujung Piramid adalah lemak, gula dan garam. Si manja perlukan lemak sebagai sebahagian daripada nutrien. Lemak membekalkan tenaga, vitamin larut lemak dan asid lemak perlu. Bagaimanapun, badan si manja hanya memerlukan sedikit lemak. Jadi, pengambilan lemak secara berlebihan boleh menyebabkan berat badannya meningkat. Tetapi jangan sama sekali memilih diet rendah lemak atau tanpa lemak untuk si manja! Sebaliknya, berikan makanan berlemak secara sederhana agar si manja lebih sihat dan cergas.

Gula hendaklah diberikan secara berhemat, manakala garam dihadkan pada jumlah yang sangat kecil.

>> Tambah Lebih Khasiat Kebaikan. Piramid Panduan Makanan sekadar memberi idea mengenai jenis makanan dan jumlah yang wajar diberikan kepada si manja. Idea berikut sedikit sebanyak dapat membantu anda menambah khasiat kebaikan di dalam diet si manja.

>> Cuba gaya masakan yang berlainan. Sesetengah cara masakan adalah lebih sihat daripada yang lain. Sebaik-baiknya, utamakan cara yang lebih sihat seperti membakar, mengukus dan memanggang.

>> Utamakan makanan, buah dan sayur segar. Makanan segar adalah lebih sihat. Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar dalam diet si manja. Sebaik-baiknya, beli lebih banyak bahan makanan segar daripada makanan diproses atau makanan berbungkus (dalam tin).

>> Baca label pemakanan (ramuan). Semak label makanan yang diproses untuk memastikan kandungan dan khasiatnya, seperti vitamin, mineral dan serat, selain jumlah lemak, gula dan garam. Senarai ramuan akan menunjukkan sama ada ia ditambah gula (disenaraikan di bawah pelbagai nama seperti maltosa, dektrosa), pengawet, pewarna tiruan, dan pemanis, yang kesemuanya tidak menambah nilai pemakanan.

>> Masakan di rumah adalah yang terbaik. Makanan yang dimasak di rumah selalunya lebih sihat dan berkhasiat kerana anda boleh menambah sayur serta buah, di samping mengurangkan minyak dan lemak. Anda juga boleh memesan sajian yang disediakan dengan cara lebih sihat ketika makan di luar.

Bagaimanapun, pemakanan yang baik tidak terbatas kepada pengambilan makanan yang disyorkan dalam Piramid, tetapi juga meliputi amalan dan tabiat makan yang sihat dan betul. Selain menyediakan makanan yang bersih dan selamat, anda juga perlu memastikan si manja makan mengikut masa, dan tidak terkurang ataupun terlebih makan.

Rencana ketiga kami akan menjelaskan bagaimana kadar tumbesaran si manja mempengaruhi pengambilan makanan, mengapa si manja kadang-kala enggan makan, dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dengan menjadikan makanannya lebih menarik dan masa makan yang lebih menceriakan!

Untuk mendapatkan bahan pendidikan tentang panduan pemakanan kanak-kanak dan mengetahui aktiviti lain yang dianjurkan oleh program Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2009, layarilah laman web www.nutriweb.org.my atau datang beramai-ramai ke karnival di Mid Valley Exhibition Centre pada 4 dan 5 April ini untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan bersama seisi keluarga, mulai jam 10 pagi.


Ditulis oleh:
Tan Yoke Hwa & Ridzoni Sulaiman
Persatuan Dietitian Malaysia

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment