Cuba anda bayangkan bagaimana hidup anda jika hilang deria penglihatan, menggunakan kerusi roda akibat strok atau gangren kaki (kaki dipotong) selain berisiko tinggi mengalami serangan jantung sedangkan umur belum mencecah 40 tahun.
Itulah yang menanti pesakit diabetes mellitus akibat gagal mengawal penyakitnya, sama ada kerana tidak mengubah gaya hidup, tidak mahu mengambil ubat atau mengambil ubat tradisional sesuka hati.
Keadaan diburukkan lagi jika di kalangan mereka ini telah menghidap diabetes sejak usia muda lagi.
Diabetes mellitus adalah satu sindrom masalah metabolisma yang menyebabkan tahap gula di dalam darah tinggi (hiperglisemia) sama ada akibat masalah penghasilan (diabetes jenis pertama) atau fungsi (sensitiviti) insulin (diabetes jenis kedua atau diabetes gestasi).
Kebanyakan orang dewasa menghidap diabetes melitus jenis 2 (T2DM).
Namun, ramai penghidap T2DM tidak dapat mengawal penyakit dengan ubat anti-diabetes masing-masing, mereka menghadapi risiko mengalami kerumitan.
Profesor Perubatan Diabetes University Leicester, Profesor Melanie Davies memberitahu sekurang-kurangnya 67 peratus daripada penghidap T2DM menghadapi risiko kemerosotan fungsi ginjal yang tinggi dan kira-kira 30 peratus sudah mengalami kemerosotan fungsi ginjal di Amerika Syarikat.
Sementara itu, lapan hingga 10 pesakit diabetes dengan kemerosotan fungsi ginjal mempunyai risiko lebih tinggi mengalami kerumitan serius seperti keadaan hipoglisemia dan penyakit kardiovaskular.
"Justeru, pesakit amat memerlukan ubat anti-diabetes oral (OAD) yang boleh dipercayai dengan profil keselamatan dan toleransi lebih baik yang mudah digunakan tanpa mengira fungsi ginjal pesakit.
"Kebanyakan OAD tidak disyorkan atau memerlukan pelarasan dos dan pemantauan teliti kerana mewujudkan halangan penting kepada penghidap T2DM dengan kemerosotan fungsi ginjal, " ujarnya pada majlis pelancaran ubat (T2DM) terbaru Trajenta oleh Boehringer Ingelheim dan Eli Lilly.
Trajenta adalah rawatan diabetes yang diluluskan sebagai ubat satu kekuatan dos (lima miligram, sekali sehari) bagi pesakit dewasa. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) di bawah Kementerian Kesihatan telah meluluskan Trajenta seperti yang disyorkan di kalangan pesakit dewasa dengan T2DM untuk meningkatkan kawalan glisemia bersama diet dan senaman, sebagai monoterapi rawatan tunggal atau sebagai tambahan kepada metformin, sulfonilurea atau metformin serta sulfonilurea.
Tambah Profesor Melanie, Trajenta boleh diambil dengan satu dos untuk semua pesakit tidak kira tahap kegagalan buah pinggang atau hati.
"Ia menawarkan manfaat yang diberikan oleh kelas perencat DPP-4 dengan tahap kemujaraban dan toleransi yang baik serta neutral dari segi berat dan mewujudkan risiko hipoglisemia yang rendah dan juga memberikan kelebihan tambahan tiada pelarasan dos tanpa mengira fungsi ginjal dan hati pesakit," katanya.
Perkembangan positif ini pasti menggembirakan penghidap T2DM, terutamanya di Asia kerana penularan diabetes telah meningkat antara dua hingga lima kali ganda dalam tempoh dua dekad lepas berbanding 1.5 kali ganda di negara Barat.
Tambahan lagi, disebabkan oleh kesan sampingan yang dikaitkan dengan OAD yang tidak sesuai, pesakit mungkin mendapati sukar untuk mematuhi rawatan yang disyorkan. Kadar pematuhan pesakit dengan T2DM adalah antara 65 peratus hingga 85 peratus bagi OAD dan 60 peratus hingga 80 peratus bagi insulin.
"Trajenta memberikan pelbagai manfaat yang berkesan dan sesuai bagi kebanyakan penghidap T2DM," kata Pengarah Urusan Boehringer Ingelheim Malaysia Sdn. Bhd., Cheong YK.
Katanya lagi, ramai penghidap diabetes selalunya khuatir tentang peningkatan berat badan atau hipoglisemia yang mengurangkan pematuhan terhadap ubat.
"Trajenta tidak memberi kesan terhadap berat apabila digunakan sebagai monoterapi dan boleh diambil pada bila-bila masa, dengan atau tanpa makanan, yang memberikan kawalan T2DM lebih baik tanpa menjejaskan penjagaan pesakit," tambahnya.
Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment