Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, August 17, 2012

Mata Di Ambang 40-an


Usia tidak mampu dihindari. Semakin bertambah angka, pelbagai organ tubuh turut terjejas dan semakin menurun prestasinya.

Jantung, paru-paru dan buah pinggang antara yang terkesan akibat proses penuaan lalu menjejaskan kesihatan malah nyawa.

Bagusnya, orang kita semakin sedar kepentingan menjaga kesihatan dengan melakukan pelbagai pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, paras gula dan pelbagai lagi.

Namun, pemeriksaan mata kurang diberi penekanan. Tahukah anda, kebarangkalian untuk menjadi buta tanpa melihat sebarang simptom amat tinggi terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas?

Glaukoma iaitu kerosakan pada saraf optik antara punca kebutaan yang berlaku secara senyap tanpa menunjukkan sebarang simptom dan sebenarnya ia mampu dirawati jika melakukan pemeriksaan mata lebih awal.

Dekan International Medical School, Management & Science Universiti (MSU) dan Pakar Perunding Oftalmologi, Profesor Dr. Normalina Mansor berkata, ramai individu yang menjadi buta akibat glaukoma kerana lambat melakukan pemeriksaan.

"Ramai yang tidak perasan mata juga sama penting seperti organ-organ lain dan perlu diberi perhatian dengan melakukan pemeriksaan terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

"Ini kerana, sistem dan organ-organ badan akan terjejas apabila kita semakin berusia termasuklah mata.

"Kebanyakan individu hanya berjumpa dengan pakar mata apabila keadaan mata semakin teruk atau berada di tahap yang tidak mampu dirawati.

"Mereka terkejut apabila saya maklumkan masalah mereka seolah-olah perkara sedemikian tidak akan berlaku sedangkan ia berubah mengikut usia.

"Jangan sekadar melakukan pemeriksaan tahap kerabunan di kedai-kedai cermin mata kerana mereka tidak dapat mengesan lebih mendalam tentang masalah mata kecuali di klinik pakar mata," ujarnya ketika ditemui di Klinik Pakar Dr. Normalina, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.

Empat jenis masalah mata yang menjadi punca utama kebutaan adalah glaukoma, katarak, degenerasi makula dan diabetik rinepati.

Terang Normalina, pelbagai lagi masalah mata lain akibat usia yang semakin menganjak boleh menjejaskan kehidupan harian.

Selain buta, sekurang-kurangnya individu yang mempunyai masalah mata mengalami rabun dekat atau jauh, ketidakselesaan, kabur penglihatan dan imej yang tidak lurus.

Berikut antara masalah mata yang sering dihadapi mereka yang berusia 40 tahun ke atas.


Ditulis oleh: Raja Intan Dianna Raja Azaham
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment