Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, March 04, 2012

Asia Ketinggalan Vaksin Menyeluruh

Pada 2006, Chan Li Jin menyertai satu sidang media mengenai penyakit pneumokokal. Sebagai wartawan kesihatan dan juga pengasas bersama Parenting2u.com, hatinya tersentuh apabila seorang bapa menceritakan bagaimana anaknya berusia empat tahun meninggal dunia kerana dijangkiti pneumonia pneumokokal (paru-paru bengkak).

"Anak dia sakit teruk. Dia pergi berubat tetapi keadaan telah kronik. Akhirnya, anaknya meninggal dunia dan dia terpaksa menanggung hutang hospital lebih RM40,000," katanya yang bersetuju program pelalian kebangsaan dikemas kini termasuk menambah vaksin pneumokokal.

Ini juga menjadi sebab utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pelalian sebagai salah satu intervensi kesihatan paling berjaya dan menjimatkan kos.

Ia dapat mencegah penyakit serius, kehilangan upaya dan kematian yang berpunca daripada penyakit boleh dicegah dengan vaksin seperti difteria, hepatitis A dan B, campak, polio, rotavirus dan tetanus.

WHO juga menyifatkan pemvaksinan sebagai satu pelaburan penting bagi semua negara, untuk melindungi semua orang, daripada bayi kepada warga emas.

Di samping itu, manfaat pelalian diperluas kepada remaja dan orang dewasa untuk memberikan perlindungan daripada penyakit yang mengancam nyawa seperti influenza, meningitis dan kanser yang menular dalam kalangan orang dewasa.

Satu daripada penyakit bahaya yang boleh dicegah dengan pemvaksinan adalah pneumokokal.

Menurut WHO, penyakit ini adalah satu bebanan kesihatan yang memerlukan perhatian segera dan disifatkan sebagai satu daripada penyakit di dunia yang boleh dicegah dengan vaksin.

Menurut pakar penyakit berjangkit pediatrik dan profesor pediatrik, Dr. Adriano Arguedas, selain Afrika, Asia menanggung beban penyakit pneumokokal paling besar di dunia.

"Hanya sebilangan kecil negara di Asia menyedari kesan serius penyakit ini dan disebabkan kekurangan data yang dikumpulkan di rantau ini, kami tidak dapat menonjolkan kesan penyakit serius ini.

"Tiada cara lain untuk menangani ancaman ini; kunci kejayaan dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit pediatrik adalah pemvaksinan menyeluruh. Kita telah melihat kejayaan menghapuskan polio, cacar dan rubela menerusi pemvaksinan," tambahnya.

Di Malaysia, 70 hingga 80 peratus kanak-kanak tidak dilindungi daripada pneumokokal kerana vaksin ini disenaraikan sebagai 'opsyenal' (tidak wajib) dalam Program Pelalian Kebangsaan (NIP).

Kebanyakan daripada segelintir kecil kanak-kanak yang mendapat vaksin menentang pneumokokal adalah daripada sektor swasta.

Ini menandakan kebanyakan kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat perlindungan daripada penyakit ini.

"Tekanan emosi yang dilalui oleh ibu bapa apabila anak-anak mereka diserang pneumokokal dan beban kewangan yang ditanggung oleh sistem penjagaan kesihatan negara adalah berat.

" Sebagai negara yang sedang pesat membangun, Malaysia perlu memastikan sistem penjagaan kesihatannya mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh WHO," kata Li Jin.

Justeru tegas Li Jin, tumpuan hendaklah diberikan kepada usaha menyediakan sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia untuk semua.

"Peluang yang sama akan memastikan penduduk bandar dan luar bandar mendapat pemvaksinan untuk anak-anak mereka menentang pneumokokal," tambahnya.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment