SOALAN:
Salam doktor, saya remaja berumur 19 tahun. Saya ingin bertanya, adakah apabila kita beronani haid kita akan terganggu? Apakah keburukan beronani selain haid terganggu? Ini kerana kitaran haid saya tidak teratur, saya takut kesannya pada masa akan datang. Saya harap doktor sudi bantu.
Remaja Ingin Tahu.
JAWAPAN:
Terima kasih kepada adik yang sudi mengutarakan soalan yang menarik ini. Sangkaan berkaitan onani menyebabkan kitaran haid terganggu adalah tidak tepat.
Onani atau juga dikenali sebagai masturbasi (melancap), adalah rangsangan seksual yang sengaja dilakukan pada organ kelamin untuk memperoleh kenikmatan dan kepuasan seksual. Rangsangan ini dapat dilakukan tanpa alat bantu ataupun menggunakan sesuatu objek atau alat, atau kedua-duanya. Cara-caranya adalah dengan menyentuh, menggosok dan meraba bahagian tubuh sendiri yang peka sehingga menimbulkan rasa menyenangkan untuk mendapat kepuasan seksual (orgasma) baik tanpa menggunakan alat mahupun menggunakan alat.
Perbuatan onani dalam kalangan wanita jarang dibincangkan. Mungkin kerana ia suatu tabu, walaupun mungkin perbuatan ini kerap diamalkan terutama oleh golongan remaja masa kini. Perbuatan onani kebiasaannya berpunca daripada perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru. Amalan onani sejak sekian lama boleh memberikan kesan kepada hubungan seks yang normal. Lebih teruk lagi sekiranya onani dilakukan menggunakan cara yang ekstrem.
Berbeza
Onani sememangnya berbeza dengan hubungan seks yang normal kerana ia tidak perlu memberikan pertimbangan kepada pasangan masing-masing, malah melakukannya untuk kepuasan diri sendiri semata-mata.
Hubungan seks yang normal memerlukan perasaan bertimbang rasa serta mementingkan keselesaan di samping menghormati keinginan pasangan. Sekiranya sesuatu perbuatan tidak dapat memenuhi harapan pasangan, tentunya ia boleh menjejaskan kualiti hubungan seksual tersebut.
Onani yang dilakukan secara ekstrem juga akan memberikan tekanan berlebihan kepada alat kelamin yang boleh memberi kecederaan kepada saraf. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang beronani menjejaskan kenikmatan hubungan seksual setelah berkahwin kelak.
Amat baik jika adik dapat mengelak daripada meneruskan tabiat onani ini walaupun ia bukanlah penyebab haid yang tidak teratur.Haid normal adalah yang terjadi selama beberapa hari sehingga lebih kurang seminggu lamanya bagi setiap satu kitaran. Pusingan haid yang tidak teratur dialami lebih daripada 35 hari.
Ada sesetengah wanita haidnya datang dua atau tiga bulan sekali dalam setahun. Keadaan ini disebabkan oleh gangguan hormon dan wanita yang mengalami masalah ini adalah kurang subur kerana tidak mengeluarkan ovum (telur).
Punca lain
Terdapat pelbagai penyebab haid yang tidak teratur iaitu; senaman yang melampau biasanya berlaku dalam kalangan ahli sukan atau atlet, kekurangan atau berlebihan berat badan (tidak mempunyai berat badan yang ideal), mengalami tekanan perasaan yang teruk dan gangguan emosi, pengambilan pelbagai jenis ubatan, kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga dan gangguan hormon lain seperti masalah pada kelenjar tiroid.
Masalah kitaran haid yang tidak teratur yang agak kerap dialami wanita adalah juga disebabkan oleh sindrom ovari polisistik ('Polycystic Ovarian Syndrome'- PCOS). Tanda paling ketara yang dialami oleh wanita yang menghidap PCOS adalah kedatangan haid yang tidak teratur, biasanya lambat datang haid dan kadang-kadang jaraknya menjadi begitu jauh sehingga tiga ke enam bulan. Terdapat juga sebahagian wanita yang tidak mengalami haid dalam masa setahun.
Ada juga wanita yang menghidap PCOS mengalami perdarahan yang berpanjangan sampai 15 hingga 30 hari tanpa henti. Gejala ini dikenal sebagai 'polimenorea', iaitu haid yang tidak tetap dan biasanya dialami tiga atau enam bulan sekali dan kadang-kadang berpanjangan.
Ketidakseimbangan hormon menyebabkan sel teka dalam ovari menebal. Keadaan ini mengakibatkan folikel matang tidak dapat dihasilkan. Kesan ini membantutkan pengovulan (tidak bertelur) dan menyebabkan haid menjadi tidak teratur.
Kadang-kadang keadaan ini juga menyebabkan dinding rahim menebal tidak seperti wanita normal disebabkan rangsangan hormon androgen yang berterusan pada penghidap PCOS.
Masalah kitaran haid yang tidak teratur yang berpanjangan mungkin boleh menjejaskan tahap kesuburan seseorang wanita jika dibiarkan.
Saya nasihatkan agar adik berhenti daripada mengamalkan onani yang banyak memberi kesan negatif kepada remaja. Fokuskan pemikiran dan pelajaran adik sepenuhnya sebagai seorang pelajar atau siswa di institusi pengajian tinggi yang akan menjamin masa depan.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment