Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, February 29, 2012

Sokongan Terhadap Pesakit MS

Sebagai pesakit dan juga Presiden Persatuan Sklerosis Berbilang Malaysia, Padma Panikker mengakui hidup dengan penyakit sklerosis berbilang (MS) membawa cabaran berbeza pada setiap hari.

Katanya, MS menjadikan dirinya lebih kuat dan memberi motivasi untuk membantu orang lain yang mengalami MS.

"Saya ingin menyumbang usaha untuk meningkatkan kesedaran ke atas MS dan melebarkan rangkaian pesakit. Berdasarkan pengalaman sendiri, saya sedar betapa pentingnya memberi sokongan kepada pesakit sama ada secara fizikal, kewangan mahupun emosi. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi dan penyokong kami kerana membantu mencapai matlamat ini," ujarnya.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit dan sokongan pesakit MS, Persatuan Sklerosis Berbilang Malaysia, disokong oleh Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd., menganjurkan acara jalan kaki untuk kebajikan "I Walk for MS" pada 20 Mei lalu.

Acara ini adalah kemuncak kempen "A Wake of Hope" yang dijalankan bersempena Hari MS Sedunia pada 30 Mei setiap tahun.

Acara jalan kaki sejauh 2.5 kilometer yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur menyaksikan model antarabangsa, Amber Chia melepaskan bendera kepada lebih 300 peserta yang terdiri daripada pesakit MS dan pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya gembira melihat orang ramai menyokong kempen MS. Harapan saya agar masyarakat lebih menyedari tentang MS dan terus menyebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan serta ahli keluarga mereka untuk menggalakkan saringan awal. Saya juga akan melakukan perkara yang sama," terang Amber.

MS adalah penyakit autoimun yang menyerang sistem saraf utama - otak, saraf tunjang dan gentian saraf ke mata.

Gangguan autoimun berlaku apabila sistem imunisasi seseorang, yang biasanya melindungi tubuh, menyerang dan memusnahkan tisu sihat dalam tubuh. Dianggarkan seramai satu hingga 2.5 juta penduduk dunia menderita penyakit ini.

Wanita, dua hingga tiga kali lebih ramai didiagnosis dengan MS berbanding lelaki.

Di Malaysia, kekerapan MS adalah dua bagi setiap 100,000 penduduk , iaitu hanya 60 peratus didiagnosis dan dirawat .



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment