Bercerita mengenai rokok, kita tentu terbayang banyak jenama rokok di pasaran memandangkan setiap negara mempunyai jenama sendiri.
Mengimbau iklan rokok Malboro Man - lelaki berpakaian koboi dengan sebatang rokok di tangan menunjukkan 'kehebatan'.
Tapi tidak ramai tahu tiga lelaki yang terlibat dalam iklan Malboro Man - Wayne McLaren, David McLean dan Dick Hammer meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
Budaya merokok dibawa ke Eropah pada abad ke-16, kemudian menjadi kebiasaan dalam kalangan bangsawan.
Di Amerika Syarikat pula, puak Red Indian merokok untuk acara pemujaan dan bukan menunjukkan kehebatan.
Walau untuk tujuan apa pun, hakikatnya merokok menimbulkan banyak masalah bukan saja dari segi kesihatan bahkan kehidupan sosial.
Kajian saintifik menunjukkan terdapat begitu banyak bahan kimia berbahaya terkandung di dalam rokok.
Daripada nikotin, tar, sianida, benzena, cadmium, metanol, asetilena, amonia, formaldehid, hidrogen sianida, arsenik sehinggalah karbon monoksida.
Nikotin mungkin menyebabkan perokok merasa tenang namun tar mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dengan 60 daripadanya bersifat karsinogen iaitu pencetus kanser.
Karbon monoksida pula sejenis gas berbahaya yang jika disedut dengan banyak boleh mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke tisu-tisu dan menyebabkan sukar bernafas dan cepat letih.
Aceton dan toluidine - yang juga terdapat dalam rokok pula biasanya digunakan masing-masing sebagai penanggal cat dan pelarut industri antaranya terdapat dalam pencuci lantai.
RoketMetanol pula terdapat dalam bahan api roket; napthalene adalah ubat gegat; DDT ubat pembunuh serangga manakala butane biasa digunakan dalam pemetik api.
Menurut Pakar Runding Perubatan, Pusat Perubatan Taman Desa, Datuk Dr. G. Selvaraju, kanser pertama kali dikaitkan dengan merokok pada 1964.
"Bagaimanapun mekanisme sebenar mengaitkan merokok dan kanser masih belum diketahui," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, nikotin dan tar yang terdapat dalam rokok adalah faktor yang mengganggu fungsi paru-paru.
Biasanya, apabila pesakit didiagnosis dengan kanser paru-paru, masanya sudah terlambat kerana penyakit telah sampai ke peringkat serius.
"Ubatnya mudah. Jauhi rokok, arak dan jaga pemakanan.
"Penyakit menjadi kronik jika seseorang itu merokok dan mengambil pula alkohol serta tidak menjaga pemakanan," kata Dr. Selvaraju yang masih sihat biarpun sudah berusia lebih 70 tahun. Mengikut anggaran, 20 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia adalah perokok.
Tambah Dr. Selvaraju, semasa usia remajanya sekitar 1950-an amat sukar melihat orang menghisap rokok kerana ia bukan budaya Asia.
"Tetapi sekarang saya lihat kadangkala satu keluarga menghisap rokok," katanya kesal.
Dalam hal ini, beliau menyalahkan iklan sebagai penyebab remaja terdedah dengan budaya merokok.
"Biasanya perokok yang merokok lebih 15 tahun, kelihatan normal semasa ujian kesihatan kerana sel kanser tidak kelihatan.
Ini kerana apabila berlaku 'kesilapan' dalam badan, tubuh masih boleh bertahan sehingga 80 peratus.
"Selepas tahap itu, barulah badan bertindakbalas menyebabkan pengesanan terlewat," katanya.
Menurutnya, seorang pesakitnya yang pernah dinasihatkan agar berhenti merokok datang semula kepadanya selepas 15 tahun kerana batuk berpanjangan, kahak berdarah dan berat badan menyusut.
"Dia didiagnosis kanser paru-paru pada peringkat lewat.
"Tiada apa yang boleh dilakukan selain kemoterapi dan pembedahan di samping menjaga kesihatan kerana sistem badan tidak lagi berfungsi seperti biasa," katanya.
RadangDr. Selvaraju berkata, majoriti perokok menghidap radang paru-paru atau bronkitis menyebabkan sesak nafas dan batuk berpanjangan.
Apa yang menyedihkan, perokok pasif atau mereka yang tidak merokok tetapi dikelilingi perokok - juga boleh mendapat kanser kerana sering menghidu asap rokok.
"Sebenarnya lebih bahaya dikelilingi oleh perokok berbanding anda sendiri yang menjadi perokok," katanya.
Bagi perokok aktif, menurut beliau, kesannya akan dirasai mereka biasanya selepas 15 tahun. "Mereka akan terdedah kepada lebih 20 penyakit kronik yang terdiri daripada pelbagai jenis kanser antaranya pundi kencing, perut, usus dan rahim, mulut, esofagus, tekak, pankreas, payudara dan paru-paru.
"Mereka juga mudah mendapat penyakit berkaitan saluran pernafasan, strok, osteoporosis, jantung dan mandul," ujarnya.
Bagi perokok wanita pula, mereka mungkin mengalami putus haid awal, melahirkan bayi cacat, keguguran, bronkitis, batuk, ulser peptik, otot lemah, penyakit gusi dan kerosakan mata.
Menurut Dr. Selvaraju, perokok pasif atau mereka yang dikelilingi perokok aktif terdedah kepada risiko kanser paru-paru dan penyakit jantung, masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis, sakit atau pedih mata, bersin dan batuk-batuk, sakit kerongkong dan sakit kepala.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment