Fakta memang tidak berbohong: penyakit sistem penghadaman semakin meningkat saban hari dan kini menjadi 10 punca kematian paling tinggi di Malaysia. Ketahui lebih lanjut dari para pakar sistem penghadaman tentang bagaimana risiko dapat dikurangkan dan cara pengurusan kepada masalah penghadaman anda. Panel pakar kami akan cuba menjawab persoalan atau menjelaskan segala keraguan anda tentang kesihatan penghadaman. Hantarkan persoalan anda bersama dengan nama, jantina, umur, alamat dan nombor telefon ke emel: digestivehealth@versa-group.com dan faks ke: 03-5638 9909.
Kandungan artikel ini adalah sebagai panduan atau rujukan sahaja, dan tidak bertujuan menggantikan nasihat perubatan daripada doktor.
SOALAN:
Saya sering sendawa tanpa sebab dan mengalami sakit perut yang teruk. Masalah sendawa ini sudah berlarutan kira-kira satu minggu sekarang. Saya juga rasa loya apabila sendawa. Saya suka keluar bersantai tetapi kini saya jarang berbuat demikian disebabkan masalah ini. Apakah yang berlaku? Apakah yang saya harus buat bagi mengurangkan gejala ini?
* Pembaca: Nurul Ain Abdullah
JAWAPAN:
Apabila kita sendawa, gas yang terkumpul dalam perut dikeluarkan melalui mulut kita. Sendawa, juga dikenali sebagai tahak, tidak semestinya menandakan masalah kesihatan yang serius.
Lazimnya sendawa adalah disebabkan oleh tabiat makan yang salah. Waktu makan yang tidak tepat dan juga kecenderungan makan berlebihan boleh menyebabkan sendawa yang teruk. Di samping itu, pengambilan makanan pedas dan berminyak yang banyak juga boleh memburukkan masalah sendawa, termasuk masalah seperti sakit perut yang anda sebutkan tadi.
Selain itu, penyakit refluks gastroesofagus (GERD) juga boleh menjadi punca utama sendawa berlebihan. Penyakit refluks asid ini menolak asid dari perut ke esofagus dan menyebabkan pedih hulu hati dan sendawa berterusan.
Sesetengah orang pula banyak sendawa dan bertahak disebabkan udara yang ditelan. Udara memasuki saluran gastrousus apabila kita bernafas atau bercakap sambil makan.
Jika kita mahu mengurangkan masalah sendawa berlebihan ini, kita harus mengubah pengambilan makanan kita dengan mengurangkan minuman bergas serta makanan pedas dan berminyak yang boleh meningkatkan sendawa. Ini adalah antara beberapa punca atau sebab kita kadangkala sendawa secara berlebihan.
Anda boleh pergi berjalan-jalan selepas makan supaya makanan boleh dihadamkan dengan baik. Elakkan makanan tertentu yang sukar dihadam seperti sayur kacang, bawang, kubis bulat, kubis bunga, kentang, oat dan produk susu. Anda juga harus mengurangkan pengambilan makanan berlemak tinggi yang banyak menghasilkan gas. Teh halia boleh diminum untuk membantu mengeluarkan angin dan melegakan kembung perut.
SOALAN:
Najis saya berwarna hitam seperti tar. Perut saya rasa kurang selesa seolah-olah kembung dan ini mengurangkan selera makan saya. Saya bekerja di restoran dan saya makan banyak makanan berminyak seperti sos perang, mentega, mayones dan kuah yang mengandungi minyak. Najis saya berwarna hitam sejak 2 hari lalu. Apakah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan keadaan saya ini?
* Pembaca: Mohamad Mustafa Salim
JAWAPAN:
Najis hitam, bergris atau seperti tar menandakan pendarahan dalaman. Salah satu sebabnya mungkin kerana makanan yang diambil. Kadangkala semakin usia kita meningkat, badan kita berubah dan alahan boleh berlaku. Makanan berminyak, berlemak dan pedas juga boleh mencetuskan sindrom ini. Ia juga boleh disebabkan jumlah zat besi yang berlebihan dalam makanan anda. Masalah ini boleh dirawat dengan hanya mengubah diet makanan anda.
Najis hitam juga boleh disebabkan pendarahan di bahagian atas gastrousus. Warna hitam menandakan kehadiran darah yang dihadamkan dalam najis. Ia lazimnya berpunca daripada penyakit atau kecederaan di mana-mana sistem penghadaman, dari bahagian mulut hingga usus kecil. Pendarahan itu sendiri boleh berlaku atas banyak sebab, baik yang ringan dan mudah dirawat mahupun yang mengancam nyawa. Penyakit yang mungkin dialami termasuk kanser perut, sirosis hati dan gastritis atau ulser peptik.
Satu lagi punca najis hitam ialah garam bismut sulfat, sejenis ubat yang diambil untuk merawat masalah penghadaman. Namun, najis hitam dalam kes ini tidak menandakan pendarahan gastrousus.
Untuk menangani masalah ini, anda harus makan sayuran dan makanan yang kaya dengan serat semula jadi dan kurang lemak tepu. Jika anda sedang mengambil ubat, anda masih boleh meneruskan pengambilannya tetapi elak penggunaan ubat antiradang yang berterusan dan berlebihan seperti ibuprofen, naproxen dan aspirin. Di samping itu, anda harus mengehadkan pengambilan alkohol memandangkan jumlah alkohol yang banyak boleh merengsakan pelapik esofagus dan perut dan ini boleh menjadi punca pendarahan.
Jika anda tidak dapat mengenal pasti sebab pemakanan sebagai punca najis hitam, dan jika anda mengalami kembung perut dan khususnya rasa tidak selesa atau sakit dalam perut, anda harus berjumpa dengan doktor. Lebih awal anda mengetahui sebab musababnya, lebih awal anda boleh mendapatkan rawatan dan lebih cepat anda boleh mengatasi masalah tersebut.
Professor Madya Dr Sheikh Anwar Abdullah adalah seorang perunding gastroenterologi dalam Badan Penasihat Perut Sihat. Penulis ini tidak mempunyai kaitan dan tidak menyokong sebarang jenama atau produk. Rencana ini adalah sumbangan Badan Penasihat Perut Sihat dan disokong oleh Program Perut Sihat Vitagen. Untuk mendapat buku panduan kesihatan penghadaman secara percuma atau maklumat lanjut, sila hubungi 03-5621 1408.
Ditulis oleh: Profesor Madya Dr Sheikh Anwar Abdullah
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
saya nk tnya sikit,perut saya selalu sakit,ia akan jdi sakit dlm 2 bulan skali..saya sakit bukan rasa seperti nk buang air besar tapi ia hnya rasa sakit shaja.Pabila jdi,perut saya akan rasa sangat sakit shingga tak boleh nk tidur..
ReplyDeleteSaya nk tnya perut saya ini sakit apa?