Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, November 26, 2011

Minyak Haiwan Petua Karut

Pada zaman serba moden ini, masih ada golongan mempercayai cerita ‘seribu satu malam’ dan minyak bonggol unta yang kononnya boleh menguatkan anggota kelamin lelaki.

Jika minyak ‘sakti’ ini memberi semangat ‘unta’ ketika bersama isteri, saya tidak pasti jika si isteri akan menerimanya.


Sama ada minyak dimaksudkan itu dihasilkan daripada bonggol unta atau bonggol unta hanya sebagai tanda nama atau ‘lambang’ minyak itu, sebenarnya ia tidak boleh dipercayai.

Untuk makluman lelaki, bonggol unta adalah tempat simpanan lemak dan air yang boleh digunakan oleh unta apabila tiada makanan atau air dalam perjalanan di padang pasir.


Bonggol unta itu mustahak untuk binatang berkenaan. Sebaliknya pula, ia tidak penting untuk kita.

Saya percaya banyak lagi binatang dan haiwan diburu kerana kepercayaan bahawa sebahagian anggotanya mampu meningkatkan tenaga batin. Badak sumbu diburu kerana kepercayaan sumbunya baik untuk kekuatan batin lelaki.

Hakikatnya, sumbu badak untuk mempertahankan diri daripada serangan binatang buas dan ia tidak memberi manfaat kepada manusia!

Sama juga seperti lintah, biawak, harimau, buaya dan monyet probosis, yang diburu kerana ada antara kita mahukan bahan daripada haiwan berkenaan untuk menguatkan tenaga batin.

Jika ada yang bertanya saya mengenai perkara seperti ini, saya tiada jawapan untuknya. Malah, saya tidak mempercayai benda itu boleh membantu lelaki.

Lagipun, semuanya tiada bukti kukuh untuk dipercayai dan mampu menjadi penawar memulih tenaga batin. Ingin saya jelaskan, lemah syahwat, ereksi tidak kuat atau cepat klimaks antara masalah kesihatan.

Lelaki yang mengalami masalah ini harus berjumpa doktor, bukan mendapatkan ‘petua’ karut.

Masalah kesihatan lelaki ada penawarnya. Selain menjaga kesihatan melalui amalan gaya hidup sihat, anda boleh menjalani pemeriksaan doktor untuk meninjau tahap kesihatan dan penyakit yang mungkin tidak kelihatan tanpa saringan seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi dan penyakit koronari.

Sebaliknya, amalan memakan ubat kuat yang didapati daripada pasaran gelap, Viagra dan lain-lain ubat tanpa nasihat doktor sangat berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan.

Ditulis oleh: Dr Ismail Tambi
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment