Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, October 13, 2011

Pulih Sehari Selepas Pembedahan

Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak kelahiran Perak ini selepas penderitaan sakit belakang yang dialaminya sejak sembilan tahun lalu sembuh sepenuhnya.

Mazlina Mohd Nizam, 39, kerap sakit di bahagian belakangnya yang menyukarkan dia membuat kerja harian. Pada awalnya dia menyangka itu hanya simptom kepenatan kerana dia selalu mengangkat barang berat dan kesan sering terjatuh. Disebabkan penyakit ini, dia selalu menghadapi masalah sukar tidur dan tidak boleh duduk. Pada suatu hari dia berasa sangat sakit di bahagian belakang (sebelah kiri) hingga menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Atas nasihat doktor Pakar Perubatan Ortopedik dan Bedah Pusat Pakar Perubatan Sri Kota (SKSMC), Klang, Selangor Dr. Appasamy Velu, Mazlina kemudiannya melakukan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan Dr. Appasamy mendapati tulang belakang Mazlina rosak.

Dr. Appasamy menyarankan Mazlina menjalani pembedahan dengan mengambil tulang pinggul.

Dikurniakan dua orang anak, sakit belakang Mazlina datang kembali tetapi tidak kronik seperti dahulu.
Akhirnya pada Jun 2010, Dr. Appasamy memberitahu Mazlina berita yang menggembirakan dirinya.

Dengan adanya pembedahan terkini iaitu pembedahan Minimally Invasive Spine Surgery (MISS) yang dikenali eXtreme Lateral Interbody Fusion (XLIF), sakit belakang Mazlina mungkin akan pulih sepenuhnya.
"Apa yang menggembirakan saya ialah pembedahan ini cukup mudah dan cepat. Hari ini buat pembedahan, hari yang sama juga saya boleh keluar hospital. Tidak seperti sembilan tahun lalu, saya terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk membuat kerja. Kesakitan yang saya alami seolah-olah pulih selepas sehari pembedahan," katanya.

Apabila sakit belakang datang, secara automatik ia akan menyukarkan aktiviti seharian anda. Duduk, berjalan dan membongkok boleh menyebabkan kesakitan yang menusuk, rasa sakit seperti digigit-gigit dan kebas.
Ramai yang mengalami sakit belakang dan bezanya cuma dari segi tahap kesakitan.

"Struktur dan fungsi tulang belakang menyebabkan bahagian belakang cenderung mengalami kesakitan atau kecederaan. Tulang belakang yang menyokong badan kita mempunyai 33 tulang vertebra berasingan yang dipisahkan oleh 'disc' atau piring.

"Ia dikelilingi dan disulami dengan ligamen, otot, dan saraf. Sakit belakang boleh terjadi bila berlaku pergerakan yang salah atau secara tiba-tiba, terlalu banyak tekanan bebanan apabila membawa atau mengangkat barang berat, atau posisi badan yang lemah," ujar Dr. Appasamy.

Walaupun biasanya masalah ini tidak serius dan boleh diatasi dengan mudah namun kadang kala ia boleh disebabkan oleh penyakit atau kecederaan yang terjadi pada tulang belakang.

Punca sakit 

Kecederaan otot merupakan punca utama sakit belakang. Ia disebabkan oleh otot abdomen dan belakang lemah, postur yang lemah, terlalu lama duduk, berdiri atau membongkok dan kurang bersenam.

Kecederaan ini hasil daripada pergerakan secara tiba-tiba atau terlalu kuat, atau cara yang salah mengangkat barang berat.

Selain itu, sakit belakang boleh disebabkan stres atau tekanan, penyakit tulang, sendi atau penyakit-penyakit lain seperti artritis atau ketumbuhan.

Siapa yang berisiko?

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Ortopedik dan Bedah SKSMC, Dr. Siow Yew Siong memberitahu, mereka yang berada dalam lingkungan usia antara 30 hingga 50 tahun harus berjaga-jaga.

"Wanita yang mengalami "post menopaus" juga berisiko tinggi sekiranya jatuh, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai tulang belakang yang lemah lebih mudah cedera (compression fracture) iaitu patah," katanya.

Selain itu, mereka yang terlibat dengan jenis pekerjaan yang melibatkan individu-individu yang terpaksa mengangkat benda-benda berat dan duduk untuk jangkamasa lama turut tergolong dalam kumpulan berisiko,
Malah mereka yang sering melakukan senaman lasak mungkin meningkatkan risiko kecederaan tulang belakang.

Simptom 

Kebiasaannya, pesakit akan mengalami sakit atau sengal pada bahagian belakang, biasanya pada bahagian pinggang.

Mereka turut berasa kebas pada bahagian kaki, sakit dari pinggang ke kaki dan tidak boleh berjalan jauh.
Justeru itu, orang ramai yang mungkin mengalami simptom ini perlu mendapatkan nasihat doktor.

Rawatan terkini

Pembedahan Invasif Minimum Tulang Belakang (MISS - Minimally Invasive Spine Surgery) merupakan pembedahan yang menggunakan teknologi terkini untuk memelihara tisu-tisu badan semasa pembedahan (teknik pembedahan tisu kecil) dijalankan.

Melalui cara pembedahan terbaru ini, risiko seperti kecederaan tisu, trauma tisu lembut, pendarahan berlebihan dan kesakitan berterusan dapat diminimakan. Selain itu, risiko lain semasa pembedahan dijalankan seperti jangkitan, keperluan untuk pemindahan darah serta kejadian kecemasan yang tidak diingini juga dapat dikurangkan. Kadar pemulihannya (MISS) jauh lebih cepat berbanding teknik pembedahan konvensional.

bagi mereka yang mahu mengurangkan risiko kesakitan dan cepat sembuh, anda boleh mencuba MISS menerusi kaedah baru yang dikenali sebagai eXtreme Lateral Interbody Fusion (XLIF).

Pembedahan XLIF ini sesuai untuk mereka yang tidak boleh melalui tempoh pembedahan terlalu lama atau mengurangkan masa anestesia atau kehilangan rasa pada tubuh (sebahagian atau seluruh) apabila dikenakan ubat bius.

Menurut Dr. Appasamy dan Dr. Yew Siong, pembedahan ini juga mengurangkan kehilangan terlalu banyak darah ketika pembedahan, kos rawatan dan penyembuhan.

Justeru itu, SKSMC ini telah memperkenalkan kaedah XLIF iaitu antara pembedahan pertama MISS di Asia yang dikendalikan Dr. Appasamy dan Dr. Yew Siong.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment