Kehidupan pesakit Atrial Fibrillation (AF) atau pemfibrilan atrium sebenarnya lebih mencabar daripada pesakit jantung yang lain.
Selain berhadapan dengan rutin rawatan yang rumit, mereka juga melalui proses diet yang ketat.
Demi kesihatan mereka sanggup melakukannya dengan pemantauan doktor yang lebih kerap.
Lebih membimbangkan pesakit, mereka akan menjadi beban kepada keluarga.
Bercerita pengalaman saat perit berhadapan dengan AF, Jamaludin Kamarudin, 58, mula diserang penyakit itu pada 2003.
“Ketika itu saya di rumah dan tiba-tiba saya mula berpeluh. Kemudian, saya tidak boleh bergerak. Isteri saya, Maimun Majin yang ditemani anak kami, Johana Intan Suria bergegas membawa saya ke hospital. Saya koma selama empat hari.
Selepas sedar daripada koma, saya telah didiagnosis dengan AF.
Saya sebenarnya mempunyai sejarah penyakit lain, sudah biasa mengambil ubat dan bersedia menjalani rawatan,” ujarnya.
Di sebalik ketenangan Jamaludin, Johana mengakui sangat risau melihat keadaan bapanya yang koma.
“Saya bimbang dia telah mati. Kini saya belajar untuk menghargai masa dengan bapa,” ujar Johana.
Dalam pada itu, pesara pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri itu mengekalkan gaya hidup sihat walaupun mengakui agak sukar meneruskan rawatan di hospital.
“Saya berjalan lebih kurang lima kilometer sehari. falsafah saya sangat mudah, saya hanya membawa tablet ubat dua kali sehari dan sekiranya saya tidak mengambil ubat, saya akan mati,” kata Jamaludin sambil tersenyum.
Perubahan
Kehidupan Jamaludin kini semakin ceria apabila dia mula menggantikan ubat AF yang lama kepada ubat yang ditadbir di bawah kajian RE-LY.
Dia tidak perlu lagi mengawal pemakanan seperti dahulu dan terikat dengan rawatan hospital.
Pada usia emas ini, Jamaludin yang menetap di Seremban, negeri Sembilan dapat bergerak bebas tanpa perlu rasa takut.
Melalui pengalaman yang hampir sama, Quek Swan Leng, 71, yang sebelum ini bekerja dalam industri pembinaan menghidap AF lebih daripada 18 tahun. .
Dengan rawatan konvensional, anak perempuannya, Bey Leei, 37, berkata tiada banyak perubahan yang dialami bapanya selama ini.
“Bapa saya meneruskan rawatan ubat, menjauhi sayur-sayuran seperti brokoli. Di samping itu, bapa saya tidak boleh mengambil makanan tambahan atau herba tradisional seperti ginseng tertentu. Cuma selama ini kami bimbangkan rawatan AF yang lama mungkin menyebabkan darah beku atau strok. Namun masalah ini seolah-olah telah diselesaikan dengan mengambil ubat yang ditadbir di bawah kajian RE-LY,” ujar Bey Leei.
Walaupun lega, Quek mengakui dia akan mengambil ubat seumur hidup.
Adakah anda berisiko?
Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr. Razali Omar menjelaskan, AF adalah keadaan membabitkan bahagian atrium jantung tidak berdenyut seperti biasa sebaliknya bergetar dengan laju.
Keadaan itu disebabkan wujudnya aktiviti elektrikal yang tidak terkawal di atrium kiri jantung.
“Kehadiran impuls elektrik yang luar biasa mengganggu pusat isyarat elektrik iaitu sinoatrial node (SAN) yang berfungsi mengawal kadar denyutan jantung.
“Ia menyebabkan kadar denyutan jantung dan nadi menjadi luar biasa dan tidak stabil,” ujarnya.
Jelas Dr. Razali, apabila gangguan itu berlaku, proses mengepam darah dari jantung ke seluruh badan akan terjejas.
Gara-gara tidak dipam kaluar secara berkesan dari jantung seperti kebiasaannya, darah mula bertakung di atrium, terutamanya di ruang kosong yang dipanggil apendaj atrium kiri (LAA).
“Takungan darah akan bergumpal membentuk ketulan darah beku.
Darah beku ini sangat mudah tertanggal dan dibawa aliran darah melalui arteri ke bahagian otak lalu menyebabkan serangan strok,” katanya.
Menurut Dr. Razali , antara simptom-simptom AF ialah rasa berdebar-debar, kadar denyutan nadi tidak konsisten, pitam, kesukaran bernafas dan kelesuan.
“Individu yang mengalami AF biasanya akan dirujuk kepada pakar kardiologi. Kaedah rawatan bergantung kepada jenis AF, tahap keseriusannya dan tahap kesihatan pesakit,” katanya
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment