Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, October 11, 2009

Ubah Kualiti Hidup Pesakit Alzheimer

Alzheimer ialah salah satu bentuk penyakit nyanyuk (demensia) yang kerap dialami oleh mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas. Ia menyebabkan kehilangan progresif sel saraf otak yang penting untuk pemikiran normal, daya ingatan dan fungsi otak.

Setiap tahun, sebanyak 4.6 juta kes baru demensia dilaporkan di seluruh dunia iaitu satu kes baru muncul setiap tujuh saat.

Sementara itu, menjelang tahun 2050, dianggarkan terdapat 100 juta pesakit demensia di seluruh dunia.

Pada umumnya, pesakit alzheimer menghadapi gangguan kemahiran dan prestasi kerja akibat kehilangan daya ingatan jangka masa terdekat.

Selain itu, pesakit mungkin berdepan dengan kesukaran melaksanakan tugasan yang biasa dilakukannya.

Ketua Unit Geriatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Lee Fatt Soon berkata, alzheimer kerap dihadapi oleh mereka yang telah berusia.

Dianggarkan sebanyak empat peratus warga emas yang berusia 75 tahun menghidap alzheimer, 85 tahun (16 peratus) dan 90 tahun (32 peratus).

Menurutnya, pada kebiasaan tanda pertama pesakit mula mengalami nyanyuk adalah ketidakupayaan untuk mengingati perkara yang baru berlaku dalam kehidupan hariannya seperti pergi melancong atau membeli belah.

"Seterusnya, mungkin timbul perubahan pada corak pertuturan atau percakapan. Misalnya, pesakit mempunyai masalah menggunakan perkataan yang betul, lebih cenderung mencari perkataan yang ringkas atau sememangnya menghadapi kesukaran memilih perkataan yang sesuai.

"Selain itu, pesakit alzheimer juga mengalami kesulitan atau kurang orientasi dalam mengecam masa dan tempat. Daya pertimbangan yang semakin merosot turut menyukarkan pesakit dalam membuat keputusan,'' katanya ketika menyampaikan ceramah awam yang dianjurkan oleh Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia dan Novartis Corporation (M) Sdn. Bhd. (Norvatis), baru-baru ini.

Menurut Fatt Soon, pesakit alzheimer juga tidak boleh menjaga diri seperti untuk ke bilik air, memberus gigi, memakai pakaian dan mandi serta berkecenderungan tersalah meletak barang.

Pada akhirnya, keupayaan mereka untuk berjalan dan bercakap juga mungkin terjejas atau hilang sama sekali.

Walaupun penyelidikan intensif dijalankan kebelakangan ini, penyakit alzheimer masih belum difahami sepenuhnya dan tiada penawar yang diketahui. Ini menyebabkan pengesanan dan rawatan awal merupakan satu-satunya pilihan untuk menguruskan penyakit dengan berkesan.

Bagaimanapun, masih terdapat kekurangan kesedaran dan pemahaman terhadap penyakit ini di kalangan masyarakat.

Kebanyakan pesakit yang menghidapi masalah ini menderita tanpa bantuan atau harapan.

Sepatutnya, fenomena ini harus diubah kerana kualiti hidup pesakit alzheimer boleh diubah.

Seringkali pesakit, keluarga dan penjaga mereka kurang mendapat sokongan yang diperlukan dan sepatutnya diterima.

Justeru itu, Yayasan Alzheimer Malaysia (ADFM) dengan kerjasama Norvatis Corporation Malaysia mengumumkan satu siri inisiatif sempena Hari Alzheimer Sedunia (WAD) 2009 termasuk Piagam Global Penyakit Alzheimer.

WAD yang diraikan pada 21 September lalu setiap tahun memberi tumpuan kepada meningkatkan tahap kesedaran penyakit alzheimer dan mengutarakan realiti hidup dengan penyakit otak yang bertambah susut.

Penaung ADFM, Puan Seri Wendy Ong berkata, kebanyakan rakyat Malaysia masih samar mengenai realiti penyakit alzheimer.

Kurang kesedaran dan kefahaman mengenainya mendorong kepada lebih banyak yang menderita kerana mereka sering ketinggalan dari mendapatkan bantuan penjagaan yang sewajarnya.

"Menyedari perlunya penyakit alzheimer diberikan lebih banyak pendedahan, satu kempen mengumpul tandatangan dilancarkan untuk mendapatkan sokongan bagi Piagam Global Penyakit Alzheimer yang disediakan oleh Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI).

"Piagam ini mendesak satu tindakan untuk mencari penyelesaian ke atas isu kesihatan umum yang semakin meningkat dan penjagaan kecemasan sosial yang disebabkan oleh penyakit alzheimer dan demensia yang lain,'' katanya.

Tambah Wendy, kemuncak perayaan WAD Malaysia diadakan pada 26 September lalu di Pusat Penjagaan Harian ADFM, Seksyen 11, Petaling Jaya, Selangor.

"Pelbagai acara yang memberi pendedahan lebih mendalam mengenai alzheimer diadakan khusus untuk pesakit, penjaga kesihatan dan keluarga serta orang ramai.

"Juga satu siri promosi melalui stesen-stesen radio mengenai fakta mengenai penyakit alzheimer dan membincangkan Piagam Global Penyakit Alzheimer serta kempen tandatangan turut diadakan," ujarnya.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment