Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, October 07, 2009

Masalah Kencing Kaum Adam

Hipertropi Prostat yang Tidak Berbahaya (BPH) atau Penyakit Pembesaran Prostat merupakan suatu masalah serius yang menjejaskan setiap aspek hidup seorang lelaki.

Beberapa gejala pembesaran prostat ialah sentiasa mengalami desakan untuk kerap hendak kencing, perasaan kencing sering tidak puas, tidur selalu terganggu kerana terpaksa kerap mengunjungi bilik air pada waktu malam, pengaliran air kencing yang lemah dan air kencing cuma keluar meleleh atau menitis sahaja.

Prostat membesar disebabkan oleh pengumpulan hormon seks lelaki, testosteron dalam prostat. Sebaik sahaja ia berada di dalam prostat, testosteron akan ditukar menjadi suatu sebatian yang lebih berkuasa yang dikenali sebagai dihidrotestosteron. Inilah sebatian yang menyebabkan sel-sel prostat membiak secara berlipatganda membuatkan prostat itu berkembang menjadi besar.

Pembesaran prostat tidak menyebabkan kanser prostat. Adalah penting gejala yang dialami diperiksa pakar bertauliah untuk mempastikan ia bukan disebabkan oleh kanser prostat.

Definisi Prostat

Prostat ialah kelenjar dalam sistem pembiakan lelaki. Prostat mengeluarkan sebahagian daripada cecair untuk pengolahan air mani yang membantu melincirkan uretra bagi meningkatkan pergerakan sperma. Organ prostat ini agak kecil saiznya - hampir sebesar biji buah berangan. Ia terletak bawah sedikit dari pundi kencing dan membaluti keliling uretra lelaki (tiub yang membawa air kencing dari pundi kencing keluar dari badan).

Bagi sesetengah lelaki yang bernasib baik, saiz prostat mereka tetap tidak berubah. Tetapi malangnya, kira-kira 75 peratus lelaki yang berumur lebih 50 tahun akan mengalami pembesaran prostat yang boleh dikesan dan diukur. Keadaan prostat seperti ini dikenali sebagai Hiperplasia Prostat Tidak Merbahaya (Benign Prostatic Hyperplasia - BPH). Prostat yang membesar itu akan menghimpit uretra membuatkan anda susah hendak kencing.

Herba Semula Jadi Untuk Masalah Kencing

i) Saw Palmetto (Serenoa repens)

Pati larut lemak daripada buah beri saw palmetto telah diiktiraf sebagai rawatan semulajadi terkemuka untuk BPH. Kajian yang dibuat telah menggunakan 320 miligram (mg) pati saw palmetto setiap hari yang dipiawaikan untuk mengandungi kira-kira 80 hingga 95 peratus asid lemak. Saw Palmetto merupakan penawar herba terbaik pernah diselidiki untuk merawat BPH.

Dalam ujian di beberapa tempat di Eropah, 160 mg pati saw palmetto yang diambil dua kali sehari dilihat dapat merawat BPH secara berkesan, sama seperti finasterida tanpa sebarang kesan sampingan, seperti kehilangan libido (syahwat). Satu kajian perbandingan dos selama satu tahun mendapati 320 mg sekali sehari adalah sama berkesannya seperti 160 mg dua kali sehari dalam rawatan BPH. Tinjauan yang dibuat terhadap semua ujian yang ada membuat kesimpulan saw palmetto adalah berkesan untuk merawat kaum lelaki dengan BPH. Ia adalah sama berkesannya, bahkan mempunyai lebih sedikit kesan sampingan, berbanding ubat finasteride.

Kesan Klinikal Pati Saw Palmetto ialah mengurangkan desakan hendak kencing (termasuk di waktu malam), meningkatkan kadar aliran air kencing dan mengurangkan penahanan air kencing. Kajian terbaharu menunjukkan manfaat tahap optimum dengan saw palmetto boleh dicapai dengan patinya yang larut lemak dipiawaikan, serta mengandungi 85 hingga 95 peratus asid lemak.

ii) Tomato [Lycopene] - Lycoparsion esculentum

Salah satu daripada nutrien semula jadi yang paling banyak dibuat kajian dari segi pencegahan kanser prostat termasuklah Lycopene yang mengandungi phytosterols (kimia tumbuhan) yang memberikan buah tomato warna merah cerah. Lycopene diberi markah yang tinggi oleh para penyelidik kerana ciri antioksidannya yang mujarab. Kajian menunjukkan pengambilan lycopene pada tahap yang tinggi ada kaitannya dengan perlindungan kesihatan prostat jangka panjang.

iii) Pygeum (Pygeum africanum)

Pygeum merupakan herba kedua paling popular untuk mengubat prostat yang membesar. Pati Pygeum mengandungi phytosterols yang dapat menyekat sintesis prostaglandin, dengan itu menurunkan paras prostaglandin yang luar biasa tingginya, lazimnya ditemui dalam penyakit BPH.

Pati ini mempunyai kesan anti radang, oleh itu ia mengurangkan radang dalam tisu prostatin. Pygeum telah diluluskan di Jerman, Perancis dan Itali sebagai ubat untuk BPH. Kajian terkawal yang diterbitkan sepanjang 25 tahun lepas menunjukkan Pygeum adalah selamat dan berkesan untuk orang lelaki yang menghidapi BPH sederhana atau yang tidak begitu tenat. Kesan-kesan klinikal pati Pygeum termasuk mengurangkan desakan hendak kencing (termasuk pada waktu malam), mengurangkan peninggalan sisa air kencing, mengecilkan saiz prostat dan menghalang pembiakan sel prostat.

iv) Stinging nettle (Urtica dioca)

Akar pokok Stinging nettle mengandungi lignan yang tinggi yang memberi keupayaan kepada akar itu untuk mengikat kepada hormon seks serta mengikat globulin (SHBG), iaitu kunci bagi penggunaannya untuk masalah prostat. Apabila orang lelaki semakin berumur, paras SHBG mereka semakin meningkat membuatkan mereka lebih rentan kepada pembiakan sel yang tidak normal. Pokok stinging nettle mempunyai tarikan yang kuat untuk SHBG, dengan itu mengehadkan jumlah testosterone dan estrogen yang boleh mengikatnya dan mempengaruhi pembiakan sel.

Ia telah berjaya digabungkan dengan kedua-dua saw palmetto dan Pygeum untuk merawati BPH dalam ujian. Kesan-kesan Klinikal pati akar Stinging Nettle termasuk mengurangkan risiko pembiakan sel prostat tidak normal, mengurangkan peninggalan sisa air kencing, mengurangkan kekerapan hendak kencing waktu malam, menggalakkan keseimbangan hormon dan meningkatkan kadar aliran air kencing.

v) Biji labu (Pumpkin Seed - Curcubita pepo)

Pati biji labu mengandungi phytosterols, curcubitin dan selenium. Pati ini menghalang 5-alpha-reductase dengan itu mencegah penukaran testosteron menjadi dihidrotestosteron. Kajian klinikal telah membuktikan pengurangan yang luar biasa terhadap kekerapan membuang air kecil di waktu siang dan malam dapat dicapai. Di samping itu, kadar aliran air kencing juga meningkat dan sisa air kencing yang tinggal juga berkurangan.

Pemilihan Suplemen

Terdapat banyak produk untuk mengubati penyakit prostat dalam pasaran. Sebahagiannya diperbuat daripada satu herba tunggal sahaja manakala yang lain boleh didapati dalam berbagai kombinasi. Oleh kerana saw palmetto, lycopene, Pygeum, stinging nettle dan pati biji Labu telah pun terbukti melalui kajian saintifik dapat menyokong kesihatan prostat, maka kita boleh mendapatkan suplimen yang menggabungkan pati semula jadi lima-dalam-satu ini untuk membantu mengawal dan memperbaiki masalah kencing lelaki.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment