Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, April 30, 2008

Untuk Iktibar


PNEUMONIA atau radang paru-paru boleh membawa maut, terutamanya bagi kanak-kanak dan warga emas.




















Bagi Ritzzamoni Rosli dan suami, Rosaimi Yusoff, pengenalan pertama dengan penyakit pneumokokal hampir menyebabkan mereka kehilangan anak bongsu, Ros Aqidah Rosli Rosaimi.

Ros Aqidah dilahirkan pada 6 Mei 2007 di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur secara normal, tanpa sebarang komplikasi dan dengan berat 2.4 kilogram. Mimpi ngeri keluarga ini berlaku tanpa disedari, mengejutkan dan tidak disangka-sangka apabila Ros Aqidah menghidap pneumonia ketika berusia tiga bulan.

Menurut Ritzzamoni, anak kecilnya itu cuma demam sedikit, yang datang dan pergi selama tiga hari tanpa simptom pelik, tiada batuk atau hidung berhingus.

“Pada hari ketiga, Ros Aqidah tidak memberikan tindak balas seperti biasa dan hanya tidur berjam-jam lamanya, tidak menangis dan tidak bangun untuk menyusu.

“Pada mulanya, kami hanya biarkannya tidur, tetapi saya perasan warna kulitnya berubah dan juga kelihatan menghadapi masalah untuk bernafas,” katanya.

Ibu bapa kepada empat orang anak ini kemudian bergegas mencari doktor terdekat sebelum diarahkan doktor tersebut supaya membawa Ros Aqidah ke hospital dengan segera. Ibu bapa mana tidak ketakutan dalam keadaan tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya sedangkan anak mereka sihat sepenuhnya sebelum ini.

Ros Aqidah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dipasangkan alat bantuan pernafasan selepas doktor mengesahkannya menghidap pneumonia akibat jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae. Pedih untuk ibu muda ini melihat badan kecil anak tersayang dicucuk jarum dan dimasukkan bermacam jenis tiub.

“Saya fikir hanya orang dewasa yang boleh terkena pneumonia dan hanya dapat berdoa supaya anak sembuh. Syukurlah Ros Aqidah memberi tindak balas positif terhadap rawatan.

“Ros Aqidah menangis tetapi tidak mengeluarkan bunyi kerana dipasang tiub sementara tangannya diikat (elakkan cabut tiub). Saya cuma boleh menyentuh tetapi tidak dapat mendakapnya,” ujar Ritzzamoni.

Mereka menyalahkan diri sendiri di atas apa yang berlaku dan memikirkan mereka mungkin kurang berjaga-jaga dan patut lebih berhati-hati. Sebagai ibu bapa kepada empat orang anak, Ritzzamoni dan suaminya langsung tidak pernah mendengar mengenai penyakit pneumokokal sama ada daripada doktor atau rakan-rakan. Mereka juga tidak pernah tahu ada vaksin untuk mengelakkannya, tidak diberikan pilihan untuk mengambil vaksin tersebut dan ianya tidak disertakan dalam jadual vaksinasi anak.

Ros Aqidah dibenarkan pulang selepas dua minggu di hospital. Ritzzamoni dan suaminya membuat keputusan untuk terus memberikan vaksin pneumokokal untuk Ros Aqidah dan tiga anak yang lain, Ros Aqilah Rosli, Ros Afiqah Rosli, Muhammad Afiq Rosli serta anak kakak Ritzzamoni.

“Kami juga memaklumkan semua orang yang kami kenali mengenai vaksin tersebut. Walaupun kosnya hampir RM1,000 seorang, nilai ini tidak dapat dibandingkan dengan mimpi ngeri yang terpaksa kami lalui sebelum ini.

“Ia juga harga kecil berbanding terpaksa melihat anak terlantar sakit di hospital, sedangkan penyakit yang boleh membawa maut ini boleh dielakkan,” jelas Ritzzamoni.

Menurutnya lagi, pengalaman tersebut mengubah keluarganya dan dia sendiri memilih untuk berhenti dari kerjaya di sebuah bank untuk menjaga anak-anak.

Ritzzamoni menegaskan keluarga lebih penting daripada kerjaya atau wang dan keluarganya bernasib baik Ros Aqidah berjaya dirawat dan pulih sedangkan ramai anak kecil lain menemui ajal akibat penyakit pneumokokal.

“Anak kepada rakan abang saya juga meninggal akibat penyakit ini. Oleh itu, kami mahu membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai penyakit ini dan memaklumkan adanya vaksin untuk melindungi anak,” ujarnya.

Ritzzamoni juga mendakwa terpaksa membayar kos rawatan RM15,000, tidak termasuk kos rawatan susulan, untuk Ros Aqidah menjalani ujian imbasan Sinar-X, fisioterapi dada, sedutan cecair, diberikan morfin dan ujian darah harian.

Selain itu, dia dan suami juga terpaksa mengambil cuti kecemasan dan mengorbankan masa dari tiga anak yang lain untuk menjaga anak bongsunya itu di hospital. Ritzzamoni memohon semua doktor meluangkan masa untuk memaklumkan orang ramai mengenai penyakit ini dan vaksinnya di samping menjelaskan siapa mangsanya, risiko jangkitan, rawatan dan kaedah pencegahan.

“Walaupun tak mampu mendapatkan vaksin tersebut tetapi sekurang-kurangnya ibu bapa yang dimaklumkan boleh mengambil langkah pencegahan.

“Janganlah difikirkan kos sebagai perkara utama dan biar ibu bapa sendiri memilih untuk mengambil vaksin pneumokokal atau tidak,” tegasnya.

Ritzzamoni juga mencadangkan pilihan vaksinasi pneumokokal mungkin boleh disertakan di dalam jadual vaksinasi anak walaupun tidak diwajibkan.

“Nyawa anak tidak ternilai. Lindungilah mereka daripada kuman dalam pergaulan harian dengan orang atau kanak-kanak lain,” katanya.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Kecederaan Panahan Petir

Sering kita mendengar berita manusia cedera atau mati akibat dipanah petir. Walaupun kematian akibat panahan petir jarang berlaku, ia merupakan punca kematian akibat cuaca yang paling banyak berlaku selain daripada banjir.

Di Amerika Syarikat (AS), dilaporkan berlaku 3,000 kematian setahun akibat serangan jantung yang berkaitan dengan panahan petir. Kebanyakan kes orang terkena panahan petir berlaku di luar bangunan, semasa melakukan aktiviti sukan/rekreasi (memancing, berenang, bersukan padang, bermain golf) atau bekerja (pembinaan, pertanian).

Kecederaan akibat panahan petir berlaku dengan beberapa cara:

1. Panahan secara langsung (Direct Strike), tiga hingga lima peratus.

2. Panahan sentuhan (Contact strike), satu hingga dua peratus (seseorang yang menyentuh sesuatu objek yang terkena panahan petir seperti pokok, tiang bendera, tiang lampu jalan).

3. Serpihan (Side splash), 30 peratus (petir yang terkena pada sesuatu objek dan terpantul atau menyerpih ke bumi).

4. Panahan bumi (Ground Strike), 40 hingga 50 peratus (panahan petir ke permukaan bumi dan bergerak dalam lingkaran bulat dari pusat panahan sejauh 50 hingga 70 meter).

5. Petir bumi (Upward streamer) 20 hingga 25 peratus (semasa petir, caj elektrik bertenaga rendah dari permukaan bumi menjalar naik untuk bersambung dengan petir. Caj elektrik ini boleh mencederakan seseorang bila ia terkena walaupun caj ini belum bersambung dengan petir dari langit).

Kecederaan Panah Petir

Akibat terkena panahan petir seseorang boleh mengalami beberapa kecederaan, bergantung kepada cara mangsa dipanah petir.

Ianya boleh mengakibatkan kecederaan ringan, kecederaan parah dan juga kematian. Kadar kematian akibat panahan petir adalah antara lapan hingga 10 peratus.

Jantung berhenti berdenyut (cardiac arrest) semasa panahan petir menjadi antara punca utama kematian mangsa.

Kecederaan Yang Boleh Berlaku Termasuk:

1. Kecederaan pada jantung – cardiac arrest, arithimia, kerosakan alat bantu denyutan (pacemaker).

2. Kecederaan otak – hilang kesedaran, sawan, sakit kepala, perubahan personaliti, hilang tumpuan, pening, permasaalahan saraf seperti sakit dan kebas.

3. Kecederaan letupan (Blunt injury) – seseorang boleh terpelanting akibat letupan yang berlaku di kawasan panahan petir.

4. Kesan terbakar pada permukaan kulit. Kulit terbakar teruk (Deep burn) jarang berlaku (kurang lima peratus).

5. Kecederaan telinga – gegendang telinga koyak atau berdarah, sakit dan kurang pendengaran, vertigo.

6. Kecederaan mata – masalah penglihatan, katarak.

5. Cedera lain akibat kecederaan letupan - patah tulang, terkehel sendi, patah tulang tengkuk, retak tengkorak, paru-paru terkoyak, kecederaan dalam abdomen.

Risiko Terkena Panahan Petir

Terdapat dua faktor utama yang meningkatkan risiko panahan petir iaitu

1. Ketinggian sesuatu objek dari permukaan bumi

2. Jarak seseorang dari objek yang terkena petir. Petir boleh menjalar antara 30 hingga 50 meter secara bulatan daripada objek yang dipanah.

Telefon bimbit, alat muzik mudah alih dan komputer riba tidak meningkatkan risiko dipanah petir.

Tetapi telefon talian tetap, alat elektrik rumah (komputer, alat permainan video yang wayarnya disambung ke TV) meningkatkan risiko dipanah petir.

Tiada tempat di kawasan luar rumah yang selamat dari panahan petir.

Apakah bentuk bantuan kecemasan yang perlu dilakukan untuk mangsa?

1. Jika ingin membantu, pastikan anda tidak berada dalam keadaan yang berbahaya.

2. Alihkan mangsa dari kawasan bahaya.

3. Jika mangsa tidak bernafas, tentukan sama ada mangsa masih mempunyai nadi. Jika tiada nadi, cuba berikan pertolongan CPR (resusitasi jantung dan paru-paru), sekiranya anda tahu.

Jika anda tidak tahu CPR, segera dapatkan pertolongan orang yang tahu dan pada masa yang sama dapatkan orang untuk memanggil ambulans ataupun bawa sendiri mangsa ke pusat perubatan atau hospital.

4. Mangsa perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lebih rapi untuk menentukan tahap kecederaan.

Rawatan Di Hospital

1. Doktor akan pastikan tahap kecederaan.

2. Mangsa akan menjalani pemeriksaan darah, imbasan sinar-X dada, leher dan tengkorak jika perlu.

3. Ujian EKG (jantung).

4. Mangsa mungkin perlukan CT scan otak dan abdomen untuk pastikan tahap kecederaan.

5. Rawatan khusus akan diberikan mengikut kecederaan yang mangsa alami.

Komplikasi

Disebabkan kecederaan panahan petir boleh mengakibatkan komplikasi tertunda, mangsa perlu mendapatkan rawatan susulan untuk mengelakkan:

* sawan,

* kerosakan otak

* kelumpuhan (paralysis)

* kerosakan mata (katarak)

* kerosakan telinga (hilang pendengaran)

* kesakitan saraf yang kronik

Pencegahan

1. Semasa waktu petir, elakkan daripada berada di kawasan luar atau kawasan terbuka. Bila kedengaran bunyi guruh, bermakna kita berada di dalam lingkungan kawasan panahan petir. Petir boleh bergerak antara 10 hingga 12 batu ke hadapan sebelum ribut sampai walaupun langit masih cerah.

2. Semasa ribut petir jangan berlindung di kawasan tinggi dan bawah objek yang tinggi seperti pokok atau pondok di atas bukit.

3. Jangan memegang atau membawa objek besi semasa ribut petir seperti payung, kayu golf, alat pancing ikan atau basikal. Jangan pakai topi keledar besi seperti topi keledar bola lisut.

4. Jika tiada tempat berlindung duduk mencangkung dan tutup telinga dengan tangan. Jika berkumpulan, pastikan jarak antara kita adalah 15 kaki dan semua duduk mencangkung.

5. Anda boleh berlindung dalam kenderaan seperti kereta, bas dan lori tetapi jangan sentuh bahagian besi kenderaan. Kenderaan golf (buggy) tidak selamat untuk perlindungan daripada panahan petir.

6. Jika dalam bangunan seperti rumah atau pejabat, tutup dan jauhi dari tingkap. Jangan mengguna telefon talian tetap atau alat elektrik, seperti komputer, melainkan jika ada alat pemisah petir (lightning arresster). Jangan menggunakan paip air kerana arus petir boleh menjalar melalui paip dan wayar dari luar ke dalam bangunan walaupun bila petir terkena di luar bangunan.

7. Tunggu selama 30 minit selepas petir yang terakhir sebelum keluar semula.

8. Petir lazimnya memanah di tempat yang sama sebanyak dua kali.

Anda dinasihatkan menghentikan semua aktiviti luar apabila mendengar guruh di langit. Jangan tunggu berlakunya panahan petir baru mahu tergesa-gesa lari mendapatkan perlindungan. Kebanyakan kecederaan boleh berlaku semasa ribut belum bermula.

Peningkatan jumlah mangsa panahan petir mungkin berlaku disebabkan perubahan iklim dunia akibat pencemaran dan pemanasan global.

Oleh itu, orang ramai perlu belajar menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dunia dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan ancaman bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan panahan kilat.


Ditulis oleh:
Kol (B) Dr Abdul Rahman Mohd Ali
Pakar Perubatan Am dan Kardiologi,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Makanan Cantikkan Kulit

SOALAN:
Saya ingin memperoleh kulit yang cantik dan berseri. Saya telah mencuba beberapa jenis krim penjagaan kulit yang berjenama tetapi hasilnya kurang memuaskan. Adakah cara lain untuk mencapai hasrat ini?

JAWAPAN:
Wanita mengalami banyak perubahan pada kulitnya seperti kekurangan penghasilan sebum, kehilangan keanjalan dan proses pemulihan semakin lemah akibat perubahan hormon yang bermula sejak usia baligh, kehamilan dan menopaus. Biasanya, kita menjaga kesihatan kulit secara luaran dengan penggunaan krim ataupun mengunjungi salun kecantikan untuk mencantikkan kulit.

Tetapi, mungkin kita tidak sedar bahawa vitamin, mineral dan asid lemak perlu (EFA) yang mencukupi juga diperlukan ke arah memperoleh kulit yang sihat dan cantik. Sebenarnya, apa yang dimakan lebih penting berbanding penggunaan produk secara luaran bagi mengekalkan kecantikan kulit.

Asid lemak Omega 6 daripada minyak evening primrose disarankan untuk kesihatan kulit. Kajian (oleh R.Muggli pada Ogos 2005) yang diterbitkan dalam International Journal of Cosmetic Science menunjukkan bahawa pengambilan tiga gram (gm) minyak evening Primrose Rigel setiap hari selama tiga bulan boleh melambatkan penuaan kulit.

Tumbuhan Rigel juga menghasilkan minyak yang mengandungi 33 peratus lebih Asid Gama Linolenik (GLA) sedangkan hanya dos yang lebih rendah diperlukan untuk pengekalan kulit sihat. Pengambilan minyak evening primrose memberi manfaat kepada kelembapan, kehilangan air, keanjalan, ketegangan, daya tahan dan kekasaran kulit.

kajianDengan itu, sekiranya anda inginkan pelembap dan produk rawatan diserap oleh kulit dengan lebih baik, pengambilan EFA adalah perlu. Beberapa kajian menunjukkan pengambilan EFA bersama antioksida seperti vitamin A, C dan E berkesan bagi memperbaiki kesihatan dan merawat masalah kulit termasuk dermatitis dan ekzema.

Vitamin A penting untuk kesihatan luaran dan dalaman kulit, vitamin C membantu pembentukan kolagen (fiber penyokong kulit) dan vitamin E merangsang pemulihan dan pembaikan tisu. Ia mencegah kerosakan sel dengan menghalang pengoksidaan lemak dan pembentukan radikal bebas. Kekurangan zink boleh melambatkan proses penyembuhan luka atau jerawat. Zink bersama vitamin E pula menggalakkan pemulihan tisu untuk kulit yang muda serta mungkin membantu masalah kulit yang berparut.

Untuk memastikan anda mendapat manfaat yang maksima, pengambilan nutrien antioksida memerlukan kombinasi yang lebih menyeluruh kerana kekurangan sesetengah nutrien akan menjejaskan kulit atau anda tidak akan memperolehi kesan yang sepatutnya. Dengan itu, pengambilan kombinasi beberapa nutrien antioksida yang mengandungi beta karotena, vitamin C, E, selenium dan zink dalam satu tablet merupakan langkah pencegahan daripada kerosakan radikal bebas.

Antioksida lazimnya boleh didapati dalam sayur-sayuran dan buah-buahan yang berwarna terang seperti labu, tomato, bayam, sengkuang merah, karot, brokoli, betik dan jambu. Jika tidak pasti dengan diet anda, suplemen tertentu boleh menjadi pilihan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Dialisis Kanak-Kanak

Bagi kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang, masa depan mereka akan menjadi malap jika tidak menjalani dialisis dan tiada ihsan kemanusiaan.

Airul Mohamad Safie, 14, anak bongsu daripada lima adik-beradik dikenal pasti menghidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak berumur sembilan tahun. Dua daripada kakaknya juga menghidapi penyakit ini pada usia yang muda. Salah seorang daripadanya meninggal dunia akibat komplikasi sampingan selepas didiagnosis pada umur empat tahun. Ibunya, Jamilah terpaksa berulang-alik dari Kuala Selangor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan untuk anak-anaknya. Selama 23 tahun, Jamilah terpaksa menanggung beban kos rawatan dan pengangkutan awam.

Rajeswari Mathavam pula didiagnosis menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir pada usia lima tahun apabila mata dan badannya bengkak. Namun hari ini, pada usia 10 tahun, hidup Rajeswari seperti kanak-kanak lain. Cuma, beliau perlu melakukan dialisis dalam persekitaran bersih setiap hari pada pukul 8 malam.

Tahukah anda kegagalan buah pinggang boleh berlaku kepada kanak-kanak, walaupun seawal tahun pertama kehidupan mereka? Penyakit yang diwarisi merupakan antara punca penyakit buah pinggang di kalangan kanak-kanak dari tahap kelahiran sehingga umur lima tahun. Manakala bagi yang berumur 10 hingga 19 tahun, penyakit glomerular merupakan penyebab utama penyakit buah pinggang. Glomerular berlaku apabila unit penapisan (glomeruli) buah pinggang rosak, menyebabkan protein masuk ke dalam air kencing. Keluaran protein yang meningkat secara berterusan akan menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Penyakit buah pinggang juga boleh berlaku semasa pembentukan fetus dalam kandungan disebabkan perkembangan unit perfungsian sel (nefron) yang abnormal dalam buah pinggang. Kanak-kanak juga boleh dilahirkan dengan buah pinggang yang tidak normal dan tidak berupaya berfungsi dengan betul. Ini mungkin berkaitan ataupun tidak berkaitan dengan sekatan saluran kencing. Sebab-sebab lain yang menyebabkan penyakit ini kronik termasuklah pembalikan aliran air kencing ke dalam buah pinggang.

Tanda-Tanda Dan Pencegahan

Bagaimanakah anda tahu sekiranya seseorang kanak-kanak sedang menderita akibat penyakit buah pinggang, terutamanya apabila kanak-kanak itu tidak tahu menyuarakan ketidakselesaan ataupun perasaannya?

"Ibu bapa harus lebih prihatin atas tumbesaran yang normal bagi kanak-kanak dan tumbesaran mereka tidak terencat. Kanak-kanak cepat membesar dalam dua tahun yang pertama kehidupan.

"Kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang mungkin mengalami bengkak terutamanya kawasan sekeliling mata. Anemia atau kekurangan sel darah merah juga boleh menjadi simtom penyakit buah pinggang kronik," jelas Pakar Pediatrik Nefrologi dari HKL yang juga ahli lembaga Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Dr. Lim Yam Ngo.

Dialisis Untuk Kanak-Kanak

Jika penyakit buah pinggang kronik menjadi semakin teruk, ini akan menyebabkan kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis. Peritoneal dialisis yang terdiri daripada Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Automated Peritoneal Dialysis (APD) adalah jenis rawatan yang biasa digunakan untuk kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang berbanding rawatan hemodialisis.

"Hemodialisis tidak dijadikan pilihan di kalangan kanak-kanak kerana mereka perlu ke pusat dialisis selama empat jam, tiga kali seminggu. Selain daripada itu, kanak-kanak juga takut dengan jarum yang digunakan dalam rawatan tersebut," kata Dr. Lim.

Untuk kaedah CAPD, pesakit mempunyai satu kateter tetap yang dimasukkan ke dalam badan. Melalui kateter ini, cecair dialisis dimasukkan ke dalam abdomen pesakit. Bahan kumuh dari badan akan disingkirkan melalui cecair dialisis tersebut yang dikeluarkan selepas empat hingga enam jam.

Cecair dialisis yang baru dimasukkan ke dalam badan. Proses untuk pemasangan pertukaran cecair mengambil masa antara 30 hingga 45 minit setiap kali dan dilakukan oleh ibu bapa pesakit atau penjaga. Sesi rawatan pertukaran cecair mesti dijalankan setiap empat hingga enam jam, empat kali sehari. Jumlah masa yang diambil serta kekerapannya dalam sehari tidak mudah untuk kanak-kanak yang bersekolah dan yang kedua-dua ibu bapanya yang berkerja.

"Dengan APD, dialisis bermula pada waktu malam dan berterusan selama 10 jam semasa kanak-kanak tidur. APD membolehkan kanak-kanak menghadiri sekolah dan dapat mengurangkan beban dialisis pada keluarga terutama bagi ibu bapa yang bekerja.

"Kanak-kanak yang menjalani dialisis berkemungkinan mempunyai keyakinan diri yang rendah, kurang tumpuan dalam pelajaran serta kemahiran bahasa dan pergerakan yang lemah. Ibu bapa dan anak seharusnya diberi kaunseling supaya dapat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi masalah seterusnya.

"Mereka harus belajar tentang penyakit ini dan cara menjalankan rawatan. Ia juga penting untuk ibu bapa berkongsi pengalaman dengan orang lain," kata Dr. Lim.

Penyakit buah pinggang kurang berlaku di kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa pun dapat membantu mereka selain menghulurkan simpati.

Tetapi syukurlah, kerana terdapat rawatan dialisis untuk mereka tetapi memerlukan kos yang tinggi. Kini NKF membantu 21 kanak-kanak menjalani rawatan di HKL.

"Walaupun kanak-kanak ini mempunyai penyakit buah pinggang pada usia muda, mereka berpeluang membesar seperti biasa. Bantulah NKF supaya kami dapat memberikan harapan dan bantuan kepada pesakit yang mengalami masalah buah pinggang, terutamanya melalui Dana Dialisis Kanak-kanak ini," kata Pengerusi Lembaga Pengarah NKF, Dr.S.S.Gill. Untuk maklumat lanjut, layari www.nkf.org.my atau hubungi NKF melalui talian 1300-88-3110.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, April 29, 2008

Lebih Asid Urik Punca Batu Karang


Bentuk batu karang yang berjaya dikeluarkan.



















“Encik perlu minum banyak air, elak mengambil makanan yang mengandungi sumber protein berlebihan,” demikian kata jururawat muda kepada Azman sebelum dia meninggalkan kaunter farmasi hospital swasta di ibu kota.

Dalam keadaan lemah Azman hanya mengangguk perlahan. Dia baru sahaja dibenarkan pulang setelah ditahan hampir seminggu kerana menjalani pembedahan membuang batu karang bersaiz enam milimeter pada bahagian kiri buah pinggangnya.

Secara peribadi Azman sendiri sudah dapat mengagak kesakitan yang ditanggung sejak dua minggu lalu termasuk kesukaran membuang air kecil, diikuti sakit pada bahagian pinggang, kemungkinan dia diserang penyakit batu karang _ sama seperti penyakit yang dialami ibunya kira-kira dua tahun lalu.

Bimbang perkara sama berulang, Azman mengambil keputusan berjumpa doktor lebih awal kerana setahunya keturunan turut menjadi faktor kepada penyakit itu. Setelah melakukan ujian darah, air kencing dan ujian sinaran X, tepat seperti diramal, doktor mengesahkan terdapat ketulan batu di sebelah kiri buah pinggangnya.

Menurut Pakar Urologi, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd., Jalan Tun Razak, Dr. Abdul Rashid Abdul Subahan, penyakit batu karang turut disebabkan faktor keturunan.

Oleh kerana itu adalah tidak mustahil penyakit yang sama dialami ibu Azman sebelum itu, kemungkinan diwarisi Azman.

Gaya hidup keluarga yang suka kepada pengambilan makanan yang terlalu banyak mengandungi asid urik seperti ikan sardin, ikan bilis, limpa, hati dan kerang tidak dinafikan menjadikan peratusan kemungkinan Azman menghidapi penyakit batu karang adalah tinggi.

Membincangkan mengenai bagaimana penyakit batu karang terjadi, Dr. Abdul Rahsid berkata, ia berlaku apabila wujud serpihan kristal kecil yang membentuk ketulan di dalam saluran pundi kencing atau buah pinggang.

Serpihan kristal kecil itu tidak diketahui puncanya, bagaimanapun pengambilan makanan yang mengandungi banyak asid urik dan oxalate merupakan penyebab utama kandungan asid urik bertambah.

“Penambahan kandungan asid urik di dalam badan menyebabkan hablur kecil yang dinamakan kristal lama-kelamaan membentuk batu karang.

“Pesakit batu karang akan mengadu sakit, kencing berdarah dan kerap mengalami jangkitan kuman di sistem aliran kencing. Tempat di mana kesakitan berlaku bergantung kepada tempat batu itu berada,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenainya, beliau berkata, pembentukan batu karang mengambil masa lama dan kebanyakan pesakit tidak sedar kewujudannya, sehinggalah beberapa gejala yang menyebabkan kesakitan pada sisi perut iaitu kiri dan kanan pinggang.

Bagi kes serius, kata Dr. Abdul Rashid, pesakit akan mengalami kesakitan pada saluran kencing kerana batu karang akan menyekat pengaliran air kencing.

Keadaan ini menyebabkan penghidap tidak boleh membuang air kecil. Apabila ini berlaku, wujud jangkitan kuman yang menyebabkan demam panas.

Seseorang mungkin mengalami demam sementara, tetapi bagi sesetengah kes pula, air kencing penghidap mungkin mengandungi darah atau nanah.

Beliau berkata, penyakit batu karang boleh menyerang setiap orang dan melibatkan kedua-dua jantina.

Namun, ia lebih kerap berlaku dalam kategori umur pertengahan dan ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki.

“Ia dipanggil batu kerana yang terbentuk dalam badan adalah sejenis zat yang keras seperti batu jalan dan pada asasnya mengandungi unsur kalsium. Ia diberi nama karang kerana menyerupai karang laut iaitu boleh tumbuh dan membesar, mempunyai pelbagai warna dan bentuk serta mempunyai ciri kekerasan yang berbeza,’’ ujarnya.

Penyakit ini boleh terjadi pada organ tertentu seperti buah pinggang dan pundi kencing.

Pada umumnya, sebutan batu karang merujuk kepada batu yang terjadi di dalam saluran air kencing, bermula dari buah pinggang, salur ureter, pundi kencing, kelenjar prostat hingga ke salur urethra.

Terang beliau lagi, batu karang bukan penyakit baru dan memang biasa dialami masyarakat di negara ini. Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui punca sebenar penyakit ini terjadi.

Kata Dr. Rashid, jumlah penghidap penyakit itu semakin bertambah berikutan perubahan taraf dan gaya hidup masyarakat di negara ini.

Pada masa sama juga perkhidmatan kesihatan berteknologi tinggi juga menjadikan rawatan untuk penyakit ini lebih mudah dan selamat.

Menerangkan kategori utama batu karang, beliau berkata, terdapat tiga jenis utama iaitu jenis kecil, sederhana dan besar.

Batu karang kecil bersaiz kurang daripada lima milimeter, manakala sederhana antara enam milimeter hingga satu sentimeter dan batu karang besar boleh mencecah antara satu hingga dua sentimeter sehingga tiga hingga empat sentimeter atau lebih besar.

Mengenai rawatan, kata beliau, bagi batu karang kecil rawatan yang biasa digunakan adalah menggunakan ubat yang memecahkan kristal dan kemudian dikeluarkan daripada badan melalui air kencing.

Rawatan batu karang ditentukan mengikut saiznya, kesihatan pesakit, kedudukan dan jumlah batu karang itu sendiri sama ada di dalam saluran kencing atau buah pinggang.

Sebelum menjalani rawatan, pesakit perlu menjalani ujian sinaran X, sama ada ultra sound atau contras media bagi menentukan kedudukan batu karang pada buah pinggang atau salur kencing.

“X-ray contras media yang dikenali sebagai Intra Venous Urogram (IVU) digunakan bagi mengenal pasti kedudukan batu karang sama ada penyebab sumbatan atau halangan di dalam sistem air kencing dan buah pinggang.

“Adalah lebih baik pesakit mendapatkan rawatan awal jika mengalami sakit pada buah pinggang. Jika batu masih kecil, memadai makan ubat untuk menghancurkannya dan dibuang secara semula jadi melalui air kencing,’’ ujarnya lagi.

Jika batu karang tersangkut dan ukurannya lebih besar lebih satu sentimeter, kaedah menembak dilakukan untuk mengecilkan batu tersebut.

Rawatan yang diguna untuk menghancur atau membuang batu karang adalah melalui kaedah tembak batu atau lithotripsy. Kaedah itu menggunakan tenaga dari luar atau dikenali sebagai Extra Corporeal Shockwave Lithoripsy (ESWL). Ia berfungsi untuk memecah batu karang yang berukuran kurang dua sentimeter. Sejenis mesin khas digunakan dalam proses penembakan dari luar badan.

Batu karang juga katanya, boleh dibuang menggunakan endoscopic lithotripsy. Kebiasaannya endoskop dimasukkan ke dalam saluran kencing untuk dijadikan panduan memasukkan satu lagi alat bagi memecahkan batu dari dalam badan.

Selepas batu dipecahkan, cebisannya disedut keluar melalui endoskop.

Bagi kes batu karang besar, pesakit dinasihatkan menjalani pembedahan.

Menurutnya, bagi pesakit yang sudah menjalani rawatan membuang batu karang perlu mendapatkan rawatan susulan kerana dikhuatiri masih ada serpihan batu karang yang tertinggal.


Ditulis oleh:
Roslah Othman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, April 26, 2008

Gejala Mata Malas Pada Kanak-Kanak


PEMERIKSAAN mata dan preskripsi cermin mata pada peringkat awal tumbesaran anak dapat mengelakkan berlakunya gejala mata malas selepas anak meningkat dewasa kelak.





















Gejala mata malas merupakan antara punca utama seorang kanak-kanak tidak berupaya melihat dengan baik.

Gejala mata malas dikenali sebagai ambylopia dalam bahasa perubatan. Keadaan ini berlaku disebabkan kanak-kanak melihat imej yang kabur sekiranya mengalami masalah rabun, juling atau keabnormalan pada tisu mata.

Imej yang kabur ini menyebabkan perkembangan otak turut terjejas.

Input visual yang dilihat akan dihantar ke otak bagi membolehkan kanak-kanak mengenali sesuatu objek.

Sekiranya proses ini terganggu dan tidak dirawat, kanak-kanak tidak dapat mengenali objek yang dilihat kerana bahagian otak yang berperanan mengawal deria penglihatan tidak berfungsi dengan baik. Fenomena ini dikenali sebagai gejala mata malas.

Gejala mata malas ini berlaku pada sebelah mata atau kedua-dua belah mata pesakit. Ia perlu dikesan pada peringkat awal dan pesakit dinasihatkan menjalani rawatan yang sewajarnya sebaik sahaja diagnosis dibuat oleh doktor pakar mata.

Rawatan awal dan konsisten amat penting bagi memastikan keupayaan kanak-kanak melihat berada pada tahap yang baik.

Punca dan Tanda-Tanda Klinikal

Antara punca gejala mata malas yang dikenal pasti ialah;

* masalah mata rabun

* perbezaan kuasa refraktif mata

* mata juling

* keabnormalan pada tisu mata

Masalah Mata Rabun

Mata yang rabun disebabkan oleh masalah hypermetropia, myopia dan astigmatism. Keadaan ini menyebabkan gejala mata malas berlaku pada kanak-kanak sekiranya tidak dirawat dengan berkesan.

Hypermetropia ialah satu keadaan apabila pesakit mengalami kesukaran untuk melihat dengan jelas pada jarak yang dekat.

Keadaan ini dikenali sebagai rabun dekat dan boleh dikesan seawal umur lima hingga enam tahun. Mereka mungkin menulis, membaca dan menonton televisyen pada jarak yang sangat dekat.

Kanak-kanak ini perlu menjalani pemeriksaan mata yang menyeluruh oleh doktor pakar mata. Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, kanak-kanak ini akan mengalami kesukaran terutamanya ketika membaca dan menulis sebaik sahaja mereka memasuki alam persekolahan.

Myopia ialah satu keadaan dimana pesakit berupaya melihat pada jarak dekat dengan jelas tetapi mengalami kesukaran melihat pada jarak yang jauh.

Keadaan ini dikenali sebagai rabun jauh dan boleh dikesan pada usia lapan hingga sembilan tahun. Mereka biasanya mula mengadu tidak dapat melihat dengan jelas perkara yang ditulis oleh guru di papan hitam atau papan putih yang berada di hadapan kelas sekiranya mereka duduk dalam barisan belakang.

Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh (myopia) kurang berisiko mengalami gejala mata malas berbanding kanak-kanak yang mengalami masalah rabun dekat (hypermetropia).

Ini disebabkan kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh tidak menghadapi masalah penglihatan pada jarak yang dekat. Mereka boleh membaca dan menulis tanpa sebarang kesulitan.

Astigmatism ialah keadaan struktur kornea atau permukaan mata yang berlekuk dan tidak sekata. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak melihat imej yang tidak jelas dan berpecah.

Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, kanak-kanak yang mengalami masalah astigmatism akan mengalami gejala mata malas.

Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun dekat (hypermetropia), rabun jauh (myopia) atau astigmatism mengalami gejala mata malas pada kedua-dua belah mata.

Perbezaan Kuasa Refraktif Mata

Keadaan ini dikenali sebagai anisometropia atau satu fenomena di mana terdapat perbezaan kuasa refraktif di antara mata kanan dan mata kiri seseorang pesakit.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak mengalami masalah rabun seperti yang dinyatakan di atas, sama ada rabun dekat (hypermetropia), rabun jauh (myopia) atau astigmatism, mempunyai kuasa cermin mata yang berbeza di antara mata kanan dan mata kiri pesakit.

Mata yang memerlukan kuasa cermin mata yang lebih berbanding mata yang satu lagi akan melihat imej yang kabur sekiranya keadaan ini tidak dirawat.

Kanak-kanak yang mengalami situasi ini, akan mempunyai tahap keupayaan penglihatan yang tidak sama pada kedua-dua belah mata.

Pesakit akan melihat imej yang kabur pada sebelah mata sahaja dan fenomena ini dikenali sebagai mata malas.

Mata Juling

Keadaan mata juling yang berlaku secara konsisten pada sebelah mata menyebabkan berlakunya gejala mata malas.

Mata yang juling, sama ada juling masuk atau juling keluar, sebenarnya tidak melihat imej yang jelas. Keadaan ini menyebabkan mata yang juling mengalami gejala mata malas.

Keadaan mata yang juling silih berganti mempunyai risiko gejala mata malas yang sangat rendah.

Juling silih berganti ialah satu fenomena di mana hanya sebelah mata yang kelihatan juling dan sebelah mata lagi kelihatan lurus pada satu-satu masa.

Dalam tempoh yang singkat, mata yang mulanya juling boleh berkeadaan lurus dan mata yang sebelah lagi pula mengalami juling.

Pesakit sebegini biasanya tidak mengalami gejala mata malas kerana dia berupaya melihat dengan jelas menggunakan hanya satu mata pada setiap masa.

Keabnormalan Pada Tisu Mata

Sebarang keabnormalan pada tisu mata pada struktur kelopak mata, kornea, kanta mata, vitreous dan retina akan menyebabkan gangguan imej yang dilihat.

Masalah kelopak mata yang jatuh (ptosis) dan sebarang kesan parut pada kornea mata sama ada akibat kecederaan atau kecacatan asal menyebabkan input visual yang kurang jelas dihantar oleh saraf mata ke otak.

Penyakit katarak kongenital, gangguan struktur vitreous dan retina juga menyebabkan masalah yang sama.

Sekiranya keabnormalan seperti yang dinyatakan di atas tidak dirawat, kanak-kanak terbabit akan hanya melihat imej yang kabur.

Lama-kelamaan, otak akan mengabaikan imej kabur tersebut dan menyebabkan keupayaan melihat kanak-kanak tersebut menjadi sangat terhad.

Komplikasi

Perkembangan visual penglihatan dan otak yang mengawal deria penglihatan bermula seawal usia empat hingga enam bulan.

Usia dua hingga enam tahun pula sangat kritikal untuk perkembangan deria penglihatan. Sebarang keabnormalan deria penglihatan yang dikesan sebelum usia enam tahun berpotensi tinggi untuk dirawat bagi membolehkan kanak-kanak melihat dengan baik, sekiranya mendapat rawatan yang sewajarnya.

Sekiranya gejala mata malas ini dikesan selepas usia 11 hingga 12 tahun, potensi untuk melihat dengan kadar yang baik amatlah terhad.

Perkara ini dikhuatiri mengganggu proses pembelajaran dan fokus masa depan kanak-kanak terbabit.

Kaedah Rawatan

Kanak-kanak yang mengalami gejala klinikal seperti yang dinyatakan di atas perlu menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor pakar mata.

Pemeriksaan ini penting bagi memastikan diagnosis yang tepat dan mengenal pasti punca berlakunya gejala mata malas.

Kanak-kanak yang mengalami masalah rabun (sama ada rabun dekat, rabun jauh atau astigmatism) dan perbezaan kuasa refraktif (anisometropia) juga perlu menjalani pemeriksaan refraksi mata oleh pegawai optometris yang terlatih.

Pemeriksaan refraksi mata akan menentukan kuasa cermin mata yang diperlukan oleh para pesakit.

Kanak-kanak ini akan dinasihatkan menggunakan cermin mata bagi membantu memulihkan keupayaan penglihatan mereka.

Walau bagaimanapun, mereka perlu menjalani pemeriksaan mata secara berkala bagi memastikan tahap penglihatan dan kuasa cermin mata mereka berada pada tahap yang optimum.

Sekiranya terdapat perbezaan tahap penglihatan di antara kedua-dua belah mata selepas menggunakan cermin mata, kanak-kanak terbabit perlu menjalani rawatan oklusi mata.

Doktor pakar mata biasanya akan menasihati kanak-kanak supaya menjalani rawatan oklusi mata di rumah.

Rawatan oklusi ialah satu bentuk rawatan yang didapati berkesan untuk merawat gejala mata malas.

Ia melibatkan proses menutup sebelah mata yang mempunyai tahap penglihatan yang lebih baik dengan menggunakan penampal khas.

Rawatan ini memakan masa selama beberapa jam seperti yang disyorkan oleh doktor pakar. Tujuan rawatan oklusi ialah menggalakkan kanak-kanak terbabit mula menggunakan mata yang kurang jelas dan otak belajar menerima input visual dari mata tersebut.

Rawatan oklusi mengambil masa, memerlukan kerjasama kanak-kanak terbabit dan juga komitmen yang tinggi oleh ibu bapa atau penjaga. Ia perlu dilakukan secara berterusan sehingga mata yang malas menunjukkan tahap penglihatan yang setara dengan mata yang sebelah lagi.

Pesakit yang mengalami masalah mata juling dan keabnormalan pada tisu mata perlu menjalani rawatan yang sewajarnya terlebih dahulu.

Selepas menjalani rawatan yang khusus untuk masalah juling dan keabnormalan pada tisu mata, barulah rawatan oklusi mata boleh diadakan secara sistematik.

Adalah penting supaya pesakit dapat mengikuti rawatan susulan mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor pakar mata.

Sepanjang tempoh rawatan, doktor pakar mata akan memantau tahap penglihatan pada kedua-dua belah mata para pesakit.

Rawatan oklusi biasanya ditamatkan setelah doktor pakar mata berpuas hati dengan tahap penglihatan pesakit.

Salah Anggapan Masyarakat

Masyarakat amnya kurang mendapat pendedahan mengenai gejala mata malas dan kaedah-kaedah rawatannya.

Gejala mata malas boleh dirawat sepenuhnya sekiranya dikesan pada peringkat awal dan ibu bapa mengambil sikap yang proaktif sepanjang tempoh rawatan diadakan.

Sikap menunggu sehingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu perlu dihindari. Kanak-kanak ini akan membesar dengan tahap penglihatan yang sangat rendah dan terhad sekiranya mereka tidak menjalani rawatan yang sewajarnya secepat mungkin.

Peranan Ibu bapa

Para ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam diagnosis awal dan rawatan yang tepat untuk penyakit ini.

Segeralah membawa anak anda berjumpa doktor pakar mata sekiranya anda mengesyaki mereka mengalami gejala mata malas.

Rawatan yang awal dan komitmen ibu bapa yang tinggi amat penting bagi membolehkan kanak-kanak yang mengalami gejala mata malas berupaya melihat kembali dengan baik dan jelas.

Mereka akan memerlukan keupayaan penglihatan yang optimum terutamanya menjelang alam persekolahan.


Ditulis oleh:
Dr Shatriah Ismail
Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Kampus Kesihatan Kelantan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Kesihatan Mata Kanak-Kanak

Tahukah anda bahawa 90 peratus daripada masalah mata adalah masalah gangguan fungsi penglihatan, manakala 10 peratus lagi adalah disebabkan oleh penyakit mata. Mengesan masalah gangguan fungsi penglihatan adalah cukup penting pada kanak-kanak kerana pada ketika inilah sistem penglihatan sedang berkembang dan sebarang gangguan akan menimbulkan masalah lain yang lebih serius. Ramai ibu bapa bertanya, berapa awal pemeriksaan mata boleh dilakukan terhadap kanak-kanak?

Jawabnya adalah seawal yang mungkin, sekiranya anda mengesyaki anak anda mengalami masalah mata kerana penyakit tidak mengenal usia. Kebarangkalian untuk mendapat penyakit boleh berlaku pada semua peringkat usia dan begitu juga dengan masalah gangguan fungsi penglihatan.

Saiz bola mata manusia akan berkembang antara lima milimeter (mm) hingga tujuh mm sahaja sepanjang hayat. Diameter bola mata bayi yang baru dilahirkan adalah 17.5 mm, manakala untuk dewasa adalah 23mm. Ketika bayi baru dilahirkan, ketajaman penglihatannya adalah 6/60. Ia akan berkembang dan akan mencapai tahap 6/6 pada umur empat tahun. Perkembangan ketajaman penglihatan berkait rapat dengan rangsangan cahaya dan objek yang dilihat di persekitaran. Ini bererti sekiranya kita menutup mata bayi, sistem penglihatannya tidak akan berkembang kerana tidak ada rangsangan penglihatan dari persekitarannya.

Sekiranya seseorang bayi mendapat katarak kerana jangkitan kuman ketika dalam kandungan, ia akan menghalang cahaya dari terfokus ke retina dan sistem penglihatan bayi tidak akan berkembang atau mencapai ketajaman penglihatannya tahap 6/6 menjelang umur empat tahun. Perkembangan ketajaman penglihatan yang tidak mencapai tahap 6/6 dinamakan “amblyopia” atau mata malas.

Amblyopia

Amblyopia atau mata malas adalah keadaan di mana ketajaman penglihatan tidak mencapai tahap 6/6 dengan preskripsi cermin mata terbaik tanpa ada sebab-sebab patologi lain. Kecacatan refraksi menjadikan kanak-kanak rabun yang menjadi sebab utama berlakunya amblyopia. Ini terjadi kerana pembiasan cahaya pada mata kanak-kanak yang rabun tidak terfokus pada retina dan seterusnya tidak merangsang perkembangan sistem penglihatan. Dalam keadaan ini pembetulan kerabunan perlu dibuat secepat mungkin agar amblyopia tidak berlaku.

Kejulingan juga menjadi faktor penting terjadinya mata malas. Kejulingan menyebabkan paksi penglihatan berubah dan cahaya tidak terfokus pada FOVEA iaitu titik peka pada retina dan boleh juga menyebabkan amblyopia. Pembetulan masalah penglihatan perlu dilakukan sebelum kanak-kanak berumur lapan tahun supaya sistem penglihatan berkembang dengan normal.

Bagi kanak-kanak yang kelihatan normal pada mata kasar, pemeriksaan pertama terhadap kesihatan mata harus dilakukan ketika berumur empat tahun atau ketika mula memasuki tadika. Ujian menyeluruh terhadap mata perlu dilakukan bagi menilai tahap kesihatan mata, bukan sekadar menguji tahap penglihatan atau tahap kerabunan sahaja.

Ramai antara kita tidak mengetahui bahawa kejulingan pada kanak-kanak boleh terjadi akibat rabun terutamanya kerabunan yang berlaku sebelum kanak-kanak berumur empat tahun. Sekiranya tahap kerabunan antara kedua-dua mata tidak sama, mata yang lebih rabun berkemungkinan besar akan juling. Ini kerana imej kabur dari mata tersebut tidak akan ditafsirkan oleh otak dan akibatnya mata tersebut tidak akan menumpu pada objek yang hendak dilihat. Lama-kelamaan mata tersebut akan juling.

Sistem penglihatan pada mata yang lebih rabun itu tidak akan berkembang dan akan menjadi amblyopia sekiranya tidak dibetulkan dari awal. Selalunya rabun jauh pada kanak-kanak akan menyebabkan juling keluar (exotropia) manakala rabun dekat akan menyebabkan juling ke dalam (esotropia).

Tip Ujian Ketajaman Penglihatan

Sistem penglihatan adalah antara yang paling cepat berkembang dalam tumbesaran bayi. Bayi selalunya mula melihat objek- objek yang terang ketika berumur satu bulan, mula mengamati objek yang bergerak ketika berumur dua bulan dan mula mencapai sesuatu objek besar ketika berumur empat bulan. Perkembangan penglihatan ini berkembang berterusan dan akan mencapai tahap ketajaman penglihatan 6/6 pada umur empat tahun.

Beberapa ujian penglihatan boleh dilakukan di rumah oleh ibu bapa bagi menilai tahap penglihatan anak-anak dan untuk mengesan sebarang masalah penglihatan.

* Ujian penglihatan cahaya - Ini boleh dilakukan dengan menggunakan lampu suluh kecil yang digerakkan beberapa kali dari mata bayi ketika berumur dua atau tiga bulan. Selalunya bayi akan mengikut dengan gerakan kepala ke mana arah lampu digerakkan.

* Menggunakan mainan yang sederhana besar - Ujian ini boleh dilakukan ketika bayi berumur tiga hingga empat bulan. Letakkan alat mainan (seelok-eloknya yang mengeluarkan bunyi) tersebut di hadapan bayi, Bayi akan cuba mencapai alat mainan tersebut.

* Mengunakan gula-gula manik - Ujian ini boleh dilakukan semasa bayi berumur enam hingga tujuh bulan. Letakkan gula-gula manik yang berwarna-warni pada tapak tangan anda di hadapan bayi. Sekiranya penglihatan bayi normal, ia akan cuba mengutipnya dan dimasukkan ke dalam mulut. Cuba dengan beberapa saiz gula-gula yang berbeza.

* Memadankan gambar-gambar yang serupa – Ujian ini boleh dilakukan dengan menggunakan dua set gambar yang serupa. Selalunya boleh diuji pada kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun pada jarak yang agak jauh di hadapannya. Jika anak sudah mula bercakap, suruh dia sebutkan objek yang ditunjukkan atau padankan gambar yang tunjukkan.

Sekiranya bayi tidak menunjukkan tindak balas yang diharapkan terhadap ujian di atas, bawalah ia berjumpa pakar mata (optometris atau oftalmologis) untuk pemeriksaan lanjut. Jangan takut untuk membuat pemeriksaan mata terhadap anak-anak anda kerana pengesanan masalah pada peringkat awal adalah penting untuk mengelak kes-kes yang lebih teruk seperti amblyopia dan juling. Amblyopia dan juling juga kini boleh dirawat melalui kaedah ortoptik yang boleh didapati di pusat rawatan pakar mata dan juga pusat perkhidmatan optometris. Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap kesihatan mata anak agar tidak menjejaskan kehidupan dan pendidikan mereka kelak.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Cara Terbaik Memberus Gigi

Memberus dengan sempurna adalah langkah pertama untuk menjaga kesihatan gigi dan gusi. Ia mengambil masa sekitar dua minit menggunakan teknik yang betul untuk memberus gigi dengan baik. Sama ada anda menggunakan berus gigi biasa atau berkuasa elektrik, anda perlu memberus setiap bahagian mulut iaitu bahagian atas (kanan dan kiri) dan bahagian bawah (kanan dan kiri), sekurang-kurangnya selama 30 saat untuk setiap bahagian.

Apakah Cara Terbaik Memberus Gigi?

Terdapat banyak cara untuk memberus gigi anda. Tanya doktor gigi anda untuk cadangan cara terbaik melakukannya. Bagaimanapun, di sini dicadangkan beberapa teknik yang sering dilakukan menggunakan berus gigi biasa:

Langkah 1:

“Untuk permukaan luar gigi, letakkan berus pada sudut 45 darjah ke garisan gusi.

“Gunakan gerakan memberus yang lembut dan pendek, dengan menggerakkan berus antara gigi dan gusi.

Langkah 2:

“Gunakan gerakan sama untuk membersih permukaan hadapan, permukaan mengunyah geraham dan bahagian dalam (belakang) gigi.

Langkah 3:

“Untuk membersih bahagian dalam gigi hadapan, pegang berus menegak dan gunakan pergerakan lembut ke atas dan ke bawah menggunakan hujung berus.

Langkah 4:

“Jangan lupa untuk memberus sehingga dan di sepanjang garisan gusi serta pastikan anda memberus gigi di bahagian belakang.

“Juga, berus lidah anda – ia akan menjadikan nafas anda berbau lebih segar!

- Rencana ini disediakan pakar pergigian dan Oral-B Sempena Kempen Malaysia Bebas Plak Oral-B. Artikel ini akan diterbitkan setiap dua minggu sekali.

Apakah Itu Tartar?

Setiap kali anda memberus, plak yang sentiasa terbentuk di permukaan gigi ditanggalkan. Sekiranya anda membiarkan plak terbentuk, ia akan mengeras menjadi tartar (juga dipanggil kalkulus) yang hanya boleh dibuang oleh doktor gigi menggunakan peralatan pergigian khusus.

Bagaimana Saya Harus Memilih Berus Gigi Yang Betul?

Orang ramai kini mempunyai lebih banyak pilihan dalam memilih berus gigi baru, dari yang amat murah kepada yang berharga agak mahal. Selain faktor harga, orang ramai juga menghadapi kesukaran membuat pilihan dengan pelbagai bentuk, warna dan kekerasan bulu berus. Langkah permulaan terbaik adalah dengan bertanya kepada doktor gigi anda untuk saranan pemilihan berus gigi paling sesuai. Selain itu, di sini terdapat beberapa tips ketika membeli berus gigi:

* Pilih berus gigi berkepala kecil dan rekaan berus yang membantu memberus bahagian yang sukar dicapai di dalam mulut.

* Berus gigi anda perlu mempunyai berus yang lembut kepada gusi dan gigi.

* Pilih berus gigi yang mempunyai pemegang yang selesa. Kebanyakannya mempunyai pemegang antigelincir yang menjadikan ia mudah digunakan walaupun basah.

* Ingat bahawa penggantian berus gigi secara kerap menyumbang kepada konsistensi mengekalkan kesihatan gigi yang tinggi kerana kajian klinikal menunjukkan berus gigi baru mampu menanggalkan 30 peratus lebih banyak plak daripada berus berusia lebih tiga bulan.

* Berus gigi khas dengan penanda khas yang semakin pudar apabila digunakan juga boleh digunakan. Ini akan memaklumkan anda masa sesuai untuk menukar berus gigi.

* Sesetengah berus gigi direka khas dengan berus yang bersudut bagi meningkatkan luas permukaan gigi yang diberus, seterusnya menanggalkan plak walaupun dari tempat yang sukar.

Bagaimanakah Mengekalkan Gigi Putih Semula Jadi Selepas Lawatan Ke Doktor Gigi?

Semua orang mahukan gigi yang putih dan terdapat pelbagai produk di pasaran untuk melakukannya. Pengguna boleh menggunakan proses kimia yang dipanggil pemutihan. Bagaimanapun, memberus gigi bersama ubat gigi dengan kerap sudah cukup untuk menanggalkan sejumlah kotoran yang melekat pada gigi. Kesan kotoran boleh melekat pada gigi daripada minuman kopi, teh atau wain merah. Kajian menunjukkan berus gigi Oral-B CrossAction Massage telah terbukti secara klinikal mampu menanggalkan plak sehingga 90 peratus.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Kecederaan Ligamen ACL

SOALAN:
Doktor,saya ingin bertanya tentang kecederaan lutut yang saya alami semasa bermain futsal kira-kira lapan bulan lalu. Kecederaan ini berlaku semasa saya melompat untuk menanduk bola. Sebelum kaki mencecah lantai, lutut saya meletup dan saya jatuh.

Lutut dalam keadaan baik pada luarannya dan hanya bengkak sedikit. Selepas rawatan di klinik, kaki saya beransur pulih. Tiada imbasan sinar-X dilakukan dan saya cuma diberikan ubat tahan sakit. Jika tidak melakukan aktiviti lasak, lutut saya tidak sakit.

Tetapi, jika melakukan aktiviti seperti berlari dan melompat, lutut saya terasa longgar dan terasa seperti berpintal (twist).

Tapi, tiada kesan luaran yang dapat dilihat. Kadangkala semasa solat, iaitu duduk antara dua sujud, lutut akan sakit seperti kekejangan dan saya perlu meluruskan semula kaki.

Jika lutut saya berbunyi selepas diluruskan, rasa kekejangan itu akan hilang tetapi kalau tidak berbunyi, rasa sakit itu hanya akan hilang selepas dua hingga tiga jam.

Perkara ini juga membataskan pergerakan saya sebagai pelajar yang aktif bersukan. Apakah pendapat doktor mengenai masalah saya ini? Terima kasih.

Hanim


JAWAPAN:
Kecederaan lutut yang dialami saudari adalah salah satu kecederaan yang paling lazim dilihat di klinik ortopedik saya.

Gambaran yang saudari berikan tentang mekanisme kecederaan tersebut juga adalah sangat klasikal bagi kecederaan kepada Ligamen Krusiat Anterior atau Anterior Cruciate Ligament (ACL) iaitu salah satu ligamen yang terpenting di dalam sendi lutut.

Artikel saya berkenaan kecederaan ACL ini juga pernah diterbitkan di dalam Mingguan Malaysia keluaran 21 Oktober 2007.

Secara ringkasnya ligamen ACL adalah ligamen yang terletak di tengah-tengah sendi lutut dan ianya berfungsi sebagai penstabil statik untuk mengelakkan translasi sendi dan rotasi (pusingan) yang berlebihan.

Kecederaan berlaku kerana sewaktu ‘mendarat’ selepas melompat, kaki melekat di atas tanah dan lutut berpusing atau ‘rotate’ secara berlebihan menyebabkan ACL anda terkoyak.

Koyakan ACL menghasilkan bunyi letupan ‘pop’. Lutut akan bengkak pada kebanyakan kes dan selalunya pesakit tidak dapat meneruskan aktiviti yang dijalankannya. Lazimnya imbasan sinar-X akan dilakukan untuk menentukan tiada kecederaan pada tulang.

Untuk kecederaan ACL pula, selalunya imbasan sinar-X lutut kelihatan normal dan kesan koyakan ACL adalah lebih jelas dilihat melalui pemeriksaan khusus seperti imbasan MRI (magnetic resonance imaging).

Selain MRI, perlu juga dipastikan tiada kecederaan lain seperti kecederaan kepada meniskus berlaku di dalam sendi lutut.

Ligamen ini (ACL) tiada potensi untuk pulih sendiri tanpa pembedahan di atas sebab-sebab tertentu, iaitu kedudukannya di dalam lutut yang mempunyai cecair synovial, jarak koyakan dan bentuk ligamen selepas terkoyak menyukarkannya untuk sembuh secara semula jadi.

Oleh itu, simptom yang dialami saudari sekarang adalah kesan koyakan ligamen ACL yang menyebabkan sendi lutut menjadi tidak stabil khususnya dalam pergerakan yang melibatkan rotasi atau ‘twisting’.

Dalam sukan bola sepak, pergerakan ‘cutting’ juga tidak boleh dilakukan bagi seseorang yang mengalami kecederaan ligamen ACL.

Dalam jangka masa panjang, sendi lutut yang tidak stabil bakal merosakkan struktur rawan dan akan menjalani degenerasi (kemerosotan) lebih pantas lagi berbanding lutut yang normal.

Oleh itu, keadaan sendi lutut yang tidak stabil akan kekal sehinggalah pembedahan dilakukan ke atas ligamen ACL iaitu pembedahan rekonstruksi ACL secara Artroskopi (minimal invasive) menggunakan tendon di sekitar lutut seperti hamstrings atau bone-patella-bone tendon, tanpa mengganggu mekanik sendi lutut sekiranya digunakan.

Sekiranya saudari tidak berhasrat untuk aktif bersukan semula, kebanyakan pesakit memilih untuk tidak melakukan pembedahan.

Akan tetapi, sekiranya ingin aktif semula dalam sukan, pembedahan rekonstruksi ACL amat disarankan dan bagi jangka masa panjang, pembedahan ini akan menstabilkan semula sendi lutut anda dan proses degenerasi atau kerosakan (penuaan) sendi lutut tidak akan dipercepatkan.

Jangkaan masa untuk kembali bersukan sepenuhnya secara normal adalah hanya enam bulan selepas pembedahan dan hanya selepas tiga bulan untuk membolehkan saudari menjalankan latihan joging.

Jangka masa ini juga bergantung kepada tahap anda melakukan rehabilitasi dan fisioterapi mengikut saranan pakar ortopedik anda.

Untuk maklumat lanjut, dapatkan pemeriksaan dengan pakar ortopedik (kecederaan sukan) untuk gambaran yang lebih jelas lagi.


Ditulis oleh:
Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar
Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma,
Pakar Artroskopi dan Kecederaan Sukan,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Jangan 'Simpan' Apendiks

“Sudah terhantuk baru tengadah,” begitulah luahan pengalaman pesakit penyakit apendiks, Norsuhaila Abdul Ghani, 30, yang ‘menyimpan’ sakit itu selama hampir 15 tahun.

Beliau yang ‘menyimpan’ penyakit itu sejak berumur 11 tahun memilih untuk menanggung rasa sakit dan ‘pasrah’ dengan kesan sampingannya yang lain akibat penyakit kerana takut menjalani pembedahan membuang apendiks.

Selain tidak boleh membiarkan perutnya kosong dan mesti bersarapan walaupun ringan, akauntan muda di Malaysian Airline System Bhd. (MAS) itu juga terpaksa menahan diri daripada makan masakan pedas yang bercili yang menjadi makanan kegemarannya.

Di samping itu, Norsuhaila juga ditegah oleh ibunya untuk menikmati jambu batu dan buah-buahan yang berbiji lain serta mengurangkan aktiviti sukan termasuk hoki dan bola jaring walaupun memiliki bakat yang besar dalam kedua-dua permainan kegemarannya itu.

Lantaran itu, kehidupan remaja yang dilalui oleh Norsuhaila agak terhad dari aspek pemakanan dan aktiviti riadahnya termasuk melancong untuk tempoh lebih dari seminggu akibat keengganan beliau sendiri menjalani pembedahan ‘penyelesaian muktamad’ itu.

“Pernah juga berlaku keadaan di mana saya tidak pergi ke sekolah selama berminggu-minggu dan asyik terlantar di atas katil kerana terlalu sakit bila bergerak terutama ketika berjalan,” jelas beliau dalam nada sebak mengenangkan jasa ibunya yang sentiasa menjaga beliau.

Mahu tidak mahu, ibu muda kepada dua anak berumur lima tahun dan empat bulan itu terpaksa menjalani pembedahan membuang apendiks pada bulan Julai 2005 setelah pengsan ketika sedang memasak makan tengah hari untuk keluarga di rumahnya.

Nasibnya agak baik ketika kejadian tersebut kerana ketika itu suami Norsuhaila, Aidil Ismi Ahmad Haris berada di rumah dan bertindak pantas menelefon ambulans yang segera datang ke rumahnya di Shah Alam, Selangor.

Lenyap

Syukur kepada Allah Taala, penyakit apendiks yang menyerang Norsuhaila sebanyak dua kali dalam seminggu itu ‘lenyap’ buat selama-lamanya ekoran pembedahan itu dan kini beliau tidak lagi terpaksa menanggung derita itu.

“Nasihat saya kepada mereka yang sedang menghidap apendiks ialah jangan takut untuk menjalani pembedahan membuangnya kerana kita tidak tahu bila ia akan menyerang, takut-takut bocor tanpa disedari,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Shah Alam, baru- baru ini.

Penyakit apendisitis atau apendiks merupakan keradangan pada apendiks vermiform iaitu struktur kecil berbentuk cacing yang terjulur keluar dari usus kanan.

Tiada siapa yang tahu apakah fungsinya yang sebenar. Apa yang pasti, kita boleh hidup tanpa apendiks. Namun, tidak bermakna jika apendiks tidak mempunyai apa-apa peranan di dalam sistem pencernaan kita, ia tidak mendatangkan apa-apa masalah.

Antara tanda-tanda awal penyakit apendiks ialah rasa sakit pada bahagian tengah perut atau sekitar pusat yang menyerang selang beberapa jam atau dua hingga tiga kali sehari.

Ia disusuli dengan rasa sakit yang berpindah dari tengah perut ke bahagian bawah abdomen kanan tidak lama kemudian dan kemudian kesakitan semakin bertambah kuat dari semasa ke semasa terutamanya jika berlaku pergerakan, batuk atau berjalan.

Lazimnya, pesakit penyakit apendiks kelihatan kerap duduk sambil membongkok bagi menahan kesakitan yang dialami. Kesakitan mungkin berkurangan jika pesakit berbaring pada sebelah badan dan menarik lutut ke arah dada.

Bagaimanapun, budaya boleh tahan sakit sebegini merupakan cara hidup tidak sihat dan berbahaya.

Apendiks disifatkan sebagai kecemasan perubatan yang memerlukan pembedahan serta-merta bagi membuang apendiks kerana jika dibiarkan tanpa rawatan, apendiks yang mengalami keradangan akan pecah (tembus atau berlubang) lalu melimpahkan najis yang penuh dengan bakteria ke dalam kaviti abdomen.

Selepas pembedahan, lazimnya, pesakit yang menjalani rawatan harus bercuti selama kira-kira dua minggu hingga sebulan dari pekerjaannya dan tempoh cuti itu akan menjadi lebih pendek di antara satu hingga dua minggu sekiranya prosedur laparoskopi digunakan.

Pesakit diberikan ubat antibiotik dan penahan sakit manakala rawatan susulan satu atau dua kali sahaja.

Apendiks boleh berulang semula sekali pun setelah dibedah sekiranya pangkal apendiks tidak berjaya ditemui semasa pembedahan sebelumnya.


Ditulis oleh:
Amran Ahmad

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Kaedah Selamat 'Cuci' Rahim

Bergelar ibu merupakan antara detik paling indah dalam hidup seorang wanita. Saat mengetahui bahawa diri sedang berbadan dua pastinya sangat menggembirakan terutama bagi pasangan yang baru berumah tangga.

Begitu yang dirasai Diana (bukan nama sebenar), tatkala ujian pengesanan hormon human chorionic gonadotropin (HCG) yang dilakukannya sendiri menunjukkan dua garisan selari. Selepas lima bulan mengalami keguguran kandungan pertama, pastinya detik ini sangat dinanti-nanti. Baginya, inilah masa yang sesuai untuk kehamilan baru memandangkan dirinya sudah cukup bersedia dari segi mental mahupun fizikal.

Berita gembira itu segera disampaikan kepada suami dan mereka bertemu doktor untuk mengesahkan lagi kandungan tersebut.

Segalanya berjalan lancar pada peringkat awal. Biarpun ada kalanya mengalami masalah biasa yang dihadapi oleh kebanyakan bakal-bakal ibu di peringkat awal kehamilan, semuanya ditempuhi dengan tenang demi menanti kehadiran insan bergelar anak.

Namun siapa yang mampu menolak takdir, andainya suratan menentukan kandungan yang baru berusia beberapa minggu tidak mampu bertahan dan mengalami keguguran.

Hati siapa yang tidak sedih apabila sekali lagi terpaksa menerima hakikat kandungannya mengalami keguguran.

Kerana disahkan mengalami missed abortion (keguguran tertinggal), di mana kandungannya sudah mati namun janin (atau kantung) tertinggal di dalam rahim, Diana disyorkan menjalani dilatation & curettage (D & C) atau biasa disebut ‘cuci.’

Entah mengapa, untuk menjalani proses D & C kali ini dia berasa seperti tidak selesa walaupun pernah menjalaninya untuk keguguran pertama dahulu. Perasaan sedih dengan kehilangan kandungan ditambah dengan pelbagai pandangan daripada beberapa pihak menyukarkan dia membuat keputusan.

Ada yang bersetuju dia melakukan D & C, namun ada juga yang menyarankan mengambil langkah lain dengan alasan ia berbahaya. Sesetengahnya berpendapat D & C yang berulang boleh memberi masalah untuk hamil di kemudian hari. Tidak kurang juga yang mengatakan ia mengundang beberapa masalah yang berkaitan dengan sakit puan. Ini berikutan ramai yang beranggapan ia dilakukan dengan cara yang kasar termasuk menggunakan peralatan tajam dan kemungkinan ‘cuci’ tidak bersih.

Mujurlah dalam keadaan begitu, sokongan suami yang berterusan membuatkan Diana tenang dengan dugaan yang menimpa. Tidak cukup dengan penjelasan doktor, dia turut mendapatkan maklumat daripada Internet mengenai proses D & C agar segala keputusan yang dilakukan tepat dan tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.

Dalam satu halaman maya yang dirujuk Diana, terdapat maklumat yang menarik perhatiannya mengenai kaedah ERPOC (evacuation of retained products) menggunakan sedutan yang banyak digunakan kini berbanding alat kuret yang selalu digunakan dalam proses D & C lama. Namun begitu kerana sudah biasa disebut D & C, istilahnya tetap dikekalkan biarpun kaedahnya sudah berubah.

Apakah ERPOC?

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr. Zamri Abd. Rahim, ERPOC adalah kaedah mengeluarkan produk kandungan yang tertinggal dalam uterus akibat keguguran. Kalau dahulu doktor menggunakan alat yang dipanggil kuret dengan cara mencungkil bahagian dalam rahim untuk mengeluarkan produk kandungan yang tertinggal, kini doktor akan menggunakan alat seperti vakum yang lebih selamat. Di sesetengah tempat kaedah ini disebut D & C sedutan atau ada juga yang memanggilnya dengan aspirasi vakum.

Bagaimanakah Prosedurnya?

Ia merupakan pembedahan minor yang selamat dan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Biasanya pesakit hanya perlu menjalani rawatan harian di hospital sama seperti D & C. Mulanya pesakit akan dibius dan kemudian serviks akan dibuka menggunakan dilator. ERPOC biasanya menggunakan dua jenis vakum sama ada vakum elektrik (EVA) atau pam manual (MVA). Kanula (bahagian depan tiub) yang disteril akan dimasukkan ke dalam uterus bersambung dengan tiub dari pam dan ia menghasilkan vakum yang halus lalu menyedut seluruh kandungan dalam rahim.

Pada Ketika Manakah Keguguran Perlu Menjalani ERPOC?

Kandungan di bawah 10 minggu boleh dicuci menggunakan ERPOC. Namun, bagi kandungan antara 11 hingga 15 minggu penyedut dengan diameter lebih besar akan digunakan dan kadangkala memerlukan bantuan kuret bagi memudahkan proses dilakukan.

Bagi kandungan yang telah mencapai minggu ke-16 hingga 24 pula, sejenis ubat seperti prostagladin akan digunakan untuk membuka pintu rahim dengan lebih luas. Kemudian kandungan akan dicungkil dengan kuret sebelum ERPOC dilakukan.

Sementara, bagi kandungan melebihi minggu di atas, janin akan keluar seperti kelahiran biasa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan wanita hamil yang mengalami keguguran menjalani ERPOC dan sekiranya peralatan tiada barulah proses D & C dibenarkan. Menurut perangkaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, hanya 2.4 peratus pengguguran menggunakan kaedah D & C pada tahun 2002, berbanding 23.4 peratus pada 1972.

Adakah ERPOC Menyakitkan?

Tidak. Pesakit tidak berasa sakit kerana dibius ketika proses dilakukan. Selepas itu, pesakit mungkin mengalami sedikit kesakitan di bahagian perut seperti senak atau kejang ketika haid namun ia tidak lama. Luka di bahagian rahim juga jarang berlaku kerana ia tidak melibatkan proses kuretaj (menggunakan kuret).

Masyarakat selalu berpandangan negatif terhadap D & C. Ada yang berpendapat ia boleh menjejaskan kesuburan. Benarkah tanggapan ini?

Sebenarnya ia boleh berlaku sekiranya prosedur ini tidak dijalankan dengan betul. Misalnya pernah berlaku di mana kuret menerobos hingga keluar ataupun dinding rahim tercedera kerana cungkilan yang kuat. Atau juga berlaku serviks terkoyak. Apabila keadaan ini terjadi, sperma dan ovum yang sudah disenyawakan tidak mampu menempel di bahagian rahim menyebabkan kandungan tidak menjadi.

Kegagalan yang berlaku bukanlah disebabkan wanita tersebut tidak subur, tetapi keadaan di rahimnya yang tidak mengizinkan kandungan untuk terus kekal.

Bagaimanapun, kaedah ERPOC jauh lebih selamat berbanding D & C kerana ia jarang melibatkan luka besar.

Masalah yang direkodkan melalui kaedah ERPOC juga rendah iaitu 1.8 daripada 100,000 kes berbanding 2.8 daripada 100,000 kes melalui kedah D & C.

Benarkah Alat Kuret Tajam?

Terdapat pelbagai jenis kuret yang digunakan dan ia berbeza mengikut negara. Alat kuret dengan hujung yang tajam digunakan oleh Amerika Syarikat suatu masa dahulu. Di negara ini, kuret seperti sudu yang panjang digunakan dan ia tidak tajam.

Sesetengah pendapat mengesyorkan pengambilan sejenis ubat untuk membantu keguguran. Adakah ia selamat dan apa kesannya dalam jangka masa panjang?

Sebenarnya pengambilan ubat untuk menggugurkan kandungan tidak digalakkan bagi kandungan yang melebihi enam minggu. Ini kerana mungkin kandungan tidak keluar sepenuhnya, menyebabkan wanita hamil itu mengalami kesakitan yang teruk dan perlu pula melalui proses ERPOC atau D & C. Bimbang juga berlaku komplikasi terhadap wanita tadi.

Namun di Barat, ubat seperti ini diberi kepada pesakit sebelum D & C dilakukan bagi memudahkan prosesnya.

Setakat ini belum terdapat kes yang menunjukkan ubat tersebut memberi kesan jangka panjang kerana ia akan keluar dari badan melalui pelbagai proses seperti perpeluhan dan perkumuhan.

Risiko D & C atau ERPOC?

Kuret boleh menembusi dinding rahim jika tidak dilakukan dengan betul, pendarahan luar biasa, kandungan masih tertinggal di dalam dan jangkitan kuman. Selain itu ibu-ibu juga mungkin mengalami trauma kerana kesedihan akibat kandungan yang tidak berjaya.

Walaupun jarang sekali berlaku, ada juga individu yang mengalami Sindrom Asherman selepas prosedur ini.

Akibatnya, wanita berkenaan mungkin mengalami kemandulan disebabkan oleh penyembuhan tisu-tisu di dalam rahim yang mendorong kepada berlakunya lekatan di antara dinding-dinding.

Seterusnya, kegagalan pertumbuhan kembali endometrium (dinding dalaman rahim untuk persediaan persenyawaan) dan pendarahan haid bulanan mungkin tidak berlaku.

Pesakit disarankan memaklumkan doktor pakar mereka sekiranya pendarahan haid menjadi tidak menentu selepas D&C atau ERPOC.

Bagaimanakah D & C Membantu Pesakit?

Sekiranya wanita mengalami endometrium polips, iaitu ketumbuhan pada dinding rahim yang menyebabkan sukar mengandung, D & C boleh digunakan sebagai satu cara untuk membuangnya. Ia sebenarnya membantu proses implantasi, bukan ovulasi.

Perlukah wanita keguguran menjalani rawatan berpantang secara tradisional?

Sebenarnya ia adalah tradisi ataupun praktis dalam masyarakat dan terpulang kepada mereka untuk mengikutinya. Jika berasa selesa dengan cara itu boleh diteruskan, tapi dalam dunia perubatan moden tiada pengesahan yang membuktikan kesahihannya.

Nasihat Doktor Kepada Wanita Yang Mengalami Keguguran?

Bersabar dan perlu menerimanya sebagai takdir. Sebenarnya 20 peratus daripada wanita mengandung hari ini mengalami keguguran. Dan sukar untuk menentukan apakah faktor yang menyebabkan berlakunya keguguran selain daripada kecacatan genetik.

Dapatkan pemeriksaan doktor pakar dan ikut nasihat yang diberikan. Pesakit perlu menjaga pemakanan dan pengambilan nutrien bagi membantu kehamilan seterusnya.

Pesakit juga perlu bersihkan fikiran, bahawa proses ERPOC yang dilakukan bukan bertujuan menggugurkan kandungan, tetapi demi kesihatan ibu dan juga fetus.

Mereka yang terdekat terutama suami perlu memberi sokongan kepada isteri, supaya dapat membina semula keyakinan mereka terhadap diri sendiri.

Bilakah Waktu Sesuai Untuk Wanita Yang Mengalami Keguguran Hamil Semula?

WHO memperuntukkan tempoh tiga bulan untuk wanita berkenaan kembali sihat sepenuhnya. Namun bagi saya, ia bergantung kepada individu. Andainya wanita itu sudah berumur dan belum mempunyai anak, mereka tidak boleh menunggu terlalu lama kerana kesuburan semakin menurun sejajar pertambahan usia. Sebenarnya tidak ada masalah sekiranya mereka terus mengandung asalkan keadaan fizikal mengizinkan.


Ditulis oleh:
Bintu Rasyada A. Rahman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, April 12, 2008

Mitos Kanser Prostat

Pelbagai mitos tentang penyakit prostat dan kanser prostat wujud akibat kurangnya kefahaman orang ramai terhadap gejala ini. Mitos-mitos ini bukan sahaja memberi gambaran yang tidak tepat tentang kanser prostat, malah juga berupaya mengelirukan orang ramai.

Artikel ini akan cuba memperbetulkan persepsi dan tanggapan orang ramai tentang kanser prostat dengan meneliti mitos-mitos popular mengenai kanser prostat.

Mitos 1 : Kanser prostat merupakan penyakit orang tua. Orang ramai beranggapan bahawa hanya orang lelaki yang berumur 65 tahun ke atas akan menghidapi kanser prostat.

Mitos ini tidak benar kerana walaupun mereka yang berusia 65 tahun ke atas lebih besar kebarangkalian akan menghidapi kanser prostat, ia juga pernah dikesan pada kaum lelaki yang lebih muda. Walau bagaimanapun, peratusan orang muda yang menghidapi kanser prostat adalah rendah.

Namun demikian, seandainya seseorang lelaki mengesyaki dirinya mempunyai gejala- gejala kanser prostat, adalah disyorkan supaya menjalani pemeriksaan agar dapat mengenal pasti masalah tersebut supaya tidak berlanjutan.

Masalah-masalah berkaitan dengan kelenjar prostat yang lain seperti pembengkakan kelenjar prostat boleh mengakibatkan kanser prostat pada hari tua nanti, oleh sebab yang demikian pemeriksaan yang rapi adalah perlu.

Mitos 2 : Setiap kanser ada tanda-tandanya.

Jika anda telah mengikuti lima siri artikel terdahulu tentang kesihatan prostat ini, maka anda akan tahu bahawa simptom kanser prostat sering kali disalah anggap sebagai tanda usia tua.

Kanser prostat di peringkat awal selalunya tidak menunjukkan gejala-gejala yang ketara, dan hanya dapat dikesan atau disedari apabila sudah terlambat iaitu apabila kanser tersebut sudah memasuki tahap kritikal. Sekiranya anda berumur 50 tahun ke atas, anda digalakkan menjalani ujian antigen spesifik prostat (PSA) tiap-tiap tahun.

Mitos 3 : Sekiranya saya menghidapi kanser prostat, saya mesti menjalani pembedahan atau rawatan kemoterapi.

Prostatektomi ataupun pembedahan untuk mengeluarkan kelenjar prostat merupakan salah satu rawatan popular untuk mengelakkan kanser prostat merebak ke bahagian-bahagian badan atau organ lain.

Namun begitu, bukan semua pesakit memerlukan pembedahan. Keputusan untuk membuat pembedahan bergantung kepada usia pesakit, tahap kanser dan sikap pesakit terhadap kesan sampingan pembedahan tersebut.

Contohnya, jika penghidap kanser prostat berumur 70 tahun juga merupakan penghidap penyakit kencing manis, kaedah pembedahan mungkin bukan penyelesaian terbaik. Ini kerana jangka hayat seseorang yang berusia 70 tahun hanya sepuluh tahun.

Sekiranya pesakit tersebut berumur 50 tahun dan kanser tersebut telah dikenal pasti hanya menjangkiti kelenjar prostat, prostatektomi mungkin menjadi pilihan rawatan terbaik. Lelaki 55 tahun dan sihat tubuh badan, pembedahan merupakan pilihan terbaik.

Doktor akan meneliti setiap kes secara individu dan memberi nasihat rawatan yang seharusnya dijalani oleh pesakit tersebut kerana setiap individu adalah berlainan.

Rawatan yang disyorkan oleh doktor bergantung kepada keseriusan kanser, bagaimana kesan kanser tersebut ke atas badan dan kesihatan individu, dan keadaan fizikal pesakit.

Mitos 4 : Saya akan mati pucuk atau mengalami masalah ereksi jika menjalani rawatan kanser prostat.

Hal ini tidak selalunya benar, namun besar kemungkinannya. Hampir separuh daripada jumlah lelaki yang menjalani rawatan kanser prostat seperti kemoterapi mengalami masalah mati pucuk atau ereksi/disfungsi ereksi (ED).

Namun begitu, ada juga lelaki yang tidak mengalami apa-apa masalah langsung berikutan rawatan. Ada kalanya, masalah ereksi ini hanyalah sementara dan pesakit akan pulih seperti sediakala dalam masa setahun atau lebih, bergantung kepada individu.

Mitos 5 : Sekiranya menghidapi kanser prostat, kehidupan sosial dan aktiviti seharian saya akan terjejas.

Jika seseorang sedang menjalani rawatan untuk kanser prostat, itu tidak bermakna individu tersebut tidak boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Kebanyakan pesakit kanser prostat menerima rawatan secara pesakit luar di hospital atau klinik.

Penyelidikan juga telah bertambah maju khasnya dalam menghasilkan ubat-ubatan yang dapat membantu seseorang penghidap kanser mengawal kejadian loya semasa menjalani rawatan.

Hasilnya, ramai yang menjalani rawatan seperti kemoterapi mampu menjalankan aktiviti seharian tanpa gangguan. Walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti tertentu seperti pemakanan dan diet perlulah diberi perhatian yang lebih.

Mitos 6 : Masalah pembesaran kelenjar prostat - Hiperplasia Prostatik Benigna (BPH) akan membawa kepada berlakunya kanser prostat.

BPH tidak selalunya mengakibatkan kanser prostat, walaupun simptom awalnya seperti kerap membuang air kecil adalah serupa dengan simptom kanser prostat.

Mitos 7 : Hanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser prostat akan menghidapinya.

Hanya 15 peratus daripada pesakit kanser prostat mempunyai sejarah ahli keluarga yang pernah menghidap kanser prostat. Kajian menunjukkan bahawa kanser prostat mungkin diwarisi melalui kromosom X, iaitu melalui wanita.

Oleh yang demikian, anak-anak lelaki kepada ibu yang menghidapi kanser payudara ataupun adik beradik perempuan, mempunyai kebarangkalian menghidapi kanser prostat yang lebih tinggi. Namun begitu, kajian ini tidaklah konklusif kerana sejarah keluarga yang kuat.

Mitos 8 : Onani meningkatkan kebarangkalian menghidapi kanser prostat.

Ada kajian yang dilakukan yang menyatakan bahawa aktiviti seksual yang kerap meningkatkan kebarangkalian menghidapi kanser prostat. Ada juga kajian yang menyatakan bahawa lelaki yang kerap memancutkan air mani/berejakulasi juga mempunyai risiko kanser prostat yang lebih tinggi.

Namun begitu, sehingga hari ini, tiada keputusan muktamad yang membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut. Kaum lelaki seharusnya mengekalkan gaya hidup sihat dan mengamalkan diet tinggi serat di samping mengurangkan pemakanan daging merah yang berlebihan.


Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Kanser Prostat : Usah Berserah Pada Takdir


ORANG yang kuat makan daging dikatakan mempunyai risiko dua kali ganda mendapat kanser usus besar dan prostat. Kurangkan makan daging.
Penyakit kanser sudah menjadi perkara biasa hari ini sehingga kita terfikir mungkin kita juga akan menghidap penyakit yang amat digeruni ini.

Dengan penemuan baru di mana kanser payudara, kanser prostat, usus besar dan kilang telur boleh berpunca daripada baka, tentu anda akan berfikir tiada apa yang boleh dilakukan kecuali hanya berserah kepada takdir.

Kenyataan ini tidak benar. Para pengkaji di Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendapati hampir tujuh daripada setiap 10 jenis kanser langsung tidak ditentukan oleh gen tetapi berpunca daripada cara hidup kita.

Tiga puluh peratus berpunca daripada merokok, 30 peratus berpunca daripada pemakanan yang tidak sihat dan kira-kira 10 peratus disebabkan oleh tabiat buruk seperti tidak bersenam.

Oleh yang demikian, jika gaya hidup anda boleh menyebabkan kanser, maka cara anda mengendalikan hidup juga boleh menjauhi penyakit ini. Ikutilah nasihat ini untuk mengurangkan risiko mendapat kanser.

Berhenti Merokok

Nasihat ini memang mudah disebut tetapi sukar diamalkan. Merokok menjadi punca kepada 90 peratus daripada jenis kanser paru-paru dan juga punca kanser mulut, esofagus, pundi kencing, buah pinggang dan pankreas.

Kurangkan Berat Badan

Kajian menunjukkan ada kaitan antara kegemukan dengan kanser. Kaitan paling rapat adalah dengan kanser uterin (berkaitan uterus atau rahim), kemungkinan kerana lemak yang berlebihan menambahkan jumlah estrogen dalam darah.

Menurut laporan Harvard 1996 mengenai pencegahan kanser, wanita yang telah berumur dan mempunyai berat 35 peratus melebihi berat badan normal, mempunyai 55 peratus risiko kanser rahim, payudara, serviks, endometrium, kilang telur dan hempedu.

Sementara itu, lelaki yang mempunyai berat badan yang sama mempunyai 40 peratus risiko kanser usus besar dan prostat.

Lakukan Senaman

Senaman dapat membantu mencegah penyakit jantung dan tulang malah ia juga berupaya mencegah kanser. Lakukan senaman ringan dengan kerap kerana ia membantu membuang bahan kumuh dan karsinogen (punca kanser) yang mungkin terdapat dalam makanan dengan cepat daripada sistem pembuangan.

Senaman juga boleh mengurangkan risiko barah payudara dan prostat, kemungkinan kerana lemak telah berkurangan. Wanita yang terlibat dengan tugas yang memerlukan pergerakan seperti berjalan dan mengangkat barang kurang mengalami masalah ini.

Apa yang perlu anda lakukan adalah aktiviti sederhana sejam setiap hari seperti berkebun dan menaiki tangga merupakan antara aktiviti yang baik.

Makan Sayur-Sayuran, Buah-Buahan

Kompaun yang terdapat dalam tumbuh- tumbuhan yang dikenali sebagai psitokemia mempunyai keupayaan mencegah kanser secara semula jadi. Malangnya kajian tidak dapat memastikan jenis makanan yang mengandungi bahan ini. Oleh sebab itu, adalah dicadangkan supaya kita memperbanyakkan pengambilan pelbagai jenis sayur-sayuran pada setiap hari.

Makanan ini dapat mencegah barah, kemungkinan dengan mengganggu proses menukar hasil makanan itu menjadi karsinogen. Serat dalam makanan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran bersatu dengan estrogen yang dapat membantu membuang hormon dari saluran darah sekali gus mengurangkan risiko kanser.

Pengambilan teh

Kuasa pencegahan kanser dalam teh datangnya dari flavonoids, iaitu kompaun antipengoksidaan yang terdapat dalam teh hijau dan hitam.

Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan di Universiti Minnesota, terdapat lebih 35,000 wanita yang putus haid mendapati mereka yang minum dua atau tiga cawan teh sehari, sebanyak 68 peratus kurang mendapat kanser saluran kencing dan 32 peratus kurang mendapat kanser saluran penghadaman jika dibandingkan dengan wanita yang tidak minum langsung.

Kurang Makan Daging

Pakar-pakar mendapati, ada sesetengah komponen daging yang boleh menyebabkan anggota kita lebih terdedah kepada karsinogen. Itulah sebabnya orang yang kuat makan daging mempunyai risiko dua kali ganda untuk mendapat kanser usus besar dan prostat. Oleh itu, kurangkan makan daging.

Begitu juga dengan cara memasak. Suhu yang tinggi boleh menyebabkan karsinogen pada daging. Daging itu lebih elok dipanggang dalam ketuhar buat beberapa minit untuk membuang airnya. Kemudian pangganglah seperti biasa.

Elakkan Pengambilan Alkohol

Orang yang minum alkohol terlalu banyak mempunyai risiko yang tinggi menghidap penyakit kanser hati, esofagus terutama apabila dia turut merokok, usus besar (apabila mereka mempunyai paras asid folik yang rendah) dan kanser dubur.


Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanan
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/


Friday, April 11, 2008

Gambaran Kos Kawatan Kanser Payudara

Kos ubat-ubatan dan prosedur pembedahan dalam merawat penyakit-penyakit tertentu menjadi antara satu alasan utama kenapa kebanyakan pesakit tidak dapat bertahan dengan satu-satu pelan rawatan.

Tidak dinafikan, rundingan doktor dan harga ubat yang tidak kurang mahalnya boleh menjadi bebanan bagi sesetengah orang terutamanya bagi mereka yang tidak dilindungi oleh insurans perubatan.

Kalau ada (insurans) sekalipun, rawatan kanser payudara misalnya, boleh menjadikan pesakit tambah stres apabila kita memperkatakan tentang bajetnya.

Apatah lagi mengambil kira hilang upaya untuk bekerja seperti sebelumnya. Ditambah pula dengan kos pengangkutan dan perjalanan bagi menjalani rawatan yang telah dijadualkan.

Itu semua boleh kita fahami. Pendek kata, tiada siapa yang sepatutnya tidak menerima apa-apa bentuk rawatan dan hanya berserah kepada takdir dan berpegang kepada falsafah ajal maut di tangan Tuhan – hanya kerana masalah kewangan.

Bagaimanapun, rayuan meminta derma dan bantuan dihulurkan bagi menanggung kos rawatan yang dibuat oleh individu tertentu menerusi media tanpa disedari telah memberikan impak yang negatif pada wajah sebenar sesuatu penyakit.

Sedangkan gambaran sebenarnya menjanjikan sesuatu yang jauh lebih positif dan tidak sepatutnya menakutkan orang ramai.

Sepanjang minggu ini, Mingguan Malaysia menerima beberapa panggilan telefon serta e-mel daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pakar perubatan serta jururawat di dalam bidang onkologi klinikal iaitu satu bidang yang menawarkan rawatan untuk pesakit kanser dewasa.

Pakar onkologi (kajian dan amalan bagi merawat tumor/ketumbuhan) terbabit di dalam e-melnya yang menyusul selepas perbualan telefon melahirkan kebimbangan beliau dengan trend ini.

‘‘Pertama sekali, niat utama saya membawakan isu ini adalah untuk mendidik masyarakat. Saya tidak mahu orang ramai keliru selepas membaca cerita-cerita tentang kos rawatan yang amatlah tersasar itu. Apatah lagi dalam keadaan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu kita masih ramai yang tidak faham mengenainya.

‘‘Mereka takut untuk berjumpa doktor bagi pengesahan penyakit dan lebih rela berjumpa bomoh atau pengamal terapi alternatif lain untuk berubat. Apabila kanser telah melarat dan tenggelam punca untuk mendapatkan rawatan, barulah mereka berjumpa kami (doktor). Sudah tentu pada tahap ini penyakit sudah berada di tahap lewat dan sukar dirawat,’’ ujarnya yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Mas.

Menurutnya, jika media sering kali melaporkan tentang individu yang memerlukan hampir ratusan ribu ringgit untuk merawat kanser payudara, sudah tentu mereka yang berpendapatan rendah semakin takut untuk menjalani rawatan disebabkan oleh kosnya yang sangat tinggi.

Dr. Mas yang juga ahli Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) menyifatkan, jumlah tersebut (bagi kemoterapi dan radioterapi) amat diragui memandangkan kos biasa di pusat-pusat perubatan swasta adalah jauh lebih rendah.

Malah, beliau turut menyenaraikan beberapa nama pakar lengkap dengan hospital masing-masing yang menawarkan rawatan kanser.

‘‘Apa lagi rawatan tersebut ada ditawarkan di hospital kerajaan pada harga yang sangat rendah memandangkan kos ubat yang termasuk di dalam protokol standard disubsidi sepenuhnya oleh kerajaan. Sebagai contoh, kos kemoterapi FEC/FAC untuk kanser payudara sebanyak enam kali di Hospital Kuala Lumpur (HKL) cuma RM360 (RM60 sekali kemoterapi).

‘‘Jika pesakit memilih untuk mengambil rejimen kemoterapi berlainan misalnya T-A-C atau A-T, mereka hanya perlu membeli sendiri ubat T itu - RM12,000 untuk enam kali (lebih kurang RM1,500 hingga RM2,000 sekali) manakala kos untuk ubat A dan C dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan,’’ kata Dr. Mas.

Mengulas lanjut, paling maksimum, rawatan radioterapi untuk kanser payudara adalah sebanyak 25 hingga 30 kali. Kebanyakan pesakit yang melakukan mastektomi (pembuangan payudara melalui pembedahan) secara puratanya cuma memerlukan 15 kali radioterapi sahaja.

Mematuhi

Jika di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), rawatan 25 kali radioterapi adalah lebih kurang RM1,500 hingga RM1,750 (RM50 sekali rawatan dan RM500 untuk caj peralatan dan perancangan radioterapi). Di HKL, keseluruhan rawatannya tidak lebih RM500.

‘‘Jika hospital swasta mengenakan bayaran RM200 sehari, kos keseluruhan bagi radioterapi sebanyak 25 kali cuma RM5,000 hingga RM6,000 sahaja.

‘‘Pakar-pakar onkologi kerajaan dan swasta di dalam negara sering bertemu, mematuhi garis panduan antarabangsa dalam pengurusan kanser. Tiada perbezaan dari segi teknik rawatan, ubat-ubat yang disyorkan dan sebagainya,’’ terang beliau.

Kesemua ubat atau rawatan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan boleh diperoleh di mana-mana hospital cuma di hospital kerajaan, rawatan yang diberikan mestilah mengikut indikasi dan justifikasi penyakit kanser tersebut, tanpa mengira status sosial, warna kulit dan sebagainya.

‘‘Tujuan saya bukanlah hendak memburuk-burukkan sesiapa tetapi biarlah berpada-

pada dalam semua tindak tanduk kita. Jangan kerana terlalu beria-ia untuk mendapat rawatan di pusat swasta yang berstatus tinggi dan lebih selesa tetapi dalam masa yang sama memberikan tanggapan yang salah kepada orang awam mengenai penyakit dan rawatan kanser payudara ini. Itu yang saya mahu elakkan,’’ tegas Dr. Mas.

Sementara itu, Pakar Bedah Am, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain yang banyak kali membedah pesakit kanser payudara ketika diajukan pertanyaan sama nyata terkejut dengan nilai tinggi yang dinyatakan.

‘‘Ini pertama kali saya dengar. Biasanya, selepas membedah pesakit, kita akan rujuk mereka kepada pakar onkologi. Bagi pesakit yang ada insurans atau ditanggung oleh syarikat, mereka selalunya memilih agensi swasta untuk rawatan lanjut dan bagi yang kurang mampu, ke hospital kerajaan.

‘‘Saya biasa berurusan dengan salah sebuah institusi swasta terkemuka yang menawarkan perkhidmatan adjuvan ini. Secara pakejnya, kos dikenakan RM30,000 sebanyak enam pusingan (setiap pusingan dari tiga minggu ke sebulan),’’ katanya.

Kemoterapi pula, terangnya, mempunyai pelbagai kelas dari yang standard dan lebih murah yang digunakan di negara ini sejak 10 hingga 20 tahun lepas sehinggalah kelas yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, kalau dibandingkan dengan negara-negara membangun lain, Malaysia boleh dikatakan antara yang terbaik dalam penyediaan rawatan awamnya di mana tiada seorang pun yang sakit akan terbiar tanpa rawatan walau tidak mampu membayar satu sen pun.

‘‘Pesakit kanser payudara sentiasa boleh pergi ke mana-mana hospital besar di negeri masing-masing untuk mendapatkan rawatan. Jika hospital berkenaan tidak mempunyai kepakaran atau rawatan tertentu, pesakit akan dirujuk kepada institusi swasta yang dibeli perkhidmatannya oleh kerajaan,’’ katanya.

Yang ada, jelasnya, pesakit yang tidak mahu menunggu lebih lama dan pergi ke hospital swasta. Ketika inilah, mereka memerlukan wang yang banyak untuk membiayai sendiri sepenuhnya kos rawatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan terapi alternatif bagi merawat kanser payudara kerana setakat ini ujarnya, para saintis sependapat bahawa kebaikan kemoterapi mengatasi komplikasi teruk yang sering menjadi penghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kanser payudara, pembedahan merupakan rawatan utama sebelum disokong dengan rawatan adjuvan (sampingan) seperti kemoterapi melalui suntikan atau oral dan, radioterapi. Tidak semua orang memerlukan kemoterapi, ia bergantung kepada penilaian pakar onkologi ke atas pesakit.

‘‘Walaupun kemoterapi sering dikaitkan dengan cerita-cerita negatif loya muntah, keguguran rambut, keletihan melampau, tetapi pesakit tidak boleh menolaknya mentah-mentah. Kebaikannya mengatasi keburukan dan tidak semua orang mengalami kesan sampingan yang sama teruk di antara satu sama lain, jadi jangan bazirkan masa.

‘‘Ramai pengamal perubatan alternatif yang mengakui dapat merawat kanser dan yakin dengannya. Kalau boleh, kami pun mahu belajar daripada mereka tetapi sehingga kini tidak pernah jumpa satu pun yang didokumentasikan,’’ jelas Dr. Abd. Hamid.

Selain kemoterapi, belum ada agen lain yang ditemui bagi membunuh saki-baki sel-sel kanser yang halus dalam tubuh pesakit. Penggunaan antibodi masih dalam peringkat percubaan yang masih awal.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan media supaya berhenti daripada melayan rayuan-rayuan seumpama ini kecuali meminta pengesahan terlebih dahulu daripada doktor pakar yang terbabit.


Ditulis oleh:
Shafinaz Sheikh Maznan & Niezam Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Rujuk Pakar Kulit Untuk Selamat

Memiliki kulit wajah yang cantik dan licin menjadi impian setiap wanita. Namun, dalam keghairahan mendapatkan kulit wajah yang mulus, ramai kalangan wanita lebih gemar merujuk kepada pakar kecantikan berbanding pakar kulit.

Pengetahuan yang kurang dan salah tanggapan bahawa masalah jerawat di muka boleh diatasi dengan hanya merujuk kepada pakar kecantikan telah menjerumuskan mereka kepada masalah kulit yang lebih serius.

Malah sikap wanita itu sendiri yang terlalu menekankan kecantikan wajah sehingga mengabaikan aspek kesihatan, menjebak mereka kepada pelbagai risiko yang mengundang masalah seperti kecacatan wajah dan sebagainya.

Naib Presiden Persatuan Dermatolgy Malaysia, Dr. Mardziah Alias berkata, masalah tersebut bukan baru di negara ini, malah pihaknya telah menggunakan pelbagai cara termasuk menghebahkan maklumat menerusi media massa dan juga Internet bagi mendidik masyarakat khususnya kaum wanita mengenai rawatan kulit wajah.

‘‘Kita telah menggunakan pelbagai cara bagi mendidik orang ramai dan usaha ini kita lakukan secara berterusan. Malangnya, masih ada di kalangan pengguna yang enggan mendengar nasihat atau mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga sebelum membuat rawatan kulit wajah di mana-mana pusat kecantikan di negara ini,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pakar Kulit Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) memberitahu, masalah kulit walaupun hanya membabitkan jerawat yang kecil, individu yang perlu dirujuk ialah pakar kulit kerana hanya mereka yang lebih arif mengenai anatomi manusia.

Katanya lagi, jerawat merupakan sejenis penyakit kulit yang perlu dirawat oleh doktor dan bukannya oleh pakar kecantikan menerusi penggunaan produk kosmetik yang mungkin ada kesan sampingan terhadap kulit manusia.

‘‘Pakar kecantikan bukan doktor dan orang yang lebih mahir adalah pakar kulit terutamanya bila seseorang pesakit itu ada masalah jerawat.

‘‘Jerawat adalah satu penyakit yang hanya boleh dirawat oleh doktor pakar kulit di mana jika hendak melakukan sesebuah prosedur rawatan mereka tahu apa yang hendak dibuat termasuk merawat alahan atau kesan sampingan pada kulit muka pesakit,” ujarnya.

Menurutnya, ramai di kalangan pengguna masih tidak menyedari bahawa kos rawatan yang ditawarkan oleh doktor perubatan atau pakar kulit adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan perkhidmatan di pusat-pusat kecantikan.

Tambah Dr. Mardziah, sekiranya prosedur rawatan tidak melibatkan pembedahan, kos yang akan dikenakan kepada pesakit hanya membabitkan ratusan ringgit dan ia tidak mencapai perbelanjaan empat angka.

‘‘Jika pesakit memerlukan pembedahan atau pun rawatan laser sudah tentu kosnya lebih mahal, tetapi untuk rawatan biasa perbelanjaannya tidaklah semahal rawatan di pusat kecantikan yang melibatkan ribuan ringgit dan jaminan untuk pulih tidak pula dapat diberi secara seratus peratus,” tegas beliau.

Beliau berkata, masalah kulit tidak boleh dipandang ringan kerana kesan daripada rawatan yang dibuat boleh memberi implikasi yang cukup besar khususnya dari segi psikologi dan emosi pesakit.

Jelasnya lagi, pesakit boleh bertukar menjadi seorang yang murung dan emosional sekiranya rawatan yang dilaksanakan ke atasnya menemui kegagalan.

Dr. Mardziah memberitahu, kadangkala pengguna khususnya kaum wanita sering kali terlupa bahawa penjagaan kesihatan yang betul adalah jauh lebih penting daripada memelihara kecantikan wajah.

‘‘Kita masih boleh kelihatan cantik jika aspek kesihatan diambil berat seperti mengambil makanan seimbang dan mengawal berat badan agar tidak obes,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Maksilofasial Universiti Malaya, Profesor Dr. Zainal Arif Abdul Rahman, menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati setiap kali hendak mendapatkan rawatan kosmetik.

Kesan buruk

Katanya, sebagai pengguna, orang ramai perlu memastikan individu yang dirujuk adalah merupakan pakar yang bertauliah agar rawatan yang diterima tidak mendatangkan kesan buruk kepada kulit wajah.

‘‘Saya perhatikan pada masa kini, banyak rawatan seperti suntikan botox atau pun vitamin C boleh didapati di pusat-pusat kecantikan.

‘‘Sedangkan prosedur rawatan tersebut hanya boleh dilakukan oleh pakar kulit atau doktor perubatan yang bertauliah kerana dikhuatiri ubat yang digunakan boleh mendatangkan kesan alahan kepada pesakit,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan botox, jelas beliau, botox merupakan bahan kimia yang dihasilkan menerusi sejenis bakteria, botulinum toksin yang mana bakteria itu berupaya melumpuhkan otot jika salah cara penggunaan.

Tambahnya, suntikan botox atau pun vitamin C perlu dilakukan secara berterusan iaitu enam bulan sekali sekiranya seseorang itu ingin mengekalkan keserian wajah kesan daripada suntikan berkenaan.

Menceritakan pengalaman merawat pesakit yang mengalami kerosakan struktur wajah, Dr. Zainal memberitahu, biasanya pembedahan perlu dilakukan sekiranya wajah pesakit mengalami kerosakan serius sehingga membabitkan tisu dan tulang muka.

‘‘Saya pernah merawat seorang pesakit yang mendapat komplikasi setelah membuat rawatan di China di mana bahagian dagu pesakit berkenaan telah bernanah dan saya terpaksa membedah bahagian dagu bagi membentuk semula dagunya yang telah rosak teruk,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada orang ramai agar meningkatkan pengetahuan mereka mengenai rawatan wajah dan produk-produk kecantikan menerusi pembacaan di internet ataupun merujuk terus kepada pakar kulit bagi mendapatkan nasihat serta pandangan yang betul.


Ditulis oleh:

Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/