Disfagia adalah satu terma yang jarang disebut tapi seringkali kita mengalaminya. Ia merujuk kepada kesukaran untuk menelan.
Odinofagia pula merujuk kepada rasa sakit untuk menelan. Biasanya, kedua-dua gejala ini boleh terjadi secara serentak, atau satunya menyusul selepas satunya bermula.
Odinofagia dikaitkan dengan keradangan yang berlaku dalam saluran makanan seseorang yang menyebabkan rasa sakit apabila sesuatu bolus makanan itu melalui kawasan yang mengalami keradangan ini.
Punca Disfagia
Keadaan sukar untuk menelan atau merasakan ketulan makanan tersangkut pada tekak ini boleh disebabkan oleh faktor gangguan pada fasa pra-esofagus atau fasa esofagus sewaktu seseorang itu cuba menelan.
Fasa menelan pra-esofagus merujuk kepada masa makanan itu masih berada pada kawasan rongga mulut dan farinks.
Fasa esofagus pula bermula apabila makanan itu mula masuk ke dalam saluran tiub makanan esofagus yang bersambung dengan farinks.
Bagi seseorang yang normal, makanan yang disuap ke dalam mulut mestilah dikunyah, ditambah dengan pelincir iaitu air liur yang turut sama mengandungi enzim pencernaan sebelum dijadikan gumpalan yang dinamakan bolus
Seterusnya, bolus tersebut ditolak ke belakang oleh pergerakan lidah untuk ia masuk ke farinks dan seterusnya esofagus. Gangguan pada salah satu proses ini akan menyebabkan disfagia.
Faktor Pra-Esofagus
Gangguan pada fasa pra-esofagus boleh berpunca daripada ketidaksempurnaan proses yang disebutkan tadi.
Ia boleh terjadi akibat makanan tidak dapat dikunyah dan dilumatkan kerana gangguan fungsi rahang dan gigi.
Gangguan ini boleh terjadi pada mereka yang mengalami masalah patah tulang rahang (terutamanya mandibel), ulser pada gusi atau sendi rahang (temporomandibular) yang tidak dapat berfungsi dengan baik.
Pesakit yang mengalami masalah pada lidah seperti ketumbuhan, atau struktur yang tidak sempurna, baik akibat kecederaan atau pembedahan, akan mengganggu proses penyediaan bolus makanan ini untuk dihantar ke ruangan farinks.
Farinks yang normal sepatutnya menjadi transit yang sementara bagi bolus makananyang melaluinya untuk masuk ke dalam esofagus.
Dalam keadaan farinks yang bermasalah seperti kelenjar tonsil yang besar atau jangkitan pada farinks, pembengkakan dinding farinks boleh terjadi akibat edema atau pengumpulan nanah selepas jangkitan.
Ia akan menyebabkan rongga farinks menjadi sempit dan menyukarkan makanan melaluinya.
Penyakit gangguan saraf yang bertanggungjawab mengawal fungsi farinks juga boleh menyebabkan proses menelan menjadi sedikit terganggu dan pesakit merasakan makanan lambat turun ke bawah.
Faktor Esofagus
Esofagus ialah saluran makanan yang menghubungkan farinks dengan perut. Ia adalah seperti satu tiub yang panjang, membenarkan pergerakan sehala bolus makanan yang memasukinya bermula dari bahagian atas (farinks) ke bahagian bawah (perut).
Dalam keadaan seseorang yang berkedudukan terbalik sekalipun, esofagus tetap menjalankan tugasnya seperti biasa iaitu makanan masih lagi ditujukan dari bahagian farinks ke bahagian perut.
Proses membawa makanan dengan satu arah yang tetap ini disempurnakan oleh mekanisme peristalsis, iaitu pengecutan dan pengenduran secara teratur otot-otot yang mengelilingi esofagus.
Gangguan pada esofagus, baik dari segi struktur atau fungsi, akan menyebabkan makanan yang hendak dihantar ke perut akan tersekat.
Gangguan struktur termasuklah penyempitan lumen atau rongga esofagus, baik disebabkan oleh keabnormalan yang berada dalam esofagus seperti ketumbuhan, atresia, atau parut akibat refluks asid dari perut.
Penyempitan juga boleh berpunca daripada tekanan dari luar seperti pembengkakan kelenjar tiroid, ketumbuhan di kawasan mediastinum, saluran darah yang membengkak dan menekan esofagus serta bermacam punca lain.
Gangguan saraf yang mengganggu proses peristalsis pula akan menyebabkan hipomotiliti (kurang pergerakan) atau hipermotiliti (pergerakan yang berlebihan), kedua-duanya boleh mengakibatkan gangguan pergerakan makanan dalam esofagus.
Pemeriksaan
Apabila seseorang pesakit itu datang dengan masalah sukar menelan, doktor akan menanyakan soalan-soalan lanjut yang ada kaitan dengan masalah tersebut seperti:
>> kronologi masalah adakah ia terjadi secara tiba-tiba atau beransur-ansur
>> dalam keadaan yang sama atau semakin lama semakin sukar menelan
>> adakah sukar menelan itu lebih kepada cecair atau makanan pejal dan sebagainya
Setelah itu, pemeriksaan klinikal akan dijalankan, dan biasanya akan menunjukkan masalah-masalah yang berpunca dalam rongga mulut dan orofarinks.
Kelenjar tonsil yang membengkak, kehadiran ketumbuhan dalam rongga mulut seprti lidah, gusi atau bahagian dalam pipi amat mudah dilihat.
Pemeriksaan leher termasuklah kelenjar tiroid, sistem saraf, termasuklah saraf kranial akan dilakukan. Endoskopi ringkas di klinik juga banyak membantu dalam mencari punca disfagia.
Jika pemeriksaan di klinik masih gagal menunjukkan puncanya, penyiasatan radiografi seperti imbasan sinar-X dada, leher dan ujian menelan dengan kontras barium akan dilakukan.
Ujian menelan dengan kontras barium ini sangat membantu di mana ia akan menunjukkan saluran esofagus yang dilalukan dengan barium.
Apabila terdapat penyempitan, jumlah barium yang melaluinya akan menjadi sedikit terhalang dan lokasi penyempitan akan dapat ditentukan.
Imbasan CT adakalanya diperlukan untuk melihat struktur yang tidak dapat dilihat dengan mata atau diperiksa dengan tangan atau alatan lain yang terdapat di klinik.
Antara ujian lain yang dapat membantu mencari punca sukar menelan ini termasuklah pengukuran pH dalam esofagus dan farinks, bagi melihat sama ada ia diakibatkan oleh penyakit refluks asid dari perut yang juga boleh menyumbang kepada gejala sukar menelan ini.
Esofagoskopi, iaitu ujian endoskopi ke dalam tiub esofagus, pula membolehkan kawasan dalam esofagus itu dilihat dengan jelas jika terdapat sesuatu yang menyebabkan penyempitannya.
Rawatan
Rawatan terhadap gejala sukar menelan ini banyak bergantung kepada punca yang sebenar menyebabkannya.
Setiap pesakit yang datang ke klinik dengan simptom yang sama iaitu disfagia mungkin akan pulang dengan rawatan yang berlainan antara satu dengan yang lain kerana puncanya adalah berbeza.
Ada antaranya hanya memerlukan kaunseling dan tidak kurang juga yang memerlukan pembedahan. Namun, segalanya akan ditentukan setelah segala siasatan selesai dilakukan.
Apa yang penting bagi pihak pesakit ialah untuk datang berjumpa dengan doktor bagi rawatan selanjutnya jika situasi sukar menelan ini semakin teruk dan mengganggu kehidupan seharian.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment