Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, June 24, 2009

CaEd Luaskan Maklumat Kanser

Gambaran yang tidak terucap tatkala menerima berita disahkan menghidap kanser payu dara. Apatah lagi bakal kehilangan ciri kewanitaan itu tidak lama lagi. Terbayang di fikiran, rambut semakin gugur, pakaian serta coli tidak boleh dipakai lagi serta berat badan tidak secantik dulu.

Wanita sebenarnya mempunyai reaksi yang berbeza apabila diberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan payu dara mereka.

Sedih dan tertekan tetapi walau apa pun persoalan yang bermain di fikiran, pada suatu ketika tentu mereka ingin tahu mengenai keadaan sebenar.

Apa yang lebih membimbangkan atau mungkin menjadi trauma dalam hidup, jika wanita itu didiagnosis menghidap barah payu dara. Hakikatnya, berita ini amat digeruni seolah-olah hidup mereka akan berkahir.

Lebih-lebih lagi, penyakit itu membawa perubahan besar gaya hidup pesakit dan juga memberikan kesan lain termasuk perubahan penampilan, emosi yang tidak menentu dan bebanan kewangan.

Justeru, pembelajaran dan pemahaman mengenai barah payu dara adalah penting agar wanita yang menghidap penyakit itu dapat menangani keadaan krisis dihadapi serta berupaya meneruskan kehidupan lebih positif.

Menerusi Projek Pendidikan dan Penyelidikan Kanser (CaEd), pendidikan kanser ini dapat dibangunkan serta mempelbagaikan cara penyampaiannya.

Projek ini merupakan ilham daripada dua orang bekas pesakit kanser, seorang dari Malaysia manakala seorang lagi dari Amerika Syarikat.

Idea utama mereka ialah mengadaptasi dan menterjemah bahan pendidikan yang terpilih ke dalam Bahasa Malaysia sebagai langkah pertama dalam menyediakan maklumat yang diperlukan berkenaan rawatan dan penjagaan kanser payu dara.

Seterusnya berkembang kepada aktiviti pendidikan yang utama, CaEd. Kepimpinan projek ini adalah melalui usahasama antara Universiti Putra Malaysia dan Cornell University. Projek ini telah dilancarkan secara rasminya di Malaysia pada September 2003.

CaEd juga menyediakan maklumat dan pengetahuan mengenai rawatan dan pengurusan penyakit kanser di kalangan pesakit dan bekas pesakit kanser, keluarga mereka, profesional kesihatan dan orang awam umumnya di Malaysia.

Selain itu, ia bertujuan untuk membangunkan kapasiti manusia dan institusi serta pembangunan mapan dalam sektor pendidikan kanser yang kritikal dalam komuniti pelbagai etnik di Malaysia.

Program

Sejak 2003, berikut adalah senarai program dan aktiviti hasil daripada inisiatif projek ini:

Usahasama

*Pihak yang terlibat: UPM, Cornell University, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), American Cancer Society.

*Jaringan kumpulan dan individu stakeholder komited di Malaysia dan Amerika Syarikat.

Adaptasi dan Terjemahan Bahan Pendidikan

*Kebenaran untuk menterjemah bahan pendidikan American Cancer Society

*Menterjemah 10 judul buku pendidikan yang berkaitan dengan rawatan, penjagaan dan pengesanan awal kanser payudara ke dalam Bahasa Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)

*Menghasilkan 4 judul buku dalam bentuk PDF

Penyebaran dan Outreach

*Menghasilkan 10 judul buku dan penyebaran melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, ExxonMobil Malaysia, Penerbit UPM, dan Dawama Sdn. Bhd.

*Laman web projek di alamat: http://www.ipsas.upm.edu.my/~caed/

*Sesi bulanan Kumpulan Sokongan dan Pendidikan Kanser; aktiviti kaunseling rakan sebaya dan pendidikan komuniti

*Pendaftaran Kumpulan Sokongan sebagai Persatuan Kanser Network (KanWork)

*Laman web kumpulan sokongan di alamat: http://www.ipsas.upm.edu.my/~kanwork/

*Melatih ahli kumpulan sokongan kanser payudara di beberapa buah organisasi kanser payudara di Amerika Syarikat yang berasaskan komuniti

*Pusat Sumber Kanser dibiayai oleh ExxonMobil Malaysia. Pengumpulan bahan-bahan pendidikan kanser untuk pesakit dan orang awam sebagai bahan rujukan. Aktiviti perkhidmatan sokongan diadakan semasa hari klinik payudara di Hospital Putrajaya

*National Summit on Breast Cancer Education (NSBCE 2006) telah diadakan pada bulan Julai 2006 untuk mengenalpasti keperluan utama pendidikan dalam pendidikan kanser payudara (dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

Penyelidikan

*Mengkaji profil kanser payudara di Malaysia dengan memfokuskan bagaimana pesakit membuat keputusan yang berkaitan dengan rawatan dan mempelajari cara pengurusan kanser (geran penyelidikan IRPA, MOSTI)

*Pakej Pendidikan Pemakanan untuk Pesakit Kanser, bahan pendidikan tahap rendah dalam pemakanan untuk pesakit kanser payudara yang menjalani kemoterapi (geran penyelidikan MAKNA)

*Membangunkan bahan pendidikan kanser payudara tahap rendah di dalam Bahasa Malaysia (geran Syarikat Boeing)

*Lifestyle Modification And Intervention In The Prevention of Breast Cancer Recurrence memfokuskan tentang kanser dan persekitaran, gaya hidup (pemakanan, senaman, dan kerohanian) (geran penyelidikan MAKNA)

Inisiatif Baru

*Menterjemahkan bahan pendidikan Bahasa Malaysia yang telah diterbitkan oleh projek untuk pembaca berbangsa Cina

*Mengadaptasikan dan menterjemah buku bertajuk Caring For The Person with Advanced Cancer - A Guide for Families and Friends yang dihasilkan oleh Cancer Foundation of Western Australia di dalam bahasa Malaysia (geran BAKTI)

*Pembangunan kapasiti dan kemapanan kualiti program pendidikan kanser di Malaysia

Pusat Sumber Pendidikan dan Komunikasi Kanser (CaRE)

*Portal Pendidikan Kanser (pembiayaan Creative)


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment