Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, July 31, 2008

Harapan Baru Pesakit Hati


KANSER hati tersenarai pada kedudukan keenam penyakit kanser yang biasa ditemui di dunia dan merupakan punca ketiga kematian yang berkaitan dengan penyakit kanser. - Gambar hiasan





















Jika ditanya sejauh manakah kemungkinan untuk kita untuk berdepan risiko jangkitan virus Hepatitis B, mungkin ramai yang menyatakan: “Ia tidak mungkin berlaku kepada saya.”

Ini kerana agak sukar mengesan simptom peringkat awal penyakit itu sehinggalah kita menjalani ujian darah atau pemeriksaan kesihatan untuk penyakit lain.

Antara gejala-gejala yang sering dikaitkan dengan penyakit hati termasuklah penurunan berat badan tanpa sebab, tiada selera makan, sakit sekitar bahu kanan, kulit menjadi kekuningan termasuk mata dan sentiasa berasa lesu dan mual.

Bagaimanapun, semua gejala di atas hanya muncul apabila kanser sudah sampai ke peringkat serius yang disebabkan pesakit lewat datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Sedihnya, pada peringkat ini penyakit itu telah sukar dirawat dan dalam kebanyakan kes, peluang untuk hidup adalah kurang dari satu tahun.

Sesuatu yang perlu disedari ialah sebenarnya sesiapa sahaja daripada kita berdepan dengan risiko untuk mendapat jangkitan virus berkenaan, terutama mereka yang berusia 16 tahun ke atas.

Ini kerana, di negara kita program imunisasi terhadap virus tersebut hanya diwajibkan kepada bayi yang baru lahir pada tahun 1989.

Merujuk kepada laporan kedua Daftar Kanser Kebangsaan Mengenai Kejadian Kanser di Malaysia 2003 yang diterbitkan pada tahun 2004, kanser hati merupakan kanser ke-10 paling kerap ditemui di kalangan lelaki dan wanita.

Hepatocellular carcinoma (HCC) merupakan bentuk kanser hati yang biasa ditemui dan bertanggungjawab untuk kira-kira 90 peratus kanser hati malignan utama kalangan dewasa.

Dianggarkan juga seramai 378 lelaki dan 150 wanita bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit kanser hati.

Kanser hati tersenarai pada kedudukan keenam penyakit kanser yang biasa ditemui di dunia dan merupakan punca ketiga kematian yang berkaitan dengan penyakit kanser.

Lebih 600,000 kes kanser hati didiagnosis di seluruh dunia setiap tahun dan jumlah tersebut semakin meningkat.

Pada hari ini, kadar survival selama lima tahun bagi penghidap penyakit kanser hati di Eropah ialah 8.6 peratus, Amerika Syarikat (kurang 10 peratus) dan Asia (kurang 10 peratus bagi tumor yang tidak boleh dibedah).

Kanser hati di benua Asia Pasifik kian berkembang kerana bilangan tinggi jangkitan virus Hepatitis B kronik, yang kini memberi kesan kepada kira-kira 275 juta penduduk di benua itu.

Walaupun mereka boleh menjalankan aktiviti harian tanpa masalah, kumpulan ini perlu diawasi supaya tidak menyebarkan virus kepada orang lain.

Konsultan dalam bidang onkologi klinikal di sebuah hospital swasta, Dr. Chong Kwang Jeat, tidak menafikan bilangan ini mungkin lebih daripada itu kerana masih banyak kes penyakit kanser hati tidak dilaporkan kerana kurang kesedaran mengenainya.

Berlaku dengan cepat

Berdasarkan kepada pengalaman, kata Kwang Jeat, kebanyakan pesakit berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas kerana virus Hepatitis B mengambil masa agak lama untuk merosakkan hati dan apabila telah rosak, ia akan merebak dengan cepat.

‘‘Apa yang membimbangkan peningkatan jumlah kes yang baru dikesan. Dalam kebanyakan kes barah hati peringkat awal tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala.

“Apabila ada gejala, itu menandakan barah hati sudah sampai ke peringkat serius. Inilah sebabnya individu yang berisiko tinggi disaran menjalani pemeriksaan,’’ ujarnya pada sidang media memperkenalkan Sorafenib, anjuran Bayer Schering Pharma Malaysia di ibu negara, baru-baru ini

Beliau berkata, simptom-simptom yang wujud pada tahap seterusnya termasuk gumpalan, ketidakselesaan pada bahagian kanan abdomen, kesakitan sekitar sebelah kanan tulang belikat atau kulit yang kekuningan atau jaundis.

Faktor risiko menghidap kanser hati termasuk jangkitan kronik virus Hepatitis B atau C yang berkait dengan sirosis atau gangguan struktur hati normal oleh fibrosis dan pembentukan nodul yang disebabkan oleh pelbagai keadaan yang memberi kesan pada hati seperti ketagihan alkohol, obesiti, diabetis dan penggunaan tembakau.

Pendedahan jangka masa panjang terhadap aflatoxin (toksin yang dihasilkan oleh beberapa spesies fungus yang boleh ditemui pada kacang tanah, pepohon kacang dan benih berminyak), penggunaan steroid anabolik dalam jangka masa panjang dan air yang tercemar dengan arsenik juga merupakan faktor risiko HCC.

Secara amnya, kata Dr. Kwang Jeat, kanser dirawat dengan menggunakan kaedah kemoterapi dan radioterapi.

Namun, bagi kebanyakan penghidap kanser hati, rawatan tersebut adalah sukar kerana tahap toksik ubat-ubatan antikanser meningkat dan fungsi hati mereka terjejas.

Disebabkan itu, katanya lagi, terdapat keperluan penting bagi mengesan dan mewujudkan diagnosis, di samping rawatan yang memanjangkan hayat yang lebih efektif.

Harapan

Hari ini pesakit kanser hati mempunyai sebab untuk berasa gembira kerana harapan untuk mereka meneruskan kehidupan adalah lebih cerah dengan pengunaan Sorafenib.

Sorafenib merupakan terapi pertama dan satu-satunya ubat rawatan oral antikanser untuk penghidap HCC.

Setakat ini, ia merupakan satu-satunya ubat yang memperbaiki kadar jangka hayat penghidap HCC di peringkat lanjut.

Sorafenib telah diluluskan penggunaan untuk rawatan HCC oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Disember 2007. Menariknya, Malaysia merupakan antara negara terawal yang membenarkan penggunaan ubat oral tersebut selepas ia diluluskan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Agensi Perubatan Eropah (EMEA).

Pada Disember 2005, FDA telah meluluskan ubat tersebut untuk rawatan kanser buah pinggang atau renal cell carcinoma (RCC) di peringkat lanjut.

Ini menjadikannya rawatan kelulusan FDA pertama untuk penyakit tersebut dalam masa lebih sedekad.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perubatan Dalaman Universiti Mainz, Jerman, Prof. Dr. Peter Galle, turut memaklumkan bahawa jumlah kematian disebabkan oleh penyakit tersebut terus meningkat.

Jika sebelum ini para pesakit pada peringkat terakhir penyakit ini tidak mempunyai harapan dan pilihan rawatan efektif dan kemungkinan meninggal dunia dalam masa setahun selepas diagnosis, dengan kehadiran Sorafenib, para pesakit kini mempunyai lebih peluang untuk melanjutkan kadar survival pesakit sehingga lebih 44 peratus.

Malah kehadiran sorafenib memberi impak besar dalam memperbaiki kesan rawatan dan juga kehidupan bagi pesakit-pesakit yang berhadapan dengan penyakit ini.

Tegas Dr. Galle, pengambilan Sorafenib mempunyai kesan sampingan yang boleh dirawat termasuk reaksi kulit pada kaki dan tangan seperti kemerah-merahan dan masalah cirit-birit.

‘‘Ubat oral tersebut adalah salah satu kelas terbaru terapi kanser yang berfungsi dengan menyasarkan dan menghalang protein yang menghantar isyarat dalam sel.

‘‘Ini seterusnya menghentikan penambahan bilangan sel tumor dan juga memotong bekalan darah terhadap ketumbuhan tersebut,’’ ujarnya.

Sementara itu, Perunding Onkologi Hospital Universiti Nasional Taiwan, Dr. Chiun Hsu pula menegaskan peluang untuk pesakit barah hati meneruskan kehidupan secara umumnya adalah sangat rendah.

Berdasarkan tempoh selama lima tahun, kajian seluruh dunia mendapati peluangnya adalah kurang daripada 10 peratus.

Kajian penggunaan Sorafenib ke atas pesakit di Taiwan terbukti dapat membantu meningkatkan peluang hidup pesakit di negara tersebut. sebanyak 47 peratus.

Sorafenib kini diluluskan di lebih 70 buah negara untuk rawatan peringkat lanjutan kanser buah pinggang dan rawatan HCC di lebih 40 buah negara.

Syarikat-syarikat, kumpulan penyelidik antarabangsa, agensi-agensi kerajaan dan pengkaji sedang menilai keberkesanan Sorafenib sebagai agen tunggal atau rawatan kombinasi pelbagai bentuk kanser termasuk kanser paru-paru, kanser payudara dan sebagai terapi tambahan untuk kanser buah pinggang.


Ditulis oleh:
Roslah Othman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, July 27, 2008

Sendi Sihat : Pendekatan Secara Semulajadi

Salah satu masalah paling ketara yang dikongsi oleh mereka yang sudah berusia adalah keadaan fisiologi yang mempengaruhi kesihatan sendi. Manusia mempunyai 206 batang tulang dan lebih daripada 230 bentuk sendi yang boleh bergerak dan separuh bergerak. Semakin usia meningkat, kehausan badan secara semulajadi akan meningkat dengan cepat. Keruntuhan sistem rangka tulang dalam berbagai-bagai bentuk artritis biasa berlaku, terutamanya di tempat tulang bersambung, mengakibatkan kesakitan, bengkak, rasa kaku dan keupayaan terhad. Artritis merupakan satu daripada masalah kronik dan punca utama kehilangan upaya yang paling berleluasa kini.

Radang yang kronik adalah satu petanda sesuatu telah berlaku pada kesihatan badan. Di sebalik mencegah dan mengubat, radang kronik menjadikan badan lebih tua dan lemah. Kini, kebanyakan orang merawat radang dengan satu atau lebih jenis ubat preskripsi atau tanpa preskripsi. Penggunaan ubat sedemikian cuma dapat menutup gejala radang dengan sementara, tanpa merawat punca sebenar. Namun yang lebih buruk adalah kesan sampingan ubat sedemikian seperti penambahan berat badan, sakit perut yang melampau, kecacatan tulang dan kegagalan jantung. Demi memahami punca utama epidemik moden bagi penyakit radang, kita perlu meninjau kepada diet tidak menentu sekarang ini, dan bagaimana makanan telah mempengaruhi masa keradangan bermula.

Rawatan dan Pemakanan

Terdapat banyak pilihan ubatan farmaseutikal dan ubat tanpa preskripsi yang bertujuan untuk melegakan kesakitan tetapi tidak bertindak pada punca asas masalah. Jenis ubatan seperti NSAIDS (ubat anti-radang bukan steroid) dan perencat Cox-2 mungkin melegakan gejala yang berhubungkait dengan artritis untuk sementara, tetapi kesan sampingan seperti masalah gastrousus, ginjal dan kardiovaskular sering berlaku. Ini mungkin melambatkan keupayaan badan untuk memperbaiki kerosakan dan melawan jangkitan, meningkatkan risiko kepada kesihatan jika diambil dalam jangka masa panjang.

Oleh kerana jutaan orang mendapati diri mereka menderita akibat pelbagai keadaan artritis, semakin ramai telah memilih jalan penyelesaian “semulajadi” dan berusaha untuk memahami isu kesihatan mereka dari perspektif “holistik”. Mereka ingin mengetahui lebih mendalam punca asas masalah kesihatan mereka demi mencapai keseimbangan fisiologi badan sebenar. Jika kita membenarkan proses pemulihan naluri berlaku di samping melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pelbagai penyakit, keadaan ini merupakan ciri “menang-menang” bagi kesihatan dan kesejahteraan jasmani badan dan mutu kehidupan kita.

Langkah-langkah yang perlu diambil mesti mengambil kira faktor seperti berikut:

>> Lakukan penyelidikan sendiri dan membuat keputusan yang betul bagi diri sendiri.

>> Perhatikan diet anda: Pemakanan mempunyai penyelesaian yang mudah bagi kelegaan kesakitan. Dalam amalan kesihatan secara semulajadi, menjadi satu kesalahan jika perihal pemakanan tidak dibincangkan. Kita perlu mengurangkan pengambilan asid lemak Omega-6 dan meningkatkan pengambilan asid lemak Omega-3. Ini akan meningkatkan takat prostaglandin “baik” dan mengurangkan takat prostaglandin “tidak baik” dan akhirnya meningkatkan kelegaan sakit artritis secara semulajadi. Penyelidikan menunjukkan asid lemak Omega-3 meningkatkan prostaglandin “baik” yang mengurangkan radang secara semulajadi. Sumber terbaik bagi asid lemak Omega-3 boleh didapati dari ikan salmon, sardin dan tuna. Minyak kanola, minyak biji flaks dan sayuran hijau juga sumber baik asid lemak Omega-3. Kurangkan pengambilan asid lemak Omega 6 yang boleh didapati dalam minyak bunga matahari, minyak biji kapas dan minyak safflower, yang mana minyak tersebut terdapat dalam majerin, perisa salad dan mayonis.

>> Minum banyak air (terutamanya air beralkali), penting untuk memelihara kesihatan sendi. Jika tubuh kekurangan air, maka amatlah susah untuk memberi pelinciran pada sendi.

>> Amalkan senaman: Pastikan anda panaskan dan sejukkan badan sebelum dan selepas bersenam. Buat regangan badan perlahan dan terkawal semasa bersenam.

Prostaglandin

Prostaglandin adalah punca sebenar kesakitan dan radang. Prostaglandin terlibat kerana ia mempunyai pelbagai fungsi. Sel darah putih tertarik kepada prostaglandin yang dihasilkan di tempat radang supaya ia boleh memperbaiki kerosakan yang disebabkan misalnya oleh rawan yang rosak dan juga untuk mencegah jangkitan.

Penahanan berterusan akibat penggunaan ubat tahan sakit tanpa preskripsi boleh membawa kepada jangkitan dan penyakit lain yang lebih serius. Ubat-ubatan menahan sakit juga menghalang keupayaan badan untuk mengelakkan pembekuan darah. Ini adalah oleh kerana sesetengah prostaglandin memainkan peranan penting dalam pengembangan saluran darah dan membersihkan laluan sistem peredaran anda.

Kita tidak perlu menghapuskan prostaglandin dengan mendadak. Kita perlu mencari suatu kesimbangan di antara yang baik dan yang tidak baik. Ubat tanpa preskripsi biasanya menghalang sesuatu molekul sasaran dan mengurangkan aktivitinya dengan mendadak sementara unsur anti-radang semulajadi umumnya mengatur lingkungan meluas kawasan radang. Unsur anti-radang ini bertindak secara semulajadi dengan tubuh badan.

Akhirnya kita memerlukan sejenis suplemen semulajadi untuk memperbaiki dan menguatkan sendi.

>> Glukosamina, yang telah digunakan di Eropah sejak 1960-an, dilihat dapat meningkatkan keupayaan pergerakan pesakit artritis jika diambil bersama Kondroitin Sulfat. Glukosamina memelihara dan menguatkan rawan sendi terutamanya di lutut, pinggul, tulang belakang dan tangan. Dalam usaha tersebut, ia mungkin membantu dalam pencegahan kerosakan rawan yang berterusan.

>> Gabungan antara Glukosamina dan Kondroitin berfungsi bersama secara sinergi untuk membantu memperbaiki rawan sendi, menggalakkan keanjalan dan melegakan kesakitan sendi dalam keadaan seperti penyakit Osteoartritis.

>> Glukosamina dengan Kondroitin boleh digunakan dalam bentuk satu kapsul sayuran yang membekalkan dos yang tinggi iaitu 375 miligram (mg) untuk Glukosamina Sulfat dan 200 mg untuk Kondroitin Sulfat. Anda juga dinasihatkan supaya mengambil formula 2-dalam-1 yang mengandungi Glukosamina Sulfat tanpa natrium (garam) jika anda risau tentang masalah kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan natrium berlebihan.

>> Berdasarkan kepada satu kajian penting ‘The Glucosamine/Chondroitin Arthritis Interventian Trial’ (GAIT) oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), Amerika Syarikat didapati bahawa kombinasi Glukosamina & Kondroitin adalah jauh lebih baik dalam mengurangkan kesakitan penyakit Osteoartritis jika dibandingkan dengan mengambil Glukosamina sahaja, Kondroitin sahaja atau ubat penahan sakit sahaja. Oleh itu, (secara peribadinya) pesakit dinasihatkan untuk mengambil kombinasi 2-dalam-1 ini.

MAKLUMAT dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Apabila Buah Pinggang Gagal Berfungsi

Kemajuan dalam rawatan penyakit buah pinggang peringkat akhir menyediakan pelbagai pilihan kepada pesakit untuk membantu mereka menguruskan penyakit mereka secara berkesan. Kemerosotan buah pinggang lazimnya mengambil masa yang panjang dan dalam kebanyakan kes, masalah ini hanya dikesan selepas penyakit berkenaan bertambah teruk. Penyakit buah pinggang di peringkat yang paling lanjut dirujuk sebagai penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF); di mana fungsi buah pinggang seseorang jatuh di bawah paras tertentu atau berhenti berfungsi sepenuhnya.

Pesakit ESRF berhadapan dengan pelbagai jenis masalah kerana tubuh badan mereka mula menyimpan air yang berlebihan dan bahan buangan yang biasanya disingkirkan oleh buah pinggang. Tangan dan kaki yang membengkak merupakan simptom yang sering dilaporkan selain kesukaran bernafas dan kekurangan selera makan yang mungkin diiringi rasa mual dan muntah. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ESRF boleh menyebabkan sawan dan koma.

Oleh itu, pesakit buah pinggang peringkat akhir perlu mendapatkan rawatan segera menerusi terapi penggantian fungsi renal. Tiga jenis rawatan alternatif telah dicipta untuk mengambil alih sebahagian fungsi penting buah pinggang bagi membolehkan pesakit terus hidup. Terapi berkenaan tidak menyembuhkan penyakit buah pinggang tetapi membantu melegakan ketidakselesaan pesakit dan membolehkan mereka hidup lebih lama.

HD atau PD

Hemodialisis (HD) ialah proses penapisan darah yang dilakukan dengan bantuan mesin. Darah yang mengandungi bahan buangan dibersihkan melalui dialyser dan dikembalikan semula ke dalam badan. Pesakit yang menjalani HD perlu mengunjungi pusat dialisis tiga kali seminggu untuk sesi rawatan yang mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk setiap sesi. Oleh kerana jarum diperlukan untuk mengeluarkan darah dan mengembalikannya ke dalam badan, pesakit yang menjalani HD terdedah kepada jangkitan kuman dan pendarahan jika tidak mematuhi prosedur yang betul. Ada juga di kalangan pesakit yang mengalami pening kepala, mual, kekejangan kaki dan keletihan akibat rawatan tersebut.

Berbeza dengan HD, dialisis peritoneum (PD) menggunakan membran peritoneum atau selaput abdomen sebagai penapis. Satu tiub kecil dan lembut yang dikenali sebagai kateter dimasukkan menerusi pembedahan melalui dinding abdomen, ke dalam ruang peritoneum di mana dialisis berlaku. Larutan dialisis kemudian diisi ke dalam abdomen melalui kateter untuk memerangkap bahan buangan dari darah.

Selepas beberapa jam, larutan yang telah diguna dialirkan keluar dari badan. Buat masa ini, terdapat dua jenis PD iaitu dialisis peritoneum bergerak berterusan (continuous ambulatory peritoneal dialysis) atau CAPD dan dialisis peritoneum automatik (automated peritoneal dialysis) atau APD.

Pesakit CAPD perlu menjalani empat pertukaran dialisis setiap hari, dengan setiap pertukaran mengambil masa antara 20 hingga 30 minit.

APD pula dilakukan semasa pesakit tidur, dan mengambil masa antara lapan hingga 12 jam setiap malam. Walaupun CAPD dan APD masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, PD pada umumnya memberikan fleksibiliti dan kemudahan pergerakan yang lebih. Oleh kerana rawatan dilakukan di rumah, pesakit juga boleh mengatur jadual dialisis supaya bersesuaian dengan waktu kerja dan perjalanan kehidupan seharian.

Tambahan lagi, pertukaran dialisis yang kerap dan berterusan untuk mengeluarkan bahan buangan dan air yang berlebihan dari badan hampir menyerupai fungsi semula jadi buah pinggang. Namun begitu, PD merupakan rawatan invasif kerana kateter perlu dimasukkan secara kekal di dalam abdomen. Jangkitan kuman boleh berlaku jika PD dilakukan dalam persekitaran yang kurang bersih.

Pemindahan Buah Pinggang

Di antara pilihan rawatan yang ada, pemindahan buah pinggang adalah pilihan terbaik bagi pesakit memiliki buah pinggang sendiri. Kebebasan daripada rawatan dialisis memang satu prospek yang menarik, tetapi usaha mencari penderma yang sesuai mengambil masa yang panjang dan pesakit perlu diletakkan dalam senarai panjang pesakit yang menunggu pemindahan buah pinggang. Walaupun penderma yang sesuai ditemui, pesakit terpaksa bergantung kepada ubat sepanjang hayat untuk mengelakkan badan menolak buah pinggang yang didermakan itu.

Seperti dengan ubat-ubatan lain, penggunaan ubat secara berterusan dan berpanjangan juga boleh mengundang kesan sampingan yang tidak diingini. Perlu ditekankan bahawa tiada satu terapi yang sesuai untuk semua pesakit, sementara individu tertentu mungkin lebih sesuai untuk jenis rawatan khusus berbanding kaedah rawatan lain.

Pertimbangan yang teliti perlu dibuat untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup pesakit, tanpa menjejaskan kesihatan mereka untuk membantu mereka menguruskan penyakit dengan berkesan. Sama ada pesakit memilih hemodialisis, dialisis peritoneum atau pemindahan buah pinggang, pilihan perlu dibuat dengan maklumat yang tepat dengan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi menentukan kaedah rawatan yang paling sesuai dan terbaik untuk mereka.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Skizofrenia Bukan Masalah Disampuk Jin

Dianggarkan satu daripada 100 orang di seluruh dunia, menghidap skizofrenia, satu daripada penyakit mental paling serius. Di Malaysia sahaja, dianggarkan satu peratus penduduk menghidap skizofrenia yang mana bilangannya sama banyak antara lelaki dan wanita.

Penyakit ini mempunyai gejala positif (halusinasi dan delusi), gejala negatif (kemurungan, pengasingan diri dan emosi yang tidak terkawal) dan pemikiran yang tidak teratur.

Antara faktor yang dikatakan meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap skizofrenia adalah pengaruh genetik, trauma (kecederaan) pada otak sewaktu atau ketika dilahirkan selainnya dari kesan pengasingan sosial ataupun tekanan.

Ketua Jabatan Perubatan Psikologikal Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, ramai pesakit skizofrenia lambat mendapatkan rawatan menyebabkan sukar untuk pulih.

Ini kerana keluarga tidak tahu perubahan tingkah laku yang dialami oleh pesakit adalah di sebabkan skizofrenia, malah yang biasa dilakukannya menghantar pesakit ini berubat dengan cara keagamaan kerana dipercayai telah disampuk jin, syaitan dan pelbagai makhluk halus.

‘‘Kerana wujudnya salah anggapan itu, maka pesakit lewat mendapat rawatan, cuma datang ke hospital apabila pesakit bertindak agresif. Mereka agresif hanya pada keluarga dan tidak kepada orang lain.

‘‘Justeru itu bagi mencegah schizofrenia, pesakit perlu mendapat rawatan awal sebaik sahaja menyedari terdapat perubahan ke atas dirinya supaya kerosakan pada otak dapat dirawat dan potensi untuk pulih lagi cerah,’’ katanya ketika menyampaikan ceramah mengenai All about Schizophrenia: The Facts and Myths and Bridging Psychosis with Reality di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mohamad Hussain, secara tipikalnya skizofrenia terbentuk pada remaja atau awal usia 20-an sekali pun gejala yang ditunjukkan tidak jelas sehingga usia agak lewat.

Kebanyakan kaum lelaki jatuh sakit seawal usia 16 hingga 25 tahun manakala kaum wanita mula menunjukkan gejala ini antara usia 23 hingga 36 tahun.

‘‘Penyakit mungkin terjadi tiba-tiba namun sebelum sebelum episod pertama berlaku, ada perubahan ketara pada tingkah laku seseorang seperti mudah baran, murung, mengasingkan diri dan tidak boleh belajar atau bekerja dengan baik.

“Ramai orang muda mempunyai corak sikap begini tetapi tidak sakit. Namun, jika keadaan ini sering berlaku dan semakin buruk, ia seharusnya diberi perhatian.

‘‘Penyakit ini boleh bermula dengan pengambilan dadah. Adakalanya penyakit ini tersembunyi disebabkan dadah kerana dadah atau perbuatan menghidu gam yang dikaitkan dengan tingkah laku tidak menentu,’’ katanya.

Tambahnya, ramai pesakit menjadi penganggur atau diberhentikan kerja kerana penyakit ini. Ramai majikan tidak mahu mengambil pekerja yang ada skizofrenia kerana kurang faham mengenai keadaan mereka.

‘‘Gangguan ini memberi kesan besar pada aktiviti sosial mereka kerana kemampuan berinteraksi adalah rendah, keadaan kesihatan mental dan fizikal mereka lemah, tidak makan dengan baik, merokok dan mengambil minuman keras secara berlebihan dan gangguan terhadap kehidupan keluarga tidak dapat dielakkan kerana secara puratanya penjaga perlu menghabiskan 15 jam seminggu untuk menjaga ahli keluarga yang menghidap skizofrenia.

‘‘Sementara itu, masyarakat juga menanggung beban kerana keperluan penjagaan di hospital dan rumah, ubatan, keselamatan sosial dan sistem keadilan awam lain,’’ jelasnya.

Beliau memberitahu, selain daripada pemberian ubatan bagi merawat pesakit, mereka juga perlu menjalani beberapa program bagi membantu pesakit mencapai kefungsiannya atau kembali normal.

‘‘Inilah yang menyebabkan kos untuk merawat penyakit skizofrenia ini merupakan yang termahal. Di Amerika Syarikat sahaja pada tahun 1999, sebanyak AS$32.5 bilion (RM100.75 bilion) dibelanjakan untuk merawat penyakit ini. Ini adalah kos yang terpaksa digunakan kerana kelewatan pesakit mendapat rawatan,’’ ujarnya.

Sementara itu, Profesor Bersekutu Klinikal Columbia University College of Physicians & Surgeons, Prof. Zafar Sharif berkata, walaupun tiada rawatan yang boleh mengubati skizofrenia, ia boleh diurus dengan rawatan tertentu iaitu rawatan oral dan penggunaan ubat antipsikotik.

Suntikan intra-muskular iaitu antipsikotik konvensional sudah diperkenalkan sejak tahun 1960-an bertujuan bagi mengatasi masalah mematuhi rawatan. Kejayaan banyak terbukti. Banyak kajian menunjukkan pesakit memilih suntikan yang bertindak jangka panjang berbanding dengan rawatan oral. Namun begitu, antipsikotik ini mempunyai kelemahan kerana ia berasaskan minyak dan sering dikaitkan dengan rasa sakit atau alahan.

Manakala, Risoerdal Consta adalah ubat antipsikotik antipikal yang pertama terdapat dalam formulasi bertindak jangka panjang. Dengan menggunakan antipsikotik ini, pesakit tidak perlu memikirkan untuk mengambil pil harian.

‘‘Kajian untuk penambahbaikan ubat antipsikotik ini sentiasa dijalankan bagi meningkatkan keserasian, keselamatan dan kepatuhan rawatan. Sehubungan itu, baru-baru ini, formulasi oral baru bagi meningkat rawatan pilihan diperkenalkan.

‘‘Invega adalah ubat antipsikotik atipikal oral dengan mekanisme perlepasan berlanjutan bagi rawatan akut dan rawatan pencegahan berulang skizofrenia. Invega dengan dosnya sekali sehari, direka khusus bagi pengeluaran paliperidone (bahan aktif) menerusi teknologi perlepasan unik OROS terbukti akan profil keberkesanan, keselamatan dan ketahanan.

‘‘Daripada kajian-kajian klinikal sudah terbukti pada ramai pesakit, Invega mampu mengurangkan gejala skizofrenia, termasuk pada kali pertama, meningkatkan kefungsian pesakit berdasarkan Performance and Social Performance Scale,’’’ jelasnya.

Menurut Zafar, kesannya dapat dilihat seawal hari keempat di mana kajian klinikal secara statistiknya menunjukkan perbezaan ketara dibandingkan dengan penggunaan plasebo atau gejala skizofrenia. Apabila digunakan pada kadar yang dicadangkan, kesan sampingan Invega 6mg adalah berbandingan dengan plasebo.

‘‘Dengan teknologi inovatif OROS, Invega memberi peluang kepada ramai penghidap skizofrenia menguruskan penyakit mereka bersama kumpulan rawatan untuk menikmati kehidupan lebih bermakna dan produktif.

‘‘Invega melepaskan paliperidone iaitu satu entiti kimia dan merupakan rawatan bagi skizofrenia yang menggunakan teknologi pengeluaran berterusan OROS. Teknologi OROS menawarkan pelepasan ubatan yang konsisten dalam tempoh 24 jam dengan mengurangkan fluktuasi puncak dan jurang pada kepekatan plasma ubatan,’’ katanya.

Tambahnya, kelulusan penggunaan Invega adalah berdasarkan keputusan program pembangunan klinikal membabitkan 1,306 pesakit dalam tiga kajian utama yang dijalankan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sukatan primer untuk melihat keberkesanan ubat rawatan adalah dengan Positive and Negative Syndrome Scale (PANSS), satu skala yang biasa digunakan dalam penyelidikan skizofrenia bagi mengukur tahap gejala positif atau negatif.

‘‘Kadar pemberhentian pengambilan ubat Invega disebabkan kesan sampingan adalah lebih rendah berbanding dengan plasebo (5 peratus plasebo dibandingkan dengan Invega.

‘‘Selain mematuhi arahan rawatan, keluarga dan pesakit perlu mempunyai pengetahuan mengenai skizofrenia, gejala dan ubatan yang disyorkan bagi merawat pesakit kerana maklumat ini adalah sebahagian daripada proses rawatan khususnya untuk menyokong rasionalnya untuk mematuhi arahan,’’ jelasnya.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, July 26, 2008

Minyak Ikan Bantu Masalah Keradangan

SOALAN:
Saya seorang suri rumah yang berusia 52 tahun dan mempunyai masalah osteoartritis. Buat masa sekarang saya sedang mengambil glukosamin.

Selain itu, saya juga mempunyai kolesterol darah yang tinggi. Ahli farmasi mencadangkan saya menambah pengambilan minyak ikan selain ubat antikolesterol. Apakah manfaat minyak ikan kepada masalah kesihatan saya?


JAWAPAN:
Minyak ikan memberi manfaat yang besar kepada kesihatan terutamanya bagi penghidap artritis yang biasanya turut mengalami keradangan.

Suplemen minyak ikan merupakan kaedah yang lebih menyenangkan untuk mendapat jumlah asid lemak poli-taktepu omega-3 iaitu asid eikosapentanoik (EPA) dan asid dokosaheksanoik (DHA) yang memainkan peranan penting dalam pengawalan masalah berkaitan keradangan seperti osteoartritis.

Pengambilan minyak ikan sebagai suplemen harian membantu merendahkan kolesterol berbahaya (kolesterol LDL) serta meningkatkan kolesterol baik (kolesterol HDL). Selain itu ia turut membantu memperbaiki aliran darah.

Kajian terbaru ke atas sekumpulan subjek yang mempunyai kolesterol yang tinggi atau hiperkolesterolemia mendapati pengambilan gabungan minyak ikan dan red yeast rice dapat mengurangkan paras kolesterol dengan signifikan, iaitu sehingga 42.4 peratus yang menyamai pengambilan statin (ubat untuk merawat kolesterol).

Red yeast rice mengandungi statin semula jadi yang dikenali sebagai monacolin, hasil daripada proses penapaian beras dan yis.

Minyak ikan yang berkualiti tinggi dan mengandungi asid eikosapentanoik (EPA) dan asid dokosaheksanoik (DHA) yang diperoleh daripada daging ikan-ikan kecil boleh dijadikan pilihan.

Minyak ikan juga melalui proses penyulingan untuk menyingkirkan benda asing dan mengurangkan pencemaran.

Aspek lain yang perlu dipertimbangkan adalah bentuk tertentu trigliserida omega -3 yang dipercayai oleh ramai saintis kerana lebih mudah diserap dan digunakan oleh tubuh.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Kawal Peningkatan Kolesterol Dengan Herba

SOALAN:
Saya mempunyai badan yang berisi. Dua minggu yang lalu saya membuat pemeriksaan kolesterol dan mendapati terdapatnya peningkatan kolesterol dalam darah.

Mengikut doktor, ia masih boleh dikawal dengan perubahan diet dan membuat senaman. Ahli farmasi turut mencadangkan saya menambahkan suplemen herba agar pengawalan lebih baik sebelum ia dikategorikan berkolesterol tinggi memandangkan saya mempunyai sejarah keluarga dengan kolesterol tinggi dan berisiko tinggi menghidap masalah serupa.


JAWAPAN:
Pokok guggulu (Commiphora mukul) iaitu tumbuhan asal dari India, menghasilkan guggul yang juga dikenali sebagai guggulu atau guggulipid.

Guggul telah digunakan dalam perubatan Ayurveda selama beribu-ribu tahun untuk merawat artritis dan obesiti, selain mengawal peningkatan kolesterol.

Kesan penurunan kolesterol dipercayai disebabkan oleh keupayaannya menghalang sintesis (penghasilan) kolesterol dalam hati dan juga meningkatkan pemecahan serta penyingkiran kolesterol.

Penggunaan dalam jangka panjang membantu merendahkan kolesterol secara keseluruhan, kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol berketumpatan tinggi (HDL).

Guggulipid juga mempunyai bahan mencairkan darah yang bermanfaat untuk merendahkan tekanan darah.

Suplemen guggulipid yang mengandungi 2.5 peratus guggulsterone (bahan aktif) adalah bermanfaat dan selamat digunakan.

Diet Dan Gaya Hidup

Antara tip untuk mengekalkan paras kolesterol yang sihat:

1. Buangkan semua lemak dan kulit daripada daging, ayam dan itik sebelum makan. Tukar cara masakan dari menggoreng kepada membakar atau memanggang.

2. Elakkan kuah dan sos yang berlemak. Gantikan krim dengan yogurt sebagai sos dan hiasan. Pilihlah buah-buahan segar sebagai pencuci mulut dan bukannya kek atau biskut.

3. Guna minyak sayuran seperti kanola, kesumbar dan zaitun dalam kuantiti yang kecil untuk menggoreng. Kurangkan penggunaan marjerin kerana ia mengandungi minyak separa ter-hidrogen (asid lemak trans).

4. Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi minyak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak khinzir, mentega, telur kuning dan lemak susu.

5. Udang dan kerang-kerangan boleh diambil sekali-sekala kerana kandungan kolesterolnya lebih rendah daripada yang disangkakan dan ia mengandungi lemak tepu yang rendah.

6. Tambahkan serat ke dalam diet anda terutamanya serat oat. Pilih bijirin penuh apabila membeli roti atau bijirin.

7. Hadkan pengambilan organ dalaman haiwan seperti hati, ginjal, otak dan limpa yang tinggi dengan kolesterol.

8. Senaman adalah senjata penting untuk menentang kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Kajian menunjukkan senaman yang kerap (kira-kira 30 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu) dapat meningkatkan paras HDL serta menyingkirkan kolesterol LDL berlebihan daripada darah. Anda boleh melakukan senaman aerobik, berenang, angkat berat, berjalan kaki dan menari.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my