Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, June 06, 2008

Kaedah Menjarakkan Kehamilan


KEHADIRAN cahaya mata kini memerlukan persediaan rapi ibu bapa dari segi mental, fizikal dan juga ekonomi. – gambar hiasan




















Menjarakkan kehamilan bukan lagi satu perkara yang menjadi tabu kepada masyarakat di Malaysia kini. Kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan kesibukan kerja menyebabkan bilangan ahli keluarga kini semakin mengecil berbanding 20 tahun dahulu.

Lantaran itu tidak hairanlah kebanyakan pasangan suami isteri terutama golongan muda memilih untuk merancang keluarga bagi menjarakkan kehamilan atau pun mengehadkan bilangan anak.

Dengan perkembangan dunia perubatan yang semakin maju, sebenarnya tiada lagi istilah ‘termengandung’ yang biasa digunakan oleh kaum wanita sebagai alasan setiap kali hamil lagi.

Pelbagai kaedah merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan dengan kadar kos yang berpatutan mudah didapati kini.

Sama ada kaedah yang digunakan bersifat sementara atau kekal, perancangan keluarga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu dan anak serta memberi kesejahteraan kepada keluarga secara keseluruhannya.

Jika masyarakat dahulu menggunakan kaedah tradisional seperti memakan air rebusan akar kayu atau jamu untuk mengelak hamil, kemunculan pil kontrasepsi dan kondom turut memberi ‘kelegaan’ bagi pasangan yang ingin merancang keluarga. Dan kini dengan hadirnya pelbagai lagi jenis kontrasepsi yang selamat, berkesan, mudah digunakan dan murah menjadikan perancangan keluarga bukan lagi perkara yang sukar.

Antara kaedah terkini yang semakin mendapat perhatian namun belum digunakan secara menyeluruh adalah implanon.

“Implanon adalah alat kontrasepsi berbentuk rod kecil yang dipasang hanya di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas.

Ia boleh menghalang kehamilan sehingga tiga tahun dan tidak memerlukan sebarang tindakan harian,” kata Dr. Hamizah Mohd. Hassan dari Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurutnya lagi, implanon adalah kaedah halangan yang sangat berkesan dengan kurang daripada satu peratus kegagalan dilaporkan. Kebanyakan kegagalan yang berlaku adalah disebabkan kedudukan implanon yang tidak tepat. Wanita yang memakai implanon akan subur semula selepas tiga minggu alat tersebut dibuka malah implanon juga tidak mengganggu hubungan seks seperti sesetengah kontrasepsi.

Setiap rod implanon mengandungi etonogestrel. Ia bertindak melepaskan hormon progestin pada paras yang tetap sepanjang hayatnya.

“Implanon sesuai untuk ibu-ibu yang sedang menyusukan bayi mereka,” jelasnya.

Kata Dr. Hamizah, implanon juga bertindak dengan cara memekatkan mukus serviks yang mana dengan sendirinya menghalang kemasukan sperma ke dalam tiub fallopian.

Dengan ini, gangguan berlaku di bahagian endometrium sekretori yang mana ia menjadi nipis dan tidak membenarkan ovulasi berlaku.

Mungkin kedengaran agak menakutkan apabila rod implanon perlu dimasukkan di bawah lapisan kulit menggunakan trokar, namun menurut Dr. Hamizah, kaedah ini paling sesuai memandangkan ia kekal sepanjang pemakaian dan tidak memerlukan penjagaan yang melecehkan.

“Kalau dengan cara pil misalnya wanita tersebut mungkin akan terlupa,” katanya.

Namun begitu pemakaian implanon juga mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kesan pendarahan atau haid yang tidak dijangka.

Menjawab pertanyaan, Dr. Hamizah berkata, ada ketikanya berlaku kesan pendarahan tidak dijangka ketika penggunaan atau selepas tiga hingga empat bulan penggunaan.

Katanya, 50 peratus pemakai mungkin tidak mengalami haid atau mengalami sedikit sekali-sekala, 40 peratus mendapat pusingan haid yang normal manakala 10 peratus mengalami pendarahan banyak dan membebankan. Jika perkara ini berlaku, doktor akan menasihatkan supaya implanon ditanggalkan.

Implanon juga boleh menyebabkan komplikasi jangkitan setempat sebanyak satu peratus. Kesan-kesan yang biasa adalah berlaku lebam di sekitar kawasan kemasukan. Ada juga komplikasi berlaku ketika implanon ingin ditanggalkan terutama jika rod melebihi sebatang.

Masalah-masalah yang biasa dialami ketika menggunakan kontrasepsi lain seperti pening kepala, jerawat dan pertambahan mungkin juga boleh berlaku kepada pemakai implanon.

Namun sehingga kini belum ada pengesahan sama ada implanon boleh mengubah risiko seseorang wanita terhadap kanser payu dara.

Siapa Yang Boleh Menggunakan Implanon?

Wanita yang mahukan kaedah yang mudah, berkesan, mudah dipasang dan ditanggal, mudah kembali untuk subur, kekal di tempat di mana ia dipasang, tidak perlu melakukan sesuatu terhadap kontrasepsi yang dipakai, tidak memakai sebarang kontrasepsi lain dan alah kepada estrogen sintetik.

Siapa Yang Tidak Boleh Menggunakan Implanon?

Wanita yang mempunyai tumor thromboembolic disorder progestogen dependent (sama ada sudah mengetahuinya atau disyaki), mempunyai sejarah lalu atau semasa penyakit hepatik yang teruk seperti fungsi hati tidak kembali kepada normal, tumor hati benign atau malignant, carcinoma di dada, sedang hamil atau mengalami pendarahan vagina.

Fakta Mengenai Implanon:

>> berbentuk rod sepanjang 4 sm x 2 mm, mengandungi 68 miligram gonane progestin etonogestrel.

>> implanon boleh dikeluarkan pada bila-bila masa namun penggunaannya perlu dihadkan sehingga tiga tahun sahaja.

>> mula sekali diperkenalkan di Indonesia pada 1998, kemudian diluluskan penggunaannya di 30 negara lain dan kini telah dipakai oleh lebih 2.5 juta wanita seluruh dunia.

Cara Pemakaian:

Anestetik disuntik pada bahagian lengan atas dan kemudian alat trokar seperti jarum digunakan untuk memasukkan rod implanon di bawah lapisan kulit. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit. Hanya doktor berpengalaman dibenarkan melakukan prosedur ini bagi mengurangkan risiko kerosakan saraf atau diletakkan di tempat yang tidak betul yang akhirnya menyebabkan kehamilan yang tidak diingini. Hanya 3.6 peratus pemakai implanon pernah mengalami komplikasi setempat termasuk bengkak, kemerahan, hematoma dan kesakitan.

Mengapa Perlu Perancang Keluarga?

Kata Dr. Hamizah, kaedah perancangan keluarga adalah untuk menjarakkan kehamilan atau mengehadkan bilangan anak sama ada secara sementara atau kekal.

“Perlu diingat bahawa kaedah perancangan keluarga bukan bererti tidak mahu anak,” katanya.

Menurut Dr. Hamizah, seseorang yang mengamalkan perancangan keluarga adalah bersebab seperti menghidap kanser yang memerlukan rawatan, hamil berisiko, kahwin ketika usia terlalu muda atau usia lewat atau memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat.

Jelasnya lagi, fatwa daripada Majlis Fatwa pada 1981 menetapkan bahawa kontrasepsi untuk mengurangkan bilangan anak adalah haram kecuali atas sebab-sebab yang mengharuskannya dan perlulah dilakukan dengan cara tidak kekal atau tidak memandulkan.

“Keadaan yang diharuskan adalah isteri terlalu lemah atau sakit, pasangan ada penyakit keturunan, isteri mengandung terlalu kerap atau masih menyusu bayi dan kandungan menyebabkan gangguan mental terhadap ibu.

“Merancang keluarga adalah bersifat sementara, menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga adalah harus,” katanya menjelaskan mengenai fatwa tersebut.

Jenis-Jenis Kaedah Perancang Keluarga:

1. Tradisional

Penggunaan jamu, herba dan ubatan tradisional masyarakat lama.

2. Semulajadi

Mengunakan kaedah masa selamat, suhu badan (masa subur/ tidak subur), mukus serviks (perubahan kepekatan dan warna) dan azal (mencabut zakar sebelum ejakulasi). Peratus kegagalan tinggi kerana sukar menentukan waktu kesuburan yang tepat.

3. Halangan

Penggunaan kondom (lelaki/ wanita), diafram, kap serviks dan spermisid (bunuh sperma). Kegagalan masih boleh berlaku.

4. Hormonal

Pil, suntikan, implanon, tampalan (belum ada di Malaysia) dan gegelang vagina (belum ada di Malaysia). Kesuburan baik pulih selepas kontrasepsi dihenti atau ditanggalkan.

5. Kontrasepsi darurat

Pil mencegah kehamilan selepas satu persetubuhan yang tidak dilindungi. Perlindungan berkesan 72 jam selepas persetubuhan, kurang berkesan selepas itu dan boleh diambil untuk tempoh 120 jam (lima hari).

6. Alat dalam rahim (ADR)

Alat yang dimasukkan dalam rahim dan dibiarkan untuk tempoh tertentu. Diperbuat daripada polietelin dan kuprum. Berkesan antara tiga hingga lima tahun bergantung kepada luas permukaan kuprum. Peratus kegagalan 0.16 kehamilan dalam 100 wanita setahun.

7. Pemandulan

Lelaki (vasektomi- mengikat saluran vas deferens) dan wanita (pembedahan untuk mengikat kedua-dua saluran tiub fallopian).

Menurut Majlis Fatwa pada 1981, memandulkan perempuan atau lelaki adalah haram kerana dianggap kontrasepsi kekal. Namun pengecualian diberi dengan bersebab; wanita itu tidak boleh menggunakan sebarang kaedah lain atas alasan kesihatan yang mana hamil boleh membahayakan nyawanya sendiri.

Nasihat Doktor Kepada Mereka Yang Ingin Merancang Keluarga?

Dapatkan rundingan daripada pakar mengenai kaedah yang bersesuaian. Jangan dengar cadangan orang lain selain doktor kerana tidak semua kaedah sesuai dengan semua orang.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Wednesday, June 04, 2008

Kanser Paru-Paru Pembunuh Nombor Satu Lelaki


1- KEADAAN paru-paru yang telah rosak. 2- PARU-PARU yang sihat.











Lebih 10 tahun hidup Teo Chee Bin ditemani rokok. Setiap hari lebih 10 batang rokok dihisap dan tabiat merokok itu sukar dibuang biarpun dia sedar akan bahaya merokok terhadap kesihatannya.Namun, segalanya berubah pada tahun 2005 sebaik mendapat tahu dirinya disahkan menghidap kanser paru-paru.

Lebih menakutkan Chee Bin, 42, penyakit yang dihidapinya itu sudah berada pada tahap tiga.

Sejak itu, rokok yang selama ini menjadi 'makanan' hariannya, ditinggalkan terus dengan tekad tidak akan menyentuh ia semula.

''Memang perokok dikatakan sukar membuang tabiat merokok, tetapi apabila mendapat tahu diri diserang penyakit bahaya dan tidak boleh bertahan lama, sesiapa pun pasti mudah membuang tabiat itu," katanya ketika ditemui di Hospital Kanser NCI (NCICH), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang penyakitnya, Chee Bin memberitahu, mulanya dia menyangka diserang gastrik apabila mengalami kesukaran untuk menelan makanan.

Lantaran itu, dia menjalani pemeriksaan kesihatan, tetapi doktor tidak dapat mengenal pasti penyakitnya menyebabkan dia dirujuk kepada pakar yang akhirnya mendapati Chee Bin menghidap kanser paru-paru.

''Doktor mencadangkan saya menjalani rawatan kemoterapi, tetapi saya masih tidak berpuas hati, lalu mengambil keputusan untuk bertemu doktor lain di Singapura bagi mendapatkan pandangan kedua.

"Malangnya, jawapan yang sama juga saya perolehi," katanya.

Chee Bin yang berasal dari pekan Serom, Muar, Johor itu, akhirnya menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Melaka dan tahap kesihatannya bertambah baik.

Bagaimanapun, kegembiraannya tidak berpanjangan, penyakit yang disangkakan telah semakin pulih itu kembali menyerangnya tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Chee Bin diberitahu hanya mampu bertahan selama setahun.

Bagaimanapun, dia tidak pernah berputus asa apatah lagi setelah mengetahui ada juga mangsa kanser yang berjaya melawan penyakit itu dan hidup lebih lama.

Cuma, apa yang dikesali adalah tindakannya berjinak-jinak dengan rokok sehingga membuat dia ketagih yang akhirnya merosakkan kesihatan diri sendiri.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Onkologi, NCICH, Dr. R. Kananathan, kanser paru-paru ini adalah satu penyakit yang serius dan lebih kerap berlaku ke atas kaum lelaki berbanding wanita.

Malah, katanya, kanser paru-paru juga adalah pembunuh utama kepada kaum lelaki di negara ini berikutan gaya hidup yang dijalani mereka iaitu tabiat merokok.

Jelasnya, pada tahun 2003, terdapat sebanyak 1,758 orang yang didiagnosis menghidap kanser paru-paru di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan jumlah itu, 73.8 peratus pesakit terdiri daripada kaum lelaki manakala 26.2 peratus adalah wanita.

''Tabiat merokok telah dikenal pasti antara punca utama berlakunya kanser paru-paru. Selain itu, ia juga terjadi disebabkan pencemaran alam sekitar dan keadaan tempat kerja yang terdedah kepada bahan-bahan kimia," katanya.

PekaBagaimanapun katanya, masyarakat terutama perokok perlu sentiasa peka terhadap perubahan kesihatan diri memandangkan 80 peratus daripada penghidap kanser paru-paru hanya menyedarinya setelah penyakit itu berada pada tahap tiga atau empat.

Mengulas lanjut, Dr. Kananathan berkata, biarpun sebenarnya terdapat tanda paling awal bagi penyakit ini iaitu batuk berpanjangan, tetapi tidak bermakna bahawa penyakit kanser itu baru bermula.

''Sebabnya, bagi perokok, batuk sudah menjadi perkara biasa membuatkan mereka tidak menyedari kehadiran simptom itu sehinggalah keadaannya bertambah teruk dengan mengalami batuk berdarah," jelasnya.

Beliau memberitahu, simptom lain yang sering terjadi antaranya sukar hendak menelan makanan, suara serak, mengalami penurunan berat badan dan hilang selera makan.

''Justeru, sesiapa pun terutama perokok jika mengalami batuk berpanjangan selama beberapa hari termasuk batuk berdarah atau turun berat badan perlu segera mendapatkan bantuan doktor kerana lebih awal ia dikesan, lebih mudah dirawat," katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya kanser tersebut dikesan pada tahap satu atau dua, ia boleh diubati dengan pembedahan dan rawatan kemoterapi.

Namun, jika sudah berada pada tahap tiga atau empat, rawatan yang diberi adalah untuk membunuh sel-sel kanser dan memastikan ia tidak merebak ke bahagian lain dalam tubuh iaitu dengan melakukan kemoterapi.

Bagaimanapun, jelasnya, hanya 50 peratus yang menjalani rawatan pada tahap ini memberi tindak balas positif dan hidup lebih daripada sembilan bulan. Selebihnya, tidak bertahan disebabkan kanser yang dihidapi bertambah teruk atau merebak ke bahagian lain.

Lantaran itu, katanya, perokok perlu sedar akan bahayanya merokok kerana setiap hisapan yang dilakukan mengundang maut bukan sahaja pada dirinya, tetapi turut mendedahkan risiko yang sama kepada mereka yang tidak merokok di sekelilingnya termasuk kanak-kanak.

Perokok pasif (orang yang menghidu asap perokok) juga merupakan antara mereka yang sangat terdedah kepada risiko pelbagai penyakit walaupun mereka tidak merokok.

Sementara itu katanya, mereka yang menghidap kanser termasuk kanser paru-paru perlu mempunyai pengetahuan berkaitan penyakitnya dan daya ketahanan yang kuat dalam usaha memastikan mereka mampu bertahan lama melawan penyakit tersebut.


Ditulis oleh:
Rosmawati Mion

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Hentikan Tabiat Merokok


PEROKOK pasif turut mengalami kesan yang sama. – Gambar hiasan













Membuang tabiat merokok yang telah sebati dan menjadi darah daging memang sesuatu yang sukar. Namun, sebaik mula memikirkan untuk berhenti merokok sudah merupakan langkah pertama.

Persoalannya, sejauh sejauh mana anda sudah bersedia untuk mengambil langkah besar itu. Tidak mengapa jika sekarang anda belum bersedia, tetapi keinginan untuk berhenti merokok perlu dikekalkan. Teruskan belajar dan mempersiapkan diri. Jika ramai perokok berjaya membuang tabiat tersebut, anda juga boleh.

Anda tidak semestinya bersendiri untuk berhenti merokok, sebaliknya minta bantuan keluarga, rakan-rakan dan doktor. Untuk berhenti merokok memang sukar, tetapi apabila mendapat bantuan ia mungkin jadi lebih mudah.

Berikut Beberapa Panduan Yang Boleh Diikuti Untuk Berhenti Merokok:

lBersiap sedia untuk berhenti. Anda tidak perlu berhenti serta-merta, tetapi cuba tetapkan tarikh untuk berhenti. Pilih waktu di mana anda tidak mengalami banyak tekanan dalam hidup. Buang bekas abuk rokok, pemetik api dan yang berkaitan, sebelum mula untuk berhenti. Jangan benarkan orang lain merokok di rumah anda.

lUbah rutin anda. Sebagai contoh, jika sebelum ini anda akan merokok selepas makan, kini lakukan aktiviti lain seperti bersiar-siar.

lAmbil ubat jika perlu. Ia boleh membantu meredakan rasa ketagihan dan tekanan. Anda boleh mengambil gula getah bernakotin, lozenges, patch tanpa preskripsi. Doktor anda juga boleh memberi ubat. Menggunakan produk pengganti nakotin atau ubat mampu melipat gandakan peluang anda untuk berhenti merokok.

lDapatkan sokongan. Meminta bantuan contohnya melalui program berhenti merokok yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Dapatkan juga kaunseling daripada doktor, jururawat atau terapi.

lSebaik saja berhenti merokok, komited dengan keputusan tersebut. Jangan mengambil produk tembakau sama sekali biarpun sekadar sebatang rokok kerana ia tidak membantu langsung, sebalik menyukarkan lagi keadaan.

Persoalan yang sering timbul bagi perokok

Kenapa begitu sukar untuk berhenti merokok?

Berhenti merokok memang sukar kerana tubuh mengalami ketagihan nakotin atau tembakau. Berhenti merokok bukan sekadar membuang tabiat buruk, sebaliknya mengajar tubuh berhenti daripada rasa ketagihan. Ketagihan boleh dikurangkan dengan gula getah bernakotin atau ubat lain yang tidak memberi kesan buruk sebagaimana tembakau.

Anda juga harus mengubah kebiasaan. Jika sebelumnya menghisap rokok atau mengunyah tembakau ketika tertekan atau merokok sambil minum kopi, anda harus memikir cara lain apabila mengambil keputusan untuk berhenti. Sebagai contoh, berbual dengan rakan atau menarik nafas dalam-dalam apabila berasa tertekan. Cuba kunyah gula getah kurang gula bagi menggantikan rokok.

Bagaimana jika berasa tidak selesa ketika cuba untuk berhenti merokok?

Memang anda mungkin berasa letih, rimas atau sedih ketika pertama kali cuba berhenti. Anda juga mungkin mengalami masalah untuk tidur dan makan banyak daripada kebiasaan. Perasaan itu tidak akan kekal lama dan ubat tertentu mungkin boleh membantu.

Adakah akan naik berat badan?

Perokok mungkin bimbang akan mengalami pertambahan berat badan apabila berhenti merokok. Jangan jadikannya alasan untuk berhenti daripada terus berusaha. Banyak yang akan diperoleh jika berhenti merokok. Berat badan anda mungkin bertambah beberapa kilogram, tetapi tubuh akan berasa lebih sihat dan dapat menjimatkan wang. Masalah kesihatan juga mungkin dapat dikurangkan.

Beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan kenaikan berat badan:

>> Bersenam bukan saja menyihatkan bahkan memperbaiki mood anda.

>> Makan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin, sebaliknya kurangkan makanan tinggi lemak.

>> Cuba untuk tidak menggantikan rokok dengan makanan. Sebaliknya banyak minum air.

Bagaimana jika mula merokok semula?

Ramai yang gagal untuk berhenti merokok pada cubaan pertama (selalunya lebih lima kali) sebelum mereka benar-benar dapat berhenti merokok. Jika mula merokok semula selepas cuba berhenti, jangan putus asa. Setiap kali anda berhenti merokok walaupun dalam jangka masa pendek, sebenarnya semakin hampir dengan matlamat jangka panjang. Selalu ingatkan diri bahawa dengan berhenti merokok dapat mengelakkan penyakit serius dan hidup lebih lama.

Setiap kali cuba berhenti sebenarnya anda belajar lebih banyak tentang apa yang boleh membantu dan apa yang menghalang perjalanan anda. Fikir semula apa yang menyebabkan anda mula merokok semua dan buat rancangan untuk berjaya kali ini. Anda pasti boleh.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Monday, June 02, 2008

Merokok Menyebabkan Buta

Majoriti masyarakat dewasa di Malaysia mengetahui tentang bahaya merokok kepada organ paru-paru, jantung dan otak. Pendedahan secara meluas mengenai risiko barah paru-paru, penyakit jantung dan strok (angin ahmar) juga sering dipaparkan media cetak dan media elektronik.

Walaubagaimanapun, masyarakat kita kurang didedahkan mengenai risiko buta di kalangan individu yang merokok.

Dalam satu kajian yang dijalankan di kalangan remaja Britain berusia antara 16 hingga 18 tahun, 30 peratus mengetahui bahaya merokok kepada jantung.

Namun, 90 peratus daripada remaja-remaja tersebut tidak mengetahui tentang kesan merokok kepada mata.

Mereka bagaimanapun mengakui lebih bimbang kepada kemungkinan menjadi buta akibat merokok melebihi risiko barah paru-paru, masalah jantung dan strok.

Merokok boleh menyebabkan buta akibat penyakit katarak, penyakit degenerasi makula (age related macula degeneration atau ARMD), saluran darah arteri tersumbat pada lapisan retina (central retinal artery occlusion) dan saluran darah vena tersumbat pada lapisan retina (central retinal vein occlusion).

Penyakit Katarak

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak merupakan punca utama masalah buta di seluruh dunia.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 18,000 orang pesakit negara ini menjalani pembedahan katarak pada tahun 2004 sahaja.

Angka ini tidak termasuk mereka yang mendapatkan pembedahan di klinik-klinik atau hospital-hospital swasta. Bilangan ini juga dijangka semakin meningkat setiap tahun.

Katarak sememangnya berlaku akibat peningkatan faktor usia. Tetapi, penyelidikan di serata dunia telah mengenal pasti merokok merupakan faktor yang menyumbang kepada berlakunya penyakit katarak.

Mereka yang kuat merokok dan telah merokok untuk tempoh yang lama dikatakan lebih berisiko menjadi buta akibat penyakit katarak.

Individu yang merokok melebihi satu kotak rokok sehari didapati lebih berisiko tinggi untuk menjadi buta akibat penyakit katarak.

Bagi perokok yang merokok kurang dari satu kotak rokok sehari, risiko katarak mereka hanya akan turun dan menyamai risiko katarak seperti individu yang tidak merokok selepas 10 tahun perokok tersebut berhenti merokok.

Pesakit yang mengalami masalah katarak biasanya mengadu kabur penglihatan secara beransur-ansur.

Pada peringkat yang teruk, pesakit mempunyai keupayaan melihat yang sangat terhad. Mereka tidak dapat melihat pada jarak jauh dan hanya boleh melihat objek-objek yang besar pada jarak yang dekat.

Mereka biasanya terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk melakukan aktiviti harian seperti makan, minum dan menguruskan keperluan diri.

Tembakau menyebabkan terhasilnya radikal-radikal bebas di dalam mata. Radikal bebas ini menyebabkan kerosakan secara langsung pada struktur kanta mata yang asalnya bersifat jernih.

Ini menyebabkan kanta mata bertukar keruh secara perlahan-lahan. Keadaan ini menghalang cahaya memasuki mata dan menjejaskan imej yang terbentuk pada lapisan retina.

Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat teruk perlu menjalani pembedahan bagi memulihkan penglihatan mereka. Pembedahan perlu dilakukan supaya pesakit tidak terus hidup dalam keadaan yang gelap dan suram.

Berhenti merokok atau tidak merokok sama sekali merupakan satu pilihan yang tepat bagi mengurangkan risiko buta akibat penyakit katarak.

Penyakit Degenerasi Makula

Penyakit degenerasi (kemerosotan) makula merupakan salah satu punca masalah buta di kalangan individu berumur antara 55 hingga 60 tahun di serata dunia.

Sebanyak 3.5 peratus daripada individu berusia antara 40 hingga 80 di kalangan bangsa Melayu di Singapura dilaporkan mengalami masalah ini.

Kaum lelaki merupakan majoriti yang mengalami penyakit ini berbanding kaum wanita.

Kajian di kalangan warga Australia di Sydney juga menunjukkan peratusan yang sama. Walaubagaimanapun, kita masih tidak mempunyai data untuk prevalens (sebaran) penyakit ini di Malaysia.

Penyakit ini juga berlaku akibat faktor peningkatan usia. Namun, para penyelidik telah mengenal pasti hubung kait yang jelas di antara amalan merokok dengan penyakit degenerasi makula.

Mengikut laporan yang diterbitkan dalam salah satu jurnal perubatan antarabangsa pada awal tahun ini, mereka yang merokok pada usia muda dan telah berhenti merokok berisiko lebih tinggi untuk mengalami buta akibat penyakit degenerasi makula berbanding mereka yang tidak merokok.

Dalam satu kajian yang berasingan, mereka yang merokok mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi mengalami penyakit ini berbanding individu yang tidak merokok. Penyakit ini juga didapati berlaku 10 tahun lebih awal di kalangan mereka yang merokok.

Pesakit degenerasi makula biasanya mengadu kabur penglihatan pada bahagian tengah dan mengalami kesukaran untuk membaca, menulis, menonton dan memandu.

Keadaan ini bagaimanapun tidak menyebabkan rasa sakit atau kemerahan pada bola mata. Lama-kelamaan pesakit boleh menjadi buta sepenuhnya.

Ubat untuk merawat penyakit ini melibatkan kos yang mahal. Penglihatan pesakit juga sukar dipulihkan sekiranya terdapat parut pada bahagian makula.

Sekiranya ini berlaku, pesakit akan mengalami buta secara kekal dan perkara ini pasti menjejaskan satu kehidupan yang berkualiti dan berwarna-warni.

Penyakit ini boleh dicegah pada peringkat awal. 'Jangan merokok' merupakan langkah pencegahan yang utama dan sepatutnya menjadi amalan kita.

Banyakkan pengambilan sayuran hijau seperti bayam dan sawi. Khasiat sayur-sayuran ini memberi kebaikan kepada salur darah pada lapisan retina.

Senaman sebanyak tiga kali seminggu juga dilaporkan dapat mengurangkan risiko mengalami penyakit ini sebanyak 70 peratus.

Saluran Darah Arteri Tersumbat Pada Lapisan Retina

Saluran darah arteri yang tersumbat pada lapisan retina juga menyebabkan pesakit mengadu kabur penglihatan secara tiba-tiba.

Penyakit ini juga dikenali sebagai 'strok pada mata'. Ia merupakan satu keadaan kecemasan dan perlu diberi rawatan segera bagi mengelakkan pesakit menjadi buta.

Penyakit ini berlaku pada individu yang berusia melebihi 50 tahun dan berkait rapat dengan amalan merokok.

Di Amerika Syarikat, penyakit ini berlaku pada kadar 0.85 bagi setiap 100,000 individu pada setiap tahun. Penyakit ini juga lebih banyak berlaku di kalangan pesakit lelaki berbanding pesakit wanita.

Pesakit biasanya mengalami masalah jantung atau saluran arteri karotid yang sempit selain amalan merokok dan tahap kolesterol yang tinggi.

Darah beku dari jantung atau saluran arteri karotid menyebabkan saluran arteri pada lapisan retina tersumbat secara tiba-tiba.

Ini menyebabkan kekurangan oksigen yang ketara pada lapisan retina dan mengakibatkan mata menjadi buta.

Pesakit boleh menjadi buta secara kekal sekiranya rawatan kecemasan tidak diberikan dalam tempoh empat hingga enam jam yang pertama atau lambat mendapatkan rawatan doktor setelah mengalami gejala-gejala yang disebutkan di atas.

Penyakit ini perlu dicegah sebelum berlaku. Sebanyak 65 peratus pesakit menjadi buta kekal akibat penyakit ini.

Amalkan cara hidup yang sihat. Pesakit perlu mendapatkan rawatan perubatan yang konsisten dan teratur bagi memastikan penyakit jantung dan paras kolesterol berada pada tahap yang terkawal.

Berhentilah merokok atau jangan merokok merupakan asas yang penting untuk mencegah mata anda daripada buta.

Saluran Darah Vena Tersumbat Pada Lapisan Retina

Saluran darah vena pada lapisan retina yang tersumbat menyebabkan pesakit mengadu kabur penglihatan secara tiba-tiba. Pesakit biasanya tidak mengalami gejala sakit atau bola mata yang kemerahan.

Penyakit ini berlaku pada individu yang berusia melebihi 50 tahun dan juga mempunyai hubung kait dengan amalan merokok.

Selain itu, pesakit juga turut mengalami masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi dan paras kolesterol darah yang tinggi.

Amalan merokok menyebabkan saluran vena mengalami kecederaan dan mengakibatkan berlaku tindak balas sel-sel darah pada tempat tersebut. Keadaan ini menyebabkan saluran vena menjadi sempit dan mudah tersumbat.

Saluran vena yang tersumbat ini menyebabkan kekurangan peredaran darah pada keseluruhan lapisan retina. Ini diikuti dengan terjadinya pendarahan dan bengkak pada lapisan retina.

Keadaan ini menyebabkan pesakit menjadi buta. Rawatan laser ditawarkan dalam kes-kes tertentu yang melibatkan bengkak dan timbul salur darah baru pada lapisan retina.

Sekali lagi, rawatan pencegahan amat penting. Dapatkan rawatan moden bagi memastikan penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal, serta pengawalan paras kolesterol yang optimum. Tinggalkan tabiat merokok yang terbukti menyumbang kepada masalah buta.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Berhenti Merokok Beri Manfaat

Orang yang sudah lama merokok sentiasa menghadapi risiko diserang penyakit berbahaya, dan keadaan kesihatan mereka boleh bertambah buruk pada bila-bila masa. Mereka amat terdedah kepada penyakit kronik seperti emfisema dan sakit jantung.

Oleh itu, bukankah sudah tiba masanya untuk berubah demi kesihatan diri? Memang sukar dibayangkan, tetapi perubahan fisiologi jangka panjang yang berlaku dalam badan anda apabila tidak lagi dibelenggu nikotin begitu menakjubkan.

Banyak kempen antimerokok memberi tumpuan kepada kesan buruk yang dialami, tetapi perlu difahami terdapat juga perubahan positif yang berlaku kepada badan apabila anda berhenti merokok.

Dalam tempoh 12 jam selepas anda menghisap rokok terakhir, badan anda mula memulihkan diri. Tahap karbon monoksida dan nikotin dalam sistem akan merosot dengan ketara, dan jantung dan paru-paru akan mula membaiki kerosakan yang disebabkan oleh asap rokok.

Tidak kira kaedah apa yang anda pilih, sama ada berhenti serta-merta, Terapi Penggantian Nikotin (NRT), ubat preskripsi, anda mungkin mengalami gejala tarikan, yang merupakan tindak balas semula jadi badan kepada kekurangan nikotin yang sudah biasa diambil.

Namun, penggunaan salah satu terapi berhenti merokok akan membantu mengurangkan gejala dan memudahkan usaha anda.

Perjalanan Berliku Untuk Berhenti Merokok

Dalam dunia hari ini, di mana komunikasi serta-merta dan keupayaan melakukan berbilang tugasan menjadi lumrah kehidupan, mungkin sukar bagi kita menerima hakikat bahawa usaha berhenti merokok memerlukan masa.

Walaupun terapi hipnosis, akupunktur dan penawar alternatif lain menjanjikan keputusan segera yang kita harapkan, pilihan ini mungkin belum boleh dipercayai dan dianggap tidak terbukti oleh masyarakat perubatan. Malah, dalam percubaan untuk 'berhenti serta-merta' sekalipun, prosesnya mengambil masa, kerana badan perlu menyesuaikan diri kepada kekurangan nikotin yang dialami secara tiba-tiba.

Setakat ini, ada dua kategori terapi utama untuk membantu perokok mengatasi ketagihan dan penggantungan mereka terhadap nikotin.

Ubat preskripsi boleh membantu mengekang atau mengurangkan kesan nikotin dalam badan, lantas mengurangkan ketagihan yang berlaku akibat ketiadaan nikotin. Terapi penggantian nikotin (NRT) pula ialah satu lagi bentuk rawatan yang sudah terbukti dan mudah didapati daripada ahli farmasi. Terapi penggantian nikotin membekalkan jumlah nikotin secukupnya kepada badan anda untuk mengurangkan ketagihan anda, tetapi tanpa kesan membinasa yang dibawa tar dan karbon monoksida daripada asap rokok, yang merupakan punca utama kanser dan penyakit kardiovaskular.

Fleksibiliti NRT juga merupakan satu kelebihan (bergantung kepada tabiat merokok anda) NRT boleh diberikan dalam bentuk tampalan, gula-gula getah atau alat sedut. Tampalan NRT ialah kaedah paling tidak menonjol kerana boleh dipakai seperti plaster manakala gula-gula getah lebih sesuai bagi mereka yang memerlukan pendekatan lebih aktif.

Akhir sekali, alat sedut boleh digunakan oleh mereka yang mahu memegang sesuatu seperti rokok. Walau apa pun bentuk NRT yang anda pilih, anda perlu beransur-ansur mengurangkan jumlah tampalan, gula-gula getah atau kartrij sehingga anda rasa anda tidak memerlukannya lagi.

Namun begitu, harus diingat bahawa anda masih dalam 'keadaan terdedah' sepanjang rawatan. Cuba elakkan tempat, orang atau situasi di mana anda terdorong untuk merokok.

Dapatkan Bantuan Untuk Berhenti Merokok!

Membuat keputusan untuk berhenti merokok boleh menjadi proses yang panjang, sukar dan menguji daya ketahanan. Tetapi sebaik sahaja anda sudah membuat keputusan dan membulatkan tekad, anda perlu memikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk menambah peluang anda berjaya menghentikan tabiat yang membawa banyak mudarat ini.

Selain daripada sokongan daripada kawan-kawan, anggota keluarga dan saudara mara yang sedikit sebanyak dapat membantu anda menghentikan tabiat merokok, terdapat beberapa cara yang boleh membantu anda menguatkan tekad:

>> Siapkan diri - ingatkan diri anda sendiri tentang motivasi dan sebab anda perlu berhenti merokok. Malah, anda boleh membuat senarai dan menampalnya di tempat yang anda sering lihat. Rancangkan sesuatu yang boleh mengalihkan tumpuan, seperti merancangkan tempat untuk pergi atau memikirkan sesiapa yang perlu dihubungi agar fikiran anda tidak kosong.

>> Dapatkan sokongan - kawan-kawan dan keluarga pasti sudah sekian lama menyuruh anda berhenti merokok, jadi dapatkan bantuan dan sokongan mereka untuk menguatkan semangat anda, mengisi masa anda dan bersiap sedia untuk menghidupkan harapan pada saat anda merasa begitu terdesak untuk "menghisap walaupun sebatang". Anda juga boleh mendapatkan sokongan daripada forum dalam talian yang turut disertai oleh orang lain yang cuba berhenti merokok, berkongsi pengalaman dan petua dengan mereka, atau menyertai rakan setugas di pejabat atau kawan yang turut berusaha untuk berhenti merokok.

>> Beri ganjaran kepada diri anda sendiri - semua orang berhak mendapat pujian kerana kejayaan mereka, begitu juga dengan diri anda, yang sanggup menyahut cabaran untuk berhenti merokok sedangkan ramai orang memberi bermacam-macam alasan atau tidak berdaya melakukannya. Jadi, anda perlu mendapat ganjaran kerana melakukan apa yang orang lain tidak boleh lakukan. Rancangkan keraian kecil setiap minggu, seperti membeli hadiah kecil untuk diri anda sendiri, yang nilainya sama dengan jumlah wang yang anda belanjakan untuk rokok.

Kaunseling

Kaunseling profesional adalah satu lagi bentuk sokongan yang boleh menambah peluang untuk anda berjaya menghentikan tabiat merokok. Namun, ia bukanlah satu pilihan yang mudah dilakukan bagi kebanyakan orang. Cabaran inilah yang mengilhamkan program Pembekal Perkhidmatan Berhenti Merokok Bertauliah (CSCSP), yang membantu melatih ahli farmasi masyarakat untuk memberi nasihat dan sokongan kepada perokok yang cuba berhenti merokok.

Selain itu, Kementerian Kesihatan mengendalikan lebih 100 Klinik Berhenti Merokok yang terletak di seluruh negara. Klinik ini mempunyai pakar penjagaan kesihatan profesional terlatih yang memberi nasihat (kaunseling) dan ubat (Terapi Penggantian Nikotin atau NRT) untuk membantu perokok berhenti merokok, kerana kajian menunjukkan bahawa NRT semata-mata menggandakan kadar kejayaan berhenti merokok selama satu tahun. Kadar kejayaan ini lebih tinggi bila terapi disertakan dengan kaunseling.

Sekiranya anda tidak dapat mengunjungi salah satu daripada klinik ini, anda boleh menghubungi Quitline, satu berpangkalan di Sabah dan satu lagi di Pulau Pinang, untuk bercakap dengan seseorang yang boleh membantu anda memulakan perjalanan untuk berhenti merokok.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Sunday, June 01, 2008

Penawar Kencing Manis Pada Alam Semulajadi

Dianggarkan antara 10 hingga 15 peratus orang Malaysia menghidapi penyakit kencing manis jenis II dan hampir 20 peratus lagi mempunyai pra kencing manis. Malangnya, lebih 50 peratus daripada mereka tidak menyedari menghidapinya. Yang menakutkan ialah bukannya penyakit itu sendiri. Namun jika seseorang itu menghidapi penyakit kencing manis, dia menghadapi risiko lebih tinggi untuk menderita tekanan darah tinggi, aterosklerosis, kegagalan jantung kongestif, neuropati, masalah seksual, osteoporosis, kanser, katarak, kegagalan buah pinggang dan penuaan pramasa.

Memahami Dua Jenis Penyakit Kencing Manis (Jenis I dan II)

Mereka yang menghidapi kencing manis jenis I (kencing manis bergantung insulin) akan mengeluarkan hanya sedikit sahaja ataupun tiada langsung insulin, manakala dalam penyakit kencing manis jenis II (kencing manis tidak bergantung insulin) pankreas terus membuat insulin tetapi badan kita mewujudkan penentangan terhadap kesan insulin itu, maka gula darah tidak dapat memasuki sel-sel dengan cekap sehingga ia menghasilkan paras gula darah yang lebih tinggi.

Apa Sebenarnya Kencing Manis?

Apa yang kita ketahui tentang kencing manis jenis II hanyalah penghuraian tentang gejala dan akibatnya. Apa yang kita selalu lakukan ialah merawati gejala sahaja iaitu kandungan gula dalam darah yang tinggi dan bukan merawat penyakit sebenar secara dasarnya.

Rawatan yang hanya menumpukan usaha untuk merendahkan gula darah dalam kencing manis pada masa yang sama akan meningkatkan paras insulin; ini akan memburukkan lagi keadaan bukan mengubati masalah kepincangan komunikasi metabolik.

Apakah Faktor Yang Menyebabkan Kencing Manis Jenis II?

Disglisemia - Penentangan insulin dan kecacatan pengisyaratan leptin

Pesakit kencing manis jenis II dan pra kencing manis akan mengalami disglisemia. Ia keadaan yang melibatkan pelepasan lebih banyak insulin daripada yang boleh ditangani oleh reseptor sel. Penentangan insulin pada umumnya berlaku sebagai tindakbalas terhadap obesiti (kegemukan) dan/atau kurang senaman. Faktor lain termasuklah pengambilan karbohidrat berlebihan terutama gula dan kanji (nasi, roti, pasta, keropok, kuih- muih, bijirin sarapan pagi, dll). Bahan dalam makanan ini akan menaikkan paras glukosa darah secara berlebihan dan sebagai tindakbalas, pankreas akan melepaskan lebih banyak insulin. Tidak lama kemudian, reseptor sel itu akan menjadi tepu, malahan mungkin tertutup sama sekali dan tidak berfungsi lagi. Oleh itu glukosa dan insulin mula terkumpul dalam aliran darah.

Mengapakah Keadaan Ini Berlaku?

Satu sebabnya ialah kekurangan faktor toleransi glukosa (GTF). Ia wujud secara semulajadi dalam struktur badan terutama dalam hepar. Ia membantu mengaktifkan kegiatan insulin dan mengekalkan metabolisme glukosa yang sihat. Adalah dinyatakan bahawa apabila badan kita kekurangan GTF, insulin akan mengalami keaktifan yang rendah. Glukosa yang memasuki aliran darah tidak dapat diangkut dengan cekap ke sel kita dengan itu mengakibatkan kenaikan paras glukosa darah yang tinggi.

Satu sebab lain ialah kecacatan dalam pengisyaratan leptin. Hormon leptin sebahagian besarnya bertanggungjawab terhadap ketepatan pengisyaratan insulin dan menentukan sama ada seseorang itu akan menjadi penentang insulin atau tidak. Leptin, sejenis hormon yang dikeluarkan oleh lemak memaklumkan kepada badan dan otak berapa banyak tenaga dipunyai, sama ada memerlukan lebih banyak tenaga (memberi isyarat kelaparan), atau sama ada ia patut membuang sedikit tenaga (tidak kelaparan) dan apa yang harus lakukan terhadap tenaga yang dipunyainya itu (mengeluarkan semula, meningkatkan kawalan pembaikan selular, atau tidak).

Perubahan Gaya Hidup

Perubahan terhadap gaya hidup perlu dilakukan untuk mencegah dan mengawal penyakit kencing manis. Di sini disyorkan beberapa langkah yang praktik:

1) Rancang pemakanan - apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak. Oleh itu:

i) Hapuskan atau kurangkan pengambilan gula - fruktosa, glukosa, sirap jagung, madu, gula sirap, sirap mapel dan jus buah-buahan.

ii) Kurangkan pengambilan karbohidrat tidak berserat: karbohidrat kompleks seperti ubi kentang, nasi, bijirin, pasta, roti, kuih- muih, kek dan pastri.

iii) Makan lebih banyak makanan berserat tinggi, gantikan dengan karbohidrat mudah.

iv) Makan makanan yang mengandungi protein tinggi sihat seperti ikan, telur, daging ayam dan daging putih yang lain dan lemak yang baik seperti minyak zaitun.

2) Senaman

Senaman akan mengurangkan penentangan insulin. Bersenam setiap hari membantu mengekalkan paras gula darah pada tahap rendah. Latihan angkat berat intensiti tinggi dilakukan bersama dengan program pengurangan berat badan yang sederhana, boleh membantu para pesakit kencing manis jenis II memperbaiki pengawalan gula darah.

3) Suplemen semulajadi untuk pesakit kencing manis

Herba-Herba Penting

Herba-herba tertentu seperti kayu manis, banaba dan kunyit adalah diketahui sebagai dapat membantu memperbaiki toleransi glukosa dan menurunkan paras gula darah. Satu rumusan seperti itu yang saya gunakan mengandungi pati larut air yang dipiawaiankan daripada kayu manis dan dicampur dengan banaba. Kajian-kajian menunjukkan pati kayu manis yang larut air boleh meningkatkan kegiatan insulin sehingga beberapa kali ganda. Banaba, sejenis herba yang berasal dari Filipina mengandungi sejenis jisim yang dikenali sebagai asid corosolic dan ia mempunyai ciri-ciri yang dapat menurunkan glukosa darah.

4) Suplemen nutrisi lain

i) Asid alfa lipoik: Dianggap sebagai nutrien penting bagi para penghidap kencing manis.

Dos pengambilannya berjulat antara 50mg hingga 600mg bergantung kepada keparahan masalah itu.

ii) Vanadium: Ia telah terbukti dapat memperbaiki pengawalan glukosa bagi mereka yang menghidapi kencing manis jenis II dengan meningkatkan sensitif insulin. Kerana kemungkinan kesan-kesan seperti insulin yang diperolehi daripada vanadium maka kekurangan mineral surih ini hendaklah sentiasa dijaga bagi mereka yang mengalami ketidaknormalan gula darah.

iii) Kromium: Meningkatkan bilangan reseptor insulin pada sel-sel dan juga kegiatan reseptor tersebut.

iv) Vitamin B1, B2, B3, B5, B6, B12 dan Biotin merupakan pembawa tenaga bio dalam metabolisme selular; meningkatkan keberkesanan metabolik, terutama sekali pada sel-sel hepar, unit pusat bagi metabolisme badan.

v) Vitamin E: Bertindak sebagai pelindung antioksidan bagi membran-membran sel.

vi) Vitamin C: Membetulkan ketidakseimbangan selular yang disebabkan oleh paras gula darah yang tinggi, menyumbangkan terhadap keperluan insulin yang lebih rendah, mengurangkan penyingkiran glukosa dalam air kencing dan melindungi dinding- dinding arteri.

vii) Minyak Ikan: Minyak ikan atau Omega 3 telah pun terbukti sebagai dapat membantu menurunkan gula darah. Ia juga mengekalkan aliran darah yang sihat, terutama sekali dari segi peredaran mikro dan juga ia mempunyai sifat anti inflamasi yang mujarab.

Jika anda seorang penghidap kencing manis atau pra kencing manis, maka keperluan nutrisi anda adalah berbeza. Oleh yang demikian, pilihlah multivitamin dan suplemen mineral yang telah diperkuatkan dengan asid alfa lipoik, vanadium, kromium dan biotin yang berpotensi lebih tinggi serta ditambahi dengan ramuan yang tersebut di atas demi untuk mengoptimumkan kesihatan dan mencegah penyakit.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/