Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, July 05, 2008

Diserang Angin Ahmar Bagai Mati Hidup Semula


STROK merupakan penyakit berbahaya yang boleh dielak jika kita mengetahui tanda-tandanya.- Gambar hiasan





















KES SATU : ALBERT ANTHONY, 63

Bagaikan mati hidup semula!. Begitulah luahan Albert Anthony ketika ditanya apa perasaannya hari ini berbanding dua tahun lalu selepas diserang strok sehingga menyebabkan beliau mengalami koma selama satu bulan.

Katanya, apa yang berlaku tidak pernah disangka sama sekali, namun beliau menerimanya sebagai cabaran untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tabah.

Menceritakan pengalaman, kata individu yang berkecimpung dalam dunia pengurusan acara dan cukup dikenali di kalangan kelompok media dan sukan lasak, mengakui gaya hidup yang menjadi amalannya antara faktor yang mempengaruhi serangan penyakit tersebut.

Beliau tidak menafikan kurang rehat, sering berada dalam tekanan selain mengambil minum minuman keras mendorong kepada serangan tersebut.

Anthony cukup bertuah kerana sokongan keluarga dan rakan-rakan memberinya kekuatan termasuk memperkenalkan Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Nasam) kepadanya.

‘‘Jika kira-kira dua tahun dahulu saya dihantar dan diambil rakan-rakan untuk ke Nasam, kini saya sudah berkemampuan untuk memandu sendirian ke pusat ini,” ujarnya sambil menaruh harapan untuk melakukan penerbangan yang merupakan salah satu hobi pada masa sihatnya.


KES DUA : YAP KON KOOI, 67

Penyakit tekanan darah tinggi yang dihidapi selama empat tahun antara punca utama Yap diserang strok apabila berlakunya sekatan saluran darah ke otak.

Ini ditambah pula gaya hidup Yap sendiri. Selain kurang tidur, tekanan kerja serta kurang bersenam diakui turut mendorong kejadian tersebut.

Bagi Yap apa yang berlaku dianggap sesuatu yang di luar dugaan, namun dia tetap menerimanya dengan hati terbuka.

Beliau yang sudah hampir dua tahun menjalani latihan di Nasam mengakui keadaannya sudah jauh berbeza berbanding pada peringkat awal .

‘‘Saya kini sudah boleh melakukan rutin harian seperti dahulu. Walaupun tidak lagi segagah dahulu, tetapi saya gembira kerana sekurang-kurangnya saya masih mampu bernafas hingga ke hari ini,” ujarnya.

Nasihat Yap, setiap individu perlu sentiasa menjaga kesihatan kerana baginya mencegah adalah lebih baik daripada merawat.


KES KETIGA : NATERAH TAMBY CHIK, 56,

Wanita kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini, sama sekali tidak pernah menyangka demam-demam serta rasa kebas yang dialami sebelum ini merupakan petanda awal beliau diserang strok.

Naterah yang pernah berkhidmat di salah sebuah syarikat perbankan itu selain mengamalkan gaya hidup sihat, beliau juga tidak mempunyai keturunan yang pernah mengalami penyakit seumpamanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan besar penyakit tekanan darah tinggi yang dihidapi selama empat tahun lalu antara kemungkinan membawa kepada serangan strok.

Mengakui pada peringkat awal mengalami sedikit gangguan, terutama rasa sedih dan rendah diri, namun berkat sokongan keluarga terutama suami dan anak-anak beliau bangkit untuk sembuh daripada penyakit tersebut.

‘‘Saya bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga serta rakan-rakan yang yang banyak memberi dorongan,” ujarnya yang dimaklumkan tentang Nasam oleh rakan anaknya.

Mengakui sejak menjalani latihan terutama fisioterapi di Nasam, kira-kira dua bulan lalu, ia banyak memberi perubahan kepadanya untuk kembali kepada kehidupan normal.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Awasi Tanda-Tanda Strok


STROK iskemia berlaku apabila darah beku menyekat arteri membekal darah ke otak.















Rasa lemah atau kebas secara tiba-tiba pada muka, lengan serta di sebelah bahagian badan adalah antara gejala seseorang itu berkemungkinan diserang strok atau angin ahmar.

Selain itu, penglihatan juga menjadi kabur secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua -dua mata.

Tanda-Tanda Amaran Strok

Menurut Perunding Neurologi di salah sebuah hospital di ibu negara, Dr. Lee Moon Keen, strok tidak terjadi begitu sahaja kerana lazimnya terdapat tanda-tanda amaran seperti yang dijelaskan.

Dengan mengenalpasti tanda-tanda ini dan bertindak segera daripada segi perubatan, seseorang individu dapat mengelakkan strok yang akan berlaku ataupun mengurangkan tahap keseriusannya.

Di negara ini katanya, strok adalah pembunuh yang keempat terbesar selepas kanser dan penyakit jantung.

Strok juga penyebab utama ketidakupayaan yang teruk, di mana kos merawat pesakit juga adalah tinggi dan rawatan pemulihan bagi pesakit yang terselamat daripada maut mengambil masa yang panjang serta mahal.

Menerangkan lebih lanjut mengenainya, terdapat dua jenis serangan strok iaitu, strok iskemia dan strok berdarah.

Strok iskemia berlaku apabila darah beku menyekat arteri daripada membekalkan darah ke otak.

Biasanya strok iskemia adalah akibat daripada pengumpulan kolestrol dan puing lain di dalam arteri semenjak bertahuntahun lamanya.

Strok jenis tersebut mungkin disebabkan oleh trombosis serebrum, iaitu apabila darah beku (tombus) terbentuk di dalam arteri utama yang menuju ke otak, menghalang bekalan darah.

Manakala embolisme serebrum berlaku apabila darah beku terbentuk di dalam salur darah di tempat lain dalam badan, contohnya di leher atau di jantung dan bergerak dalam aliran darah ke otak.

Menerangkan mengenai strok berdarah katanya, ia terjadi apabila salur darah di dalam otak atau di sekelilingnya pecah dan menyebabkan pendarahan.

Penyakit tekanan darah tinggi yang lama dan tidak dirawat memberi memberikan tekanan pada dinding arteri, menyebabkan meningkatnya risiko arteri itu pecah dan seterusnya berdarah.

Strok berdarah kemungkinan disebabkan oleh pendarahan intraserebrum, iaitu apabila salur darah pecah di dalam otak.

Manakala pendarahan subraknoid, iaitu apabila salur darah di permukaan otak berdarah dan darah tersebut meresap ke dalam kawasan di antara otak dan tengkorak yang dikenali sebagai ruang subarakanoid.

Menurut Dr. Lee, strok merupakan masalah kesihatan mengancam nyawa yang paling mudah dicegah.

Oleh itu, amat penting bagi seseorang mengetahui dan memahami faktor risiko yang boleh menyebabkan strok.

Sesetengah faktor risiko boleh diubah dan sesetengahnya tidak.

Amat penting katanya, mengingati bahawa mempunyai satu atau lebih faktor risiko yang boleh diubah meningkatkan risiko serangan strok.

Kawalan yang lebih baik terhadap faktor risiko yang boleh diubah dapat mengurangkan risiko strok dengan ketara. Antara faktor yang dikaitkan dengan strok termasuk tekanan darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi, perokok, diet tidak seimbang dan stres.

Bagaimana Strok Didianogsis?

Kata Dr. Lee, doktor akan melakukan dianogsis klinikal dengan cara mendapatkan sejarah perubatan pesakit diikuti dengan pemeriksaan fizikal.

Selepas itu doktor akan melakukan ujian bersesuaian yang diperlukan untuk merawat pesakit dengan berkesan. Pengimejan menggunakan imbasan tomogafi berkomputer (CT) dan imbasan gema bermagnet (MRI) membantu doktor merawat pesakit.

Menjelaskan mengenai kesan strok kepada pesakit kata beliau, ia adalah pelbagai. Keupayaan khusus yang akan hilang atau terjejas akibat strok bergantung pada berapa teruknya otak rosak dan di bahagian mana di otak strok berlaku.

Katanya, otak adalah organ yang kompleks yang sangat hebat dan setiap kawasan di dalam otak bertanggungjawab terhadap fungsi atau keupayaan tertentu.

‘‘Oleh sebab otak mengawal kesemua fungsi badan, maka strok mempunyai potensi menjejaskan semua aktiviti seseorang,” ujarnya.

Ditanya pula tentang sejauh mana kepentingan melakukan pemulihan segera terhadap mangsa strok, beliau menegaskan pemulihan segera adalah amat penting dimana setiap mangsa mesti mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin.

Katanya, semakin cepat terapi pemulihan dimulakan, semakin cepat otak mempelajari semula pergerakan yang normal dan kelewatan akan menyukarkan proses pemulihan.

Terapi pemulihan meliputi fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan kaunseling.

Dr. Lee juga menegaskan risiko strok boleh dicegah sekiranya seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat. Antaranya melakukan aktiviti fizikal, pengambilan makanan yang sihat, tidak merokok dan sentiasa melakukan pemeriksaan tekanan darah, selain dapatkan khidmat doktor sebelum mengambil pil kontraseptif.

Beliau turut memberi nasihat jika seseorang itu pernah diserang strok, amat penting membuat pemeriksaan perubatan secara tetap supaya tekanan darah, paras kolestrol dan berat badan dapat diawasi.


Ditulis oleh:
Roslah Othman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Ketumbuhan Dalam Payu Dara

Kebanyakan wanita masa kini akan merasa gundah apabila mendapati di dalam payu dara mereka terdapat ketumbuhan. Ini memungkinkan mereka menghidap kanser payu dara.

Kanser payu dara adalah kanser paling kerap berlaku dan kanser paling biasa di kalangan semua wanita seawal umur 20 tahun di Malaysia bagi tahun 2002 dan 2003.

Kanser payu dara paling biasa berlaku di kalangan kaum Cina, kemudian kaum India dan kaum Melayu.

Kanser payu dara juga menyumbang kepada 31 peratus daripada jumlah kes kanser wanita pada tahun 2003 (30.4 peratus pada 2002).

Namun, bukan kesemua ketumbuhan di dalam payu dara merupakan kanser payu dara. Walhal hampir 80 hingga 90 peratus adalah ketumbuhan biasa yang bukan berbentuk kanser.

Walau bagaimanapun, oleh kerana kanser payu dara merupakan satu penyakit utama di kalangan masyarakat dunia yang mengakibatkan kesengsaraan dan kematian jutaan manusia, setiap ketumbuhan pada payu dara mesti dianggap kanser sehingga terbukti sebaliknya secara saintifik.

Untuk membezakan dengan tepat antara ketumbuhan biasa (benign tumour) dan kanser payu dara secara fizikal adalah sukar.

Hanya dengan membuat kajian sitologi (kajian sel) sahaja dapat kita memastikan sesuatu ketumbuhan itu kanser atau sebaliknya.

Kaji Penyakit

Hampir 80 hingga 90 peratus ketumbuhan dalam payu dara adalah ketumbuhan biasa yang bukan berbentuk kanser.

Ketumbuhan biasa (benign tumour) yang boleh berlaku di dalam payu dara termasuklah:

Fibroadenoma

* ketumbuhan ini kerap berlaku di kalangan wanita muda. Permukaan ketumbuhan ini licin dan mungkin berbonjol serta boleh bergerak sekeliling apabila ditekan dari luar.

Fibrocystic Mastopathy

* ini biasanya berlaku di kalangan wanita berumur antara 30 hingga 50 tahun yang belum putus haid. Saiznya berbeza berdasarkan pusingan haid dan bertambah besar dan sakit apabila menghampiri haid. Berdasarkan sifat percambahan sel epitelium, ia berisiko berubah menjadi kanser.

Sista (Cyst)

* ketumbuhan ini adalah biji yang mengandungi air. Kebanyakan tidak merbahaya melainkan biji yang mengandungi darah.

Nekrosis lemak

* ketumbuhan ini berpunca daripada kecederaan pada payu dara yang menyebabkan sel lemak payu dara mati dan membentuk kumpulan biji yang keras. Agak sukar untuk membezakannya dari kanser melainkan dengan kajian sel histologi.

Bisul (breast abcess)

* selalunya tidak sukar untuk membezakan bisul dengan kanser. Tetapi “antibioma” iaitu keras yang terjadi apabila bisul dirawat secara konservatif, boleh menyukarkan perbezaan ini.

Perbezaan

Seperti yang telah disebut tadi, untuk membezakan dengan tepat antara ketumbuhan biasa (benign tumour) dan kanser payu dara secara fizikal adalah sukar.

Walau bagaimanapun, beberapa petunjuk mungkin dapat memberikan gambaran kasar sama ada ketulan di payu dara itu berkemungkinan merbahaya.

Ia melibatkan risiko individu untuk kanser, sifat fizikal ketumbuhan, penand a aras tumor (tumour marker) dan genetik.

Semakin banyak petunjuk yang positif, semakin mirip ketumbuhan itu kepada ketumbuhan kanser.

Risiko Mendapat Kanser Payu Dara

Seperti kebanyakan penyakit kanser, penyebab utama kanser payu dara masih belum diketahui tetapi dipercayai melibatkan faktor penyebab seperti faktor genetik dan faktor alam sekitar.

Banyak telah diperkatakan mengenai petunjuk bagi mereka yang berisiko untuk menghidap kanser payu dara. Ia tetap menjadi petunjuk semata-mata.

Ramai penghidap kanser payu dara tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser payu dara.

Walau apapun, petunjuk-petunjuk ini bertujuan membuat seseorang lebih berhati-hati dan peka dengan penyakit tersebut dan mendapatkan rawatan dengan segera.

Secara ringkasnya, mengetahui faktor risiko akan memutuskan sama ada individu perlu atau tidak melakukan pemeriksaan saringan.

Sekiranya individu tidak mempunyai faktor-faktor risiko, tidak bermakna individu selamat. Kanser payu dara tidak boleh dicegah dan strategi utama adalah pengesanan awal dan rawatan sebelum kanser itu merebak.

Pemeriksaan Payu Dara

Pemeriksaan payu dara boleh dilakukan oleh pengamal perubatan atau individu itu sendiri. Tiada siapa yang lebih arif akan badan seseorang melainkan individu itu sendiri.

Adalah digalakkan setiap individu membuat pemeriksaan payu dara sendiri setiap bulan.

Bahagian ketiak patut juga diberi perhatian dengan urutan untuk memastikan ia normal dan tiada ketulan.

Saiz Ketumbuhan

Kebanyakan ketumbuhan yang bersaiz lebih daripada satu sentimeter dapat dirasai secara fizikal dengan pemeriksaan sendiri.

Kadang kala, kesukaran untuk merasai ketulan berlaku disebabkan tidak banyak perbezaan konsistensi antara ketulan dan tisu payu dara di sekelilingnya, atau kedudukannya yang terlalu dalam.

Kebiasaannya, saiz yang kurang dari satu sentimeter sukar untuk dirasa. Di dalam keadaan begini ujian ultrasound atau mammogram dapat membantu mengenalpasti kewujudan ketulan itu.


Ditulis oleh:
Dr Jamaludin Yusak
Pakar Bedah Am,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Vaksin Luaran Demam Denggi

Saban hari kita mendengar pelbagai kempen dan operasi yang dijalankan oleh banyak pihak bagi memerangi nyamuk aedes yang membawa virus demam denggi.

Demam denggi ditakuti oleh sesiapa jua terutama kanak-kanak kerana serangan yang berpunca daripada binatang sekecil nyamuk aedes itu boleh menyebabkan kematian mengejut dalam jangka masa beberapa hari sahaja.

Kempen dan operasi itu kini menjadi lebih agresif setelah Kementerian Kesihatan mengumumkan Selangor mencatatkan peningkatan kes demam denggi paling tinggi daripada keseluruhan 1,045 kes yang dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh seminggu.

Sebanyak 515 kes dicatatkan di negeri itu bagi tempoh 25 hingga 31 Mei lalu manakala negeri kedua tertinggi iaitu Kuala Lumpur mencatatkan 150 kes.

Secara asasnya, terdapat empat bentuk demam denggi iaitu denggi dengan demam biasa, demam denggi klasik, demam denggi berdarah dan sindrom kerenjatan denggi dan sehingga kini tiada vaksin untuk mencegah penyakit itu daripada menyerang manusia.

Namun, di sebalik kegusaran itu, kini sebuah syarikat teknologi Jerman, LH Dienstbekleidungs (LHD) mahu memperkenalkan kain baju atau uniform sekolah yang memiliki daya ketahanan yang tinggi dan kebal dari segala serangga terutama nyamuk aedes dan makhluk perosak di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi LHD, Joachim Hasse memberitahu Mingguan Malaysia, pemakaian fabrik yang diperbuat oleh syarikat beliau terbukti boleh menghindari manusia yang memakainya daripada serangan serangga merbahaya termasuk nyamuk aedes.

“Fabrik yang direka dengan sentuhan 150 saintis dan pakar teknologi Jerman kini dipakai oleh tentera Jerman dan keputusan menunjukkan peratusan askar yang terkena gigitan dan serangan serangga makhluk perosak menurun secara mendadak,

“Askar-askar Jerman telah menggunakan uniform yang diperbuat daripada fabrik keluaran syarikat kami sejak empat tahun yang lalu dan keadaan semakin baik,” katanya.

Ia sekali gus membolehkan kanak-kanak sekolah terutama ketika menjalani aktiviti kokurikulum di luar kelas seperti padang sekolah mendapat jaminan tidak akan digigit oleh vektor seperti nyamuk, lipas, pacat atau lipan.

100 Basuhan

Dengan menggunakan fabrik itu untuk membuat uniform sekolah, ibu bapa dan kerajaan negara ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kecapaian ilmu di kalangan kanak-kanak yang bersekolah, malah juga mengurangkan kos rawatan dan pembelian semula uniform kerana ia tidak akan koyak walaupun selepas 100 basuhan.

Turut hadir pada sesi pertemuan itu ialah Pengarah Urusan Intelflex Sdn. Bhd., Amran Ariffin yang dilantik menjadi wakil pengedar eksklusif produk keluaran LHD di peringkat tempatan dan Presiden Sapina Holdings Corp. Limited, Peter Blaney Davidson yang menguruskan hal-ehwal pelantikan pengedar LHD di peringkat serantau.

Mengulas lanjut, Hasse berkata, justeru, LHD menerusi saintis-saintisnya mereka uniform daripada fabrik yang diletakkan dengan sejumlah 1,300 miligram (mg) permethrin aktif di atasnya, sejenis kimia melawan serangga dan makhluk perosak yang berdaftar.

Menurut beliau, permethrin yang selamat untuk digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa had umur termasuk kanak-kanak. Ia turut digunakan sebagai agen menghindari serangga dan makhluk perosak pada permaidani.

Selain Jerman sendiri, ujar beliau, banyak negara terutama dari benua Eropah antaranya Belanda, Austria, Norway dan Perancis telah menunjukkan minat yang tinggi untuk menggunakan fabrik yang sama dalam pembikinan uniform.

“Selain bebas daripada hinggapan serangga yang boleh memudaratkan tahap kesihatan dan mutu kerja, kajian saintifik turut mendapati uniform yang sedang digunakan tahan lama walaupun setelah beratus kali dibasuh,” kata beliau.

Tambah Hasse, fabrik itu telah melepasi semua ujian dan kawalan yang ketat oleh pihak berkuasa Jerman empat tahun yang lalu untuk memastikan ia selamat dan mesra alam.

Syarikatnya yakin dapat memasarkan produknya itu ke negara ini berdasarkan iklim negara yang sesuai untuk penggunaan secara meluas, bukan sahaja untuk kegunaan kanak-kanak yang bersekolah, malahan juga anggota keselamatan seperti tentera dan polis, jelas beliau.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Menentang Komplikasi Berkaitan Kencing Manis

Sebelum ini, bahaya kepada penghidap penyakit kencing manis dan juga risiko kesihatan terhadap mereka yang berada di peringkat pra kencing manis telah dihuraikan. Telah dinyatakan bahawa bukan penyakit itu yang harus dirisaukan tetapi akibat daripada tidak membetulkan ketidakseimbangan atau kerosakan kepada toleransi glukosa yang perlu ditangani, sama ada pesakit kencing manis jenis kedua atau pra kencing manis.

Penyakit biasa yang diketahui ada hubungkaitnya dengan kencing manis ialah penuaan pra masa, tekanan darah tinggi, aterosklerosis, kegagalan jantung kogestif, strok, osteoporosis, masalah mata (katarak, glaukoma, retinopati), kepincangan fungsi erektil serta neuropati (kekebasan atau rasa berdenyut di kaki atau tangan). Anda mungkin tidak berasa sakit sepenuhnya, oleh itu kudis akan berkembang lebih buruk dan anda rentan kepada jangkitan. Kerosakan teruk pada saraf penghidap kencing manis merupakan sebab utama pemotongan paha dan kaki dan kegagalan buah pinggang. Mereka mungkin menanggung risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan dan kematian akibat jangkitan. Gula darah yang tinggi membuatkan lebih susah untuk badan menentang jangkitan.

Pesakit kencing manis juga menanggung risiko lebih tinggi untuk menghidapi beberapa penyakit lain. Sebaik sahaja penyakit menimpa, mereka menghadapi masalah besar untuk pulih. Oleh itu adalah penting bukan sahaja menumpukan usaha untuk menurunkan paras gula darah, tetapi juga menjaga penentangan insulin. Satu lagi perkara penting yang harus dilakukan ialah mencari jalan bagaimana kita boleh mencegah komplikasi ini daripada berkembang atau menjadi bertambah buruk.

Pemantauan secara kerap beberapa unsur berkaitan dengannya merupakan langkah penting yang mesti diambil. Apabila ini dilakukan, maka ia menjadi lebih mudah untuk membetulkannya sama ada melalui pemakanan atau mengambil suplemen nutrien tertentu.

Mencegah Daripada Menderita Komplikasi Kencing Manis

Anda pasti tidak mahu menderita akibat komplikasi penentangan insulin ataupun penyakit kencing manis. Jika anda mempunyai masalah toleransi glukosa, maka memakan jenis makanan yang wajar dan mengambil pelbagai suplemen nutrien penting adalah perlu untuk membantu mencegah dan menangani komplikasi kencing manis.

Terdapat banyak suplemen nutrisi penting untuk pesakit kencing manis. Mintalah nasihat pakar kesihatan yang arif dalam kedua-dua bidang nutrisi dan pemakanan. Diberikan di sini senarai nutrien penting yang disyorkan sebagai sebahagian daripada rawatan kencing manis.

Sebagai seorang pengamal perubatan holistik, lazimnya pesakit kencing manis akan dinasihatkan supaya memulakan dengan mengambil formula multivitamin dan mineral yang baik dengan kandungan 19 nutrien penting termasuk Kromium, Vanadil Sulfat, Biotin dan Asid Alfa Lipoik (ALA).

ALA, salah satu antioksidan paling penting untuk kencing manis, telah dinilaikan sebagai pengawal gula darah, neuropati kencing manis dan penyakit buah pinggang. Satu dos yang mengandungi antara 50 miligram (mg) hingga 300 mg ALA dibahagikan bergantung kepada dos mengikut tahap ketenatan penyakit supaya boleh ditangani dengan jayanya. Jika dos lebih tinggi diperlukan, ambil kapsul suplemen ALA tambahan yang memberi tindakan lebih lama.

Pati Kayu Manis (satu hingga lima gram setiap hari) akan memperbaiki paras gula dan mengurangkan lipid darah. Pilihlah suplemen yang mengandungi pati Kayu Manis larut air yang telah distandardkan dan digabungkan dengan Banaba untuk memperoleh manfaat maksimum dalam meningkatkan kesensitifan insulin dan mengimbangi gula darah.

Selain dari suplemen asas tersebut, suplemen lain juga disarankan tetapi bergantung kepada tahap komplikasi:

>> Minyak ikan akan mengekalkan aliran darah yang sihat, terutama sekali dalam peredaran mikro.

>> Rawatan menggunakan Acetyl-L-carnitine mempunyai harapan baik bagi neuropati kencing manis, lazimnya pada dos yang mengandungi 100 hingga 400 mg. setiap hari. Dua kajian rawak plasibo terkawal terhadap Acetyl-L-carnitine mengesahkan bahawa ia melegakan kesakitan, mewujudkan pertumbuhan semula saraf, dan persepsi getaran pada para pesakit yang menderita neuropati kencing manis yang kronik.

>> Dos Vitamin C yang tinggi (antara dua gram hingga lima gram setiap hari) dan L-Lysine (lima gram) mungkin dapat memperbaiki aliran darah, bahkan memundurkan penimbunan plak. Ini juga membantu dalam jangka panjang dan bagi mereka yang menderita libido lemah dan kepincangan fungsi erektil mungkin bermanfaat mengambil dos yang lebih tinggi.

>> Astragalus mungkin boleh membantu nefropati kencing manis dan mencegah kegagalan jantung.

>> Whey Protein - Bagi mereka yang menghidap kencing manis jenis kedua, menambah whey kepada makanan yang mengandungi karbohidrat tinggi akan merangsang pelepasan insulin dan mengurangkan kenaikan mendadak paras glukosa darah setiap kali lepas makan.

>> Bilberi, Lutin dan Zeaxanthin mungkin dapat mencegah katarak dan perkembangan retinopati.

>> Suplemen Magnesium juga sangat baik untuk mengurangkan tekanan darah tinggi akibat komplikasi kencing manis.

>> Salah satu bidang yang paling menarik dalam rawatan holistik ialah Resveratrol, sejenis antioksidan polifenol yang didapati dalam wain merah dan tumbuhan herba Japanese Knotweed. Resveratrol membantu menurunkan paras “amyloid beta peptides” yang menyebabkan pembentukan plak dalam otak yang akan membawa kepada penyakit Alzheimer. Resveratrol juga mencegah osteoporosis, melindungi jantung serta mempunyai ciri antikanser. Daripada meminum lebih banyak wain merah, sebaliknya ramai pesakit rawatan holistik di Malaysia mengambil formula yang menggabungkan resveratrol yang diperoleh daripada sumber tumbuhan semulajadi dengan quercetin dalam satu kapsul cecair. Tambahan pula, mereka juga akan dapat menikmati manfaat anti penuaan daripadanya.

>> Terapi lain yang digunakan untuk memperbaiki komplikasi berkaitan kencing manis termasuklah terapi “chelation” (menerusi saluran darah atau rektum), “Far Infra-Red Hothouse Dome”, pemproses Air Alkali dan Bio-Ionizer yang dikenali sebagai “E-Power.”

Oleh itu, ambillah langkah pertama dan kawal masalah gula yang anda hadapi dengan mengamalkan gaya hidup sihat (disertai dengan pemakanan dan senaman yang wajar), ubah cara hidup dan mengambil suplemen nutrisi yang bersesuaian.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Mengapa Buah Pinggang Gagal


KEGAGALAN buah pinggang berfungsi mungkin berpunca daripada faktor boleh ubah (gaya hidup) atau faktor tidak boleh ubah (warisan genetik).



















Penyakit buah pinggang sering berpunca daripada amalan gaya hidup kurang sihat yang boleh diubah untuk mengurangkan kadar kejadian dan melengahkan perkembangan penyakit.

Penyakit buah pinggang berpunca daripada pelbagai faktor, sama ada masalah yang diwarisi sejak lahir atau sesuatu yang dihidapi kemudian.

Namun begitu, punca penyakit buah pinggang tidak selalunya dapat ditentukan. Tetapi sebarang bentuk penyakit yang menjejaskan salur darah atau struktur buah pinggang yang lain boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Faktor-faktor tertentu juga mungkin menyebabkan seseorang individu menghadapi risiko lebih tinggi menghidap penyakit buah pinggang.

Secara khususnya, mereka yang mengalami diabetes, tekanan darah tinggi, warga tua dan golongan yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang dalam keluarga perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan kerana kebarangkalian mereka juga mengalami penyakit buah pinggang jauh lebih tinggi.

Sesetengah orang menghidap penyakit buah pinggang akibat faktor yang diwarisi, seperti dalam kes sakit buah pinggang polisistik (PKD).

Seseorang yang menghidap PKD mengalami ketumbuhan sista dalam buah pinggang.

Secara beransur-ansur, sista ini akan mengambil alih jisim buah pinggang, lantas menjejaskan fungsi buah pinggang dan akhirnya menyebabkan kegagalan buah pinggang berfungsi.

Walaupun kerosakan kepada buah pinggang umumnya hanya dapat dikesan selepas satu tempoh yang panjang, penyakit buah pinggang akibat faktor genetik boleh muncul pada peringkat yang lebih awal.

Dalam sesetengah kes, masalah fungsi buah pinggang dapat dikesan sebelum bayi dilahirkan lagi.

Ini sering diperhatikan di kalangan pesakit buah pinggang polisistik resesif autosom (RAPKD) yang jarang-jarang didapati.

Mereka yang mengalami masalah tumbesaran yang menghalang pembentukan buah pinggang secara normal juga mungkin tampil dengan masalah buah pinggang pada usia muda.

Walaupun sukar untuk menentukan ciri- ciri semulajadi seseorang, penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi boleh dielakkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Ini penting kerana diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan dua punca utama penyakit buah pinggang yang menyebabkan kegagalan buah pinggang berfungsi.

Data daripada Laporan Ke-14 Daftar Dialisis dan Pemindahan Malaysia 2006 mengesahkan hakikat ini di mana 57 peratus daripada kes penyakit buah pinggang didapati berpunca daripada diabetes, diikuti oleh tekanan darah tinggi yang merangkumi enam peratus daripada semua kes yang direkodkan.

Kadar gula yang berlebihan dalam darah dan tekanan darah yang terlalu tinggi bertindak sebagai racun yang menyerang dan menjejaskan salur darah di dalam buah pinggang.

Penyakit berkenaan bukan sahaja menjejaskan buah pinggang dari peringkat awal, malah memburukkan keadaan dengan mempercepatkan penularan penyakit buah pinggang.

Pesakit yang mengambil terlalu banyak ubat pelega kesakitan juga seharusnya diberi amaran tentang risiko menghidap penyakit buah pinggang.

Soal selidik yang teliti sering mendapati pesakit lazimnya mempunyai sejarah sakit kepala kronik, sakit belakang, kelesuan dan kelemahan dalam jangka panjang yang mungkin menyebabkan penggunaan ubat pelega ini secara berterusan.

Di Australia, kejadian penyakit renal akibat ubat pelega kesakitan telah jatuh secara mendadak selepas pengharaman jualan ubat tersebut menerusi kaunter (tanpa preskripsi doktor).

Ia perlu ditekankan bahawa hanya menerusi penggunaan berterusan dan dalam tempoh yang lama ubat pelega barulah masalah buah pinggang mula timbul.

Kerosakan kepada buah pinggang mungkin berlaku dengan penggunaan jangka panjang ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin dan ibuprofen.

Oleh kerana terdapat pelbagai faktor yang menimbulkan masalah buah pinggang, seseorang perlu sedar perbezaan antara faktor yang boleh dikawal dan faktor yang tidak boleh dikawal yang mempengaruhi kesihatan buah pinggang.

Walaupun keadaan genetik seseorang tidak boleh diubah, perubahan dalam tabiat pemakanan dan gaya hidup boleh membawa manfaat dalam usaha mencegah dan melambatkan penularan penyakit buah pinggang.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my