Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, November 02, 2012

Diabetes Kanak-Kanak Meningkat

Secara umumnya masyarakat juga mengetahui penyakit diabetes ini hanya akan ‘menyerang’ orang dewasa yang berumur 30 tahun dan ke atas.

Bagaimanapun sukar untuk mempercayai apabila kanak-kanak atau remaja turut dilaporkan mengalami diabetes di negara ini.

Tetapi realitinya senario ini berlaku malah kanak-kanak atau remaja yang menghidap penyakit kencing manis ini selalunya adalah jenis 1.

Yang pasti pada usia muda sekiranya individu tersebut menghidap diabetes ini adalah disebabkan antibodi dalam badan telah merosakkan organ pankreas yang mengeluarkan insulin hingga mengakibatkan mereka ini mengalami kekurangan insulin.

Ini bermakna diabetes tidak lagi mengenal usia dan sesiapa sahaja berisiko untuk menghidapinya.

Menurut Pakar Perunding Physician & Endocrinologist, Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Vijay Anada Paramasvaran, angka untuk penyakit diabetes di kalangan penduduk Malaysia pasti akan bertambah setiap tahun.

Bukan itu sahaja, penyakit diabetes ini akan berganda setiap 10 tahun dan sudah pasti situasi ini amat membimbangkan.

Katanya lagi, satu kajian yang dilakukan dalam kumpulan kecil populasi di negara ini mendapati 15 peratus golongan kanak-kanak pra sekolah dan hampir 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah mengalami masalah obesiti.

Masalah tersebut merupakan salah satu penyebab utama mereka mendapat diabetes.

“Bagi kanak-kanak, simptom-simptom mereka menghidap diabetes ini sebenarnya tiada.

“Masalah diabetes di kalangan kanak-kanak tidak datang sendiri malah sering dikaitkan dengan masalah kegemukan atau obesiti yang semakin meningkat dari sehari ke sehari serta mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.

“Pada masa yang sama kanak-kanak yang menghidap diabetes adalah daripada jenis 1 di mana mereka memerlukan rawatan suntikan insulin sepanjang hayat," ujar Dr. Vijay ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, secara keseluruhan di negara ini sebanyak 30 peratus pesakit diabetes yang terdiri daripada orang dewasa tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit tersebut.

Ini kerana mereka tidak pernah melakukan ujian saringan kesihatan di mana ujian ini adalah penting untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

Pada masa yang sama, jelas Dr. Vijay, ujian saringan kesihatan perlu dilakukan dalam usaha mengesan sesuatu jenis penyakit pada peringkat awal dan seelok-eloknya ia haruslah dilakukan setahun sekali terutama mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini.

Dr. Vijay turut menyarakan agar kanak-kanak turut melakukan ujian saringan kesihatan untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

Memetik statistik yang sedia ada, antara 2006 hingga 2008 seramai 630 kanak-kanak dan remaja dikesan menghidapi diabetes di mana 80 peratus daripada mereka menghidap diabetes jenis 1 manakala 20 peratus lagi penghidap diabetes jenis 2.

Malah daripada statistik tersebut, Dr. Vijay turut menjelaskan bahawa dahulu lazimnya kanak-kanak yang menghidap penyakit ini hanya adalah dari jenis 1.

Tetapi sekarang dengan pelbagai masalah kesihatan yang dihidapi terutama sekali masalah obesiti, mereka (kanak-kanak dan remaja) juga sudah boleh mendapat diabetes jenis 2.

Beliau menerangkan bahawa diabetes jenis 2 kebiasaannya dialami oleh orang dewasa.

Kata beliau lagi, diabetes di kalangan kanak-kanak bukan hanya berpunca daripada faktor keturunan atau riwayat keluarga, pemakanan dan cara hidup, tetapi boleh juga disebabkan oleh jangkitan virus.

“Semua sedia maklum, penyakit ini tidak boleh dirawat tetapi masih boleh dikawal sekiranya kanak-kanak ini memiliki disiplin dan semangat yang tinggi serta mengamalkan cara hidup dan pemakanan yang sihat.

“Walaupun ada statistik menunjukkan diabetes jenis 1 kurang daripada 5 peratus manakala 95 peratus adalah penghidap jenis 2, tetapi angka ini boleh berubah pada bila-bila masa sahaja," katanya lagi.

Beliau berkata, dalam hal ini, ibu bapa, guru dan anggota masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam memotivasi dan menyokong kanak-kanak yang menghidapi diabetes agar mereka tidak rasa tersisih.

Pada masa yang sama mereka juga seharusnya didedahkan dengan pengetahuan terhadap diabetes dan cara penjagaannya.

Gaya hidup yang tidak sihat selain kurang bersenam dan kegilaan generasi muda kepada permainan video dan asyik menonton televisyen, menjadikan masyarakat kita terdedah kepada pelbagai penyakit.

Oleh yang demikian, amalkanlah gaya hidup yang sihat dan cegahlah sebelum terlambat. - mariatul qatiah zakaria

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment