Sering kali kita dengar bayi meninggal dunia akibat tercekik susu dan ada akibat kelemasan ketika dimandikan.
Bayangkan bayi yang dikandung selama sembilan bulan dan baru saja mahu diwarnakan hidupnya pergi begitu saja akibat kesesakan nafas.
Memang benar, semua itu sudah tersurat. Namun pasti terasa ralat jika anak kecil itu meninggal dunia di pangkuan kita tanpa kita berusaha untuk menyelamatkannya.
Hakikatnya, kita diberi peluang selama empat minit untuk menyelamatkan nyawa mereka yang kesesakan nafas tidak kira bayi, kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Dalam tempoh empat minit saja, nyawa akan melayang akibat kerosakan di otak kerana kehilangan oksigen.
Dalam tempoh sesingkat itu juga, belum tentu bantuan paramedik akan sempat sampai.
Bersediakah kita melakukan pertolongan cemas pemulihan pernafasan dan jantung atau lebih dikenali sebagai kardiopulmonari pernafasan (CPR) andai berdepan dengan situasi sebegitu.
Kita semua berharap tidak berada di situasi cemas menyelamatkan nyawa terutamanya bayi tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa saja.
Bayi boleh tercekik susu, makanan dan mainan, tergelincir ke dalam air ketika berada di dalam tab mandi atau kolam, malah terjerut tali langsir atau wayar.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Klinik Medijaya, Dr. Low kok Thye yang menganjurkan Bengkel CPR untuk Kanak-Kanak dan Bayi baru-baru ini berkata, asas latihan pertolongan cemas berkaitan amat penting terutamanya kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak.
"Kes kematian mengejut bayi dan kanak-kanak sering dipaparkan di dalam akhbar baru-baru ini akibat kesesakan nafas.
"Kami percaya dengan sedikit latihan asas, ibu bapa serta penjaga dapat memberi bantuan ketika saat genting sebegitu dan memberi peluang yang mungkin kecil tetapi amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa mereka.
"Seharusnya, bengkel sebegini diwajibkan untuk ibu, bapa serta penjaga terutamanya pekerja pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak.
"Mereka yang berada paling dekat dengan mangsa dan usaha mereka mungkin dapat menyelamatkan nyawa," ujarnya yang menganjurkan bengkel tersebut di Centro Mall, Klang, baru-baru ini.
Menurut Pegawai St John's Ambulance, ,Tan Yeong Kwan, tercekik diakibatkan oleh benda asing tersengkang di dalam tekak atau berlaku kekejangan otot yang menyekat saluran pernafasan.
bayi boleh tercekik susu apabila tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu tersebut akan terus mengalir membuatkan bayi akan tersedak dan susu tersebut akan masuk ke saluran pernafasan.
Jika bayi secara tiba-tiba tidak mampu menangis atau batuk, sesuatu mungkin menghalang laluan pernafasannya.
Dia mungkin akan mengeluarkan bunyi pelik atau tiada langsung sambil membuka mulutnya dan kulitnya bertukar merah terang atau kebiruan.
Dapatkan bantuan dan cuba membantunya melancarkan pernafasan.
Jika mangsa tidak sedarkan diri pula, bantuan CPR perlu dilakukan dengan segera sebelum otak terjejas akibat kehabisan oksigen.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment