Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, April 05, 2012

Nanas Punca Pendarahan Rahim?

SOALAN:


Assalamualaikum Doktor,


Saya mempunyai seorang teman yang sama-sama belajar di kampus suatu ketika dahulu. Masalahnya rakan saya apabila dia memakan nanas akan mengalami pendarahan. Baru-baru ini, dia sekali lagi mengalami pendarahan yang agak banyak selepas memakan nanas. Rakan saya telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan doktor yang merawatnya menyatakan bahawa dia akan mengalami masalah untuk mengandung apabila berkahwin kelak kerana rahimnya lemah. Saya mohon agar doktor menjelaskan perkara ini serta apakah rawatan yang perlu dilakukan oleh rakan saya bagi mengatasi masalah ini. Apakah beliau berpeluang untuk mengandung sekiranya masalah ini berlarutan. Saya mohon penjelasan dari doktor. Terima kasih.


Rakan Mahu Bantu Rakan

JAWAPAN:


Terima kasih kepada adik yang sudi mengutarakan soalan yang menarik ini. Sangkaan berkaitan nanas menyebabkan pendarahan haid yang agak banyak adalah tidak tepat. Saya agak perkara ini berlaku secara kebetulan sahaja. Sebenarnya, nanas juga bukanlah penyebab pada keguguran, kalau janin dan ibu sihat.

Nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari bahagian timur Amerika Selatan. Nanas tergolong dalam keluarga Bromeliaceae. Nanas sebenarnya bukan hanya buah yang sedap dimakan serta dijadikan jus minuman. Nanas juga kaya dengan kandungan mineral dan vitamin yang cukup tinggi. Ramai kalangan kita menggemarinya sebagai makanan pencuci mulut yang menyegarkan atau sayur sampingan (jelatah) selain dimakan dalam bentuk lain seperti jem nanas, halwa, jeruk dan biskut tat nanas. Bukan setakat itu saja, malah nanas juga mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri.

Nanas mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (digunakan untuk melembutkan daging). Ia juga mengandungi asid sitrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Nanas juga mempunyai nilai khasiat yang penting seperti mineral, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu mengekalkan berat badan ideal dan keseimbangan nutrisi. Nanas juga merupakan sumber vitamin C yang baik dan boleh dimakan mentah atau digunakan dalam masakan. Nanas mengandungi lemak dan garam yang minimum serta tidak mempunyai kolesterol. Selain itu, nanas juga mengandungi sejumlah kecil vitamin B2, B3, B5 dan B6. Ini jelas menunjukkan nanas merupakan buah yang sedap, berkhasiat dan menyihatkan.

Memerangi penyakit Nanas juga dipercayai dapat menyihatkan mata. Kajian menunjukkan amalan memakan nanas melindungi mata daripada masalah berkaitan penuaan kerana ia kaya dengan anti-oksida. Ia juga dapat membantu memerangi pelbagai jenis penyakit. Nanas yang kaya dengan vitamin C merupakan sumber sangat baik untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas yang menyerang sel-sel sihat. Banyak radikal bebas dalam tubuh yang menyebabkan penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes mellitus dan kanser. Amalan memakan nanas juga berkesan untuk menghindari selesema dan meningkatkan sistem imunisasi.

Nanas juga kaya dengan serat dan amat berkesan untuk memulihkan masalah sembelit dan masalah membuang air besar yang tidak teratur. Ia juga mengandungi enzim yang menjadikan kulit anjal, lembap dan menyingkirkan sel-sel mati dan rosak. Enzim di dalam nanas juga membantu memerangi radikal bebas yang boleh mengurangkan tanda-tanda penuaan dan garis-garis halus.

Jus nanas ini bukan sahaja merupakan minuman yang lazat tetapi juga dapat mengatasi masalah kekeringan di bahagian bibir dan di bahagian muka. Enzim yang terdapat pada buah nanas boleh meredakan bengkak-bengkak, kuatkan daya tahan badan serta menghapuskan fibrin yang boleh mengakibatkan penyakit jantung dan strok. Selain itu buah ini juga melancarkan perjalanan haid dan bukannya pendarahan haid yang banyak.

Jumpa pakarBerjumpalah dengan doktor pakar sakit puan bagi mengetahui masalah sebenar. Secara amnya, doktor akan mengesyaki seseorang wanita agak susah hamil jika kitar haid mereka tidak teratur kerana kitar sebegitu adalah tidak subur. Doktor tidak dapat mengatakan rahim seseorang wanita lemah atau tidak dan susah untuk hamil hanya jika seseorang wanita tersebut hanya mengalami pendarahan haid yang banyak apabila memakan nanas. Tiada kajian yang mengatakan bahawa nanas adalah penyebabnya. Elok berjumpa doktor bagi memastikan bahawa rakan anda tidak mengalami masalah berkaitan darah atau sistem pembekuan darah. Alangkah baiknya jika rakan anda dapat berjumpa dengan doktor bagi mendapat pemeriksaan perubatan dan juga ujian darah yang tertentu bagi mengetahui penyebab sebenar pendarahan haid yang banyak.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment