Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, April 29, 2012

Awasi Jangkiti HFMD

Jangan cemas kerana penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) hanya menyerang kanak-kanak dan secara amnya ia tidak berbahaya," ulas Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Azam Mohd. Nor ketika ditanya adakah penyakit HFMD merupakan penyakit yang berbahaya ketika ini.

Bagaimanapun beliau yang ditemui di kliniknya di Kuala Lumpur baru-baru ini turut menyatakan, penyakit itu tidak begitu berbahaya sekiranya ia dikesan pada peringkat awal.

Malah kebanyakan kes yang menyebabkan kematian disebabkan kelewatan membawa mangsa mendapatkan rawatan. Apabila lambat dirawat ia boleh menyerang otak atau saraf tunjang kanak-kanak tersebut.

Oleh yang demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda seperti demam, batuk dan selesema yang diikuti dengan ulser di tangan, kaki dan dalam mulut, pesakit hendaklah segera dibawa berjumpa doktor.

Ini kerana, penyakit yang mudah merebak melalui air liur, sentuhan dan juga najis itu merupakan penyakit berjangkit yang mampu dan mudah merebak dalam tempoh amat singkat.

Jelas Dr. Azam, HFMD merupakan demam virus yang disebabkan dua jenis virus utama iaitu coxsackie dan enterovirus.

Tambah beliau, antara kedua-dua virus tersebut, HFMD lazimnya disebabkan oleh coxsackie dan ia biasanya menyerang kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke bawah.

Meskipun penyakit ini boleh dikategorikan sebagai tidak begitu berat, namun ia boleh mencapai tahap wabak.

Manakala kematian selalunya berlaku ke atas kanak-kanak yang mengalami kehilangan air dalam badan ekoran penyakit tersebut.

Pada masa yang sama, kes kematian akibat penyakit itu juga disebabkan oleh enterovirus 71 yang berpunca daripada manusia.

Selain itu, Dr. Azam menyatakan bahawa HFMD bukan hanya berjangkit menerusi kanak-kanak tetapi ia juga boleh berlaku antara kanak-kanak dengan orang dewasa.

"Orang dewasa yang membawa virus ini mungkin tidak mengalami sebarang simptom HFMD atau demam. Namun mereka masih boleh membawa jangkitan tersebut kepada kanak-kanak.

"Oleh itu, orang dewasa perlu terlebih dahulu menjaga kebersihan diri dengan mengikut langkah-langkah perlu sebelum menyentuh, mencium atau memegang anak-anak mereka," katanya.

Walaupun jangkitan penyakit ini masih terkawal ketika ini tetapi kata Dr. Azam, aspek kebersihan perlu diberi perhatian bagi mengelak ia merebak lebih teruk.

Katanya, walaupun tidak semua orang akan mendapat penyakit ini tetapi setiap individu pastinya akan 'diserang' penyakit itu sekali seumur hidup.


Oleh : Dr. Azam Mohd. Nor
Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, April 25, 2012

Pil Perancang Untuk Cantik?

Rupa-rupanya pil perancang kehamilan diamalkan untuk mendapatkan kulit yang cantik dalam kalangan anak gadis kita. Sudah tentu mereka perlu mengambilnya untuk jangka masa lama.

Tindakan sebegini bukanlah langkah yang bijak jika tujuan utama pengambilan pil tersebut hanyalah untuk kelihatan cantik dan mempunyai kulit yang licin, mulus serta berseri tanpa jerawat.

Fungsi utama pil perancang kehamilan adalah untuk menjarakkan kehamilan. Ia bertindak menghalang proses ovulasi dan menjadikan seseorang wanita tidak subur.

Di samping itu, ia juga merencatkan pertumbuhan lapisan dalam rahim (endometrium) yang akan meluluh atau gugur menghasilkan darah haid. Darah haid sememangnya dijangka menjadi sedikit berbanding sebelumnya, lebih teratur serta bilangan harinya lebih pendek. Pengambilan pil ini sesuai untuk wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak yang boleh mengakibatkan kekurangan darah (anemia). Dari sini jelas bahawa pil perancang kehamilan ini dapat menghalang ovulasi dan juga mengurangkan pendarahan haid dan memendekkan tempoh bagi wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan. Pada masa sama, ia juga dapat menjadikan kitaran haid lebih teratur.

KesihatanPenggunaan pil perancang kehamilan menjamin mutu kesihatan wanita. Apabila wanita dapat merancang keluarga dengan baik, ia menyumbang kepada kurangnya kadar kematian bayi, mengelakkan gangguan haid dan pada masa sama, masalah kulit juga dapat diatasi.

Penggunaan pil perancang kehamilan ini juga menyelamatkan wanita dalam banyak perkara terutama kesihatan wanita ketika hamil. Ketika hamil, banyak risiko dihadapi wanita seperti kandungan yang tidak diingini, bayi mati dalam kandungan, gejala berkaitan sista ovari, barah dan sebagainya.

Dengan pengambilan pil perancang kehamilan, wanita mungkin dapat mengelakkan daripada mengalami gejala berkaitan dan kesihatan mereka juga terpelihara daripada penyakit berkenaan.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, April 21, 2012

Uji Tahap Pendengaran Anda

Kajian menunjukkan 60 peratus orang yang berusia lebih 60 tahun mengalami masalah kehilangan pendengaran.

Menurut Pakar Pendengaran di Bay Audio Malaysia, Andrew Campbell, rakyat Malaysia dan penduduk di Asia kurang mengutarakan masalah pendengaran berbanding di Australia.

"Lebih kurang 20 peratus pesakit yang mengalami kehilangan pendengaran akan mencari penyelesaian untuk masalah mereka. Di Malaysia, dianggarkan hanya lebih kurang 0.5 peratus akan melakukan demikian, mungkin disebabkan kurang maklumat di mana untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di Bay Audio, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pendengaran sihatTambah Andrew, bunyi diukur dalam unit desibel. Bunyi dari peti sejuk ialah 45 desibel, perbualan biasa adalah kira-kira 60 desibel, dan bunyi bising dari lalu lintas bandar yang sibuk boleh mencapai 85 desibel.

"Sumber bunyi yang boleh menyebabkan hilang pendengaran akibat bunyi bising termasuklah daripada bunyi motosikal, mercun, dan senjata api, yang menghasilkan kekuatan bunyi daripada 120 hingga 150 desibel," ujarnya.

Sementara itu, pendedahan yang lama atau berulang-ulang terhadap bunyi pada atau melebihi 85 desibel boleh menyebabkan masalah hilang pendengaran.

Semakin kuat bunyi, semakin cepat masalah hilang pendengaran akibat bunyi bising berlaku.

"Bagaimanapun, bunyi yang kurang daripada 75 desibel, walaupun selepas pendedahan yang lama, tidak akan menyebabkan kehilangan pendengaran," katanya.

Ukuran bunyiAndrew menjelaskan, pendengaran diukur pada tahap kebolehan seseorang mendengar bunyi paling perlahan yang boleh didengar. Nada bunyi diukur dalam hertz dan kekuatan bunyi diukur dalam bentuk desibel iaitu daripada 0 ke 140 desibel.

"Kami telah mencipta alat pemeriksaan pendengaran berinovatif untuk membantu pelanggan menguji keadaan pendengaran mereka dalam masa lima minit sahaja melalui skrin sentuh yang mudah.

Ujian pendengaran dijalankan dengan peralatan skrin sentuh selama lima minit menggunakan iPad dan penutup telinga gred 5 (yang digunakan untuk paras kebisingan dalam persekitaran umum). Keputusan ujian ini membantu kami mengenal pasti jika seseorang itu mengalami masalah pendengaran yang ringan, sederhana atau teruk," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan keputusan, pelanggan diminta berjumpa pakar pendengaran sekiranya perlu untuk melakukan ujian pendengaran penuh dalam bilik kedap bunyi.

"Periksalah pendengaran anda. Mungkin anda mengalami masalah pendengaran tanpa anda sedari. Justeru, ujian seperti ini membantu memperbaiki kesihatan pendengaran," ujarnya.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, April 17, 2012

Selamatkan Si Comel

Sering kali kita dengar bayi meninggal dunia akibat tercekik susu dan ada akibat kelemasan ketika dimandikan.

Bayangkan bayi yang dikandung selama sembilan bulan dan baru saja mahu diwarnakan hidupnya pergi begitu saja akibat kesesakan nafas.

Memang benar, semua itu sudah tersurat. Namun pasti terasa ralat jika anak kecil itu meninggal dunia di pangkuan kita tanpa kita berusaha untuk menyelamatkannya.

Hakikatnya, kita diberi peluang selama empat minit untuk menyelamatkan nyawa mereka yang kesesakan nafas tidak kira bayi, kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Dalam tempoh empat minit saja, nyawa akan melayang akibat kerosakan di otak kerana kehilangan oksigen.

Dalam tempoh sesingkat itu juga, belum tentu bantuan paramedik akan sempat sampai.

Bersediakah kita melakukan pertolongan cemas pemulihan pernafasan dan jantung atau lebih dikenali sebagai kardiopulmonari pernafasan (CPR) andai berdepan dengan situasi sebegitu.

Kita semua berharap tidak berada di situasi cemas menyelamatkan nyawa terutamanya bayi tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa saja.

Bayi boleh tercekik susu, makanan dan mainan, tergelincir ke dalam air ketika berada di dalam tab mandi atau kolam, malah terjerut tali langsir atau wayar.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Klinik Medijaya, Dr. Low kok Thye yang menganjurkan Bengkel CPR untuk Kanak-Kanak dan Bayi baru-baru ini berkata, asas latihan pertolongan cemas berkaitan amat penting terutamanya kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak.

"Kes kematian mengejut bayi dan kanak-kanak sering dipaparkan di dalam akhbar baru-baru ini akibat kesesakan nafas.

"Kami percaya dengan sedikit latihan asas, ibu bapa serta penjaga dapat memberi bantuan ketika saat genting sebegitu dan memberi peluang yang mungkin kecil tetapi amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa mereka.

"Seharusnya, bengkel sebegini diwajibkan untuk ibu, bapa serta penjaga terutamanya pekerja pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak.

"Mereka yang berada paling dekat dengan mangsa dan usaha mereka mungkin dapat menyelamatkan nyawa," ujarnya yang menganjurkan bengkel tersebut di Centro Mall, Klang, baru-baru ini.

Menurut Pegawai St John's Ambulance, ,Tan Yeong Kwan, tercekik diakibatkan oleh benda asing tersengkang di dalam tekak atau berlaku kekejangan otot yang menyekat saluran pernafasan.

bayi boleh tercekik susu apabila tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu tersebut akan terus mengalir membuatkan bayi akan tersedak dan susu tersebut akan masuk ke saluran pernafasan.

Jika bayi secara tiba-tiba tidak mampu menangis atau batuk, sesuatu mungkin menghalang laluan pernafasannya.

Dia mungkin akan mengeluarkan bunyi pelik atau tiada langsung sambil membuka mulutnya dan kulitnya bertukar merah terang atau kebiruan.

Dapatkan bantuan dan cuba membantunya melancarkan pernafasan.

Jika mangsa tidak sedarkan diri pula, bantuan CPR perlu dilakukan dengan segera sebelum otak terjejas akibat kehabisan oksigen.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, April 13, 2012

Atas Nama Cinta

Atas nama cinta, hati ini tak mungkin terbagi, sampai nanti bila aku mati, cinta ini hanya untuk engkau.

Atas nama cinta, ku relakan jalanku merana, asal engkau akhirnya denganku, ku bersumpah atas nama cinta".

Cinta mempunyai pelbagai tafsiran. Lirik lagu "atas nama cinta" nyanyian penyanyi Rossa di atas adalah satu contoh bagaimana cinta ditafsirkan dalam bentuk sumpah setia dan pengorbanan.

Benarkah begitu? Cinta adalah pertautan emosi yang berlaku di dalam satu hubungan interpersonal lelaki dan perempuan.

Jatuh cinta adalah normal dan ia sebahagian daripada kehidupan. Bercinta tidak salah asalkan tidak menyimpang daripada landasan agama, moral dan tatasusila budaya.

Dalam proses mencari cinta manusia sering bertemu dengan pelbagai pilihan. Pelbagai pepatah dan ungkapan tercipta.

Ada yang kata mencari cinta bagaikan membeli kasut. Pada mulanya mencari kasut yang cantik dipandang tetapi akhirnya memilih kasut yang selesa dipakai.

Hakikatnya, apa yang dicari tidak lebih daripada satu hubungan yang bahagia. Ia menjadi asas kepada kesejahteraan emosi. Cinta juga berevolusi untuk matang. Mari lihat bagaimana proses ini berlaku.

Pada peringkat awal, pasangan bercinta akan mengalami perasaan yang sangat indah dan berbunga-bunga. Semua kelihatan begitu sempurna tanpa sebarang cacat-cela.

Namun begitu, apabila hubungan tersebut mencapai tempoh tertentu, mereka mula sedar tentang wujudnya perbezaan pendapat di antara mereka.

Bagaimanapun, mereka menafikan kewujudan perbezaan tersebut. Ada pihak yang mengalah walaupun dengan perasaan tidak puas hati. Mereka terus hanyut dibuai asmara dengan harapan keadaan ini akan kekal selamanya.

Masa yang berlalu mendedahkan lebih banyak ketidakserasian.

Mereka kekal dengan cara yang sama, malah tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berbincang. Ini disangka untuk mengelakkan perbalahan.

Akibatnya tiada sebarang jalan penyelesaian diperolehi. Perasaan tidak puas hati akhirnya memuncak dan hubungan tersebut mula renggang dengan sendirinya. Tiada lagi keindahan, yang tinggal adalah "jiwa kacau" dan "merana".

Menilai makna cintaHanya ada dua pilihan. Sama ada membiarkan ia berakhir dengan perpisahan atau memulihkan semula perhubungan.

Untuk itu mereka perlu tahu apakah makna cinta sebenar dan menilai sama ada elemen tersebut pernah hadir atau tidak dalam sejarah percintaan mereka.

Elemen paling penting adalah perasaan cinta itu sendiri yang perlu wujud antara satu sama lain. Cinta mungkin tidak pernah wujud sekiranya anda selalu merasa tidak selesa ketika bersama.

Pasangan yang bercinta perlu hormat menghormati antara satu sama lain. Mereka perlu sentiasa menutup keburukan pasangan dan tidak merendah-rendahkan maruah diri antara satu sama lain.

Pasangan bercinta perlu saling memberi dan menerima. Pemberian tidak semestinya dalam bentuk hadiah atau wang ringgit sahaja.

Ia semudah membiarkan pasangan membuat keputusan dalam perkara seharian seperti memilih restoran makan malam atau menentukan tempat percutian.

Cinta memerlukan keserasian pemikiran, personaliti dan seksual. Pasangan perlu mampu meluahkan perasaan secara terbuka di antara satu sama lain. Malah adakalanya perlu tidak merasa malu untuk menangis.

Cinta memerlukan kepercayaan. Kepercayaan biasanya terhakis apabila berlakunya kecurangan.

Ini akan menyebabkan pasangan lebih berhati-hati dan kadangkala menjadi cemburu buta. Percayalah, apabila luka tersebut semakin sembuh, kepercayaan akan kembali.

Cinta juga memerlukan kemaafan dan keikhlasan. Setiap manusia pernah tersilap tetapi bukan bermakna mereka tidak boleh insaf dan berubah.

Pasangan yang tidak mampu memaafkan akan menyimpan dendam dan mudah mengungkit kisah lama dalam pertikaian kecil sekalipun.

Jangan khianati kemaafan dan peluang kedua yang diberi.

Cinta memerlukan kesetiaan dan pengorbanan. Ia perlu dibuktikan untuk membangkitkan perasaan dihargai.

Berkorban tidak bermaksud menyerahkan semua yang kekasih minta. Ingat, cinta sejati tidak merosakkan diri atau menghabiskan wang ringgit.

Cinta tidak membenarkan sebarang bentuk penderaan dan ketagihan. Ini kerana tiada gunanya bercinta sekiranya anda menderita ketiadaan wang atau ditinggal keseorangan oleh pasangan yang ketagihan judi atau dadah.

Buatlah pertimbangan dengan bijak. Perbetulkan makna cinta anda dan jangan sampai tersalah langkah.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, April 09, 2012

Melatah Derkaitan Dengan Emosi

Melatah didefinisikan sebagai satu fenomena tingkah laku dikaitkan dengan kaum tertentu di Asia Tenggara khususnya kaum Melayu.

Berlaku kebanyakannya di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Singapura dan Indonesia, tingkah laku melatah ini dikatakan tidak ketara (mungkin ada) di negara-negara Eropah kerana tidak 'digalakkan' oleh masyarakatnya.

Ini kerana bagi mereka fenomena tersebut dianggap pelik atau seperti satu jenis penyakit.

Tingkah laku melatah bukan satu perbuatan yang dibuat-buat, sebaliknya, ia berlaku spontan kerana sudah tertanam dalam diri individu berkenaan.

Namun sekiranya pada permulaan seseorang itu melakukannya secara berulang kali, lama-lama ia akan menjadi satu kebiasaan iaitu tingkah laku yang akan dilakukan berulangan.

Ini bermakna ia satu situasi yang sukar untuk ditinggalkan apabila tingkah laku baru (perkara yang menjadi kebiasaan) mengambil tingkah laku lama dan perkara itu akan dilakukan berulangan.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, individu yang melatah suatu waktu dahulu (kira-kira 20 hingga 30 tahun sebelum ini) khususnya di negara ini, mereka menjadi tumpuan hiburan terutama di majlis-majlis keramaian.

"Individu yang melatah suatu waktu dahulu boleh dijadikan sebagai 'kerjaya' kerana mereka diundang ke majlis-majlis untuk memeriahkan suasana keraian.

"Mereka diundang atas fungsi tertentu dan ada peranan dalam masyarakat sebagai penghibur, khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr. Daniel Zainal berkata, fenomena melatah ini dari segi statistiknya melibatkan 80 hingga 90 peratus daripadanya adalah golongan wanita yang telah agak berumur.

Katanya, dari segi aspek psikologi, orang melatah ini sebenarnya ada ciri personaliti tertentu iaitu neurotik.

"Biasanya dari aspek peribadi, individu yang suka mendapat perhatian dan menonjolkan diri seperti terlibat dalam bidang seni adalah antara mereka yang suka melatah.

"Selain itu mereka yang tergolong dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta mudah mendapat serangan panik (panic attack)," katanya.

Melatah juga katanya, dikaitkan dengan faktor genetik turun-temurun dalam keluarga kerana ia ada unsur berjangkit.

Mungkin bukan daripada ibu atau bapa yang melatah tetapi pak cik atau mak cik yang melatah juga dapat dijangkiti oleh anak saudara mahupun cucu mereka.

Ahli keluarga terdedah kepada tingkah laku melatah sekiranya mereka berdepan dengan masalah psikologi. Ia juga boleh dikaitkan dengan aspek keturunan dan persekitaran yang mendorong kepada berlakunya keresahan, kesedihan dan kecenderungan mewarisi personaliti cepat gemuruh.

Menurut Dr. Daniel Zainal, perilaku melatah sepatutnya tidak lagi digalakkan dalam masyarakat sekarang kerana ia boleh menjejaskan harga diri si pelatah.

Malah ketika situasi latah sedang berlaku, orang di sekeliling boleh meredakan si pelatah dengan menenangkan dirinya.

Caranya ialah dengan menampar bahu si pelatah lalu mengajarnya mengucap dan beristighfar beberapa kali sehingga fikirannya kembali tenang dan tenteram.

"Orang melatah ini sebenarnya tidak suka dijadikan bahan ketawa dan ia boleh menyebabkan mereka rasa tertekan. Orang melatah akan memberi hiburan kepada orang lain tetapi pada dirinya ia rasa tidak elok, selain mengundang panik di kalangan awam dan menyebabkan kejatuhan harga diri," katanya.

Dari aspek pengurusan katanya, jangan galakkan ahli keluarga mengusik individu yang ada ciri-ciri melatah jika mereka tahu seseorang itu berpotensi untuk melatah.

Juga jangan tambah usikan berkenaan sekiranya si pelatah sedang melatah sehingga menyebabkan proses berkenaan berlarutan.

Jelas Dr. Daniel Zainal, tiada sebarang ubat untuk merawat latah, namun ia boleh dikawal menerusi sesi kaunseling psikoterapi perkara-perkara yang boleh menjadi pencetus kepada latah yang berhubung dari aspek kognitif dan tingkah laku.

"Ketika melatah, individu ini seolah-olah terpisah dari alam sekeliling, tidak sedar apa yang berlaku yang membentuk keadaan trance state (di bawah sedar). Pada ketika ini tahap kesedarannya amat rendah bagaikan bermimpi, ralit atau seolah-olah dipukau seperti yang berlaku pada pengangkat kavadi ketika Thaipusam, pemain wayang kulit, penari kuda kepang dan sebagainya," katanya.

Menurut Dr. Daniel Zainal lagi, individu yang melatah boleh menggunakan cara hipnosis untuk menyelami keadaan di bawah sedarnya yang menyebabkan punca-punca berlakunya latah.

" Minda manusia terdiri daripada pemikiran sedar (12 peratus) dan pemikiran di bawah sedar (88 peratus). Justeru kaedah hipnosis ini akan mencungkil kisah lalu pengalaman di bawah sedarnya yang mempengaruhi tabiat melatahnya.

"Ini kerana emosi seseorang dipengaruhi dengan apa yang berlaku kepada individu tersebut lama dahulu, ia seolah-olah data yang tersimpan dalam pemikiran minda tidak sedar," katanya.

Menurut beliau, individu yang melatah ini juga perlu belajar teknik pernafasan yang betul seperti senaman yoga atau berzikir untuk menangani masalah ini.

Namun katanya, fenomena melatah ini semakin berkurangan di negara ini khususnya di majlis-majlis keraian kerana persekitaran yang masyarakat tidak lagi menggalakkan perlakuan berkenaan.

"Ramai masyarakat sekarang sudah tidak 'menggalakkan' perlakuan melatah ini. Sekiranya mereka tahu individu berkenaan melatah, mereka tidak akan cuba mengusiknya.

"Bahkan generasi muda mungkin ramai yang tidak tahu apa itu melatah kerana sudah jarang terlihat dalam masyarakat sekarang," katanya Dr. Daniel.



Ditulis oleh:  Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman
Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, April 05, 2012

Nanas Punca Pendarahan Rahim?

SOALAN:


Assalamualaikum Doktor,


Saya mempunyai seorang teman yang sama-sama belajar di kampus suatu ketika dahulu. Masalahnya rakan saya apabila dia memakan nanas akan mengalami pendarahan. Baru-baru ini, dia sekali lagi mengalami pendarahan yang agak banyak selepas memakan nanas. Rakan saya telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan doktor yang merawatnya menyatakan bahawa dia akan mengalami masalah untuk mengandung apabila berkahwin kelak kerana rahimnya lemah. Saya mohon agar doktor menjelaskan perkara ini serta apakah rawatan yang perlu dilakukan oleh rakan saya bagi mengatasi masalah ini. Apakah beliau berpeluang untuk mengandung sekiranya masalah ini berlarutan. Saya mohon penjelasan dari doktor. Terima kasih.


Rakan Mahu Bantu Rakan

JAWAPAN:


Terima kasih kepada adik yang sudi mengutarakan soalan yang menarik ini. Sangkaan berkaitan nanas menyebabkan pendarahan haid yang agak banyak adalah tidak tepat. Saya agak perkara ini berlaku secara kebetulan sahaja. Sebenarnya, nanas juga bukanlah penyebab pada keguguran, kalau janin dan ibu sihat.

Nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari bahagian timur Amerika Selatan. Nanas tergolong dalam keluarga Bromeliaceae. Nanas sebenarnya bukan hanya buah yang sedap dimakan serta dijadikan jus minuman. Nanas juga kaya dengan kandungan mineral dan vitamin yang cukup tinggi. Ramai kalangan kita menggemarinya sebagai makanan pencuci mulut yang menyegarkan atau sayur sampingan (jelatah) selain dimakan dalam bentuk lain seperti jem nanas, halwa, jeruk dan biskut tat nanas. Bukan setakat itu saja, malah nanas juga mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri.

Nanas mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (digunakan untuk melembutkan daging). Ia juga mengandungi asid sitrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Nanas juga mempunyai nilai khasiat yang penting seperti mineral, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu mengekalkan berat badan ideal dan keseimbangan nutrisi. Nanas juga merupakan sumber vitamin C yang baik dan boleh dimakan mentah atau digunakan dalam masakan. Nanas mengandungi lemak dan garam yang minimum serta tidak mempunyai kolesterol. Selain itu, nanas juga mengandungi sejumlah kecil vitamin B2, B3, B5 dan B6. Ini jelas menunjukkan nanas merupakan buah yang sedap, berkhasiat dan menyihatkan.

Memerangi penyakit Nanas juga dipercayai dapat menyihatkan mata. Kajian menunjukkan amalan memakan nanas melindungi mata daripada masalah berkaitan penuaan kerana ia kaya dengan anti-oksida. Ia juga dapat membantu memerangi pelbagai jenis penyakit. Nanas yang kaya dengan vitamin C merupakan sumber sangat baik untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas yang menyerang sel-sel sihat. Banyak radikal bebas dalam tubuh yang menyebabkan penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes mellitus dan kanser. Amalan memakan nanas juga berkesan untuk menghindari selesema dan meningkatkan sistem imunisasi.

Nanas juga kaya dengan serat dan amat berkesan untuk memulihkan masalah sembelit dan masalah membuang air besar yang tidak teratur. Ia juga mengandungi enzim yang menjadikan kulit anjal, lembap dan menyingkirkan sel-sel mati dan rosak. Enzim di dalam nanas juga membantu memerangi radikal bebas yang boleh mengurangkan tanda-tanda penuaan dan garis-garis halus.

Jus nanas ini bukan sahaja merupakan minuman yang lazat tetapi juga dapat mengatasi masalah kekeringan di bahagian bibir dan di bahagian muka. Enzim yang terdapat pada buah nanas boleh meredakan bengkak-bengkak, kuatkan daya tahan badan serta menghapuskan fibrin yang boleh mengakibatkan penyakit jantung dan strok. Selain itu buah ini juga melancarkan perjalanan haid dan bukannya pendarahan haid yang banyak.

Jumpa pakarBerjumpalah dengan doktor pakar sakit puan bagi mengetahui masalah sebenar. Secara amnya, doktor akan mengesyaki seseorang wanita agak susah hamil jika kitar haid mereka tidak teratur kerana kitar sebegitu adalah tidak subur. Doktor tidak dapat mengatakan rahim seseorang wanita lemah atau tidak dan susah untuk hamil hanya jika seseorang wanita tersebut hanya mengalami pendarahan haid yang banyak apabila memakan nanas. Tiada kajian yang mengatakan bahawa nanas adalah penyebabnya. Elok berjumpa doktor bagi memastikan bahawa rakan anda tidak mengalami masalah berkaitan darah atau sistem pembekuan darah. Alangkah baiknya jika rakan anda dapat berjumpa dengan doktor bagi mendapat pemeriksaan perubatan dan juga ujian darah yang tertentu bagi mengetahui penyebab sebenar pendarahan haid yang banyak.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, April 01, 2012

Ancam Lelaki Lewat Usia


Kajian menunjukkan lelaki sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit. Jangka hayat lelaki kurang lima hingga enam tahun daripada wanita. Lelaki yang berumur 45 hingga 54 tahun tiga kali ganda lebih kerap mati akibat serangan sakit jantung berbanding dengan wanita.


Kadar kematian atas sebab penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang, strok dan kanser di kalangan lelaki juga lebih tinggi.


Antara penyakit yang menjadi risiko utama kaum lelaki kini ialah pembesaran prostat (BPH) dan kanser prostat. Ia merupakan antara pembunuh utama golongan lelaki, tetapi masih ramai di kalangan mereka tidak memiliki kesedaran dan pengetahuan mengenai bahayanya.


Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya berkaitan orang tua.


Namun, kanser ini digeruni oleh golongan lelaki kerana ia menduduki tempat teratas dalam carta jenis-jenis kanser yang 'dibenci' lelaki.


Mengapa begitu? Ini kerana prostat yang disifatkan sebagai organ dalaman kaum Adam yang paling berharga mungkin hilang nilai kualitinya apabila ancaman kanser menyerang.


Purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.


Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.


Bagi kaum lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat di dalam keluarga, mereka dinasihatkan supaya membuat saringan tersebut pada usia 45 tahun.


Prostat merupakan kelenjar di pangkal pundi kencing lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai uretra.


Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.


Kanser Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.


Di Malaysia, kanser prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes-kes kanser di kalangan lelaki. Terdapat sejumlah 735 kes yang dilaporkan dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa di kalangan kaum lelaki. Lazimnya, kanser ini membesar dengan perlahan.


Kajian bedah siasat menunjukkan bahawa ramai lelaki berumur (dan kadangkala lelaki muda juga) yang mati akibat penyakit-penyakit lain, juga menghidapi barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah semasa hayat mereka .


Menurut Pakar Radioterapi dan Onkologi, Datuk Dr. Adel Zaatar, apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah atau kencing kerap.


"Dalam pada itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras," ujarnya.


Pada peringkat akhir, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.


Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.


Tambah Dr. Adel, kanser ini boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy).


Berdasarkan prosedur ini, radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser .


Ia juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.


"Rawatan perlu dilakukan awal sebelum simptom menjadi parah. Justeru itu, pemeriksaan awal tentang kanser ini perlu dilakukan awal khususnya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas," katanya.


Dr. Adel menjelaskan, terdapat rawatan baru, Jevtana (cabazitaxel) yang digunakan bersama rawatan terapi hormon kanser prostat.


"Berbeza dengan ubat-ubat yang ada sebelum ini, ia menunjukkan kesan yang positif pada pesakit. Misalnya, pesakit lebih selesa selepas menjalani rawatan kimoterapi berbanding dahulu. Ini kerana kesan rambut gugur berkurangan dan pesakit boleh berjalan tanpa bantuan tongkat," ujar Dr. Adel.

Oleh : Datuk Dr. Adel Zaatar
Pakar Radioterapi dan Onkologi
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/