Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 28, 2012

Hidup Positif Lawan Strok

Selepas koma sembilan hari, sebelah badan kanannya tidak dapat digerakkan dan patah kata yang terbit daripada bibirnya tidak difahami. Namun, semangatnya begitu kental. Jauh di dasar sanubarinya yakin 'sebelah nyawanya' yang hilang akan dikembalikan.

"Masa depan seolah-olah gelap gelita apabila disahkan strok oleh doktor, tiada ruang lagi untuk saya meneruskan kehidupan," luah Abdul Hamid Zakaria, 53.

Menceritakan detik dirinya diserang strok, katanya, segala-galanya berpunca daripada penyakit darah tinggi yang dialaminya sejak 15 tahun lalu serta pemakanan yang tidak seimbang.

"Saya masih ingat lagi peristiwa yang berlaku kira-kira dua tahun lalu. Selepas selesai menunaikan solat Zohor, saya tiba-tiba pengsan dan tidak sedarkan diri. Doktor menjelaskan, segalanya berpunca daripada darah tinggi, kolestrol yang tinggi dan kencing manis. Sehari sebelum kejadian, saya juga tidak cukup tidur," ujarnya ketika ditemui di Pusat Rawatan eMan, G5, Kompleks Amaniah, Batu Caves, Selangor.

Penyakit strok yang dialaminya juga menyebabkan pergerakan Abdul Hamid terbatas.

"Saya berputus asa pada waktu itu. Saya sentiasa perlukan bantuan untuk berdiri dan berjalan. Saya juga tidak boleh melihat dan tak kenal orang," katanya yang turut mengalami kemurungan.

Mujurlah isteri tersayang setia di sisi. Menerusi sebuah novel, 'Jangan Bersedih' yang dihadiahkan isterinya, Abdul Hamid menyedari dia perlu berubah.

"Novel itu mengandungi kata-kata nasihat. Setiap hari isteri menggalakkan saya membacanya. Daripada novel itu saya sedar, hidup perlu ceria walaupun apa yang berlaku. Jangan pandang perkara yang lepas tetapi fikirlah apa yang akan berlaku," nasihatnya.

PositifSelepas bangkit daripada kemurungan, Abdul Hamid berusaha merawat penyakitnya.

Selain ubat-ubatan yang diberikan doktor, Abdul Hamid mencari alternatif lain seperti berurut dan sebagainya.

"Antara pusat rawatan alternatif yang saya kunjungi ialah eMan. Alhamdulillah, selepas sebulan terapi di sini, saraf semakin kuat dan sekarang saya boleh berdiri dan berjalan tanpa bantuan orang.

Badan saya berasa ringan dan tidak letih lagi. Malah berat badan saya juga telah turun dari 95 kilogram kepada 88 kilogram. Mungkin ini semua kuasa Tuhan," katanya.

Tambah Abdul Hamid, selepas disahkan strok, dia juga menjaga pemakanan.

Dia hanya makan oat, tomato, lobak, kurma, minum air tanpa gula dan minum susu.

"Saya bersyukur kerana ada keluarga yang menyokong saya. Mereka banyak membantu soal penjagaan pemakanan saya. Saya nasihatkan orang ramai supaya makan mengikut Sunnah Nabi dan jangan terlampau kenyang. Bagi anda yang kuat bekerja, jangan stres tetapi hiduplah dalam suasana ceria," ujarnya.

Kisah Abdul Hamid menyedarkan kita tentang serangan angin ahmar atau strok, menyerang tanpa mengenal usia atau masa.

Serangan mengakibatkan mangsa menjadi lumpuh separuh badan, terjejas pertuturan atau lebih teruk hilang daya ingatan dan seolah-olah tidak ada harapan untuk dipulihkan.

Selalunya mangsa menghadapi tekanan perasaan, rendah diri, cepat marah dan sensitif kerana terpaksa bergantung kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan.

Namun, sikap yang positif, tidak berputus asa, mengubah gaya hidup, sokongan keluarga dan berusaha mencari rawatan terbaik membuktikan bahawa pesakit strok boleh hidup ceria seperti orang lain.



Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, March 24, 2012

Sengsara Akibat Diabetes

Sejak tiga bulan kebelakangan ini Ahmad Hashim, seorang penghidap diabetes berumur 55 tahun kerap mengalami kehilangan rasa dan kekebasan di tangan dan kakinya. Perkara ini boleh berlaku pada bila-bila masa setiap hari. Puan Salmah, berumur dalam lingkungan empat puluhan pula kerap kali merasai seolah-olah kakinya panas seperti api. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku atau mengapa dia mengalami keadaan ini. Seorang lagi penghidap diabetes, Johan Rais mengalami rasa berdenyut dan menjengkelkan di bahagian tangan dan kaki sejak setahun lalu.

Diabetes ialah penyebab paling biasa masalah saraf seperti ini. Jangan anda sekali-kali mengabaikan tanda kerosakan saraf yang disebabkan oleh paras gula darah yang tinggi.

Cara yang terbaik untuk mempastikan dan mencegah diabetes daripada menjadi tidak terkawal ialah mengambil ujian paras gula dalam darah secara berterusan. Daripada keputusan ujian ini anda dapat melakukan perubahan terhadap gaya hidup dan tabiat pemakanan. Jika hasil ujian itu menunjukkan paras dalam gula darah anda lebih tinggi daripada normal, ia menunjukkan pra-diabetes atau diabetes. Diabetes juga menyerang dalam senyap. Lebih lima puluh peratus penghidap diabetes tidak menyedari mereka menghidapi penyakit tersebut; ia merupakan salah satu penyebab utama kematian yang disebabkan oleh sesuatu penyakit di Malaysia.

Ramai orang buat pertama kalinya sedar mereka mempunyai masalah paras gula dalam darah yang tinggi sebaik sahaja mula mengalami kerosakan saraf atau salah satu komplikasi yang mengancam nyawa, seperti pemotongan kaki, kebutaan, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan strok.

Sekiranya berat badan anda berlebihan atau badan anda terlampau gemuk, ini boleh mempercepatkan kemunculan komplikasi diabetes. Diabetes dan segala komplikasinya boleh berlaku pada semua peringkat umur, tidak kira bangsa dan kumpulan etnik.

Menurut Kajian Kesihatan Nasional dan Mobiditi 2006 (National Health and Morbidity Survey 2006), yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, seorang daripada tujuh warga Malaysia menghidapi diabetes. Namun, ini mungkin hanya satu petanda kecil sahaja bagi suatu masalah yang lebih besar. Ramai pakar yang terkemuka dalam masyarakat perubatan dan nutrisi di Malaysia kini mempercayai diabetes menimpa sejumlah besar penduduk; iaitu sehingga sebanyak 22 peratus daripada jumlah populasi negara ini. Ini bermakna seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia adalah penghidap diabetes. Satu fakta yang sangat menakutkan.

Pemotongan anggotaPemotongan anggota merupakan satu kemungkinan besar komplikasi neuropati yang serius. Diabetes ialah salah satu penyebab utama pemotongan bahagian bawah kaki di seluruh dunia sehingga sebanyak 50 peratus daripada semua pemotongan. Risiko pemotongan kaki adalah 27.7 kali ganda lebih tinggi bagi orang yang menghidapi diabetes.

RawatanMenurunkan paras gula darah kepada paras normal adalah langkah rawatan yang pertama untuk mencegah kerosakan saraf daripada berterusan. Pemantauan paras gula dalam darah secara kerap, merancang pemakanan, kegiatan fizikal, mengambil ubat atau insulin, akan membantu mengawal paras glukosa dalam darah. Ini mungkin mengambil masa, tetapi umumnya gejala itu akan berkurangan apabila pengawalan glukosa dilakukan dengan baik. Pengawalan yang baik juga membantu mencegah atau melambatkan kemunculan masalah selanjutnya.

Para saintis Jepun kini telah mendapati saraf yang rosak boleh dipulihkan semula dengan mengambil sejenis suplemen yang mudah, dikenali sebagai "mecobalamin" atau "methylcobalamin", iaitu bentuk vitamin B12 yang aktif. Dalam pada itu, mecobalamin merupakan bentuk Vitamin B12 yang aktif dari segi neurologi. Dengan adanya mecobalamin, hepar tidak perlu lagi menukarkan bentuk vitamin B12 yang tidak aktif (cyanocobalamin) kepada mecobalamin, kerana ia sudah pun aktif dari segi oral. Mecobalamin melindungi daripada penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui mekanisme unik yang berbeza daripada terapi semasa. Sesetengah gangguan yang mungkin dapat dicegah atau dirawat dengan menggunakan terapi vitamin semula jadi ini termasuklah neuropati periferal. Ambil satu kapsul yang mengandungi 500 mcg tiga kali sehari untuk menggalakkan pertumbuhan saraf yang sihat dan melindungi daripada proses kemerosotan sistem saraf.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, March 20, 2012

Senaman Cantikkan Pinggul


Semua wanita pasti mahukan bentuk badan yang menarik bagi meningkatkan keyakinan diri. Salah satu bahagian badan yang penting adalah pinggul kerana bentuk yang lebar sememangnya tidak menarik.

Bagi mendapatkan pinggul yang cantik dan menarik, anda boleh cuba amalkan senaman menggunakan bola seperti di sebelah sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

Sebaik-baiknya amalkan setiap hari secara konsisten dan pilihlah masa yang sesuai, asalkan anda melakukannya. Selamat bersenam!


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, March 16, 2012

Kristal Bantu Pecah Lemak

Sejak beribu tahun dulu bentuk badan ideal digambarkan sebagai memiliki potongan yang sempurna dan tidak gemuk.

Namun dengan gaya hidup dan pemakanan yang sukar dikawal ramai wanita kini berhadapan dengan kegemukan.

Paling menyedihkan walau pelbagai usaha telah dilakukan seperti bersenam dan mengawal makan, berat badan masih tidak berubah.

Ini kerana ada lelemak degil yang bukan senang untuk dihapuskan hanya dengan melakukan senaman. Pembedahan plastik atau sedut lemak memang menawarkan keputusan serta-merta, namun ia berisiko tinggi.

Dengan kecanggihan teknologi dan kajian yang terbukti berkesan, MCU Beautitudes memperkenalkan Coolsclupting by Zeltiq sebagai satu penyelesaian yang berkesan untuk masalah kegemukan.

Bagi memperkenalkan teknik terbaru yang selamat dan berkesan ini, Mary Chia, pakar kecantikan yang juga pengasas Mary Chia Holdings Limited mempertaruhkan pengalamannya serta ilmu terkini dalam bidang pengurusan berat badan.

Mary Chia memahami apa yang menjadi keutamaan wanita hari ini dan kemahuan mereka terhadap prosedur tidak invasif.

"Sepanjang saya terlibat dalam bidang kecantikan ini saya sudah melihat pelbagai tanggapan tentang bagaimana bentuk badan ideal dan pilihan bagi tiap wanita. Pada tahun 70-an hingga 80-an wanita mahukan bentuk badan seperti atlet dan menjelang 90-an pula mereka mahu lebih langsing seperti peragawati, tapi kini wanita mahukan bentuk tubuh yang 'berbentuk'," kongsi Mary Chia.

Tambah Chia lagi, wanita kini lebih realistik dan pendapat mereka tentang cantik mempunyai keseimbangan.

"Wanita hari ini meletakkan kesihatan dan bentuk tubuh sebagai keutamaan. Mereka bukan saja mahukan kulit yang licin sempurna dan kelihatan muda, malah mereka mahukan tubuh badan yang sihat, bentuk tubuh seperti jam pasir namun yang menjadi masalah ialah lemak degil yang ada pada bahagian tertentu yang sukar dihapuskan," katanya merujuk kepada lemak yang terdapat di bahagian perut, menggeleber dan penuh selulit.

Memang ramai yang mahu mengubah cara hidup mereka ke arah yang lebih baik dengan bersenam dan jaga pemakanan namun usaha tersebut dilihat sebagai satu usaha jangka panjang dan memerlukan komitmen yang tinggi.

"Sebab itu ramai yang memilih untuk menjalani prosedur sedut lemak dan ada juga yang sanggup membeli ubatan herba serta ubatan yang didakwa boleh mengurangkan berat badan.

"Inovasi yang dibawakan oleh MCU Beautitudes ini adalah satu prosedur tanpa invasif yang memberikan kesan pengurangan lemak secara kekal. I

"novasi ini dihasilkan di Amerika Syarikat (AS) dan juga mendapat kelulusan dari FDA, teknologi ini telah dibangunkan oleh Dr. Dieter Manstein dan Dr. R. Rox Anderson yang keduanya merupakan saintis di University Harvard," katanya.

Untuk menambahkan lagi keyakinan pelanggan, Mary Chia mendapatkan perkhidmatan pakar estetik, Dr. Nicholas Lim yang akan memberikan nasihat dan perkhidmatan kepada pelanggan MCU Beautitudes.

"Saya tahu bahawa bentuk badan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan setiap wanita, Coolsculpting by Zeltiq adalah pilihan terbaik yang kami tawarkan", kata Dr. Nicholas.

Kaedah tersebut menggunakan Cryolipolysis satu prosedur perubatan yang mematikan sel kegemukan secara kekal.

Ia memang ringkas, dan prosedur ini hanya membabitkan bahagian yang bermasalah sahaja.

Dr. Nicholas berkata, sel kristal yang digunakan dalam teknik ini akan secara perlahan-lahan memecahkan sel lemak tersebut dan mengeluarkannya dari tubuh.

Dalam masa yang singkat, sel lemak itu akan dipindahkan dan pelanggan pasti akan menyedari keadaan tersebut.

Dengan menggunakan teknik kawalan dan sasaran bentuk tubuh anda akan menjadi seperti diidamkan.

"Pelanggan tidak perlu takut akan pisau pembedahan, menerusi prosedur ini tiada ada istilah seperti masa pemulihan malah pelanggan boleh terus memulakan aktiviti harian mereka sebaik sahaja selesai rawatan," ujar Dr. Nicholas.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, March 12, 2012

CPR Untuk Kecemasan

Sejak kebelakangan ini terdapat banyak kes mengenai kematian bayi dan kanak-kanak akibat lemas tersedak susu, sesak nafas dan sebagainya.

Kejadian malang ini sebenarnya mampu dielak jika setiap ahli masyarakat mengetahui sekurang-kurangnya langkah asas pertolongan cemas.

Ketika berdepan dengan situasi ini, sememangnya langkah pertama yang patut dilakukan adalah dengan menghubungi pihak bantuan perubatan.

Namun sementara menunggu bantuan, bagi mereka yang mempunyai pengetahuan asas mengenai pertolongan cemas mungkin boleh memulakan bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR).

CPR ialah satu teknik untuk menyelamatkan nyawa yang digunakan ketika kecemasan apabila mangsa tidak bernafas dan nadi mangsa sudah tidak berdenyut.

Doktor Perubatan Kumpulan Klinik Medijaya, Dr. Chan Jian-Chyi berkata, perkara ini harus dititikberatkan oleh masyarakat supaya bertindak dengan cepat sekiranya berlaku situasi kecemasan.

"Bantuan CPR merupakan kombinasi bantuan pernafasan dan penekanan dada di bahagian luar dengan memberi nafas untuk mangsa dalam memastikan darah mangsa dan oksigen masih lagi dibekalkan ke seluruh tubuh terutamanya bahagian otak.

"Penyelamat boleh membantu mangsa untuk terus hidup sehingga bantuan perubatan tiba. Jika CPR tidak dilaksanakan, peluang mangsa untuk terus hidup akan menurun dengan banyaknya selepas lima minit pertama.

"Masyarakat harus mempelajari dan mengetahui cara-cara untuk memberi bantuan CPR ini. Jika tiada ilmu tentang perkara ini amatlah dikesali jika bantuan diperlukan kelak.

"Pengetahuan mengenai CPR amat penting kerana keadaan kecemasan ini boleh berlaku pada sesiapa, bila-bila masa dan di mana saja.

"Itulah sebabnya kita perlu sentiasa bersedia dan setiap keluarga seharusnya tahu melakukan CPR.

"Terdapat dua langkah bantuan CPR untuk dewasa dan kanak-kanak boleh dilaksanakan. Cuma terdapat sedikit sahaja perbezaan di antaranya," jelasnya ketika ditemui di Klinik Medijaya, Centro Klang.

Menurutnya, kaedah bantuan CPR akan berlaku perubahan dan akan dikaji semula dari semasa ke semasa dan orang ramai perlu memastikan ilmu CPR tersebut dilakukan mengikut cara yang terbaru.

"CPR merangkumi tiga kemahiran penyelamat asas ataupun disebutkan ABC, saluran pernafasan (airway), pernafasan (breathing) dan edaran darah (circulation).

"Mengenai bantuan CPR pada bayi yang berumur kurang satu tahun, perkara pertama jangan panik dan anda perlu bertenang.

"Seterusnya hubungi atau meminta bantuan secepat mungkin, kemudian cuba untuk mendapatkan mangsa supaya bertindak balas seperti menggerakkan tubuhnya dan sentuh denyutan nadi, jika tiada, baringkan mangsa

"Selepas itu, mulakan tekanan pada dada. Untuk bayi gunakan dua jari sahaja untuk menekan dadanya sekurang-kurangnya 1.5 inci pada bayi dengan 30 tekanan," ujarnya.

Setelah itu, tambah Dr.Chan, bantuan CPR diteruskan dengan memberi hembusan nafas kepada mangsa dengan melakukan pernafasan mulut ke mulut, pastikan mulut penyelamat menutupi mulut dan hidung bayi sepenuhnya apabila memberi hembusan nafas.

Akhir sekali, ulangi dengan dua hembusan nafas dan 30 tekanan sehingga bantuan perubatan tiba.

Walau bagaimanapun, Dr.Chan menasihatkan supaya melakukannya dengan berhati-hati supaya komplikasi lain tidak berlaku.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, March 08, 2012

Fokus Pelajaran Elak Ketagih Onani

SOALAN:

Salam doktor, saya remaja berumur 19 tahun. Saya ingin bertanya, adakah apabila kita beronani haid kita akan terganggu? Apakah keburukan beronani selain haid terganggu? Ini kerana kitaran haid saya tidak teratur, saya takut kesannya pada masa akan datang. Saya harap doktor sudi bantu.


Remaja Ingin Tahu.

JAWAPAN:

Terima kasih kepada adik yang sudi mengutarakan soalan yang menarik ini. Sangkaan berkaitan onani menyebabkan kitaran haid terganggu adalah tidak tepat.

Onani atau juga dikenali sebagai masturbasi (melancap), adalah rangsangan seksual yang sengaja dilakukan pada organ kelamin untuk memperoleh kenikmatan dan kepuasan seksual. Rangsangan ini dapat dilakukan tanpa alat bantu ataupun menggunakan sesuatu objek atau alat, atau kedua-duanya. Cara-caranya adalah dengan menyentuh, menggosok dan meraba bahagian tubuh sendiri yang peka sehingga menimbulkan rasa menyenangkan untuk mendapat kepuasan seksual (orgasma) baik tanpa menggunakan alat mahupun menggunakan alat.

Perbuatan onani dalam kalangan wanita jarang dibincangkan. Mungkin kerana ia suatu tabu, walaupun mungkin perbuatan ini kerap diamalkan terutama oleh golongan remaja masa kini. Perbuatan onani kebiasaannya berpunca daripada perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru. Amalan onani sejak sekian lama boleh memberikan kesan kepada hubungan seks yang normal. Lebih teruk lagi sekiranya onani dilakukan menggunakan cara yang ekstrem.

Berbeza

Onani sememangnya berbeza dengan hubungan seks yang normal kerana ia tidak perlu memberikan pertimbangan kepada pasangan masing-masing, malah melakukannya untuk kepuasan diri sendiri semata-mata.

Hubungan seks yang normal memerlukan perasaan bertimbang rasa serta mementingkan keselesaan di samping menghormati keinginan pasangan. Sekiranya sesuatu perbuatan tidak dapat memenuhi harapan pasangan, tentunya ia boleh menjejaskan kualiti hubungan seksual tersebut.

Onani yang dilakukan secara ekstrem juga akan memberikan tekanan berlebihan kepada alat kelamin yang boleh memberi kecederaan kepada saraf. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang beronani menjejaskan kenikmatan hubungan seksual setelah berkahwin kelak.

Amat baik jika adik dapat mengelak daripada meneruskan tabiat onani ini walaupun ia bukanlah penyebab haid yang tidak teratur.Haid normal adalah yang terjadi selama beberapa hari sehingga lebih kurang seminggu lamanya bagi setiap satu kitaran. Pusingan haid yang tidak teratur dialami lebih daripada 35 hari.

Ada sesetengah wanita haidnya datang dua atau tiga bulan sekali dalam setahun. Keadaan ini disebabkan oleh gangguan hormon dan wanita yang mengalami masalah ini adalah kurang subur kerana tidak mengeluarkan ovum (telur).

Punca lain

Terdapat pelbagai penyebab haid yang tidak teratur iaitu; senaman yang melampau biasanya berlaku dalam kalangan ahli sukan atau atlet, kekurangan atau berlebihan berat badan (tidak mempunyai berat badan yang ideal), mengalami tekanan perasaan yang teruk dan gangguan emosi, pengambilan pelbagai jenis ubatan, kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga dan gangguan hormon lain seperti masalah pada kelenjar tiroid.

Masalah kitaran haid yang tidak teratur yang agak kerap dialami wanita adalah juga disebabkan oleh sindrom ovari polisistik ('Polycystic Ovarian Syndrome'- PCOS). Tanda paling ketara yang dialami oleh wanita yang menghidap PCOS adalah kedatangan haid yang tidak teratur, biasanya lambat datang haid dan kadang-kadang jaraknya menjadi begitu jauh sehingga tiga ke enam bulan. Terdapat juga sebahagian wanita yang tidak mengalami haid dalam masa setahun.

Ada juga wanita yang menghidap PCOS mengalami perdarahan yang berpanjangan sampai 15 hingga 30 hari tanpa henti. Gejala ini dikenal sebagai 'polimenorea', iaitu haid yang tidak tetap dan biasanya dialami tiga atau enam bulan sekali dan kadang-kadang berpanjangan.

Ketidakseimbangan hormon menyebabkan sel teka dalam ovari menebal. Keadaan ini mengakibatkan folikel matang tidak dapat dihasilkan. Kesan ini membantutkan pengovulan (tidak bertelur) dan menyebabkan haid menjadi tidak teratur.

Kadang-kadang keadaan ini juga menyebabkan dinding rahim menebal tidak seperti wanita normal disebabkan rangsangan hormon androgen yang berterusan pada penghidap PCOS.

Masalah kitaran haid yang tidak teratur yang berpanjangan mungkin boleh menjejaskan tahap kesuburan seseorang wanita jika dibiarkan.

Saya nasihatkan agar adik berhenti daripada mengamalkan onani yang banyak memberi kesan negatif kepada remaja. Fokuskan pemikiran dan pelajaran adik sepenuhnya sebagai seorang pelajar atau siswa di institusi pengajian tinggi yang akan menjamin masa depan.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, March 04, 2012

Asia Ketinggalan Vaksin Menyeluruh

Pada 2006, Chan Li Jin menyertai satu sidang media mengenai penyakit pneumokokal. Sebagai wartawan kesihatan dan juga pengasas bersama Parenting2u.com, hatinya tersentuh apabila seorang bapa menceritakan bagaimana anaknya berusia empat tahun meninggal dunia kerana dijangkiti pneumonia pneumokokal (paru-paru bengkak).

"Anak dia sakit teruk. Dia pergi berubat tetapi keadaan telah kronik. Akhirnya, anaknya meninggal dunia dan dia terpaksa menanggung hutang hospital lebih RM40,000," katanya yang bersetuju program pelalian kebangsaan dikemas kini termasuk menambah vaksin pneumokokal.

Ini juga menjadi sebab utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pelalian sebagai salah satu intervensi kesihatan paling berjaya dan menjimatkan kos.

Ia dapat mencegah penyakit serius, kehilangan upaya dan kematian yang berpunca daripada penyakit boleh dicegah dengan vaksin seperti difteria, hepatitis A dan B, campak, polio, rotavirus dan tetanus.

WHO juga menyifatkan pemvaksinan sebagai satu pelaburan penting bagi semua negara, untuk melindungi semua orang, daripada bayi kepada warga emas.

Di samping itu, manfaat pelalian diperluas kepada remaja dan orang dewasa untuk memberikan perlindungan daripada penyakit yang mengancam nyawa seperti influenza, meningitis dan kanser yang menular dalam kalangan orang dewasa.

Satu daripada penyakit bahaya yang boleh dicegah dengan pemvaksinan adalah pneumokokal.

Menurut WHO, penyakit ini adalah satu bebanan kesihatan yang memerlukan perhatian segera dan disifatkan sebagai satu daripada penyakit di dunia yang boleh dicegah dengan vaksin.

Menurut pakar penyakit berjangkit pediatrik dan profesor pediatrik, Dr. Adriano Arguedas, selain Afrika, Asia menanggung beban penyakit pneumokokal paling besar di dunia.

"Hanya sebilangan kecil negara di Asia menyedari kesan serius penyakit ini dan disebabkan kekurangan data yang dikumpulkan di rantau ini, kami tidak dapat menonjolkan kesan penyakit serius ini.

"Tiada cara lain untuk menangani ancaman ini; kunci kejayaan dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit pediatrik adalah pemvaksinan menyeluruh. Kita telah melihat kejayaan menghapuskan polio, cacar dan rubela menerusi pemvaksinan," tambahnya.

Di Malaysia, 70 hingga 80 peratus kanak-kanak tidak dilindungi daripada pneumokokal kerana vaksin ini disenaraikan sebagai 'opsyenal' (tidak wajib) dalam Program Pelalian Kebangsaan (NIP).

Kebanyakan daripada segelintir kecil kanak-kanak yang mendapat vaksin menentang pneumokokal adalah daripada sektor swasta.

Ini menandakan kebanyakan kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat perlindungan daripada penyakit ini.

"Tekanan emosi yang dilalui oleh ibu bapa apabila anak-anak mereka diserang pneumokokal dan beban kewangan yang ditanggung oleh sistem penjagaan kesihatan negara adalah berat.

" Sebagai negara yang sedang pesat membangun, Malaysia perlu memastikan sistem penjagaan kesihatannya mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh WHO," kata Li Jin.

Justeru tegas Li Jin, tumpuan hendaklah diberikan kepada usaha menyediakan sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia untuk semua.

"Peluang yang sama akan memastikan penduduk bandar dan luar bandar mendapat pemvaksinan untuk anak-anak mereka menentang pneumokokal," tambahnya.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/