Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, February 29, 2012

Sokongan Terhadap Pesakit MS

Sebagai pesakit dan juga Presiden Persatuan Sklerosis Berbilang Malaysia, Padma Panikker mengakui hidup dengan penyakit sklerosis berbilang (MS) membawa cabaran berbeza pada setiap hari.

Katanya, MS menjadikan dirinya lebih kuat dan memberi motivasi untuk membantu orang lain yang mengalami MS.

"Saya ingin menyumbang usaha untuk meningkatkan kesedaran ke atas MS dan melebarkan rangkaian pesakit. Berdasarkan pengalaman sendiri, saya sedar betapa pentingnya memberi sokongan kepada pesakit sama ada secara fizikal, kewangan mahupun emosi. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi dan penyokong kami kerana membantu mencapai matlamat ini," ujarnya.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit dan sokongan pesakit MS, Persatuan Sklerosis Berbilang Malaysia, disokong oleh Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd., menganjurkan acara jalan kaki untuk kebajikan "I Walk for MS" pada 20 Mei lalu.

Acara ini adalah kemuncak kempen "A Wake of Hope" yang dijalankan bersempena Hari MS Sedunia pada 30 Mei setiap tahun.

Acara jalan kaki sejauh 2.5 kilometer yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur menyaksikan model antarabangsa, Amber Chia melepaskan bendera kepada lebih 300 peserta yang terdiri daripada pesakit MS dan pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya gembira melihat orang ramai menyokong kempen MS. Harapan saya agar masyarakat lebih menyedari tentang MS dan terus menyebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan serta ahli keluarga mereka untuk menggalakkan saringan awal. Saya juga akan melakukan perkara yang sama," terang Amber.

MS adalah penyakit autoimun yang menyerang sistem saraf utama - otak, saraf tunjang dan gentian saraf ke mata.

Gangguan autoimun berlaku apabila sistem imunisasi seseorang, yang biasanya melindungi tubuh, menyerang dan memusnahkan tisu sihat dalam tubuh. Dianggarkan seramai satu hingga 2.5 juta penduduk dunia menderita penyakit ini.

Wanita, dua hingga tiga kali lebih ramai didiagnosis dengan MS berbanding lelaki.

Di Malaysia, kekerapan MS adalah dua bagi setiap 100,000 penduduk , iaitu hanya 60 peratus didiagnosis dan dirawat .



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, February 25, 2012

Rokok Punca Penyakit Kronik

Bercerita mengenai rokok, kita tentu terbayang banyak jenama rokok di pasaran memandangkan setiap negara mempunyai jenama sendiri.

Mengimbau iklan rokok Malboro Man - lelaki berpakaian koboi dengan sebatang rokok di tangan menunjukkan 'kehebatan'.

Tapi tidak ramai tahu tiga lelaki yang terlibat dalam iklan Malboro Man - Wayne McLaren, David McLean dan Dick Hammer meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Budaya merokok dibawa ke Eropah pada abad ke-16, kemudian menjadi kebiasaan dalam kalangan bangsawan.

Di Amerika Syarikat pula, puak Red Indian merokok untuk acara pemujaan dan bukan menunjukkan kehebatan.

Walau untuk tujuan apa pun, hakikatnya merokok menimbulkan banyak masalah bukan saja dari segi kesihatan bahkan kehidupan sosial.

Kajian saintifik menunjukkan terdapat begitu banyak bahan kimia berbahaya terkandung di dalam rokok.

Daripada nikotin, tar, sianida, benzena, cadmium, metanol, asetilena, amonia, formaldehid, hidrogen sianida, arsenik sehinggalah karbon monoksida.

Nikotin mungkin menyebabkan perokok merasa tenang namun tar mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dengan 60 daripadanya bersifat karsinogen iaitu pencetus kanser.

Karbon monoksida pula sejenis gas berbahaya yang jika disedut dengan banyak boleh mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke tisu-tisu dan menyebabkan sukar bernafas dan cepat letih.

Aceton dan toluidine - yang juga terdapat dalam rokok pula biasanya digunakan masing-masing sebagai penanggal cat dan pelarut industri antaranya terdapat dalam pencuci lantai.

RoketMetanol pula terdapat dalam bahan api roket; napthalene adalah ubat gegat; DDT ubat pembunuh serangga manakala butane biasa digunakan dalam pemetik api.

Menurut Pakar Runding Perubatan, Pusat Perubatan Taman Desa, Datuk Dr. G. Selvaraju, kanser pertama kali dikaitkan dengan merokok pada 1964.

"Bagaimanapun mekanisme sebenar mengaitkan merokok dan kanser masih belum diketahui," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, nikotin dan tar yang terdapat dalam rokok adalah faktor yang mengganggu fungsi paru-paru.

Biasanya, apabila pesakit didiagnosis dengan kanser paru-paru, masanya sudah terlambat kerana penyakit telah sampai ke peringkat serius.

"Ubatnya mudah. Jauhi rokok, arak dan jaga pemakanan.

"Penyakit menjadi kronik jika seseorang itu merokok dan mengambil pula alkohol serta tidak menjaga pemakanan," kata Dr. Selvaraju yang masih sihat biarpun sudah berusia lebih 70 tahun. Mengikut anggaran, 20 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia adalah perokok.

Tambah Dr. Selvaraju, semasa usia remajanya sekitar 1950-an amat sukar melihat orang menghisap rokok kerana ia bukan budaya Asia.

"Tetapi sekarang saya lihat kadangkala satu keluarga menghisap rokok," katanya kesal.

Dalam hal ini, beliau menyalahkan iklan sebagai penyebab remaja terdedah dengan budaya merokok.

"Biasanya perokok yang merokok lebih 15 tahun, kelihatan normal semasa ujian kesihatan kerana sel kanser tidak kelihatan.

Ini kerana apabila berlaku 'kesilapan' dalam badan, tubuh masih boleh bertahan sehingga 80 peratus.

"Selepas tahap itu, barulah badan bertindakbalas menyebabkan pengesanan terlewat," katanya.

Menurutnya, seorang pesakitnya yang pernah dinasihatkan agar berhenti merokok datang semula kepadanya selepas 15 tahun kerana batuk berpanjangan, kahak berdarah dan berat badan menyusut.

"Dia didiagnosis kanser paru-paru pada peringkat lewat.

"Tiada apa yang boleh dilakukan selain kemoterapi dan pembedahan di samping menjaga kesihatan kerana sistem badan tidak lagi berfungsi seperti biasa," katanya.

RadangDr. Selvaraju berkata, majoriti perokok menghidap radang paru-paru atau bronkitis menyebabkan sesak nafas dan batuk berpanjangan.

Apa yang menyedihkan, perokok pasif atau mereka yang tidak merokok tetapi dikelilingi perokok - juga boleh mendapat kanser kerana sering menghidu asap rokok.

"Sebenarnya lebih bahaya dikelilingi oleh perokok berbanding anda sendiri yang menjadi perokok," katanya.

Bagi perokok aktif, menurut beliau, kesannya akan dirasai mereka biasanya selepas 15 tahun. "Mereka akan terdedah kepada lebih 20 penyakit kronik yang terdiri daripada pelbagai jenis kanser antaranya pundi kencing, perut, usus dan rahim, mulut, esofagus, tekak, pankreas, payudara dan paru-paru.

"Mereka juga mudah mendapat penyakit berkaitan saluran pernafasan, strok, osteoporosis, jantung dan mandul," ujarnya.

Bagi perokok wanita pula, mereka mungkin mengalami putus haid awal, melahirkan bayi cacat, keguguran, bronkitis, batuk, ulser peptik, otot lemah, penyakit gusi dan kerosakan mata.

Menurut Dr. Selvaraju, perokok pasif atau mereka yang dikelilingi perokok aktif terdedah kepada risiko kanser paru-paru dan penyakit jantung, masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis, sakit atau pedih mata, bersin dan batuk-batuk, sakit kerongkong dan sakit kepala.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, February 21, 2012

Tekanan Berhutang

Berhutang tidak salah, tetapi apabila ia di luar kawalan boleh menyebabkan tekanan perasaan, serangan penyakit jantung atau pergolakan rumah tangga. Ia juga boleh membuat seseorang membunuh diri.

Orang yang berhutang dianggap sebagai bermasalah sekiranya gagal membayar ansuran bulanan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Secara psikologi apabila seseorang melihat jumlah hutang di dalam penyata banknya semakin bertambah, satu isyarat 'bahaya' akan dihantar ke otak.

Ini akan menyebabkan gejala kerisauan. Si berhutang mulai mengira sama ada mempunyai wang yang cukup untuk membayar tunggakan hutang sewa beli atau pinjaman tersebut.

Kerisauan juga menyebabkan gangguan tidur. Orang yang banyak berhutang sukar melelapkan mata di malam hari kerana ingatan mereka lebih tertumpu kepada pelbagai komplikasi hutang.

Isu berkenaan wang ringgit sangat sensitif di rumah. Mereka mudah naik angin dan adakala memarahi anak atau isteri yang meminta duit belanja.

Bagaimanapun orang seperti ini biasanya masih waras dan akan menyesal keesokan hari apabila melihat anak telah pun pergi ke sekolah tanpa bersarapan atau membawa duit belanja.

Di tempat kerja pula, mereka gagal memberikan tumpuan dan sibuk dengan pelbagai aktiviti luar skop kerja seperti jualan langsung untuk menambahkan pendapatan sampingan.

Tunggakan hutang boleh menyebabkan seseorang dihantui perasaan takut. Mereka tidak menjawab panggilan telefon atau membuka surat kerana takut ia daripada syarikat pemungut hutang atau pejabat peguam.

Bagi peminjam ah long mereka tidak akan membuka pintu rumah apabila diketuk kerana takutkan pelbagai ancaman dan ugutan.

Semasa memandu pula, mereka takut sekiranya kenderaan mereka ditarik.

Masalah kemurungan kebanyakannya berlaku apabila ikhtiar terakhir mereka untuk mendapatkan wang musnah.

Ia termasuk mendapatkan wang dengan cara yang tidak betul. Mereka putus asa terhadap kehidupan dan hanya melihat kematian sebagai jalan penyelesaian.

Bagi yang tidak mempunyai polisi insurans nyawa mereka tergamak membunuh anak dan isteri bersama.

Panduan psikologi menguruskan hutang

Langkah pertama, analisis jumlah hutang, komitmen bulanan dan bandingkan dengan pendapatan anda. Lihat berapa yang kurang. Maafkan diri atas sebarang kesilapan yang menyebabkan anda berhutang. Jangan bersedih kerana ada ramai lagi orang seperti anda yang mempunyai masalah serupa.

Peruntukkan satu hari dalam sebulan untuk membuka semua surat penyata hutang anda. Tetapkan keazaman yang anda akan selesaikan semua hutang tersebut satu hari nanti. Percayalah apabila anda melihat jumlah hutang semakin berkurang, anda akan merasa gembira kerana ia adalah bukti kejayaan. Anggaplah ia satu saat indah yang perlu berlaku pada setiap bulan.

Kurangkan pemiutang anda. Anda mungkin berhutang kepada sepuluh buah bank pada satu masa. Pilih jumlah yang paling kecil dan bayar sepenuhnya. Anda akan merasa lebih selesa kerana jumlah pengutip hutang yang akan menghubungi anda semakin berkurang.

Atur semula sewa beli dan pinjaman. Utamakan pinjaman yang mempunyai kadar faedah paling tinggi. Berbincang dengan pihak bank berkenaan pembiayaan semula atau pembayaran separuh.

Perbetulkan perbelanjaan mengikut kemampuan. Jangan berbelanja untuk bermegah. Orang mungkin memuji, tetapi pujian tersebut tidak bermakna sekiranya anda terseksa untuk membayar ansuran bulanannya. Utamakan dahulu keperluan asas seperti makanan, bil utiliti rumah dan yuran sekolah anak-anak.

Berterus-terang dengan keluarga tentang masalah kewangan dan langkah berjimat cermat. Tidak ada salahnya walaupun anak kecil anda menawarkan duit syiling mereka untuk membantu. Ia menunjukkan pemahaman dan boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Banyakkan masa di rumah kerana ia boleh mengurangkan perbelanjaan di luar.

Jangan percaya dengan kaedah pantas mendapatkan wang seperti pinjaman ah long, skim cepat kaya atau judi kerana ia terbukti memudaratkan. Jangan melabur dalam sesuatu yang tidak pasti.

Apabila anda gagal menguruskan sendiri, jangan malu mendapatkan bantuan luar. Anda boleh berhubung dengan perunding hutang di bank atau agensi pengurusan kredit yang tidak berasaskan keuntungan untuk mengurangkan kadar faedah atau mengumpul kesemua komitmen bulanan dalam satu bayaran.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, February 17, 2012

Fruktos, Hormon dan Obesiti

Pastinya ramai yang tertanya-tanya apa kaitan antara fruktos, hormon dan obesiti atau kegemukan.

Tentu juga ramai yang kurang arif tentang apa itu fruktos. Fruktos atau fruktosa adalah gula tiruan yang dihasil menggantikan gula asli.

Disebabkan lebih murah, ia digunakan dengan meluas sebagai pemanis terutama dalam pembuatan roti, biskut, minuman dalam tin bahkan menjadi gula utama dalam industri makanan.

Ia yang diproses melalui ekstrak jagung berbeza dari glukosa yang merupakan gula penting bagi kegunaan sel. Fruktosa langsung tidak diperlukan oleh sel kita.

Apa pula kaitannya dengan hormon dan obesiti? Disebabkan tidak ada keperluan dalam badan, fruktosa diproses menjadi lemak trigliserida yang berbahaya dan asid urik yang menjejaskan kesihatan.

Fruktosa juga merosakkan hormon dengan cara mengeluarkan protein perosak hormon. Hormon yang rosak tidak mampu berfungsi memproses gula dan lemak kepada tenaga. Sebab itu tubuh kekal gemuk walaupun puas berdiet. Bagi kebanyakan kes obesiti, ia berpunca daripada pengambilan fruktosa dalam pemakanan seharian.

Di sini disertakan contoh-contoh kes obesiti degil yang dialami oleh masyarakat kita hari ini. Ia menunjukkan betapa sukarnya mengatasi masalah ini.

Ramai yang tidak sedar, mereka gagal kurus walaupun telah mencuba pelbagai kaedah rawatan dan diet kerana sistem pembakar lemak dalam tubuh sudah rosak.

Menurut pengamal perubatan estetik, Dr. Rushmini Maris Ismail, satu cara untuk mengatasi obesiti degil ialah dengan menghentikan pengambilan fruktosa. Cara itu katanya, membolehkan peningkatan enzim dan hormon bioidentikal yang menjadikan lemak mudah pecah.

Apabila seseorang mengawal makan atau berpuasa, tubuh akan membakar makanan yang tersimpan iaitu glycogen dalam otot dan hati.

Sekilogram glycogen akan membawa bersamanya empat kilogram air. Maka berat yang hilang ialah berat air dan glycogen. Apabila diet berhenti glycogen akan terhasil semula. Akibatnya, dalam keadaan enzim yang rosak tubuh akan memproses lemak lebih banyak.

Maka berat badan bukan ukuran tepat pemecahan lemak. Yang terbaik ialah mengukur saiz tubuh atau mengambil gambar dari semasa ke semasa.

Masalah obesiti dari zaman kanak-kanak berpunca dari paras hormon dan enzim yang rendah sememangnya boleh dipulihkan.

Pengambilan pil kurus pula biasanya akan mengganggu fungsi hormon dan enzim.

"Ia cuma merangsang kelenjar adrenal menjadikan seseorang kurus pada peringkat awal. Namun akhirnya merosakkan sama sekali kelenjar adrenal. Keadaan itu menyebabkan seseorang itu lemah dan lesu.

"Sebab itu cara penting untuk mengatasi obesiti degil ialah dengan meningkatkan fungsi hormon dan enzim," kata Dr. Rushmini.

Bagi mereka yang gemuk dan kurang tenaga, perlu dijalankan analisis bagi memeriksa tahap metabolik.

Sebab itu katanya, bagi yang mahukan kejayaan 100 peratus dalam mengatasi obesiti, fungsi hormon perlu dibetulkan terlebih dahulu.

Bagi yang berminat mengetahui rawatan hormon untuk atasi obesiti boleh hubungi 03-87234808 dan 013-2448484


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, February 13, 2012

Bahaya Uri Bawah Rahim

SOALAN:


Dr., apakah yang dimaksudkan dengan uri? Adakah berbahaya jika uri berada di bawah? Saya selalu mendengar rakan-rakan berbual tentang perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan amat takut dengan perkara ini.


Puteri R,
Subang.

JAWAPAN:

Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim.

Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.

Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).

Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan dibahagikan kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

Risiko

Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.

Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.

Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.

Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.

Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu.

Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja.

Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.

Selamat

Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.

Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas.

Saya harap Puteri R sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan kegusaran tersebut.



Ditulis oleh: Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussin

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi) 
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan 
Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, February 09, 2012

Mencegah Penyakit Gusi

Gusi diperbuat daripada tisu lembut. Ia mengelilingi bahagian bawah gigi yang dipanggil akar gigi. Menjaga gusi adalah sama penting seperti menjaga gigi anda.

Penyakit gusi adalah jangkitan pada gusi. Ia disebabkan plak, lapisan melekit yang terkumpul pada gigi dan gusi. Plak menghasilkan asid dan toksin yang menjadikan gusi merah, bengkak dan berdarah.

Ia boleh menyebabkan gusi lekang daripada gigi. Ini akan menyebabkan ruang kosong antara gusi dan gigi. Kuman boleh terperangkap pada ruang ini, menjadikan tulang sekitar gigi lemah.

Ramai menghidapi penyakit gusi peringkat awal yang boleh dirawat dengan penjagaan mulut yang baik. Tetapi sekiranya anda mengabaikan penyakit gusi, ia akan melemahkan gusi di sekitar gigi dan menyebabkan gigi longgar dan terkeluar.

Kebanyakan orang tidak tahu mereka menghidapi penyakit gusi. Oleh itu, amat penting untuk mengunjungi doktor gigi dengan kerap bagi melakukan pembersihan profesional dan pemeriksaan.

Berikut beberapa tanda penyakit gusi:

# Gusi yang merah dan bengkak atau berdarah ketika memberus atau menggunakan flos.

Ini adalah tanda awal penyakit gusi. Ia seringkali boleh dirawat dengan penjagaan mulut yang baik.

# Sakit gigi atau gigi sensitif.

Gusi yang merekah daripada gigi akan menyebabkan gigi sensitif kepada makanan atau minuman yang sejuk atau panas.

# Mulut yang berbau.

# Gigi yang longgar atau menjadi jarang mengubah bagaimana gigi terletak pada gusi semasa menggigit makanan.

Ini adalah keadaan penyakit gusi yang serius dipanggil periodontitis.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, February 05, 2012

Derita Hipertensi Usia Muda

Mulanya, Zainikki Nakibullah, 37, ingatkan sakit kepala yang sering dialaminya ketika berusia lewat 20-an hanya penyakit biasa.

"Saya masih ingat lagi ketika itu jantung saya berdegup laju, kebas di bahagian muka dan sering sakit kepala. Saya tidak menyangka ia tanda-tanda awal hipertensi," ceritanya.

Zainikki disahkan menghidap hipertensi atau darah tinggi selepas menjalankan pemeriksaan kesihatan di Hospital Mentakab, Pahang.

"Bacaan darah saya waktu itu melebihi 140/90 mmHg. Jika berlarutan dan terus naik, saya boleh diserang strok," katanya yang ketika itu mempunyai berat badan melebihi 95 kilogram.

Disahkan sakit pada awal perkahwinan, sedikit sebanyak merisaukan dia dan suami. Jika sebelum ini, dia berasa seronok melakukan kerja-kerja di rumah.

"Sebagai suri rumah, sayalah yang menguruskan segalanya di rumah. Setiap hari, saya akan memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan banyak lagi.

Sejak saya disahkan hipertensi, suami berasa bimbang jika tugasan itu mengganggu kesihatan saya. Saya sendiri pula akan risau jika tiba-tiba berasa penat. Maklumlah, hipertensi boleh menyebabkan strok. Apa yang saya lakukan waktu itu menjadi serba tidak kena," ujarnya.

Mujurlah keluarga Zainikki banyak memberi sokongan supaya dia tidak berputus asa. Namun, jauh di sudut hatinya, dia mahu aktif dan melakukan kerja rumah seperti dahulu.

Sejak itu, hidup Zainikki bergantung pada ubat untuk mengawal penyakitnya.

"Saya menyedari tentang penyakit hipertensi ini apabila saya membuat pemeriksaan kesihatan. Bayangkan saya makan apa saja tanpa menghiraukan penyakit ini menyerang saya.

"Tetapi apabila dah sakit, saya terpaksa hidup dengan bergantung pada ubat. Kadang-kadang saya bosan kerana perlu sentiasa ingat keperluan makan ubat," ujarnya.

Akhirnya dia mengambil keputusan mencuba beberapa rawatan alternatif yang tidak berbahaya untuk membantu mengawal tekanan darahnya.

PilihanDua tahun lepas, Zainikki mencuba rawatan terapi elektrostatik di Pusat Terapi Eman, Kompleks Islam Al-Amaniah di Batu Caves, Selangor.

"Secara jujurnya, saya takut mencuba sesuatu yang baru. Tetapi selepas berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Eman, Mohd. Asri Abdul Rahman dan diberi penerangan lanjut, saya tergerak hati mencubanya. Selepas seminggu melakukan rawatan di sini, saya dapati tekanan darah tinggi saya terkawal dan berada di paras normal, 120/80mmHg," katanya.

Mohd. Asri menjelaskan, terapi elektrostatik yang menggunakan cas-cas elektrik sebagai rawatan mula diperkenalkan di Jepun.

"Pakar teknologi perubatan Jepun mencari alternatif untuk merawat penyakit yang berkaitan darah menerusi kaedah pembersihan saluran darah dengan mengeluarkan benda asing seperti lemak dan kolesterol dalam badan. Teknologi ini mampu mengurangkan pergantungan terhadap ubat.

"Mesin terapi mudah-alih dilengkapi tiga fungsi iaitu voltan tinggi, light wave energy dan terapi haba. Orang ramai boleh melayari http://www.emannetwork.net untuk maklumat lanjut, " ujar Mohd. Asri.

Walaupun Zainikki sudah berjaya mengawal tekanan darahnya, dia tidak pernah mengabaikan aktiviti senaman dan menjaga pemakanan.

Bahkan, dirinya yang dulu kurang bersenam kini mula berminat melakukan aktiviti luar.

Zanikki kini melakukan senaman dua hingga tiga kali seminggu.

"Syukur kesedaran saya untuk mengikis sikap penafian dalam diri membolehkan saya menurunkan berat badan dan mengawal paras hipertensi," katanya.

Kini, Zainikki sekeluarga lebih berwaspada terhadap pemakanan dengan mengurangkan pengambilan garam.

"Hari ini kita bertuah kerana ada pilihan rawatan alternatif. Saya nasihatkan anda sebelum mencuba sesuatu rawatan itu, buat sedikit kajian. Bagi saya, tidak salah berusaha mencuba pelbagai rawatan asalkan kita berhati-hati.

"Di samping itu, kita perlu amalkan gaya hidup sihat. Bermula sebagai seorang yang tidak tahu tentang hipertensi, kini saya mengambil berat tentang kesihatan keluarga saya," ujarnya.



Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/