Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, January 10, 2011

50 ribu maut akibat meningokokal

Kita mungkin jarang mendengar mengenai penyakit meningokokal, apatah lagi mengetahui maksud dan maklumatnya walaupun ia amat berbahaya serta mampu mengancam nyawa.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan lebih 500,000 orang dijangkiti penyakit meningokokal di seluruh dunia yang mana mengakibatkan 50,000 kematian setiap tahun.

Sebanyak satu daripada tujuh pesakit meningokokal maut manakala satu daripada lima orang bekas pesakitnya mengalami kesan sampingan serius dan kekal seperti pemotongan anggota badan, sawan, lumpuh, hilang pendengaran serta kemampuan untuk belajar.

Meningokokal adalah punca utama meningitis bakteria, iaitu sejenis jangkitan membran yang menyelaputi otak, tulang belakang serta saluran darah yang boleh menyebabkan kematian.

Penyakit itu boleh merebak dalam badan pesakit dengan cepat dan menjadi serius serta mampu menyebabkan kematian dalam tempoh hanya 24 hingga 48 jam meskipun diberi rawatan awal.
Lebih membimbangkan, meningokokal sering menjangkiti orang yang dahulunya sihat walaupun mereka hanya melakukan sedikit perubahan dalam aktiviti seperti menunaikan haji, kunjungan ke kelab malam, melancong, merokok, memasuki kolej dan melakukan tugasan ketenteraan.

Menyedari bahaya meningokokal yang menyerang mangsanya tidak kira peringkat usia termasuk bayi di bawah usia setahun, WHO dan kerajaan mengesyorkan penggunaan pelalian untuk mengelakkan seseorang dijangkiti penyakit itu.

Justeru, Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd. (Novartis) melancarkan vaksin konjugat baru, Vaksin Menveo, yang mampu melindungi empat daripada lima kumpulan utama bakteria meningokokal supaya ia tidak menyerang orang ramai.

Pengarah Perubatan Novartis, Dr. Adelina Cheong berkata, Menveo adalah sejenis vaksin baru dan inovatif yang dibangunkan dengan mencantumkan antigen polisakarida yang mana ia membolehkan tubuh bertindak melawan jangkitan meningokokal.

"Vaksin ini adalah penawar terbaik bagi mengelakkan jangkitan meningokokal. Selain Malaysia, ia turut diluluskan di Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah, Australia, Indonesia serta Singapura.

"Golongan utama yang berisiko mendapat penyakit ini adalah jemaah haji dan umrah kerana mereka berada di dalam tempat sesak serta dikelilingi jutaan jemaah dari 140 buah negara bagi tempoh lama yang memudahkan mereka dijangkiti.

"Menveo bukan sahaja sesuai untuk individu berusia seawal usia 11 tahun dan dewasa, selamat serta berkesan tetapi juga memperoleh sijil halal di Malaysia, Indonesia dan AS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Vaksin Menveo di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adelina berkata, kumpulan individu lain yang berisiko dijangkiti meningokokal adalah mereka yang mengunjungi kawasan sesak, tempat baru atau kurang daya ketahanan badan seperti pengunjung disko, perokok, pelancong, remaja, pelajar dan anggota tentera.

"Seseorang terutama yang berada dalam kumpulan berisiko dinasihatkan mendapatkan suntikan vaksin kerana penyakit ini sukar dikesan doktor dan gejalanya seperti lenguh tengkuk serta bintik-bintik pada kulit hanya akan timbul apabila ia sudah serius," katanya.

Ditulis oleh: Faizatul Farhana Farush Khan
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment