Bersesuaian dengan perlaksanaan Minggu Kesedaran Kanser Mulut yang diadakan setiap tahun dan pada tahun ini bagi peringkat negeri Kelantan diadakan pada 15 November hingga 21 November, artikel saya pada minggu ini adalah berkaitan dengan bahayanya kanser mulut.
Sehingga sekarang, tidak terdapat perangkaan yang tepat terhadap data kes-kes kanser mungkin kerana kekurangan pembiayaan kewangan dan juga tenaga manusia.
Malah masih lagi terdapat kurangnya pengetahuan masyarakat tentang tanda-tanda awal kanser mulut (precancerous).
Namun, mempunyai pengetahuan bagi mengenal pasti tanda-tanda awal dan faktor-faktor risiko yang menyebabkan kejadian kanser mulut boleh membantu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kecacatan akibat pembedahan.
Walaupun langkah-langkah pencegahan telah dijalankan oleh Bahagian Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia - seperti program saringan kanser oral, program televesyen dan radio, tetapi kes-kes yang hadir untuk mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia masih lagi kebanyakannya terdiri daripada kes-kes yang agak lewat seperti pada tahap 3 dan 4.
Rawatan seperti pembedahan terhadap kes-kes seperti ini menyebabkan pengudungan (mutilation) atau deformasi muka, kualiti hidup yang terjejas terutama fungsi penguyahan, penelanan dan percakapan dan peratusan kejayaan pembedahan juga menurun.
Kombinasi rawatan Radioterapi dan Kemoterapi diperlukan untuk kebanyakan kes-kes yang lewat dan rawatan ini juga mendatangkan komplikasi-komplikasi tertentu.
Oleh itu, biar apapun rawatan kepakaran yang boleh membantu, mengenali tanda-tanda awal kanser mulut memberi peluang terbaik untuk rawatan.
Dibantu dengan kepakaran Klinik Onkologi yang terdiri daripada pakar Oral & Maksilofasial, Pakar ENT, Klinikal Onkologi, Pakar rekonstruktif dan lain-lain kepakaran, termasuklah rehabilitasi, boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menerima rawatan.
Saringan pra kanser
dan kanser mulut
Tujuan pemeriksaan
1. Mengesan awal keadaan pada mereka yang berisiko - berdasarkan faktor umur, cara hidup dan tabiat harian
2. Mengesan awal keadaan yang berisiko tinggi menjadi kanser mulut
3. Mengesan awal keadaan kanser yang masih kecil dan tidak bergejala
Pemeriksaan didapati positif apabila terdapatnya keadaan seperti kanser mulut, leukoplakia (tompok putih yang bukan disebabkan oleh jangkitan, reaksi terhadap bahan tertentu dan sebagainya), erythroplakia atau erythroleukoplakia dan submucous fibrosis.
Gejala klinikal dan tanda
kanser mulut
Pada peringkat awal, ianya tidak sakit dan kadang-kala cuma rasa pedih yang berpanjangan, terdapat tompok-tompok merah, putih atau indurasi, bengkak dan lempuh (ulser).
Pada peringkat yang agak lewat, ia akan berasa sakit, mengganggu fungsi mulut seperti pergerakan lidah atau rahang, mengunyah dan menelan.
Kawasan mulut yang biasanya terjadi kanser mulut bagi pesakit di Malaysia, khususnya di HUSM ialah mukosa pipi (mungkin akibat pengunyahan tembakau dan sireh pinang), seterusnya di ikuti oleh bahagian tepi lidah, lantai mulut dan rahang bawah.
Faktor risiko kanser mulut
Sehingga ke hari ini banyak kajian terhadap tisu kanser bagi mengenal pasti struktur turutan genetik, mengenalpasti struktur khusus permukaan sel (surface cell marker) dan juga kajian terhadap alatan-alatan bagi membantu diagnosis kanser sedang dijalankan di seluruh pusat kanser dalam dan luar negara bagi membantu rawatan dan pengesanan awal kanser, termasuk kanser mulut.
Oleh kerana sehingga ke hari ini masih belum di ketahui punca sebenar penyebab kanser mulut, langkah pencegahan perlu ditekankan.
Ini termasuk menjauhi diri dari faktor-faktor risiko terhadap kanser mulut seperti merokok, mengunyah tembakau, makan sireh pinang yang disapu kapur, ketagih alkohol, siflis, keadaan prakanser, jangkitan (seperti virus tertentu), keadaan trauma berpanjangan akibat penggunaan gigi palsu yang longgar, radiasi dan kekurangan sumber antioksidan dalam diet seperti vitamin C, E dan beta keroten.
Jika terdapat sebarang keadaan atau gejala seperti dibincangkan di atas, hendaklah segera berjumpa doktor gigi di klinik atau di hospital bagi mendapatkan rawatan seterusnya.
Di hospital, keadaan berisiko akan dikenal pasti dan rawatan bersesuaian akan diberikan sekiranya terdapat punca keadaan tersebut - seperti jangkitan kulat, keadaan gigi yang tajam dan sesi kaunseling diberikan jika terdapat tabiat yang berisiko.
Jika masih lagi belum pulih, sedikit tisu akan diambil dan dihantarkan ke makmal patologi untuk mendapatkan diagnosis lebih tepat.
Rawatan kanser mulut
Sehingga ke hari ini, rawatan untuk kanser mulut hanyalah pembedahan. Ini kerana keadaan muka yang kompleks menyukarkan pembuangan tisu kanser secara berkesan, tambahan pula terdapat penyaliran limfa dari bahagian kepala ke leher sebelum memasuki aliran vena.
Sel-sel kanser akan menduduki sistem limfa di leher dan sistem limfa ini terpaksa dibuang bersama dengan tisu kanser semasa pembedahan.
Bayangkan tisu kanser di bahagian mulut pada peringkat tahap 3 dan 4 iaitu yang mempunyai saiz melebihi 4 sentimeter (cm).
Bahagian yang terpaksa dibuang adalah sekurang-kurangnya 7 cm bagi memastikan ianya bebas dari kanser dan ini mengakibatkan deformasi yang teruk dan mengganggu fungsi menelan, mengunyah, percakapan dan kecacatan muka yang akan mengganggu emosi seseorang.
Pembedahan, jika dilakukan pada peringkat awal seperti tahap 1 dan 2, mampu memberi peratusan kejayaan tinggi di samping kecacatan yang sedikit.
Walaupun begitu, dengan adanya kepakaran unit surgeri Rekonstruktif , pemindahan tisu dari bahagian badan yang lain bagi menampal kecacatan akibat dari pembedahan kanser mulut dapat dilakukan kini.
Ini sedikit sebanyak dapat merawat emosi dan mengembalikan keyakinan diri pesakit kanser mulut.
Akhirnya, kerjasama dari pelbagai pihak yang terlibat seperti pihak kerajaan, unit rawatan kanser, masyarakat, media dan badan-badan bukan kerajaan boleh membantu program-program kesedaran dalam pengesanan awal kanser khususnya kanser mulut bagi kejayaan rawatan.
Kerjasama ini juga sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kes kanser mulut di tahap 3 dan 4 jika kanser tersebut dapat dikesan dari peringkat awal lagi.
Ditulis oleh:
Dr Shaifulizam Ab Rahman
Pensyarah, Pakar Oral & Maksilofacial Surgeri,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan USM, Kelantan
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment