Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, September 15, 2008

Skoliosis Perlu Segera Dirawat


DR. Jeb Mc Aviney menunjukkan rupa tulang belakang pesakit yang mengalami masalah skoliosis.


























Skoliosis merupakan sejenis kecacatan tulang belakang yang dialami oleh sebilangan orang dengan rata-ratanya tidak mengetahui punca sebenar ia terjadi.

Ada yang mengalaminya sejak lahir dan terdapat juga kes pesakit skoliosis yang tidak menyedari perubahan berlaku pada fizikal badan mereka sehinggalah pesakit meningkat dewasa.

Jika diperhatikan, tulang belakang yang normal kelihatan tegak dan lurus di belakang tubuh manusia. Bagaimanapun, mereka yang mengalami masalah skoliosis mendapati tulang belakang mereka berkeadaan bengkok iaitu melengkung ke bahagian sisi sama ada kiri atau kanan seperti bentuk huruf S atau C.

Bentuk yang melengkung itu boleh dilihat dengan jelas dari arah belakang dan kebengkokan ini tidak boleh dirawat dengan hanya belajar berdiri tegak.

Begitu pun, tidak bermakna ia boleh dibiarkan begitu sahaja kerana jika skoliosis tidak dirawat, lama-kelamaan akan mengakibatkan kesakitan yang teruk. Malah, pesakit berkemungkinan hilang keupayaan untuk bergerak.

Dianggarkan dua hingga empat peratus daripada populasi sesebuah negara mengalami masalah skoliosi dan di Malaysia dikatakan terdapat seramai 71,000 pesakit skoliosis.

Masalahnya, sehingga kini tidak diketahui punca sebenar yang menyebabkan skoliosis.

Menurut Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan The SpineCorporation, Dr. Jeb McAviney, skoliosis sebenarnya boleh disebabkan oleh faktor genetik.

“Jika salah seorang ahli keluarga mengalami skoliosis maka anda mungkin akan mengalami masalah yang sama.

“Malah, jika kedua-dua ibu bapa mempunyai tulang belakang yang bengkok, risiko untuk anda mengalaminya juga tinggi, iaitu 50 peratus kemungkinan menghidapinya tidak kira lelaki atau perempuan. Bagaimanapun, remaja perempuan paling ramai diserang skoliosis berbanding lelaki.

Beliau yang menerangkan tentang skoliosis pada sesi pengenalan alat pendakap terkini bagi merawat masalah itu di HSC Cheras Specialists Center, Kuala Lumpur baru-baru ini, turut memberitahu bahawa skoliosis ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu idiopatik, kongenital dan otot (muscular).

Skoliosis idiopatik merupakan jenis skoliosis yang kerap ditemui, tetapi punca dan penyebabnya tidak diketahui sehingga kini dan masih menjadi misteri.

Pesakit skoliosis jenis ini terdiri daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa serta lebih ketara berlaku di kalangan perempuan berbanding lelaki.

Skolisis ini turut terbahagi kepada tiga iaitu infantile yang dapat dikesan sejak pesakit itu dilahirkan hinggalah berusia tiga tahun, juvenile yang dikesan apabila seseorang itu berumur antara lima hingga sembilan tahun dan adolescent yang diketahui apabila pesakit memasuki usia antara 10 hingga 13 tahun.

Manakala, skoliosis kongenital pula disebabkan kecacatan tulang belakang yang dialami sejak lahir. Bagaimanapun, biasanya ibu bapa pesakit tidak menyedari anak mereka mengalami masalah tersebut sehingga pesakit berumur tiga tahun ke atas.

Sementara, skoliosis otot bukan disebabkan daripada tulang, tetapi kebengkokan tulang belakang berlaku disebabkan keadaan otot-otot yang lemah.

Keadaan otot yang lemah ini berpunca daripada masalah lain seperti masalah saraf seperti cerebral palsy atau trauma fizikal.

Rawatan Skoliosis
Sebolehnya kata Dr. McAviney, pesakit skoliosis mendapatkan rawatan pada peringkat awal wujudnya lengkungan di tulang belakang mereka. Biarpun ketika itu ia tidak menyebabkan kesakitan, ia perlu dirawat seawal mungkin agar tulang belakang tidak menjadi semakin bengkok sehingga akhirnya menimbulkan pelbagai komplikasi seperti masalah pada jantung dan paru-paru.

Kajian menunjukkan 60 hingga 70 peratus mengalami komplikasi tersebut. Ia boleh berlaku sekiranya tulang belakang membengkok melebihi 70 darjah menyebabkan tulang rusuk menekan paru-paru dan jantung membuatkan pesakit sukar bernafas dan cepat penat.

Ataupun mereka mengalami masalah sakit belakang yang kronik. Jika ia berterusan tanpa dirawat, pesakit berkemungkinan menghidapi sakit sendi.

Tidak ketinggalan pesakit dibelenggu perasaan rendah diri, malu dan kurang yakin untuk berhadapan dengan orang lain ekoran postur badan mereka yang tidak seimbang.

Ketua Pegawai Eksekutif The SpineCorporation (UK), Andrew Mills pula berkata, rawatan yang boleh dilakukan pesakit skoliosis adalah sama ada menggunakan alat pendakap rigid (rigid brace) untuk menyokong tulang belakang atau menjalani pembedahan.

Jelasnya, pendakap itu mampu menghalang tulang belakang daripada terus melengkung tetapi ia hanya berkesan untuk pesakit skoliosis yang bertahap sederhana.

Cuma, masalahnya ia dikatakan tidak selesa, kelihatan besar apabila dipakai dan menyekat pergerakan pesakit ekoran tempoh memakai alat itu biasanya 24 jam sehari.

Bagaimanapun katanya, bagi kes serius, satu-satunya kaedah untuk mengembalikan keadaan normal pesakit di samping melegakan kesakitan adalah dengan pembedahan.

“Namun, sebaiknya kanak-kanak dielakkan menjalani pembedahan kerana ia mempunyai risiko yang tinggi. Masalahnya, untuk menyuruh mereka memakai pendakap rigid, timbul ketidakselesaan.

“Justeru, kami memperkenalkan pendakap dinamik SpineCor yang direka hasil kajian terperinci selama lebih empat tahun,’’ katanya.

Andrew memberitahu, SpinceCor yang dihasilkan di Kanada itu direka untuk merawat skoliosis idiopatik pada tahap kelengkungan 15 darjah ke atas.

Mengukir Tubuh
Ia juga dicipta khusus untuk memahami garis bentuk tubuh pesakit terutama kanak-kanak dengan menggunakan perisian komputer khas dalam mengukir tubuh pesakit.

Dengan itu, pendakap tersebut dapat dipastikan mengikut bentuk tubuh pesakit dengan tepat.

Tambah beliau, pendakap itu akan memberi tekanan secara lembut kepada tulang belakang bagi membolehkan tulang terbabit kembali lurus.

Biarpun alat tersebut kelihatan rumit tetapi hakikatnya ia mudah dipakai oleh kanak-kanak dan lebih penting ia lebih selesa serta dilaporkan empat kali lebih berkesan daripada kaedah pembedahan.

“Pesakit hanya perlu memakainya selama 20 jam sehari tanpa mengganggu gaya hidup mereka sebagai seorang kanak-kanak. Reka bentuknya yang memudahkan pengaliran udara membuatkan ia selesa dipakai biar dalam cuaca panas atau lembap.

“Fleksibilitinya juga membolehkan pesakit bergerak normal dengan pendakap itu.

“Bahkan, pesakit akan lebih aktif tidak kira untuk bersukan atau melakukan aktiviti luar. Tempoh pemakaiannya bergantung kepada tahap lengkungan tulang belakang dan secara puratanya antara dua hingga tiga tahun.

“Keselesaannya membuatkan ia boleh dipakai kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan selewat-lewatnya sebelum berumur 15 tahun kerana ketika itu tulang sudah semakin bengkok dan berkemungkinan pendakap tidak mampu merawat masalah tersebut,'' ujarnya.

Bagaimanapun kata Andrew, 89 peratus kes skoliosis didapati menyerang kanak-kanak yang berumur 11 tahun ke atas. Sehubungan itu, ibu bapa perlu segera mendapatkan rawatan sebaik melihat perubahan fizikal anak mereka kerana lebih awal masalah itu dirawat, peluang untuk mereka kembali pulih sepenuhnya lebih tinggi.

Tambah beliau, untuk mengenal pasti kanak-kanak itu mengalami skoliosis, ibu bapa sentiasa memerhati keadaan fizikal anak-anak mereka terutama di bahagian belakang tubuh. Perhatikan juga kedudukan bahu mereka kerana jika bahu tidak sama tinggi berkemungkinan anak mereka mengalami skoliosis.

Kemudahan rawatan menggunakan pendakap dinamik SpineCor yang diedarkan oleh Phezulu Sdn. Bhd. itu kini boleh didapati di HSC Cheras Specialist Center yang juga merupakan pusat SpineCor pertama di Malaysia dengan harga RM7,000 hingga RM9,000.


Ditulis oleh:
Rosmawati Mion

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. assalamualaikum wbt , saye penghidap skoliosis ..baru perasan ketika umur saya 15 , sekarang umur saya 16. ada harapan tak tulang tu untuk lurus semula ?

    ReplyDelete