Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, May 30, 2009

Tindakan Segera Rawat Strok

Serangan strok boleh mengubah hidup anda selama-lamanya. Sudahkah anda mendapatkan maklumat yang secukupnya untuk menyelamatkan diri dan orang tersayang sekiranya diserang angin ahmar atau strok?

Kira-kira 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko strok. Malah hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran atau maklum tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Pakar Runding Neurologi, Dr Wong Yee Choon menjelaskan strok juga dikenali sebagai ‘serangan otak’ kerana strok berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu.

“Kejadian ini boleh berlaku dalam dua cara yang berbeza, apabila salur darah di dalam otak pecah (dikenali sebagai strok berdarah) atau apabila terdapat salur darah tersekat (yang dikenali sebagai strok iskemia).

“Ramai orang tidak sedar bahawa strok menyerang otak kita,” kata Dr Wong.

Menurut beliau orang ramai juga perlu memahami bahawa strok, khususnya strok iskemia, boleh dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan kepada otak. Sebahagian besar orang ramai juga tidak merawat kes yang disyaki strok dengan tahap kepantasan dan kecemasan yang sama seperti mereka disyaki diserang sakit jantung.

Sebagai contoh, orang yang merasa sakit dada akan segera mendapatkan rawatan perubatan kerana mereka bimbang mereka mungkin mengalami serangan jantung. Namun, ramai yang menghidap gejala strok, seperti kelemahan di sebelah bahagian badan atau pertuturan yang kurang jelas, cuma mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dan tidak mendapatkan rawatan perubatan dengan serta-merta.

Seorang pesakit yang menjadi bukti betapa pentingnya tindakan segera diambil ialah Khoo Key Jin, yang tangan kirinya tiba-tiba tidak bermaya semasa dia berjoging.

“Saya rasa lengan saya tiba-tiba terjatuh dan saya tidak dapat mengawalnya. Kemudian mulut saya mula mengendur dan saya tidak dapat bercakap dengan lancar,” jelas Key Jin.

Mujurlah dia pernah membaca rencana tentang strok dan mengetahui gejalanya. Ini membolehkan dia bertindak dengan serta-merta. Dia menghubungi keluarganya dan meminta mereka menghantarnya ke hospital. Mereka tiba di Bahagian Kemalangan dan Kecemasan hospital dan dia menerima rawatan dalam masa sejam.

“Saya bernasib baik kerana dirawat oleh seorang doktor yang berwibawa, dia memberi saya pilihan rawatan yang berkesan. Selepas diberi suntikan, saya boleh menggerakkan tangan dalam masa beberapa minit!

“Doktor kata biasanya pemulihan penuh mengambil masa tiga hingga enam bulan, tetapi mereka hanya meletakkan saya di bawah pemerhatian selama beberapa hari, dan apabila saya keluar dari hospital, segalanya sudah pulih seperti biasa,” katanya..

Tanda Strok

Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), tanda amaran penting yang perlu diawasi ialah:

*Kelemahan atau kebas secara tiba-tiba pada sebelah bahagian badan. Tandanya termasuk muka kuyu dan kelemahan pada tangan dan/atau kaki.

*Pemandangan kabur secara tiba-tiba pada sebelah mata atau kedua-dua belah mata.

*Kesukaran bercakap atau memahami pertuturan, atau pertuturan tidak jelas.

*Pening, hilang keseimbangan, kekeliruan

*Sakit kepala serius secara tiba-tiba

Sekiranya anda memerhatikan atau mengalami mana-mana satu daripada masalah tersebut, langkah seterusnya yang perlu diambil ialah mendapatkan perhatian perubatan serta-merta di hospital. Walaupun gejalanya singkat sahaja, anda atau orang tersayang anda masih dalam bahaya. Jangan tunggu lebih banyak gejala dialami, atau menunggu dan melihat jika gejala bertambah buruk. Tindakan awal mungkin boleh menyelamatkan nyawa.

“Ramai orang kehilangan banyak masa mendapatkan rawatan kecemasan yang boleh membawa perbezaan ketara dari segi pemulihan strok. Tindakan segera amat penting dalam rawatan strok kerana matlamat utama ialah memulihkan aliran darah ke dalam otak, lantas mengurangkan risiko kerosakan kepada sel otak.

“Perkara paling penting untuk diingat sekiranya diserang strok, dapatkan rawatan perubatan serta-merta,” ujar Dr Wong.

Persediaan untuk bertindak dengan segera juga boleh menjimatkan masa yang berharga, seperti menyediakan senarai nombor kecemasan dan mengetahui hospital atau kemudahan perubatan mana berhampiran rumah anda yang mempunyai pusat dan unit strok.

Terkini

Walaupun rawatan pencegahan bagi strok adalah pelbagai, daripada terapi antiplatelet kepada rawatan penyakit kronik lain seperti diabetes dan hipertensi, satu terapi yang semakin mendapat perhatian dan lebih dikenali di kalangan pesakit dan doktor ialah agen trombolitik seperti alteplase, yang membantu membuka salur darah (arteri) sekiranya berlaku sekatan (strok iskemia).

Alteplase (juga dikenali sebagai pemecah bekuan) wujud secara semula jadi dalam badan, tetapi pada kadar yang sangat rendah. Maka jika berlaku strok, alteplase disuntik ke dalam badan untuk membantu mencairkan pembekuan darah.

Walaupun kebanyakan orang sudah biasa dengan langkah pencegahan menerusi aspirin, yang mencegah pembekuan daripada berlaku, terapi khusus seperti alteplase semakin diakui kerana mampu memperbaiki tahap pemulihan pesakit apabila diberikan dalam tempoh tiga jam daripada bermulanya gejala.

Pendek kata, alteplase membantu mencairkan bekuan dan memulihkan aliran darah ke dalam otak, lantas mengurangkan kerosakan kepada sel otak.

Dalam satu kajian klinikal yang diterbitkan di dalam New England Medical Journal (keluaran 25 September) membabitkan 800 pesakit, alteplase didapati meningkatkan kemungkinan mencapai kehilangan upaya minimum atau tiada langsung kehilangan upaya selepas strok sebanyak 34 peratus bagi pesakit yang diberikan rawatan dalam tempoh antara tiga hingga 4.5 jam selepas bermulanya gejala.

Sebelum ini, alteplase hanya disyorkan penggunaannya sehingga tiga jam dari bermula gejala strok, kajian terbaru ini menunjukkan bahawa penghidap strok iskemia boleh mendapat manfaat daripada rawatan dengan alteplase sehingga 4.5 jam selepas diserang strok. Lebih penting lagi, profil keselamatan alteplase apabila digunakan dalam tempoh tiga hingga 4.5 jam adalah konsisten dengan penggunaan dalam jangka waktu diluluskan antara 0 hingga tiga jam.

“Pada asasnya, pesakit mempunyai masa tambahan 1.5 jam untuk mendapatkan rawatan. Doktor kini diberi peluang lebih tinggi untuk membantu pesakit mengurangkan kesan strok. Bagaimanapun, adanya lebih masa tidak bermakna kita harus berlengah. Pergi ke hospital yang mempunyai unit (pusat) strok dengan serta-merta,” tegas Dr. Wong.

Risiko Strok

NASAM menyenaraikan faktor risiko strok boleh diubah sebagai :

*Tekanan darah tidak dirawat (hipertensi). Masalah ini boleh merosakkan dinding salur darah (arteri).

*Diet tidak sihat. Diet yang tinggi kandungan garam dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, manakala diet tinggi kandungan lemak dan gula dikaitkan dengan penyempitan arteri (aterosklerosis).

*Diabetes Melitus. Orang yang menghidap kencing manis berkemungkinan lebih tinggi menghidap aterosklerosis, justeru mereka menghadapi risiko strok yang lebih tinggi.

*Pernah mengalami ‘strok iskemia sementara’ (TIA) – strok mini yang menyebabkan gejala strok sementara. Kira-kira seorang daripada lima orang yang mengalami strok penuh pertama kali pernah mengalami satu atau lebih TIA sebelum ini.

*Pemfibrilan atrium. Denyutan jantung tidak tetap ini meningkatkan risiko pembentukan darah beku di jantung, yang kemudian beralih dan bergerak ke otak.

*Merokok. Tabiat ini mewujudkan beberapa kesan buruk terhadap arteri, menyebabkan aterosklerosis.

*Kerap minum alkohol dalam jumlah yang banyak. Secara beransur-ansur tabiat ini meningkatkan tekanan darah, manakala terlalu banyak minum boleh meningkatkan tekanan darah ke paras yang sangat tinggi dan mungkin mencetus strok.

*Jenis pil kontraseptif oral tertentu. Ini boleh menjadikan darah lebih likat dan berkemungkinan lebih tinggi untuk membentuk darah beku.

Faktor risiko tidak boleh diubah termasuk:

*Usia. Strok lebih umum dialami di kalangan orang yang berusia lebih 55 tahun, dan kadar kejadian terus meningkat seiring dengan peningkatan usia.

*Jantina. Lelaki menghadapi risiko strok lebih tinggi berbanding wanita, terutamanya lelaki di bawah usia 65 tahun.

*Sejarah keluarga. Mempunyai saudara terdekat yang mengalami strok meningkatkan risiko.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment