Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, May 30, 2009

Legakan Sakit Sendi (Osteoartritis)

SOALAN:
Bolehkah ibu saya yang berusia 60 tahun yang mengalami masalah sendi lutut (agak serius) mengambil glukosamin sebagai suplemen harian?

Ibu saya dicadangkan mengambil kombinasi glukosamin dan kondroitin. Apakah kepentingan glukosamin dan keperluan kondroitin kepada masalah ibu saya?



JAWAPAN:
Glukosamin merupakan blok binaan proteoglikan yang utama, iaitu sejenis nutrien larut air. Ia juga bertindak sebagai perangsang kepada sel yang menghasilkan proteoglikan.

Proteoglikan penting kerana ia menjadi bahan asas dalam matriks antara sel-sel kepada tisu penghubung.

Pembentukkan matriks tersebut adalah seolah-olah tali yang melilit antara satu sama lain melalui kolagen dan ini penting kerana ia memegang atau menampung air yang memberi pelinciran dan menyubur kolagen.

Apabila rawan rosak, 'jalinan tali' berkenaan akan menjadi lemah dan 'bocor', seterusnya kolagen akan kehilangan kesuburannya kerana proteoglikan akan kehilangan gengamannya.

Dengan itu, rawan tidak mampu menahan hentakan, akan mula retak atau pecah dan akan semakin rosak.

Secara ringkasnya, glukosamin berperanan dalam merangsang penghasilan kedua-dua proteoglikan dan kolagen, menormalkan metabolisme rawan yang membantu mengekalkan rawan daripada pecah, membantu tubuh untuk memperbaiki kerosakan atau rawan yang semakin merosot (menguatkan mekanisme pemulihan semula jadi tubuh) dan memperlahankan kemerosotan rawan.

Kondroitin pula boleh dijumpai dalam rawan sendi. Ia bertindak seperti magnet air yang menyerap air ke dalam tisu penghubung dan menahan hentakan atau menyerap hentakan (seperti yang kerap berlaku apabila adanya aktiviti fizikal seperti berlari dan sebagainya).

Kondroitin sulfat pula merangsang keanjalan rawan dan merencatkan enzim yang memecahkan rawan.

Untuk terapi permulaan, kombinasi 500 miligram (mg) glukosamin dan 400 mg kondroitin boleh diambil sebanyak satu tablet tiga kali sehari untuk sekurang-kurangnya lapan minggu.

Manakala terapi susulan perlu diteruskan untuk tiga hingga empat bulan, atau mengikut preskripsi perubatan dengan mengambil satu tablet dua kali sehari.

Rawatan hendaklah diulangi setiap enam bulan atau kurang mengikut preskripsi seperti yang dicadangkan oleh pakar perubatan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment