Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, February 18, 2009

Penyelesaian Masalah Nutrisi

Kebanyakan dari kita mungkin menganggap pengambilan suplemen atau makanan tambahan adalah cuma satu pilihan bagi memberi nilai tambah kepada makanan harian. Namun berapa ramaikah daripada kita yang sanggup mengira jumlah nutrisi yang diambil menerusi pemakanan seharian? Adakah pemakanan yang kita ambil itu mengandungi vitamin dan mineral secukupnya untuk tubuh badan kita? Persoalannya, berapa ramaikah daripada kita yang sanggup mengira kadar peratusan kilo kalori yang dimakan atau menghitung jumlah lemak yang terkandung di dalam sepotong daging yang dimakan. Jika ada pun tentu bilangannya boleh dikira dengan jari.

Perunding kesihatan dan kecantikan D' El-Emin EduHealth, Ida Rafidah El-Emin ada penyelesaian bagi masalah nutrisi ini.

Persoalan pertama, adakah kita mengamalkan cara hidup sihat? Jika tidak pasti, lihat senarai di bawah, jika semua jawapan YA, maka anda tidak perlu meneruskan pembacaan. Namun jika TIDAK, pastikan anda mengambil panduan daripada ilmu yang ingin dikongsikan.

Adakah anda...

- Menjaga kebersihan dalaman (bahagian sulit)

- Makan makanan seimbang dan berkhasiat

- Melakukan senaman secara rutin

- Menikmati tidur berkualiti

- Mempunyai rehat secukupnya

- Menangani tekanan dengan bijak

- Mengelakkan pengambilan alkohol

- Tidak merokok

- Mengalami proses perkumuhan yang sempurna

- Minum air kosong lapan gelas sehari

Menurut Ida Rafidah, tubuh badan manusia memerlukan 90 jensi nutrien secara asasnya. Antara yang diperlukan ialah 70 jenis mineral, 16 jenis vitamin, 12 jenis pati asid amino dan tiga jenis pati asid lemak. Namun adakah kita memakan makanan yang sepatutnya yang mengandungi kesemua keperluan nutrien tersebut?

"Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2002 hingga 2003, sebanyak 12 peratus iaitu 1.9 juta daripada populasi penduduk dewasa di negara ini mengalami obesiti manakala 27 peratus pula mengalami berat badan berlebihan," jelasnya ketika ditemui di pusat kesihatan dan kecantikan Iree Touch, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Ida berkata, ramai orang dewasa cuba untuk mengubah corak diet atau pemakanan mereka namun tidak berjaya.

Antara puncanya ialah kerana tubuh badan manusia tidak mempunyai nutrien yang secukupnya. Kesukaran untuk mengikut jadual pemakanan, penantian kesan yang terlalu lambat sehingga menyebabkan putus asa dan bahan pemakanan yang tidak selamat yang seterusnya melambatkan proses metabolisma.

Punca Masalah Kepada Perut


Ida Rafidah berkata, pengambilan makanan yang terlalu banyak karbohidrat berbentuk ringkas dan diproses adalah punca utama masalah kepada perut.

"Selain itu, kebanyakan orang dewasa sering makan tidak menentu. Makan sebelum lapar dan berhenti sesudah kenyang. Selain itu, kurangnya pengambilan makanan yang mengandungi fiber dan makan makanan mengandungi bahan kimia pengawet, pewarna dan perisa tiruan," jelas beliau lagi.

Menurut Ida Rafidah, kebanyakan rakyat Malaysia juga gemar makan makanan bergoreng dan bersantan. Lebih teruk, mereka kurang minum air putih sebaliknya mengambil minuman berkafein dan bergula.

"Ramai yang tidak tahu kesan kepada masalah dalam perut ialah stres, cepat marah, gelisah, runsing dan sedih. Selain itu, masalah perut juga boleh mengakibatkan mudah lupa, kurang konsentrasi, susah tidur atau terlebih tidur, gerak geri lemah, berpenyakit dan obesiti," jelas beliau.

Justeru, beliau menerangkan, penyelesaian terbaik ialah berjumpa dengan pakar kesihatan dan memastikan nutrien apa yang kurang di dalam badan.

"Pakar kesihatan akan menjalankan analisis indeks tubuh dan boleh mengetahui apa yang kurang pada seseorang. Dari situ mereka boleh memberikan cadangan vitamin apa yang patut diambil bagi memberikan keseimbangan nutrien yang sepatutnya ada dalam tubuh badan manusia yang sihat," tambah beliau.

Apabila tubuh badan mengandungi nutrien secukupnya maka badan akan menjadi lebih sihat.

Di samping itu, pastikan anda membaca label makanan sebelum membeli dan mengambil tahu tentang kadar bahan kimia yang terkandung di dalamnya.


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment