Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, February 18, 2009

Membetulkan rutin penjagaan gigi

Berapa ramaikah daripada kita yang menggunakan cecair kumur antiseptik selepas memberus gigi? Tentu ramai yang beranggapan berkumur dengan air paip sahaja memadai untuk membersihkan mulut terutama selepas memberus gigi dan selepas makan.

Namun, fakta mengenai kesihatan oral menunjukkan bahawa menggosok gigi sahaja tidak cukup untuk menghilangkan plak di dalam mulut kita.

Ini kerana gigi memenuhi kira-kira 23 peratus ruang mulut kita. Dengan menggosok gigi bermakna hanya satu perempat bahagian mulut sahaja dibersihkan, ini tidak termasuk di celah-celah gigi dan kawasan yang sukar dicapai oleh berus gigi.

Jadi, kawasan yang tidak tercapai akan menjadi punca pembentukan plak dan seterusnya mendedahkan seseorang kepada masalah kesihatan oral.

Bagaimana untuk mengelakkan masalah tersebut? Jawapannya dengan menambah satu lagi rutin iaitu berkumur dengan cecair pencuci mulut antiseptik.

Beberapa kajian yang dijalankan di negara-negara maju di seluruh dunia turut mendapati bahawa pembentukan plak tidak dapat dihalang dengan hanya memberus gigi.

Ini kerana ramai di antara kita tidak begitu mahir tentang teknik menggosok gigi yang betul.

Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. S Sivanesan berkata, trend penjagaan gigi di Malaysia telah berubah daripada merawat kesakitan kepada mencegahnya.

Beliau berkata, dua sebab utama kehilangan gigi adalah berpunca dari kerosakan gigi dan penyakit gusi, yang selalunya bermula dengan pembentukan plak bakteria pada gigi.

"Walau bagaimanapun, kedua-dua masalah ini dapat dikurangkan atau mungkin dapat dielakkan sepenuhnya menerusi amalan kesihatan oral yang betul dan dilakukan secara rutin.

"Usaha bersama antara doktor gigi dan pesakit juga boleh membantu mengelakkan rawatan pergigian untuk jangka masa yang panjang. Pesakit boleh membantu mengurangkan risiko penyakit periodontik dengan mengawal pembentukan plak," kata beliau ketika majlis pelancaran kempen jelajah Lengkapkan Penjagaan Oral Harian Anda dengan Pencuci Mulut di Sunway Resort Hotel & Spa, baru-baru ini.

Sivanesan menerangkan, salah satu cara untuk mengelakkan penyakit oral ialah melalui rutin kesihatan oral harian. Ia merangkumi memberus gigi, menggunakan flos dan berkumur dengan pencuci mulut antiseptik bagi kawalan plak yang lebih baik.

"Pada masa yang sama, pengamal pergigian bertanggungjawab menyebarkan maklumat mengenai penjagaan gigi dan menggalakkan pesakit mereka untuk mengikuti rutin penjagaan oral harian ini.

"Peranan kami juga untuk memastikan pesakit datang untuk pemeriksaan setiap enam bulan dan menyarankan mana-mana rawatan yang perlu untuk mengekal atau mempertingkatkan keadaan oral mereka," tambah Sivanesan.

Kajian Kesihatan Oral Orang Dewasa Malaysia yang dijalankan pada tahun 2000 menunjukkan secara amnya kesihatan oral bagi mereka yang berumur 15 tahun ke atas telah meningkat, sebahagian besarnya adalah kerana terdapat kandungan fluorida di dalam bekalan air di rumah. Walaupun begitu, terdapat juga kawasan yang mempunyai masalah serius dan kekurangan sumber yang mencukupi, seperti memerlukan rawatan pergigian, maklumat kesihatan oral dan mencabut gigi.

Di bawah Pelan Kesihatan Oral Kebangsaan bagi tahun 2010, sasaran telah ditetapkan dengan objektif untuk mencapai kesihatan oral optimum di kalangan rakyat Malaysia menjelang tahun 2010. Sasaran ini memfokuskan kepada mengurangkan empat keadaan oral, dengan dua antaranya adalah karies gigi dan penyakit periodontik (atau lebih dikenali sebagai penyakit gusi bengkak yang menyebabkan kehilangan gigi).

Sementara itu, pengurus kanan hal ehwal profesional Johnson & Johnson, Dr. Arunee Unsook menyokong fakta bahawa memberus tidak memadai untuk memastikan kesihatan menyeluruh mulut.

"Purata masa yang diambil oleh seorang dewasa untuk memberus gigi ialah 37 saat. Sebanyak 79 peratus dari pesakit gigi yang dilaporkan tidak pernah melakukan flos pada gigi mereka manakala lebih 50 peratus orang dewasa menghadapi masalah gingivitis pada dua atau tiga batang gigi mereka," jelas Arunee ketika membentangkan ceramahnya pada majlis yang sama baru-baru ini.

Arunee berkata, gingivitis adalah peringkat awal penyakit gusi akibat penghasilan plak yang tidak dibuang dengan cara yang sepatutnya.

Beliau menjelaskan, gingivitis juga boleh mengakibatkan periodontitis iaitu sejenis penyakit gusi kronik yang apabila tidak dirawat boleh menyebabkan kehilangan gigi.

Arunee menambah, amalan menggunakan pencuci mulut antiseptik melengkapkan penjagaan mulut.

"Perlu diingatkan, memberus gigi dan melakukan flos pada gigi hanya membersihkan sebanyak 23 peratus ruang permukaan gigi anda, jadi bahagian tertinggal akan menghasilkan plak serta boleh menjadi punca kepada masalah oral," ujar beliau lagi.


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

1 comment:

  1. SAYA MENGHADAPI KESAKITAN GIGI GERAHAM BONGSU SELAMA 3 BULAN.BENGKAK MUKA,TIDAK BOLEH MEMBUKA MULUT UNTUK MAKAN DAN MINUM.SAYA SUDAH PERGI MENDAPATKAN RAWATAN DI KLINIK SWASTA.3 JENIS UBAT YANG TELAH DI SYORKAN OLEH DOKTOR TERSEBUT.1-ANTIBIOTIK 2-PAIN KILLER 3-PARACETAMOL.MALAH DOKTOR TERSEBUT MENASIHATI AGAR SAYA PERLU MENUNGGU SEHINGGA GIGI TERSEBUT TUMBUH KELUAR TETAPI KEADAAN SAYA INI SANGAT KRITIKAL.BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MERAWATNYA?

    ReplyDelete