Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, February 17, 2008

Dr Abdul Malik Jamal Buhari

Dr. Abdul Malik b. Jamal Buhari
Consultant Physician & Gastroenterologist
MBBS (India), FAGE, M.Med (Internal Medicine) UM.

Dr. Abdul Malik started his general medical as well as gastroenterology services at KJMC since January 2006. He was previously practiced at University Hospital, Petaling Jaya.

He is well qualified in all aspects of Internal Medicine and can handle variety of medical cases relating to Respiratory, Cardiology, Endocrinology, Neurology, Infectious Disease, Rheumatology, Hematology and Dermatology.

Dr. Abdul Malik is specialized in Gastroenterology and Hepatology and is able to perform various endoscopic procedures such as gastroscopy (OGDS) and colonoscopy. He has extensive training in therapeutic gastroenterology procedures such as polypectomy and endoscopic mucosal resection (EMR) of polyps. He is also experienced in managing cases of Hepatitis B and Hepatitis C.

Dr. Abdul Malik is a life member of Malaysia Society of Gastroenterology and Hepatology (MSGH).

Bahaya Virus Hepatitis

GAYA hidup tidak sihat membuka laluan luas kepada penyakit untuk bersarang dalam badan.

Badan manusia adalah ‘perumah’ paling disukai virus dan bakteria kerana menerima bekalan makanan yang berterusan.

Virus hepatitis merupakan antara virus yang perlu diberikan perhatian yang serius.

Hepatitis bermakna keradangan hati dan virus hepatitis boleh menyebabkan kita mengalami masalah ini yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberikan rawatan yang sewajarnya.

Punca utama hepatitis ialah jangkitan virus dan tahap kerosakan pada hati bergantung kepada jenis virus yang menyerang.

Sehingga kini, tujuh jenis virus hepatitis telah dikesan di seluruh dunia yang dinamakan mengikut nama huruf iaitu virus hepatitis A,B,C,D,E,F dan G.

Bagaimanapun, virus yang lazim ditemui adalah hepatitis jenis A hingga E manakala jangkitan untuk hepatitis F pula hanya dijumpai sekali di India pada 1994 dan Hepatitis G hanya dikesan pada 1995.

Jangkitan virus-virus ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu akut (gejala yang teruk dalam masa yang singkat) atau kronik (kerosakan teruk yang berlaku secara perlahan dalam tempoh yang panjang).

Virus Hepatitis A dan E

Dua virus ini mempunyai ciri yang lebih kurang sama. Ia disebarkan melalui makanan tercemar dan menyebabkan hepatitis akut.

Biasanya pesakit akan mengalami masalah kesihatan selama sebulan.

Antara gejala jangkitan adalah;

- demam kuning, demam,

- sakit perut, muntah, cirit-birit,

- sakit kepala, mata menjadi kuning dan lesu

Apabila virus memasuki badan, ianya mengambil masa kira-kira dua minggu (dipanggil tempoh inkubasi) sebelum menyebabkan masalah kesihatan.

Biasanya individu dijangkiti juga mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pulih semula.

Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kes virus Hepatitis A (HAV) kerana jangkitan virus Hepatitis E (HEV) hanya dilaporkan berlaku di India dan Afrika.

Walaupun gejala jangkitan HAV dan HEV dianggap lebih ‘ringan’ berbanding virus Hepatitis B dan C, wanita hamil yang mendapat jangkitan HEV menghadapi risiko paling tinggi menemui maut (antara 15 hingga 25 peratus).

Hepatitis A boleh merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar (disebarkan penyedia makanan yang telah dijangkiti atau daripada makanan mentah) atau melalui sentuhan, seperti membabitkan alat keperluan harian dan permainan di pusat jagaan kanak-kanak.

Malah, ada individu yang dijangkiti melalui darah yang tercemar (pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan) tetapi jangkitan melalui cara ini jarang berlaku.

Kanak-kanak yang dijangkiti HAV biasanya mengalami penyakit demam kuning pada kadar yang berbeza.

Kurang daripada 10 peratus kanak-kanak di bawah umur enam tahun mengalami demam kuning sementara 40 hingga 50 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun mengalami demam kuning.

Kebarangkalian untuk mendapat demam kuning meningkat sehingga 70 atau 80 peratus jika jangkitan berlaku pada kanak-kanak lebih dewasa atau peringkat remaja sekitar umur 14 tahun ke atas.

Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus untuk penyakit ini tetapi ia boleh dielakkan melalui pengambilan dua dos vaksin pada jarak enam hingga 12 bulan.

Pengambilan vaksin disarankan bagi individu yang berisiko tinggi seperti pengembara, lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.

Virus Hepatitis B

Virus Hepatitis B (HBV) mempunyai tempoh inkubasi yang lebih lama iaitu antara dua hingga tiga bulan.

Virus ini juga boleh menyebabkan dua jenis masalah, sama ada akut atau kronik.

HBV adalah virus yang paling lazim berjangkit di dunia. Dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti penyakit HBV dan kira- kira 350 juta lagi menjadi pembawa HBV yang kronik.

Lebih menyedihkan, kebanyakan pembawa HBV kronik ini berada di India dan Afrika.

Di Malaysia, 60 hingga 70 peratus kes HBV berlaku di kalangan orang Cina, Melayu (30 peratus) dan 10 peratus di kalangan orang India.

Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah.

Wanita hamil yang telah dijangkiti HBV juga boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin.

Selain itu, HBV dikatakan 100 kali lebih cepat merebak berbanding virus HIV dengan gejala jangkitan seperti;

- demam kuning

- kematian akut (mengejut)

- jangkitan kronik

- kematian akibat penyakit hati yang kronik

Bagaimanapun, bukan semua orang yang mendapat penyakit hepatitis akibat HBV dan ada yang tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa.

Hampir 90 peratus individu yang dijangkiti HBV mampu menyingkirkan virus tersebut melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus lagi menjadi pembawa.

Oleh kerana itu, HBV lebih bersifat kronik dan gejala kesihatan biasanya muncul apabila usia menjangkau umur 40 tahun.

Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 hingga 25 peratus mengalami masalah sirosis hati (sel hati mati, mengeras dan menyebabkan parut).

Daripada jumlah yang mengalami sirosis hati ini, kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.

Jangkitan HBV boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati terutama ujian paras enzim hati (ALT).

Biasanya bagi individu yang dijangkiti, paras antibodi adalah tinggi, walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal.

Selain itu, ujian yang boleh dilakukan bagi mengesan jangkitan virus ini adalah melalui proses serologi, imbasan bunyi, DNA bagi mengesan HBV dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut).

Rawatan yang ada sekarang adalah untuk memperlahankan dan memberhentikan tindakan HBV daripada terus merosakkan hati.

Ianya diberikan dalam bentuk suntikan yang perlu diambil tiga kali setiap minggu dalam tempoh empat hingga enam bulan.

Pesakit juga perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka.

Sebagai perlindungan, anda boleh mengambil vaksin Heptitis B yang diberikan dalam tiga dos dengan jarak tiga bulan setiap suntikan.

Virus Hepatitis C

Hepatitis C dikategorikan sebagai penyakit kronik. Virus ini dikenali sebagai HCV dan boleh berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan dengan individu yang dijangkiti, menerima darah atau menjalani pembedahan pemindahan organ sebelum 1995, menjalani dialisis darah dalam tempoh berpanjangan, hubungan seks (terutama yang kerap bertukar pasangan), akupuntur dan jangkitan dari ibu kepada bayi ketika bersalin.

HVC mempunyai tempoh inkubasi antara enam hingga tujuh minggu. Antara gejala yang biasa yang dibabitkan dengan HCV adalah;

- demam kuning (30 hingga 40 peratus kes)

- demam yang tidak teruk

- sakit perut

- keletihan

- kerap mendapat jangkitan virus lain seperti virus selesema

HVC boleh menyebabkan sirosis hati dan pengambilan alkohol yang berlebihan boleh mempercepatkan proses sirosis hati di kalangan penghidap Hepatitis B dan C.

Jika seseorang itu mendapat kedua-dua jangkitan HBV dan HCV, masalah sirosis dan kanser hati akan menjadi bertambah teruk. Bagaimanapun kes ini jarang berlaku.

Ubat yang diberikan kepada pesakit HCV biasanya bertujuan menghentikan tindakan virus berkenaan dan perlu diambil melalui suntikan atau pil selama enam hingga 12 bulan.

Virus Hepatitis D

Virus Hepatitis D (HDV) dikategorikan sebagai virus yang tidak lengkap kerana ianya memerlukan HBV untuk bertindak.

Maknanya jika seseorang itu hanya dijangkiti HDV, dia tidak akan mengalami sebarang masalah.

Gejala kesihatan hanya muncul jika individu berkenaan juga dijangkiti HBV selepas dijangkiti HDV. Namun, kes seperti ini jarang berlaku.

Jika anda mengalami mana-mana gejala seperti yang telah disebutkan, segera jalani ujian lanjut untuk hepatitis, terutamanya bagi individu yang lahir sebelum 1989.

Berbincang dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang sesuai dengan anda.

Individu yang disahkan bebas daripada jangkitan mana-mana virus hepatitis disaran mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan.

Ditulis oleh:
Dr Abdul Malik Jamal Buhari
Pakar Runding Perubatan dan Gasteroenterologi
Kelana Jaya Medical Centre (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, February 15, 2008

Kanser Hati

Apakah itu kanser hati?

Kebanyakan kanser mengambil sempena nama bahagian tubuh di mana kanser tersebut bermula. Kanser hati primer terjadi apabila sel-sel hati berubah dan menjadi malignan. Ia berasal dari hati bukan hasil perebakan (metastasis). Metastasis berlaku apabila sel-sel kanser yang berasal dari bahagian lain dalam tubuh manusia merebak ke hati. Kanser hati ini juga dikenali sebagai hepatoma.

Bagaimanakah kanser hati ini boleh diperjelaskan?

Kanser hati ataupun hepatoma ini biasanya lebih lazim berlaku di negara-negara Asia. Secara purata, pesakit kanser ini kebanyakannya berumur antara 40 hingga 50 tahun. Ia didapati empat kali ganda lebih kerap berlaku di kalangan kaum lelaki berbanding dengan kaum wanita .

Tumor hati merupakan sejenis kanser yang jarang berlaku di dunia Barat. Tetapi ia merupakan antara beberapa jenis kanser yang paling biasa menyerang penduduk-penduduk Asia dan Afrika.

Tumor hati primer iaitu tumor yang bermula dari tisu hati itu sendiri boleh di bahagikan kepada tumor benigna dan tumor malignan.

Tumor benigna hati:

  • Adalah lebih biasa berlaku berbanding dengan tumor hati malignan.
  • Ianya termasuk hemangioma, adenoma dan hiperplasia nodul fokal.

Tumor malignan hati:

  • Termasuklah hepatoma (kanser hati primer), kanser kolangioselular, gabungan kanser hepato-kolangioselular dan angiosarkoma.

TUMOR BENIGNA HATI

Hemangioma

  • Hemangioma merupakan tumor hati yang paling biasa berlaku.
  • Kerapkalinya ia dikesan secara kebetulan melalui pengimbasan CT atau ultrasound.
  • Pengimejan resonan magnetik (MRI) juga digunakan untuk membuat diagnosis hemangioma.
  • Rawatan bagi kebanyakan penyakit ini termasuklah:
    • Apabila ketumbuhan menimbulkan gejala, pembedahan merupakan rawatan pilihan. Pembedahannya bergantung pada saiz dan kedudukan atau lokasi ketumbuhan tersebut. Ia mungkin merupakan hanya satu pembedahan kecil (reseksi) atau satu pembedahan lanjutan hepatektomi (eksisi organ hati).
    • Jika pembedahan dilakukan, ia biasanya diikuti dengan rawatan sinaran atau radiasi.

Adenoma

  • Tumor jenis ini lebih lazim berlaku di kalangan kaum wanita muda yang mengambil pil perancang keluarga (kontraseptik) terlalu lama.
  • Selalunya terdapat ketulan dalam abdomen dan terasa sakit.
  • Kira-kira 1/3 dari pesakit mengalami pendarahan sekunder dalam abdomen dan tumor pecah.
  • Kebanyakan pesakit yang mendapat tumor ini akan dibedah. Tujuannya adalah sama ada disebabkan oleh pendarahan itu ataupun untuk mengesahkan diagnosis ketumbuhan tersebut.

Hiperplasia nodul fokal

  • Ketumbuhan ini selalunya tidak menimbulkan sebarang gejala dan ditemui secara kebetulan.
  • Pesakit yang mengalami kesakitan sebagai gejala awal atau primer mungkin memerlukan pembedahan. Rawatan pembedahan biasanya dilakukan ke atas mereka yang ada gejala atau di kalangan mereka yang diagnosisnya tidak dapat dipastikan.


TUMOR MALIGNAN HATI YANG LAIN

Kolangiokarsinoma

Kolangiokarsinoma merupakan tumor malignan hati yang berasal dari duktus hempedu. Ia boleh dibezakan dengan hepatoma (kanser hati primer) melalui perkaitannya dengan penghasilan musin dan tindak balas tisu berseratnya yang tebal. Pesakit selalunya diserang demam, jaundis (kekuningan kulit dan bahagian mata yang putih) dan kesakitan.

Tumor ini sukar dirawat kerana ia tidak dapat dibedah disebabkan ia multisentrik (mempunyai banyak pusat). Terapi sinaran dan kemoterapi didapati tidak berkesan untuk merawat kanser jenis ini.

Angiosarkoma

Kanser hati jenis ini jarang berlaku. Ia biasanya multisentrik. Tumor ini lazimnya besar, multisentrik dan mudah merebak. Pesakit selalunya mengadu sakit abdomen, terasa letih, penurunan berat badan, anoreksia (hilang selera makan) dan perut membuncit. Pesakit juga mungkin mendapat jaundis.

Diagnosis dibuat melalui arteriografi dan diikuti oleh pengimbasan CT. Prognosis (kesan) bagi penyakit ini adalah tidak baik - kemandirian hanya beberapa bulan sahaja dan tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan pesakit.

Bagaimanakah kanser hati ini terbentuk?

Hati merupakan organ utama dalam tubuh manusia yang bertanggungjawab menyingkirkan toksin, dadah dan racun keluar dari tubuh. Ini dilakukan dengan memecahkan toksin tersebut kepada sebatian berpigmen dan kemudiannya diangkut keluar melalui duktus ke dalam usus. Apabila virus, dadah atau alkohol merosakkan hati, sebatian berpigmen ini akan terkumpul, menyebabkan berlakunya jaundis, atau kekuningan bahagian mata putih. Biasanya sel-sel hati inilah yang menjadi kanser.

Terdapat pelbagai bentuk atau pola histologi bagi hepatoma. Hepatoma boleh wujud dalam dua bentuk: Tumpuan (fokus) dan berbaur. Bentuk fokus atau tumpuan ini dapat dilihat sebagai jisim yang bulat atau berlobul, biasanya wujud dalam jumlah yang banyak. Bentuk berbaur atau tersebar pula lebih sukar untuk didiagnoskan.

Dari sampel spesimen yang telah dipotong didapati kebanyakan kes hepatoma ini telah merebak ke bahagian vena portal. Ini boleh melibatkan vena hepatik, vena kava, dan vena portal dan dipercayai merupakan punca utama metastasis.

Apakah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser hati?

Mereka yang berisiko termasuklah:

  • Peminum alkohol.
  • Pembawa Hepatitis B.

Ingat:

  • Elakkan pengambilan alkohol yang berlebihan. Ia dikaitkan begitu rapat sekali dengan masalah kanser hati terutama di negara-negara maju.
  • Pembawa Hepatitis B berisiko lebih tinggi untuk mendapat kanser hati terutamanya jika mereka memiliki virus yang aktif ataupun jika mereka mengalami kerosakan hati*.

Apakah tanda-tanda dan gejala kanser hati?

Terdapat beberapa gejala yang anda perlu ketahui:

  • Gejala-gejala yang utama adalah kesakitan di bahagian abdomen, susut berat badan dan hilang selera makan. Gejala-gejala ini juga wujud apabila hati dijangkiti virus seperti Hepatitis A atau B. Berwaspadalah kerana hampir 30% dari pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala.
  • Demam yang tidak diketahui puncanya juga merupakan gejala yang biasa berlaku.
  • Asites atau busung (pengumpulan cecair dalam rerongga peritoneum yang menyebabkan abdomen menjadi kembung). Cecair ini biasanya mengandungi kandungan protein yang tinggi dan mungkin bercampur dengan darah.

Bagaimanakah kedudukan penyakit ini?

Kanser hati merupakan penyebab utama yang ketiga kematian akibat kanser di seluruh dunia (450,000 - 1,000,000 kematian setahun di seluruh dunia). Secara globalnya, kira-kira 80% daripada jumlah kematian dikaitkan dengan jangkitan Hepatitis B (dengan atau tanpa pendedahan kepada aflatoksin) manakala 15% lagi dikaitkan dengan sirosis Hepatitis C yang kronik.

Angka sebenar mengenai kanser di Malaysia masih tidak diketahui. Kanser merupakan di antara tiga penyebab utama kematian di hospital-hospital kerajaan di Semenanjung Malaysia dan akan terus menjadi semakin penting untuk diberi perhatian. Insidens atau kejadian kanser di Malaysia dianggarkan sebanyak 130 bagi setiap 100,000 penduduk. Berdasarkan kepada Laporan Kementerian Kesihatan*, kanser hati merupakan di antara 10 kanser yang paling kerap dikesan di Institut Radioterapi & Onkologi, Hospital Kuala Lumpur. Pada tahun 1997, kematian yang disebabkan oleh kanser hati merangkumi sebanyak 9.1% dari kematian yang disebabkan oleh kanser di Malaysia.

Apakah komplikasi yang mungkin boleh terjadi?

Metastasis - kanser tersebut boleh merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain.

Apakah ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan kanser hati?

Ujian darah untuk mengukur kandungan alfa-fetoprotein (AFP) - sejenis penanda tumor - bagi pesakit kanser hati, ia akan menunjukkan peningkatan sebanyak 80%. AFP juga boleh meningkat semasa kehamilan ataupun dalam kanser-kanser jenis lain. Ujian fungsi hati juga berfaedah untuk menentukan tahap kerosakan pada hati.

Ultrasonografi ataupun pengimbas CT (Tomografi Berkomputer) untuk mengimbas hati adalah penting dalam membuat diagnosis. Apabila diagnosis telah dibuat, angiografi mungkin diperlukan untuk memastikan sama ada pembedahan boleh dilakukan ataupun tidak. Ketika angiografi dijalankan, sejenis pewarna X-ray akan disuntik ke dalam saluran darah di bahagian kelangkang pesakit. Kemudiannya, beberapa pengimejan X-ray hati akan diambil. Pewarna yang disuntik itu akan bergerak menuju ke hati dan menunjukkan garis bentuk kedudukan serta keadaan kanser yang dipaparkan dalam X-ray.

Biopsi - teknik biopsi perkutaneus meliputi penyedutan sitologi menggunakan jarum halus (FNA - Fine Needle Aspiration) ataupun biopsi jarum teras (Core Needle Biopsy). Biopsi jarum ini boleh dilaksanakan secara langsung dengan bantuan ultrasound ataupun CT, secara tidak langsung ke dalam jisim yang boleh dirasa, ataupun dengan menggunakan peralatan laparoskop.

Apakah jenis rawatan yang boleh diberikan?

Kemoterapi menggunakan dadah untuk merawat kanser. Dadah-dadah ini bertindak dengan mengganggu pertumbuhan sel-sel kanser dan seterusnya membunuh sel-sel kanser tersebut. Kemoterapi boleh diberikan dengan pelbagai cara. Rawatan keseluruhan badan dikenali sebagai 'kemoterapi sistemik', manakala rawatan di sesuatu bahagian tertentu dikenali sebagai 'kemoterapi setempat'. Kemoterapi diberikan melalui pelbagai cara: secara oral (melalui mulut), melalui vena (intravena) ataupun melalui arteri (intra-arteri).

Kemoterapi dan radioterapi memainkan peranan yang kecil sahaja dalam rawatan kanser hati. Dadah-dadah kemoterapi hanya mampu mengecutkan kanser di kalangan kira-kira 30% pesakit. Kesan sampingan seperti keguguran rambut yang sementara, rasa loya dan muntah-muntah, penurunan jumlah sel darah putih dan rasa letih (letargi) boleh berlaku. Rawatan hormon juga merupakan rawatan yang masih di dalam percubaan di beberapa negara.

Terapi radiasi atau sinaran memainkan peranan yang kecil sahaja di dalam merawat kanser hati ini. Kebanyakan tumor primer yang merebak ke hati mewujudkan pertentangan terhadap terapi sinaran, manakala hati yang sihat sangat mudah terjejas oleh radiasi. Terapi pancaran sinaran luaran ataupun gabungannya dengan kemoterapi digunakan sebagai rawatan paliatif (rawatan untuk melegakan sahaja tetapi tidak boleh memulihkan) bagi hepatoma. Rawatannya akan menjadi lebih berkesan jika kanser tersebut dikesan awal.

RAWATAN AM

Rawatan pilihan utama kanser hati ialah pembedahan dan diikuti dengan kemoterapi dan terapi sinaran atau radiasi.

RAWATAN BUKAN FARMAKOLOGI

Walaupun pelbagai kemajuan telah dicapai dalam kaedah rawatan pelbagai jenis kanser sejak sedekad yang lalu tetapi, rawatan bagi kanser hati tetap sukar dan mencabar. Keadaan hati yang teruk disebabkan sirosis dan juga hepatitis kronik selalunya membataskan pemilihan terhadap rawatan. Sehingga kini, pemilihan rawatan adalah amat terhad.

Pembedahan

Pembedahan bergantung kepada saiz dan lokasi kanser hati dan juga keadaan bahagian hati yang lain. Hepatoma berbaur dan juga hati yang mengalami sirosis teruk biasanya dianggap sebagai tidak boleh lagi dibedah. Bagi ketumbuhan yang kecil, cuma sebahagian daripada segmen atau satu segmen pada hati sahaja akan dibuang. Ini merupakan pilihan yang selalu dibuat terutamanya jika terjadinya sirosis. Ketumbuhan atau lesi yang lebih besar memerlukan pembedahan untuk membuang bahagian yang lebih besar atau beberapa segmen hati. Kadar kematian disebabkan pembedahan bergantung pada jumlah tisu yang dibuang dan jumlah tisu yang kekal selepas pembedahan. Jenis dan keterukan kanser, kewujudan sirosis dan hepatitis menentukan kemandirian pesakit.

Apakah prognosis bagi kanser hati?

Purata pesakit kanser hati dilapor dapat meneruskan hidup hanya untuk jangka 4-8 bulan sahaja selepas didiagnos. Keterukan kanser hati, kerosakan hati yang awal disebabkan oleh hepatitis B atau pengambilan alkohol dan kebolehbedahan kanser tersebut, akan menentukan kemandirian pesakit kanser hati. Jika pembedahan mampu memulihkan kanser, peluang untuk pesakit meneruskan hidupnya selama 5 tahun lagi adalah tinggi, hampir 46%.

Bagaimanakah kanser hati ini boleh dicegah?

Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil ialah:

    • Dapatkan imunisasi Hepatitis B seperti yang dijadualkan.
    • Elakkan pengambilan alkohol berlebihan.
    • Menjalani pemeriksaan kesihatan apabila terdapatnya perubahan tertentu pada kesihatan anda khususnya yang berkaitan dengan tanda-tanda amaran kanser

Dipetik dari:

http://www.infosihat.gov.my

Saturday, February 09, 2008

Dr Hamid Arshat

Dato' Dr. Hamid Arshat antara pakar sakit puan melayu yang terawal sekali muncul di persada perubatan Malaysia.Beliau merupakan sumber rujukan orang-ramai untuk masalah kesuburan. Doktor yang sempat saya berkenalan rapat ini seorang yang peramah bersama pesakitnya, bersifat sangat penyabar, tetapi berperibadian tegas dan berprinsip.

Bermula mendapat pendidikan asas di Johor dan kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya pada tahun 1970, beliau , memperolehi MBBS di situ. Seterusnya pada tahun 1976 beliau mendapat MRCOG dari London diikuti FRCOG dari London juga pada tahun 1987. Dari situ berputiklah satu karier yang sungguh menarik yang beliau perolehi sepanjang kerjaya hidupnya menjadi seorang doktor pakar sakit puan.

Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor di Universiti yang sama. seterusnya beliau dilantik menjadi Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. Akhirnya beliau menjadi Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluara Negara. Setelah itu beliau membuka satu klinik pakar khas, sebagai seorang konsultan untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk perkhidmatannya khusus untuk masalah ketidaksuburan dan masalah sakit puan. Beliau sendiri adalah seorang ketua keluarga yang bahagia bersama isterinya Toh Puan Maimon, dikurniakan lima orang cahaya-mata rumah-tangga mereka dan tiga orang cucu yang beliau sambut sendiri ke dunia ini. Suasana rumahnya tidak pernah sepi dari disulami ketawa gurau senda anak-anak kecil, remaja mahupun yang dewasa.