Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, May 13, 2008

Herba Ikon Pelancongan Negara

Lazimnya kemajuan yang ditunjangi dengan kepesatan sains dan teknologi yang membawa perubahan dalam hidup manusia merupakan anjakan yang amat positif. Tetapi biarpun zaman sentiasa berubah, penggunaan herba dalam kehidupan tidak dapat dipisahkan. Namun, hakikat itu semakin terpinggir jika dilihat realiti dan situasi di dalam industri herba pada hari ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa kita memiliki sumber hutan yang cukup besar untuk diteroka dan dikomersialkan. Tumbuh-tumbuhan dan herba seperti hempedu bumi, selaseh hitam, ulam raja, dukung anak, tongkat ali, misai kucing dan sebagainya mempunyai khasiat yang cukup tinggi dalam penjagaan kesihatan dan melawan penyakit.

Namun penggunaan produk berasaskan herba ini kurang mendapat sambutan dan pendedahan yang sewajarnya sehingga ianya dikategorikan sebagai ubat-ubatan alternatif semata-mata. Inilah tanggapan negatif yang perlu diperbetulkan dalam memacu industri herba ke peringkat lebih tinggi

“Kita tidak menolak keberkesanan ubat-ubatan moden dalam melawan penyakit dan penjagaan kesihatan, tetapi kita sentiasa didedahkan dengan ungkapan ini ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’,’’ kata pengasas Pameran Herba Asia, Safinah Yaakob baru-baru ini.

Katanya, herba merupakan unsur semulajadi terbaik dalam penjagaan kesihatan kerana ianya bukan bertindak sebagai ubat semata-mata, tetapi amalan penggunaannya secara berterusan akan membantu tubuh badan dibekalkan dengan sistem imunisasi yang asli dan segar tanpa sebarang penggunaan campuran bahan kimia seperti yang terdapat dalam ubat-ubatan moden. Contohnya, warisan zaman-berzaman iaitu ubat periuk yang mengandungi pelbagai jenis tumbuhan herba yang direbus untuk diminum.

“Biarpun ianya amat pahit, namun ubat periuk mampu melancarkan peredaran darah di samping meningkatkan sistem imunisasi tubuh secara berterusan tanpa sebarang kesan sampingan. Walaupun menyedari nilai khasiat ubat periuk begitu tinggi, namun amalan pengambilannya tidak dibudayakan,’’ tambah Safinah.

Justeru usaha berterusan perlu dibuat untuk mengembangkan industri herba di negara ini bukan hanya dengan menghasilkan produk semata-mata, tetapi mengamalkan budaya warisan tersebut sebagai cara melestarikan produk warisan budaya nasional.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak yang terbabit di dalam industri herba ini untuk sama-sama terus mengembleng tenaga dan idea serta fasiliti untuk mengangkat industri ini ke peringkat global.

“Saya ingin melihat produk herba warisan budaya kita menjadi ikon produk pelancongan di pasaran antarabangsa, selain daripada menjadi satu cara menarik kehadiran pelancong asing,’’ katanya.

Safinah menambah bahawa produk herba tradisional kini terpaksa mengikuti peraturan dan mutu perubatan moden dari negara Barat bermula dengan pelbagai ujian dan syarat lain yang menyebabkan industri ini tidak dapat berkembang.

‘‘Produk herba seharusnya tidak perlu diuji dengan piawaian negara Barat, kerana ia adalah warisan budaya kita yang seharusnya dibezakan, namun tetap dengan standard kualiti yang baik dan selamat digunakan,’ ujarnya.

Dalam hubungan ini, beliau berhasrat untuk menjadikan Malaysia Hab Herba di rantau Asia Pasifik dan seterusnya mencipta produk-produk herba sendiri sehingga menjadi ikon pelancongan negara.

“Dengan adanya kesedaran di kalangan masyarakat untuk membudayakan produk warisan tradisi ini, saya yakin matlamat tersebut dapat direalisasikan sedikit masa lagi, dengan syarat bahawa rantaian dan jaringan yang telah wujud di dalam industri herba ini sentiasa menyokong antara satu sama lain secara berterusan,’’ ujar Safinah.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Herba Untuk Diabetes

SOALAN:
Setahun yang lalu saya disahkan menghidap kencing manis. Saya sedang mengambil ubat seperti yang disarankan doktor serta mengawal pemakanan serta membuat pemeriksaan gula darah secara berkala. Bacaannya yang diperolehi biasanya tidak melebihi 8.0 mmol/L (tanpa makan). Selain ubat-ubatan, saya ingin mencuba suplemen herba yang dikatakan berkesan untuk mengawal peningkatan paras gula. Apakah yang boleh saya cuba?


JAWAPAN:

Diabetes adalah penyakit yang tidak boleh disembuhkan, namun dengan penjagaan dan rawatan yang baik ia boleh dikawal dengan lebih berkesan, seterusnya mengurangkan kesan jangka panjang diabetes. Apabila disahkan menghidap diabetes, pengambilan ubat seperti yang disarankan adalah sangat penting.

Antara herba popular yang telah digunakan sejak sekian lama untuk mengawal peningkatan paras gula termasuklah fenugreek (halba). Halba atau trigonella foenum-graecum telah digunakan secara tradisional sebagai emolien yang mengurangkan keradangan kulit. Pengambilan secara oral akan mengurangkan paras gula darah akibat kesan hipoglisemiknya. Kandungan pentingnya seperti trigolline, komarin dan serat membantu mengurangkan paras gula.

Bahan aktif dalam gymnema membantu menjana semula sel beta yang merembeskan insulin dalam pankreas dan meningkatkan pengeluaran insulin. Ia juga meningkatkan aktiviti enzim untuk menyenangkan penggunaan glukosa dan meningkatkan penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati, buah pinggang dan otot.

Ekstrak gymnema memberi kesan positif kepada diabetes jenis kedua. Dalam kajian yang melibatkan dua puluh dua pesakit diabetes jenis kedua yang diberikan ekstrak gymnema berserta dengan ubat oral hipoglisemia mendapati kesemua pesakit memperoleh kawalan gula darah yang lebih baik, dengan 21 daripada 22 subjek boleh mengurangkan dos ubat mereka. Lima subjek pula boleh menghentikan pengambilan ubat dan mengawal gula darah dengan menggunakan ekstrak gymnema sahaja.

Dua herba bermanfaat ini digabungkan dengan holy basil (Ocimum sanctum) dan peria (Momordica charantia) untuk kesan sinergistik. Sekiranya anda disahkan menghidap diabetes dan memilih untuk mengambil gymnema, pastikan anda membuat ujian gula darah dengan lebih kerap untuk mengawasi paras gula anda.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Sunday, May 11, 2008

Masalah Sistem Penghadaman Berpanjangan

SOALAN:
Saya mengalami masalah penghadaman sejak sekian lama. Ini adalah berdasarkan simptom-simptom yang kerap dialami seperti kerap kembung perut yang bukan sahaja mendatangkan ketidakselesaan, tetapi juga adakalanya memalukan apabila kerap mengeluarkan angin. Saya sering ke farmasi untuk mendapatkan ubat bagi menanganinya, namun ia lebih bersifat sementara. Adakah masalah ini boleh diperbaiki dengan pengambilan suplemen tertentu?


JAWAPAN:
Masalah penghadaman boleh dikenal pasti dengan kehadiran simptom-simptom yang disebutkan tadi. Simptom-simptom lain yang kerap dialami termasuklah rasa loya dan mungkin menyebabkan muntah, rasa pedih ulu hati, rasa sakit atau tidak selesa pada bahagian atas abdomen, sembelit dan juga senang mendapat cirit birit.

Antara penyebab yang dikenal pasti termasuklah penghasilan asid perut yang berlebihan atau kurang, tabiat pemakanan yang tidak sihat, kekurangan enzim penghadaman, alahan laktosa (susu), masalah gastrik dan juga keradangan perut.

Pengambilan probiotik sebagai sebahagian daripada suplemen harian adalah digalakkan terutamanya dalam memperbaiki masalah penghadaman serta melegakan simptom gastrousus. Bakteria bermanfaat dari jenis Lactobacillus acidophilus NCFM, terbukti secara klinikal membantu mengurangkan simptom-simptom akibat masalah sistem penghadaman. Pengambilannya membantu mengembalikan keseimbangan flora (kandungan bakteria) usus dan terbukti dalam melegakan ketidakhadaman, kembung, angin serta mengawal atur pergerakan usus. Lactobacillus acidophilus NCFM juga mampu melekat pada permukaan usus dan baik untuk sistem pertahanan badan, penghadaman, pencegahan cirit-birit dan melegakan keracunan makanan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Rawatan Tidak Invasif Kurangkan Risiko

Anda takut pembedahan, takut jarum tetapi memerlukan rawatan untuk masalah kesihatan kulit? Mungkin kaedah tidak invasif alternatif terbaik untuk anda merawat masalah kulit seperti parut, bintik atau tompok, lebihan kulit, garis halus, bentuk badan atau mengurangkan lemak badan.

Prosedur tidak invasif juga dilihat menarik minat pesakit yang belum bersedia, tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan dengan catatan 11.4 juta prosedur dijalankan sepanjang 2005 iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2000.

Pakar Runding Perubatan Estetik, Dr. Alice Prethima menjelaskan alternatif terhadap pembedahan dan jarum ini juga mampu membantu masalah kulit lembik, parut, kesan regangan atau selulit melalui kaedah terkini, berkesan dan selamat.

"Pada satu seminar di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, saya melihat fokus rawatan semakin bertumpu kepada kaedah rawatan tidak invasif.

"Namun, kaedah rawatan ini kurang dibawa masuk ke Malaysia berbanding negara luar yang memberikan lebih ruang untuknya berkembang," katanya.

Pencapaian

Antara cara pemikiran utama rakyat negara ini adalah lebih memilih pembedahan atau satu kaedah drastik untuk mendapatkan dan mengekalkan kecantikan.

Menurut Dr. Alice, pesakit di negara ini juga kurang diberikan pendedahan mengenai kaedah terkini rawatan kulit seperti penggunaan laser berbanding kaedah lama yang mencungkil keluar jerawat atau pigmen pada kulit.

"Penggunaan jarum merupakan antara yang paling digeruni pesakit tetapi melalui kaedah dilectropolation, pesakit tidak memerlukan suntikan untuk memasukkan molekul penting untuk rawatan kulit.

"Pembedahan juga tidak lagi diperlukan untuk menegangkan kulit melalui penggunaan kolagen yang menjadikan kulit anjal dan kelihatan lebih muda," jelasnya.

Kata beliau, kaedah tidak invasif seperti laser kini menjadi pilihan untuk rawatan kecantikan berbanding pembedahan yang membawa risiko kerosakan sel saraf dan juga jangkitan kuman.

Kaedah tidak invasif juga mampu melicin permukaan kulit seperti di bawah mata dengan hanya memerlukan rawatan berkala sekali setiap dua atau tiga tahun. Selain itu, rawatan laser selektif sekali setiap minggu dapat membantu penumbuhan kembali rambut selepas empat hingga enam bulan.

Ini dilihat lebih sesuai berbanding kaedah lama yang mengambil rambut dari bahagian belakang kepala untuk ditanam di kawasan yang keguguran rambut. Kaedah berkenaan membawa risiko pembedahan dan juga meninggalkan parut besar di belakang kepala.

Selain itu, Dr. Alice menyatakan lipolisis laser menjadi alternatif kepada pembedahan membuang lemak (liposuction) untuk membuang lemak berlebihan.

"Liposuction merupakan prosedur pembedahan yang berbahaya dan boleh menyebabkan kehilangan darah atau embolisma kepada pesakit.

"Selain itu, pembedahan tersebut memerlukan penggunaan ubat pelali (anestesia), meninggalkan kulit berlebihan yang menggeleber dan memerlukan pesakit berehat selama sebulan," katanya.

Dr. Alice membandingkan pembedahan tersebut dengan penggunaan laser yang mensasarkan sel lemak sahaja di kawasan dengan lemak berlebihan, menegangkan kulit, kurang tanda lebam dan pesakit pulih dengan lebih pantas sehingga boleh melakukan senaman perut selepas hanya 24 jam.

Kulit Mulus

Secara umumnya, banyak rawatan untuk kulit muka hanya membersihkan dan membuang lapisan permukaan atas kulit sahaja. Ini bagaimanapun boleh dianggap sia-sia memandangkan lapisan sel basal (lapisan bawah kulit) akan menggantikan lapisan atas itu setiap dua atau tiga minggu, seterusnya membentuk lapisan baru yang licin dan cantik secara semulajadi.

Menurut Dr. Alice, sesetengah pesakit sebelum ini mahukan masalah pigmentasi kulit mereka diselesaikan dalam hanya satu rawatan.

"Permintaan ini dipenuhi doktor dengan membakar permukaan atas kulit, mendedahkan lapisan kulit muda di bawah dan menampilkan rupa kulit yang bersih dan cantik untuk seketika.

"Masalah kulit pesakit bagaimanapun akan kembali berulang, dan mungkin lebih teruk dengan pigmentasi yang lebih gelap kerana punca masalah tersebut tidak dirawat," ujarnya.

Dr. Alice menegaskan diagnosis yang betul diperlukan sebelum sebarang rawatan diberi bagi menentukan punca pigmentasi dan mencari cara terbaik menangani punca masalah berkenaan.

"Sebarang perubahan pada badan pasti akan menunjukkan tanda pada kulit. Rawatan perlu dijalankan perlahan-lahan bagi menilai tindak-balas kulit dan puncanya berjaya ditangani," jelasnya.

Rawatan pigmentasi boleh dirawat melalui kaedah invasif minimum, tanpa memerlukan jarum, dan lebih penting lagi merawat punca masalah serta memberikan hasil yang lebih cantik.

Dr. Alice turut menekankan pentingnya penggunaan krim pelindung sinaran matahari tetapi perlu memilih krim yang bersesuaian dengan tahap pendedahan matahari.

"Kebanyakan produk di pasaran dihasilkan untuk kulit Kaukasia (kulit putih) dengan Faktor Perlindungan Kulit (SPF) antara 15 hingga 20.

"Ini tidak sesuai untuk kulit Asia yang memerlukan SPF lebih daripada 30 (SPF30). Pigmentasi dan juga kanser kulit boleh berlaku jika kadar SPF yang digunakan tidak mencukupi kerana hanya sebahagian kulit dilindungi sementara sebahagian lagi tidak dilindungi dari sinaran matahari," tegasnya.

Tambah beliau, penuaan akibat sinaran matahari boleh menyebabkan liang-liang kulit membesar, kulit menjadi kasar, kedut dan juga melayut.

Yang Mana Satu

Terdapat sesetengah pesakit yang berfikir pembedahan akan memberi perlindungan kekal dan penyakit yang dirawat tidak akan berulang. Ini tidak benar kerana masalah yang sama mungkin berulang beberapa tahun kemudian. Ada juga pesakit yang hanya mahukan hasil segera dan tidak gembira bila dimaklumkan kaedah yang betul untuk merawat masalah mereka akan mengambil sedikit masa.

Menurut Dr. Alice, hampir semua bahagian badan, dari kepala hingga ke ibu kaki, kini mempunyai alternatif kaedah invasif minimum untuk rawatan.

"Rawatan laser tiada darah, boleh mencapai kawasan badan yang agak dalam, tidak memerlukan ubat pelali dan pesakit pulih lebih pantas.

"Teknologi nano pula telah menghasilkan molekul nano yang lebih mudah diserap untuk memulihkan kecederaan sel kulit," katanya.

Namun, Dr. Alice terpaksa membangkitkan masalah pemilihan rawatan bersesuaian di kalangan pesakit.

"Masih ramai pesakit yang tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk merawat masalah kulit mereka dan akhirnya memilih kaedah yang tidak sesuai.

"Ramai pesakit yang datang menemui saya selepas mengalami komplikasi akibat memilih kaedah yang salah untuk merawat kulit mereka," ujarnya.

Katanya, sebilangan daripada mereka juga didapati tidak menjalankan penyelidikan sendiri sebelum mencuba kaedah baru yang dipasarkan.

Dr. Alice turut memaklumkan masalah pemilihan ubat dan kaedah rawatan juga tidak lagi hanya melibatkan golongan wanita malahan lelaki yang menghadapi masalah rambut gugur dan juga yang mahukan kulit sihat serta cantik.

"Penjagaan kulit kini bukan hanya bergantung kepada pelembap kulit, tetapi sekarang terlalu banyak produk kecantikan kulit di pasaran, diiringi bermacam dakwaan pemulihan dan rawatan.

"Orang ramai perlu berwaspada terhadap produk atau kaedah yang menghilangkan pigmentasi dalam tempoh seminggu kerana ia amat mencurigakan," jelasnya.

Menurut beliau, untuk hasil yang kekal berpanjangan, rawatan kulit akan mengambil sedikit masa, memerlukan rawatan ulangan dan mungkin semakin pulih sehingga 95 peratus dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Rawatan tidak invasif atau invasif minimum tidak bebas risiko sepenuhnya tetapi dilihat jauh lebih rendah berbanding risiko melalui pembedahan.

Dr. Alice menasihatkan orang ramai yang ingin mencuba teknologi baru atau kaedah rawatan terkini memastikan ia telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS (FDA) dengan melakukan penyelidikan melalui Internet terlebih dahulu .

"Teknik atau teknologi yang sesuai digunakan bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit selain faktor lain seperti tahap kesihatan semasa dan bentuk badan. Pemeriksaan mencari punca dasar masalah kulit juga penting termasuk masalah hormon badan," tegasnya.

Dr. Alice turut menekankan orang ramai tidak terlalu mengikut perakuan individu yang menggunakan produk baru kerana kadangkala kaedah tersebut hanya bersesuaian untuk sesetengah pesakit sahaja.

Untuk khidmat pakar runding atau maklumat lanjut kaedah rawatan tidak invasif, sila hubungi Dr. Alice melalui talian 1-300-88-32-34.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Ibu Sering Keletihan, Lesu Dan Kurang Bertenaga

SOALAN:
Saya mempunyai seorang ibu yang berusia sekitar 70 tahun. Pada kebanyakan masa, dia sering keletihan walaupun tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius. Ibu saya dikategorikan sebagai bertubuh kecil dan juga kurang selera makan. Saya sukar untuk mencari makanan tambahan yang sesuai dengannya demi untuk memperbaiki kelesuan dan ingin melihat ibu lebih bertenaga dan kembali ceria?


JAWAPAN:
Keletihan di kalangan warga tua ada kaitannya dengan kekurangan nutrien, apatah lagi sekiranya seseorang itu kurang selera makan ataupun mengehadkan pengambilan makanan akibat masalah kesihatan. Oleh itu adalah perlu untuk ibu anda mendapat makanan berkhasiat.

Masalah yang kerap dialami oleh warga tua adalah sistem penghadaman yang lebih sensitif dan mungkin juga memberi kesan kepada penyerapan nutrien daripada makanan yang diambil.

Spirulina merupakan tumbuhan alga yang berwarna hijau kebiruan yang kaya dengan pelbagai nutrien yang bermanfaat untuk tubuh. Spirulina membekalkan protein yang tinggi, zat besi, kalsium, magnesium, vitamin B dan pigmen tumbuhan seperti klorofil, karotenoid dan fikosianin. Protein yang tinggi penting untuk bekalan tenaga dan membantu melegakan keletihan. Dinding sel spirulina yang lembut memudahkan ia untuk dihadam dan digunakan oleh tubuh yang bersesuaian dengan warga tua, berbanding dengan protein daripada haiwan. Tambahan pula, Spirulina ideal untuk pemakanan harian kerana tidak mengandungi kolesterol.

Kandungan klorofil yang tinggi juga boleh bertindak sebagai agen pembersih yang mungkin bermanfaat bagi mereka yang cenderung mengalami sembelit yang lazim berlaku di kalangan warga emas.

Pengambilan spirulina organik seharusnya menjadi pilihan bagi mereka yang mementingkan kualiti, selain bebas daripada baja kimia dan racun serangga. Penggunaan spirulina berbentuk kapsul juga mempunyai kelebihan tersendiri, di mana penggunaannya boleh dipelbagaikan. Serbuk spirulina yang diambil daripada kapsulnya boleh dicampurkan ke dalam jus buah-buahan atau ditabur ke atas hidangan kegemaran anda seperti spageti mahupun sandwic.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Thursday, May 08, 2008

Dunia Pelancongan Perubatan

Pelancongan perubatan (medical tourism) merupakan satu sektor yang kini muncul sebagai fenomena baru dan berkembang dengan pantas di mana pesakit-pesakit mendapatkan rawatan di luar negara walaupun rawatan serupa ditawarkan di negara sendiri. Keadaan tersebut berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya kos perubatan yang lebih murah sedangkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan setanding dengan perubatan di negara maju.

Biasanya keadaan ini berlaku di mana rakyat negara maju mendapatkan rawatan di negara membangun. Sebagai contohnya, pesakit negara maju yang tidak mempunyai insurans atau tidak ditanggung sepenuhnya oleh agensi insurans mengambil alternatif mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

Ini kerana perkhidmatan yang ditawarkan sama tarafnya berbanding negara mereka, dengan kos yang jauh lebih rendah di samping membolehkan mereka melancong di luar negara sambil mendapatkan rawatan.

Tawaran hebat

Sebenarnya, konsep pelancongan perubatan ini bukan sesuatu yang baru. Ia telah muncul sejak dulu dan kini semakin diperkembangkan.

Kini terdapat banyak negara yang menawarkan perkhidmatan ini kepada pesakit dari seluruh dunia termasuk India, Brunei, Cuba, Colombia, Hong Kong, Hungary, Jordan, Lithuania, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Arab Saudi, Jerman, Sepanyol, Tunisia dan New Zealand. Antara rawatan yang ditawarkan dalam sektor ini termasuklah pembedahan jantung, pemindahan organ dan pembedahan plastik.

Malaysia juga semakin berkembang menjadi salah sebuah destinasi pelancongan perubatan yang popular di mata dunia. Negara bukan sahaja memiliki kemahiran perubatan yang setanding dengan negara maju malahan pada harga yang lebih rendah sehingga mendapat sambutan baik rakyat luar negara menjalankan rawatan kesihatan di negara ini.

Terdapat banyak hospital tempatan menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan termasuk perkhidmatan kesihatan kritikal dan juga rawatan pemulihan. Salah satu faktor menggalakkan perkembangan sektor ini adalah penjimatan kos dan pengurangan waktu menunggu pesakit mendapatkan rawatan.

Rawatan perubatan di negara barat biasanya melibatkan kos yang tinggi. Ini menyebabkan ramai di antara mereka suka mendapatkan rawatan di destinasi pelancongan perubatan yang menawarkan kos yang lebih rendah.

Menurut Presiden Medical Insights International, Michael D. Horowitz, di sesetengah negara misalnya negara Barat, penduduknya perlu membayar kos rawatan yang tinggi.

‘‘Harganya jauh berbeza bagi pesakit menjalankan pembedahan atau rawatan yang sama di negara asal mereka berbanding di luar negara.

“Oleh itu, mereka lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan melalui sektor ini (pelancongan perubatan) yang dapat membantu mereka menjimatkan kos rawatan,’’ katanya ketika membentangkan penyelidikannya mengenai sektor pelancongan perubatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Medical Insights International merupakan satu firma yang membuat analisis dan juga penyelidikan tentang pelancongan perubatan dan membekalkan maklumat berkaitan kepada sesiapa yang berminat melibatkan diri di dalam sektor ini.

Horowitz menjelaskan pesakit boleh mendapatkan rawatan dengan kos yang lebih rendah di negara yang popular dalam sektor ini termasuk India, Thailand dan Singapura.

Pada tahun 2005, salah sebuah hospital di Bangkok, Thailand menerima kira-kita 150,000 permintaan untuk mendapatkan rawatan perubatan. Pada 2006 pula, Thailand mencatatkan keuntungan sebanyak 36.4 bilion baht (RM3.63 bilion) melalui sektor ini.

Ini kerana Thailand menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan, dari pembedahan jantung hingga ke pemindahan organ, dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding negara barat. Sebagai contoh, seorang pesakit yang menjalankan pembedahan pintasan koronari arteri di Hospital Bangkok hanya melibatkan kos keseluruhan sekitar AS12,000 (RM37,908) berbanding hampir 10 kali ganda atau kira-kira AS100,000 (RM315,947) sekiranya menjalankan pembedahan yang sama di negara asal.

Selain itu, menjalankan rawatan di luar negara juga dapat menyelesaikan masalah barisan menunggu giliran bagi pembedahan di mana pesakit perlu menunggu untuk satu tempoh yang lama bagi mendapatkan rawatan disebabkan sistem atau prosedur yang telah ditetapkan di negara masing-masing.

Oleh itu, mereka cenderung memilih untuk mendapatkan rawatan di luar negara. Kerajaan Britain juga kini mula menggalakkan rakyatnya mendapatkan rawatan di luar negara supaya mereka tidak perlu menunggu masa yang lama dan juga atas dasar kos rawatan yang lebih rendah berbanding di negara sendiri.

Baik dan buruk

Seseorang yang merancang untuk mendapatkan rawatan perubatan atau menjalani pembedahan di luar negara perlu mempertimbangkan pelbagai perkara.

Salah satunya adalah mereka perlu mempertimbangkan adakah insurans yang mereka miliki akan menanggung sepenuhnya kos rawatan jika pembedahan atau rawatan dijalankan di luar negara. Ini kerana berdasarkan kepada jenis insurans yang dimiliki dan juga prosedur yang diperlukan, anda mungkin tidak dijamin sepenuhnya dengan insurans yang dimiliki.

Oleh itu, sebelum mendapatkan rawatan di luar negara, anda perlu merujuk kepada agensi insurans untuk mendapatkan maklumat tepat perlindungan polisi insurans yang telah diambil. Selain itu, proses untuk mendapatkan maklumat mengenai hospital di negara sendiri juga lebih mudah bagi membolehkan mereka membuat perbandingan kemudahan yang ditawarkan.

Maklumat tentang perkhidmatan perubatan yang ditawarkan oleh hospital di luar negara pula mungkin lebih sukar diperoleh bukan sahaja dari segi perbezaan cara kerja, malahan sistem pengurusan, penilaian dan jarak.

Mereka yang berminat mencuba pelancongan perubatan dinasihatkan mendapatkan maklumat terperinci perkhidmatan yang ditawarkan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya sesuatu yang tidak diingini kemudian.

Dengan lebih banyak perkhidmatan yang ditawarkan terbukti selamat, berkesan dan pada harga berpatutan, pelancongan perubatan mungkin membawa makna baru dalam gabungan dunia perubatan dan juga pelancongan sejagat kelak.


Ditulis oleh:
Yang Chin Mee

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/