Sikap isterinya yang panas baran memeningkan kepala si suami. Setiap kali pulang ke rumah, ada saja yang tidak kena.
Apa yang jelas selepas keguguran empat bulan lalu, keadaan isterinya semakin buruk. Sebagai suami dia makin buntu.
Akhirnya dia membawa isterinya ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ujian darah yang dilakukan mendapati kandungan tiroid dalam darah isterinya lebih 100 berbanding normal 11 hingga 23.
Doktor memberikan isterinya ubat untuk menurunkan kandungan hormon tiroid di dalam darah.
Tidak lama kemudian, isterinya hamil semula dan melahirkan anak yang comel dan sihat.
Apabila menyebut penyakit tiroid, kita tentu akan terbayangkan bahagian leher yang membengkak dengan tubuh yang kurus dan mata terjojol seperti mata ikan.
Pakar Runding Pembedahan Am Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Nanda Kumar Rajendram berkata, mereka yang menghidap penyakit berkaitan dengan tiroid biasanya cepat marah, panas baran dan tidak fokus.
"Kelenjar tiroid secara anatominya terbahagi kepada dua seakan-akan rama-rama dan terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan," katanya.
Menurut Dr. Nanda, kelenjar tiroid mengeluarkan dua jenis hormon iaitu tiroksin atau T4 dan triiodotiroksin atau T3.
"Apabila hormon berkenaan meningkat, metabolisma badan juga meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan.
"Metabolisma yang tinggi menyebabkan pesakit berasa panas, cepat marah dan kurang fokus manakala jika metabolisma rendah, pesakit kurang bermaya sehingga berat badan meningkat," katanya.
Justeru kelenjar tiroid dengan hormon T3 dan T4 membantu fungsi badan pada kadar yang selamat dan berkesan.
Dr. Nanda berkata, kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid.
Apabila hormon tiroid terlalu banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, pesakit menghidapi hipotiroidisma.
Menurut Dr. Nanda, penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian badan dan ketidakseimbangannya membahayakan kesihatan.
"Sebenarnya penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
"Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah," katanya.
Menurut Dr. Nanda, terdapat ujian, pemeriksaan dan rungutan pesakit atau orang sekeliling yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid.
"Selain itu pesakit juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.
"Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan," katanya.
Penyakit hipotiroidisma berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya.
Selain itu, ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.
Biasanya, jelas Dr. Nanda, penyakit hipotiroidisma disebabkan oleh radangan pada kelenjar tiroid, dipanggil tiroiditis.
Penyakit berkenaan juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.
Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat.
Akhirnya, kelenjar tiroid membesar dan dipanggil sebagai benguk. Lama-kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.
"Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma.
"Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin pesakit mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan," katanya.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment