Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, January 31, 2012

Batu Karang Penyakit Lelaki

Batu karang adalah satu masalah yang kerap ditemui dan boleh berlaku kepada setiap seorang daripada 10 orang.

Risiko untuk mendapat batu karang adalah lima hingga 10 peratus dan kemungkinan seorang hingga dua orang setiap 1,000 orang dalam populasi akan mengalami sakit akibat batu karang.

Kejadian batu karang kerap berlaku kepada pesakit berusia 30 hingga 50 tahun.

Pabila berbincang berkenaan penyakit batu karang, rata-rata pesakit yang kita kenali di sekeliling kita ialah lelaki.

Pelik tapi benar, berdasarkan kajian, penyakit batu karang sememangnya lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita.

Nisbah sebanyak tiga orang lelaki bagi setiap seorang wanita mempunyai masalah batu karang.

Menurut Pakar Perunding Urologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Suresh Sabaratnam,masalah batu karang lebih cenderung menyerang lelaki atas beberapa faktor terutamanya gaya hidup mereka.

"Antara punca lelaki senang terkena penyakit batu karang adalah kerana gaya hidup yang dilalui selama bertahun-tahun tanpa mereka sedari mengganggu sistem buah pinggang.

"Gaya hidup lelaki yang membuatkan mereka lebih senang untuk obes dan juga gaya pemakanan yang tidak seimbang antara puncanya.

"Lelaki boleh dikatakan kurang mengambil air kosong seperti yang disarankan setiap hari lalu menyebabkan berlaku penghidratan.

"Malah, mereka kurang melakukan senaman bagi mengekalkan gaya hidup sihat," terangnya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujarnya lagi, ia tidak ada kaitan dengan hormon masing-masing yang berbeza.

Ada kajian turut menyatakan lelaki lebih berisiko mempunyai masalah batu karang kerana jumlah otot yang lebih besar berbanding wanita.

Kerosakan pada tisu otot setiap hari menyebabkan penambahan pembuangan metabolisme dan kecenderungan pembentukan batu.

Saluran urin yang kompleks berbanding wanita juga dikatakan antara punca kecenderungan tersebut.

Sambung Dr. Suresh, apa yang penting tidak kira lelaki atau perempuan perlu mengubah gaya hidup mereka ke arah yang lebih sihat.

"Namun, kebelakangan ini bilangan wanita menghidap masalah ini turut bertambah disebabkan diet mereka," ujarnya.
Risiko lain antaranya sejarah keluarga yang menghidap masalah sama, hipertensi, gout, lumpuh, penyahidratan, masalah metabolisme, kekurangan sitrat pada urin dan cuaca panas.

Pekerjaan yang kurang melibatkan pergerakan seperti kerja yang duduk sahaja di pejabat atau individu yang jarang bersenam atau lama terlantar lebih berisiko tinggi.

Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.

Pencegahan dan rawatan

Jelas Dr. Suresh, batu karang adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah dengan melakukan sedikit perubahan pada gaya hidup.

Selain itu setiap orang juga disaran menjalani tiga ujian mudah iaitu ujian air kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah bagi memastikan buah pinggang dalam keadaan normal terutamanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap batu karang.

Melalui tiga ujian berkenaan, perubahan fungsi atau kerosakan buah pinggang dapat dikesan pada peringkat awal dan boleh dirawat segera.

Bagi individu yang mengalami masalah batu karang, anda digalakkan minum banyak air masak untuk membersihkan air kencing dan elakkan minuman manis terutama air berkarbonat.

Kekurangan vitamin B6 dan potasium menyebabkan pembentukan batu karang. Makanan seperti barli, kentang, keledek, berasaskan tepung gandum, kubis bunga dan pisang dapat mengatasi masalah ini.

Elakkan makanan kaya asid oksalik seperti tomato, bayam, lobak merah, daging, strawberi, koko, coklat dan teh.

Kurangkan pengambilan garam dan gula termasuk ikan masin, jeruk dan coklat serta banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kaya serat.

Sumber protein haiwan perlu dikurangkan sebaliknya menggantikannya dengan protein tumbuh-tumbuhan.

Rawatan penyakit ini berbeza mengikut keadaan kes itu. Jika batu-batu ini dapat keluar dengan spontan maka ubat yang diambil dapat mengelakkan masalah ini berulang.

Apabila batu itu keluar, pesakit hendaklah menyimpannya untuk dibuat kajian supaya para doktor dapat menentukan punca terjadinya batu tersebut dan boleh pula membantu dalam rancangan perubatan.

DitapisBatu ini boleh ditapis melalui kencing dengan penapis teh atau kertas turas seperti penapis kopi.
Batu karang asid urik dan systine dapat dihancurkan melalui ubat-ubatan.

Dalam kes-kes yang lebih serius, apabila batu itu terlalu besar untuk dikeluarkan sendiri dan memudaratkan pesakit, pembedahan perlu dilakukan.

Penyakit ginjal ini memerlukan rawatan sepanjang hayat dan jika ianya tersekat dan berlakunya perebakan kuman, ginjal atau buah pinggang tidak akan berfungsi lagi.

"Ia adalah masalah biasa dihidapi tetapi ramai yang tidak sedar mengenainya.

"Hampir semua hospital kerajaan dan swasta di Malaysia mempunyai peralatan dan cara merawatnya.

"Jika anda mempunyai sejarah keluarga yang menghadapi masalah sedemikian ataupun berdepan dengan tanda-tandanya, segeralah bertemu dengan pakar," saran Dr. Suresh yang turut merasakan rawatan alternatif tidak baik untuk jangka masa panjang.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, January 27, 2012

Kekurangan Testosteron Punca Baran

Sama seperti keluarga lain, Andrew Ooi Kuan Jim menjalani kehidupan yang bahagia bersama isteri dan dua orang anaknya. Rumahnya sentiasa ceria dengan gelak-tawa mereka terutamanya anak bongsu Andrew yang paling rapat dengannya.

Andrew mendakwa dia seorang lelaki yang sentiasa bersifat positif, tenang dan menjalani gaya hidup yang aktif dengan sering beriadah bersama keluarganya.

Bagaimanapun tidak semena-mena, semuanya berubah. Lelaki berusia 45 tahun itu tidak lagi mesra dengan anaknya seperti dulu.

Pantang diusik oleh anak lelakinya terutama ketika dia pulang kerja, Andrew pasti melenting dan memarahinya.
Jika dahulu dia tidak pernah sesekali memarahi anak kecilnya itu tetapi penghujung tahun lalu, Andrew sering melepaskan kemarahannya kepada anak kesayangannya itu.

Malah, perubahan terhadap sistem tubuh badannya turut dirasai apbila Andrew sering berasa penat terutamanya selepas makan tengah hari sedangkan dia sungguh bertenaga sebelumnya.

Tidak mempedulikan perubahan yang berlaku pada sistem tubuh badannya, sangka Andrew, semua itu berpunca daripada tekanan di tempat kerja dan faktor usia.

"Ada rakan yang berkata semua itu normal kerana semakin usia bertambah, kita akan semakin mudah berasa penat.
"Namun ia tidak normal bagi saya kerana jam baru masuk pukul 3 petang tetapi saya sudah berasa amat penat sedangkan saya dikenali sebagai seorang yang aktif.

"Saya juga mudah hilang sabar dengan anak bongsu saya sedangkan saya tidak pernah marah dengannya sebelum ini.

"Tidak mahu sifat negatif ini berlarutan, saya segera bertemu dengan doktor bagi membincangkan masalah saya," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran Androgel, produk terbaru syarikat farmaseutikal, Orient Europharma di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika menunggu giliran bertemu dengan doktor di klinik, dia terlihat risalah mengenai masalah kekurangan testosteron dan terus teringat mengenai rakannya yang ditemui di Singapura, September tahun lalu.

Rakannya itu jauh lebih berusia daripadanya iaitu 57 tahun tetapi kelihatan sungguh cergas serta bertenaga dan apabila ditanya rahsianya, dia memberitahu kini menjalani rawatan menambah hormon testosteron.

Seperti yang diduga Andrew, ujian yang dijalankan menunjukkan dia mengalami masalah lewat-mula hipogonadisme (LOH) iaitu penurunan tahap serum testosteron dalam lelaki.

Atas nasihat doktor, Andrew kini menjalani rawatan membabitkan penggunaan ubat sapu yang mudah digunakan iaitu Androgel dan tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan kesannya.

Selepas tiga minggu menggunakan produk tersebut dengan menyapunya di bahagian badan, kesannya terus dirasai apabila dia kini mendapat tenaganya yang normal kembali dan sifat barannya turut lenyap.

Akui Andrew, rakan-rakannya tidak mahu membincangkan masalah sebegini kerana wujud salah tanggapan kononnya kekurangan testosteron hanya melibatkan soal mati pucuk.

"Secara jujur, saya tidak berdepan dengan masalah tersebut cuma kepenatan dan baran yang melampau secara tiba-tiba membuatkan saya bertemu dengan doktor dan LOH adalah puncanya," kata bapa kepada dua orang anak ini.
Memahami LOHTestosteron adalah perkataan yang digunakan dengan meluas tetapi tidak ramai yang faham apakah ia sebenarnya.

Ia merupakan hormon seks lelaki paling penting yang bertanggungjawab terhadap perkembangan budak lelaki menjadi orang dewasa dan diperlukan sepanjang hayat demi kesihatan dan kualiti hidupnya.

Ia memberi seorang lelaki seksualitinya, kejantanan, tenaga malah keyakinan dirinya dan kekurangan hormon ini akan mengakibatkan kes yang dikenali sebagai LOH.

Turut dikenali sebagai andropos atau sindrom kekurangan testosteron, LOH adalah sindrom klinikal dan biologikal yang dikaitkan dengan usia lanjut dan keadaan ini semakin diterima berlaku dalam kalangan lelaki berusia lanjut di Asia.
Keadaan ini kerap berlaku tetapi selalunya kurang dikenal pasti serta dirawat. Tiga simptom LOH yang paling biasa dialami oleh lelaki berusia lanjut adalah kelesuan, kurang nafsu dan angin yang berubah.

Tanda-tanda lain termasuklah mati pucuk, pengurangan jisim dan kekuatan otot, peningkatan lemak badan, pengurangan ketumpatan tulang dan kemurungan.

Perunding Pakar Urologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Zulkifli Md. Zainuddin berkata, masalah ini boleh berlaku kepada mana-mana lelaki dewasa tidak kira masih bujang atau sudah berkahwin malah ada yang seawal 30-an.

"LOH tidak mudah dikenal pasti kerana simptomnya yang tidak begitu jelas dan mudah disalahertikan sebagai masalah lain.

"Bagaimanapun, LOH boleh menyebabkan penurunan ketara dalam kualiti hidup dan memberi kesan buruk kepada fungsi sistem berbilang organ.

"Terapi Penggantian Testosteron (TRT) masih menjadi pilihan rawatan yang paling efektif bagi simptom LOH dan banyak data klinikal menunjukkan TRT adalah berkesan dan selamat.

"Penggunaan TRT juga mengoptimumkan ketumpatan tulang untuk menghalang osteoporosis dan meminimumkan risiko patah tulang serta meningkatkan komposisi badan dengan mengurangkan obesiti," katanya.

Tambahnya, aspek pengurusan yang lain termasuk mengubah gaya hidup, pemakanan seimbang, kerap bersenam, berhenti merokok dan elak mengambil alkohol berlebihan.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, January 23, 2012

Mencantikkan bahagian paha

Sememangnya wanita amat mengambil berat mengenai bahagian tubuh mereka agar cantik dan meyakinkan.
Salah satu bahagian yang mendapat perhatian wanita adalah paha.

Semua wanita tentu saja mahukan paha yang cantik untuk menambah keyakinan semasa menggayakan pakaian.

Minggu ini ruangan senaman akan menunjukkan cara-cara untuk mendapatkan paha yang cantik, sihat dan menarik.

Gunakan bola

-Letakkan bola ke dinding dan sandar ke bola.

Secara perlahan-lahan turun ke bawah sehingga bahagian lutut berada pada sudut 90 darjah.
Pastikan tangan berada diangkat separas dengan bahu. Biarkan selama 40 saat.

Gunakan stepper

1. Berdiri tegak di atas stepper.
Langkah kaki kanan setapak ke belakang. Jengket kaki belakang.

2. Kemudian turunkan lutut hampir mencecah ke lantai.
-Biarkan selama 40 saat.
Ulangi dengan kaki sebelah kiri juga selama 40 saat.
Jika boleh buat dalam ulangan lima hingga lapan kali untuk mendapat keputusan yang baik.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, January 17, 2012

Hormon Stabil Kurang Risiko Penyakit

Jangan terpengaruh dengan makanan tambahan atau suplemen yang memberi kesan segera kerana ia mungkin mengandungi bahan aktif yang merangsang otak.

Bahan aktif seperti itu memberi kesan segar, membuat badan berpeluh dan bertenaga pada percubaan kali pertama. Ini menjadikan pengguna teruja untuk membeli.

Taktik sedemikian banyak diguna pakai dalam penghasilan makanan tambahan kerana membantu melariskan produk.
Setelah digunakan banyak kali kesan positif tersebut akan bertukar menjadi negatif.

Rasa segar mula digantikan dengan mengantuk dan lesu. Seseorang mungkin berasa moodnya merosot atau tidak selesa dengan penggunaan ubat itu.

Ada yang mengadu menjadi semakin gemuk setelah berhenti menggunakan suplemen sebegitu.

Biasanya bahan yang dicampur adalah ubat jenis sibutramine yang mempunyai pelbagai kesan sampingan.
Sibutramine digunakan sebagai ubat diet kerana ia merangsang saraf pada otak supaya berasa kenyang.

Ia juga meningkatkan pengeluaran hormon adrenalin dari kelenjar adrenal yang menjadikan paras hormon seseorang itu tinggi. Peningkatan paras hormon itu membuatkan seseorang berasa panas, mudah berpeluh dan membakar lemak.

Namun rangsangan begitu akhirnya merosakkan kelenjar hormon. Apabila terlalu lama mengambil bahan terbabit, kelenjar tidak mampu lagi mengeluarkan hormon yang banyak. Akibatnya seseorang akan menjadi lebih gemuk daripada asalnya.

Untuk membaik pulih masalah kerosakan kelenjar hormon sangat sukar. Ia mengambil masa yang lama dengan meningkatkan nutrisi tertentu.

Pulih bukan kawal

Sememangnya menjadi amalan dalam dunia perubatan untuk menggunakan ubat-ubatan bagi mengawal penyakit yang boleh merosakkan tubuh.

Sebagai contoh seseorang yang mengidap darah tinggi dirawat dengan ubat darah tinggi bagi menurunkan tekanan.
Rawatan itu bagi mengelak penyakit darah tinggi membawa pula kepada strok, masalah jantung dan merosakkan organ-organ seperti buah pinggang dan mata.

Seseorang yang gemuk pula dirawat menggunakan ubat-ubatan dan suplemen tertentu supaya mereka yang gemuk tidak didatangi masalah jantung dan kolestrol.

Setiap rawatan membolehkan simptom dikawal sedangkan pemulihan pula bermakna menghilangkan penyakit dengan membaiki permasalahan dari akar umbi.

Pengidap darah tinggi apabila pulih tidak perlu makan ubat. Seseorang yang pulih dari masalah kegemukan atau obesiti juga tidak perlu makan ubat setelah sembuh.

Justeru aspek pemulihan merupakan sesuatu yang penting dan sebab itu ia diperjuangkan oleh pakar antipenuaan.
Bagi membolehkan sesuatu penyakit itu dipulihkan, puncanya perlu dikesan. Darah tingi mungkin disebabkan oleh masalah hormon yang tidak stabil, atau kekurangan magnesium dalam darah.

Bagi menstabilkan hormon kita boleh menggunakan bioidentikal hormon atau mengubah cara pemakanan dan mengamalkan aktiviti senaman yang memulihkan hormon.

Ternyata nutrisi dalam makanan amat penting bagi membantu pembentukan hormon dalam tubuh kita.

Hormon serotonin misalnya penting dalam otak kita. Ia menimbulkan mood yang baik, rasa gembira dan kepuasan dalam jiwa selain mengawal tekanan darah agar stabil.

Serotonin dihasilkan daripada asid amino jenis tryptophan. Mereka yang kurang tryptophan mudah mendapat masalah stres, murung dan tekanan darah yang tinggi.

Pengambilan makanan yang kaya dengan tryptophan, niacin dan amalan senaman serta gaya hidup aktif turut membantu meningkatkan paras hormon ini.

Oleh itu, obesiti boleh dirawat dengan cara meningkatkan aktiviti hormon metabolik. Kelenjar hormon harus dipastikan aktif semula dengan membekalkan nutrisi yang diperlukan.

Kelenjar tiroid memerlukan mineral seperti selenium dan vitamin B untuk membolehkannya kekal berfungsi dengan baik.

Apabila kelenjar ini aktif di tahap optimum seseorang akan merasa lebih gembira dan segar kerana tubuh boleh memproses lemak kepada tenaga. Pada masa inilah seseorang berjaya untuk kurus semula.

Dengan kata lain, pemulihan dilakukan dengan cara membaiki punca sesuatu penyakit.

Kencing manis boleh disembuhkan dengan cara membaik pulih fungsi pankreas. Kita membekalkan nutrisi yang diperlukan seperti chromium dan vitamin B12.

Stimulasi insulin dilakukan dengan teknik tertentu seperti amalan hypoglycemic diet. Dengan teknik ini kita mengambil makanan yang tidak meningkatkan paras gula dalam darah.

Hasilnya paras insulin akan sentiasa stabil membolehkan rintangan insulin di atasi dan seseorang akan berjaya sembuh dari kencing manis.

Hormon calsitonin misalnya digunakan bagi mengatasi masalah tulang. Tulang menjadi semakin muda dan padat semula dengan adanya hormon tersebut.

Pengetahuan dalam sains antipenuaan membolehkan kita menjaga kesihatan dengan lebih baik.

Masalah yang berkait dengan penuaan seperti dementia, pelupa, tekanan perasaan dan sakit tulang dapat diatasi.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, January 13, 2012

Lelaki Tua Walau Subur

Laporan yang disiarkan baru-baru ini menyatakan sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun atau 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau tidak berkahwin dengan 60.4 peratus daripadanya adalah lelaki.
Purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000 manakala bagi wanita meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun.

Dalam pada itu, sebanyak 44.7 peratus lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan. Kos perkahwinan yang meningkat mendadak antara sebab lelaki menangguhkan perkahwinan sehingga usia meningkat tahun demi tahun.
Akhirnya apabila usia meningkat, mereka tidak menganggap lagi perkahwinan sebagai sesuatu yang penting. Lebih mudah lagi mereka menganggap sudah tiada jodoh.

Jika ada jodoh pun dalam usia tua, lelaki tidak mempunyai masalah daripada segi kesuburan kerana kalau mereka berkahwin, tahap kesuburan mereka tetap sama. Isteri mereka masih boleh melahirkan zuriat.

Berbeza dengan wanita yang semakin meningkat usia, kesuburan mereka semakin berkurangan dan jika telah menopaus pada usia 40-an ke atas, mereka sudah tidak boleh hamil.

Pendaftar Perbidanan dan Ginekologi Hospital Pusrawi, Dr. Mohd Daud Yahya berkata, jika seseorang lelaki itu sihat dan tidak menghidapi sebarang penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS atau seorang penagih dadah, kesuburannya tidak terjejas langsung.

Jika dia berkahwin dan pasangannya juga subur, peluang untuk mendapat anak adalah besar.

Katanya, di Afrika, terdapat seorang lelaki yang telah berumur 92 tahun masih produktif dan isterinya masih boleh melahirkan anak.

''Lelaki subur sepanjang masa dan umur. Umur tidak menjejaskan kesuburan mereka kecuali jika mereka penagih dadah atau menghidap penyakit kronik seperti HIV/AIDS.

''Jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat, mereka tidak perlu risau tidak akan mempunyai anak walaupun lewat berkahwin,'' kata Dr. Daud yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau menambah, lelaki yang sihat mempunyai sebanyak 100 hingga 200 juta per ml sperma.

Hanya satu yang sihat diperlukan untuk bersatu dengan telur isteri bagi terhasil benih.

Jelas beliau lagi, tidak dinafikan terdapat lelaki yang tidak mempunyai benih atau mempunyai benih tetapi tidak boleh keluar.

Kemungkinan kerana masalah jangkitan kuman atau tempat kerja yang panas seperti bakeri dan boleh menyebabkan sperma berkurangan.

''Masalah ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan moden atau herba. Tempoh rawatan biasanya mengambil masa selama tiga bulan dan Insya-Allah akan sembuh.

"Begitu juga dengan lelaki lembut yang pada pendapat kita dia tidak boleh mempunyai anak kalau berkahwin. Lelaki lembut juga mempunyai sperma dan boleh memiliki anak jika berkahwin,'' kata Dr. Daud lagi.

Ditanya mengenai ramai lelaki sekarang yang tidak mahu berkahwin dan lebih suka hidup membujang, Dr. Daud berpendapat, salah satu sebabnya ialah lelaki berasa mereka mudah mendapat teman wanita dan boleh bertukar-tukar teman wanita.

Justeru mereka menganggap perkahwinan tidak penting kerana walaupun tidak berkahwin, mereka tetap mempunyai teman wanita dan tidak perlu memberikan komitmen.

''Pendidikan agama adalah penting. Kebanyakan generasi muda sekarang mengenepikan agama. Jika kita berbalik kepada agama, sudah tentu masalah lelaki yang tidak mahu berkahwin ini boleh dikurangkan.

"Atau jika sukar hendak mencari wanita yang sesuai, serahkan kepada ibu atau keluarga untuk mencari,'' jelas beliau.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, January 09, 2012

Gila Meroyan Selepas Bersalin

SOALAN

Doktor., saya sering mendengar kisah atau kes kemurungan selepas bersalin atau meroyan dalam kalangan ibu muda. Adakah masalah ini satu penyakit atau masalah rumit? Benarkah ia boleh menjejaskan kesejahteraan ibu dan anak? Boleh tak doktor berikan panduan mengatasi masalah ini? Jika saya ingin berpantang kelak, adakah saya perlu mengikut petua orang lama untuk mengelak daripada meroyan?

Terima kasih

Zy, Kedah.

JAWAPAN

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin. Walaupun ia lebih sinonim diperkatakan oleh masyarakat Melayu dan lebih banyak dilihat dihidapi oleh wanita biasa, namun ia juga sebenarnya turut menimpa wanita profesional.

Gila meroyan

Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau selepas berpantang. Pada tahap ini, seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.

Pendapat terkini mengatakan penyakit gila meroyan postpartum pyschosis juga seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa lain. Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh segelintir sahaja wanita selepas bersalin.

Sebenarnya tiada kaitan yang kukuh antara cara berpantang mengikut orang tua dan risiko untuk mendapat meroyan. Mungkin elok untuk saya kongsi pengalaman daripada kajian kami 10 tahun lepas di Kelantan terhadap wanita yang hamil dan dalam masa berpantang.

Daripada kajian kami ada sedikit sebanyak kesan positif bagi ibu-ibu muda yang mengamalkan urutan selepas bersalin dan bertungku semasa dalam pantang kerana ia dapat mengurangkan risiko kemurungan. Kajian tersebut turut mendapati ibu muda berpeluang berbual-bual sambil meluahkan perasaan semasa menjalani prosedur tersebut yang pada kebiasaannya berlangsung selama dua jam sehari dalam jangka masa dua minggu pertama selepas bersalin. Perbualan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stres yang dialami oleh ibu muda tersebut.
Gangguan perasaan

Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang. Namun, kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan. Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita, gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.

Dalam bidang perubatan, gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya iaitu postpartum blues, postpartum depression dan postpartum psychosis (gila meroyan). Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin. Perubahan emosi ini memuncak pada hari ketiga hingga kelima selepas bersalin. Ia akan berkurangan selepas lebih kurang 10 hari bersalin dan akhirnya emosi mereka kembali kepada sediakala. Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza. Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.

Kemurungan

Gejala kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression pula adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar. Ia lebih teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia boleh berlaku satu dalam setiap lapan (1:8) ibu yang melahirkan anak atau 10 peratus hingga 20 peratus daripada ibu yang mengandung. Ia lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas setahun kelahiran anak. Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran atau kematian bayi dalam kandungan. Ibu-ibu yang menghidap kemurungan selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lebih lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues.

Psikosis

Psikosis selepas bersalin atau postpartum psychosis juga di panggil gila meroyan merupakan peringkat paling teruk yang jarang berlaku selepas bersalin. Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin, manifestasi yang lebih mirip masalah emosi dan prognosisnya adalah lebih baik.

Dalam kalangan 1,000 ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang (1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin. Ia biasanya bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu pertama selepas kelahiran.

Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin. Ia bermula dengan gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang. Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang menghidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah. Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis. Psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh daripada mereka mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.

Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya. Satu perempat daripada mereka (25 peratus) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya.

Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi infanticide mereka sendiri. Kadar bunuh diri dalam kalangan ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah tinggi.

Panduan

Bagi mengurangkan masalah tersebut, pelajarilah tanggungjawab sebagai ibubapa daripada kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan sebelum mengandung.

Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami, ahli keluarga yang lain untuk memberi sokongan emosi jika merasa tertekan. Dapatkan pembantu rumah atau ahli keluarga yang lain untuk menguruskan kerja-kerja seharian dan membantu penjagaan bayi dan anak anda yang lain semasa tempoh berpantang kerana anda masih lemah.

Rehat yang cukup juga adalah penting. Ambil udara segar di luar dan jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang. Beri masa untuk diri anda sendiri. Pengambilan diet dan pemakanan yang berkhasiat juga penting dititikberatkan untuk kembali cergas.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, January 05, 2012

Pastikan Ibu Hamil Cukup Zat Besi

Pernahkah anda berasa letih, sakit, terganggu atau lemah semasa mengandung? Jangan abaikan gejala ini dengan menganggapnya sesuatu yang 'biasa' semasa hamil.

Tahukah anda bahawa seorang dalam setiap tiga wanita, mengalami masalah ini kerana anemia atau kekurangan zat besi.

Disebabkan masalah kesihatan ini tidak disahkan dan tidak dirawat, ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran, zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

"Wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka. Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (< 12-15mg/dl), wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi," ujarnya di bengkel pendidikan bertajuk 'Kehamilan dan Anemia: Lebih Lazim Daripada Yang Anda Jangka, Panduan Memastikan Ibu Sihat Sejahtera' anjuran Merck Consumer Healthcare baru-baru ini.

Beliau menjelaskan kekurangan zat besi dalam badan mungkin disebabkan diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

KeperluanTambah Dr. Premitha, wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi.

Dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari.

"Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya. Akibatnya, ia berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak," ujarnya

Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa bersalin, melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang menyusukan bayi akan berisiko kekurangan zat besi.

"Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia," ujarnya.
Pencegahan Dr. Premitha menasihatkan wanita agar mengubah gaya hidup dan pemakanan.

"Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan dan tauhu," katanya.

Dalam kebanyakan kes, doktor akan mengesyorkan pengambilan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.

"Golongan berisiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam," katanya.

Bagi meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesan rencatan, ibu-ibu disyorkan agar mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan.

Selain itu, pengambilan vitamin C membantu meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan kadar serapan jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.

Dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, menjalani pemindahan darah dan suntikan zat besi.

"Justeru wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan darah mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil sert empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.

"Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing dengan mengambil sejumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan bagi membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.

"Jangan lupa mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika menghadapi simptom anemia," ujar Dr. Premitha.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, January 01, 2012

Tiroid Jadi Masalah

Sikap isterinya yang panas baran memeningkan kepala si suami. Setiap kali pulang ke rumah, ada saja yang tidak kena.

Apa yang jelas selepas keguguran empat bulan lalu, keadaan isterinya semakin buruk. Sebagai suami dia makin buntu.

Akhirnya dia membawa isterinya ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ujian darah yang dilakukan mendapati kandungan tiroid dalam darah isterinya lebih 100 berbanding normal 11 hingga 23.

Doktor memberikan isterinya ubat untuk menurunkan kandungan hormon tiroid di dalam darah.

Tidak lama kemudian, isterinya hamil semula dan melahirkan anak yang comel dan sihat.

Apabila menyebut penyakit tiroid, kita tentu akan terbayangkan bahagian leher yang membengkak dengan tubuh yang kurus dan mata terjojol seperti mata ikan.

Pakar Runding Pembedahan Am Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Nanda Kumar Rajendram berkata, mereka yang menghidap penyakit berkaitan dengan tiroid biasanya cepat marah, panas baran dan tidak fokus.

"Kelenjar tiroid secara anatominya terbahagi kepada dua seakan-akan rama-rama dan terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan," katanya.

Menurut Dr. Nanda, kelenjar tiroid mengeluarkan dua jenis hormon iaitu tiroksin atau T4 dan triiodotiroksin atau T3.
MengawalKedua-dua hormon berkenaan mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisma.

"Apabila hormon berkenaan meningkat, metabolisma badan juga meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan.

"Metabolisma yang tinggi menyebabkan pesakit berasa panas, cepat marah dan kurang fokus manakala jika metabolisma rendah, pesakit kurang bermaya sehingga berat badan meningkat," katanya.

Justeru kelenjar tiroid dengan hormon T3 dan T4 membantu fungsi badan pada kadar yang selamat dan berkesan.

Dr. Nanda berkata, kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid.
Apabila hormon tiroid terlalu banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, pesakit menghidapi hipotiroidisma.

Menurut Dr. Nanda, penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian badan dan ketidakseimbangannya membahayakan kesihatan.

"Sebenarnya penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

"Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah," katanya.

Menurut Dr. Nanda, terdapat ujian, pemeriksaan dan rungutan pesakit atau orang sekeliling yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid.

"Selain itu pesakit juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

"Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan," katanya.

DiperiksaKulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.

Penyakit hipotiroidisma berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya.

Selain itu, ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.

Biasanya, jelas Dr. Nanda, penyakit hipotiroidisma disebabkan oleh radangan pada kelenjar tiroid, dipanggil tiroiditis.
Penyakit berkenaan juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.

Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat.

Akhirnya, kelenjar tiroid membesar dan dipanggil sebagai benguk. Lama-kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

"Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma.

"Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin pesakit mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan," katanya.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/