Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, June 16, 2011

Alat Sulit Kurang Tegang

SOALAN:

Saya berusia 28 tahun dan mempunyai berat badan 140 kilogram. Saya jenis kurang bersenam dan kuat makan menyebabkan saya tidak dapat mengawal berat badan. Sejak kebelakangan ini pula, saya menghadapi masalah dengan ketegangan alat sulit saya. Ini menyebabkan saya risau kerana saya merancang untuk berkahwin tahun depan. Adakah masalah yang saya hadapi sekarang akan membawa kesan buruk kepada kesihatan saya?

Joli, Selangor.

JAWAPAN:
Saudara Joli,
Terima kasih di atas soalan tersebut. Tahniah kerana telah bersedia untuk berkahwin. Masalah yang dihadapi oleh saudara memang sering berlaku di kalangan orang-orang yang obes (mengalami masalah kegemukan). Ketegangan zakar dan kurang nafsu seks ialah di antara masalah yang dialami.

Banyak faktor kenapa obes memberi kesan kepada masalah yang dihadapi saudara. Sebagaimana yang saudara maklum, obes sangat berkait rapat dengan masalah penyakit kronik contohnya diabetes mellitus (kencing manis), hipertensi (darah tinggi), kolesterol yang tinggi dalam darah dan sebagainya. Obes juga menyebabkan masalah kekurangan hormon testosterone (hormon lelaki) yang berfungsi mengalir didalam darah.

Faktor-faktor di atas menyumbang kepada masalah yang dihadapi saudara. Disini saya ingin menasihatkan agar saudara segera berjumpa doktor dan jalankan pemeriksaan kesihatan bagi mengesan masalah kesihatan jika ada. Jika tiada, Alhamdulillah dan saudara mesti bertekad untuk mengurangkan berat badan dengan menjadi aktif semula. Insya Allah saudara akan dapati masalah ketegangan zakar akan berkurangan.
Ini telah dibuktikan dengan kajian diseluruh dunia yang mengatakan pengurangan berat badan bukan sahaja memberi kesan positif terhadap kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga akan menyebabkan kehidupan seks seseorang itu akan bertambah baik. Saudara masih muda, jadikanlah perancangan perkahwinan tahun depan sebagai motivasi untuk mengurangkan berat badan saudara dan seterusnya membahagiakan kehidupan berkeluarga saudara.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, June 14, 2011

Mahu Cahayamata

SOALAN:

Sudah empat tahun berkahwin tetapi hingga hari ini, kami belum dikurniakan cahaya mata. Saya ingin bertanya, apakah ada suplemen yang sesuai diambil untuk menambah sperma? Saya ada membaca artikel yang menyebut masalah kekurangan sperma berpunca apabila seseorang kekurangan zink. Apakah ini benar? Apakah tindakan yang perlu saya lakukan? Ada juga rakan-rakan yang menasihatkan saya mengambil rawatan kampung seperti berurut dan mencuba rawatan herba. Persoalannya, adakah kaedah ini membantu untuk meningkatkan jumlah sperma saya?
 
Albert, Melaka

JAWAPAN:
Saudara Albert,
Terima kasih di atas soalan yang ditanya. Saya berharap saudara telah pun menjalani pemeriksaan infertiliti (masalah kemandulan) kerana perkahwinan empat tahun tanpa cahayamata adalah satu perkara yang perlu mendapat perhatian saudara dan isteri untuk mendapatkan rawatan. Telah terbukti bahawa masalah infertiliti akan memberi kesan negatif kepada hubungan pasangan tersebut.

Di antara penyiasatan awal yang perlu dilakukan oleh saudara ialah menjalani pemeriksaan air mani. Seterusnya doktor akan merawat saudara jika penyiasatan menunjukkan saudara tidak ada atau kurang kualiti atau kuantiti sperma. Seeloknya saudara berbincang terus dengan doktor yang merawat untuk tindakan seterusnya.

Berkenaan suplemen bagi menambahkan sperma, saya kurang pasti tetapi beberapa kajian herba contohnya Tribulus territeris (Tribestan) dan Tongkat Ali yang digunakan dalam tiga hingga enam bulan ada memberi kesan yang positif keatas jumlah kuantiti sperma. Walaubagaimanapun, kesan penggunaan jangka masa yang panjang tidak diketahui.

Setakat ini, bagi pesakit-pesakit saya, kesan herba adalah sangat tidak menentu. Ada pesakit yang mendapat kesan yang cukup baik tetapi ada juga yang tidak mendapat apa-apa kesan positif. Kajian herba Tongkat Ali akan terus dijalankan untuk memberi kepastian terhadap kesan ke atas air mani seseorang sebelum kita mengetahui dos dan jangkamasa yang sesuai sebelum mendapat kesan positif. Walaubagaimanapun, sila pastikan mendapat nasihat doktor sebelum menggunakan sesuatu ubat atau herba terutamanya sekarang terlalu banyak ubat dan suplemen yang terjual dipasaran.

Pada pandangan peribadi saya, jika benar pun masalah kekurangan zink boleh menyebabkan kekurangan sperma, saya tidak akan menasihatkan pesakit saya untuk mengambil suplemen tertentu. Ia mencukupi jika kita mengamalkan pemakanan seimbangan. Selain dari itu cara hidup sihat perlu diamalkan. Amalan merokok telah dibuktikan menyebabkan kualiti sperma menjadi tidak elok.

Saya juga tidak akan menasihatkan pesakit saya untuk berurut bagi mengatasi masalah ini. Tiada bukti menunjukkan urutan badan dan ke zakar atau buah zakar memberi kesan keatas pertambahan kualiti dan kuantiti sperma. Selamat berjaya menimang cahayamata


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, June 12, 2011

Menangani Peluh Berlebihan

Kita digalakkan melakukan senaman tiga kali seminggu untuk cara hidup yang sihat. Ia amat penting dalam penjagaan kesihatan kerana dalam masa yang sama apabila badan mengeluarkan peluh, selain untuk mengawal suhu badan, secara tidak langsung ia juga menjana kesihatan tubuh.
Peluh yang keluar daripada tubuh merupakan satu situasi yang normal tetapi sekiranya peluh keluar lebih banyak daripada yang diperlukan ia adalah tidak normal.

Apatah lagi jika ia keluar ketika berada dalam persekitaran yang sejuk dan tidak menggunakan tenaga.
Dalam hal ini, peluh yang berlebihan terutama di bahagian tapak tangan, kaki dan bawah lengan membuatkan individu tersebut menjauhkan diri untuk bersosial dengan masyarakat.

Masalah peluh yang berlebihan bukan satu perkara normal malah ia boleh dikategorikan sebagai satu penyakit dan istilah perubatannya lebih dikenali sebagai hiperhidrosis.

Menurut Perunding Pakar Bedah Cardiovascular dan Thoracic, iHEAL Medical Centre, Kuala Lumpur, Dr. David Khoo Sin Keat, hiperhidrosis berlaku hampir dua peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Katanya, bagi sesiapa yang menghadapi masalah tersebut, mereka perlu memberi lebih perhatian kerana secara tidak langsung ia menunjukkan wujudnya masalah kesihatan pada tubuh anda.

''Fenomena peluh berlebihan ini merupakan satu jenis penyakit kerana ia tidak terjadi kepada semua orang.
''Lazimnya, pesakit tidak sedar mereka menghadapi masalah ini sehinggalah ia mendatangkan masalah kepada mereka sehingga menyukarkan untuk melakukan pekerjaan.

''Dalam hal ini, peluh berlebihan bukan sahaja dikesan pada tapak tangan, kaki dan di bawah lengan malah ia juga dikesan pada bahagian kepala, muka, dada, belakang tubuh dan pangkal paha,'' ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Komuniti Sosial The Sweat Connection di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, hiperhidrosis biasanya berlaku pada individu dewasa berumur antara 20 hingga 50 tahun, tetapi ia boleh bermula lebih awal iaitu ketika kanak-kanak atau remaja.

Malah seramai 0.6 peratus hingga satu peratus terdiri daripada golongan muda.

Pada majlis pelancaran itu juga, Dr. David turut menjelaskan bahawa penyakit tersebut dapat dirawat melalui teknik rawatan yang dikenali sebagai No Sweat Technique.

Katanya, teknik rawatan tersebut merupakan satu teknik yang melibatkan prosedur selama 15 minit dengan tusukan kecil di bawah kedua-dua lengan.

Rawatan tersebut bukan sahaja memberi keputusan yang cepat malah pesakit boleh meninggalkan hospital pada hari yang sama dengan keadaan tangan, kaki atau mana-mana bahagian yang bermasalah lebih selesa tanpa peluh.

Sebagai doktor yang berpengalaman dia memberitahu, sebenarnya sejak tahun 2001 lagi pelbagai kaedah penyembuhan telah pun dilakukan di Malaysia termasuk pembedahan simpatektomi torasik endoskopi (endoscopic transthoracic sympathectomy atau ETS).

Telah melakukan pembedahan ke atas 500 orang pesakitnya, Dr. David turut menyenaraikan beberapa aspek yang mungkin berkaitan dengan punca masalah kesihatan itu seperti tirotoksikosis (hipertiroidism), menopaus, obesiti dan gangguan psikiatri.

Bagi sesiapa yang menghadapi gejala-gejala seperti peluh yang berpanjangan, berpeluh tanpa sebab yang munasabah, berpeluh ketika tidak melakukan sebarang aktiviti lasak, berpeluh ketika mengalami tekanan serta cuaca panas dan tidak berpeluh ketika tidur, anda dinasihatkan agar cepat bertemu dengan doktor.

Dalam masa yang sama sekiranya mereka yang telah disahkan menghidap penyakit ini dan ingin mendapatkan rawatan, iHEAL Medical Centre Kuala Lumpur turut menawarkan perkhidmatan tersebut.

Untuk itu, anda boleh layari laman web http://www.sweatconnection.com atau hubungi terus iHEAL Medical Centre di talian 03-22877398.

Ditulis oleh: Mariatul Qatiah Zakaria  

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, June 10, 2011

Kawal Kolestrol Tinggi

Kolestrol ialah bahan lembut seperti lilin yang terdapat dalam aliran darah dan sel badan kita. Ia penting untuk membantu badan berfungsi dan pembentukan membran sel dan hormon yang dibawa melalui lipoprotein.
Lipoprotein Densiti Tinggi (HDL) adalah kolestrol baik yang mampu mengelakkan endapan kolestrol. Selain itu, Lipoprotein Densiti Rendah (LDL) merupakan kolestrol tidak baik yang boleh berkumpul pada dinding arteri dan membentuk plak yang menyumbat arteri.

Ini akan menyempitkan aliran darah dan oksigen yang membuatkan seseorang diserang sakit jantung atau strok. Justeru itu, amat penting bagi anda mengawas tahap kolestrol dan mengawalnya demi kesihatan jantung.

Semua orang tahu bahawa kolestrol mempunyai kaitan dengan penyakit kronik seperti kardiovaskular atau strok. Kita selalu dinasihatkan agar tidak mengambil telur, santan, daging atau makanan berlemak lain apabila kita mempunyai tahap kolestrol yang tinggi.

Namun, apabila semua langkah itu tidak berjaya merendahkan paras kolestrol , tidak ramai yang mengetahui tindakan seterusnya.

Salah satu caranya mengawal kolestrol dengan mengambil makanan serta minuman sihat yang mengandungi sterol tumbuhan.

Apa itu sterol? Sterol tumbuhan ialah molekul organik yang terdapat dalam tumbuhan yang telah terbukti secara klinikal boleh menghalang kolestrol dari diserap ke dalam darah.

Selain daripada makanan, sterol tumbuhan boleh diperoleh daripada suplemen.

Antaranya, Blackmores Plant Sterols Plus memberi anda pilihan untuk menyeimbangkan LDL:HDL (kolestrol 'jahat': kolestrol 'baik') dalam tubuh menerusi sterol tumbuhan.

Suplemen ini memberikan sterol tumbuhan yang relevan. Kandungan sterol membantu mengurangi penyerapan kolestrol. Selain itu,

Ketika proses pencernaan, sterol bersaing dengan kolestrol dalam proses penyerapan. Dengan itu, kolestrol lebih sedikit diserap dan lebih banyak dikeluarkan.

Diet sihat

Diet yang sihat serta seimbang akan membekalkan nutrien harian dan komponen makanan lain yang membolehkan anda memiliki minda serta tubuh yang sihat dan juga bertenaga untuk menjalani aktiviti-aktiviti harian anda. Sebaiknya, makanlah pelbagai jenis makanan kerana tiada makanan khusus yang dapat membekalkan semua nutrien yang diperlukan. Makanan yang berbeza dalam kumpulan yang sama (seperti beras, roti dan bijirin sarapan) membekalkan nutrien yang berbeza dalam jumlah yang berbeza.

Makanlah diet yang seimbang berasaskan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah lemak serta kurangkan pengambilan lemak, gula dan garam.

Untuk mendapatkan keseimbangan kolestrol sihat, kurangkan kuantiti kolestrol dan makanan berlemak daripada daging.

Selain itu, tingkatkan pengambilan ikan (bukan ikan goreng) dan makan lebih buah-buahan, sayur-sayuran dan biji-bijian.

Gaya hidup sihat

Menjadi aktif secara fizikal adalah sama pentingnya dengan makan secara sihat . Aktiviti fizikal akan memperbaiki kesihatan kardiovaskular, kekuatan dan kefleksibilan membakar kalori untuk menjadikan anda sentiasa sihat dan langsing serta membuatkan anda kelihatan, rasa dan berfikir dengan lebih baik.

Senaman yang tidak mencukupi boleh menyebabkan berlebihan berat badan atau obes di mana akhirnya boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius. Sekurang-kurangnya bersenam selama 30 minit setiap hari dengan berjalan kaki. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes, maka anda perlu bersenam dengan lebih kerap (dan untuk jangka masa yang lebih lama) untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, June 08, 2011

Atasi Pedih Ulu Hati

SOALAN:
Ayah saya meninggal dunia pada tahun lepas kerana barah usus. Adakah ini bermakna risiko saya mendapat barah usus juga tinggi? Jika ya, adakah terdapat langkah pencegahan untuk mengurangkan faktor risiko?

Kamisah

JAWAPAN:
Ya, salah satu faktor risiko utama anda mendapat barah usus adalah ahli keluarga yang disahkan menghidap barah usus. Malah, 1 dalam setiap 5 orang yang mendapat barah usus mempunyai ahli keluarga lain yang disahkan menghidap penyakit ini. Risiko ini meningkat sekiranya mereka yang disahkan adalah ahli keluarga terdekat (ibu bapa, adik-beradik atau anak-anak), atau jika ahli keluarga mendapat barah pada usia muda. Sebab kepada risiko tinggi ini tidak begitu jelas, meskipun penyakit kanser dipercayai "diwarisi dalam keluarga" disebabkan gen yang diwarisi dan faktor perkongsian persekitaran, atau kombinasi kedua-duanya.
Mereka yang mungkin menghidap kanser kolon mungkin menunjukkan beberapa tanda amaran seperti perubahan dalam tabiat membuang air besar (sembelit atau cirit-birit), najis berdarah, sakit abdomen yang teruk atau penurunan berat badan tanpa sebab. Jangan biarkan gejala ini, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda menunjukkan gejala-gejala di atas.

Anda boleh mengurangkan risiko mendapat barah usus dengan mengamalkan diet dan gaya hidup yang sihat. Makan lebih banyak makanan yang kaya dengan oksidan seperti buah-buahan sitrus dan sayuran hijau gelap dan kuning, dan makanan rendah lemak dan tinggi serat (sekurang-kurangnya 25 g serat sehari). Senaman dan pengambilan 1,000 mg kalsium sehari juga boleh membantu. Di samping itu, berhenti merokok jika anda merokok dan hadkan pengambilan alkohol.

Ketiadaan sebarang faktor risiko tidak bermakna seseorang individu tidak akan mendapat barah usus. Bagaimanapun, lebih banyak faktor risiko yang anda miliki, lebih tinggi risiko anda menghidapinya. Segera dapatkan pemeriksaan doktor jika anda menunjukkan sebarang gejala atau tanda amaran, iaitu kehilangan berat badan tanpa sebab, perubahan tabiat membuang air besar dan pendarahan dalam najis, atau jalani pemeriksaan biasa secara tetap kerana barah usus boleh dicegah dengan pengesanan awal.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, June 06, 2011

Pedih Ulu Hati

SOALAN:
Ketika mengandung, saya mengalami refluks asid yang berterusan, menyebabkan pedih ulu hati. Apakah sebenarnya punca pedih ulu hati dan apakah langkah-langkah untuk mengurangkannya atau lebih baik lagi, mencegahnya?

Syafiqah

JAWAPAN:
Pedih ulu hati sebenarnya adalah rasa perit yang boleh dirasai di dada dan kerongkong. Ia berlaku apabila asid dari perut bergerak masuk semula ke esofagus. Mulut anda juga akan berasa masam dan berasid. Jika anda mengalami refluks asid yang berterusan lebih daripada dua kali seminggu, ini dikenali sebagai Penyakit Refluks Gastroesofugus (GERD).

Ramai wanita mengandung mengalami tanda refluks asid pada trimester ketiga kehamilan disebabkan peningkatan paras hormon yang melembutkan ligamen, kebiasaannya memastikan sfinkter esofagus bahagian bawah (LES) sentiasa ketat. Uterus yang lebih besar juga menyebabkan organ dari abdomen ke perut tertolak pada diafragma menyebabkan berlakunya refluks asid kerana fungsi LES terjejas. Gejala refluks asid juga boleh disebabkan oleh hernia hiatus, yang menolak sebahagian daripada perut melalui diafragma hiatus. Oleh sebab berat badan bertambah semasa mengandung, berat berlebihan pada bahagian pinggang sering kali menekan abdomen dan meningkatkan tekanan pada bahagian dalam. Tekanan ini boleh memaksa makanan masuk ke dalam esofagus

Antara golongan yang mudah menghidap refluks asid termasuklah mereka yang makan secara berlebihan, minum terlalu banyak alkohol, dan mengambil ubat tertentu, makanan berempah dan berminyak, dan juga makanan berasid. Mereka ini juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat GERD. Makanan yang boleh memburukkan lagi gejala GERD termasuklah pudina, coklat, tomato, bawang, makanan berlemak, kopi, teh, jus buah- buahan sitrus dan alkohol. Sebaliknya, pengambilan sedikit halia boleh mengurangkan gejala GERD.
Anda boleh mengurangkan gejala refluks asid dengan makan sedikit tetapi secara lebih kerap, selalu bersenam (tetapi elakkan senaman melompat naik dan turun dan sebarang aktiviti membongkok ke depan) dan memakai pakaian longgar. Anda juga boleh mengurangkan gejalanya dengan menaikkan sedikit kepala katil dan juga tidur mengiring ke kiri, kerana dalam kedudukan ini, perut lebih rendah daripada esofagus. Jangan minum alkohol dan berhenti merokok jika anda mengalami sebarang gejala asid refluks. Anda juga patut mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika muntah teruk.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, June 04, 2011

Hormon, Enzim Lancarkan Tubuh

Puan Aliza berjumpa saya kerana anaknya mengalami obesiti. Anak gadisnya yang berusia 18 tahun mempunyai berat badan hampir 100kg. Menurut Puan Aliza anak gadisnya yang bernama Sara sukar menurunkan berat badan meskipun mencuba berkali kali. Sara merupakan anak sulung yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading tidak lama lagi. Dia berasa tertekan dengan keadaan itu dan mahukan satu penjelasan mengapa berat badannya tidak turun meskipun telah berusaha keras mengurangkan makan dan berdiet. Wajah nya bulat dan lemak menggeleber di bawah dagu. Bahagian belakang tubuhnya juga berlemak dan lengan nya menjadi terlalu besar. Ini membuatkan anak gadis itu berasa kurang yakin dengan penampilan dirinya. Pakaiannya setiap hari adalah baju T besaiz besar dan jeans lusuh. Sebagai gadis remaja dia ingin berbaju cantik namun apakan daya penyakit obesiti yang menyerang membuat dia tidak dapat menikmati zaman remaja dengan maksimum.

Puan Aliza mengajak Sara berjogging bagi menguruskan badan namun Sara berasa terlalu letih. Setiap langkah terasa berat dan sukar sehinggakan akhirnya Sara membuat keputusan untuk berhenti bersenam. Anehnya apabila dia berehat dia tidak merasa hilang keletihan itu. Akibatnya Sara gemar berbaring sahaja sambil membaca atau menonton televisyen.

Apabila Puan Aliza cuba berbincang, Sara enggan mengulas lanjut lagi tentang masalah obesiti. Dia seakan akan sudah putus asa. Dia mula berubah menjadi murung dan sensitif dengan kritikan serta teguran terhadap tubuh badannya.

Pada suatu hari Puan Aliza ternampak Sara menjamah makanan pada tengah malam. Sara memberi alasan bahawa dia tersangat lapar. Dia tidak dapat membendung rasa lapar. Apabila makan dia berasa bertenaga dan kenyang hanya selama beberapa jam. Selepas itu keinginan untuk makan muncul semula dan dia sukar menahannya.

Dalam rawatan obesiti, simptom simptom sebegini adalah fenomena yang melanda mereka yang mempunyai kadar metabolik rendah

Mereka yang bermetabolik rendah bukan sahaja gemuk malah berubah wajah menjadi tidak cantik disebabkan oleh kehadiran air yang banyak di bawah kulit. Air ini merupakan sejenis bahan berlendir dan berlemak juga. Ia hadir di bawah kulit membuatkan kulit tampak sembap dan tidak bercahaya. Wajah tampak kasar dan lebar membuatkan mereka hilang kecantikan yang dimiliki. Oleh kerana simpanan air yang banyak mereka ini kurang minum air. Mereka juga tidak selesa dalam cuaca panas dan tidak tahan cuaca terlalu sejuk juga. Tubuh mereka sukar mengadaptasi perubahan cuaca.

Wajah seseorang yang obes hampir sama bentuknya. Ini di sebabkan faktor hormon yang mengumpulkan lelemak pada pipi dan leher. Hal ini membuatkan mereka kehilangan bentuk wajah asal dan kelihatan hampir serupa. Apabila kurus semula barulah mereka mendapat kembali kecantikan wajah yang hilang akibat lemak itu.

Rawatan meningkatkan metabolisme memerlukan komitmen yang tinggi. Di Marisaa Estetik kunci utama kejayaan kami dalam menurunkan berat badan pelanggan adalah kefahaman yang jelas mengenai proses metabolik. Apabila pelanggan mendapat kefahaman yang jelas dia akan berusaha mengubah corak kehidupan sebagaimana yang disarankan. Langkah pertama adalah mengubah persepsi dan kefahaman terhadap pemakanan. Apabila pelanggan faham maka mereka tidak membenci makanan sebaliknya hati mereka menjadi tenang kerana masalah sebenar bukanlah di sebabkan pemakanan. Masalah sebenar adalah mereka tidak mempunyai hormon dan enzim yang mencukupi bagi menukarkan makanan kepada tenaga. Kerana itulah mereka keletihan dan tubuh menjadi lemah. Apabila seseorang makan dan minum, makanan itu akan di tukarkan kepada tenaga kepada empat bahagian tubuh iaitu otot, otak hati dan sel lemak. Makanan tiba pada sel otot bertukar kepada tenaga yang membolehkan pergerakan dan aktiviti fizikal tubuh kita. Apabila tiba ke otak pula ia bertukar kepada tenaga menghasilkan neurotransmitter bagi otak kita. Begitu juga apabila ia tiba pada hati. Di hati pelbagai proses penghasilan protein berlaku. Hati dianggap sebagai kilang menghasilkan protein yang diperlukan oleh tubuh kita. Makanan juga akan tiba ke lemak tubuh dan bergabung membentuk simpanan lemak yang digunakan kembali semasa tubuh kita memerlukannya. Masalah obesiti terjadi kerana proses penggunaan tenaga terganggu. Sebaliknya semua makanan yang dimakan hanya menjadi lemak dalam tubuh sahaja.

Dengan terapi enzim dan hormon proses metabolik akan berjalan lancar semula. Dengan itu golongan yang bermasalah akan dapat menurunkan berat badan dengan mudah.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, June 02, 2011

Makanan Segera Jadi Lambang Status

Menduduki tangga keenam di rantau Asia sebagai negara yang mempunyai kadar penduduk obes yang tinggi semestinya fakta yang 'menakutkan'. Apatah lagi jika dilihat rangking di Asia Tenggara di mana Malaysia mendahului senarai. Tentunya perkembangan negatif itu memberi kesan kepada pembangunan negara selain menyanggah matlamat kerajaan mahu mewujudkan rakyat yang sihat mental serta fizikal. Peratusan dan angka telah terbentang. Namun ada kalangan rakyat negara ini enggan mengakui hakikat tersebut. Penjagaan diri dan keluarga terutama dari sudut pemakanan terus diabaikan. Maka lahirlah generasi muda obes, pada masa yang sama orang dewasa turut 'terjerumus'.

Dr. Natasha Ramli ketika ditanya perihal obesiti pantas memberitahu sering dikunjungi pesakit yang mengalami masalah berat badan keterlaluan. ''Jika ada 50 pesakit datang ke klinik, 10 mempunyai masalah berat badan,'' katanya ketika ditemui di Klinik Harmoni, Puchong Permai. Memandang berat masalah tersebut, beliau kini mengkelaskan obesiti sebagai penyakit yang mesti dirawat segera. Namun bagi Dr. Natasha, rawatan tidak akan berjaya tanpa kesungguhan serta kerjasama pesakit.

Atas sebab itu, beliau kini melihat proses merawat obesiti dalam konteks yang lebih luas. ''Jika saya didatangi seorang bapa berhadapan masalah berat badan, maka saya akan melihat juga keadaan anak-anaknya. Cara ini bagi membolehkan rawatan obesiti dijalankan secara holistik,'' katanya.

Dr. Natasha bersetuju bahawa faktor utama obesiti adalah kualiti pemakanan tidak dijaga sehingga makanan kaya gula dan karbohidrat memenuhi rak pasar raya, kantin sekolah/pejabat malah di luar tadika.

Trend masyarakat di negara ini pula tidak peka atau malas menyemak label kandungan menyebabkan pembelian produk makanan dilakukan secara semberono tanpa mengambil kira zat dan khasiat.

Malah, ada yang terlalu percaya pada dakwaan pengiklan produk sehingga menjadikan sesuatu jenis makanan keutamaan untuk anak-anak.

''Ibu bapa sukar membezakan antara makanan yang berkhasiat dengan makanan segera yang kurang zat makanan.

''Besar kemungkinan kesan iklan membuatkan ibu bapa berasakan makanan ringan yang tidak berkualiti sesuai dengan gaya hidup moden,'' katanya yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur.

Dr. Natasha juga melihat kalangan masyarakat menjadikan makan segera sebagai lambang status zaman moden dan seakan satu kebanggaan apabila melangkah masuk ke restoran makan segera yang mahal harganya. ''Oleh kerana kehidupan moden berjalan dengan pantas maka makanan juga perlu pantas disediakan. Maka kita disogokkan makanan segera dengan perasa tiruan dan timbunan kalori yang tinggi,'' katanya.

Beliau menarik perhatian tentang ciri-ciri makanan segera biar pun mungkin perkara itu telah diketahui ramai. Katanya, makan segera biasanya mempunyai perisa yang menggiurkan lidah, cepat dimasak dan amat menyelerakan. Ini berkait rapat dengan proses bio chemical dalam tubuh badan dan tanpa disedari kita menjadi mangsa kegemukan.

Sambil melahirkan kebimbangan tentang obesiti di kalangan kanak-kanak yang disifatkan mangsa paling teraniaya, Dr. Natasha berkata, keadaan itu menyebabkan kanak-kanak yang sepatutnya cergas tetapi kehilangan stamina. Masyarakat pula menerima kanak-kanak obesiti sebagai comel dan mereka sering dimanjakan. Akibatnya sehingga dewasa mereka dibelenggu oleh obesiti melampau.

Sebab itu fokus utama ibu bapa dalam mengawal pemakanan kanak-kanak sepatutnya bermula apabila mula berjalan. Ini kerana kebiasaannya apabila mula berjalan, kanak-kanak akan mengalami penyusutan berat badan.

Berbeza dengan kanak-kanak obes yang tidak mampu bergerak cergas dan fizikal tubuhnya menghalang aktiviti cergas dan lasak.

''Keadaan ini menyebabkan pengumpulan lemak semakin meningkat. Ini adalah satu kitaran obesiti yang sukar dihentikan,'' katanya.

Pemerhatian Dr. Natasya mendapati kalangan kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan 70 peratus akan membesar dan menjadi obes. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapanya obes kemungkinan 80 peratus daripada mereka akan menjadi obes.

Di kalangan kanak-kanak dan remaja sering berlaku diskriminasi sosial terhadap si gemuk menyebabkan mereka tidak selesa ke sekolah. Gelaran dan jolokan kawan-kawan membuat dia malu dan berasa tersisih.

''Ibu bapa harus peka dengan situasi begini dan perlu menyuntik semangat serta menggalakkan mereka mengurangkan berat badan.

''Seorang kanak kanak atau remaja yang kecewa dengan keadaan obes seringkali berputus asa. Bila perasaan putus asa, mereka bersikap tidak endah dan marah dengan teguran-teguran mengenai keadaan dirinya.

''Kita perlu peka dengan keadaan ini dan harus mengambil pendekatan psikologi yang betul agar niat untuk membantu golongan ini menguruskan badan tidak dianggap mengkritik atau menghina,'' katanya.

Di kalangan orang dewasa juga wujud diskriminasi terhadap si gemuk tetapi tidak begitu ketara. Orang dewasa lebih bijak menangani emosi jadi jarang timbul isu diskriminasi yang melampau. Namun terdapat juga isu-isu yang menyebabkan orang gemuk tidak menjadi pilihan utama dalam alam pekerjaan.

Ditulis oleh: Noraini Abdul Razak  

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/