Pengalaman melawat Wad Psikiatri, Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor lima tahun lalu masih segar dalam ingatan.
Suasana keliling begitu menyentuh perasaan. Penulis hanya dapat melihat wajah-wajah sayu yang bagaikan kehilangan sesuatu. Mereka ialah pesakit yang sedang menjalani rawatan psikiatri.
Melihat keadaan keliling, kesedihan dalam hati makin terasa terutama kala memikirkan bahawa mereka ini tidak minta dijadikan begini. Seperti orang lain mereka juga berhak menikmati kehidupan sempurna sama seperti insan lain.
Ketika orang lain dapat hidup sempurna dan selesa, mereka tersisih daripada keluarga dan terpaksa tinggal di wad ini untuk diberi perhatian dan pemulihan.
Pada masa itu, ramai yang tidak menyedari wujudnya masalah kesihatan mental dan bilangan pesakit mental tidak ramai.
Apa pun sebagai manusia, penulis yakin dan pasti kebanyakan pesakit di situ memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat untuk kembali pulih.
Seorang doktor memberitahu, hanya kira-kira satu perlima orang boleh mendapat gangguan mental tetapi orang lain boleh membantu dalam pelbagai aspek.
Menjaga kesihatan mental dan mengelakkan gangguan mental menjadi urusan kita semua.
Selain itu, ia dapat membina keluarga bahagia di samping menjaga kepentingan masyarakat sejagat.
Mungkin ada pihak yang tidak mengetahui bahawa terdapat rawatan dalam komuniti di mana rawatan susulan diberi di rumah pesakit bagi penyakit mental yang berpanjangan dan serius seperti yang dilakukan oleh pihak hospital ini.
Banyak rahsia yang kita tidak tahu di sebalik isu kesihatan mental ini.
Sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pelbagai kempen untuk memastikan masyarakat mengambil berat tentang isu ini.
Baru-baru ini, KKM memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah menengah untuk menangani masalah stres yang semakin meningkat dengan sebanyak 400,227 pesakit mental menjalani rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun lalu.
Modul ini antaranya bertujuan memberi pendedahan kepada guru untuk mengenal pasti pelajar yang berdepan stres dan kemurungan, ini memastikan pelajar berkenaan menerima rawatan dan bimbingan seawal mungkin.
Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar motivasi, Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, masalah penyakit mental semakin serius dan ia boleh melanda sesiapa saja.
Dalam pada itu, beliau berpendapat, langkah KKM itu sebagai tindakan yang tepat memandangkan peningkatan kes penyakit mental di kalangan remaja seperti stres kian meningkat.
“Salah satu punca mengapa golongan ini mengalami masalah mental seperti stres ialah tiada sokongan sosial seperti rakan dan ibu bapa. Ramai ibu bapa suka menyalahkan anak mereka jika berlaku sesuatu dan ini menyebabkan anak mereka tidak berani berkongsi masalah.
“Kedua, kita lihat punca stres banyak berlaku disebabkan kawasan persekitaran. Misalnya, rakan-rakan tidak mahu mendengar masalahnya. Statistik cubaan bunuh diri juga semakin meningkat. Dengan pendedahan awal cara mengatasi masalah mental di sekolah, pelajar dapat mengetahui cara menyalurkan masalah mereka dengan betul,” ujarnya.
Peranan kaunselor
Tambah Dr. Mohammad Shatar, pelajar perlu mencari orang yang boleh mendengar masalah mereka. Ramai yang tidak tahu, hanya dengan mendengar masalah orang lain, kita dapat membantu mereka menyelesaikan masalah sebanyak 95 peratus.
Namun, kesedaran kesihatan mental perlu diperluas kepada ibu bapa.
“Senario remaja sekarang tidak sama dengan era 30 tahun dahulu. Seperti pesanan Rasulullah, ibu bapa perlu menjadikan anak-anak mereka yang berusia belasan tahun sebagai kawan. Selain itu, pelajar dan masyarakat perlu sedar wujudnya institusi kaunseling yang boleh membantu mereka mendengar masalah. Bagi pelajar, luahkan masalah kepada kaunselor adalah penyelesaian terbaik apabila berhadapan dengan stres. Selain itu, pelajar perlu memilih rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan moral,” katanya.
Mengulas keperluan kempen anti stigma supaya tidak berlaku diskriminasi ke atas pesakit mental, Dr. Mohammad Shatar memberitahu, masyarakat perlu memberi sokongan kepada pesakit khususnya golongan remaja.
Baginya, zaman sekarang moden dan semua bergerak pantas serta singkat yang menjadi faktor utama berlakunya stres.
Justeru itu, kerjasama, sokongan moral dan tidak mudah menghukum perlu dipupuk dalam masyarakat khususnya kepada orang sekeliling yang mungkin berhadapan dengan masalah mental.
Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment