Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, February 28, 2011

Diet Zaman Batu

Semasa berkunjung ke China dan Vietnam hati terdetik melihat rakyat di situ yang rata-rata mempunyai berat badan ideal. Mereka tidak terlalu gemuk dan tidak terlalu kurus.

Apabila berjumpa dengan beberapa doktor di kedua-dua negara, mereka mengesahkan kadar obesiti di sana sangat rendah.

Saya terpanggil untuk meneliti dengan lebih terperinci corak pemakanan yang diamalkan sehingga membolehkan sistem hormon metabolik di dalam dalam tubuh mereka berfungsi dengan begitu baik sekali.

Saya dan Dr. Muzvin yang mengendalikan klinik Isahak di kompleks PKNS Shah Alam terpanggil ke Vietnam sekali lagi dua minggu lalu. Kami membuat suatu eksperimen dengan mengambil makanan Vietnam selama beberapa hari. Kami ingin merasai sendiri budaya makan di sana agar dapat mengubah corak pemakanan ke arah yang lebih baik serta menghebahkan kepada keluarga dan para pembaca yang saya sayangi.

Sarapan pagi masyarakat Vietnam adalah semangkuk ulam (lebih kurang segenggam) dan sup bihun. Cuma sedikit bihun dimasukkan dan ditambah cendawan serta sayur-sayur yang direbus sekejap. Sup sayuran itu dibuat tanpa menggunakan minyak. Masyarakat Vietnam yang beragama Islam memelihara sendiri ayam dan ternakan lain dan memastikan haiwan itu turut memakan sayur-sayuran serta rumput yang segar.

Selain sup, popia berintikan sayur-sayuran turut dihidangkan semasa sarapan. Sayur-sayuran itu dimakan mentah. Hidangan tengah hari juga merupakan sesuatu yang unik bagi kami. Menu di semua restorannya menawarkan sayur-sayuran jauh lebih banyak berbanding ikan, ayam dan daging. Kami menjeling beberapa wanita Vietnam yang sedang menikmati makanan tengah hari. Mereka makan tiga jenis sayuran dan satu jenis lauk sahaja iaitu ikan goreng. Nasi pula hanya setengah genggam.

Di Vietnam kami tidak berjumpa keropok atau makanan segera yang berperisa. Di mana-mana rakyat mereka mengunyah buah-buahan segar atau jeruk buah-buahan. Mereka turut memakan umbut dan kacang namun kami tidak berjumpa kentang dan juga ubi keledek.

Kesimpulannya, mereka tidak mengamalkan karbohidrat yang banyak. Mereka juga tahu bahawa makanan yang perlu dimasak sampai empuk mempunyai sejenis toksin yang merosakkan tubuh badan.

Di dalam diet kita sehari harian, karbohidrat merupakan komponen terbesar. Di sebelah pagi kita dihidangkan dengan nasi lemak, nasi goreng, nasi dagang dan pelbagai jenis nasi, mi serta roti. Makanan berasaskan gandum mengandungi karbohidrat hampir seratus peratus.

Karbohidrat merupakan salah satu gizi makanan yang mustahak untuk menghasilkan tenaga di dalam tubuh kita. Dalam kesihatan moden, karbohidrat boleh dikategorikan sebagai karbohidrat baik dan karbohidrat tidak baik.

Secara asasnya, semua karbohidrat merupakan bahan berstruktur gula. Jenis karbohidrat dikelaskan mengikut bilangan gula di dalamnya iaitu:


  • Monosakarida: 1 unit gula seperti glukosa dan fruktosa




  • Dissakarida: 2 unit gula seperti sukrosa dan laktosa




  • Oligosakarida dan polisakarida: Banyak unit gula seperti glikogen, kanji dan sellulosa




  • Secara umumnya, jenis jenis makanan yang mengandungi karbohidrat sihat adalah buah-buahan, kekacang, sayur sayuran.

    Buah-Buahan

    Walaupun buah-buahan merupakan sumber karbohidrat yang sihat, namun begitu tidak semua buah-buahan adalah sama. Buah buahan yang mengandungi kandungan gula yang rendah seperti nangka atau lemon adalah lebih baik berbanding buah yang mengandungi gula yang tinggi seperti mangga dan pisang.

    Buah buahan yang mengandungi gula yang tinggi menyebabkan paras gula meningkat dengan cepat di dalam darah apabila dimakan. Keadaan ini akan merencat penghasilan hormon yang perlu untuk anti-penuaan dan kesihatan seperti kortisol , growth hormone, testosterone, estradiol, DHEA dan androstenedione.

    Peningkatan gula yang tinggi akan merangsang penghasilan hormon insulin di mana insulin akan menukar gula kepada lemak di dalam badan.

    Lemak yang dikandung badan akan digunakan semula sebagai tenaga. Proses penukaran lemak kepada tenaga berlaku di mitokondria iaitu kilang tenaga dalam badan. Bagi membolehkan proses ini berlaku, kita memerlukan sistem hormon yang baik. Hormon metabolik perlu berinteraksi dengan enzim bagi membolehkan protein menjana tenaga daripada lemak.

    Hormon adalah molekul aktif terbina daripada protein yang dikeluarkan oleh kilang-kilang hormon di seluruh tubuh kita. Otak kita mengeluarkan banyak jenis hormon yang mengawal metabolisme, pembesaran, daya ingatan dan jantung. Malah tidur juga dipengaruhi oleh hormon. Ini bermakna gejala insomnia juga disebabkan hormon yang tidak cukup.

    Masalah hormon tidak cukup menjadi persoalan yang amat menarik. Besar kemungkinan faktor makanan kita yang sering ditambah agen pengawet menyebabkan kerosakan pada sistem hormon kita.

    Kadar peningkatan gejala diabetes dan jantung membuktikan kepada kita bahawa kerosakan hormon merupakan fenomena moden yang perlu ditangani segera. Begitu juga peningkatan kadar obesiti yang merupakan masalah seluruh dunia. Mereka yang obes bukanlah seratus peratus disebabkan makan banyak. Masalah ini berpunca daripada kerosakan hormon dan menjadi kitaran obesiti yang menakutkan. Kita harus mengkaji amalan pemakanan di negara yang belum tercemar dengan budaya pemakanan dari barat. Kita harus mencontohi cara pemakanan yang sebegitu.

    Toksin di dalam karbohidrat merosakkan kesihatan kita sekali gus menjadikan kita lemah, lesu, cepat tua dan diserang pelbagai penyakit.

    Makanan yang terbaik adalah makanan yang tidak perlu dimasak lama. Tiada toksin di dalamnya yang perlu dibuang melalui pemanasan. Seandainya makanan itu perlu dimasak lama sebelum boleh dimakan itu bermakna makanan tersebut mempunyai toksin yang banyak. Kalau dimakan mentah akan memudarat dan mendatangkan penyakit. Saya memberi contoh kentang, nasi dan ubi yang tidak boleh dimakan mentah. Ikan dan daging lebih cepat masak berbanding nasi. Cuba anda fikirkan yang manakah yang lebih selamat dimakan. Di zaman batu (paleolithic) manusia sangat kuat tegap dan sihat dengan amalan makanan yang kurang dimasak. Diet paleolithic menjadi satu isu yang menarik untuk dikaji.


    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Saturday, February 26, 2011

    Seks Hebat Selepas Usia 50

    Tidak ramai yang mahu memperkatakan tentang seks selepas menopaus (bagi wanita) dan lelaki yang mencecah usia 50 tahun. Kalangan masyarakat timur yang terikat dengan budaya dan agama, seks bukan topik yang boleh dibual bicara secara bebas. Apatah lagi seks pada usia emas.

    Tentu ada segan dan silu mahu bercakap tentang isu itu lantaran pada usia emas, ramai yang percaya seks bukan sesuatu yang penting. Malah, ada wanita yang terus meminggirkan seks biar pun hakikatnya ruang dan waktu untuk bersama pasangan amat terbuka luas selain tidak lagi ‘diganggu’ anak-anak yang telah dewasa.
    Lain pula ceritanya bagi lelaki. Usia bukan faktor, walaupun ada istilah andropaus untuk merujuk kepada ‘kebolehan’ mereka tetapi lelaki selalu mendakwa ‘boleh’ tidak kira berapa usia.

    Hakikatnya seks pada usia emas tidak hanya terbatas di ranjang. Kemesraan, belaian, jalan berpimpin tangan serta saling mencurahkan perasaan mesti terus dipupuk. Tanggapan bahawa seks dan usia emas tidak lagi berjalan seiring menjadi salah satu punca kadar perceraian di kalangan warga emas semakin meningkat.

    Lantaran kekosongan waktu tidak diisi, kesunyian tidak dirawat menjadikan usia emas ‘titik’ pemula kepada pasangan suami isteri memulakan hidup baru dengan memilih untuk bersendirian atau mencari ‘teman’ baru.
    Seperti mana kita sering melihat pasangan warga emas dari Eropah terutamanya menghabiskan usia tua melancong sambil mengembalikan kehangatan ‘bercinta’, itulah sebenarnya salah satu cara untuk memastikan rumahtangga yang dibina kekal ke akhir hayat.

    Kajian Pengarah San Diego Sexual Medicine Alvarado Hospital, Irwin Goldstein mendapati seks yang paling hebat di muka bumi ini adalah selepas usia 50 tahun.

    Tentu timbul persoalan benarkah begitu dan mengapa?

    “Anda tidak perlu risau didatangi haid, anak-anak di dalam rumah dan boleh mengadakan hubungan seks di mana-mana bilik yang anda suka,’’ katanya.

    Menurut seorang lagi penyelidik, seks semasa usia 40-an bukannya tidak hebat, tetapi wanita masih terikat dengan jadual menyediakan makan tengah hari, ‘berperang’ dengan karier dan paling penting mengelak daripada hamil.

    “Usia 40 ke 50 ada titik kebimbangan bagi kebanyakan wanita kerana mereka masih boleh hamil.
    ‘‘Apabila menopaus kebimbangan itu lenyap,’’ kata profesor perubatan, fisiologi dan biofizik University of Colorado Health Science Center, Denver.

    Fikirkan, tanpa tampon, pelapik seluar dalam, pil, diafgram, IUD atau kondom, apa lagi yang lebih teruja selain menikmati seks tanpa ada rasa kecamuk di dalam fikiran.

    Selepas berusia 50 tahun, kemungkinan anak-anak mengganggu mana-mana sesi ‘bilik tidur’ atau mengejutkan anda di tengah malam amat jarang berlaku. Semestinya keadaan itu merupakan peluang yang ditunggu-tunggu kebanyakan pasangan suami isteri dalam proses mendapatkan kepuasan daripada hubungan seks yang mereka jalin.

    Tiada gangguan, jawapannya seks berlangsung secara ‘aman’, tidak juga perlu melakukannya dalam keadaan terburu-buru atau berhati-hati.

    Faktor itu dilihat oleh Profesor Madya Amanda Richards yang juga pakar perbidanan di University of Miami Miller School of Medicine sebagai amat penting.

    ‘‘Anak-anak semakin berdikari dan pasangan suami isteri mempunyai lebih masa untuk diri dan hubungan mereka sendiri,’’ katanya.

    Ingat watak Mrs. Robinson dalam siri The Graduate pada tahun 1960-an? Warga emas tahu apa yang mereka mahukan semasa di kamar tidur dan tidak segan silu untuk berterus terang mengenainya.
    “Menopaus adalah masa yang amat penting bagi kebanyakan wanita. Ramai yang sedar mereka telah mengetepikan kepentingan seksualiti sejak sekian lama, dan jika kesempatan yang ada tidak digunakan sepenuhnya, tidak akan ada peluang lagi untuk mereka.

    “Terdapat data menunjukkan wanita semakin relak dan selesa dengan pasangan masing-masing apabila meningkat usia. Keadaan itu boleh menambah baik prestasi seksual mereka,’’ kata Dr. Richard dalam satu jurnal kesihatan.

    Jika nafsu seks merupakan satu masalah, pengurusan hormon yang kini banyak ditawarkan di klinik-klinik boleh membantu. Sementara penggunaan terapi penggantian hormon secara tradisional yang mengandungi estrogen dan progestin tidak lagi digalakkan kerana risiko terhadap kesihatan dan jantung, masih ada pilihan lain.

    Terapi hormon yang mementingkan testosterone telah diuji dan dikaji sebagai salah satu cara untuk merangsang nafsu tanpa kesan sampingan.

    Memang benar perubahan hormon semasa pertengahan usia boleh menyebabkan kekeringan vagina.
    Tetapi keadaan itu boleh dijadikan alasan untuk mencuba dan melalui pengalaman baru yang lebih menarik hasil penggunaan cecair pelincir yang direka khas untuk mengatasi masalah tersebut.

    “Kekeringan vagina selepas menopaus akan mendorong wanita bereksperimen dengan cecair pelincir yang direka khas untuk membantu merehatkan otot-otot sekeliling bagi menikmati seks selepas menopaus,’’ kata Dr. Richard.

    Selain gangguan anak-anak, nafsu dan hormon, usia 50 tahun adalah masanya untuk menikmati faedah sebenar selepas dibelenggu pelbagai hutang untuk membeli rumah serta kenderaan yang selesa.

    Anda boleh melakukan hubungan seks di mana-mana saja yang anda inginkan di rumah yang bukan lagi milik bank.

    Pada usia tersebut juga kedudukan kewangan pasangan semakin kukuh, oleh itu menikmati makan malam mewah dan romantik pastinya mampu merangsang keinginan untuk hubungan yang lebih intim.

    Pastinya, wanita menopaus tidak lari daripada dilanda stres. Tetapi pada usia tersebut, anda tidak akan berasa tertekan disebabkan oleh kerja seperti mana ketika berusia 20an, 30an dan 40an.

    Wanita menopaus selalunya telah mencapai kemuncak kerjaya, justeru mereka kurang berasa tertekan. Tekanan atau stres mempunyai kesan negatif kepada keinginan seksual.

    ‘‘Salah satu mimpi ngeri banyak wanita menopaus bukannya kebebasan untuk mengadakan hubungan seks di mana sahaja tetapi mempunyai pasangan yang tidak boleh ‘beraksi’ di mana-mana sahaja,’’ kata Dr. Goldstein.

    Apa juga masalah - ejakulasi pra-matang, kegagalan erektil dan hormon yang rendah - sentiasa ada rawatan susulan daripada dunia perubatan moden yang boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut.

    ‘‘Wanita menopaus kebiasaannya mempunyai pasangan yang lebih berusia, di mana, jika mahu dikaitkan dengan soal ‘prestasi, lebih bersifat terbuka dan bersedia menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan pengalaman seksual yang lebih memuaskan,’’ kata Dr. Richard.h

    Ditulis oleh: Noraini Abd. Razak
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Thursday, February 24, 2011

    Pembiakan Sel Stem di Makmal

    Sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan kita, sel stem diperolehi daripada tubuh badan manusia dan ia berguna menggantikan sel yang hilang atau rosak.

    Sememangnya, kini semakin ramai mula sedar mengenai kebaikan sel stem kerana terbukti mampu menyembuhkan banyak jenis penyakit terutama berkaitan darah.

    Namun, ia bukan semudah yang disangka. Selain tidak ramai mampu menanggung kos pengambilan dan penyimpanan sel jenis itu, terutama yang diambil daripada tali pusat, ada pula yang masih was-was dengan statusnya dan menganggap bertentangan dengan agama kerana ia diambil daripada bayi baru lahir.
    Hakikatnya, masyarakat masih lagi belum jelas dengan perkara tersebut.

    Menyedari kebaikan sel stem dalam usaha penyembuhan penyakit, seorang penyelidik dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Chong Pan Pan menjalankan kajian pembiakan sel stem di makmal bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

    Kesungguhannya mendapat pengiktirafan Loreal Malaysia di mana dia menerima Anugerah ‘For Women in Science’ tahun lalu.

    Pelajar peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Kejuruteraan Tisu itu menjalankan projek “Generation of Induces Pluripotent Stem Cells from Human Mesenchymal-Like Stem cells of Peripheral Blood Origin for Chondrogenic Differentiation.”

    “Mungkin tajuknya kedengaran agak mengelirukan. Tapi hakikatnya ia tidak sukar untuk difahami. Apa yang sedang saya lakukan adalah menghasilkan sel stem mesenchymal (MSC) daripada darah orang dewasa. Sel ini datang daripada tubuh badan kita sendiri, iaitu orang dewasa. Itu bezanya daripada sel stem tali pusat bayi,” katanya.

    MSC adalah sel berasaskan multipoten (bermakna ia boleh membentuk banyak jenis tisu daripada satu sel semula jadi), yang mempunyai potensi untuk menghasilkan variasi tisu seperti tulang, rawan, tendon, ligamen, otot, sumsum, lemak dan dermis (kulit).

    Menurutnya, sel jenis itu boleh ditukar kepada apa saja jenis yang kita mahu dan ditempatkan pada tempat yang ingin diubati.

    MSC katanya, boleh ditemui dengan banyak pada bahagian badan terutama sekali di bahagian sumsum tulang. Namun, ia ditemui dalam jumlah yang kecil pada darah.

    “Kerana itu saya cuba membangunkan kaedah baru dengan mengambilnya daripada darah menggunakan jarum khas dan cuba membiakkannya menjadi jumlah yang banyak di makmal,” katanya.

    Kepentingan kaedah itu kata Pan Pan, ia mengurangkan kesakitan pesakit melalui proses pembedahan yang rumit ketika pengambilan MSC dari tubuh badan di samping mempercepatkan proses penyembuhan.

    “Cuba bayangkan setiap kali ingin menjalani rawatan kita terpaksa melalui prosidur yang rumit untuk mendapatkan MSC. Namun dengan kaedah yang saya bangunkan ini, ia boleh diperolehi dengan hanya sebatang jarum yang kecil. Pasti kesannya sangat berbeza,” katanya.

    Memperbaiki

    Menurut Pan Pan, penyelidikan beliau lebih kepada memperbaiki sakit sendi seperti lutut dan pinggul. Terdapat lapisan pada sendi yang membantu melancarkan pergerakan dan mengurangkan kesakitan disebut artikular atau rawan. Bila berlaku kerosakan, rawan mempunyai sedikit kapasiti untuk memperbaiki kerosakan sendiri. Jika tidak diperbaiki ia akan rosak dan tiada lagi rawan yang tinggal.

    Keadaan ini boleh dikaitkan dengan osteoartritis yang berlaku di kalangan orang tua. Perkara ini menurut beliau juga boleh berlaku di kalangan orang muda.

    “Impian saya adalah ingin memperbaiki masalah ini dan membolehkan semua orang pulih dengan mudah tanpa melalui pelbagai proses yang rumit,” katanya.

    Walaubagaimanapun, wanita yang gemar mengembara itu tetap mengalami masalah di mana sel yang diperolehinya lambat berkembang di makmal dan mempunyai hayat yang terhad. “Saya berharap dengan pengenalan teknik terbaru dengan menyuntik sedikit gen pada sel, ia mampu diperbaiki,” katanya mengakhiri perbualan.

    Ditulis oleh: Bintu Rasyada A. Rahman
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Tuesday, February 22, 2011

    Punca Jangkitan Bayi

    Rashidah bersyukur dikurniakan bayi perempuan comel bernama Mila. Beberapa minggu selepas Mila dibenarkan pulang ke rumah keadaan menjadi sibuk kerana ada sahaja sanak saudara dan sahabat handai melawat si comel.

    Suatu hari, Rashidah batuk - batuk dan seperti demam selesema dengan rasa perit di tekak. Menyangkakan hanya batuk biasa akibat kesibukan menjaga bayi yang baru lahir, maka dia membeli ubat batuk dari kedai.

    Dalam tempoh seminggu, batuk yang dialami semakin teruk dan diiringi kesesakan bernafas. Akhirnya dia berjumpa doktor dan disahkan menghidap pertusis yang dikenali batuk kokol. Tanpa disangka Mila pula menunjukkan tanda jangkitan seperti batuk teruk diikuti bunyi ‘whoop’ yang nyaring. Setiap kali batuk , mukanya merah padam, menyebabkannya rasa rengsa dan meragam. Mila disahkan menghidap pertusis.

    Rashidah diberitahu bahawa daya tahannya terhadap pertusis telah berkurangan secara beransur-ansur walaupun dia pernah diberi vaksin penyakit itu semasa bayi. Sementara itu, Mila pula masih belum sempat diberi tiga dos vaksin pertusis, sebab itulah dia terdedah kepada penyakit itu. Untuk mencegah jangkitan daripada merebak, doktor mencadangkan agar anak sulung Rashidah, Rashid yang berusia 9 tahun diberi vaksin penggalak (booster).

    Kenali pertusis

    Batuk kokol atau dalam bahasa Inggeris (Pertussis), atau (whooping cough), adalah penyakit yang mudah berjangkit dan merupakan salah satu penyakit bervaksin penyebab utama kematian.

    Terdapat 30 hingga 50 juta kes setiap tahun, dan sekitar 300,000 kematian setahun. Hampir 90 peratus kes berlaku di negara membangun.

    Penyakit batuk kokol disebabkan bakteria Bordetelia pertussis dan berpunca daripada jangkitan saluran pernafasan yang tersekat-sekat terutama di kalangan kanak-kanak berumur bawah dua tahun. Tanda-tandanya adalah batuk sekali-sekala dan melarat menjadi batuk kokol berpanjangan dan akhirnya muntah.
    Menurut Pakar Runding Pediatrik dan Presiden Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, Malaysia belum ada data terkini mengenai batuk kokol namun sehingga 2005, laporan kes penyakit ini menunjukkan peningkatan.

    Profil Imunisasi Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan hanya enam kes batuk kokol dilaporkan pada 2006.

    Ini disebabkan semua bayi di Malaysia wajib mendapatkan vaksin DTP (Difteria, Tetanus dan Pertusis). Keberkesanan vaksin ini berjaya mengekang penularan jangkitan batuk kokol buat masa ini.

    “Keimunan penuh terhadap batuk kokol bagi bayi hanya diperoleh selepas dos ketiga vaksin diberikan apabila bayi berusia lima bulan. Pendedahan kepada bakteria pada bila-bila masa sebelum keimunan penuh diperoleh boleh menyebabkan jangkitan, dan membawa kesan memudaratkan.

    ‘‘Masalahnya, daya tahan terhadap penyakit tidak kekal kerana tahap imuniti semakin berkurangan apabila kanak-kanak berusia 11 atau 12 tahun. Namun begitu, mereka boleh diberi suntikan penggalak untuk mencegah batuk kokol, agar tidak menghidap penyakit tersebut ataupun menyebarkannya kepada bayi yang baru lahir. Sebahagian besar daripada jangkitan batuk kokol di kalangan bayi baru lahir memang berpunca daripada orang dewasa yang dijangkiti,” ujar beliau pada sidang media tentang vaksin pertusis anjuran Sanofi Pasteur baru-baru ini.

    Vaksin

    Vaksin DTP ialah salah satu daripada vaksin dalam Program Imunisasi Kementerian Kesihatan yang bermatlamat memberi vaksin kepada setiap kanak-kanak di Malaysia. Bayi menerima suntikan vaksin DTP pada usia dua bulan, tiga bulan dan akhirnya lima bulan dengan satu lagi dos tambahan pada usia 18 bulan.
    Tambah Dr. Zulkifli, oleh kerana vaksin batuk kokol berkesan selama kira-kira lima tahun.

    “Langkah ini amat penting agar orang dewasa tidak menghidap penyakit dan menyebarkannya kepada bayi yang belum menerima dos pemvaksinan penuh DTP. Vaksin penggalak atau tambahan untuk dewasa berbeza daripada vaksin untuk bayi kerana ia mempunyai komponen difteria dan pertusis yang lebih rendah (dTp),” ujarnya.

    Beliau menambah, vaksin dTp untuk orang dewasa digalakkan khasnya bagi orang dewasa yang sentiasa berdekatan kanak-kanak seperti guru tadika, pekerja tadika, pembantu rumah dan juga pekerja kesihatan dan perubatan.

    Terbaru, terdapat vaksin baru yang lebih lama jangka hayatnya iaitu bertahan selama 10 tahun iaitu DTPa untuk kanak-kanak dan dTpa untuk dewasa.

    Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Sunday, February 20, 2011

    Kejatuhan Lemak Pada Muka

    Saya sering ditanya bagaimana cara bagi mendapatkan bentuk wajah yang sempurna apabila usia meningkat. Sememangnya diakui peningkatan usia menyebabkan permasalahan kulit yang melendut menjadikan kita kehilangan simetri wajah yang asal. Apa yang terjadi adalah disebabkan kejatuhan lemak pada muka dan kehilangan kolagen semulajadi.

    Ini menimbulkan masalah yang dikenali sebagai fat jowls iaitu keadaan di mana lemak jatuh di bawah pipi. Fat jowls yang terjadi meski pun tidak ketara seperti kedutan dan pigmentasi tetap menjadi satu fenomena yang menghodohkan. Wajah serta merta tampak tua dan riak wajah seolah-olah muram dan tertekan. Kehadiran fat jowls menimbulkan kesan penuaan wajah yang ketara dan sukar disembunyikan dengan kosmetik.

    Kehadiran lemak pada kawasan rahang sebegini membuatkan wajah tampak kendur. Lemak yang berkumpul semakin lama semakin banyak menjadikan wajah dipenuhi garis-garis penuaan. Untuk memahami proses pembentukan sekelompok lemak yang begini adalah baik kita mengenali struktur muka kita terlebih dahulu.

    Pada muka kita terdapat banyak salur darah dan saluran lymphatic. Sel-sel pada kulit paling mudah bereplikasi. Ini bermakna sebarang luka atau calar pada muka lebih cepat sembuh berbanding sel-sel kulit bahagian lain. Muka kita disokong oleh struktur tulang yang nipis. Tengkorak kita mempunyai struktur keras hanya pada bahagian kepala. Pada bahagian muka ia merupakan struktur tulang nipis yang berupa tulang cribriform. Tulang ini mempunyai lubang-lubang halus yang sangat banyak. Bahkan keseluruhan permukaannya mempunyai lubang lubang. Terdapat juga tulang rawan yang merupakan tulang lembut yang membentuk hidung dan cuping telinga. Terdapat juga jenis tulang ini pada sekitar soket mata kita.

    Faktor pembentukan fat jowl atau kejatuhan muka.

    Salur lymphatic yang tersumbat

    Apabila salur lymphatic tersumbat maka sel-sel lemak akan terperangkap dan tidak dapat bergerak. Lemak cair bergerak di dalam saluran lymphatic iaitu sistem pergerakan lemak yang penting dalam tubuh badan kita. Apabila salurannya tersumbat maka lemak akan berkumpul pada muka menyebabkan muka tampak berat dan melendut ke bawah.

    Graviti

    Tindakan graviti menjadikan masalah ini semakin ketara. Usaha mengurut wajah dan menarik ke atas semula hanyalah memberi kesan sementara disebabkan oleh tindakan graviti yang kuat.

    Otot yang mengembang

    Otot-otot muka yang mengembang membuatkan muka tampak besar dan semakin lama semakin kembang. Bagi mereka yang mempunyai tulang pipi yang tinggi masalah ini membuatkan mata menjadi seolah-olah mengecil. apabila pipi semakin besar ia akan membuatkan mata seakan akan tertutup. Penampilan seseorang akan merosot jika matanya terlalu kecil. Mata merupakan permata yang menyerlahkan kecantikan justeru pelbagai cara menata rias mata dicipta. Jika mata tersorok di sebalik timbunan lemak pada muka maka penampilan seseorang menjadi kurang menarik.

    Kehilangan kolagen pada kulit

    Kehilangan kolagen membuatkan kulit tidak membaluti muka dengan baik. Ini membuatkan kulit kita mengendur. Ia juga menyumbang kepada pembentukan fat jowls yang menghodohkan.

    Kekurangan hormon

    Banyak hormon yang berinteraksi dan terlibat dalam metabolisme lemak. Metabolisme lemak penting kerana lemak digunakan bagi penghasilan tenaga. Apabila hormon metabolisme kurang maka lemak berkumpul pada muka dan kita akan menghadapi masalah kekurangan tenaga. Dalam kes ini lemak bukan sahaja berkumpul pada muka malah pada belakang badan dan juga lengan. Hal ini juga menjadikan seseorang itu keletihan dan mudah murung.

    Rawatan yang sesuai bagi fat jowls

    Beberapa perkara patut di lakukan bagi mengurangkan atau menghilangkan simptom ini tampak ketara

    1. Botox
    Kebanyakan orang begitu takut dengan Botox. Pada pendapat mereka Botox akan memburukkan muka dan boleh mengubah paras wajah seseorang. Botox sebenarnya adalah sebuah jenama untuk satu bahan yang mengandungi Botulinum Toxin Type A. Ia mula ditemui oleh Dr. Justinus Kerner pada tahun 1820.

    Pada tahun 1950an seorang doktor dari Montreal Kanada, Dr. Vernon Brooks mendapati bahawa Botulinum Toxin Type A boleh melemahkan otot secara sementara. Pada tahun 1980an seorang doktor pakar mata, Dr. Alan B. Scott di Kanada merawat spasm kelopak mata. Beliau mendapati bahawa pesakit yang dirawat dengan Botox, semua garis halus di sekitar mata akan hilang.

    Jika seseorang mempunyai kedut muka yang kelihatan hanya ketika mengerutkan kening atau mengenyitkan mata, Botox adalah rawatan yang diperlukan. Kegunaan Botox yang paling sering adalah pada dahi, tepi mata dan sekitar mata. Ia juga boleh digunakan untuk mengubati kedut di leher. Botox bekerja pada kedutan dalam dua cara.

    Pertama, ia melemahkan otot-otot yang menyebabkan kedut. Kedua, dan faktor yang lebih penting adalah oleh kerana otot-otot yang terlibat boleh lemah, lama kelamaan pesakit akan kurang menggunakan otot ini. Dengan cara ini, Botox sebenarnya mencegah perkembangan dan pendalaman kedut. Secara ringkas Botox hanya berkesan pada kedutan dinamik. Ia bererti , kedutan yang timbul hanya akibat pergerakan otot muka.

    Oleh kerana Botox hanya menghilangkan kedut yang di sebabkan oleh pergerakan otot muka, bagai mana pula kita hendak merawat kedut yang bukan di sebabkan pergerakkan otot muka?
    Contoh kedut seperti ini adalah kedut di sebelah hidung atau nasolabial fold.

    Cara untuk merawat masalah ini adalah dengan menggunakan filler yang bermaksud "mengisi".

    Oleh itu ia memberi "volume" kepada ruangan yang diisi. Semasa proses penuaan beberapa perkara penting berlaku kepada wajah kita yang boleh menampakkan kita lebih tua.

    Pertama adalah terbentuknya pigmentasi, kedua kedut kedut mula timbul dan ketiga kehilangan "volume" isi yang menyebabkan muka kita menjadi kecut.

    Filler berfungsi untuk mengisi semula ruang yang "hilang" akibat proses penuaan. Oleh itu, ia banyak digunakan di kawasan pipi terutama di tulang pipi agar pipi kelihatan lebih bulat, di bahagian dagu untuk membentuk dagu, di bahagian mata untuk menghilangkan lingkaran bawah mata, untuk bibir yang nipis atau tidak simetri dan di bahagian hidung untuk menampakkan batang hidung.

    2. Serdev suture
    Tidak keterlaluan jika saya nyatakan teknik serdev merupakan satu inovatif yang mengkagumkan di dalam dunia perubatan estetik. Pengasas teknik ini iaitu Dr. Nicholay Serdev merupakan pakar bedah plastik yang memenangi banyak piala kemenangan produk paling inovatif di dalam bidang pembedahan plastik. Teknik ini mengangkat kembali muka tanpa pembedahan atau kesan parut.

    Kemajuan dunia perubatan estetik dijangka lebih baik pada masa hadapan disebabkan olah kegigihan doktor melakukan penyelidikan dan meningkatkan pengetahuan.

    Di Malaysia kini bidang estetik mula diterima dan ilmu estetik mula dijadikan suatu sukatan pelajaran di peringkat pakar dan dihormati.

    Kita tidak perlu ragu-ragu bagi mendapatkan wajah dan tubuh badan yang cantik dan menjadi muda kembali.


    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Friday, February 18, 2011

    Penyelesaian Masalah Usus dan Sembelit

    SOALAN:
    Saya ingin memulakan pengambilan probiotik. Namun saya sedikit keliru apabila saya dapati banyak jenis probiotik yang terdapat di farmasi. Bagaimana saya nak memilih probiotik yang sesuai untuk saya?

    JAWAPAN:
    Probiotik adalah bakteria baik yang sedia ada dalam tubuh seseorang. Masalah biasanya akan timbul apabila keseimbangan antara bakteria baik dan berbahaya terganggu. Banyak faktor yang boleh mengganggu gugat keseimbangan semula jadi ini. Faktor-faktor lazim ini termasuklah cara pemakanan harian, amalan gaya hidup, peningkatan usia, penyakit dan jangkitan dan beberapa lagi.

    Untuk dijadikan panduan memilih probiotik, rujuklah kepada definisi probiotik yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu Probiotik adalah mikro organisma hidup yang memberi manfaat kesihatan kepada hosnya apabila diambil dengan kuantiti yang mencukupi.

    Probiotik sebagai mikro organisma hidup bermakna probiotik masih kekal hidup sehinggalah di saat kita mengambilnya. Pengambilan probiotik yang telah mati tidak akan memberi manfaat yang sepatutnya.

    Memandangkan probiotik sensitif dengan lembapan dan juga suhu atau haba, faktor penyimpanan memainkan peranan penting. Salah satu cara untuk memaksimumkan potensinya adalah dengan penyimpanan sejuk, terutamanya apabila melibatkan cuaca seperti di negara kita.

    Sembelit

    Probiotik memberi manfaat kesihatan kepada hosnya ini boleh dirujuk kepada memilih strain probiotik yang khusus untuk masalah kesihatan tertentu. Bukan semua probiotik adalah sama. Strain probiotik yang berbeza memberi manfaat yang berlainan. Oleh yang demikian, pilihlah probiotik yang dikaji untuk kesihatan manusia serta terbukti akan keberkesanannya. Contohnya probiotik Lactobacillus acidophilus NCFM merupakan strain probiotik yang telah dikaji dan didapati bermanfaat untuk kesihatan usus, termasuk memperbaiki masalah penghadaman seperti kembung, sembelit dan juga cirit-birit. Probiotik ini membantu mengembalikan mikro flora usus dan bermanfaat kepada hosnya dengan mengurangkan simptom sembelit dan merangsang detoksifikasi.

    Bagi mereka yang seringkali mengambil antibiotik untuk merawat sebarang jangkitan, pengambilan probiotik adalah sangat dicadangkan. Berbeza dengan antibiotik, probiotik menggalak pertumbuhan bakteria yang baik dalam saluran usus dan mengembalikan keseimbangan mikro flora usus. Dengan itu, ia mengurangkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan akibat rawatan sesetengah antibiotik. Pengambilan probiotik secara oral, terutamanya strain Lactobacillus dan Bifidobacteria dikaitkan dengan fungsi sistem pencernaan dan sistem imun yang lebih baik.

    Cirit-Birit 

    Traveler's diarrhea atau kejadian muntah-muntah dan cirit-birit semasa berkunjung ke luar negara merupakan antara fenomena lazim di alami, terutamanya apabila mengunjungi kawasan berisiko seperti pendalaman India, Afrika dan sebagainya. Probiotik dianggap sebagai salah satu perkara perlu untuk mengurangkan risiko mahupun sebagai sebahagian rawatan untuk masalah ini dengan berkesan.

    Kesan positif daripada pengambilan probiotik adalah kerana keupayaannya untuk bersaing dengan patogen dan menghasilkan bahan anti mikrobial seperti bakteriosin yang boleh menghalang serangan bakteria berbahaya iaitu penyebab kepada pelbagai masalah usus seperti cirit-birit, sembelit dan ketidakcernaan.

    Probiotik bukan sahaja sesuai untuk orang dewasa, tetapi ada juga strain probiotik yang dikaji untuk kesihatan dan selamat untuk anak kecil dan bayi. Probiotik boleh melindungi bayi daripada penyakit yang berulang di samping memperkuatkan imuniti. Flora usus yang seimbang bukan sahaja memperbaiki kesihatan sistem pencernaan, tetapi juga meningkatkan rintangan terhadap infeksi dan mereka yang mengambil probiotik lebih bersedia untuk menentang pertumbuhan bakteria berbahaya. Probiotik dari strain Lactobacillus reuteri Protectis melindungi usus yang merupakan komponen penting kepada sistem pertahanan yang sihat dan seterusnya membawa kepada tahap nutrisi dan perkembangan kanak-kanak yang lebih baik.


    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Wednesday, February 16, 2011

    Enzim Cerna Makanan

    Setiap orang pernah mengalami sembelit, kembung perut, lebihan asid dan pembendungan air semasa atau selepas menikmati makanan. Apa kata kaji punca masalah tersebut yang antara lain menurut pakar pemakanan berkaitan dengan enzim pencernaan.

    Tubuh secara semulajadi menghasilkan 3,000 jenis enzim yang berbeza. Pemangkin protein ini penting untuk setiap proses metabolik dalam badan daripada berfikir kepada mengelipkan mata. Enzim dihasilkan di dalam hati dan disimpan di dalam kelenjar-kelenjar utama. Kita juga boleh menambah bekalan enzim menerusi pemilihan makanan yang betul.

    Enzim juga boleh didapati secara semulajadi di dalam makanan sama ada buah-buahan, sayur-sayuran atau daging. Bagaimanapun penyelidikan mendapati memanaskan makanan melebihi 118*F boleh memusnahkan enzim. Begitu juga dengan makanan yang mengandungi bahan kimia atau disembur dengan racun serangga selain menggunakan baja kimia yang didapati mengganggu aktiviti enzymatic di dalam tumbuh-tumbuhan.

    Dari semasa ke semasa, pengambilan sumber makanan yang tidak lagi mengandungi enzim boleh menimbulkan masalah kepada kesihatan kita. Disebabkan kekurangan enzim pencernaan di dalam tubuh, stok atau simpanan enzim semulajadi diperlukan untuk merawat masalah kesukaran mencernakan makanan yang dimakan.

    Dr. Edward Howell, penulis buku Enzyme Nutrition menekan tentang 'akaun bank enzim' di dalam badan yang semakin terhad atau menurun disebabkan faktor peningkatan usia serta kaedah penyediaan makanan. Penyusutan 'akaun' itu menurut beliau turut disebabkan pengambilan alkohol, dadah, tidur yang tidak mencukupi serta kekurangan air untuk merangsang pengeluaran enzim.

    Dr. Howell percaya, kesemua faktor itu turut menyumbang kepada pelbagai masalah lain seperti diabetes, kanser kolon, tekanan mental, penyakit kulit dan kegagalan fungsi hati.

    Pakar kolon, Dr. Hiromi Shinya dalam tulisannya bertajuk The Enzyme Factor menegaskan tentang protein tidak tercerna dalam produk susu, makanan segera dan daging merah yang menjadi sumber 'makanan' bakteria 'jahat' sehingga terhasil toksin yang kemudiannya menjejaskan saluran darah. Toksin tersebut akan mencemarkan hati, buah pinggang dan jantung sedangkan tubuh memerlukan enzim-enzim yang disimpan di situ untuk mencernakan makanan.

    Dr. Howell merumuskan bahawa pengambilan suplemen enzim pencernaan boleh memperbaiki penghadaman dan mengawal berat badan. Ia juga membantu mengatasi masalah kesihatan termasuk lelah, alahan, penyakit kulit dan artritis. Pengambilan enzim pencernaan memperbaiki paras gula dalam darah dan mengurangkan penggunaan insulin.

    Beliau turut mencadangkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk merangsang enzim di dalam badan selain membantu pencernaan, langkah itu juga dapat memelihara bekalan enzim untuk 'tugas' lain.
    Kajian menunjukkan pengambilan suplemen enzim semasa perut kosong boleh menambah 'akaun bank enzim' kerana tubuh menukar enzim pencernaan kepada enzim metabolik.

    Ditulis oleh: Noraini Abd. Razak
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Monday, February 14, 2011

    Tangani Tekanan di Pejabat

    Dunia pekerjaan memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

    Keadaan ini, jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti dan motivasi kepada seseorang, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

    Pakar Psikiatris di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menjelaskan, tekanan sebenar yang dihadapi di tempat kerja merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan kerja.

    Biarpun ia bukan satu penyakit kronik, namun begitu, jika tekanan adalah tinggi dalam jangka masa yang panjang ia boleh menjejaskan kesihatan dan kreativiti.

    ''Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, resah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

    "Keadaan ini jika dibiarkan akan memudaratkan diri sendiri serta kesihatan," katanya.

    Ujarnya, kebiasaan pekerja yang tertekan akan menunjukkan ciri-ciri negatif kepada dirinya, malah dari sudut produktiviti kerja pula turut terjejas sehingga boleh menjejaskan motivasi seseorang itu.

    Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tekanan di pejabat dilabel sebagai 'Penyakit' abad ke-20 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa tekanan ialah Epidemik Dunia.

    Malah WHO juga menjangkakan bahawa tekanan di tempat kerja merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada semua lima penyakit utama di dunia iaitu penyakit jantung, kemurungan melampau, kemalangan jalan raya, strok dan penyakit paru-paru yang kronik menjelang tahun 2020.

    Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (1996) menunjukkan kadar prevalen kemurungan ialah pada 11 peratus, kejadian bunuh diri yang tinggi iaitu 2,000 orang setahun dengan purata 7 orang sehari dan 13.7 peratus remaja Malaysia khususnya pelajar menghadapi masalah kesihatan berkaitan mental.
    Ditanya apakah punca utama sehinggakan berlaku tekanan di tempat kerja, Dr. Muhammad Muhsin menjelaskan pelbagai faktor boleh mendorong seseorang itu menjadi tertekan. Antaranya suasana kerja, persekitaran yang bising, interaksi dan pelbagai lagi.

    Selain itu, situasi tekanan dengan tugasan yang diberikan oleh majikan juga mendorong seseorang itu lebih tertekan.

    ''Keadaan ini menyebabkan pekerja berasa bosan untuk datang bekerja sehingga menyebabkan dia suka mengasingkan diri daripada pekerja-pekerja lain,'' ujarnya.

    Situasi ini juga akan mendorong untuk pekerja itu menjadi malas ke pejabat sehinggakan merasakan dirinya tidak sesuai dengan tugasan yang diberikan kerana terlalu rendah taraf atau terlalu terbeban.

    Bagaimanapun ketika ditanya mengenai strategi untuk mengurangkan tekanan di pejabat, beliau menjelaskan, pelbagai cara boleh digunakan, bagaimanapun ia bergantung kepada diri seseorang itu.

    ''Bagi sesetengah individu bersukan boleh melegakan tekanan yang dihadapi namun bagi sesetengah orang pula meluah atau berkongsi cerita kepada seseorang adalah cara terbaik untuk melegakan tekanan yang di hadapi.

    ''Semua ini bergantung kepada diri seseorang bagaimana dirinya untuk melepaskan perasaan itu," jelasnya.
    Katanya lagi, bercuti juga mampu memberikan kelegaan kepada pekerja itu kerana melupakan seketika masalah yang dihadapi.

    Bagaimanapun dalam masa sama, cubalah berkongsi cerita dengan orang yang paling rapat dengan kita antaranya seperti suami, ibu bapa atau rakan.

    Katanya, melalui perkongsian cerita itu ia mampu mengalihkan perasaan tertekan dan juga marah itu menjadi reda.

    Bagaimanapun, bagi yang beragama Islam digalakkan juga untuk bermunajat kepada Allah dengan berdoa atau melakukan solat-solat sunat.

    Selain itu, tegasnya, kehidupan yang sihat adalah sesuatu cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah tekanan.

    ''Tidak salah kalau kita bahagikan masa antara kerjaya dan juga diri sendiri kerana pengurusan masa yang betul mampu memberikan ketenangan pada seseorang,'' ujarnya serius.

    Ditulis oleh: Zuhayati Yazid
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Tuesday, February 08, 2011

    Apabila Seronok Bertukar Sakit

    Ketika Johari, 24 menempuh alam remaja, sukan futsal mula meniti di bibir dan popular. Pada mulanya, dia tidak berminat untuk mencubanya sehinggalah pada suatu hari, seorang rakan mengajaknya untuk bermain.
    Walaupun banyak kali mengalami kecederaan sama ada di lutut atau di buku lali semasa bermain bola sepak dahulu, dia tidak pernah berhasrat untuk berhenti bermain bola sepak.

    Anak bongsu daripada tiga adik beradik itu kini bergiat aktif pula dalam sukan futsal yang semakin popular. Dia melihat sukan yang berasal dari Uruguay itu kian mendapat tempat di hati generasi muda untuk kecergasan badan dan mengisi masa senggang.

    Bagi Johari, sukan futsal mempunyai kelebihan tertentu kerana ia lebih selamat dan boleh dimain tidak kira masa dan tempat.

    Lebih-lebih lagi, gelanggangnya juga diperbuat daripada rumput sintetik, lantai parket atau simen yang boleh menyerap lantunan.

    Anak muda ini beranggapan sukan ini menyeronokkan walaupun memerlukan ketangkasan bermain dalam ruang gelanggang terhad.

    Mungkin Johari antara peminat dan pemain futsal yang tidak menyedari kecederaan lama mungkin berulang jika dia tidak berhati-hati bermain futsal.

    Di sebalik peningkatan penglibatan masyarakat dalam sukan ini, terdapat juga peningkatan bilangan pemain mengalami kecederaan berkaitan sukan futsal.

    Kecederaan akibat futsal

    Menurut Pakar Perunding Ortopedik/Trauma, Artroskopi dan Kecederaan Sukan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Bazam Abdul Rani, kecederaan akibat bersukan biasanya melibatkan dua jenis kecederaan.

    Yang pertama, kecederaan akibat persentuhan badan seperti pelanggaran dan pertembungan. Kecederaan yang kedua melibatkan bukan persentuhan badan seperti paha, sendi buku lali, sendi lutut, kepala, leher dan lengan.

    Tambah Dr. Bazam, kebanyakan kecederaan yang dialami adalah ringan sahaja seperti kekoyakan ligamen buku lali yang separa (partial tear), abrasi, luka yang tidak dalam dan lebam.

    Kecederaan serius yang boleh dialami mungkin melibatkan kepatahan tulang, sendi lutut dan buku lali terkehel, tulang yang patah, kekoyakan ligamen lutut yang mengakibatkan ketidakstabilan sendi.

    Faktor kecederaan

    Bagi Dr. Bazam, sukan futsal mempunyai kebaikan dan keseronokan tersendiri tetapi bahaya untuk pemain.

    “Futsal berbahaya kepada pemain kerana ia berbeza daripada perlawanan bola sepak yang mempunyai undang-undang yang lengkap. Pemain futsal juga mudah melakukan aktiviti dan perbuatan kasar seperti menggelongsor dan menghalang kaki lawan. Selain itu, pemain mengawal bola lebih kasar berbanding perlawanan bola sepak biasa. Kecederaan mungkin dapat dikurangkan sekiranya undang-undang futsal tidak membenarkan sentuhan fizikal antara pemain secara berlebihan,” ujar beliau.

    Dr. Bazam menjelaskan, keadaan padang permainan futsal juga boleh menyebabkan kecederaan kepada pemain. Saiz padang yang kecil dengan aksi permainan futsal yang pantas menyebabkan pemain hilang kawalan.

    Padang tiruan daripada getah atau permukaan yang kasar dan melekat tidak mengehadkan pergerakan pemain dan mudah terseliuh. Apabila pemain jatuh di atas permukaan tiruan yang licin, mereka tidak sempat mengawal pergerakan badan apabila terjatuh.

    Dalam pada itu, saiz kumpulan pemain futsal yang kecil dengan tempoh masa bermain yang panjang mengurangkan stamina pemain tersebut. Ini menyebabkan mereka cepat berasa letih dan hilang kawalan pergerakan badan.

    Sebagai pemain, memakai kasut tanpa merujuk jenis padang permainan boleh menjadi faktor kecederaan.
    Umum sedia maklum, futsal merupakan permainan dan hiburan hujung minggu. Jika seseorang pemain tidak menyiapkan diri dari segi ketahanan fizikal, mereka mudah cedera.

    “Jika pemain tidak melengkapkan diri, otot dan stamina mereka belum cukup kuat digunakan untuk bermain futsal. Tanpa rehat yang cukup mustahil mereka mampu berdepan dengan perlawanan yang agresif dan cepat seperti futsal. Pemain yang tidak melakukan senaman ringan sebelum memulakan perlawanan juga berdepan dengan risiko kecederaan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berpakaian sukan futsal yang lengkap,” katanya.

    Menurut Dr. Bazam lagi, ramai pemain yang cedera mempunyai sejarah kecederaan akibat permainan sukan yang mereka ceburi sebelum ini. Kecederaan berulang ini menjadi risiko yang paling lazim dan tinggi.


    Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Sunday, February 06, 2011

    Didikan Awal Kesihatan Mental

    Pengalaman melawat Wad Psikiatri, Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor lima tahun lalu masih segar dalam ingatan.

    Suasana keliling begitu menyentuh perasaan. Penulis hanya dapat melihat wajah-wajah sayu yang bagaikan kehilangan sesuatu. Mereka ialah pesakit yang sedang menjalani rawatan psikiatri.

    Melihat keadaan keliling, kesedihan dalam hati makin terasa terutama kala memikirkan bahawa mereka ini tidak minta dijadikan begini. Seperti orang lain mereka juga berhak menikmati kehidupan sempurna sama seperti insan lain.

    Ketika orang lain dapat hidup sempurna dan selesa, mereka tersisih daripada keluarga dan terpaksa tinggal di wad ini untuk diberi perhatian dan pemulihan.

    Pada masa itu, ramai yang tidak menyedari wujudnya masalah kesihatan mental dan bilangan pesakit mental tidak ramai.

    Apa pun sebagai manusia, penulis yakin dan pasti kebanyakan pesakit di situ memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat untuk kembali pulih.

    Seorang doktor memberitahu, hanya kira-kira satu perlima orang boleh mendapat gangguan mental tetapi orang lain boleh membantu dalam pelbagai aspek.

    Menjaga kesihatan mental dan mengelakkan gangguan mental menjadi urusan kita semua.

    Selain itu, ia dapat membina keluarga bahagia di samping menjaga kepentingan masyarakat sejagat.

    Mungkin ada pihak yang tidak mengetahui bahawa terdapat rawatan dalam komuniti di mana rawatan susulan diberi di rumah pesakit bagi penyakit mental yang berpanjangan dan serius seperti yang dilakukan oleh pihak hospital ini.

    Banyak rahsia yang kita tidak tahu di sebalik isu kesihatan mental ini.

    Sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pelbagai kempen untuk memastikan masyarakat mengambil berat tentang isu ini.

    Baru-baru ini, KKM memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah menengah untuk menangani masalah stres yang semakin meningkat dengan sebanyak 400,227 pesakit mental menjalani rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun lalu.

    Modul ini antaranya bertujuan memberi pendedahan kepada guru untuk mengenal pasti pelajar yang berdepan stres dan kemurungan, ini memastikan pelajar berkenaan menerima rawatan dan bimbingan seawal mungkin.
    Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar motivasi, Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, masalah penyakit mental semakin serius dan ia boleh melanda sesiapa saja.
    Dalam pada itu, beliau berpendapat, langkah KKM itu sebagai tindakan yang tepat memandangkan peningkatan kes penyakit mental di kalangan remaja seperti stres kian meningkat.

    “Salah satu punca mengapa golongan ini mengalami masalah mental seperti stres ialah tiada sokongan sosial seperti rakan dan ibu bapa. Ramai ibu bapa suka menyalahkan anak mereka jika berlaku sesuatu dan ini menyebabkan anak mereka tidak berani berkongsi masalah.

    “Kedua, kita lihat punca stres banyak berlaku disebabkan kawasan persekitaran. Misalnya, rakan-rakan tidak mahu mendengar masalahnya. Statistik cubaan bunuh diri juga semakin meningkat. Dengan pendedahan awal cara mengatasi masalah mental di sekolah, pelajar dapat mengetahui cara menyalurkan masalah mereka dengan betul,” ujarnya.

    Peranan kaunselor

    Tambah Dr. Mohammad Shatar, pelajar perlu mencari orang yang boleh mendengar masalah mereka. Ramai yang tidak tahu, hanya dengan mendengar masalah orang lain, kita dapat membantu mereka menyelesaikan masalah sebanyak 95 peratus.

    Namun, kesedaran kesihatan mental perlu diperluas kepada ibu bapa.

    “Senario remaja sekarang tidak sama dengan era 30 tahun dahulu. Seperti pesanan Rasulullah, ibu bapa perlu menjadikan anak-anak mereka yang berusia belasan tahun sebagai kawan. Selain itu, pelajar dan masyarakat perlu sedar wujudnya institusi kaunseling yang boleh membantu mereka mendengar masalah. Bagi pelajar, luahkan masalah kepada kaunselor adalah penyelesaian terbaik apabila berhadapan dengan stres. Selain itu, pelajar perlu memilih rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan moral,” katanya.

    Mengulas keperluan kempen anti stigma supaya tidak berlaku diskriminasi ke atas pesakit mental, Dr. Mohammad Shatar memberitahu, masyarakat perlu memberi sokongan kepada pesakit khususnya golongan remaja.

    Baginya, zaman sekarang moden dan semua bergerak pantas serta singkat yang menjadi faktor utama berlakunya stres.

    Justeru itu, kerjasama, sokongan moral dan tidak mudah menghukum perlu dipupuk dalam masyarakat khususnya kepada orang sekeliling yang mungkin berhadapan dengan masalah mental.

    Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Friday, February 04, 2011

    Mata Jelas, Tubuh Langsing

    Tembikai, buah yang berasal dari Afrika Selatan kini ditanam hampir di ke semua negara beriklim tropika atau sederhana.

    Terdapat lima jenis tembikai iaitu Yellow Watermelon, Orangeglo, Moon and Stars, Cream of Saskatchewan dan Melitopolski. Kelima-lima jenis ini berbeza warna dan saiz.

    Tembikai mempunyai kandungan air yang tinggi menjadikan buah tersebut segar terutamanya pada musim panas. Pada yang sama kadar kalori dalam tembikai adalah rendah menjadikannya salah satu buah yang menyihatkan.

    100 mg tembikai mengandungi antara lain:
    Kalsium - 7 mg
    Karbohidrat - 7.55 gm
    Lemak - 0.15 gm
    Fluorida - 1.5 mcg
    Besi - 0.24 mg
    Magnesium - 10 mg
    Fosforus - 11 mg
    Potasium - 112 mg
    Protein - 0.61 gm
    Sodium - 1 mg
    Gula - 6.20 gm 
    Tembikai yang kaya dengan potasium membantu menyimpan garam daripada meningkatkan tekanan darah selain mengurangkan risiko mendapat batu karang.

    Ada kajian menunjukkan tembikai boleh menguatkan sistem imunisasi dan membantu tubuh memerangi jangkitan selain kaya dengan sumber karotenoid yang mempunyai bahan pencegah kanser.

    Amalan memakan tembikai juga dikatakan mampu meredakan simptom-simptom osteoartritis and rheumatoid artritis.

    Selain itu, buah yang kaya dengan amti oksida penting itu juga membantu tubuh meneutralkan radikal-radikal bebas yang dapat mengurangkan risiko kanser kolon. Kandungan anti oksida dalam tembikai juga mengurangkan risiko serangan jantung.

    Tembikai juga mempunyai kalori yang sangat rendah menjadikannya hidangan sempurna untuk sesiapa saja yang ingin menurunkan berat badan.

    Beta karotena dalam tembikai membantu menjadikan penglihatan lebih jelas terutama pada waktu malam.

    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

    Wednesday, February 02, 2011

    Jalani Kehidupan Seks Secara Sihat

    Sebagai pasangan suami isteri adakah anda menikmati kehidupan seks sepuasnya? Atau anda tidak pasti akan jawapannya sehingga kadang kala membuat perbandingan kehidupan seks anda dengan rakan anda.
    Sebenarnya tindakan itu salah. Jangan sesekali membuat perbandingan tersebut kerana ia hanya mengundang padah dalam perhubungan suami isteri.

    Hakikat sebenarnya, sesebuah perhubungan kelamin suami isteri itu unik. Setiap pasangan mempunyai cara yang berbeza mengemudikannya.

    Apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik untuk anda. Ada beberapa panduan yang boleh digunakan sebagai ukuran adakah anda menjalani kehidupan seks yang sihat atau sebaliknya.

    Tanda pertama - Perhubungan anda sihat

    Pasangan suami isteri yang sihat, akan sentiasa berbicara tentang apa yang berlangsung dalam kehidupan mereka.

    Mereka tidak membataskan diri tentang isi perbualan termasuk dalam isu perhubungan seks. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena ataupun kepuasan seks yang dihajati tidak tercapai, mereka akan menyuarakannya.
    Pasangan yang sihat juga lebih realistik dan memahami kemampuan pasangan masing-masing.

    Tanda 2 - Eksperimen dalam bilik tidur

    Pasangan suami isteri yang suka melakukan eksperimen dalam hubungan kelamin adalah tanda mereka berpuas hati dengan kehidupan seks mereka.

    Jangan salah faham, apa yang dimaksudkan di sini bukanlah seks melampau yang tidak dituntut syarak.

    Eksperimen yang dicadangkan cukuplah dengan mengajak pasangan sesekali menukar posisi, mencuba beberapa gaya terbaru atau boleh juga menukar lokasi seperti di kerusi atau sofa.

    Katil bukanlah tempat yang wajib untuk hubungan seks. Dengan mencuba idea terbaru ini bukan sahaja mudah malah membuktikan kebahagiaan anda berdua.

    Tanda 3 - Ikhlaskan hati untuk hubungan seks 

    Pernahkah anda terasa bahawa hubungan seks kini berbeza dengan ketika di awal perkahwinan?

    Sudah bertahun kahwin, jadi seks itu umpama kewajipan asas suami isteri sahaja. Ia bukan lagi sesuatu yang dinikmati dengan penuh perasaan. Padahal seks adalah satu perkara yang anda dan pasangan lakukan dengan penuh keseronokan.

    Pastikan anda menikmati puncak kenikmatan dan melakukannya kerana keikhlasan hati untuk pasangan anda.

    Tanda 4 - Seks sebagai rutin dalam perhubungan

    Bukanlah sesuatu yang pelik untuk meletakkan seks sebagai perkara terakhir dalam sesuatu perhubungan. Dalam situasi di mana anda mempunyai sebuah keluarga, anak-anak dan pekerjaan seks menjadi perkara yang sukar untuk dilakukan setiap hari.

    Pasangan yang sentiasa cuba mewujudkan masa untuk hubungan seks sekerap mungkin adalah pasangan yang mempunyai perhubungan seks yang sihat. Jadilah lebih spontan.

    Tanda 5 - Seks bukan sekadar hubungan, ia lebih dari itu

    Seks lebih dari sekadar hubungan kelamin. Gurau senda dan sentuhan awal amat penting untuk hubungan seks yang sihat dan ceria. Pastikan anda lebih kreatif setiap hari supaya ada kejutan untuk pasangan anda.

    Sebagai contoh, tinggalkan nota-nota indah atau boleh juga menghantar hadiah secara mengejut ke pejabat.
    Tindakan ini boleh membuatkan pasangan anda teruja. Walaupun lepas seks berakhir anda masih romantik, itulah tanda hubungan seks anda sesuatu yang sihat. Jika salah satu tanda di atas ada menerangkan tentang kehidupan seks anda, maka anda boleh menikmati kehidupan seks yang sihat dan gembira.


    Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/