Dr. Suhaimi memberitahu, mungkin ada benarnya jika bakteria ini dapat memasuki pelvis yang mana saluran felopio (fallopian tube) dijangkiti kuman dan tersumbat. Namun, ia berlaku secara tidak langsung.
“Berdasarkan pengalaman saya, keputihan tidak dapat dikaitkan secara langsung dengan punca mandul. Namun, ada kes pesakit saya yang mengalami masalah mengandung luar rahim. Puncanya tidak jelas tetapi ia mungkin berkaitan. Oleh itu, setiap wanita yang merasakan mereka mengalami masalah kesuburan atau keputihan, perlu membuat pemeriksaan doktor segera,” ujarnya.
Justeru itu, setiap wanita digalakkan melakukan pemeriksaan calitan Pap Smear bagi mengambil contoh keputihan untuk kajian di makmal yang akan memperincikan jenis kuman serta bagaimana untuk diubati. Puncanya biasanya daripada ‘candidiasis’, ‘vaginosis bacterial’ atau ‘trikomoniasis’.
Dalam pada itu, ramai yang tidak mengetahui, setiap rawatan yang dilakukan oleh wanita yang sudah berkahwin untuk mengatasi masalah ini, pasangan mereka juga perlu menjalani rawatan yang sama.
Kebiasaannya, suami tidak akan berasa selesa jika faraj isteri mereka berbau busuk. Ini secara tidak langsung menganggu hubungan intim mereka dan menjejaskan perkahwinan.
Komplikasi
Keputihan yang berpunca daripada jangkitan chlamydia atau gonorrhea yang keluar dengan banyak, boleh menjangkiti bahagian atas reproduktif wanita.
Jangkitan gonorrhea dan chlamydia agak berbahaya kerana ia boleh menyebabkan tiub fallopian dan peranakan wanita musnah. Keadaan ini juga boleh mengakibatkan seseorang wanita mandul.
Penghasilan yang terlalu banyak ini boleh merebak masuk ke dalam bahagian sistem reproduktif wanita.
Apabila masalah ini merebak hingga ke bahagian atas reproduktif wanita, biasanya wanita terbabit akan mengalami demam, sakit perut berserta keputihan yang busuk, berubah warna dan gatal.
Sehubungan itu, wanita terbabit dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan secepat mungkin, kerana ada kalanya terdapat nanah pada bahagian yang terkena jangkitan.
Pada masa yang sama, keadaan ini boleh memudaratkan wanita berkenaan.
Sekiranya wanita terbabit mengalami sakit perut serta demam, terdapat kemungkinan mereka telah mendapat jangkitan pada pelvik.
Jangkitan ini biasanya melibatkan rahim, tiub fallopian dan ovari yang dikenali sebagai pelvic inflammatory disease (PID).
Menurut Dr. Suhaimi, ada kalanya masalah keputihan ini sukar dirawat kerana ia berulang. Masalah ini bertambah lebih sukar sekiranya:
* Suami wanita terbabit tidak dirawat
* Tidak mengamalkan ubat seperti yang dijadualkan
* Tabiat suka bertukar-tukar pasangan seksual
Rawatan
* Rawatan masalah keputihan ini bergantung kepada puncanya sama ada diberi antibiotik atau ubat-ubatan seperti pil yang dimakan, pessary yang dimasukkan ke dalam faraj dan ubat cuci.
* Menjaga kebersihan
* Memakai pakaian dalam yang diperbuat daripada kain kapas bagi membolehkan peluh diserap dengan baik
* Tidak bertukar-tukar pasangan seksual.
Individu Berisiko
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang wanita untuk mendapat keputihan seperti:
* Penggunaan ubat antibiotik dalam jangka masa yang panjang
* Menggunakan pakaian yang ketat terutamanya pakaian dalam yang diperbuat bukan dari kain kapas
* Menggunakan pakaian yang lembap dan basah Pesakit diabetes
* Pesakit leukemia atau AIDS - keadaan ini mengakibatkan sistem pertahanan badan musnah
* Pil perancang keluarga
* Wanita hamil
* Wanita menopaus
* Mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual
Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment