Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, June 30, 2009

Senam Tahan Lama

SOALAN:
Saya ingin tahu sama ada wujud senaman harian yang membolehkan saya bertahan lebih lama ketika melakukan hubungan kelamin dengan isteri.

Saya ada satu cara senaman iaitu duduk bersila dengan paha kiri dan kanan dijungkit ke atas sebanyak 20 kali dan perlu dilakukan setiap pagi, adakah betul cara itu?
Buat pengetahuan doktor, isteri saya lambat capai klimaks dan ia sedikit membuatkan saya gusar terhadap ‘prestasi’ saya untuk memenuhi kepuasannya.

Syam
Batu Pahat, Johor



JAWAPAN:

Hubungan seksual bukan sekadar hubungan fizikal yang kerap dihebohkan oleh kebanyakan majalah atau media elektronik yang memaparkan gaya hidup, malah ia lebih daripada itu.

Ia bukan saja sekadar ‘sexual intercourse’, sebaliknya turut memerlukan ‘mental intercourse’ dan ‘emotional intercourse’. Ini hanya boleh dikecapi melalui komunikasi yang baik.

Jika anda dan pasangan terbuka untuk membincangkan apa saja yang mustahak dalam kehidupan anda berdua, termasuk kehendak seksual masing-masing, anda seharusnya secara bersama mencari jalan untuk mendapatkannya.

Dengan itu, sudah tentu masalah isteri tidak mencapai klimaks atau anda mudah mengalah tidak akan timbul. Kesepakatan memainkan peranan dalam melakukan hubungan intim, iaitu mengikut keselesaan kedua-dua pihak.

Sebagai contoh, anda boleh merangsang isteri mengikut kesukaannya dengan dia memberi panduan apa yang perlu dilakukan dan apabila dia masuk ke pintu klimaks, anda boleh mainkan peranan anda pula untuk menikmati klimaks.

Tidak perlu rekod masa kerana ia tidak mustahak apabila dua pihak seronok bersama! Jika anda mahu lakukan senaman untuk bantu menguatkan stamina, boleh berjoging atau lari deras.

Jika mahukan tenaga badan, bina badan dengan senaman bina badan dan jika mahu daya ereksi yang kuat, lakukan senaman kemut atau senaman kegel iaitu mencengkam lubang najis atau seolah-olah kencing.

Jika anda bersetubuh, lakukan gerakan ereksi dalam faraj tanpa mengeluarkan ereksi dari faraj, kekal dalam faraj dan gerak dalam kemut.

Ini memberi rangsangan padu kepada isteri dan jika gerakan dilakukan menghala ke langit faraj, tentu akan terkena bahagian yang menyeronokkan dan memudahkan isteri mencapai klimaks.


Ditulis oleh:
Dr Ismail Tambi
Pakar Sakit Tuan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Disfagia-Odinofagia

Disfagia adalah satu terma yang jarang disebut tapi seringkali kita mengalaminya. Ia merujuk kepada kesukaran untuk menelan.

Odinofagia pula merujuk kepada rasa sakit untuk menelan. Biasanya, kedua-dua gejala ini boleh terjadi secara serentak, atau satunya menyusul selepas satunya bermula.

Odinofagia dikaitkan dengan keradangan yang berlaku dalam saluran makanan seseorang yang menyebabkan rasa sakit apabila sesuatu bolus makanan itu melalui kawasan yang mengalami keradangan ini.

Punca Disfagia

Keadaan sukar untuk menelan atau merasakan ketulan makanan tersangkut pada tekak ini boleh disebabkan oleh faktor gangguan pada fasa pra-esofagus atau fasa esofagus sewaktu seseorang itu cuba menelan.

Fasa menelan pra-esofagus merujuk kepada masa makanan itu masih berada pada kawasan rongga mulut dan farinks.

Fasa esofagus pula bermula apabila makanan itu mula masuk ke dalam saluran tiub makanan esofagus yang bersambung dengan farinks.

Bagi seseorang yang normal, makanan yang disuap ke dalam mulut mestilah dikunyah, ditambah dengan pelincir iaitu air liur yang turut sama mengandungi enzim pencernaan sebelum dijadikan gumpalan yang dinamakan bolus

Seterusnya, bolus tersebut ditolak ke belakang oleh pergerakan lidah untuk ia masuk ke farinks dan seterusnya esofagus. Gangguan pada salah satu proses ini akan menyebabkan disfagia.

Faktor Pra-Esofagus

Gangguan pada fasa pra-esofagus boleh berpunca daripada ketidaksempurnaan proses yang disebutkan tadi.

Ia boleh terjadi akibat makanan tidak dapat dikunyah dan dilumatkan kerana gangguan fungsi rahang dan gigi.

Gangguan ini boleh terjadi pada mereka yang mengalami masalah patah tulang rahang (terutamanya mandibel), ulser pada gusi atau sendi rahang (temporomandibular) yang tidak dapat berfungsi dengan baik.

Pesakit yang mengalami masalah pada lidah seperti ketumbuhan, atau struktur yang tidak sempurna, baik akibat kecederaan atau pembedahan, akan mengganggu proses penyediaan bolus makanan ini untuk dihantar ke ruangan farinks.

Farinks yang normal sepatutnya menjadi transit yang sementara bagi bolus makananyang melaluinya untuk masuk ke dalam esofagus.

Dalam keadaan farinks yang bermasalah seperti kelenjar tonsil yang besar atau jangkitan pada farinks, pembengkakan dinding farinks boleh terjadi akibat edema atau pengumpulan nanah selepas jangkitan.

Ia akan menyebabkan rongga farinks menjadi sempit dan menyukarkan makanan melaluinya.

Penyakit gangguan saraf yang bertanggungjawab mengawal fungsi farinks juga boleh menyebabkan proses menelan menjadi sedikit terganggu dan pesakit merasakan makanan lambat turun ke bawah.

Faktor Esofagus

Esofagus ialah saluran makanan yang menghubungkan farinks dengan perut. Ia adalah seperti satu tiub yang panjang, membenarkan pergerakan sehala bolus makanan yang memasukinya bermula dari bahagian atas (farinks) ke bahagian bawah (perut).

Dalam keadaan seseorang yang berkedudukan terbalik sekalipun, esofagus tetap menjalankan tugasnya seperti biasa iaitu makanan masih lagi ditujukan dari bahagian farinks ke bahagian perut.

Proses membawa makanan dengan satu arah yang tetap ini disempurnakan oleh mekanisme peristalsis, iaitu pengecutan dan pengenduran secara teratur otot-otot yang mengelilingi esofagus.

Gangguan pada esofagus, baik dari segi struktur atau fungsi, akan menyebabkan makanan yang hendak dihantar ke perut akan tersekat.

Gangguan struktur termasuklah penyempitan lumen atau rongga esofagus, baik disebabkan oleh keabnormalan yang berada dalam esofagus seperti ketumbuhan, atresia, atau parut akibat refluks asid dari perut.

Penyempitan juga boleh berpunca daripada tekanan dari luar seperti pembengkakan kelenjar tiroid, ketumbuhan di kawasan mediastinum, saluran darah yang membengkak dan menekan esofagus serta bermacam punca lain.

Gangguan saraf yang mengganggu proses peristalsis pula akan menyebabkan hipomotiliti (kurang pergerakan) atau hipermotiliti (pergerakan yang berlebihan), kedua-duanya boleh mengakibatkan gangguan pergerakan makanan dalam esofagus.

Pemeriksaan

Apabila seseorang pesakit itu datang dengan masalah sukar menelan, doktor akan menanyakan soalan-soalan lanjut yang ada kaitan dengan masalah tersebut seperti:

>> kronologi masalah adakah ia terjadi secara tiba-tiba atau beransur-ansur

>> dalam keadaan yang sama atau semakin lama semakin sukar menelan

>> adakah sukar menelan itu lebih kepada cecair atau makanan pejal dan sebagainya

Setelah itu, pemeriksaan klinikal akan dijalankan, dan biasanya akan menunjukkan masalah-masalah yang berpunca dalam rongga mulut dan orofarinks.

Kelenjar tonsil yang membengkak, kehadiran ketumbuhan dalam rongga mulut seprti lidah, gusi atau bahagian dalam pipi amat mudah dilihat.

Pemeriksaan leher termasuklah kelenjar tiroid, sistem saraf, termasuklah saraf kranial akan dilakukan. Endoskopi ringkas di klinik juga banyak membantu dalam mencari punca disfagia.

Jika pemeriksaan di klinik masih gagal menunjukkan puncanya, penyiasatan radiografi seperti imbasan sinar-X dada, leher dan ujian menelan dengan kontras barium akan dilakukan.

Ujian menelan dengan kontras barium ini sangat membantu di mana ia akan menunjukkan saluran esofagus yang dilalukan dengan barium.

Apabila terdapat penyempitan, jumlah barium yang melaluinya akan menjadi sedikit terhalang dan lokasi penyempitan akan dapat ditentukan.

Imbasan CT adakalanya diperlukan untuk melihat struktur yang tidak dapat dilihat dengan mata atau diperiksa dengan tangan atau alatan lain yang terdapat di klinik.

Antara ujian lain yang dapat membantu mencari punca sukar menelan ini termasuklah pengukuran pH dalam esofagus dan farinks, bagi melihat sama ada ia diakibatkan oleh penyakit refluks asid dari perut yang juga boleh menyumbang kepada gejala sukar menelan ini.

Esofagoskopi, iaitu ujian endoskopi ke dalam tiub esofagus, pula membolehkan kawasan dalam esofagus itu dilihat dengan jelas jika terdapat sesuatu yang menyebabkan penyempitannya.

Rawatan

Rawatan terhadap gejala sukar menelan ini banyak bergantung kepada punca yang sebenar menyebabkannya.

Setiap pesakit yang datang ke klinik dengan simptom yang sama iaitu disfagia mungkin akan pulang dengan rawatan yang berlainan antara satu dengan yang lain kerana puncanya adalah berbeza.

Ada antaranya hanya memerlukan kaunseling dan tidak kurang juga yang memerlukan pembedahan. Namun, segalanya akan ditentukan setelah segala siasatan selesai dilakukan.

Apa yang penting bagi pihak pesakit ialah untuk datang berjumpa dengan doktor bagi rawatan selanjutnya jika situasi sukar menelan ini semakin teruk dan mengganggu kehidupan seharian.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Monday, June 29, 2009

Tewas Jika Mengaku Kalah

Ini semua salah saya. Saya ingatkan anak cuma demam biasa." "Kami cuma melawat saudara yang sakit di hospital, tidak pula disangka anak kecil kami dijangkiti."

Itu menjadi antara kata sesalan ibu bapa dan saudara mara yang ahli keluarganya dijangkiti atau maut akibat jangkitan kuman.

Demam, petanda pertahanan asas badan terhadap pencerobohan kuman dan penyakit tertentu sering diambil mudah.

Kuman. Walaupun ancaman jangkitan kini banyak melibatkan virus, terdapat juga bakteria, fungus mahupun protozoa yang boleh menyebabkan jangkitan teruk pada manusia.

Secara umum, kesemua makhluk zarah ini dikenali sebagai kuman. Meningitis, pneumonia, demam denggi, SARS dan semestinya selesema hasilnya.

Pandemik, Endemik, Epidemik

Tiga istilah sering digunakan dalam menggambarkan kewujudan dan tahap jangkitan kuman dalam satu-satu kawasan tetapi kerap kali disalah ertikan.

>> Endemik - hadir untuk jangka panjang, dalam jumlah kecil, di kawasan-kawasan tertentu

>> Epidemik - menjangkiti sekumpulan besar individu pada masa sama

>> Pandemik - tersebar secara meluas, atau epidemik besar-besaran (global)

Sejak pengumuman pandemik global influenza A H1N1 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Jun lalu, semakin jelas bunyi batuk, bersin, hembusan hingus dan gejala demam di sekeliling kita. Rakan sekerja, sahabat dan keluarga sering dikhuatiri menjadi mangsa terbaru.

Menghampiri penghujung Jun, dunia mencatatkan lebih 30,000 jangkitan dengan lebih 150 kematian. Negara pula mencatatkan 105 kes sehingga 26 Jun lalu, dengan 90 kes dari luar negara dan 15 kes jangkitan tempatan. Nasib kita juga baik kerana belum ada catatan kematian.

Ini melibatkan saringan lebih 1,600 kes yang disyaki jangkitan H1N1, kebanyakannya mereka yang baru pulang dari negara yang turut dilanda H1N1 seperti Singapura, United Kingdom, Thailand, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat.

Namun, Malaysia sebenarnya menghadapi serangan dari dua arah apabila satu lagi virus tegar terus menyerang dan membunuh.

Bezanya cuma virus ini memerlukan vektor untuk berpindah antara manusia tetapi keupayaan membunuhnya terbukti jauh lebih tinggi.

Pensyarah Kanan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kelantan, Dr. Irfan Mohamad awal bulan ini meluahkan bagaimana bahaya denggi kian tenggelam di sebalik populariti H1N1.

Lonjakan glamor influenza A H1N1 yang begitu pantas bagaikan artis program realiti yang menenggelamkan 'bakat besar' veteran denggi.

"Kedua-duanya menunjukkan peningkatan pada kadar yang pantas."

Namun, Dr. Irfan melahirkan kekesalan bagaimana orang ramai pantas bertindak mengawal H1N1 tetapi pada masa sama masih sanggup tinggal dalam kawasan yang padat dengan vektor denggi, nyamuk Aedes.

Denggi yang endemik di kawasan tropika, termasuk Malaysia, mampu menjadi epidemik besar jika usaha pencegahan terus diabaikan.

Jumlah terkumpul denggi sehingga pertengahan tahun ini mencecah 22,500 kes berbanding sekitar 18,000 kes dalam tempoh sama pada 2008. Ini termasuk 57 kematian berbanding 35 pada 2008.

Pengakuan Kementerian Kesihatan di ambang 'kekalahan' dalam memerangi denggi pada 10 Jun lalu juga amat mengecewakan.

Sebagai salah seorang yang berjaya merempuhi jangkitan virus denggi, penulis menyeru usaha diteruskan tanpa mengaku kalah di pertengahan jalan.

Dua Serentak

"Sememangnya berjaga-jaga menghadapi wabak baru merupakan suatu tindakan proaktif yang amat penting, namun ia tidak seharusnya mengalpakan perjuangan kita memerangi denggi."

Itu menjadi peringatan Dr. Irfan, bukan sahaja kepada warga kerja Kementerian Kesihatan, malahan seluruh rakyat Malaysia.

Gunakan langkah pencegahan bersepadu untuk menghapus dan mengelakkan penularan kedua-dua virus tersebut, serentak.

Kebersihan diri dan persekitaran perlu dijadikan pelindung utama. Risiko jangkitan Japanese Encephalitis (JE), meningitis, pneumonia, denggi, influenza dan bermacam penyakit lain pasti merudum dengan amalan penjagaan tahap kebersihan berterusan.

Semudah membersihkan tangan, mandi, menggunakan sabun dan produk antiseptik, membersihkan kawasan persekitaran rumah dan memastikan sebarang projek ternakan besar jauh dari kawasan kediaman umum.

Kurangkan juga aktiviti dan perjalanan ke kawasan yang terjejas, kecuali perlu. Ini termasuklah kawasan yang padat kerana kelompok manusia yang ramai memudahkan pemindahan kuman, terutamanya yang mudah merebak melalui cecair badan.

Kementerian dan kerajaan pastinya akan terus memantau dan bertindak terhadap kes di luar dan juga dalam negara mengikut keperluan.

Tanggungjawab besar dan utama kini terletak di tangan setiap anggota masyarakat itu sendiri yang pertama sekali perlu mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.

Fahami ciri-ciri ancaman terhadap diri, keluarga dan negara. Pastikan juga kerjasama penuh diberikan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan lebih besar.

Perhatikan dan pantau tahap kesihatan sesama ahli keluarga, terutamanya anak-anak. Bukan sahaja untuk melindungi nyawa mereka, malahan untuk mengelakkan penyebaran kuman terutamanya jika anak dihantar ke taman asuhan, tadika, sekolah mahupun universiti.

Di sini, alasan tiada masa di kalangan ibu bapa yang sibuk bekerja tidak boleh diterima sama sekali. Perkara yang melibatkan nyawa dan kesihatan keluarga perlu diutamakan. Jangan hidup untuk kerja semata-mata. Kerja untuk hidup, untuk keluarga.

"Tidak perlulah kita menunggu diri atau ahli keluarga mahupun sahabat kita dimasukkan ke wad baharulah sibuk (hendak bertindak), kerana pada waktu itu nasi mungkin sudah menjadi bubur," tegas Dr. Irfan.

Kita berdepan dengan bermacam jenis penyakit sepanjang masa, seumur hidup kita. Langkah yang diambil bagi mencegah dan mengawal penyakit-penyakit ini menjadi titik penentu kelangsungan hidup diri dan keluarga.

Kemunculan satu penyakit dan virus baru juga tidak memberi lesen untuk kita mengabaikan usaha melindungi keluarga dan negara dari penyakit sedia ada, yang sama atau mungkin lebih bahaya.

Cegah H1N1, cegah denggi! Kita pasti tidak akan kalah selagi tidak mengalah.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, June 27, 2009

Alternatif Kepada Transfusi Darah

Transfusi darah atau biasanya disebut ramai sebagai pemindahan darah adalah proses memindahkan darah atau produk komponen darah seperti plasma mahupun sel darah merah daripada seorang individu ke individu yang lain. Dalam proses ini, darah atau komponen darah akan terus disalurkan ke sistem aliran darah pesakit bagi menggantikan darah yang hilang.

Seseorang itu akan mengalami kehilangan darah yang banyak apabila berhadapan dengan kecederaan yang teruk, kemalangan ataupun ketika melakukan pembedahan. Sepatutnya, transfusi darah merupakan satu kaedah berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Bagaimanapun kini, ia juga boleh mendatangkan banyak risiko khususnya jika menerima darah tercemar yang akhirnya mengakibatkan kehilangan nyawa.

Keadaan itu langsung meninggalkan satu kebimbangan pada diri masyarakat untuk melakukan transfusi darah.

Cuma, tidak ramai yang tahu bahawa dalam dunia perubatan telah dicipta kaedah alternatif selain memasukkan darah orang lain ke tubuh pesakit. Hakikatnya, pesakit sebenarnya boleh menggunakan cecair lain bagi menggantikan penggunaan darah.

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Perubatan Rawatan Intensif, Klinikum Ludwigdhafen, Jerman, Prof. Joachim Boldt, berkata, kaedah alternatif sebenarnya sudah lama diperkenalkan dalam dunia perubatan, tetapi mungkin tidak ramai masyarakat menyedarinya.

Malah di Jerman, penggunaan kaedah alternatif ini bukan lagi satu perkara asing. Pakar-pakar perubatan di negara itu telah mempunyai pengalaman kira-kira 40 tahun dalam menggantikan darah menggunakan kaedah lain yang lebih selamat seperti penggunaan beberapa cecair yang dicipta sebagai penggantian kepada penggunaan darah.

"Lagipun, mana-mana negara di dunia ini sekarang sedang mengalami masalah kekurangan bekalan darah. Malah, pernah berlaku di hospital tempat saya berkhidmat, kami terpaksa membatalkan jadual pembedahan kerana tidak mempunyai bekalan darah yang mencukupi.

"Pada masa yang sama, kita juga semakin didedahkan dengan kesan negatif pemindahan darah apabila kadang-kala darah yang diterima tidak selamat seperti dicemari dengan virus HIV, Hepatitis B dan C atau jangkitan virus lain yang boleh memudaratkan pesakit.

"Justeru, kini kami mencuba menggunakan kaedah alternatif terhadap pesakit selagi boleh termasuk untuk kanak-kanak, warga emas dan wanita hamil," katanya ketika ditemui pada Seminar Kaedah Alternatif Tranfusi Darah anjuran Fresenius Kabi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Prof. Boldt, kaedah alternatif bukan bermaksud dunia perubatan memperkenalkan produk yang berfungsi sama seperti sel darah merah atau sel darah putih. Sebabnya, setakat ini tiada produk yang dibangunkan berfungsi sama seperti darah manusia.

Kaedah alternatif yang dimaksudkan adalah penggunaan cecair sebagai pengganti darah seperti beberapa jenis cecair dalam kategori Crystalloids dan Colloids.

Jelasnya, cecair gantian itu akan digunakan untuk mengembalikan isipadu bendalir dalam tubuh pada tahap optimum.

Ia berfungsi mempertingkatkan jumlah plasma darah sehingga sistem tubuh boleh merawat Hypovolemia, iaitu satu tahap apabila jumlah isipadu darah dalam tubuh berkurangan menyebabkan bekalan oksigen dalam darah yang disalurkan ke organ-organ tubuh juga turut mengalami penyusutan.

Cecair Gantian Perlu Sesuai Tubuh Pesakit

Naib Pengerusi, Jabatan Anestesiologi, Pusat Perubatan Universiti Duke, Amerika Syarikat, Prof. Tong-Joo Gan pula memberitahu, terjadinya kekurangan bendalir dalam tubuh manusia khususnya kehilangan darah adalah satu perkara yang biasa berlaku khususnya ketika pembedahan.

Jadi, perlu bagi doktor menggantikan darah yang hilang itu sama ada dengan pemindahan darah yang tentunya mempunyai risiko. Apatah lagi, pendekatan menggunakan pemindahan darah di sesetengah negara seperti Amerika Syarikat sebenarnya memerlukan perbelanjaan yang besar kerana darah di negara itu amat mahal.

Kata beliau, satu langkah yang tidak memerlukan pesakit menerima pemindahan darah adalah mengalihkan perhatian kepada cecair gantian.

Apa yang penting, sesetengah pesakit sememangnya memerlukan cairan untuk menggantikan kehilangan darah yang berlaku dalam usaha mengekalkan tekanan dan aliran darah agar semua komponen tubuh dapat berfungsi dengan baik.

"Cuma mustahaknya, pesakit perlu diberikan dengan jumlah dan jenis cecair yang sesuai untuk tubuh dan keadaannya. Sebabnya, cairan yang terdapat dalam tubuh manusia terbahagi kepada dua iaitu yang mengalir di dalam sel dan cairan yang mengalir di luar sel.

"Cairan di luar sel juga mempunyai bahagian-bahagian yang berbeza. Oleh itu, jika doktor ingin mensasarkan cecair tersebut dalam bahagian yang berlainan maka perlu bagi mereka menggunakan cecair yang tepat atau betul," kata Prof. Gan.

Namun tambah beliau, perlu diketahui bahawa tidak semua keadaan boleh menggunakan kaedah alternatif tersebut. Sesetengah situasi, pesakit masih memerlukan pemindahan darah dalam usaha menyelamatkan atau mengubatinya.

Sementara itu, Pensyarah dan Pakar Perunding Anestesia, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Datuk Dr. Wang Chew Yin berkata, Malaysia sebenarnya sudah lama menggunakan cecair sebagai kaedah alternatif seperti beberapa jenis Crystalloids dan Colloids.

Tetapi, pemberian itu khusus kepada mereka yang mengalami kehilangan darah yang banyak seperti kecederaan teruk atau pembedahan.

Malah kata beliau, negara juga sudah mengurangkan transfusi melibatkan darah sebaliknya mengambil pendekatan baru ini dalam usaha mengurangkan jangkitan virus yang tidak diingini.

Tambah beliau, kebiasaan jika pesakit melakukan pembedahan atau mengalami kecederaan teruk sehingga kehilangan darah, tetapi masih boleh bertahan, doktor tidak akan terus memberi darah atau melakukan transfusi darah sebaliknya pesakit akan diberikan cecair gantian untuk mengawal jumlah isipadu darah.


Ditulis oleh:
Rosmawati Mion

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

KISS Penuhi Keperluan Kanak-Kanak HIV/AIDS

Di Malaysia, 'kehadiran' HIV/AIDS hanya dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan pada Disember 1986. Namun sesuatu yang memeranjatkan dari tempoh itu sehingga Disember 2008 jumlah yang dijangkiti HIV dan dilaporkan kepada kementerian sebanyak 84,630.

Daripada jumlah itu sebanyak 14,576 menderita AIDS dan 11,234 mati akibatnya manakala pada tahun yang sama seramai tiga mati setiap hari.

Dianggarkan pula 10 individu menjalani HIV positif setiap hari dengan banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.

Kanak-kanak juga tidak ketinggalan dihidapi penyakit yang boleh membawa maut ini. Sebanyak 2,027 kanak-kanak dari umur dua hingga 19 tahun dijangkiti HIV dan 443 adalah positif AIDS.

Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, kanak-kanak yang hidup dengan HIV/AIDS juga mempunyai keperluan yang sama seperti kanak-kanak normal.

"Mereka memerlukan bantuan segera dan sokongan kewangan. Dengan kejayaan yang diperoleh oleh program Dana AIDS Pediatrik, kami ingin memanjangkan matlamat bagi meningkatkan bantuan kepada kanak-kanak yang berumur 13 hingga 19 tahun.

"Sebab itulah kami menubuhkan Program KISS (Keep in School Scheme) pada tahun lalu untuk menolong kanak-kanak kurang kemampuan yang dijangkiti HIV/AIDS.

"Program ini bertujuan untuk membantu kanak-kanak dan individu terbabit meneruskan persekolahan di peringkat menengah atau vokasional serta memenuhi keperluan harian," katanya baru-baru ini.

Menurut Dr. Adeeba, untuk pertama kali pada tahun ini, kanak-kanak berusia 13 hingga 19 tahun diberi bantuan. Program KISS menyediakan bantuan kewangan untuk meminimumkan penderitaan kanak-kanak yang hidup dengan HIV/AIDS.

"Menerusi skim ini, bantuan kewangan dan penajaan ditawarkan dalam bentuk bulanan bagi memenuhi keperluan harian seperti makanan, pakaian dan persekolahan dan pengangkutan bagi mendapatkan rawatan HIV.

"Ia juga membantu kami merapatkan jurang dan menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak ini setanding dengan kanak-kanak normal," katanya.

Menurut Dr. Adeeba, MAF bekerjasama dengan pediatrik dari klinik kesihatan, hospital, rumah kebajikan seperti Rumah Soleha untuk mengenalpasti kanak-kanak yang dijangkiti HIV/AIDS.

Dalam pada itu beliau mengakui, sebahagian daripada program KISS dibiayai hasil sumbangan daripada badan-badan korporat.

Terbaru sumbangan sebanyak RM150,000 oleh L'Oreal sempena ulang tahun ke-100 jenama produk penjagaan wajah terkenal tersebut baru-baru ini.

Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga yang kurang kemampuan yang mempunyai anak dijangkiti HIV/AIDS begitu juga dengan kanak-kanak mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa yang hidup dengan HIV atau mati kerana AIDS.

Pengarah Urusan L'Oreal Malaysia, Jean-Francois Couve memberitahu, sumbangan ini diharap boleh membantu dalam membiayai keperluan persekolahan seperti yuran, uniform, kasut dan perbelanjaan harian.

Ia juga bakal mengubah kehidupan kanak-kanak tersebut dengan masa depan lebih cerah apabila mereka berpeluang meneruskan pelajaran serta mendapat penjagaan kesihatan yang baik.

"L'Oreal Malaysia sebenarnya telah lama mempunyai komitmen dalam program HIV/AIDS di Malaysia dan sempena ulang tahun ke-100 ini kami telah terpanggil untuk membantu 100 kanak-kanak yang yang kurang bernasib baik," jelasnya.

Sempena sambutan ulang tahun tersebut jenama kecantikan antarabangsa itu telah meraikan bersama 67,500 pekerjanya di 65 buah negara.

Ia turut mengumumkan pelaksanaan 100 projek kemasyarakatan di seluruh dunia bagi membantu komuniti di peringkat akar umbi iaitu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Matlamat 100 projek itu ialah untuk membantu kanak-kanak dan remaja kurang kemampuan bagi mendapatkan pendidikan terutama di kawasan luar bandar, membantu keperluan khas individu dan membantu masyarakat miskin yang kurang berkemampuan.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, June 26, 2009

Perkongsian Ilmu Intervensi

Rawatan intervensi kardiologi pediatrik merupakan satu alternatif tanpa pembedahan untuk rawatan masalah jantung. Ia menggunakan alatan-alatan khusus yang dimasukkan ke dalam badan melalui salur kateter.

Prosedur intervensi juga dilakukan melalui panduan imbasan sinar-X atau imbasan ultrasound, sepenuhnya di dalam makmal prosedur kateter jantung.

Bagaimanapun, bukan semua kecacatan pada struktur jantung boleh diperbaiki melalui kaedah ini. Masalah seperti injap (stenosis injap aortik atau pulmonari) dan salur darah (himpitan aorta) yang tersumbat atau menyempit tidak dapat dirawat melalui kaedah ini. Serupa juga untuk sesetengah masalah jantung berlubang seperti secundum atrial septal defect dan selected ventricular septal defects.

Namun, banyak kemajuan telah dicapai dalam menjalankan rawatan intervensi melalui pembangunan serta aplikasi peralatan dan prosedur-prosedur terkini. Institut Jantung Negara (IJN) merupakan antara pusat serantau dengan reputasi tinggi dalam rawatan intervensi jantung untuk penyakit jantung kongenital (dihidapi sejak lahir).

IJN juga mempunyai keupayaan pancaran secara langsung kepada kumpulan persidangan di tapak-tapak berbeza seluruh dunia bagi menjayakan konsep perkongsian ilmu untuk prosedur intervensi. Melalui hubungan secara langsung antara-pusat-pusat terlibat, penonton dan peserta seluruh dunia dapat menyaksikan secara terus dan berinteraksi dengan pihak pakar yang terlibat pada masa yang sama.

Sebagai satu langkah memajukan lagi kaedah rawatan intervensi kardiologi pediatrik, IJN dan pusat serantau lain akan mengadakan sesi pancaran secara langsung ke Kongres Sedunia Kelima Pembedahan Jantung dan Kardiologi Pediatrik di Cairns, Australia pada 20 dan 21 Jun ini (Sabtu dan Ahad). Ini akan membolehkan pakar dari negara dan rantau lain berkongsi pengalaman, pendapat dan maklumat terkini dalam kaedah rawatan intervensi.

Pusat-pusat pancaran yang terlibat, termasuklah dari Melbourne, Seoul, Okayama, Kuala Lumpur (IJN), Kochi (India), Riyadh (Arab Saudi) dan Berlin iaitu pusat-pusat serantau dengan perbezaan waktu yang kurang ketara berbanding Australia. Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan rawatan jantung, kaedah intervensi dan maklumat kardiologi terkini, layari laman web www.ijn.com.my atau hubungi talian utama IJN 03-26178200.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

DHA Bantu Rangsang Minda

SOALAN:
Anak saya berusia 3 dan 5 tahun. Bolehkah saya memulakan pemberian suplemen yang bersesuaian, terutamanya untuk rangsangan minda?

Ini kerana saya tidak mengamalkan penyusuan badan sejak kecil. Salah seorang daripada anak saya juga mengalami masalah kulit yang kering. Adakah ia ada kaitan dengan pemakanan?



JAWAPAN:
Anda mungkin pernah mendengar tentang kepentingan asid lemak perlu kepada kesihatan dan proses perkembangan kanak-kanak.

Kekurangannya juga boleh mempengaruhi tumbesaran yang sihat. Tanda-tanda lazim kekurangan asid lemak 'politaktepu berantai panjang' di kalangan kanak-kanak termasuklah kulit yang kering, kuku yang rapuh serta rambut yang kering dan kusam.

Kanak-kanak seawal usia begini boleh diberikan makanan tambahan seperti yang kaya dengan asid lemak perlu, seperti omega-3 (boleh diperolehi daripada minyak ikan) dan omega-6.

Mungkin apa yang lebih merunsingkan para ibu bapa adalah masalah dalam pembelajaran serta masalah tingkah laku anak.

Hasil kajian menunjukkan kanak-kanak yang bermasalah dalam pembelajaran mempunyai kandungan asid-asid lemak perlu seperti asid arakidonik (AA), asid dokosaheksanoik (DHA) dan asid gama linolenik (GLA) yang lebih rendah dalam plasma darah.

Dengan membetulkan komposisi asid lemak kanak-kanak ini, masalah tersebut boleh diperbaiki.

Ini dibuktikan dengan pelbagai penyelidikan tentang kesan pengambilan asid lemak DHA, AA dan GLA terhadap pemulihan masalah pembelajaran, khasnya kanak-kanak yang lemah dalam daya tumpuan dan hiperaktiviti (ADHD), disleksia (masalah dalam kebolehan membaca dan mengeja) serta dispraksia (masalah dalam pergerakan motor, koordinasi serta pengimbangan badan).

Dengan pengambilan asid lemak yang mencukupi boleh memastikan perkembangan dan kelancaran fungsi otak, mata serta fungsi tubuh yang lain.

Walaupun sel-sel otak sudah terbentuk sebelum kelahiran, tetapi perhubungan antara sel-sel otak giat berlaku pada peringkat awal kehidupan kanak-kanak untuk membolehkan pembelajaran berlaku.

Ini kerana ia penting bagi mengekalkan keutuhan dan keanjalan membran sel supaya penghantaran mesej atau impuls antara sel-sel saraf berlaku secara efektif.



Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, June 25, 2009

Probiotik Tangani Sembelit Kanak-Kanak

SOALAN:
Bolehkah kanak-kanak berusia 4 tahun yang mengalami masalah sembelit diberikan probiotik? Apakah kemungkinan manfaat yang diperolehi dengan pengambilan probiotik di kalangan kanak-kanak?

JAWAPAN:
Probiotik kini semakin banyak dicadangkan oleh pakar perubatan kerana keselamatan dan keberkesanannya.

Antara yang tidak terkecuali adalah probiotik dari strain Lactobacillus acidophillus LA-5 yang telah dibuktikan dapat membantu penghadaman laktosa dan mengurangkan simptom alahan laktosa. Ia juga mampu merangsang dan memperkuat sistem imun badan kanak-kanak.

Mengikut kajian klinikal, probiotik dari strain Bifidobacterium lactis BB-12 juga mempunyai ketahanan terhadap jus hempedu dan asid asid yang tinggi, lalu membenarkannya mengkoloni saluran gastrousus.

Prebiotik pula merupakan makanan untuk probiotik. Prebiotik inulin dapat merangsang pertumbuhan bakteria bermanfaat di dalam usus, lalu meningkatkan penyerapan nutrien khasnya kalsium, dan memberi manfaat berterusan ke atas fungsi imun.

Tambahan pula, inulin merupakan serat makanan yang larut dan selamat untuk kanak-kanak.

Gabungan probiotik Bifidobacterium lactis BB-12 dan juga prebiotik boleh dijadikan pilihan untuk kanak-kanak dalam menangani gangguan sistem pencernaan seperti sembelit.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Memelihara Mata Sebelum Buta

Sempena sambutan hari bapa hari ini, isu pemeliharaan penglihatan perlu ditekankan terutamanya di kalangan bapa (dan juga ibu) yang menghidap diabetes.

Kajian Mata Kebangsaan 1996 menganggarkan terdapat 63,000 individu buta dan 53,000 orang mengalami rabun teruk di Malaysia.

Antara punca utama masalah ini ialah penyakit diabetes yang boleh memberi kesan sampingan buruk kepada mata.

Penyakit diabetes ialah penyakit sistemik di mana badan tidak dapat mengawal kandungan gula, menyebabkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi.

Peningkatan paras gula dalam darah juga memberi kesan terhadap sistem salur darah dan mengakibatkan serangan strok dan jantung, kegagalan buah pinggang serta kerosakan pada mata dikenali sebagai retinopati diabetis.

Kesan

Kesan masalah buta akibat penyakit diabetes sangat besar. Kebanyakan pesakit tergolong dalam peringkat usia yang produktif dan mempunyai tanggungjawab besar menyara hidup serta keluarga masing-masing.

Kehilangan penglihatan pada peringkat ini boleh menyebabkan mereka kehilangan kerja kerana tidak mampu melakukan tugas dengan berkesan. Ini seterusnya akan menjejaskan ekonomi dan dinamik keluarga pesakit.

Impak negatif ini juga secara langsung membantutkan pembangunan dan ekonomi negara, terutamanya dengan kehilangan tenaga kerja di peringkat paling berpotensi dan produktif dalam hidup mereka.

Kerajaan pula terpaksa menanggung kos perubatan dan kebajikan pesakit ini.

Oleh kerana impak negatif ini, kebutaan akibat diabetes perlu dicegah!

Pencegahan boleh dilakukan dengan memastikan pesakit diabetes menjalani pemeriksaan mata secara berkala.

Pengesanan masalah mata di peringkat awal membolehkan doktor mata memberi rawatan sewajarnya mengikut keadaan pesakit.

Pemeriksaan Mata

Retinopati diabetis adalah penyebab utama kebutaan baru di negara maju dan membangun.

Kemungkinan seorang pesakit diabetes menjadi buta adalah 25 kali ganda lebih tinggi berbanding individu sihat tetapi boleh dielakkan jika dikesan serta dirawat dari awal.

Sekitar 2006 dan 2007, jumlah pesakit diabetes di negara kita meningkat kepada 14.5 peratus daripada 8.3 pada 1996.

Didapati kadar komplikasi paling lazim akibat diabetes adalah ke atas saraf (58 peratus) dan mata (53 peratus).

Selepas lima tahun seseorang itu disahkan menghidap diabetes, 14 peratus daripada pesakit didapati menghidap retinopati diabetis.

Namun, didapati hanya tiga hingga 20 peratus pesakit diabetes menjalani pemeriksaan mata berkala.

Ini menunjukkan 80 peratus lagi pesakit diabetes yang tidak menjalani pemeriksaan mata berdepan risiko menjadi buta akibat retinopati diabetis.

Tanpa Disedari

Kajian Kementerian Kesihatan pada 2002 untuk menyaring kesan penyakit diabetes ke atas mata melalui gambar retina di tujuh buah hospital di tujuh negeri memperoleh keputusan membimbangkan.

Daripada 6,288 pesakit diabetes, 38 peratus (2,138 orang) mengalami retinopati diabetis tanpa disedari.

Jika fakta ini diunjurkan kepada semua pesakit diabetes yang berjumlah hampir 3.7 juta (14.5 peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia), bermakna kira-kira 1.4 juta pesakit menghidap retinopati diabetis tanpa disedari kerana tidak menjalani ujian saringan daripada doktor mata.

Fakta ini membimbangkan dan juga menyedihkan kerana pengesanan awal membolehkan kita mencegah kebutaan retinopati diabetes melalui rawatan laser atau pembedahan.

Bagaimanakah keadaan mata pesakit yang mengalami retinopati diabetis? Gambar mata pesakit diabetes menunjukkan contoh pendarahan di dalam retina mata pesakit yang tidak menjaga pemakanan.

Pesakit berkenaan juga menghidap darah tinggi, paras lemak tinggi dalam darah dan dia juga seorang perokok tegar. Semua faktor ini meningkatkan lagi risiko mendapat retinopati diabetis yang teruk.

Gambar tersebut menunjukkan perdarahan pada retina yang berlaku di dalam mata seorang pesakit diabetes yang tidak mengawal gula di dalam darah. Kebocoran lemak di tengah retina menyebabkan gangguan penglihatan.

Komplikasi Sampingan

Satu fakta penting yang perlu diketahui pesakit diabetes ialah jika retinopati diabetis berlaku, besar kemungkinan pesakit itu juga mengalami masalah kerosakan buah pinggang yang dipanggil nefropati diabetis.

Ini penyebab utama kegagalan buah pinggang tegar yang memerlukan dialisis seumur hidup.

Oleh itu jika pesakit diabetes didapati menghidap retinopati diabetis, pemeriksaan air kencing perlu dilakukan segera untuk mengesan nefropati diabetis.

Pada peringkat awal, pengambilan ubat dapat mencegah kegagalan buah pinggang tegar.

Kesedaran masyarakat, terutama pesakit diabetes, dan doktor yang merawat mengenai kepentingan penyaringan mata sangat penting.

Menjadi kewajipan pesakit untuk menjalani pemeriksaan mata dan menyebarkan pengetahuan ini kepada pesakit lain supaya lebih ramai menjalani pemeriksaan untuk mengelakkan kehilangan deria penglihatan.

Apa yang perlu dilakukan pesakit? Tentukan mata anda diperiksa pakar mata sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Kepada pengamal perubatan pula, patuhi jadual pemeriksaan mata pesakit seperti disarankan.

Pesakit diabetes boleh dirujuk untuk pemeriksaan retina di klinik mata atau pusat kesihatan yang ada kemudahan kamera retina.

Kepada pesakit diabetes, ingatlah bahawa:

*kemungkinan anda menjadi buta adalah 25 kali ganda daripada orang sihat

*walaupun anda dapat melihat dengan jelas, tidak bererti tiada kerosakan pada retina mata anda

*kerosakan retina mungkin bererti kerosakan buah pinggang yang boleh dikesan awal dengan ujian air kencing

*kerosakan awal buah pinggang dapat dirawat dan ini turut mencegah berlakunya kegagalan buah pinggang tegar yang memerlukan dialisis yang juga memerlukan belanja besar dan mengganggu kualiti hidup anda

Jika anda menghidap diabetes melebihi lima tahun, di samping mempunyai masalah tekanan darah tinggi, merokok, paras lemak tinggi dalam darah dan kawalan gula darah yang tidak sempurna, risiko mendapat kerosakan retina adalah tinggi.

Jangan berlengah, minta dirujukkan ke klinik mata dengan segera! Bersama kita memelihara penglihatan sebelum mata menjadi buta.


Ditulis oleh:
Profesor Dr Muhaya Mohammad
Pengarah Pusat Mata dan Lasik,
Pusat Perubatan Prince Court

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, June 24, 2009

Kanser Kolon: Adakah Anda Berisiko?

Kanser kolon (usus besar) adalah salah satu daripada penyakit penghadaman yang boleh mengancam nyawa.Lebih membimbangkan, kanser kolon adalah antara kanser yang paling kerap dihidapi di seluruh dunia.

Di Malaysia, laporan Pendaftaran Kanser Negara 2003-2005 mendedahkan bahawa kanser kolon adalah kanser yang paling kerap dihidapi oleh lelaki dan yang ketiga di kalangan wanita.

Kanser kolon juga kanser yang paling kerap dihidapi oleh wanita berusia melebihi 70 tahun.

Permulaan Kanser

Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu bonjol kecil pada permukaan dalam kolon. Kebanyakan polip adalah benign atau tidak berbahaya.

Tetapi, jika ia dibiarkan, ia akan membesar dan boleh menjadi malignan (barah). Proses pertukaran dari benign ke malignan juga selalunya mengambil masa yang lama.

Pada peringkat awal, kanser kolon mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda. Tetapi apabila sudah berlanjutan, pesakit mungkin mengalami perubahan seperti cirit-birit atau sembelit berdarah, kelesuan, sakit perut yang teruk, muntah, kehilangan berat badan dan juga anemia (kurang darah merah).

Pada tahap lanjut, sel-sel kanser mungkin sudah merebak dari usus besar ke organ lain menerusi proses yang dinamakan metastasis.

Ia biasanya menyerang hati, menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti jaundis atau penyakit kuning. Apabila keadaan ini berlaku, ia menunjukkan tahap kanser yang sudah teruk.

Hakikatnya, kanser kolon boleh dicegah dan boleh sembuh jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Justeru, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian secara berkala dengan doktor pakar bagi mengesan kanser kolon di peringkat awal.

Satu-satunya cara untuk mengesan kanser kolon di peringkat awal ialah dengan menjalani pemeriksaan secepat mungkin. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Kenali Faktor Risiko

Kebanyakan kes kanser kolon berlaku secara rambang. Ini bermakna ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Punca sebenar kanser kolon juga masih tidak diketahui, tetapi terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan kanser ini.

Faktor yang pasti ialah sejarah penyakit ini dalam keluarga. Risiko anda lebih tinggi jika ada antara anggota keluarga anda menghidap kanser kolon.

Malah, 10 hingga 20 peratus daripada pesakit kanser kolon mempunyai sejarah penyakit dalam keluarga.

Jika ibu, bapa atau adik-beradik anda menghidap kanser kolon pada usia 30 tahun, anda mungkin perlu mula menjalani pemeriksaan lima tahun sebelum anda mencapai usia itu, atau mungkin lebih awal lagi.

Keadaan tertentu yang menyebabkan keradangan usus (seperti ulcerative colitis) juga boleh meningkatkan risiko kanser kolon. Faktor risiko lain yang dikaitkan dengan kanser kolon termasuk:

*Diet

Lebih ramai rakyat Malaysia makan terlalu banyak daging merah (lembu atau kambing) dan kurang makan serat (buah dan sayur). Penekanan hendaklah diberikan kepada bijirin, buah-buahan dan sayuran, dan kurangkan pengambilan daging merah.

*Usia

Risiko meningkat selepas usia 50 tahun. Bagaimanapun, perangkaan menunjukkan bahawa risiko penyakit ini boleh bermula seawal umur 20-an hingga 30-an. Peningkatan kes lebih ketara selepas usia 50 tahun.

*Sejarah peribadi

Wanita dengan sejarah kanser ovari, uterus dan payu dara berisiko lebih tinggi.

*Jantina

Wanita lebih berisiko daripada lelaki. Tetapi di Malaysia, risiko kanser kolon di kalangan lelaki lebih tinggi sedikit berbanding wanita (nisbah 11:10).

*Gaya hidup

Pengambilan alkohol secara berlebihan, merokok serta kurang atau langsung tidak melakukan aktiviti fizikal meletakkan anda dalam risiko. Begitu juga berat badan berlebihan.

Pilihan Rawatan

Rawatan bergantung pada bila kanser kolon dikesan. Lebih awal ianya dikesan, maka lebih baik prognosisnya.

Pada peringkat awal doktor boleh merawat dan menyembuhkan penyakit ini dengan lebih berkesan.

Terdapat juga banyak kaedah rawatan di peringkat lanjutan, termasuk kemoterapi dan pembedahan. Rawatan di peringkat ini bagaimanapun lebih agresif dan biasanya tidak begitu berkesan untuk menyembuhkan penyakit tersebut.

Kurangkan Risiko Anda

Meskipun belum ada garis panduan pemeriksaan untuk kanser kolon di Malaysia, banyak pihak, termasuk Kementerian Kesihatan, menyedari bahawa pengesanan awal penting dan garis panduan mengenainya sedang dirangka.

Cara utama untuk mengurangkan risiko pada diri ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Anda mungkin tidak dapat menukar sejarah keluarga atau usia anda, tetapi anda boleh bersenam, menjaga berat badan dan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat.

Jadi, segera mulakan gaya hidup sihat hari ini dan jangan lupa bahawa pemeriksaan awal paling penting dalam usaha untuk mengesan dan melawan kanser kolon!


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

CaEd Luaskan Maklumat Kanser

Gambaran yang tidak terucap tatkala menerima berita disahkan menghidap kanser payu dara. Apatah lagi bakal kehilangan ciri kewanitaan itu tidak lama lagi. Terbayang di fikiran, rambut semakin gugur, pakaian serta coli tidak boleh dipakai lagi serta berat badan tidak secantik dulu.

Wanita sebenarnya mempunyai reaksi yang berbeza apabila diberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan payu dara mereka.

Sedih dan tertekan tetapi walau apa pun persoalan yang bermain di fikiran, pada suatu ketika tentu mereka ingin tahu mengenai keadaan sebenar.

Apa yang lebih membimbangkan atau mungkin menjadi trauma dalam hidup, jika wanita itu didiagnosis menghidap barah payu dara. Hakikatnya, berita ini amat digeruni seolah-olah hidup mereka akan berkahir.

Lebih-lebih lagi, penyakit itu membawa perubahan besar gaya hidup pesakit dan juga memberikan kesan lain termasuk perubahan penampilan, emosi yang tidak menentu dan bebanan kewangan.

Justeru, pembelajaran dan pemahaman mengenai barah payu dara adalah penting agar wanita yang menghidap penyakit itu dapat menangani keadaan krisis dihadapi serta berupaya meneruskan kehidupan lebih positif.

Menerusi Projek Pendidikan dan Penyelidikan Kanser (CaEd), pendidikan kanser ini dapat dibangunkan serta mempelbagaikan cara penyampaiannya.

Projek ini merupakan ilham daripada dua orang bekas pesakit kanser, seorang dari Malaysia manakala seorang lagi dari Amerika Syarikat.

Idea utama mereka ialah mengadaptasi dan menterjemah bahan pendidikan yang terpilih ke dalam Bahasa Malaysia sebagai langkah pertama dalam menyediakan maklumat yang diperlukan berkenaan rawatan dan penjagaan kanser payu dara.

Seterusnya berkembang kepada aktiviti pendidikan yang utama, CaEd. Kepimpinan projek ini adalah melalui usahasama antara Universiti Putra Malaysia dan Cornell University. Projek ini telah dilancarkan secara rasminya di Malaysia pada September 2003.

CaEd juga menyediakan maklumat dan pengetahuan mengenai rawatan dan pengurusan penyakit kanser di kalangan pesakit dan bekas pesakit kanser, keluarga mereka, profesional kesihatan dan orang awam umumnya di Malaysia.

Selain itu, ia bertujuan untuk membangunkan kapasiti manusia dan institusi serta pembangunan mapan dalam sektor pendidikan kanser yang kritikal dalam komuniti pelbagai etnik di Malaysia.

Program

Sejak 2003, berikut adalah senarai program dan aktiviti hasil daripada inisiatif projek ini:

Usahasama

*Pihak yang terlibat: UPM, Cornell University, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), American Cancer Society.

*Jaringan kumpulan dan individu stakeholder komited di Malaysia dan Amerika Syarikat.

Adaptasi dan Terjemahan Bahan Pendidikan

*Kebenaran untuk menterjemah bahan pendidikan American Cancer Society

*Menterjemah 10 judul buku pendidikan yang berkaitan dengan rawatan, penjagaan dan pengesanan awal kanser payudara ke dalam Bahasa Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)

*Menghasilkan 4 judul buku dalam bentuk PDF

Penyebaran dan Outreach

*Menghasilkan 10 judul buku dan penyebaran melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, ExxonMobil Malaysia, Penerbit UPM, dan Dawama Sdn. Bhd.

*Laman web projek di alamat: http://www.ipsas.upm.edu.my/~caed/

*Sesi bulanan Kumpulan Sokongan dan Pendidikan Kanser; aktiviti kaunseling rakan sebaya dan pendidikan komuniti

*Pendaftaran Kumpulan Sokongan sebagai Persatuan Kanser Network (KanWork)

*Laman web kumpulan sokongan di alamat: http://www.ipsas.upm.edu.my/~kanwork/

*Melatih ahli kumpulan sokongan kanser payudara di beberapa buah organisasi kanser payudara di Amerika Syarikat yang berasaskan komuniti

*Pusat Sumber Kanser dibiayai oleh ExxonMobil Malaysia. Pengumpulan bahan-bahan pendidikan kanser untuk pesakit dan orang awam sebagai bahan rujukan. Aktiviti perkhidmatan sokongan diadakan semasa hari klinik payudara di Hospital Putrajaya

*National Summit on Breast Cancer Education (NSBCE 2006) telah diadakan pada bulan Julai 2006 untuk mengenalpasti keperluan utama pendidikan dalam pendidikan kanser payudara (dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

Penyelidikan

*Mengkaji profil kanser payudara di Malaysia dengan memfokuskan bagaimana pesakit membuat keputusan yang berkaitan dengan rawatan dan mempelajari cara pengurusan kanser (geran penyelidikan IRPA, MOSTI)

*Pakej Pendidikan Pemakanan untuk Pesakit Kanser, bahan pendidikan tahap rendah dalam pemakanan untuk pesakit kanser payudara yang menjalani kemoterapi (geran penyelidikan MAKNA)

*Membangunkan bahan pendidikan kanser payudara tahap rendah di dalam Bahasa Malaysia (geran Syarikat Boeing)

*Lifestyle Modification And Intervention In The Prevention of Breast Cancer Recurrence memfokuskan tentang kanser dan persekitaran, gaya hidup (pemakanan, senaman, dan kerohanian) (geran penyelidikan MAKNA)

Inisiatif Baru

*Menterjemahkan bahan pendidikan Bahasa Malaysia yang telah diterbitkan oleh projek untuk pembaca berbangsa Cina

*Mengadaptasikan dan menterjemah buku bertajuk Caring For The Person with Advanced Cancer - A Guide for Families and Friends yang dihasilkan oleh Cancer Foundation of Western Australia di dalam bahasa Malaysia (geran BAKTI)

*Pembangunan kapasiti dan kemapanan kualiti program pendidikan kanser di Malaysia

Pusat Sumber Pendidikan dan Komunikasi Kanser (CaRE)

*Portal Pendidikan Kanser (pembiayaan Creative)


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, June 21, 2009

Tiba-Tiba Nafas Terhenti Ketika Tidur

Obstructive Sleep Apnea (OSA) atau nafas terhenti semasa tidur untuk beberapa ketika (beberapa saat hingga melebihi satu minit) merupakan gangguan tidur yang paling lazim berlaku di seluruh dunia. Masalah ini berlaku kerana saluran pernafasan yang tersekat sementara.

OSA bukan sahaja boleh memberi impak negatif terhadap kualiti kehidupan dan produktiviti seseorang, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung, angin ahmar, peningkatan berat badan, mengurangkan kadar hayat dan mengurangkan fungsi imun serta lain-lain penyakit.

Bagaimanapun ramai yang tidak mengendahkan gangguan berkenaan lalu membiarkannya tanpa mendapatkan diagnosis perubatan. Ini kerana mereka menganggap gangguan itu adalah suatu yang tidak membawa musibah kepada tubuh atau kehidupan.

Itu adalah tanggapan yang salah. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai simptom-simptom seperti berdengkur dengan kuat dan amat mengganggu, tercunggap-cunggap mencari udara atau tersedak semasa tidur dan terasa amat mengantuk pada siang hari, maka mereka telah pun 'dijangkiti' OSA.

Naib Presiden Philips Asia Pacific Home Healthcare Solutions, Peter White berkata, tempoh dan kualiti tidur orang ramai menurun disebabkan perubahan gaya hidup yang berlaku, tekanan kerja, kebimbangan kewangan atau diet yang lemah.

"Kesan-kesan daripada tidak cukup tidur mempunyai impak ekonomi yang besar, selain daripada penurunan produktiviti yang ketara. Keadaan mereka yang tidak stabil ini turut boleh mengakibatkan kemalangan industri mahupun jalan raya.

"Kekurangan tidur juga boleh mengakibatkan pertambahan berat badan, diabetes, tekanan darah tinggi dan juga serangan jantung," katanya ketika menyampaikan ceramah Understanding OSA baru-baru ini.

Menurut White, OSA juga sangat berkaitan dengan darah tinggi. Sebanyak 40 peratus pesakit OSA menghidap darah tinggi sementara 30 hingga 50 peratus pesakit darah tinggi mengalami OSA.

"Mekanisme dalam OSA juga memain peranan dalam menyebabkan serangan jantung. Kaitannya sungguh mudah, seseorang yang mempunyai masalah OSA akan mendapat diabetes. Manakala 2/3 pesakit diabetes mati akibat daripada serangan jantung dan strok.

"Tidak ketinggalan juga pesakit OSA mempunyai risiko komplikasi berkaitan dengan anestesia," katanya.

Justeru itu, katanya, seseorang yang mengalami OSA akan didiagnosis dengan pemeriksaan fizikal, sejarah serta soal jawab mengenai tidur atau simptom yang berlaku semasa siang dan masalah tidur.

"Selalunya pesakit OSA akan diperiksa sekiranya mempunyai simptom seperti tidur yang letih, darah tinggi, leher yang panjang iaitu 43 cm untuk lelaki dan 41 cm untuk wanita, mempunyai rahang yang kecil dan menghidap diabetes," ujarnya.

OSA boleh dengan mudah didiagnosis oleh doktor yang menilai aduan dan simptom pesakit. Jika gangguan tidur yang disyaki, pesakit akan dirujuk kepada kajian diagnostik tidur dikenali sebagaiPolysomnogram atau PSG bagi mengesahkan bentuk dan tahap serius gangguan tidur, serta rawatan yang sewajarnya diambil.

Sebaik sahaja OSA dikenalpasti sebagai punca aduan dan simptom pesakit, ia selalunya boleh dirawat secara berkesan dengan terapi Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP) iaitu kaedah rawatan yang lebih digemari untuk OSA.

CPAP memberikan aliran lembut tekanan udara menerusi saluran lubang hidup menggunakan topeng menggelakkan saluran udara daripada tumbang bagi membolehkan pesakit OSA bernafas bebas semasa tidur. Peralatan CPAP dilengkapi dengan pelbagai ciri untuk meningkatkan keselesaan pesakit semasa terapi.

Kebaikan CPAP berbanding dengan rawatan biasa meminimumkan kesan OSA, meningkatkan tenaga dan perhatian semasa siang, menurunkan tekanan darah, mengurangkan risiko strok dan serangan jantung serta meningkatkan kualiti hidup.

Sementara itu, Presiden Persatuan Masalah Tidur Malaysia (SDSM), Prof. Dr. Syed Hassan Ahmad memberitahu individu-individu dengan OSA adalah dua atau tiga kali lebih tinggi untuk menghidap hipertensi dan juga meningkatkan risiko serangan jantung berbanding mereka yang tanpa OSA.

Kajian-kajian lanjut telah menunjukkan bahawa diabetes jenis dua lebih kerap berlaku pada pesakit dengan pernafasan gangguan tidur yang bebas daripada faktor-faktor lain.

"Di Malaysia, peningkatan usia, obes, merokok dan penggunaan sedatif adalah dikaitkan dengan dengkur yang merupakan simptom OSA. Kumpulan etnik Cina dan India jua berisiko lebih tinggi berbanding Melayu," katanya.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Betulkan Persepsi Memberus Gigi

Fakta kesihatan mulut membuktikan bahawa menggosok gigi sahaja tidak mencukupi untuk membersihkan plak dari mulut. Menggosok gigi hanya mampu membersihkan 23 peratus permukaan di dalam mulut, tidak termasuk kawasan antara gigi yang sukar dicapai.

Terdapat kajian mendapati bahawa kebanyakan orang tidak mampu mengekalkan tahap kebersihan mulut yang mencukupi bagi mengawal pembentukan plak. Ini kerana ketiadaan masa serta tidak menggosok gigi dengan teknik yang betul.

Maka, bagi memberi pendidikan dan penyelesaian kepada isu ini, jenama cecair kumur dan fraterniti, Listerine dan Persatuan Pergigian Malaysia bekerjasama sekali lagi dalam menjalankan aktiviti yang boleh mendidik rakyat Malaysia mengenai empat langkah penting dalam penjagaan oral yang lengkap.

Ini dilakukan menerusi aktiviti interaktif yang menyeronokkan yang dibawakan oleh Listerine Mobile Mouth, sebuah lori lima tan yang bertindak sebagai kenderaan promosi.

Kenderaan promosi bergerak yang mula diperkenalkan pada bulan Mac tahun ini telah memberi manfaat kepada 12,000 orang dewasa Malaysia di mana 40 peratus daripada mereka bukanlah pengguna cecair kumur.

Inisiatif ini telah mendidik masyarakat untuk memberus gigi menggunakan flos dan kumur mulut antiseptik dua kali sehari serta pemeriksaan gigi berkala setiap enam bulan.

Pada bulan Jun ini, kenderaan ini akan menjelajah sekali lagi dan melawat pasar raya dan pasar raya hiper, bangunan pejabat dan pusat membeli- belah di Kuala Lumpur, Selangor, Seremban, Melaka dan Johor Bahru.

Semasa pengenalan rasmi kenderaan bergerak ini, Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. S. Sivanesan berkata, orang dewasa dapat menghindari daripada rawatan pergigian dalam jangka masa panjang dengan mengawal pembentukan plak - satu salutan berbakteria yang melekat pada permukaan gigi selepas makan, dan pengumpulannya boleh mengakibatkan kerosakan gigi, bengkak gusi dan penyakit lain yang berkaitan.

"Kami mencadangkan semua orang dewasa mengamalkan amalan kebersihan gigi harian dengan memberus, menggunakan flos dan berkumur dengan cecair kumur antiseptik untuk kawalan plak terbaik serta langkah terakhir iaitu pemeriksaan gigi berkala setiap enam bulan," nasihatnya lagi.

Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh Listerine pada 2007 mendedahkan bahawa masalah kesihatan gigi sememangnya banyak terdapat di kalangan orang dewasa Malaysia, kemungkinan berkaitan dengan salah faham yang disebutkan.

Antara fakta menarik yang diperolehi termasuklah: satu daripada 10 orang Malaysia mempunyai nafas yang berbau; 20 peratus mengalami masalah kerosakan gigi; 24 peratus daripada mereka mempunyai masalah gusi berdarah; dan semua yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut memberus gigi dengan kerap.

Pengarah Urusan Johnson & Johnson, Joyce Lee memberitahu, kajian tersebut jelas menunjukkan bahawa orang dewasa Malaysia mempunyai masalah kesihatan gigi walaupun mereka kerap memberus gigi.

"Sekiranya kita dapat memperbetulkan salah faham bahawa masalah gigi boleh dielakkan hanya dengan memberus gigi melalui didikan amalan penjagaan gigi yang betul dan lengkap, maka kita benar-benar membimbing rakyat Malaysia untuk menjaga kesihatan mulut mereka sebaik mungkin. Ini akan membantu mereka mengelakkan masalah gigi dan rawatan gigi yang sebenarnya dapat dielakkan dalam jangka masa panjang," katanya.

Joyce menambah, Listerine Mobile Mouth secara proaktifnya telah menarik minat orang dewasa Malaysia semasa promosi jelajah selama sebulan yang telah diadakan pada bulan Mac lalu.

"Listerine Mobile Mouth mengajak orang awam masuk ke dalam dan melihat sendiri keperluan penjagaan gigi yang baik. Konsep inilah yang menarik minat orang ramai untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang penjagaan mulut selain permainan dan lain-lain aktiviti interaktif yang menyeronokkan.

"Kami berharap ramai lagi yang berminat mengunjungi kenderaan bergerak ini pada pusingan kedua pada bulan Jun ini," katanya.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, June 02, 2009

Kupang Hijau Kurangkan Serangan Artritis

Statistik terkini melaporkan, populasi warga emas yang mencecah lebih dua juta orang dijangka terus meningkat kepada hampir dua kali ganda menjelang tahun 2020.

Maka keperluan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengawal gejala penyakit seperti artritis semakin diberi tumpuan oleh masyarakat umum.

Kaji selidik di kalangan pengguna umum Blackmores mendapati, artritis dan sakit sendi mendapat undian sebagai kebimbangan utama di kalangan rakyat Malaysia apabila meningkat tua.

Pakar Naturopati Blackmores, Monitar Tan berkata, pun begitu kesedaran orang ramai juga didapati kian meningkat mengenai artritis terutama simptom dan bahaya jangka panjang akibat serangan penyakit tersebut.

Justeru, Blackmores memperkenalkan penyelesaian dengan pendekatan holistik menerusi penyelidikan berterusan untuk menghasilkan produk inovatif sebagai alternatif penawar semula jadi untuk penghidap artritis.

"Lyprinol melegakan kesakitan sendi yang toleran tetapi cukup berkesan untuk pesakit artritis kerana mengandungi struktur lipid kompleks berbanding minyak hidupan laut lain.

"Di samping melegakan kesakitan dan meningkatkan mobiliti sendi, Lyprinol juga membantu melapangkan saluran pernafasan dan mengurangkan keradangan serta bengkak sendi," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Blackmores Lyprinol yang mengandungi kupang hijau yang hanya ditemui di pesisiran pantai Malborough Sounds, New Zealand.

Kupang hijau (green lipped mussel) atau nama saintifiknya 'Perna caniculus' berbeza dengan kupang biasa dan boleh dilihat pada cengkerangnya yang berwarna hijau-coklat gelap.

Menurut Pakar Perubatan dan Geriatrik, Dr. Rajbans Singh, beberapa ujian klinikal yang dijalankan di Hong Kong dan Malaysia baru-baru ini mengesahkan bahawa ekstrak lipid laut semula jadi daripada spesies kupang itu terbukti berkesan mengurangkan simptom serangan artritis.

"Kami jangka ia mampu memberi kelegaan kepada kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia yang menghidap osteoartritis dan ribuan lagi penghidap artritis reumatoid.

"Dalam kajian melibatkan 60 pesakit artritis di Malaysia, didapati berlaku pengurangan ketara pada tahap kesakitan dan peningkatan fungsi sendi selepas mengambil ekstrak kupang hijau selama empat hingga lapan minggu," jelasnya yang juga Presiden Persatuan Kesejahteraan Malaysia (MWS).

Kupang hijau mengandungi lima variasi Omega-3 yang merupakan keperluan penting tubuh badan manakala ekstraknya juga tinggi dengan kandungan protein semula jadi, mineral dan mucopolysaccharides.

Bahan ekstrak yang terhasil secara semula jadi itu kini semakin dikenali sebagai penawar kesakitan sendi, pemeliharaan rawan dan memulihkan kesihatan tubuh badan secara keseluruhannya.

Malah, kupang hijau turut didapati mampu menyekat keradangan. Jelas beliau, meskipun keradangan adalah normal bagi situasi tertentu namun keradangan yang konsisten atau berlebihan boleh mengakibatkan kesakitan dan kerosakan pada badan termasuk bahagian sendi.

"Hasil kajian tadi menunjukkan kawalan atas penghasilan pengantara keradangan dalam badan boleh memperbaiki kesan artritis, asma, proriasis dan beberapa penyakit lain yang melibatkan elemen keradangan," tambahnya.

Lyprinol boleh didapati di farmasi utama seluruh negara pada harga RM168 sekotak.


Ditulis oleh:
Diyana Rose Kamalludeen

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Kanser Lidah

Lidah adalah salah satu organ deria manusia. Ia mengandungi tunas-tunas rasa yang membolehkan kita merasa makanan dan seterusnya memberikan kualiti hidup lebih baik.

Betapa ramai manusia telah kehilangan nikmat merasa ini baik akibat kerosakan tunas-tunas rasa, masalah ketumbuhan pada lidah, kecederaan akibat kemalangan jalan raya mahupun gangguan pada saraf yang bertanggungjawab menerima rangsangan sensori daripada apa yang kita makan.

Selain untuk merasa, lidah juga berfungsi untuk mengawal atau mengaturletakkan bolus makanan yang terdapat dalam rongga mulut kita.

Misalnya, sewaktu kita makan, makanan setelah dilumatkan akan dibentuk menjadi suatu gumpalan.

Bolus makanan ini akan ditolakkan ke belakang dengan menggunakan lidah bagi memulakan proses menelan.

Lidah yang mempunyai struktur normal dan berfungsi dengan baik juga akan membantu proses percakapan atau artikulasi bunyi-bunyi yang dikeluarkan dari peti suara.

Gangguan padanya akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat menuturkan bunyi atau perkataan yang dapat difahami oleh rakan yang mendengar. Begitu besarnya nikmat anugerah lidah ini kepada manusia.

Kanser Lidah

Kanser lidah adalah sejenis penyakit yang bukannya jarang berlaku dalam praktis otorinolaringologi.

Golongan yang berusia antara 50 hingga 70 tahun kerap ditemui menghidapi kanser lidah.

Suatu masa dahulu ia kerap terjadi pada golongan lelaki, mungkin disebabkan kaitan dengan tabiat merokok dan pengambilan alkohol.

Walau bagaimanapun, tidak kurang kesnya dijumpai di kalangan wanita atau pesakit yang berusia lebih muda. Data terkini juga menunjukkan wanita mempunyai kekerapan yang hampir sama dengan lelaki menghidap kanser lidah.

Faktor Penyebab

Disebabkan lidah adalah komponen utama yang terdapat dalam rongga mulut, faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kanser lidah juga ada persamaan dengan punca yang dikaitkan dengan kanser lain seperti bibir, pipi, lelangit, gusi dan lantai mulut.

1. Merokok - Kejadian kanser rongga mulut secara amnya meningkat sebanyak lebih daripada enam kali ganda dalam kalangan perokok jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok. Selain itu, merokok juga sememangnya dikenalpasti menjadi faktor utama kes-kes kanser peti suara, paru-paru dan banyak lagi organ lain di dalam badan. Ia adalah faktor yang boleh dicegah sekiranya kita menjauhi tabiat buruk ini.

2. Alkohol - Selepas rokok, pengambilan alkohol adalah antara faktor boleh ubah yang dikenalpasti meningkatkan risiko mendapat kanser rongga mulut sebanyak enam kali ganda. Kombinasi antara merokok dan mengambil alkohol akan memberikan kesan sinergi yang menambahkan lagi kemungkinan mendapat kanser.

3. Mengunyah tembakau - Amalan ini menjadi kelaziman bagi sesetengah etnik atau bangsa yang mana tembakau, sama ada yang asli atau ditambah dengan perisa dikunyah dan dikemam di dalam bahagian rongga mulut.

4. Masalah gigi - Penjagaan gigi yang tidak bersih, wujudnya bahagian gigi yang tajam serta gigi palsu yang tidak dipadankan dengan baik akan menyebabkan iritasi berterusan dan berpanjangan terhadap struktur-struktur di sekitarnya termasuklah lidah. Umpamanya, lidah yang selalu tercedera baik akibat gigi yang tajam atau gigi palsu yang tidak sesuai mungkin meningkatkan risiko ketumbuhan yang berbahaya.

5. Faktor lain - Masalah malnutrisi seperti diet yang kekurangan sesetengah vitamin adalah antara kebarangkalian yang dikaji boleh meningkatkan risiko kanser. Selain itu, anemia kekurangan zat besi seperti dalam kes Sindrom Plummer-Vinson juga dikaitkan dengan kejadian kanser rongga mulut dan hipofarinks.

Kanser lidah juga boleh muncul daripada kesan keadaan leukoplakia pada lidah, ulser yang kronik atau keadaan pramalignan lidah yang lain. Kebanyakan keadaan pra-malignan yang terdapat pada lidah juga disebabkan oleh faktor yang sama, iaitu merokok.

Lokasi dan Perebakan

Majoriti kanser lidah ialah dari jenis karsinoma sel skuama, yang merupakan jenis kanser yang paling kerap menyerang mana-mana lokasi dalam bahagian kepala dan leher.

Pada lidah itu sendiri, bahagian yang paling kerap ialah pada bahagian tepi kanan dan kiri lidah (85 peratus).

Kadang-kala ia boleh ditemui di hujung paling hadapan (tip) atau permukaan atas (dorsum) serta permukaan bawah lidah (ventral).

Lidah adalah antara organ yang cepat merebak jika kanser bermula darinya. Penyebaran boleh berlaku ke lapisan otot yang merupakan komponen utama lidah itu sendiri, juga tidak kurang penyebarannya melibatkan struktur di sebelahnya seperti lantai mulut, gusi dan tulang rahang bawah.

Disebabkan lidah adalah suatu struktur di tengah rongga mulut, ia boleh dan mudah merebakkan sel kanser ke kelenjar-kelenjar limfa di leher, baik sebelah sahaja atau kedua-dua belah leher.

Tanda dan Gejala

Pesakit yang menghidapi kanser lidah biasanya datang berjumpa doktor dengan tanda seperti ketumbuhan atau bonjolan pada permukaan lidah, ulser atau luka pada lidah yang berpanjangan tempohnya atau rasa keras seperti ketulan yang berada di bawah permukaan lidah.

Apabila ketumbuhan semakin membesar, gejala seperti sakit, sukar menelan, sakit telinga dan bau nafas yang kurang menyenangkan akan timbul.

Pergerakan lidah juga mungkin terbatas disebabkan oleh sebahagian daripada ketumbuhan tersebut telah merebak ke lantai mulut dan menyebabkan ia menjadi melekat.

Kerosakan otot lidah akibat pencerobohan sel-sel kanser juga menyebabkan lidah tidak dapat digerakkan dengan baik. Bengkak kelenjar leher pula menandakan kanser telahpun merebak.

Rawatan

Rawatan untuk penyakit kanser lidah amat bergantung kepada tahap kanser itu sendiri dan ia mungkin tidak sama antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.

Secara prinsipnya, kanser yang dikesan dan dirawat di peringkat awal mempunyai prognosis yang jauh lebih baik dengan rawatan yang akan diberikan kepada pesakit.

Setelah mengambil contoh tisu kanser tersebut melalui biopsi tisu, penyiasatan radiologi seperti imbasan CT atau MRI diperlukan untuk menilai dan menentukan peringkat kanser tersebut.

Ini penting kerana tahap yang berbeza mempunyai pendekatan dan hasil yang berbeza selepas rawatan. Ujian-ujian tambahan juga mungkin diperlukan bergantung kepada bentuk rawatan yang akan dijalankan.

Sesi kaunseling dan penerangan berkenaan penyakit dan pilihan rawatan akan diberikan kepada pesakit sebelum langkah berikutnya diambil.

Adalah penting bagi seseorang pesakit memahami akan keadaan semasa dan apa yang sepatutnya dijangkakan atau diharapkan setelah tamat rawatan nanti.

Kanser pada peringkat awal boleh dirawat dengan pembedahan membuang ketumbuhan tersebut. Kaedah meletakkan implan yang mengeluarkan radiasi (interstitial radiotherapy) juga diaplikasikan bagi sesetengah pesakit yang bersesuaian.

Kanser yang agak besar saiznya pula mungkin memerlukan pembedahan yang lebih besar terhadap lidah dan leher.

Biasanya bagi pembedahan yang agak besar, akan disusuli proses rekonstruktif iaitu membaikpulih struktur yang tertinggal dengan kaedah-kaedah yang sesuai (biasanya dilakukan oleh pakar bedah plastik dan rekonstruktif).

Selain itu, rawatan kemoterapi, radioterapi atau kombinasi yang sesuai dengan keadaan tahap pesakit mungkin diperlukan bagi memastikan keseluruhan sel-sel kanser itu dihapuskan dari badan pesakit.


Ditulis oleh:
Dr Irfan Mohamad
Pensyarah Jabatan Otorinolaringologi - Surgeri Kepala & Leher,
Pusat Pengajian Sains Perubatan
Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan Kelantan

Monday, June 01, 2009

Imuniti dan Penyakit Berjangkit

Selesema burung? SARS? H1N1? Sistem imun badan anda berada dalam keadaan bahaya! Jenis virus Influenza A H1N1 yang menular kebelakangan ini merupakan ancaman yang amat serius.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini telah meningkatkan kewaspadaan terhadap virus influenza ini ke peringkat 5 daripada skala 1-6 (iaitu tahap bahaya terkini jangkitan).

Wabak influenza seperti ini perlu dipandang serius oleh kerana keupayaannya untuk merebak dengan pantas merentasi sempadan ke negara-negara lain di seluruh dunia.

Antibiotik tidak berkesan untuk merawat virus seperti H1N1 manakala untuk memperolehi vaksin yang sesuai bagi melindungi kita semua akan mengambil masa sehingga enam bulan untuk dikeluarkan dengan jumlah yang mencukupi, suatu tempoh yang mungkin sudah terlambat untuk menyelamatkan ramai nyawa.

Dalam keadaan sebegini, anda perlu bergantung kepada sistem imuniti diri yang merupakan sistem pertahanan semulajadi badan anda, untuk mengawasi dan mempertahankan anda 24 jam sehari, setiap hari dalam hidup.

Sistem imuniti melindungi kita daripada serangan kuman-kuman (bakteria serta virus seperti H1N1, selesema burung, SARS, malahan selesema biasa sekalipun).

Menghidapi selesema atau flu merupakan tanda yang jelas bahawa sistem imun anda telah gagal untuk menghalang kuman-kuman tersebut.

Penyakit-penyakit lain seperti batuk kering (tibi) dan radang paru-paru (pneumonia) juga boleh bertapak pada orang yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Oleh itu, tiada sebab sama sekali untuk anda terus mempunyai sistem imun yang lemah sehingga boleh mendedahkan diri kepada bermacam jenis penyakit.

Imuniti WGP

Whole Glucan Particle (WGP) adalah penambah imuniti yang paling kuat dari alam semulajadi. Daripada semua sebatian semulajadi yang diketahui boleh mengaktifkan sistem yang terpendam ini, yang paling lengkap didokumentasikan dan juga yang paling berkesan ialah WGP.

Sebenarnya, apabila ahli Jabatan Pertahanan NATO yang terkemuka menilai lebih 300 penggalak imun yang berpotensi, didapati WGP mempunyai markah yang tertinggi.

Bagaimanakah WGP Beta Glucan Berfungsi? Di samping penyelidikan klinikal yang telah menunjukkan manfaat-manfaat perlindungan terhadap tekanan dan cabaran-cabaran kesihatan yang lain (seperti bakteria dan virus-virus), banyak kajian juga telah menghuraikan mekanisme tindakan WGP dalam badan kita di peringkat selular.

Satu kajian penting yang diterbitkan dalam majalah Journal of Immunology, menggunakan WGP yang berlabelkan cahaya kalimantang yang boleh dijejaki dengan mikroskop ketika ia menggerakkan berbagai sel imuniti dalam badan untuk mewujudkan aktiviti biologi.

Para penyelidik mendapati WGP diserap ke dalam badan melalui "Peyer's Patches", iaitu struktur yang khusus untuk penyerapan dalam usus kecil.

Di sini, sel-sel imun yang dikenali sebagai makrofaj menyelubungi WGP dan memecah-mecahkannya menjadi serpihan-serpihan kecil yang kemudian membaluti neutrofil, jenis sel imuniti yang paling banyak dijumpai dalam badan.

Sebaik sahaja serpihan-serpihan WGP itu membaluti neutrofil, ia akan menggerakkan neutrofil untuk menjadi lebih berkesan dalam kegiatannya membunuh patogen (kuman).

Banyak kajian klinikal dan pra klinikal menunjukkan WGP dapat mengaktifkan sel-sel imun penting dalam badan manusia, termasuk makrofaj dan neutrofil dan dengan itu membolehkannya menjadi lebih cepat mengenali unsur-unsur asing kemudian membunuhnya.

Lebih satu dozen jurnal perubatan dan sains di telah menerbitkan hasil-hasil kajian mengenai keselamatan dan keberkesanan WGP sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. WGP juga mempunyai lebih 40 paten yang diluluskan serta yang sedang menunggu kelulusan.

Terdapat tiga ujian klinikal yang berbentuk "double-blind placebo" yang dilakukan pada tahun 2007 dan 2008 dengan WGP.

Satu kajian melibatkan subjek yang mengalami tekanan fizikal (iaitu golongan pelari marathon) dan dua kajian yang lain lagi itu melibatkan golongan pemadam kebakaran dan mereka yang mengalami tekanan tinggi disebabkan oleh gaya hidup dan kerjaya pilihan mereka.

Tekanan akan merendahkan daya imuniti dan mereka yang selalu mengalami tekanan menjadi lebih rentan terhadap jangkitan.

Dalam kajian-kajian tersebut, didapati WGP mengurangkan kejadian gejala-gejala yang dikaitkan dengan jangkitan saluran pernafasan atasan dan pada masa yang sama, sukarelawan menunjukkan peningkatan kecergasan dan kejernihan mental serta kurang keletihan.

WGP Beta Glucan

Kita ketahui bahawa jangkitan bakteria dan virus seperti H1N1 merupakan akibat, sama ada secara langsung atau tidak, daripada sistem imun yang berfungsi pada tahap yang kurang optimum.

Perbezaannya sama ada kita sebenarnya akan menghidapi jangkitan virus bergantung kepada sama ada kita mempunyai sistem imun yang kuat atau tidak.

Dengan mengambil 1 kapsul (200 mg) WGP setiap hari boleh membantu mengekalkan kekuatan sistem imun anda supaya diri berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menentang sebarang serangan kuman.

Sebaik sahaja mendapat tanda-tanda awal jangkitan, anda hendaklah meningkatkan dos kepada 4 hingga 6 kapsul sehari.

WGP juga telah terbukti sebagai selamat dan tidak bertoksik walaupun diambil dengan dos-dos yang lebih tinggi.

Adalah jelas sekali bahawa mengekalkan kesihatan dan kekuatan sistem imun seharusnya menjadi keutamaan sekiranya kita ingin mengelak daripada penyakit berjangkit dan mencapai kesihatan yang optimum.

Bagaimana proses penuaan dan mutu hidup sebahagian besarnya bergantung kepada kesihatan sistem imun kita.

Mengambil WGP setiap hari akan memberi kesan yang amat mendalam lagi meluas terhadap kesihatan anda.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Probiotik Bantu Cegah Penyakit

Probiotik merupakan bakteria yang bertindak membantu mengekalkan kesihatan dan ia bukan saja membantu fungsi pencernaan malah mengurangkan kehadiran organisma berbahaya.

Penggunaan probiotik terbukti mampu mencegah atau merawat. Menurut definisi yang diguna pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), probiotik adalah mikro-organisme hidup yang apabila digunakan dalam jumlah mencukupi akan memberi manfaat kesihatan kepada mereka yang menggunakannya.

Kultur bakteria probiotik seperti lactobacillus dan bifidobacterium merupakan dua jenis bakteria baik atau bakteria bermanfaat yang paling dikenali. Kedua-duanya digunakan untuk membantu memantapkan semula flora perut yang dihasilkan secara semula jadi oleh badan.

Penyelidikan mendapati bahawa probiotik juga boleh membantu menguatkan sistem imun badan untuk melawan alahan, pengambilan alkohol berlebihan, tekanan, pendedahan kepada bahan toksik dan penyakit lain.

Probiotik yang berasal daripada perkataan Greek bermaksud 'untuk kehidupan' sudah pun digunakan sejak berabad-abad lamanya sebagai komponen semula jadi dalam makanan berteraskan kesihatan.

Istilah 'probiotik' mula diperkenalkan pada 1965 oleh Lily dan Stillwell apabila ia diperjelaskan sebagai faktor penggalak pertumbuhan yang dihasilkan oleh mikro organisma. Berbeza dengan antibiotik, probiotik didefinisikan sebagai faktor terbitan mikrob yang merangsang pertumbuhan mikro organisma lain.

Secara umumnya, probiotik melekat pada dinding dan menghuni saluran gastrousus. Ia dapat memperbaiki masalah usus seperti kembung, flatulen, cirit-birit dan sembelit yang disebabkan mikroflora usus yang tidak seimbang dengan mengeluarkan anti infektif protein untuk melawan patogen.

Pakar kesihatan juga turut mencadangkan pesakit yang mengambil rawatan antibiotik supaya menambahkan probiotik ke dalam pemakanan mereka. Ini kerana antibiotik menghapuskan semua bakteria, termasuk bakteria yang bermanfaat.

Ini membenarkan bakteria berbahaya dapat membiak secara berlebihan dan membawa kepada masalah gastrousus. Dos probiotik yang sihat dapat menjauhkan patogen berbahaya dan memperbaiki keseimbangan mikroflora usus.

Kehadiran bakteria bermanfaat memastikan toksik dikeluarkan daripada usus dan tidak diserap ke dalam salur darah. Selain itu, probiotik juga berupaya menghalang atau mengawal pertumbuhan patogen usus seperti salmonella, staphylococcus dan Candida albicans. Ianya penting kerana pertumbuhan patogen usus boleh menyebabkan alergi, kembung perut, cirit-birit dan gastritis.

Ada kajian yang menyokong pengambilan probiotik memandangkan ia mungkin membantu mengelak kejadian seperti masalah keradangan usus di kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengalami masalah gangguan penghadaman seperti intoleransi laktosa, sembelit, cirit-birit dan juga kembung perut.

Dalam pada itu, pengambilan probiotik untuk kanak-kanak didapati memberi manfaat kepada kanak-kanak yang tidak diberikan susu ibu, mempunyai imun sistem yang lemah, kurang selera makan dan sering mendapat alahan termasuk mengurangkan risiko kejadian ekzema.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa setiap pemilihan probiotik harus berdasarkan beberapa kriteria untuk memaksimumkan manfaatnya. Begitu juga pemilihan strain yang tepat dan betul. Pakar bersetuju bahawa keputusan kajian bagi sesuatu strain tidak boleh dianggap sama dengan strain yang lain walaupun daripada spesis sama.

Kini, probiotik digunakan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia kerana ia boleh membantu pencernaan yang sihat dan meningkatkan kesejahteraan hidup.

Sesuai dengan peredaran masa, peranan probiotik juga diperluaskan. Bukan sekadar mengekalkan kesihatan malah digunakan dalam aplikasi yang menjurus kepada pelbagai keperluan kesihatan pencegahan. Kini, probiotik yang disahkan secara klinikal menemui aplikasi inovatif dalam makanan tambahan pemakanan, makanan berfungsi dan produk makanan utama.

Lactobacillus reuteri (atau L.reuteri) adalah salah satu jenis probiotik yang biasa ditemui pada tubuh dan ia memberi manfaat dan selamat untuk kanak-kanak. Kajian menunjukkan, bahawa kanak-kanak yang diberi susu formula tambahan bersama L.reuteri dilaporkan mengalami demam dan cirit-birit yang lebih singkat.

Menurut Dr. Andreas Aly, probiotik dapat melindungi si kecil dan mengelakkan sakit daripada berulang serta menguatkan imuniti.

"Sistem pertahanan badan yang lemah akan menyebabkan anak-anak mudah jatuh sakit. Senario begini yang kerap bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi mungkin menjejaskan tumbesaran dan prestasi kognitif mereka.

Pendedahan kajian klinikal dan penyelidikan mendapati salah satu kunci ke arah kesihatan optima mungkin berada dalam usus iaitu bakteria bermanfaat dalam saluran penghadaman.

Flora usus yang seimbang bukan sahaja memperbaiki kesihatan penghadaman tetapi juga mempengaruhi interaksi usus dengan imun sistem, dengan itu mengurangkan jangkitan dan ini menunjukkan keperluan penggunaan probiotik," katanya ketika taklimat media Bio Life di BiO-LiFE Marketing Sdn Bhd, Blok N-41, Jalan PJU 1A/1.

Taipan Damansara 2, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Dr. Andreas menjelaskan, bukti menunjukkan Lactobacillus reuteri protectis sebagai probiotik yang berpotensi besar untuk kesihatan imun.

"Probiotik ini membantu merangsang pertumbuhan pertumbuhan bakteria baik dalam saluran usus, mengembalikan flora usus yang sihat. Setiap strain probiotik adalah unik dan ianya dapat bertahan dalam hempedu dan asid gastrik serta mengkoloni saluran gastrousus. Ia mampu menghasilkan bahan anti mikrobial, reuterin dan asid organik yang mewujudkan persekitaran yang merencatkan pertumbuhan bakteria berbahaya," jelasnya.

Dalam pada itu, pengambilan probiotik ini mengesahkan terdapatnya pengklonian bakteria ini dalam perut, deodenum dan ileum.

Kajian juga mendapati peningkatan signifikan dalam sel emun selepas pengambilannya membawa perlindungan dan kurang jatuh sakit. Ia didapati berkesan sebagai agen terapeutik untuk rawatan cirit-birit dan kolik di kalangan kanak-kanak.

L.reuteri adalah salah satu jenis probiotik yang biasa ditemui pada tubuh dan ia memberi manfaat dan selamat untuk kanak-kanak. Kajian menunjukkan, bahawa kanak-kanak yang diberi susu formula tambahan bersama L.reuteri dilaporkan mengalami demam dan cirit-birit yang lebih singkat.

Probiotik juga dikenali sebagai serat diet. Ia membantu merangsang tumbesaran kebaikan microflora dalam usus dan pertumbuhan bakteria yang memberi manfaat.

Namun, probiotik bukanlah penyelesaian untuk mencegah atau menyembuhkan penyakit tetapi iak menampilkan barisan pertahanan hadapan yang cepat dan mudah di samping diet yang sihat.

Untuk maklumat lanjut mengenai probiotik dan manfaatnya, sila telefon Bio-Life Customer Health Advisory di talian 03-7843 6981 (Isnin hingga Jumaat) atau e-mel health@biolife.com.my


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Masalah Penghadaman di Kalangan Rakyat Malaysia

Apabila membincangkan tentang isu kesihatan dan kesejahteraan, kesihatan saluran penghadaman biasanya kurang diutamakan berbanding topik yang membabitkan jantung dan tekanan darah. Tetapi usaha menjaga kesihatan sistem penghadaman anda tidak kurang penting berbanding usaha menjaga kesihatan semua bahagian lain badan. Masalah kesihatan saluran penghadaman bukan sahaja mengganggu perut dan usus, tetapi juga boleh menjejaskan kehidupan anda.

l Empat Masalah Utama

Penyakit yang berkaitan dengan saluran gastrousus (GU) dinamakan penyakit penghadaman. Di Malaysia, masalah penghadaman umum yang dialami oleh dewasa Malaysia, berasaskan tahap penularannya ialah:

1. Penyakit Refluks Gastroesofagus (Reflux Oesophagitis)

Penyakit ini berlaku apabila sfinkter esofagus bawah (injap antara esofagus dan perut) tidak ditutup dengan cukup rapat, membolehkan asid perut untuk mengalir kembali ke dalam esofagus. Tanda ataupun simptom paling umum ialah pedih hulu hati. Gejala lain termasuk batuk, suara serak, sendawa dan rasa masam di mulut. Di Malaysia, seperti kebanyakan negara di Asia, penyakit refluks semakin menular kerana faktor gaya hidup, seperti gaya hidup tidak aktif yang tidak mementingkan kegiatan fizikal dan juga pilihan makanan, misalnya makanan berminyak dan berlemak. Namun begitu, penyakit ini boleh dirawat menerusi ubat preskripsi atau dengan membuat perubahan gaya hidup, iaitu jangan makan secara berlebihan, mengurangkan berat badan berlebihan dan menambahkan kekerapan senaman.

2. Sindrom Usus Terganggu (Irritable Bowel Syndrome)

SUT ialah sejenis gangguan usus yang dialami kira-kira 430,000 rakyat Malaysia. Gangguan ini menyebabkan sakit perut, kekejangan, kembung, cirit-birit atau sembelit. Gejala utamanya ialah sakit perut dengan sembelit atau cirit-birit. Terdapat pelbagai teori yang mengenal pasti punca SUT. Ia mungkin berlaku akibat kaitan antara faktor alam sekitar dan genetik. Gejalanya juga dianggap berkaitan dengan komunikasi kurang baik antara otak dan saluran gastrousus. Pergerakan yang normal mungkin tidak berlaku di dalam kolon seseorang yang menghidap SUT. Walaupun SUT ialah sejenis gangguan tidak berbahaya (benign), ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan mengganggu anda selama bertahun-tahun. Penyakit ini biasanya dialami oleh mereka yang berusia lewat 20-an, wanita dan individu yang mempunyai sejarah SUT dalam keluarga. Rawatannya termasuk perubahan diet dan gaya hidup, seperti mengelakkan makanan yang mencetus gejala, kerap bersenam dan menguruskan stres.

3. Ulser peptic (peptic ulcer)

Ulser peptik ialah liang kecil yang menembusi lapisan perut atau duodenum. Ulser mungkin atau mungkin tidak memperlihatkan sebarang gejala, tetapi apabila gejala didapati, ia termasuk sakit membara atau menusuk di bahagian tengah atau atas perut, kehilangan selera dan penurunan berat badan serta najis berwarna gelap atau hitam (akibat pendarahan). Gejalanya berbeza-beza antara individu. Punca utama ulser peptik ialah penggunaan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen dan ubat lain. Punca umum kedua ialah jangkitan oleh sejenis bakteria yang dinamakan Helicobacter pylori (H. pylori) Sebab lain termasuk merokok atau pengambilan alkohol berlebihan. Stres juga boleh memburukkan lagi gejala.

4. Kanser kolon (colon cancer)

Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu ketumbuhan kecil pada permukaan kolon. Kebanyakan polip adalah tidak berbahaya (benign), tetapi sekurang-kurangnya satu jenis polip boleh bertukar menjadi malignan (merebak) dan merupakan pelopor bagi kanser kolon. Laporan kedua Pendaftaran Kanser Kebangsaan menarafkan kanser kolon sebagai kanser ketiga paling umum dialami oleh rakyat Malaysia. Penularan kanser kolon juga semakin ketara, terutamanya di kalangan golongan muda. Orang yang berusia lebih 50 tahun menghadapi risiko kanser kolon yang lebih tinggi. Faktor risiko lain termasuk sejarah kanser kolon dalam keluarga, kegemukan, diet yang tinggi kandungan lemak dan rendah kandungan serat, merokok dan kehidupan tidak aktif.

Mengawal Kesihatan Anda

Lazimnya, anda boleh mengawal kesihatan anda hanya dengan mengambil beberapa langkah pencegahan seperti mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan anda. Jangan tunggu sehingga anda mengalami masalah penghadaman. Mulakan serta-merta untuk memastikan sistem penghadaman anda akan kekal sihat pada hari ini dan sepanjang hayat.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/