Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, October 12, 2012

Pembedahan Kecil Kelopak Mata

Mata dikatakan antara bahagian terawal yang ditatap oleh dua orang asing di saat mereka bersua. Malah ada yang menjadikan mata punca seseorang jatuh cinta. Mungkin dari situlah bermulanya ungkapan 'dari mata turun ke hati'.

Namun, kecantikan mata begitu subjektif. Mata besar dan galak sering dikatakan cantik dan menggoda. Ada juga yang mengklasifikasikan mata sepet sebagai seksi.

Apapun definisi kecantikan bingkai wajah itu, semakin ramai yang memilih melakukan sesuatu untuk menyerlahkan kecantikan mata.

Selain mengenakan solekan, prosedur estetik untuk menyerlahkan mata yang kelihatan lebih besar dan berseri semakin popular di kalangan orang ramai.

Pembedahan mendapatkan lipatan kelopak mata antara pilihan paling popular terutamanya di kalangan masyarakat Asia.

Menurut kajian, hampir 50 peratus populasi Asia tidak mempunyai lipatan pada bahagian atas kelopak mata.

Menurut Pakar Perubatan Estetik MCU Beautitudes, Dr. David Low Teck Wai, teknologi estetik membolehkan mereka yang menjalani pembedahan kelopak mata kembali sembuh dalam tempoh sesingkat sehari!

Menurutnya, prosedur pembedahan kecil yang dipanggil Double Suture & Twist (DST) yang diperkenalkan oleh Dr. Akihiro Minami, seorang pakar bedah plastik yang terkenal di Jepun membolehkan proses dilakukan dalam tempoh kurang daripada 60 minit.

"Jika dulu, pakar bedah biasanya melakukan pembelahan untuk membuang sebahagian besar kulit bagi membentuk lipatan pada mata melalui pembedahan yang dikenali sebagai 'blepharoplasty',

"DST adalah prosedur yang agak mudah dan diperkenalkan di sekitar Jepun sejak 2001.

"Ia antara kaedah paling selamat yang didapati di pasaran kini dan pilihan paling ideal untuk mereka yang takutkan pembedahan.

"DST tidak memerlukan pembedahan yang besar pada kulit dan kebanyakan pesakit dapat sembuh sepenuhnya dalam jangka masa tiga ke tujuh hari tanpa sebarang komplikasi.

"Malah, sesetengah pesakit dilaporkan dapat membeli-belah sejurus selepas menjalani prosedur, walaupun dengan sedikit bengkak pada mata," ujarnya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan teknik DST di MCU Beautitides, Sunway Pyramid, Subang baru-baru ini.

Terangnya, pakar bedah akan menebuk tiga lubang kecil di bahagian atas setiap kelopak mata sewaktu memulakan prosedur DST.

Dua benang kemudiannya digunakan untuk menembusi lubang yang dicucuk menggunakan teknik pintalan khas supaya benang itu terlilit antara satu sama lain sebanyak empat atau lima kali.

PintalanPintalan benang tersebut akan diikat untuk membuat lipatan pada bahagian atas kelopak mata.

Apa yang terjadi seterusnya ialah apabila pesakit membuka mata, bahagian belakang kulit kelopak mata akan ditarik ke dalam lalu menghasilkan lipatan semulajadi pada kelopak mata.

"Keseluruhan prosedur untuk kedua-dua mata mengambil masa kira-kira 40 ke 60 minit.

"Selain itu, hasil prosedur ini boleh bertahan selama lima tahun atau sepanjang hayat dan boleh diubah jika pesakit bertukar fikiran," ujarnya yang juga antara beberapa pakar bedah estetik di Malaysia yang berkelayakan untuk melakukan kaedah DST.

Prosedur DST amat sesuai untuk pesakit muda dengan lapisan kulit berlebihan atau lemak pada kelopak mata.

Namun, pesan Dr. David, individu yang berhasrat menjalani pembedahan kelopak mata perlulah memastikan bahawa pakar bedah tersebut berkelayakan dan berpengalaman.

Selain itu, mereka perlu memastikan keadaan mata mereka sesuai melakukan DST kerana ia kurang elok bagi mereka dengan kelopak mata yang melendur, tidak sekata atau menurun.

"Pastikan anda bertanya banyak soalan sebelum membuat keputusan dan jalani pemeriksaan yang lengkap untuk menilai kesesuaian anda.

"Paling penting pastikan pusat tersebut berdaftar dengan pihak perundangan yang berkaitan," nasihat Dr. David.


Ditulis oleh: Raja Intan Dianna Raja Azaham 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment