Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, February 05, 2012

Derita Hipertensi Usia Muda

Mulanya, Zainikki Nakibullah, 37, ingatkan sakit kepala yang sering dialaminya ketika berusia lewat 20-an hanya penyakit biasa.

"Saya masih ingat lagi ketika itu jantung saya berdegup laju, kebas di bahagian muka dan sering sakit kepala. Saya tidak menyangka ia tanda-tanda awal hipertensi," ceritanya.

Zainikki disahkan menghidap hipertensi atau darah tinggi selepas menjalankan pemeriksaan kesihatan di Hospital Mentakab, Pahang.

"Bacaan darah saya waktu itu melebihi 140/90 mmHg. Jika berlarutan dan terus naik, saya boleh diserang strok," katanya yang ketika itu mempunyai berat badan melebihi 95 kilogram.

Disahkan sakit pada awal perkahwinan, sedikit sebanyak merisaukan dia dan suami. Jika sebelum ini, dia berasa seronok melakukan kerja-kerja di rumah.

"Sebagai suri rumah, sayalah yang menguruskan segalanya di rumah. Setiap hari, saya akan memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan banyak lagi.

Sejak saya disahkan hipertensi, suami berasa bimbang jika tugasan itu mengganggu kesihatan saya. Saya sendiri pula akan risau jika tiba-tiba berasa penat. Maklumlah, hipertensi boleh menyebabkan strok. Apa yang saya lakukan waktu itu menjadi serba tidak kena," ujarnya.

Mujurlah keluarga Zainikki banyak memberi sokongan supaya dia tidak berputus asa. Namun, jauh di sudut hatinya, dia mahu aktif dan melakukan kerja rumah seperti dahulu.

Sejak itu, hidup Zainikki bergantung pada ubat untuk mengawal penyakitnya.

"Saya menyedari tentang penyakit hipertensi ini apabila saya membuat pemeriksaan kesihatan. Bayangkan saya makan apa saja tanpa menghiraukan penyakit ini menyerang saya.

"Tetapi apabila dah sakit, saya terpaksa hidup dengan bergantung pada ubat. Kadang-kadang saya bosan kerana perlu sentiasa ingat keperluan makan ubat," ujarnya.

Akhirnya dia mengambil keputusan mencuba beberapa rawatan alternatif yang tidak berbahaya untuk membantu mengawal tekanan darahnya.

PilihanDua tahun lepas, Zainikki mencuba rawatan terapi elektrostatik di Pusat Terapi Eman, Kompleks Islam Al-Amaniah di Batu Caves, Selangor.

"Secara jujurnya, saya takut mencuba sesuatu yang baru. Tetapi selepas berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Eman, Mohd. Asri Abdul Rahman dan diberi penerangan lanjut, saya tergerak hati mencubanya. Selepas seminggu melakukan rawatan di sini, saya dapati tekanan darah tinggi saya terkawal dan berada di paras normal, 120/80mmHg," katanya.

Mohd. Asri menjelaskan, terapi elektrostatik yang menggunakan cas-cas elektrik sebagai rawatan mula diperkenalkan di Jepun.

"Pakar teknologi perubatan Jepun mencari alternatif untuk merawat penyakit yang berkaitan darah menerusi kaedah pembersihan saluran darah dengan mengeluarkan benda asing seperti lemak dan kolesterol dalam badan. Teknologi ini mampu mengurangkan pergantungan terhadap ubat.

"Mesin terapi mudah-alih dilengkapi tiga fungsi iaitu voltan tinggi, light wave energy dan terapi haba. Orang ramai boleh melayari http://www.emannetwork.net untuk maklumat lanjut, " ujar Mohd. Asri.

Walaupun Zainikki sudah berjaya mengawal tekanan darahnya, dia tidak pernah mengabaikan aktiviti senaman dan menjaga pemakanan.

Bahkan, dirinya yang dulu kurang bersenam kini mula berminat melakukan aktiviti luar.

Zanikki kini melakukan senaman dua hingga tiga kali seminggu.

"Syukur kesedaran saya untuk mengikis sikap penafian dalam diri membolehkan saya menurunkan berat badan dan mengawal paras hipertensi," katanya.

Kini, Zainikki sekeluarga lebih berwaspada terhadap pemakanan dengan mengurangkan pengambilan garam.

"Hari ini kita bertuah kerana ada pilihan rawatan alternatif. Saya nasihatkan anda sebelum mencuba sesuatu rawatan itu, buat sedikit kajian. Bagi saya, tidak salah berusaha mencuba pelbagai rawatan asalkan kita berhati-hati.

"Di samping itu, kita perlu amalkan gaya hidup sihat. Bermula sebagai seorang yang tidak tahu tentang hipertensi, kini saya mengambil berat tentang kesihatan keluarga saya," ujarnya.



Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment