Sekalipun hidangan makanan melimpah-ruah ketika menyambut Syawal tetapi itu sebenarnya bukannya untuk pesakit diabetes.
Pesakit diabetes mungkin rasa perit kerana sekadar melihat sahaja dan  terpaksa mengekang keinginan demi mengekalkan paras gula dalam badan.
Setelah menunjukkan prestasi baik sepanjang berpuasa di bulan Ramadan, sudah tentu ia perlu diteruskan.
''Hendak makan boleh tetapi jamah sedikit sahaja supaya tidak  terkilan untuk merasa makanan yang dihidangkan tetapi bukan dimakan  sehingga kenyang,'' kata Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Sdn.  Bhd, Dr. Zainordin Md. Noor.
Katanya, sekalipun perit bagi pesakit diabetes untuk mengawal selera  makan pada musim perayaan yang sememangnya penuh dengan makanan tetapi  hanya itu sahaja jalan terbaik untuk mereka.
Dr. Zainordin memberitahu, adalah merugikan jika pesakit diabetes  tidak mengawal selera makan kerana kebiasaannya kandungan gula telah  terkawal sepenuhnya pada bulan puasa.
''Jangan rosakkan paras gula yang terkawal selama sebulan itu dengan  sekelip mata disebabkan pengaruh makanan yang dihidangkan dengan banyak  di bulan Syawal,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, sepanjang bulan Ramadan kebanyakan pesakit diabetes dapat menurunkan paras gula selepas berpuasa sepanjang hari.
''Ada sesetengah pesakit, tahap gula antara empat hingga lima sahaja  dan pencapaian ini sebenarnya cukup baik bagi pengidap diabetes,''  katanya.
Katanya, walaupun selepas berbuka puasa biasanya paras gula akan  kembali tinggi antara 10 hingga 11 tetapi akan kembali normal setelah  berpuasa pada siangnya.
Jelas Dr. Zainordin, untuk mengelakkan pesakit daripada terjebak  dengan longgokan hidangan yang banyak maka ada baiknya jika mereka  disediakan dengan hidangan sendiri.
''Ahli keluarga kena membantu menyediakan makanan untuk pesakit dalam  bekas berasingan supaya jumlah makanan yang diambil itu tidak  berlebihan,'' katanya.
Sehubungan itu katanya, pesakit masih boleh makan bersama dengan  keluarga tetapi tidak perlu terikut-ikut mengambil makanan bersama orang  lain dengan sesuka hati.
Katanya, tidak boleh juga disalahkan pesakit kerana sesiapa sahaja  akan terpengaruh untuk makan kalau makanan yang enak terhidang dengan  banyak di atas meja.
Selain itu, kata Dr. Zainordin, pesakit juga dinasihatkan supaya  makan ubat yang telah diberikan oleh doktor selama setengah jam sebelum  makan.
''Pengambilan ubat amat penting kerana pesakit diabetes tidak boleh  mengabaikan ubat untuk mengawal paras gula masing-masing,'' katanya.
Selain itu, pesakit juga dinasihatkan tidak mengambil makanan  tradisional yang dihidangkan pada hari raya seperti ketupat, lemang dan  rendang dengan banyak.
Menurut beliau, semua makanan itu sememangnya kaya dengan kolesterol yang cukup mudah untuk meningkatkan paras gula.
''Cukuplah jika ingin makan lemang itu hanya sepotong kerana jika  lebih sebenarnya ia mengundang lebih banyak kalori,'' kata Dr.  Zainordin.
Katanya, pesakit diabetes masih boleh makan tetapi dalam jumlah yang kecil hanya selepas empat jam.
''Ini untuk memberikan masa supaya kandungan gula yang terdapat dalam makanan dapat diserap sepenuhnya,'' katanya.
Biasanya kata beliau, pesakit diabetes digalakkan makan kerap iaitu  empat hingga lima kali sehari tetapi dalam jumlah yang kecil.
Dr. Zainordin memberitahu, cara pemakanan yang kerap tetapi sedikit  itu lebih baik supaya kadar gula dapat dikawal dan tidak naik mendadak.
''Pesakit perlu sedar adalah penting menjaga makanan di peringkat  terkawal ini bagi mengelak penyakit ini lebih teruk sehingga terpaksa  melakukan suntikan insulin,'' katanya.
Bagaimanapun kata Dr. Zainordin pesakit yang sudah di peringkat teruk  yang terpaksa menggunakan suntikan insulin lebih mudah mengawal gula  khususnya di musim perayaan.
''Ini kerana mereka biasanya akan lebih berhati-hati ketika mengambil  makanan dan jika terlebih makan biasanya mereka akan menambah dos  insulin yang diperlukan,'' katanya.
Disebabkan makanan punca pesakit diabetes bermasalah, maka Dr.  Zainordin menasihatkan agar memakan buah-buahan yang mengandungi banyak  serat dan lebihkan minum air kosong untuk menstabilkan kandungan gula.
Katanya, motivasi dalam diri pesakit diabetes itu amat penting kerana  pada peringkat ini tidak ada siapa yang akan dapat membantu tetapi ia  banyak terserah kepada diri sendiri.
Beliau berkata, jadikan latihan sebulan berpuasa di sepanjang Ramadan  itu berterusan bukan sahaja pada bulan Syawal tetapi pada bulan-bulan  seterusnya.
Dr. Zainordin memberitahu, apa pun selain mengawal makanan pesakit  dinasihatkan juga sesekali tidak meninggalkan ubat yang telah disyorkan  oleh doktor. 
Ditulis oleh: Sholina Osman
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
hai,
ReplyDeleteorg ckp kencing manis nie boley penybabkn fatty asid..so betol ke???
and pesakit kencing manis dan fatty asis xboley mkn coklat ke???