Sebulanberpuasa tidak patut dijadikan ‘tiket’ untuk kita menikmati  apa saja menjelang Hari Raya. Apatah lagi dengan trend penganjuran rumah  terbuka sepanjang Syawal.
Pasti kecur liur dibuatnya dengan segala jenis hidangan yang tersedia di depan mata.
Mungkin ada yang menganggapnya sebagai pesta menjamu selera. Namun  kita sepatutnya lebih bertanggung-jawab terhadap kesihatan sendiri.
“Saya setuju kalau dikatakan rumah terbuka ibarat ‘perangkap’ kalori  kepada tetamunya. Malah bukan saja pada bulan Syawal atau perayaan, ia  termasuk ketika musim cuti sekolah, ketika kita berkumpul bersama  keluarga atau rakan-rakan, kita biasanya terlupa dengan pengambilan  makanan secara berlebihan,” kata Dr. Barakatun Nisak.
Beliau yang mesra disapa sebagai Dr. Nisak berkata, setiap kali  berkumpul, kita pastinya tidak mengambil berat tentang makanan yang  diambil dan secara tidak sedar makan lebih daripada yang sepatutnya.
Tambahan pula kebanyakan hidangan tradisi masyarakat kita terdiri  daripada makanan yang tinggi kalori atau dalam bahasa saintifiknya  makanan yang padat dengan tenaga (energy dense food). Semua itu kata  beliau, menjadikan pengambilan makanan cukup mencabar buat semua  terutama sekali mereka yang berpenyakit dan ingin menurunkan berat  badan. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan hidangan yang diambil.
“Cuba bayangkan tiga keping dodol (sebesar syiling lima puluh sen)  mengandungi 200 kalori. Ini bersamaan dengan satu setengah cawan nasi  putih atau tiga keping roti putih. Itu belum lagi dikira dengan hidangan  lain,” katanya.
Menurutnya, jika dilihat menu makanan tradisi kita seperti lemang,  ketupat palas, rendang dan lontong, kebanyakannya menggunakan santan dan  juga pulut yang dikelaskan sebagai makanan padat tenaga. Tiga keping  lemang misalnya, mengandungi lebih kurang 400 kalori.
Begitu juga dengan kek dan biskut yang diperbuat daripada marjerin  dan mentega yang dikenalpasti mengandungi kandungan kolesterol tinggi.  Menurut beliau, sekeping biskut bersamaan dengan 20 hingga 30 kalori dan  biasanya kita tidak makan biskut dengan sedikit.
Selain kolesterol, biskut dan kek yang diperbuat daripada mentega  berasaskan sayuran (kecuali sumber kelapa sawit kerana ia lebih stabil)  juga katanya lebih berbahaya kerana ia mengandungi asid lemak trans.
“Asid lemak trans tidak mudah dihapuskan seperti kolesterol yang  boleh dikurangkan dengan bersenam dan penjagaan makanan,” katanya.
Penurunan berat badan
Menurutnya, setelah berpuasa selama sebulan kita tak patut  mengamalkan makan apa saja kerana penurunan berat badan pada bulan  tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang jitu.
“Memang kita biasanya turun berat sekitar dua atau tiga kilogram.  Sebenarnya itu belum mencukupi buat mereka yang ingin menurunkan berat  badan kerana ia hanya sekadar kehilangan air dari dalam tubuh,” katanya.
Ini kata beliau berikutan 70 peratus komposisi dalam tubuh terdiri  daripada air dan beliau menyarankan seseorang itu patut menurunkan berat  badan antara tujuh hingga 10 kilogram seandainya bertekad mengurangkan  berat.
Malah ada juga katanya yang menambah berat badan atau tiada perubahan  langsung ketika berpuasa kerana makan seperti biasa dan tidak bersenam.
Kata Dr. Nisak, dalam satu kajian yang dilakukan di negara Asia  Barat, berpuasa sebenarnya tidak memberi kesan pada komposisi tubuh  langsung.
“Ada orang berat badannya kekal kerana kalau kita kaji, ketika  berpuasa kita hanya merehatkan perut sekitar sembilan jam. Sebenarnya  kita tetap makan seperti biasa kerana sahur boleh diibaratkan seperti  sarapan, berbuka pula makan malam manakala bagi sesetengah orang, mereka  makan lewat malam lagi,” katanya.
Tambahan pula bulan puasa biasanya aktiviti senaman dikurangkan atau  tidak dijalankan langsung. Ketika berpuasa, tahap metabolisma badan juga  menjadi perlahan. Dengan makan yang banyak dimalam hari, akan  menjadikan bulan puasa adalah waktu 'terbaik' mereka mengumpul  lemak-lemak dalam tubuh. Dalam satu kajian yang pernah dijalankan pada  tahun 2006, 60.1 peratus rakyat Malaysia langsung tidak mengamalkan cara  hidup yang aktif.
Pengumpulan lemak pada perut ini kata Dr. Nisak akhirnya mengundang  penyakit kronik seperti diabetis, sakit jantung, tekanan darah tinggi  dan pelbagai lagi.
Kawal
Bagi Dr. Nisak, tetamu dan tuan rumah berperanan dalam menjaga pengambilan makanan ketika rumah terbuka.
Dari segi individu, mereka perlu memikirkan kesan jangka pendek dan panjang jika mengambil makanan secara berlebihan.
“Kesan jangka pendek adalah masalah yang akan berlaku pada perut  kerana kita sudah berpuasa selama sebulan lamanya. Antaranya menyebabkan  perut mengalami kembung, sakit sehingga mengalami cirit-birit,” kata  beliau.
Dari segi kesan jangka panjang pula katanya ia boleh menyebabkan  kegemukan yang mengundang pelbagai jenis penyakit jika tidak dikawal  dari mula.
Perkara itu katanya tidak terjadi dalam masa pendek, ia memakan masa  bertahun kerana secara purata, berat badan individu akan meningkat  antara dua hingga tiga kilo setiap tahun manakala kadar metabolisme pula  semakin menurun.
Beliau turut menasihatkan tetamu makan terlebih dahulu sebelum  mengunjungi rumah terbuka bagi mengelakkan perasaan lapar yang  menyebabkan kita mengambil makanan secara berlebihan.
“Sekurang-kurangnya alas perut sedikit dahulu. Cuba bayangkan kita  pergi membeli juadah berbuka ketika masih berpuasa, memang kita teringin  membeli pelbagai jenis makanan bukan? Namun bila berbuka nanti, kita  tak mampu menghabiskannya,” kata beliau.
Dalam pada itu Dr. Nisak berkata, penganjur atau tuan rumah juga  memainkan peranan penting bagi memastikan tetamu menikmati makanan yang  menyihatkan dan berkhasiat.
Menurutnya, tuan rumah patut menyediakan makanan mengambil kira  pendekatan 5M yang disarankan Kementerian Kesihatan iaitu mengurangkan  gula, mengurangkan garam, mengurangkan lemak dan minyak, melebihkan  sayur-sayuran dan melebihkan buah-buahan.
Katanya, tuan rumah patut menyediakan pilihan kepada kepada tetamu dengan menyajikan makanan berkhasiat dan kaya nutrien.
“Mungkin kita boleh gantikan santan dengan susu rendah lemak atau  sediakan hanya satu makanan bergoreng manakala selebihnya kepada jenis  panggang, berkuah atau sup. Selain itu tuan rumah juga boleh  menggantikan kerepek dan biskut dengan melebihkan hidangan buah atau  salad,” katanya.
Begitu juga dengan air yang dihidangkan, beliau berkata sepatutnya  tuan rumah menyediakan pilihan air kosong bersama kordial. Atau pun  menghidangkan minuman panas seperti teh atau kopi tanpa gula.
“Sediakan gula di dalam bekas supaya tetamu boleh tentukan sendiri  rasa manis yang mereka perlukan. Cara ini lebih sesuai terutama untuk  tetamu yang berpenyakit dan perlu kawal jumlah pengambilan gula mereka,”  katanya.
Bagi Dr. Nisak, peranan tuan rumah sangat penting dalam memastikan  hidangan sihat kerana sebagai tetamu mereka perlu menjamah hidangan yang  tersedia demi menjaga hati orang yang menjemput.
“Sepatutnya makna rumah terbuka itu saling mengunjungi dan beramah  mesra, bukannya dijadikan waktu untuk menjamu selera tanpa memikirkan  kesannya,” kata beliau lag
Ditulis oleh: Bintu Rasyada A. Rahman
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment